Pak Matlob di rumah barunya di Kg. Semerah Darat, Batu Pahat.
Awal Februari 2010 yang lalu saya ke Batu Pahat mengunjungi Pak Matlob (Hj. Mokhtar Talib)yang telah berpindah ke rumah baru di Kg. Semerah Darat, kira-kira 1 km dari rumah lamanya di Kg Semerah Laut. Rumah barunya ini lebih selesa, tenang dan aman berbanding rumah lamanya yang terletak di tepi jalan besar Muar-Batu Pahat. Bagi Matlob, 72 tahun, suasana ini amat diperlukannya untuk terus menghidupkan cita-citanya untuk memberi pendidikan tak formal kepada anak-anak bangsanya.
Kali terakhir saya menemuinya adalah di Kuala Lumpur di rumah Kamaluddin Lela di Sungai Buloh bulan Mei 2009 lalu. Kami berbincang tentang penerbitan majalah kanak-kanak, bidang yang hampir sinonim dengan kehidupan Matlob, sebagai bekas pendidik. Inilah tokoh yang kita kenal dengan “pandai Jawinya”yang tersiar dalam Utusan Melayu tidak lama dahulu. Matlob bercerita tentang cita-citanya untuk menerbitkan majalah kanak-kanak seperti “Tunas” yang pernah diasuhnya dahulu.
Dan ketika di rumah barunya di Kg Semerah Darat, Matlob masih bersemangat untuk melahirkan majalah yang beliau telah beri nama “Comel”. Katanya, “ Saya masih mencari penaja untuk membantu kos. Kamu boleh tolongkan. Maksud saya dari segi isinya?”
“Tidak ada masalah.”
“Kamu agak boleh jalan ke majalah ini?”
Pertanyaan itu amat membimbagkan kerana majalah kanak-kanak seperti yang dimahukan Matlob itu (dalam tulisan jawi dan rumi) jarang sangat mendapat pulangan yang menguntungkan. Matlob perlu mengambil kira pengedar, penjual dan pembeli. Lebih-lebih lagi pemungut hasil pendapatan. Jika Matlob masih bersemangat untuk meneruskan cita-citanya itu ada baiknya beliau menghubungi DBP atau penerbit-penerbit besar lagi mapan yang lain bagi meminta kerjasamanya dalam semua bidang, seperti penerbitan, pengedaran, penjualan dan pemungutan hasil. Tanpa kerjasama DBP dan penerbitan-penerbitan ini terlalu sukar bagi Matlob untuk melaksanakannya.
Harap-harap kesulitan yang bakal dihadapi Matlob untuk memenuhi cita-citanya akan dapat diatasi. Kemudian Matlob perlu juga mengambil kira usianya yang kini sudah melebih tujuh dekad. Kekuatan mental dan semangatnya perlu diimbangi dengan kekuatan fizikal agar cita-citanya ini tidak terbentur di tengah jalan. Matlob akan memperoleh bantuan daripada kawan-kaawan, pasti tetapi hanya dalam bidang editorial dan usaha mendapatkan bahan-bahan. Selebihnya Matlob perlu mengusahakanya sendiri. Barangkali inilah masalah yang masih membelenggu pemikiran Matlob ketika saya minta diri selepas sejam bersamanya di rumah baru dan tempat barunya. Matlob kelihatan Matlob masih terus memburu cita-citanya untuk melahirkan “Comel” yang bakal menjadi bayi kesyangannya nanti.