Wednesday 25 April 2012

DARI RANAH MINANG KE PEKAN BARU


Penerbit Jejak Bahasa DBP-TV3  sedang berbincang dengan A.A.Navis dan Wisran Hadi sambil diperhatikan Othman Ismail, Alias Hj Yusof sebelum memulakan penggambaran di kediaman A.A. Navis di Padang pada tahun 2001.

 


CATATAN A.F YASSIN


JELAJAH BAHASA BUKIT TINGGI PEKAN BARU



Perjalanan tujuh jam dari Bukit Tinggi ke Pekan Baru di Sumatera melelahkan. Penerbit Jejak Bahasa dari TV3, Zailan Abdul Rahman malah terpaksa menekan perut sepanjang perjalanan kerana mual dan sakit-sakitan. Katanya, “Sudah tiga kali saya buang air sejak pagi.”

 Ada yang kata Zailan terkena cirit-birit kerana m akan tidak menentu. Hal ini ditambah pula dengan makan nasi padang, pagi dan petang tanpa mengira masa. Zailan merupakan orang kesepuluh daripada sebelas anggota rombongan Jejak Bahasa ke seluruh Sumatera dan Jakarta yang terkena cirit-birit ini. Saya juga melihat jurukamera, Mohamad Fitri Maat berwajah lesu dan pucat sahaja. Barangkali penyakit cirit-biritnya belum sembuh betul. Goncangan bas sepanjang perjalanan menambah derita kru TV3 yang dua ini.

 Pada hari pertama di Pekan Baru, ibukota Propinsi Riau, tiada penggambaran dijalakan untuk merehatkan mereka. Sebaliknya satu post-mortem diadakan untuk menilai kualiti penggambaran pada hari terakhir di Sumatera Barat. Istana Besar Pagar Ruyung dijadikan objek penggambaran. Perantara kami, Wisran hadi, yang baru sahaja menerima anugerah SEA Write Award di Bangkok baru-baru ini menjelaskan orang Minang menganggap bahasa Minang dengan bahasa Melayu erat hubungannya dengan bahasa Melayu. Katanya persamaan kedua-dua bahasa itu terlalu besar untuk melihat perbezaannya yang tidak seberapa.

 Menurutnya ada juga ahli bahasa yang berkata bahawa bahasa Minang itu sebenarnya bahasa Melayu tetapi mempunyai dialek Minang. Walaupun Wisran tidak setuju dengan pendapat ini, namun Wisran sependapat dengan pengarang A.A. Navis bahawa dua bahasa ini identikal, terutama dalam kata perbilangan. Bagaimanapun, yang menarik di ranah Minang ini ialah sejarahnya.
Bergambar ramai di rumah A.A.Navis di Padang tahun 2001. Kelihatan dari kiri Dato' Prof. Dr. Asmah Hj. Omar, Dr. Awang Sariyan, Zailan Abd. Rahman, A.A. Navis, Wan Sakinah (empat kanan), Azura Abd. Karim, A.F.Yassin dan Othman Ismail.
 Berdasarkan tambo dan kaba, satu ketika dahulu ada tiga orang anak Raja Iskandar Zulkarnain dari Mesedonia. Yang tua bernama Maharajo Alif, yang tengah bernama Maharaja Depang dan yang bongsu bernama Mahara Dirajo. Ketika belayar mereka bergaduh sesama sendiri sehingga mereka menghala ke tujuan masing-masing.

 Maharaja Alif belayar ke barat lalu menjadi raja di Bizantium. Mahajara Depang menuju  timur lalu menjadi raja di China dan Jepun sementara Maharaja Dirajo menuju selatan.Kapalnya kemudian tersangkut di puncak Gunung Merapi yang ketika itu kawasan sekitarnya ditenggelami air. Setelah air surut Maharaja Dirajo turun dari puncak itu dan berbuat negeri. Konon ceritanya, Puncak Merapi itu adalah asal alam Minangkabau di samping Singgalang, Tandikat dan Sago.

 Menurut sejarah, Kerajaan Pagar ruyung  di Batu Sangkar didirikan oleh seorang raja dari Jawa, bernama Adityawarman. Kerajaan ini adalah lanjutan daripada kerajaan  di Jambi. Dan Adityawarman merupakan raja pertama Pagar Ruyung. Kerajaan ini bertahan sehingga tahun 1809 apabila ia dimusnahkan oleh pasukan Tuanku Lelo dari Angkatan Perang Padri.

 Apabila Belanda menguasai seluruh wilayah minangkabau pada tahun 1840 bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah. Sementara itu sekolah guru yang pertama didirikan di Bukit Tinggi pada tahun 1855. Sekolah ini akhirnya dikenali dengan sekolah raja. Sedikit demi sedikit bahasa Melayu di sekolah itu ditingkatkan  fungsinya sehingga menjadi bahasa penyampai ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu dipelajari secara mendalam termasuk kaedah tata bahasanya. Kemudian dibuka pula sekolah yang berteraskan pendidikan agama Islam. Ramai orang Minang memanfatkan sekolah ini dan antara tokoh agama yang lahir hasil pendidikan agama ini ialah Sheikh Ahmaf Khaten dari Bukit Tinggi, Sheikh Muhamd Thaher Jalaluddin, juga dari Bukit Tinggi dan Hamka sendiri dari Danau Maninjau. Bahasa Melayu berkembang dengan lahirnya beberapa hasil karya pengarang asal Minang.

 Hari ini kita tidak dapat menidakkan peranan pengarang asal Minang dalam memerkaya bahasa Melayu yang sejak tahun 1928 dinamakan bahasa Indonesia. Antara yang patut disebut ialah Marah Rosli, seorang doktor haiwan yang menghasilkan “Siti Nurbaya” (1922), Nur Sutan Iskandar dengan “apa Dayaku Kerana Aku Perempuan”(1922), Abdul Muis dengan “Salah Asuhan”. Sementara Hamka pula dengan hasil karyanya “Di Bawah Lindungan Kaabah”(1936), “Tenggelamnya Kapal Van der Wijck”(1938) dan “Di Dalam Lembah Kehidupan”(1940).

 Khamis 16 November Penggambaran dimulakan di tingkat teratas Hotel Mutiara Merdeka, Pekan Baru. Suasana Pekan Baru disorot dari satu tempat tinggi secara panoramik. Ini dilanjutkan ke Pasar Cik Puan di tengah-tengah kota. Penggambaran setiap unsur memakan masa hampir tiga jam. Penyakit cirit-birit Muhamad Fitri kambuh lagi. Maka mahu tidak mahu sesi penggambaran untuk hari itu ditamatkan secara mendadak dan semua anggota kru pulang ke hotel. Untung juga hotel yang kami tumpangi agak selesa.

 Sebenarnya ketika sampai di Pekan Baru, kira-kira pukul lapan malam, rombongan ditempatkan di sebuah hotel tiga bintang di pusat kota. Namun setiap anggota rombongan mengadu kamar tidak layak digunakan. Bilik airnya terlalu dhaif sehingga ada anggota yang mengadu tidak selesa untuk dimanfaatkan. Pengacara Azura Karim dan saya sendiri terpaksa pindah bilik apabila mendapati ada tikus di kamar kami masing-masing. Datuk Profesor Emeritus Dr Asmah Hj Omar terpaksa kembali semula ke lobi membuat aduan bahawa kamarnya ada nyamuk. Jurulampu, Mohd Khaidir Abul Abas pula mengadu air paipnya berlumut. Dia tidak mandi malam itu.

Mahu pindah hotel hari sudah malam, maka mahu tidak mahu terpaksalah setiap anggota menanggung azab tidur di kamar yang dhaif demikian. Ketua projek, Othman Ismail langsung tidak terkata malam itu melihat azab menginap di hotel tiga bintang ini. Othman memutuskan untuk pindah ke hotel yang lebih baik esoknya. Ada seorang anggota rombongan yang menganggap pengalaman beberapa hari ini sebagai sudah jatuh ditimpa tangga. Setelah terkena penyakit cirit-birit, mereka tidur di kamar hotel yang mempunyai masalah asas. Katanya, “Barangkali kita terlau lama mengadakan penggambaran.Maklum dari Tanjung Pinang, Pulau Daik, Batam, Jakarta, Bandung, Padang, Bukit Tinggi dan kini Pekan Baru. Sudah tiga minggu kita mengembara menjejaki bahasa. Dan ia meletihkan.”

 Kurang jelas apakah rombongan boleh menghabiskan baki perjalanan ke Palembang, Jambi, Bangka dan Medan hingga 28 November depan. Othman telah mula mencongak-congak. Dia tidak mahu menunda kepulangan lebih lama daripada yang telah dijadualkan, Jika perlu penggambaran di Medan akan ditangguhkan hingga selepas puasa. Dan ini tentunya akan melibatkan penjadualan semula pakej kedua penggambaran ke Kalimantan, Sulawesi, Brunei, Singapura dan seluruh negeri di Sememnanjung Malaysia. Apapun jua Othman akan berbincang terlebih dahulu dengan Zailan sebagai pengarah (sutradara) Jejak Bahasa.

 Selama di Pekan Baru beberapa unsur penggambaran telah dikenal pasti dan dibincangkan dengan Dr Yusmar Yusuf, yang dilantik menjadi seranta rombongan  untuk sektor Pekan Baru. Yusmar adalah ketua Pusat Pengajian dan Kebudyaan Melayu, Universiti Riau. Antara objek penggambaran ialah universiti Riau sendiri, kawasan Pelalawan (Kampar Tua), tempat pemakaman Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir Melaka dan Tun Fatimah, Siak dan jika waktu mengizinkan ibu pejabat akhbar Riau Pos.

 Penggambaran akan memperlihatkan pengembangan bahasa Melayu Riau yang dikatakan adalah pecahan daripada bahasa Melayu Johor-Riau. Bahasa Melayu Riau ini adalah kesinambungan daripada bahasa Melayu kerajaan Melaka. Setelah Melaka dialahkan Portugis, Kerajaan Melaka berpindah ke Johor dan kemudian ke Riau. Bagaimanapun perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824 menyebabkan Johor Riau berpecah. Johor dikuasai Inggeris dan Riau oleh Belanda.

 Belanda menjadikan bahasa Melayu Riau sebagai alat perhubungan dengan penduduk pribumi di Nusantara. Banyak sekolah Melayu dibuka di luar daerah Melayu Riau, seperti di Sumatera Timur dan Indonesia Timur. Berasaskan bahasa Melayu Riau inilah bahasa Indonesia diwujudkan melalui sumpah terkenal Sumpah Pemuda tahun 1928.

 Sekarang, bahasa Melayu Riau hanya berstatus bahasa daerah. Jumlah penuturnya sekitar  satu setengah juta orang. Ia dibahagian kepada dua dialek terbesar, iaitu dialek Melayu Riau Kepulauan dan dialek Melayu Riau Daratan. Dialek Riau Kepulauan dituturkan oleh penduduk-penduduk yang tersebar di gugusan pulau Bentan, Pulau Lingga (Daik), Pulau Serasan, Pulau Tambelan, Pulau Tujuh, Pulau Bingaran dan Pulau Natuna. Dialek ini juga dituturkan oleh masyarakat di Bengkalis, Bukitbatu, Siak dan daerah yang meliputi Propinsi Sumatera timur. Manakala dialek daratan  tersebar di Dumai, Bangkinang, Kuala Kampar, Kubu, Tembusai dan Lubuk Jambi, sekadar menamakan beberapa tempat.

 Rombongan akan menjejaki kedua-dua dialek ini dalam pakej penggambarannya. Yang menjadi masaalah nanti ialah bagaimana melihat perkembangan bahasa Melayu Riau ini dari sudut visual. Menjadi beban tugas Zailan sebagai sutradara untuk mencipta secara kreatif imej-imej bahasa dalam bentuk bingkai-bingkai kecil filemnya.

Pekan Baru, Riau, 17 November 2000.
Tersiar di Utusan Zaman

      


Saturday 21 April 2012

PERJALANAN CIKGU ARIFF ASAS'50 DI RUMAH GAPENA

Cikgu Ariff (duduk kiri) bersama SN Dato' Abdullah Hussein di rumah Gapena ketika melancarkan buku Cikgu Ariff. Berdiri di belakang sasterawan Singapura, Masuri SN (kanan) dan A.F.Yassin.Foto tahun 19 Jun 2004.


Perjalanan MAS Di Rumah Gapena

Oleh A.F.Yassin

 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) maju selangkah lagi apabila melancarkan buku warganegara asing di Rumahnya di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur 19 Jun 2004 lalu. Sedikit luar biasa bagi sesetengah penulis di Kuala Lumpur. Mengapa buku penulis luar bukan buku penulis Malaysia sendiri? Inilah yang difikirkan sebaik sahaja menerima kad jemputan Gapena beberapa minggu lalu. Dalam kad jemputan itu tertulis antara atur acaranya “Pelancaran Memoir Perjalanan MAS”. Pelancaran pula akan dirasmikan oleh Dato’ Siti Azizah,  Ketua Setiausaha Kementeri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Majlis pelancaran ini mendahului acara induk Dialog Kebudayaan Melayu Malaysia-Singapura.

 Mengapa tidak?  Jawapan spontan seorang penulis Malaysia yang turut hadir dalam majlis dialog itu Sabtu lalu. “Kita kena tengok buku siapa yang kita lancarkan. Ini buku Mohamad Ariff Ahmad, pengasas dan bekas Ketua Satu ASAS ’50. Dan lagi kalau awak nak tahu Mohamad Ariff lulusan maktab perguruan Tanjung Malim. Dan kalau nak tahu lagi, dulu waktu cikgu Arif belajar di Tanjung Malim tak ada itu apa yang disebut negara Singapura,” ujar penulis itu.

 Penulis yang sudah berumur juga ini barangkali berasa tersinggung apabila soalan itu diajukan kepadanya. Atau mungkin juga dia sedang meluahkan emosi kecintaannya terhadap apa yang disebut Melayu yang sekarang ini mula diperlekeh sesetengah pihak. Tanggapan kedua ini mungkin benar kerana daripada perbualan pendek dengnnya, dapat disimpulkan bahawa semangat Melayunya cukup tinggi. Baginya Ariff adalah simbol Melayu yang kental dengn semangat Melayunya, walaupun dia kini adalah warga minoriti di sebuah negara pulau yang dulunya sebuah negeri Melayu jua.

 Ariff adalah penyambung rantaian Melayu di kedua-dua seberang tambak dan di Singapura sendiri Ariff adalah lambang survival bangsa minoriti Melayu di Singapura. “Terima kasih kepada Tanjung Malim yang telah meniupkan semangat Melayu dalam rongganya. Dan hari ini dia tunjukkan semangat kecintaan semangat itu dengan mengizinkan memoir perjalanannya dilancarkan di Kuala Lumpur.”

 Cadangan untuk melancarkan buku Ariff ini berpunca daripada pertemuan Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussain dan ketua duanya, Datuk Latiff Bakar dengan Ariff dan Zulkifly, Presiden Majlis Pusat Pertubuhan Budaya Melayu Singapura beberapa minggu sebelum ini. Kedua-dua pihak tertarik dengan cadangan untuk melancarkan memoir Ariff buat kali keduanya di Rumah Gapena. Semuanya atas dasar persamaan bahawa Ariff, bekas pelajar SITC dan bekas guru sekolah Melayu. Ariff adalah antara warga golongan seperti yang disbut Prof. Madya Zainal Abidin Borhan dalam dialog pagi itu, “agamawan-wartawan-sasterawan yang menyedari hakikat kewujudan sebuah bangsa.” Golongan ini berkongres untuk meletakkan bahasa Melayu, sastera Melayu dan tulisan Melayu sebagai wadah pentauan. Sementara menurut Zainal Abidin kongres persuratan dan bahasa Melayu, Kongres Melayu, Kongres Kebudayaan Melayu merupakan wadah pertemuan dan penyatuan meletakkan gagasan kebangsaan.

 Ketika perjuangan berada pada tahap puncaknya, entiti dua negara Malaysia dan adalah satu dari sudut geo-politiknya dan sisa satu entiti itu masih jelas benar dari sudut geo-budayanya. Dan semasa berlangsungnya majlis pelancaran memoir perjalanan Ariff dan dialog kebudayaan Melayu di Rumah Gapena, suasana  keMelayuan itu amat terasa. Malah 29 orang Melayu dari Singapura itu bagaikan tinggal sekampung dengan puluhan lagi Melayu dari Malaysia yang memenuhi jemputan Gapena hari itu.

 Meilhat Arif duduk bersama-sama dengan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein, Cikgu Hassan Ali dan Ismail, Djamal Tukimin pula bersama dengan Prof. Madya Dr. Solehah Ishak, dan Masuri SN dipelawan makan tengah hari oleh Abd. Rahim Marsidi (pensyarah UPM) di restoran  masakan ala Jakarta di Kg. Baru, bagaikan tidak wujud langsung rasa rasa keterasingan antara mereka. Orang tidak akan percaya melihat kemesraan orang Melayu dari dua negara itu sebenarnya dipisahkan oleh hanya politik dn kuasa.

 Ariff adalah ikon orang Melayu Singapura, malah Ariff boleh juga dianggap sebagai ikon ASAS ’50, tanpanya tidak mungkin sasterawan tanah air seperti Usman Awang, Asraf,  atau Awal il-Sarkam ditokohkan seperti adanya hari ini. Datuk Yaakob Isa, dari Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang memperkenalkan Memoir Perjalanan MAS di majlis itu menyebut betapa nama Ariff dikenali dengan akrab di kalangan pelajar-pelajar Singapura yang sedang belajar di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Menurut Yaakob, “Bagi pelajar ini, cikgu Ariff adalah  orang yang sangat baik, orang yang banyak sekali menolong orang Melayu Singapura, penulis, pengarang, pendidik dan tokoh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Mereka sekata menganggap semua orang Melayu  Singapura mesti mengenali Cikgu Ariff.”

Buku memoir perjalanan cikgu Ariff ini adalah tentang pengalaman dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan dengan tokoh sentralnya Mohamad Ariff Ahmad. Kata Yaakob, “Perjalanan Mas membawa kita mengkagumi kecekalan seorang guru Melayu yang berkhidmat di pelbagai arena dalam sebuah negara republik yang bangsa Melayu merupakan minoriti yang nampaknya tidak pernah menjadikan Cikgu Ariff terpencil atau memencilkan dirinya daripada arus perdana pembangunan negaranya. Inilah sebenarnya semangat perjuangan guru Melayu yang ditanamkan oleh tokoh-tokoh pendidik yang menjadi tenaga pengajar di SITC dan tetap subur dan menjiwai peribadi Cikgu Ariff.”

 Begitu mendalamnya hubungan Ariff dengan SITC, khususnya dan Semenanjung Tanah Melayu (Malaya ketika itu) sehingga beliau sanggup berundur  dari kegiatan yang diadakan oleh Persatuan Guru-guru Melayu Singapura. Pengundurannya ini berpunca daripada keputusan Sekolah Melayu Kota Raja menolak permohonan Ariff dan teman-temannya untuk  menggunakan dewan sekolah berkenaan untuk tempat mengadakan Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya. Yaakob menulis, “Ingin juga kita mengetahui siapakah guru besar sekolah Melayu Kota Raja yang tergamak hatinya menolak permohonan Cikgu Ariff dan teman-temannya.”

 Satu isu paling menarik dalam memoir ini ialah  soal penggunaan tulisan Jawi. Badan kerabat yang menyertai Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya berbeza pendapat tentang isu ini. Ada yang setuju tulisan Jawi digantikan dengan tulisan rumi ( di sekolah-sekolah?) dan membiarkan Jawi hanya dalam pengajaran agama Islam. Dalam pengundian yang dijalankan kemudian, ternyata majoriti mahukan  tulisan Jawi hanya untuk agama Islam, manakala tulisan rumi menjadi tulisan rasmi. Dengan keputuan ini Ariff menyimpulkan ada kecenderungan pada penulis Melayu “menggunakan tulisan rumi sebagai tulisan bagi Persuratan Melayu Se-Malaya.”

 Ariff datang bertongkat ke Rumah Gapena, hanya mahu melibatkan diri sepenuhnya dengan pelancaran bukunya. Lebih-lebih lagi pelancaran ini merupakan sebahagian daripada acara Dialog  Kebudayaan Melayu Malaysia-Singapura yang julung-julung kali diadakan. Seperti kata Ismail dalam ucapan sambutan dialog kebudayaan Melayu ini bakal menjadi agenda tahunan dan dialog di Rumah Gapena merupakan yang pertama dan akan diikuti dengan yang kedua kemudian nanti. Mungkin sahaja giliran Singapura pula mengadakannya.

 Mana tahu jika nanti sampai giliran Singapura, dan Majlis Pusat Pusat Pertubuhan  Budaya Melayu Singapura  menjadi penganjurnya, ada pula memoir seorang tokoh nasionalis Melayu dari Malaysia yang boleh dilancarkan di pulau republik itu. Tentunya memori itu dikaitkan pula dengan ibu kandung suluh budiman, dengan anak-anaknya kini telah menjadi tokoh besar dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan sedarjat dengan ketokohan Ariff dan Masuri SN di Singapura.

 Dan dalam hal ini tidak ada yang luar biasanya melancarkan buku Malaysia di Singapura, selagi hubungan erat kebudayaan antara Melayu Singapura dengan Melayu Malaysia terus bertahan. Sememangnya begitulah, jika diambil kira pandangan Djamal Tukimin (Singapura) dalam kertas kerjanya “Kemelayuan, Sesuatu Yang Mulai Terhakis Dan Cuba Didakap Kembali....Asing Tapi Mesra.” Kata Djamal, “Masih banyak juga dengan semangat kental menganggapnya sampai bila-bila pun Melayu tidak akan hilang di dunia.” (Dipetik daripada Utusan Melayu Mingguan 4 - 11 Julai 2004). 












Friday 20 April 2012

ZAINAL RASHID TUMBUK MEJA DAN KEMALA SEDIH!!

 

 

Sasterawan Negara Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (kemala) sewaktu mendeklamasikan puisi di salah satu acra kegiatan sastera di Kuala Lumpur. 

Entah kerana geram, atau entah kerana marah penulis berbakat Zainal Rashid Ahmad menumbuk meja dalam satu forum penulis muda di Rumah Pena sempena mesyuarat agung Pena dua minggu lalu. Khabarnya Zainal memperagakan emosinya kerana kononnya penulis muda dihalang daripada menjadi anggota persatuan penulis. Mengapa mereka dihalang tidak pula dijelaskan. Namun ada andaian bahawa para pemimpin persatuan, rata-rata penulis mapan, kontemporer dan bukan kontemporer,  bimbang akan kehadiran penulis muda. Mereka mungkin tercabar  jika penulis muda beramai-ramai mendaftar sebagai ahli.


 Jika kebimbangan ini benar maka ia tentunya menimbulkan suasana yang kurang sihat dari segi hubungan antara penulis lama (baca: mapan) dan baru (baca: muda). Seolah-olah telah terbentuk satu jurang  (fizikal dan mental) antara kedua-dua golongan. Bukan tidak mungkin ada di kalangan penulis baru ini yang merasakan mereka dipinggirkan dalam arus perdana persatuan. Malah sudah ada yang tanpa ragu-ragu berkata “orang lama takut dengan orang baru kerana idea dan pemikiran mereka (orang baru) lebih ke depan dan bersifat lebih intelektual. Orang lama masih kolot idea dan konservatif.”

 Masalah orang baru dipinggirkan orang lama ini bukan cerita baru. Masih ingatkah  krisis Pena satu ketika dahulu yang melibatkan Yahya Ismail, Maarof Saad dan kemudian Dato’Ahamd Sebi. Yahya didakwa  terbabit dengan sebuah parti politik dan sebagai ketua sebuah persatuan penulis, Yahya dicabar untuk tidak mengaitkan dirinya atau melibatkan persatuan dengan parti politik. Dalam pertandingan kemudiannya Yahya dikalahkan oleh Maarof Saad yang ketika itu mendapat sokongan padu dari kalangan penulis baru. Maarof kemudian dikalahkan pula oleh Dato’ Ahmad Sebi  Bakar yang juga didukung oleh penulis-penulis baru.

 Kemudian, masih ingatkah  semangat berpuak-puak di kalangan perwakilan Gapena dalam pemilihan jawatankuasa pada tahun 1990an dahulu? Ketika itu timbul cerita, entah benar atau tidak, tentang wujudnya dua kumpulan, yang bersaing sengit merebut jawatan. Dilaporkan kumpulan yang mencabar kumpulan inkumban telah pun mewujudkan satu “kabinet bayangan” dalam usaha memenangi pemilihan. Malah ada perwakilan yang telah dipujuk untuk memilih calon mereka. Kempen memujuk perwakilan ini persis kempen UMNO menjelang pemilihan ahli majlis tertingginya.

 Sikap dan kegiatan kumpulan ini kurang disenangi ramai kerabat Gapena. Walaupun kegiatan itu sudah menjadi sejarah tetapi kesan sampingannya dapat dirasakan hingga ke hari ini. Kecenderungan di kalangan inkumban untuk mengekalkan status quo walau dengan secara apa sekalipun, mungkin boleh dikaitkan akhirnya dengan insiden menumbuk meja Zainal Rashid.

 Lagi pula, seperti yang dijelaskan seorang anggota seumur hidup Pena satu ketika dahulu, “Menjadi anggota persatuan ini tidak ada kena mengena dengan wawasan dan pemikiran yang baru atau yang intelektual. Saya lebih melihatnya sebagai satu usaha untuk mengubah pucuk pemimpin untuk kemudian menguasai persatuan. Tidak timbul soal boleh menjadi ahli atau tidak dalam persatuan. Sebabnya setelah seorang baru dipilih memimpin persatuan dia juga akan berbuat seperti apa yang dilakukan pemimpin  sebelumnya, iaitu cuba mengekalkan kuasa dengan menghalang pendaftaran baru.”

Ada yang mencadangkan agar golongan yang melepas geram ini menubuhkan persatuan baru dan kemudian memohon untuk menganggotai  Gapena. Malah inilah yang terjadi di Melaka yang kini mempunyai empat persatuan yang bergabung dengan badan induk penulis itu. Di Selangor dan Kuala Lumpur pula ada beberapa buah persatuan yang turut menjadi anggota kerabat Gapena. Ada Kalam, ada Kemudi dan ada Persatuan Penulis Selangor. Mana tahu tidak lama lagi Angkatan Penyair Malaysia (APM) yang ditubuhkan di Tanjung Karang tidak lama dahulu  akan memohon menjadi anggota.

 Presidennya, Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pernah meluahkan rasa kecewanya dengan keadaan persatuan penulis sekarang ini. Pernah Kemala bersuara melalui e-mel bagaimana sulitnya “hendak membina sesuatu yang baru, idealisme kini berdepan dengan tuntutan materi. Kalau bertemu pun setahun sekali. Dalam mesyuarat agung Pena, misalnya, asyik mendengar ucapan ketua satu yang tak pernah berubah. Saranan kita tidak dipedulikan langsung; dan adik-adik kita sudah pandai pula menghentak meja.”

 Kemala turut sedih dengan keadaan bahasa dan sastera yang mulai merosot dari sudut politik, budaya dan politik pemerintah. Katanya lagi, “Gapena-DBP-RTM-institusi perguruan tinggi semakin renggang dan takut pada bayang-bayang kebenaran.” Walaupun kelihatannya Kemala seperti memperjuangkan kehadiran penulis muda, namun Kemala tetap mempunyai kecenderungan untuk terus kekal mempertahankan kehadiran penulis lama atau mapan. Seperti katanya, “Kau lihat RTM mana pernah undang penyair  mapan yang kontemporer dalam deklamasi Angkasapuri, mereka anggap kami ini teroris agaknya?”

 Soalan Kemala ini memang tidak sukar dijawab, jika kita kaitkan dengan insiden Zainal Rashid menghentak meja. Jika benarlah seperti dakwaan Kemala itu, maka ia berpunca daripada sikap berpuak-puak di kalangan penulis sendiri. Satu golongan penulis ( golongan muda?) yang tertancap pengaruhnya di institusi penyiaran kerajaan itu akan berusaha mengekalkan pengaruhnya di RTM. Walaupun Kemala tidak menyebut siapa penyair mapan yang kentemporer itu namun tidak susah untuk mengagak jika ada yang bersungguh-sungguh mengikuti acara deklamasi sajak Angkasapuri.

 Akhirnya kita kembali ke punca insiden Zainal Rashid menumbuk meja. Dalam satu majlis bukan sastera yang diadakan baru-baru ini, seorang penulis mapan bertanya kepada saya, “Kalau penulis yang menghentak meja itu ditakdirkan menjadi pemimpin sebuah persatuan nanti, apakah dia tidak akan terperanjat apabila nanti ada penulis lebih muda daripadanya  menumbuk meja pula atas sebab yang sama?” Untuk sementara waktu cukuplah kita dipaparkan dengan tumbukan meja Zainal dan rasa gundah Kemala. (Dipetik daripada Utusan Melayu Mingguan, 11-17 oktober 2003).  

 

  

Friday 13 April 2012

SOROTAN RAMLI ISIN TENTANG ADA TIKUS DI ATAS LOTENG

Pengulas Cerpen Utusan Zaman 1982, Dr. Ramli Isin, Alumni Univeritas Gajah Mada, Jogjakarta, Indonesia.Pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustka, Kuala Lumpur sebelum berpindah e UKM dn UPM di Jabatan Bahasa. Beliau kini menetp di Kampung Jiboi, Ampangan, Seremban.

Sorotan cerpen “Ada Tikus Di Atas Loteng”oleh Dr. Ramli Isin.

Walaupun cerpenis A.F.Yassin  mnggambarkan secara implisit atau samar-samar namun pada cerpen” Ada Tikus Di Atas Loteng” ini adalah menggambarkan tentang keadaan rumah setinggan atau umah haram yang terdapat  di sekitar kota kosmopolitan Kuala Lumpur ini, nmun walaupun rumah haram, rumah kilat, tetapi ini amat memberi erti  pada Said dan Salbiah, isterinya, kerana  mereka mendpat kebebasan dalam beberapa hal berbanding dengan sewaktu tinggal bersama keluarga. Bagi A.F.Yassin kebebasan itu amat penting pada kehidupan manusia.
Di samping itu  cerpenis A.F.Yassin menyisipkan pula unsur-unsur  yang mengganggu kebebasan manusia itu seperti yang digambarkan oleh Nora dalam  “Lampu, Lanting dan Ketuk-Ketuk” dengan mewujudkan  tentera Ya’juk dan Ma’jud. Bagaimanapun dalam cerpen “ Ada Tikus Di Atas Loteng” ini, A.F.Yassin mewujudkan  “tikus-tikus”  sebagai manusia. Tentu sahaja  segala yang berupa ancaman  dan gangguan itu akan ditentang semampu mungkin. Ini jelas digabarkan oleh A.F.Yassin melalui watak Said.

Namun ada kalanya  usaha-usaha penentangan itu berhasil baik dan ada kalanya sebaliknya. Begitulah yang dialami oleh Said dalam cerita ini. Bagaimanapun Said yang trajik dan aneh itu tentu sahaja  di luar dugaan pembaca mahupun isterinya. Apakah A.F.Yassin  sengaja memunculkan  “deux ex-machina ini di akhir ceritanya untuk melambangkan suatu kekalahan total Said terhadp musuhnya, tikus itu seperti yang ditimpakan oleh Shahnon Ahmad pada watak Jeha dalam novel “Ranjau Spanjang Jaan”, walaupun tidak mematikan watak Jeha seperti Said.
Dengan tidak menafikan  bahawa seseorang pengarng itu mempunyai kebebasan imaginasi, namun saya kira kemtian pada watak Said dengan cara demikian kurang mengesankan walaupun trajik sifatnya. …Perwatakan pada cerpen “Ada Tikus Di Atas Loteng” karya A.F.Yassin iu, walaupun cerpenis ini menampilkan perwatakan yang biasa dalam erti tidak kompleks (kecuali di bahagian akhirnya)  namun agak menarik dan hidup. (Sorottan Cerpen “Utusan Zaman” bulan Ogos 1982). 

Tuesday 3 April 2012

ALI MAJOD: JASANYA PADA PENSEL SEBATANG





Allhyarham Ali Majod ketika menghadiahkan salah sebuah buku remajanya kepada A.F.Yassin di Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2006.

Adalah diyakini, kalaulah bukan kerana cerpennya "Pensel Sebatang" nama Allahyarham Ali Majod tidak akan menjadi sehebat hari ini dalam bidang sastera umumnya, dan sastera remaja khususnya. Namanya "meletup setelah tersiarnya cerpen itu dalam Dewan Masyarakat, Oktober 1965. Lalu Allahyarham diletakkan sebaris dengan nama besar dalam bidang cerpen Malaysia. Dan selebihnya Allahyarham mengukir nama dalam bidang yang beliau minati sungguh, iaitu sastera remaja. Dua institusi Dewan Bahasa beliau menyumbang tenaga dan kepakaran, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan kemudian berhijrah pula ke Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia di Kuala Lumpur.

Ketika di DBP Kula Lumpur, saya mulai mengenalnya secara peribadi. Berbicara santai kadang-kadang di kantin DBP, bersama-sama teman-teman sekerja yang lain. Dr. Talib Samat, bekas pegawai DBP mungkin lebih akrab dengan Allahyarham. Begitu juga Jaafar Rahim dan Abdul Ahmad. Namun Allahyarham sangat rapat dengan Allahyarham Maarof Saad ketika Maarof mengambilnya bertugas dengan MASA Entreprise menerbitkan buku umum dan sastera kemudiannya.

Dalam artikel berikut Talib berperi tentang kisah Allahyarham Ali tentang sumbangannya dalam bidang sastera.
Asal Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan, Allahyrham amat pendiam orangnya dan ketika berbual, beliau tidak begitu "talkative", bercakap hanya seperlunya. 

UNTUNG nasib seseorang manusia tiada siapa yang mengetahui. Begitulah halnya apabila Datuk Jaafar Abdul Rahim menghantar SMS memberitahu sasterawan Ali Majod yang terkenal dengan cerpen Pensel Sebatang terlantar sakit dan lumpuh dan tidak boleh bercakap lagi.

Saya tidak berlengah lagi dan pada 18 Februari, bersama Jaafar dan seorang rakan lagi kami menziarahi Ali Majod di kediamannya di Subang Jaya. Kami melihat sendiri penderitaannya yang mengalami penyakit saraf sama seperti yang dialami oleh penulis lirik Allahyarham Seri Bayu dan bintang bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Penyakit ini menyebabkan Ali Majod lumpuh, tidak boleh bercakap dan berkomunikasi dengan menulis jika hendak bertanya sesuatu. Makanan pula terpaksa disalurkan menerusi tiub. Keadaan dirinya sulit sekali tetapi masih kenal kawan-kawannya yang datang berziarah.

Apabila saya tulis di kertas tanyakan apakah dia masih ingat saya lagi, dia tulis kembali mengatakan masih kenal lagi. Ketika itu kelihatan kegembiraan pada wajahnya yang tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata.

Ali Majod atau nama sebenarnya Mohd.Ali Majod adalah bekas Ketua Unit Buku Remaja, Bahagian Penerbitan Am, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1990-an. Saya pernah pernah bekerja bersamanya di unit berkenaan sebagai editor buku remaja. Sasterawan ini telah kembali ke rahmatullah pada 20 Mac lalu ketika berusia 72 tahun.

Saya tiba-tiba terkenang sewaktu bertugas di situ dan pernah menemaninya pergi ke Temerloh, Pahang untuk menemui Allahyarham Arman Sani yang novelnya Mat Kilau diciplak oleh seorang penulis lain dan berusaha menyelesaikan masalah itu agar tidak berpanjangan.

Saya sangat terharu dengan penderitaan yang dialami oleh Ali Majod. Kita tahu bagaimana pula dengan nasib kita nanti menjelang umur begitu jika diizinkan Allah. Sekiranya diteliti sumbangan Ali Majod dalam bidang kesusasteraan Malaysia cukup besar tetapi diabaikan golongan pengkritik tanah air. Jika ditelusuri pada era tahun 2000 , Ali Majod memiliki kolum khas di akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan untuk menilai dan mengulas cerpen-cerpen karya pengarang lama dan baru. Ulasan dan kritikan Ali Majod mendatangkan manfaat besar kepada para pengarang yang dikritik karyanya untuk diperbaiki lagi. Sumbangan bersejarah Ali Majod sewaktu beliau sihat itu memungkinkan beliau diiktiraf dalam penilaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) bagi kategori esei / kritikan tahun tertentu.

Sehingga kini tiada lagi pengkritik cerpen yang meneruskan tradisi Ali Majod itu dan cerpen-cerpen yang tersiar berlalu begitu sahaja tanpa sesiapa mengulas atau mengkritiknya.

Ali Majod yang pernah menggunakan nama samaran Malinas dilahirkan pada 12 September 1940 di Gemenceh, Negeri Sembilan. Beliau pernah bertugas sebagai guru di beberapa sekolah di Negeri Sembilan, tenaga pengajar di Universiti Malaya (1980), pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

Ali Majod pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim pada tahun 1958 hingga 1961 dan menyambung pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1975 hingga 1978.

Hadiah

Beliau menulis cerpen remaja, cerpen dewasa, novel remaja dan buku cerita kanak-kanak. Di antara kumpulan cerpen persendiriannya ialah Dalam Diri (DBP, 1974), Lampu-lampu Di Pelabuhan (DBP, 1982) dan Semacam Kepuasan (DBP). Kumpulan cerpen remajanya Sayang Si Tina memenangi hadiah pertama dalam penilaian Hadiah Sastera Remaja ESSO-GAPENA 1 pada tahun 1981 dan diterbitkan oleh DBP (1982). Beliau juga menghasilkan buku cerita kanak-kanak lnilah Ceritaku dan Ani Yang Sihat.

Ali Majod juga pernah menyusun biografi sahabatnya, Allahyarham Othman Puteh. Beliau juga menulis novel remaja Kasihanilah Dia (DBP) dan menyelenggara kumpulan cerpen remaja Biarkan Aku Sendiri (DBP, 1985) dan Impian Murni (DBP, 1986).

Bagaimanapun cerpennya, Pensel Sebatang (Dewan Masyarakat Oktober 1965) menyebabkan beliau cukup popular dan dikenali ramai. Cerpen Pensel Sebatang cukup kaya dengan ilmu psikologi kanak-kanak dan sering digunakan sebagai model pengajaran guru di sekolah untuk menyelami jiwa kanak-kanak. Para guru disaran membaca dan menghayati cerpen ini untuk menjadi guru yang berkualiti dan berperikemanusiaan kepada anak muridnya yang pelbagai ragam dan tingkah laku.

Pada tahun 1971 dan 1972, Ali Majod menerima Hadiah Karya Sastera untuk cerpennya, Penunggu (1971), Ngayau (1971) dan Semacam Kepuasan (1972). Beberapa buah cerpennya telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Jerman dan Rusia.

Sumbangan berkesan Ali Majod dalam dunia kesusasteraan termasuklah sebagai panel hakim peraduan mengarang cerpen bidang yang amat disenanginya. Antaranya termasuklah menjadi panel hakim Sayembara Penulisan Kreatif dan
Kritikan Sastera (bahagian cerpen) peringkat lnter-Varsiti, panel hakim peraduan mengarang cerpen antara sekolah-sekolah menengah berasrama penuh (1986) dan peraduan mengarang sastera remaja (Bahagian Cerpen) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1986).

Beliau juga banyak terlibat dalam membimbing penulis-penulis muda anjuran Minggu Penulis Remaja (MPR) DBP yang banyak melahirkan penulis-penulis terkenal dewasa ini. Cuma apakah mereka masih mengingati lagi sasterawan ini yang sudah kembali untuk selama-lamanya selepas meninggalkan banyak karya sebagai khazanah sastera? (Utusan Malaysia, "Jasa Ali Majod dalam Sastera", 1 April 2012)

 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).