Monday 25 July 2011

Kata Imlan Adabi, Blog dan FB bukan Kewartawanan Sebenar!!


Kalau seseorang itu terlatih dalam bidang kewartawanan, sudah tentu dia tidak akan menulis sembrono, tetapi akan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan. Dia akan terikat dengan etika dan paling penting dengan unsur 5W + 1H yang akan menjadi pegangan penulisannya. Tetapi tidak demikian halnya dengan penulisan blog atau fcebook. Yang terjadi ialah sebahagian besar penulis blog dan Facebook hanya menulis sesedap rasa sehingga akhirnya terperangkap dalam jerat peraturan dan undang-undang. 

Memang seronok menulis secara hentam kromo, ikut perasaan, tapi penulis sembrono begini perlu memikul tanggungjawab dan mengambil risiko jika terjerumus dn terperngkap. Ada baiknya para bloger, penulis Facebook dan yang lin-lain, tidak terkecuali twitter belajar asas-asas kewartawanan supaya mereka dapat mengelak daripada terjebak ke dalam perangkap "maut" peraturan dan undang-undang. Ketika menulis mereka perlu mengingatkan diri akan impak dan akibat. Sebabnya mereka menulis untuk disasarkan kepada kelompok manusia, yang juga mempunyai rasa dan perasaan. Rasa dan perasaan ini dikawal oleh peraturan dan undang-undang.

Di bawah ini saya salin semula rencana Imlan Adabi yang dipetik daripada Berita Harian, 25 Julai 2011 agar setiap penulis blog, Facebook atau Twit dapat memahami selok-belok penulisan yang tidak membwa akibat kepada audien publik:

"Media internet jadi senjata penulis tak beretika racuni minda masyarakat"

TIDAK ramai yang mengenali Amizudin Ahmat sebelum ini. Dia sekadar penulis blog yang tulisannya kurang mendapat perhatian umum. Tetapi gara-gara ‘laporan’ yang dimuatkan dalam blognya, dia akhirnya disebut dan ada yang mempercayai kebenarannya.

Bagaimanapun, pengendali laman sharpshooterblogger.blogspot.com yang diheret ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terpaksa akur kepada kebenaran fakta. Dalam bidang kewartawanan, ketepatan dan kesahihan fakta bakal menentukan kewibawaan sesebuah berita dan rencana. Hal ini yang membezakan kewartawanan sebenar dengan penulis blog, portal berita dan catatan di facebook.

Tradisi kewartawanan yang ada di media arus perdana dan stesen penyiaran berdasarkan fakta dan etika, berbeza tulisan di laman web dan blog yang boleh menulis apa saja, termasuk menuduh seseorang melakukan perbuatan rogol atau bunuh tanpa sebarang bukti.Amizudin diarah membayar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim RM400,000 berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol pembantu rumah Indonesia.

Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blognya pada 28 Disember lalu. Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah Mohd Yusof, berkata selepas mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.

Hakim mendapati fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan saja reputasi Rais akan terjejas pada peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga. Mahkamah memutuskan tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan. Zabariah berkata, fitnah itu membabitkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang.

Katanya, artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja, termasuk di luar negara.

Kes terbaru ini membuktikan isu blog dan internet tidak pernah reda. Penulis bebas menulis apa saja seolah-olah mereka mengetahui setiap kejadian dan boleh berperanan sebagai hakim untuk menentukan seseorang melakukan kesalahan.

Sebelum ini seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 Mei lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman terhadap Tajulzairi Tajuddin, apabila dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Seorang belia berusia 29 tahun pula ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukataruna, akhirnya ditahan di Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 0gos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai membenci polis.

Penulis dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 kerana didapati boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

Seorang lagi penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan mengikut Akta Hasutan pada September 2008 kerana membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Semua mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan dan perundangan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia. Jika internet yang sepatutnya digunakan untuk menyebarkan maklumat diseleweng, kita tidak tahu bagaimana pembaca boleh menghargai sebarang bentuk tulisan yang boleh memberi kesan kepada masyarakat itu sendiri.

Amat malang jika teknologi maklumat disalah guna kerana ledakan media penyiaran sepatutnya seiring perkembangan tamadun manusia itu sendiri. Penulis juga mendapati beberapa catatan di facebook tidak terkecuali mempunyai unsur yang boleh dikaitkan dengan Akta Hasutan. Isu perhimpunan haram 9 Julai disensasikan. Ada yang menggunakan facebook untuk mengecam pihak yang bertentangan fahaman politik. Tidak terkecuali juga media sosial menjadi alat menjatuhkan hukuman kepada pihak lawan.

Jika keadaan ini berterusan, laman web, blog dan facebook sekadar media murahan yang bertentangan konsep sebenar media baru. Kita tentunya rugi jika tradisi kewartawanan diperlekehkan oleh segelintir golongan yang jahil. Tentunya lebih rugi jika penulis tidak berilmu terus kekal dengan laporan yang tidak manusiawi!

Saturday 16 July 2011

Erti Sebuah Perjuangan menurut Pak Samad Said.


                                                      Datuk A Samad Said di Bersih 2.0
  
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said adalah bos saya ketika saya bertugas sebagai Kaadet Wartawan di Berita Harian pada tahun 1971. Hampir 40 tahun yang lalu. Sehingga hari ini kalau bertemu Pak Samad (panggilan kami ketika bertugas adalah Encik Samad) tak lupa saya bertanya khabar. 

Entah bila saya bertemu kali terakhir saya ingat-ingat lupa.Barangkali di lobi sebuah hotel terkemuka selepas majlis Penyampaian Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, lama dulu. Maka apabila saya membaca Pak Samad terlibat aktif dalam Bersih 2.0 baru-baru ini, saya terkejut juga. Bukan kenapa, hanya beliau sahaja yang kelihatan. Tidak ada pula penulis sasterawan yang lain ikut serta. Barangkali ada, cuma tak jumpa. Lagi pula saya tidak keluar ke Kuala Lumpur pada 9 Julai itu. 

terfikir pula mengapa tidak ramai yang mengiringi Pak Samd dalam Bersih 2.0. Barangkali sikap Pak Samad dengan sasterawan-sasterawan lain tak serupa. Cara berfikir berlainan. Mungkin juga ada yang menyokong Bersih 2.0 tetapi lebih selamat tinggal di rumah sahaja. Apapun, sikap dan tindakan Pak Samad di Bersih 2.0 ditanggapi bercampur-campur oleh kalangan penulis. Cuma apa yang ingin ditimubulkan di sini ialah kesan daripda menyertai Bersih 2.0 secara terang-terangan begitu. Pak Samad kelihatan senang, malah memberi komentar bahawa beliau kagum dengan respons yang ditunjukkan peserta Bersih 2.0 yang terdiri daripada kalangan pelbagai bangsa. Walaupun para bolger banyak menyebut hampir 98% yang menyerti Bersih 2.0 terdiri daripada satu kelompok kaum  sahaja, iaitu orang Melayu. 

Impaknya biarlah sejarah menentukan. Motifnya biarlah masa yang menentukan. Tapi buat Pak Samad apa yang diikrarkannya dalam blog "Anak Seberang" di bawah ini boleh meyakinkan dunia persuratan tentang tekadnya, mulai saat itu. Dahulu Pak Samad pernah mogok dua kali hanya kerana masalah royalti dan kaitannya dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam petikan di bawah ini Anak Seberang menulis:

"Jangan perasan A Samad Said siapa nak jemput hang by anak seberang 15 julai 2011

                                                      Ambiga yang mengetuai Bersih 2.0.



Sasterawan negara yang lupa daratan telah mengeluarkan kenyataan kononnya dia akan 'memulaukan' dan tidak akan hadir di semua majlis / program anjuran kerajaan selepas ini ekoran isu bershit tempohari.

Elok la Pak Samad yang lupa diri, AS pun nak cadangkan mana-mana jabatan/kementerian dalam Kerajaan sekalipun lepas ni tak perlu nak jemput orang tua tak sedar diri ini.

Dia lupa jasa kerajaan yang mengangkat 'darjat'nya sebegitu tinggi dari seniman haprak jalana hingga dinobatkan menjadi sasterawannegara dan mengecapi pelbagai kemewahan hasil dari jadi sasterwan negara.

Kalau takat nak bersajak, berpuisi dan jadi anak seni, ramai lagi anak muda yang boleh digilap bakat mereka boleh jadi lebih baekk dari Pak Samad".(
Jangan perasan A Samad Said siapa nak jemput hang by anak seberang 15 julai 2011)


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).