Sunday 15 March 2009

SEMINAR SASTERA UPM SERDANG: KERTAS KERJA "DHARMAWIJAYA YANG SAYA KENAL"


Puan Zaini, isteri Allahyarham Dharmawijaya, yang menjadi Tetamu kehormat dalam Seminar Kesusasteraan Dharmawijaya Dalam kenangan di UPM, Serdang, 14 Mac 09 yang lalu. Gambar A.F.Yassin

DHARMAWIJAYA YANG SAYA KENAL
(kertas kerja Drs. Ahmad Fadzil Yassin ini disampaikan di Seminar Kesusasteraan: Dharmawijaya Dalam Kenangan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Komunikasi dan Bahasa-Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, pada 14 Mac 09.)

(Kamaruzzaman bin Abdul Kadir, K. Zaman)
LAHIR : 23 Jun 1937 di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan Darul Khusus.
ALAMAT : 31, Taman Rashidah Utama, Jalan Paroi, Senawang, 70450 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.
MENINGGAL DUNIA : April 2005 di Hospital Seremban, akibat kanser paru-paru.
KELUARGA : Meninggalkan isteri, Zaini Ma’aya, tiga anak Susilawati, Asrul Effendi dan Iza Hairani.

Dharmawijaya bukan nama asing dalam bidang penulisan dan akademik. Ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah hospital Seremban, April 2005 beliau masih mempunyai kontrak dengan Universiti Putera Malaysia di Serdang sebagai Sarjana Tamu. Beliau ditugaskan untuk membuat kajian tentang Keris dan sejarah perkembangannya di Negeri Johor.

Sasaran kajiannya ini sebenarnya sedikit terkeluar daripada bidang puisi yang hampir sinonim dengan namanya. Mengapa Keris dan tidak puisi-puisi atau pemuisi di Johor? Apabila ditanyakan kepada salah seorang rakan sekerjanya di universiti itu tentang perkara ini, rakannya itu tidak dapat menjawab. Barangkali Dharmawijaya mahu mencari kelainan setelah hampir seluruh kerjayanya sebagai guru, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli akameik di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, beliau mahu mencari “angin baru” dan pengalaman baru dalam bidang yang sama sekali asing baginya. Telah masuk tahun ketiga Dharmawijaya menjadi pegawai kontrak.

Lahir di Kampung Talang, Senaling, Kuala Pilah, Dharmawijaya mengenal dunia melalui kawasan sekitar kampungnya yang berbukit dan berbendang; berpaya dan bersungai. Beliau membesar dalam balutan resam budaya lingkungan adat perpatih. Alam terkembang menjadi guru dan ia menjadi objek renungannya. Jiwanya sensitif kepada sekitaran sehingga akhirnya sensitiviti itu ditumpahkan ke dalam tulisan-tulisan yang puitis. Pernah beliau menulis, “Kata adat banyak kiasan; ditunjuk dia tetapi bukan; bergulung pendek panjang terentang; tidak faham kalau tidak direnungkan.” Pentafsiran tentang sekitaran memperkaya bait-bait puisinya. Segalanya dikumpulkan dalam beberapa buah antologi, yang terawal Warna Maya.

Banyak yang menganggap Warna Maya adalah Dharmawijaya dalam puisi. Dua dekad sesudah itu, persisnya tahun 1993 lahir pula Derita Buana. Ini diikuti oleh Bintang Mengerdip (1984), Di penjuru Matamu (1975) dan Lagu Kehidupan (1983). Antologi Bahasa Alam yang disusunnya bersama Allahyarham Ma’arof Saad pernah menjadi buku teks kesusasteraan di peringkat SPM mulai tahun 1984. Hampir 200,000 naskhah dicetak.

Satu hari dalam bulan September 1996, saya menghantarnya pulang ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban. Kami baru sahaja selesai menghadiri Seminar Pengemaskinian Prasejarah Negeri Sembilan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandar itu. Beliau mempelawa saya masuk ke rumah tetapi saya menolak kerana hari hampir Maghrib dan saya perlu pulang ke Bandar Baru Bangi. Perjalanan masih jauh. Saya memerhatikannya sehingga dia dimamah senja.


Antara para peserta yang hadir dalam Seminar di Dewan Za'ba, UPM, Serdang.
Inilah rumah yang sering saya kunjungi pada akhir-akhir tahun 1980an dahulu. Begitu kerapnya saya bertandang ke rumah ini sehingga saya hamper tidak percaya bahawa sudah enam tahun lamanya saya tidak menjejakkan kaki, walau hanya di pintu rumahnya. Dan dia pun seperti menyendiri dalam dunianya dan sesekali saya temui dunia rindunya itu melalui bait-bait puisinya dalam media yang langsung atau tidak langsung mempamerkan kehadiriannya.

Saya dapat membayangkan betapa dia acapkali akan merenung nun jauh ke timur melalui jendela kamarnya. Renungannya akan membelah gunung dan ngarai di depannya, lalu renungannya akan terus menerjah dinding kamarna menuju satu daerah di mana dia dilahirkan, iaitu di Kampung Talang. Barangkali pula ketika itu dia melepaskan resah rindunya kepada kampong halaman laksana sembilu menhiris pedih hatinya, lalu dia pun menghimbau:
Pada teguh tenangmu
Menerima hari-hari yang pergi dan datang
Pastilah ditidur jaga anak-anakmu
Sayu matanya ke sawah ladang
Pilu hatinya di bukit berjurang

Betapa degup jantungnya tiba-tiba menjerat emosinya lalu ingatannya menelusuri bendang luas di depannya yang dipagari petak permatang dengan sungai membelah lalu dari utara ke selatan. Di seberang sungai tersergam teguh banjaran bukit menghijau, dadanya menampung rezeki petani seisi desa. Dan setiap petang sinar matahari akan menghilang di celah rimbunan belantara sepanjang banjaran, tanda sehari lagi meningkatnya usia desa dan para penghuninya.

Demkian pulalah Dharmawijaya, nama sebenarnya Kamaruzzaman Abd. Kadir, seorang penyair tanah air yang banyak melahirkan puisi-puisi tentang petani. Kampung Talang yang merupakan tanah kelahirannya adalah wajah daripada suatu kehidupan masyarakat petani yang banyak terpancar dalam puisi-puisi Dharmawijaya. Kampung Talang dan Dharmawijaya hampir menjadi sinonim, Dharmawijaya menjadi terkenal sebagai penyair yang banyak mengungkapkan masalah dan aspirasi rakyat tani di samping gambaran desa kampung halamannya sendiri. Hingga kini sudah lebih tiga puluh tahun Dharmawijaya mengabdikan dirinya dalam dunia perpuisian Melayu.

Demikian pulalah, anak Kg. Talang ini seada hayatnya akan merenung jauh ke timur, meladeni jiwa romantisnya, memuja-muji realiti alam dan waktu yang berlalu. Sejak tahun 1967, dia terus mengaprisiasi ketulusan tanah leluhurnya yang telah memperkenalkan dirinya erti hidup dan kehidupan.

Itulah Dharmawijaya, yang menurut Ahmad Tarmizi, penulis Riau adalah nama Indonesianya. Dharmawijaya adalah “warna maya”, segugus puisi rasa seorang insan yang lahir daripada sudut jiwa dan kejiwaannya.


Dharmawijaya berpendidikan sekolah Melayu sehingga tahun 1952. Menerima pendidikan di peringkat pengajian tinggi sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1976. Menjadi pendidik di pelbagai sekolah, terutama di Sekolah Chi Hwa Seremban sebagai guru Bahasa Kebangsaan dan Sekolah Menengah Datuk Abdul Samad di Tanjung Ipoh sebagai guru kanan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Antara tahun 1966 hingga tahun 1967, beliau dilantik oleh Kementerian Pelajaran menjadi pensyarah sambilan untuk memberi kursus kepada guru-guru Pusat Latihan Daerah dalam mata pelajaran kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Beliau kemudian dipinjamkan untuk berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pembantu sastera. sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1973. Kemudian beliau mengambil ijazah Sarjana Sastera juga dari Universiti Malaya pada tahun 1981. Setelah berkhidmat beberapa ketika di pelbagai sekolah di Seremban beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beberapa tahun kemudian beliau dilantik sebagai Profesor Madya di jabatan yang sama hingga beliau bersara.

Dalam bidang kesusasteraan, beliau mula berjinak dengan genre puisi sejak aawal tahun-tahun 1960-an. Puisi awalnya berjudul “Kerana Hati” dengan menggunakan nama pena K. Zaman. Kemudian lahir pula sajaknya “Anak Perantau” yang tersiar dalam Mastika Oktober 1962. Beliau mengasah bakat menulisnya ketika menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, yang terkenal dengan panggilan Maktab “Suluh Budiman.” Beliau banyak belajar melalui bacaan buku-buku sastera dari Indonesia. Dengan lahirnya puisi-puisi beliau yang begitu banyak yang memenuhi ruangan-ruangan sastera dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman dan Masyarakat dan Mastika, memang tidak perlu diragukan lagi tentang minat dan kebolehannya dalam sastera, khususnya puisi. Kebolehan beliau dalam menggubah pantun untuk rancangan Televisyen Malaysia yang pernah diterbitkan oleh Zainal Abu beberapa ketika dahulu juga memperlihatkan kebolehan yang membanggakan peminat-peminat pantun di tanah air.
Dengan mewarisi keupayaan yang serba boleh ini, beliau dilantik menjadi Ketua I badan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM), sebuah badan yang aktif dalam kegiatan sastera pada tahun 1976. Ketika itu Dharmawijaya masih lagi menjadi mahasiswa. Dengan pimpinan beliau, ISUM telah berjaya menerbitkan sebuah kumpulan puisi yang berjudul Bila Kita Berbicara. Walau bagaimanapun setakat ini, Dharmawijaya telah menghasilkan dua buah kumpulan puisi, Warna Maya (1974) dan Derita Buana (1992).

Jika kita hayati ulasan karyanya oleh pengkritik tempatan nescaya kita dapati Dharmawijaya sebenarnya menilai kehidupan desa bersama manusianya. Dalam “Kampung Talang” , Dharmawijaya melihat masyarakat tani dengan masalah kemiskinannya dan iyang digambarkan dengan segala kejujuran. Bacalah juga bait-bait dalam puisi-puisinya seperti “Cinta Sayang di Sawah Ladang”, “Balada Gadis Tani”, dan “Senyum Anak Tani”, dan sebagainya. Nada suaranya simpatik melalui pemerhatiannya dengan usikan rasa yang mengharukannya. Buku kajiannya “Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 yang merupakan tesis sarjananya telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983. Sebelum itu, puisinya “Sumpah Tanah Air” dan sebuah lagi bertajuk “Masih Ada” masing-masing terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera dalam tahun 1971 dan 1976. Dharmawijaya kemudiannya dilantik menganggotai Panel Hakim Hadiah Sastera Malaysia mulai tahun 1984/85. Sebelum dilantik panel hakim beliau pernah pula menjadi pemenang Hadiah Sastera Malaysia beberapa kali, iaitu pada tahun 1971, 1976 dan 1982/83. Semuanya dalam bidang puisi.

Selepas bersara dari Universiti Malaya, beliau berkhidmat pula di Universiti Putera Malaysia, Serdang, sebagai Sarjana Tamu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Bahasa-bahasa Moden, mulai 1996 sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 2005. Selain itu beliau telah dilantik menjadi Ketua Penilai Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan menganggotai Panel Anugerah Sastera Sarawak mulai tahun 1992. Dharmawijaya telah terpilih menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok pada tahun 1993, Anugerah Penyair Gapena 1999 dan Anugerah Pujangga UPSI pada tahun 2002. Sebagai anak Negeri Sembilan yang telah berjasa dalam bidangnya, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Negeri Sembilan pada tahun 1995.

Masih saya ingat ikatan kami berlima, iaitu Datuk Prof. Dr. Hashim Awang, kini di Universiti Brunei Darussalam, Prof. Madya Dr. Othman Puteh (allahyarham), Sdr. Mohd. Yusof Md. Noor, Dharmawijaya (Allahyarham) dan saya sendiri. Pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1980-an, kami sering sahaja berpergian bersama-sama, terutama mengunjungi tanah seberang, Indonesia. Tiga bandar utama sering kita kunjungi, iaitu Medan, Jakarta dan Bandung. Biasanya kami ketika pergi kami hanya membimbit satu beg pakaian tetapi ketika pulang ke tanah air beberapa hari kemudian, jumlah beg bertambah. Ada yang membawa dua beg dan ada ketikanya tiga buah.Isinya bukan pakaian tetapi buku yang kami beli daripada toko-toko buku.
Masih saya ingat Allaahyarham Dharmawijaya berebut-rebut buku dengan Allahyarham Othman, tertama ketika berada di Toko Gramaedia di Jakarta atau Toko Deli di Medan atau toko buku al-Maarif di Bandung.

Ketika berebut buku itulah Dharmawijaya sering berkata beruang-ulang bagaikan melarang kami merebut nashkah buku di rak atau di tangannya. Katanya dalam satu ayat pendek, “Ini ese punyo,” dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat. Dan kami selalunya akan ketawa panjang melihat karenah dan gelagat beliau, terutama ekpresi wajah di mukanya. Dharmawijaya benar-benar menghiburkan kami. Inilah pengalaman yang tidak mudah kami lupakan ketika bersamanya di toko-toko buku.

Dan satu lagi cerita yang mungkin dapat kita kongsi bersama ialah tentang proses menyiapkan manuskrip untuk kami terbitkan dalam bentuk buku. Ketika saya bertugas di Penerbit Fajar Bakti pada tahun-tahun 1980-an, kami sering memintanya menyiapkan manuskrip. Biasanya kami akan memberikannya tempoh masa yang cukup untuk menyiapkan. Dan dalam mengejar deadline, lazimnya juga kami akan menghubunginya dengan langsung berkunjung ke rumahnya. Sepanjang pengetahuan kami, belum pernah sekali Dharmawijaya dapat menyiapkan manuskripnya mengikut jadual. Dan kami menjangkakan demikian dan atas dasar itulah kami sengaja mempercepat tempoh deadline, kerana kami amat memahami sikapnya dengan “masa”.

Bagaimanapun apa yang hendak kami ceritakan ialah tentang tingkahnya yang meyakinkan. Pernah suatu waktu saya dan Maarof Saad (Allahyarham), editor yang mengendalikan bukunya mengunjungi rumahnya pada malam hari di Taman Rashidah Utama, Seremban. Ketika kami sampai Dharmawijaya telah sedia menunggu di get rumahnya. Yang menghiburkan kami ialah cara beliau meyakinkan kami bahawa permintaan deadline kami itu akan segera dipenuhi. Dharmawijaya akan berkata, “Siap. Jangan bimbanglah.” Dan sambil itu kedua-dua ibu jari kakinya akan menguit-nguit mengikut pertuturannya. Ini dilakukannya berulang-ulang kali sambil kami menikmati minuman. Benar-benar kami terhibur dibuatnya sehingga kami lupa tujuan sebenar kami mengunjunginya. Begitu juga halnya ketika kami minum di warong kopi atau di restoran. Dharmawijaya akan membiarkan teh tarik panasnya beberapa ketika tanpa disentuh. Jadi kami ahajalah yang minum dan apabila kami tegurnya supaya meneguk teh tariknya dengan selamba beliau menjawab, “Minumlah dulu. Nanti ese minum.” Lantas beliau berada seperti orang berfikir, merenung ke hadapan, mungkin melihat kenderaan yang lalu lalang atau tengah “dirasuk” ilham. Kami tidak pasti. Sesekali beliau memerhatikan kami minum. Setelah beberapa minit, Dharmawijaya akan menyentuh cawan atau gelas minumannya, barangkali untuk memastikan apakah tehnya sudah pada pereingkat suam-suam panasnya. Dan kemudian dengan sekali lalu beliau akan menghirupnya hingga habis.

Demikianlah Dharmawijaya yang kami kenal. Hubungan kami secara peribadi bermula pada tahun 1972, persisnya pada hari Isnin, 7 Februari, ketika saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dharmawijaya diperkenalkan kepada saya oleh Saleh Daud (Allahyarham) yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Sastera Kanak-Kanak, merangkap editor Dewan pelajar. Dharmawijayapula berugas sebagai Penolong editor majalah berkenaan. Dharmawijaya menyapa saya, “Koba Cik Fadil kita. Donga eh kito ni warihkan?” Lalu kami bersalaman. Saya duduk bersebelahan dengan beliau. Dan di dalam bilik kerja itu ada Kemala (Datuk), Shamsuddin Jaafar, Awal il-Sarkam dan A. Karim Abdullah. Kmi berenam sebilik. Memagari kami ada Usman Awang di bilik sebelah kiri dan Abdullah Hussein dan Saleh Daud di bilik sebelh kanan. Dan gurauan dan mainan bibir kami waktu ialah sebutan “haji tahir” dan “Dol Keropok”. Sesekali pintu bilik dibuka dan dengan dengan ketawa kecil Wijaya Mala menegur kami semua, terutama Awam il-Sarkam yang duduk dekat pintu, “ Assalamualaikum Haji Tahir!”. Sampai sekarang ini kami masih tidak tahu siapa sebenarnya Haji Tahir. Barangkali Kemala tahu tetapi sengaja menyembunyikan rahsia itu dari saya.


KARYA

Puisi : Bingkisan Angkatan baru (antologi bersama), Kuala Pilah: Pustaka Hang Tuah, 1956, 62 hlm.; Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 139 hlm.; Warna Maya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, 84 hlm.; Bila Kita Berbicara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Ikatan Sastera Universiti Malaya, 1976, 115 hlm.; Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294.; Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.; Burung Musim (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1983, 84 hlm.; Lagu Kehidupan (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.; Bintang Mengerdip (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1984, 75 hlm.; 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.; Bahasa Alam (antologi bersama) , Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984, 108 hlm.; Bunga Gerimis (Peny.) Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.; Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.; Kumpulan Puisi Malaysia 1975-1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.; Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.; Malaysia dalam Puisi (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.; Derita Buana, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 64 hlm.; Suara Rasa/Voice From Within (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm.; Puisi-puisi Kunjungan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 253 hlm.; Rupa Kata (antologi bersama), Ipoh, Yayasan Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.
Esei/Kritikan : Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933 – 1957, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 181 hlm.; Nasionalisme dalam Persuratan (antologi bersama), Kuala Lumpur : Muzium Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, 227 hlm.; Sastera dan Sasterawan III (antologi bersama), Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1985, 149 hlm.
Kajian : Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi, Petaling Jaya: International Book Service, 1987, 151 hlm.; Inti sari Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1987, 143 hlm.; Berkenalan dengan Puisi, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988, 116 hlm.; Dunia Puisi dalam Penelitian dan Pengajaran, Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988, 271 hlm.


RUJUKAN

1. A. samad Idris, Norhalim Hj Ibrahim dll, (Peny.), Adat Merentas Zaman, Jawatankuasa Penyeidikan Budaya Negeri Sembilan, 1994.
2. A.F.Yassin, Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Shah Alam, 1998.
3. Baharuddin Zainal, suffian Hussain dll., (Peny.), Wajah, Biografi Seratus Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.
4. Dharmawijaya, Dunia Puisi: Dalam Penelitian dan Pengajaran, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Shah Alam, 1998.
5. Maarof Saad, Bahasa Alam, Penerbit Fajar bakti Sdn Bhd., petaling Jaya, 1983.
6. Salim Haji Taib dan Mahaya Mohd Yassin, Karisma PEN, Biografi Penulis Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan, Seremban, 2005.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).