Wednesday 28 July 2010

TANDUK SUMBING DI KURSI TUN ABDUL GHAFFAR BABA, UPSI


Pelancaran Tanduk Sumbing dan seminar kesusasteraan tajaan UPSI Tanjung Mlim 31 Julai 2010 hujung minggu. Pendaftaran masuk hanya RM10.
Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan melancarkan buku TANDUNK SUMBING 31 Julai ini. Pelancaran buku anjuran UPSi ini diadakan dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman (Budiman). Tidak jelas adakah buku ini diterbitkan oleh Persatuan Penulis Budiman atau oleh UPSI sendiri. Oleh kerana Ketua kursi berkenaan, Prof. Dr. Datuk Zainal Kling terlibat aktif maka diperkirakan buku ini ada kaitannya dengan UPSI dengan bantuan Budiman. Juga tidak jelas apakah Budiman, ringkasan kepada Persatuan Penulis Budiman itu ada kaitan dengan Persatuan Suluh Budiman, yang pada satu ketika amat terserlah aktif pada tahun-tahun 1980an dahulu. Jika Persatuan Suluh Budiman tiada kaitan maka UPSI hari ini mempunyai tiga organisasi pendidikan yang berusaha meningkatkan daya saing dalam kalangan dunia persuratan tanah air. Satu UPSi itu sendiri di mana bernaungnya Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba. Kemudian ada Persatuan Suluh Budiman dan kini ada pula Persatuan Penulis Bdiman (Budiman). Besar kemungkinan buku TANDUK SUMBING ini diterbitkan oleh Persatuan Penulis Budiman dengan kerjasama erat Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba. Buku ini berupa antologi cerpen dan puisi yang diselnggarakan Ismail Man.

Sempena pelancaran buku antologi cerpen puisi ini diadakan pula seminar Perkembangan Kesusateraan Mutakhir. Ada tanda-tanda bahawa Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba ini akan menjadi bertambah aktif pada tahun-tahun akan datang memandangkan peneraju kursi Datuk Zainal Kling sendiri adalah juga salah satu orang kuat GAPENA. Dan kita faham usaha yang berterusan sedang terus dilakukan GAPENA dalam meningkatkan martabat kaum penulis di negeri ini. Dan bukan sedikit masa dan tenaga dikeluarkan untuk membina tamadun Melayu, terutama dalam bidang persuratan. Zainal ialah ketua Kursi dan penglibatannya dalam GAPENA mengundang inspirasi yang bukan sedikit demi masa depan dunia persuratan Melayu.

Menariknya, seminar ini mengundang penulis dan tokoh yang bukan sahaja sedang mengukir nama dalam persada persuratan, tetapi tokoh-tokoh ini adalah barisan depan bidang kesusasteraan hari ini. Mereka ini aktif menulis. Mereka juga aktif memartabatkan dunia persuratan. Pada majlis seminar sehari itu nanti tokoh-tokoh ini akan bercerita tentang hampir semua genre sastera, dan yang tentunya turut menyangkut hasil karya yang dibukukan.

Dalam bidang cerpen yang hadir akan berpeluang mengikuti kupasan terkini tentang genre ini. kupasan cerpen akan dibentangkan S.M.Zakir Mohamad Daud Mohamad dan Arif Mohamad, semuanya penulis yang mewakili Persatuan penulis Nasional (PENA), Dewan Bahasa dan Pustaka dan Budiman sendiri. Dalam bidang novel ada pula tokoh-tokoh muda yang amat berbakat seperti Dr. Mawar Shafie dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azhar Wahid dari Budiman dan Nisah Haron seorang peguam yang menggelar dirinya penulis bebas.
Bidang puisi pula akan mengetengahkan tokoh-tokoh muda Nafi Mat dari Universiti Putera Malaysia (UPM), A. Halim Ali yang mewakili Budiman dan penulis tak asing lagi dari UPSI, Prof. Dr. Zakaria Ali (bila pindah dari USM?).

Seperti lazimnya satu forum menarik akan diadakan di akhir sesi sidang. Ia menyangkut Persoalan Sastera Mutakhir: Cabaran dan Masa Depan. Tiga ahli panel dilantik yang terdiri daripada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin dari UPSI, Dr. Haji Mohd Johari Ab. Hamid dari Budiman dan Dr. Abd. Ghani Abu juga dari Budiman. Moderator forum ialah Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis. Bukhari bukan asing lagi dalam dunia persuratan, begitu juga dengan nama Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Dua nama ini beserta Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohd Yusof Hassan adalah tunggak majlis atas dasar mereka sudah lama berkecimpung dalam dunia persuratan. Abdullah orang bahasa tetapi telah menulis banyak buku tentang bahasa dan motivasi. Begitu juga dengan Mohd Yusof yang telah menulis dalam bidang sastera, khususnya kritikan.

Accara sehari ini akan bermula jam 8.00 psgi. Kurang jelas siapa yang akan merasmikannya. Apakah yang akan merasmikannya nanti seorang pemimpin negara a.k.a orang politik, atau orang ilmuan dari menara gading atau tokoh persuratan. Yang penting mahu dilihat ialah hasil seminar dan maklum balas daripada pelancaran antologi TANDUK SUMBING ini. Tersenyum juga saya apabila membaca judul antologi cerpen puisi ini yang akan dilancarkan. Sebabnya yang bertanduk biasanya haiwan seperti kerbau dan lembu. Atau kambing mahupun rusa. Jarang kita dengar haiwan bertandunk sumbing kecuali mereka baru lepas berlaga.

Apapun, Selamat Bersidang orang UPSI, khususnya Kursi tun Abd. Ghaffar Baba!

Thursday 22 July 2010

ADIBAH AMIN: SUATU HIKMAH YANG TIDAK TERDUGA?!


Adibah Amin (Kak Adib)di tengah-tengah bekerusi roda di samping rosmah Mansor selepas pengangerahan Gambar petikan The Star 21 Julai 2010.

Mohd Sayuti Omar dalam Blognya Susupan Malam dengan judul "Kesian Adibah Terima Kasih Rosmah" menulis, "SEBAGAI kaum (profesyen - penulis) saya merasa bangga dan ingin mengucap terima kasih kepada Badan Amal Dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 kepada tokoh persuratan bahasa negara, Adibah Amin (foto) yang kini menderita diserang angin ahmar sejak tiga bulan lalu.

Saya tidak pernah berjumpa dengan Adibah dan mengenalinya menerusi penulisan-penulisannya saja. Saya mula membaca novalnya berjudul "Sejora Masih di Kolam" sekitar tahun 70-an. Kalau tidak silap ingatan saya novel itu mencerita kehidupan remaja di alam kampus. Seronok dan menghiburkan.

Kenapa membolehkan saya membaca noval itu kerana membantu seorang sahabat saya yang tidak mempunyai penglihatan (buta), bernama Mat Darus Sulaiman atau nama penanya M Hayat.

Sekembali dari sekolah saya akan ke rumah Mat Darus untuk membaca novel berkenaan. Sesuatu yang mengkagumkan saya, Mat Darus tidak pernah bersekolah - disekolahkan oleh orang tuanya, al maklumlah orang kampung yang serba serbi kurang mengenai maklumat dan kesesaran melihat orang catat sebagai liabiliti yang menyusahkan dan bukan sebagai aset. Saya yakin kalau kawan saya ini diberi kesempatan beliau akan muncul menjadi orang buta berjaya seperti Almarhum, Prof Ismail Salleh.

M Hayat tidak pedulikan itu. Namun minatnya dalam dunia sastera dan penulis sangat tinggi dan berkobar. Dia tidak merasakan kecacatan sebagai penghalang. Ketika itu ada dua orang penulis di kampung saya, Mat Jusoh Mat Taib (M Jusof Taib) dan Ismail Mustafa (Norhisham Mustafa). Kedua mererka terkenal sebagai penulis skrip radio. Malahan skrip mereka disiarkan saling seli dengan skrip Adibah Amin.

Mengenai hasil kegigihan M Hayat tadi beliau akhirnya muncul menjadi penulis skrip drama radio yang tidak asing di Pantai Timur dan turut sama disiarkan oleh Rangkaian Nasional.

Apa yang saya nak cerita di sini ialah mengenai bantuan pihak tertentu kepada kaum penulis. Adibah yang gah, tokoh bahasa, penulis novel, cerpen, sajak dan drama radio, wartawan yang unggul sebagai seorang tokoh tidak sepatutnya mengalami kesusahan kewangan sehingga terpaksa dibantu. Tetapi itulah hakikat dunia penulisan di negara ini. Rata-rata relatif daif dan sangsara.

Musykil di kepala saya, apakah penulis di negara ini tidak boleh hidup dan di akhir kegemilangannya terpaksa menumpang kasih dan belah kasihan pihak lain? Sudah sampai masanya kalau pihak kerajaan memikirkan bagaimana untuk membantu penulis meneruskan kehidupan. Begitu juga persatuan penulis harus memikirkan masa depan - hari tua kaum mereka.

Saya tidak pernah dengan Gapena - Gabungan Penulis Nasional yang kini diketuai oleh Ismail Hussein sudah mencecah separuh abad, turut sama memainkan peranan membantu para penulis yang sangsara dan daif? Kalau Gapena belum berbuat demikian elok memulakan sekarang. Gapena boleh menggunakan kuasa dan kedudukan Ketua Satunya yang mesra kerajaan itu bagi mencari dana untuk tabung bantuan kepada kaum penulis yang sangsara.

Adibah Amin bernasib baik sebab dia penulis dan tokoh terkenal. Dia istimewa. Keperempuannya menimbulkan keinsafan Bakti. Kesangsaraanya telah digunakan oleh Bakti untuk menonjolkan keprihatinan isteri perdana menteri di mana kesan itu akan memberi keuntungan kepada Najib Razak. Tidak mengapa, yang penting ada orang lain mendapat laba dari percaturan itu.

Berbeza dengan seorang penulis, aruah Abdul Halim Mahmood. Rona-rona kehidupannya di hujung usia sungguh menyedihkan. Beliau menghadapi kesempitan untuk hidup bagi mengubati penyakit strok yang dihadapinya. Merata beliau mencari duit dan ada masanya menangih dengan kawan-kawan. Saya sendiri sempat membantunya membawa berubat di Melaka. Paling menyedihkan beliau terpaksa menjual maruahnya menerusi sebuah karya demi untuk hidup.

Kes Halim adalah kes terpencil yang menjadi simbol kepada dunia penulis negara ini. Banyak kes-kes melibatkan kesangsaraan penulis kerana ketiadaan wang dan mana-mana badan yang turun membantu. Adalah diharap, Bakti tidak akan memberi bantuan secara bertompok dan ikut sama menghulurkan bakti mereka kepada mana-mana penulis yang sangsara. Biarlah.... apa orang politik hendak tunding kepada Bakti yang penting penulis akan mendapat sedikit nikmat dari sejuta nikmat yang melimpah dalam Bakti.

Terima kasih Rosmah semoga keprihatinan dan eksploitasi keadaan sebegitu demi kepentingan politik suaminya juga akan turut diambil oleh pihak pembangkang. Parti politik seharus berlumba-lumba untuk membantu rakyat dan bukannya berlumba-lumba untuk mempergunakan dan memperalatkan rakyat demi kepentingan mereka. [wm.kl. 8:00 pm 21/07/10] Dipetik dari bloger Mohd Sayuti Omar daripada "susupan Malam" 20 Julai 2010.

Komen:
Kak Adib, Dalam usia yang menjangkau senja saya turut bersimpati dengan keadaan derita yang dialami Kak Adib. Walaupun kelihatan dari gambar yang disiarkan akhbar harian baru-baru ini Kak Adib telah banyak berubah tapi saya rasa Kak Adib masih tetap bersemangat dalam apa sahaja usaha yang dilakukan.

Masih belum dapat saya lupakan bagaimana satu petang pada tahun 1985 di pejabat Era, majalah berita mingguan yang bakal terbit, Kami sedang mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah. Oleh kerana beberapa sebab saya tidak dapat bersama Kak Adib dan anggota yang lain untuk terus bersama menerbitkan majalah itu. Allahyarham Maarof Saad yang kemudian dilantik editor majalah berkenaan bersama Pengarah Urusan Dato' Baha Zain, Kak Aib, Dato' Dr. Siti Zahrah Sulaiman meneruskan penerbitan.

Seperti yang saya rakamkan dalam buku saya "Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan" (!998) terbitan Penerbit Fajar Bakti, "Amat disayangkan saya gagal untuk bersama-sama Kak Adib untuk mengendalikan majalah berita mingguan Era pada tahun 1985 itu. Saya dapat bayangkan betapa saya akan dapat belajar banyak daripadanya tentang cara menulis yang baik lagi menghiburkan. Apapun jua suara manja Kak Adb tetap tidak dapat dilupakan apatah lagi pasangan idealnya adalah salah seorang juruhebah pujaan yang kita kenal, iaitu Mutadza Za'ba, sementara Kak Adib anak kepada Ibu Zain.Kedua-dua tokoh nasional ini adalah pejuang bahasa yang tiada tolok bandingnya di bumi Melayu ini."

Tidak juga dapat dilupakan bagaimana Fajar Bakti meminta Kak Adib menterjemahkan sebuah buku karangan Daisaku Ikeda berjudul "Letters of Four Seasons" dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Editor Fajar Bakti yang mengendalikan projek itu, Mohamad Bahadun telah saya minta untuk mempastikan yang penerbitan buku versi bahasa Melayu ini mengikut jadual. Oleh kerana hasil terjemahannya cukup baik dan amat memuaskan Mohamad dalam komennya kepada saya berkata, " Kalaulah kita dapat penterjemah yang begitu serius tentang kerjanya , kita editor tak perlu kerja keras menyiapkan penerbitannya."

Pertama kali saya tersua dengan Kak Adib ialah ketika beliau melintas di depan saya untuk menemui A. Samad Said, yang ketika itu adalah ketua saya di Bahagian subbing Berita Harian pada tahun 1970. Terpegun juga saya sebentar melihat Kak Adib kerana saya tidak menduga berjalan seorang yang amat saya minati suaranya melalui siri Sandiwara Radio dalam tahun-tahun 1950'an.

Semoga Kak Adib akan kembali sihat walafiat dan mampu membiasakan diri dengan situasi dan keadaannya sekarang. Dan apa yang disarankan Sayuti kepada GAPENA supaya berbuat sesuatu bagi penulis dalam keadaan seperti Kak Adib sepatutnya disarankan juga kepada Kerajaan dan badan-badan swasta yang lain. Dan tidak terkecuali organisasi tempat Kak Adib bekerja satu ketika dahulu. Satu himah yang tidak Terduga!

Monday 5 July 2010

GAPENA: ISMAIL HUSSEIN TERUSKAN PERJUANGAN PENULIS

40 tahun Ismail Hussein terajui Gapena

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

KEJAYAAN Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mengekalkan jawatannya tanpa kalah selama 40 tahun secara tidak langsung mencatatkan sejarahnya tersendiri dalam dunia pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apa yang pasti, sepanjang kepimpinan Ismail selama empat dekad itu, banyak usaha dan kejayaan besar untuk memartabatkan kesusasteraan dan bahasa Melayu telah mengisi agenda perjuangan persatuan tersebut.

Persoalannya, walaupun kejayaan besar telah dicapai oleh Gapena selama ini, namun masih terdapat cubaan untuk merampas pucuk pimpinan persatuan itu daripada Ismail, tokoh kesusasteraan Melayu negara yang disegani.

Dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Gapena pada Sabtu lalu, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, 45, seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jinjang (SMK), selaku Ketua Persatuan Penulis Johor telah menentang Ismail untuk kali kedua sejak tahun 2008.

Cubaan kali kedua Amiruddin juga berakhir dengan kegagalan apabila beliau hanya mengutip 19 undi, berbanding dengan Ismail yang meraih 55 undi.

Amiruddin yang ditemui setelah keputusan pemilihan itu diumumkan berkata, beliau memberi tentangan kerana mahu melihat kepimpinan Gapena sentiasa bergerak.

Setiap kali ada penentangan ujarnya, terdapat sedikit pergerakan daripada aspek bantuan Gapena kepada ahli-ahlinya.

Katanya, walaupun ramai anggotanya membuat kritikan terhadap sikap pucuk pimpinan yang tidak mahu turun padang, namun apa yang jelas adalah 'cakap tak serupa bikin.'

"Saya mahu lihat pucuk pimpinan Gapena memperjuangkan isu royalti untuk penulis, hak cipta dan seterusnya menjaga kebajikan penulis secara serius," tegasnya.

Sementara itu, Ismail dalam ucapannya sebelum pemilihan itu antara lain berkata, beliau boleh berundur bila-bila masa jika khidmatnya tidak lagi diperlukan.

Ismail juga menegaskan, beliau tidak merayu untuk mempertahankan jawatan tetapi menyerahkan kepada ahli-ahli untuk menimbangkan.

Tokoh kesusasteraan Melayu itu juga menimbulkan isu bahawa Gapena adalah sebuah badan intelektual dan bukan material dan kerana itu, ia mampu meneruskan perjuangan dan pencapaian luar biasa selama 40 tahun.

Barisan kepimpinan Gapena katanya, bukan terdiri daripada calang-calang orang tetapi daripada golongan berkarisma, berwibawa dan sangat terdidik, selain mempunyai hubungan akrab dengan jemaah menteri di Putrajaya.

"Saya menentang generasi muda yang menganggap kejayaan yang dicapai Gapena dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu sejak 40 tahun lalu hanya sebagai nostalgia atau 'omong-omong kosong'.

"Sepatutnya, anak-anak muda cuba mempertahankan kejayaan itu dan dalam masa yang sama memperbaikinya atau melahirkan sesuatu yang lebih baik sebelum melaungkan kejayaan," tegas Ismail.

Beliau seterusnya menarik perhatian hadirin apabila berkata, hari ini yang tinggal hanya semangat kemelayuan dan tamadun Melayu tetapi kebangkitan bahasa Melayu di dunia sejagat tidak pula mendapat perhatian ramai.

Gapena ujarnya, adalah aset yang penting di negara ini kerana kemampuannya mengimbangi pergerakan parti politik serta kuasa korporat dan seterusnya melihat masa depan bangsa dan bahasa Melayu.

Ismail juga memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Sekretariat Melayu Antarabangsa yang dipengerusikan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dijangka akan mengendalikan laman web Dunia Melayu.com

Katanya, Gapena kini menjadi jantung untuk rumpun Melayu kerana mempunyai jaringan di segenap pelosok dunia antaranya Asia Tenggara, Melayu Raya, Surinam, Taiwan dan Polinesia.

"Kita akan membuat laman web paling komprehensif kerana mempunyai kepakaran, perhubungan dan pengetahuan secara global," ujarnya.

Sehubungan itu, ujarnya, pihak Indonesia ada mempunyai laman web mengenai rumpun Melayu dan mahu menjualnya kepada Gapena dengan harga jutaan ringgit tetapi skopnya amat terhad.

Mengenai peralihan kuasa Ketua Satu Gapena pada 2012, Ismail menjelaskan, pihaknya sedang mencari formula untuk proses peralihan itu kerana ia bukan hanya melibatkan pucuk pimpinan, malah wang dan harta bernilai melebihi RM1 juta.

Mesyuarat Agung Gapena itu juga meluluskan 16 usul dan antaranya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mengulas isu itu, seorang ahli jawatankuasa Gapena yang membahaskan usul ini memberitahu, rata-rata naib canselor-naib canselor IPTA di negara ini adalah orang Melayu tetapi ironisnya mereka menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Antara usul yang diluluskan tanpa dibahaskan termasuk:

- Mengekalkan sistem peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai landasan perpaduan negara melalui konsep 1Malaysia.

- Mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri serta Ahli Parlimen menggunakan bahasa Melayu dalam setiap kenyataan di media kecuali di peringkat antarabangsa.

- Kementerian Pelajaran mewujudkan Anugerah Pejuang Bahasa 152 (APB 152) yang menyamai Anugerah Sastera Negara (ASN).

- Menambah wang tunai daripada RM60,000 kepada RM100,000 serta sebuah rumah kos sederhana kepada tokoh Anugerah Sasterawan Negara.

- Kerajaan mewujudkan pencen bulanan sekurang-kurangnya RM2,000 kepada tokoh Anugerah Sasterawan Negara. Utusan Malaysia 6 Julai 2010

Komen A.F.Yassin: Kalau dalam politik belum ada yang boleh menandingi pemimpin MIC seperti Dato' Sri Samy Vellu, maka dalam bidang persuratan belum ada yang boleh menandingi pemimpin Tan Sri Ismail Hussein yang menerajui GAPENA. Tahniah buat kedua-duanya. Jika ia meendatangkan manfaat kepada warganya kenapa tidak teruskan kepemimpinan?

Kurang pasti adakah trend pemilihan atau tiada pemilihan serius ini berpunca daripada tidak wujudnya proses peremajaan (regeneration) dalam MIC atau GAPENA. Namun yang jelas ialah kesinambungan pergerakan ini, terutama GAPENA tidak menmbulkan banyak karenah atau kontraversi. Ertinya pengurusan dan petadbiran GAPENA berada dalam keadaan stabil dan semua program berjalan baik, walaupun sesekali GAPENA dilanda krisis kecil yang internal sifatnya.

Ismail ibarat patriach bagi kaum penulis. Tidak ada siapa yang dapat menafikan. Paling-paling inilah persepsi umum terhadap Ismail. Bagi sesiapa yang pernah dekat dengan beliau tidak akan dapat melupakan bahawa Ismail tidak segan-segan menjadi "budak pejabat" menjilat setem dan menjadi posmen ke pejabat pos di Jalan Semangat Petaling Jaya satu ketika, malag khabarnya sekarang pun. Tidak juga boleh kita lupakan Ismail yang berada di mana-mana saja dalam majlis kegiatan persuratan hampir di seluruh dunia. Dan tidak boleh juga kita lupakan pujian dan cacian yang diterima patriach ini dalam kalangan orang persuratan.

Ismail adalah Ismail. Dengan tenang dan berhemah serta suara yang rendah tapi tegas beliau memberikan khidmatnya tanpa batas ruang dan waktu. Dan terfikir juga benarkah tidak ada siapa yang dapat menyainginnya, atau menggantikannya andainya Ismail ditakdirkan "pergi"? Dalam barisan "kabinetnya" ramai yang berkelayakan, malah ada seetengahnya memiliki kelebihan berbanding Ismail dari sudut pendidikan, keilmuan malah pengalaman. Namun ramai pula tidak mampu meramalkan adakah dalam kalangan barisan pesaing ini yang punya karisma seperti yang dimiliki Ismail. Inilah maslahnya dan ini juga mungkin yang menjadikan Ismail lebih terkedepan.

Berdasarkan trend hari ini Ismail masih dan amat diperlukan orang persuratan, walaupun da yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Sikap ahli-ahli kabinet Ismail menunjukkan trend ini. Barangkali tidak ada siapa yang sanggup mencabar Ismail mengambil alih teraju kepemimpinan atau mereka merasa belum layak menyaingi Ismail untuk meletakkan diri masing-masing setaraf kedudukan Ismail sebagai patriach kaum penulis. Dan ironiknya Ismail bukan orang persuratan (baca: orang sastera) tetapi orang bahasa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).