Wednesday 24 December 2008

MENGINGATI DINO SUNGAI SUMUN


Dino SS (kiri) bersama Tan Sri Awang Had Salleh di Rumah Gapena.

CATATAN A.F.YASSIN
Mengenang Dino Sungai Sumun

Terima SMS daripada Wahba pagi Khamis minggu lalu. Bunyinya, “ Ahmad Razali beritahu Dino SS meninggal. Kalau nak nak pergi tumpang sama.” Spontan “Innalillah” terucapkan. Seorang lagi pergi meninggalkan kawan-kawan untuk meneruskan minat dalam bidang sastera. Usianya 59 tahun.

Tidak ramai kawan-kawan yang ditemui di rumah Allahyarham Dino atau nama penuhnya Mohd. Said Abd. Hamid. Barangkali sudah ramai yang mengunjunginya di sebelah pagi. Yang masih tercegat menunggu jenazah diusung ke surau berhampiran termasuk Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), Datuk A.Samad Said, Datuk Johan Jaafar, S. Othman kelantan, Wahid Kasran, Ahmad Razali (Dr.) dan Othman Shariff, jiran allahyarham yang paling dekat. Ariffin Said salah orang yang paling sibuk mengurus jenazah.

Jiran terdekat lain, seperti Maaruf Saad tidak kelihatan. Barangkali Maarof telah menziarahi pada sebelah paginya. Jiran-jiran lain seperti Othman Puteh dan Rahman Shaari tidak juga kelihatan. Khabarnya Othman tidak dapat membuat kunjungan hormat terakhir kerana masih membentang kertas kertas dalam satu symposium anjuran NUTP Terengganu. Sementara Rahman begitu terkilan kerana hanya mendapat tahu pemergian DINO sehari selepas pengkebumian.

Ahmad Razali sibuk membuat catatan sambil bertanya beberapa orang. Katanya dia diminta editor Dewan Sastera menulis “balasungkawa”. Bagaimana Ahmad Razali akan menulisnya sehingga dua halaman majalah tidak dapat dipastikan kerana seperti kata Rahman “ tidak banyak diketahui tentang Dino dalam bidang sastera.”

Nama Dino SS dikaitkan dengan bidang puisi. Namun sebahagian besar usianya dia habiskan sebagai wartawan di Berita Harian, mengasuh ruangan pendidikan dan kemudian mengetuai unit sastera akhbar berkenaan. Pernah juga dipinjamkan untuk bertugas di Akademi Penulis Pena ketika itu bertempat di Lorong Lumba Kuda off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kawan-kawan yang mengunjungi allahyarham buat kali terakhir Khamis, 17 Julai itu tidak banyak bercakap tentangnya. Barangkali tidak ada apa yang dapat dicakapkan. Ada di kalangan kawan-kawan menyifatkan Dino begitu pendiam, sedikit “memencilkan” diri terutama sejak dia terkena angin ahmar bebera tahun dahulu. Menurut seorang ahli keluarganya Dino sihat-sihat sahaja dan tidak menunjukkan tanda-tanda sesuatu akan berlaku. Dia sedang membuat kerja-kerja terjemahan apabila muntah tiba-tiba. Dia dikejarkan ke hospital Umum Kuala Lumpur sebelum menghenbuskan nafas terakhir kira-kira 2.30 pagi.

Dalam tahun 1990an Rahman Shaari dalam kertas kerjanya “Penulis Muda dan Masa Depannya” yang dibentangkan sempena Hari Sastera Nasional di Shah Alam menyifatkan Dino sebagai seorang penulis yang tidak “mengambil kesempatan.” Maksud Rahman biasanya jika ada penulis yang mengasuh sesuatu ruangan, dia akan memanfaatkan ruangan itu untuk menyiarkan karyanya. Katanya, “Ternyata Dino tidak berbuat begitu. Jarang sangat saya melihat karyanya tersiar dalam Berita Minggu sejak dia mengasuh ruangan itu.”

Rahman tak pasti apakah Dino diberikan syarat oleh majikannya untuk tidak menyiarkan karya kreatifnya atau dia “segan” berbuat demikian bimbang “apa penulis lain akan kata.” Atau Dino terikat dengan etika pengasuh ruangan yang lazimnya tidak akan memanfaatkan keadaan. Jika ini sikap Dino, sememangnya ia amat terpuji, jelas seorang kawan.

Rahman mengakui tidak begitu rapat dengan allahyarham, walaupun katanya, “Kami sama-sama menjadi anak angkat Usman Awang dalam erti mendapatkan tunjuk ajar dalam selok-belok penulisan. Kami tak geng sebenarnya.” Bukan Dino dan Rahman sahaja yang menjadi anak angkat Usman yang tidak pernah kenal secara intim sesama sendiri, tetapi juga ramai yang lain yang mengaku pernah menjadi anak angkat sasterawan negara itu. Contohnya, Maaruf Saad dan Sutong Umar RS. Maaruf sendiri pernah tinggal bersama-sama Usman untuk beberapa ketika di Petaling Jaya dan Sutong Umar RS.

Rahman tidak ingat sajak Dino yang manakah yang pernah menghambat hatinya. Secara tersirat Rahman barangkali mahu menjelaskan bahawa jarang ada karya puisi Dino yang terserlah. Puisinya tidak banyak diperkatakan. Kata Rahman, “Ada sebuah dua yang dicipta Dino semasa dia di luar negeri. Saya lupa nama sajak itu, tetapi itulah saya amat meminatinya.”

Biasanya Rahman ingat setiap sajak yang diminatinya, termasuk sajaknya sendiri. Malah dia mampu menghafal sajak-sajak itu. Sedikit aneh dia tidak mengingati judul sajak Dino yang dia minati. Apakah kerana Rahman “tidak geng” dengan Dino, maka dia tidak begitu ambil pusing dengan judul sajak Dino itu. A. Ghaffar Ibrahim akan lebih mesra dengan sajak-sajak Dino. Bukan sahaja sebagai jiran terdekat, Ghaffar dianggap kawan karib Dino dan membaca segala gerak tingkahnya dalam bidang puisi. Malah seangkatan kata seorang penyair.

Penglibatan Dino dalam Pena begitu aktif satu ketika. Pernah Dato’ Ahmad Sebi Bakar, presiden PENA meminta kerjasamanya untuk rekrut lebih ramai ahli Pena dari kalangan wartawan Berita Harian. Dikatakan hasil jerih payah Dino jugalah Ahmad Sebi berjaya dipilih menjadi presiden sehinggalah ke hari ini. Dan bukan tidak mungkin kerana kegigihan Dino dalam dua bidang, wartawan dan sasterawan, maka Ahmad Sebi menggunakan jasa baiknya untuk Dino dipinjamkan ke Akademi Penulis.

Sebelum jenazah disembahyangkan di surau berhampiran, Wahid Kasran mengingatkan kami bahawa Dino lahir di seberang sungai sebelah Perak dan “saya lahir di seberang sungai di sebelah Selangor.” Sunagi yang dimaksudkan Wahid ialah Sungai Bernam yang memisahkan dua negeri. Kata Wahid, “Tempat lahir saya Sabak Bernam. Tempat lahir Dino Bagan Datoh.” Lebih tepat tempat lahir Dino di Kampung Sungai Sumun. Dan dua huruf “SS” di hujung nama Dino itu ialah “S” untuk Sungai dan satu “S” lagi untuk Sumun. Samad Said datang menyampuk, “Bukan Syok Sendiri.”-ends.

BERKENALAN DENGAN PENGKRITIK DARI SELIAU


Ramli Isin

DARI SELIAU KE JIBOI
Catatan A.F.Yassin

Selama lima setengah tahun dia menimba ilmu dan pengalaman di Jogjakarta bagaikan tempat tinggalnya di Wirogunan dan Piri di kota itu menjadi kampung kedua baginya setelah Seliau di Seremban. Khabarnya sepanjang tempoh panjang itu tidak sekali dia pulang ke Seremban. Dan khabarnya juga dia ke kampus Universitas Gajah Mada menggunakan speda (basikal). Dapatlah saya bayangkan betapa dia mengayuh basikal ke tempat kuliah di pekarangan kampus yang maha luas itu bersama-sama ribuan mahasiswa lain. Barangkali basikal merupakan jenis "kenderaan" dalam kampus.

Sesekali dia, Ramli Isin yang memiliki doktor falsafah dalam bidang kesusasteraan, akan memandang ke kejauhan melepasi jendela kamar kerjanya di Universiti Putera Malaysia (UPM), untuk bernostalgia seketika tentang kisah masa lalunya dalam bidang pendidikan. Betapa dia akan membuat perbandingan kisah suka-dukanya di kampus Gajah Mada dengan kisah mahasiswa-mahasiswa di UPM, yang barangkali lebih beruntung dari sudut kemudahan dan pembiayaan pendidikan.

Ramli tidak akan menyesal dengan cara dia memperoleh pendidikan sehingga ke tahap yang dia miliki sekarang. Ada hikmah yang tersembunyi kerana pendidikan formal dan tidak formal yang dimiliknya itu menjadikan dia seperti yang sekarang ini sebagai penyebar ilmu dan pengkritik dalam biang kesusasteraan. Ketika mula saya mengenalinya di Dewan Bahasa dan Pustaka (dia bertugas sebagai pegawai penyelidik sastera) pada tahun 1973, tutur katanya masih pekat dialek Indonesia dengan sebutan Jawanya. Sudah begitu sebati lidahnya dengan sebutan itu. Tidak lama kita bersama di DBP kerana pada tahun 1975 dia pindah kerja ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Gajah Mada mengajarnya menjadi seorang penulis yang gigih dan konsisiten. Juga Gajah Mada menguji bakatnya sebagai seorang pengkritik dalam bidang kesusasteraan. Di Indonesia pusat pengajian tinggi ini terkenal melahirkan tokoh-tokoh besar kesusasteraan, malah tenaga pengajarnya terdiri daripada tokoh-tokoh terbilang dalam bidang itu. Ramli bin Isin tidak sia-sia menguji kesabaran hidup di daerah istimewa kota Jogjakarta itu. Kaya dengan budaya silam melalui kerajaan kraton, yang legasinya masih gah di pusat kota, di penghujung Jalan Malioboro yang terkenal dengan sajian burung dara di waktu dinihari. Ramli tidak akan dapat melupakan dua rakannya yang lain yang terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk belajar di kota itu, iaitu Rahman kaeh ( mantan profesor di Universiti Malaya), dan Morad Mat Jan.

Ramli memperdalami ilmu di Fakultas Sastera dan Kebudayaan, menjurus ke bidang bahasa dan sastera Indonesia. Yang mengajarnya termasuk beberapa tokoh besar dalam sastera Indonesia, antaranya Prof. Baroroh Barid, ahli filologi, Prof. Hamamah dan Prof. Ramli Leman Sumuwadigdo. Sesekali pula Ramli Isin akan mengagak-agak di mana gerangan teman-teman sekuliahnya seperti Abdul Rozak Zaidan, Sumardi dan Petah Agul yang khabarnya sudah menjadi sasterawan besar di Indonesia. Dia akan merindukan tutur kata dan tingkah langkah mereka semasa di kampus. Namun dia masih punya kawan seperti Rahman Kaeh yang tinggal berhampiran di Seremban. Dengannya setiap kali bertemu pasti nostalgia akan berpanjangan.

Demikianlah, Ramli Isin akan menjengah masa lalunya saban ketika. Suaranya yang lantang sambil disambut dekahan ketwa menyatakan kehadiran dirinya. Kawan-kawan dekatnya seperti Dharmawijaya, Othman Puteh dan Yusof Mohd Nor sudah terbiasa dengan nostalgia dan dekahan ketawanya itu. Bagi mereka, Ramli adalah kawan yang boleh diajak berunding dan jarang amat dia "bercerita tentang hal orang lain beserta kelemahananya."

Seperti halnya peneliti Dr. Yusof Hassan, Ramli bergiat dalam lapangan pengkritikan dengan eseinya berpusar kepada bidang yang dia amat pakar. Dia bukan penulis kreatif tetapi dia menilai karya kreatif melalui kacamata keilmuan dan pengalamannya. Dia barangkali memanfaatkan pengalaman peribadinya untuk meninjau dan menganalisis aspek kemanusiaan dalam karya kreatif seseorang pengarang. Dengarkan dia bicara tentang Dharmawijaya dalam "Suka Lara Penyair Tiga Dekad" (Dewan Sastera, Feb. 99): Secara sedar Dharmawijaya fenomena dan alam semula jadi dengan kehidupan sehari-hari seorang manusia atau sesuatu kelompok masyarakat, khususnya kelompok masyarakat bangsanya yang sentiasa berdepan dengan alam semula jadi. Kesan pengadunan kaitan antara dua faktor ada kalanya Dharmawijaya menceriakan terutama apabila alam semula jadi itu digunakannya semata-mata untuk menghubungkannya dengan kehidupan masyarakat sekitaran. Ada kalanya Dharmawijaya menderitakan manusia atau masyarakat yang menjadi pemikirannya itu. Malah ada kalanya penyair ini menceritakan aspek cerita dan derita manusia itu bersama-sama dalam sesebuah puisinya. Hal ini jelas dicitrakannya dalam puisi "Cinta Sayang Di Sawah Ladang" yang begitu menggugah perasaan khalayak pembaca.

Begitulah Ramli begitu dekat dengan alam yang membaur bersamanya apabila menganalisis sesuatu karya. Kejayaan dan keberkesanan pengamatannya yang "alamiah" ini sudah tentu memakan masa panjang dan memerlukan pengalaman empirikal yang berterusan dan yang ditambah pula oleh pengalaman pedagogikal yang ditimbanya semasa menjadi guru selama enam tahun (1961-1967).

Selama di Jogjakarta, Ramli tidak serik mengirim esei dan kritikannya ke suratkhabar dan majalah di Malaysia. Dia menunjukkan tahap konsisten yang berterusan sehingga tulisannya dapat mencerminkan kesungguhan, kerajinan dan nilai yang tinggi. Buktinya, Ramli telah diiktiraf oleh panel Hadiah Karya Sastera apabila dia dipilih bersama Ilias Zaidi sebagai pemenang hadiah penggalakan esei/kritikan bagi tahun 1975. Buktinya lagi, Ramli pernah dilantik untuk menganggotai panel penilai Sayembara Novel Gapena 1976, panel penilai Sayembara Esso-Gapena, panel penilai peraduan mengarang novel Hari Guru, panel penilai Anugerah Karya Bangsa anjuran Gapena-KKBS (Bahagian novel), panel penilai Hadiah Buku Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan panel penilai Hadiah Sastera Malaysia.

Ada yang berkata disebabkan usahanya yang konsisten dalam bidang esei dan kritikannya ini, maka Ramli kesuntukan masa untuk mencuba-cuba dalam penulisan kreatif. Tidak satu cerpen atau sajak yang pernah dihasilkannya sepanjang dia bergiat dalam lapangan persuratan ini. Barangkali ada, cuma saya belum ketemui. Mana tahu karya-karya itu masih tersimapn di lacinya.

Ramli biasanya amat apolojetik dan merendah diri.Kemungkinan besar budaya "inggih" dan tingkah sosial masyarakat Jogjakarta menguasai gerak tingkahnya yang walaupun sudah sekian dekad ditingalkannya masih terus mempengaruhi jiwanya. Atau masyarakat Siliau mengajarnya bersopan begitu. Dalam pada itu belum pernah saya meilhat dia marah-marah atau Ramli pandai menyembunyikan tanda marah di wajahnya. Dia mungkin sahaja marah dalam dekahan ketawanya atau mungkin saja dia mendiamkan diri dengan gelengan kepalanya. Perwatakannya inilah yang membuatkan rakan-rakannya senang berdamping dengannya. Rakan-rakan seperti Rahman Kaeh, Othman Puteh dan Dharmawijaya. Rakan yang terakhir malah semakin akrab. Ke kampus UPM pergi bersama pulang berdua. Setiap kali saya ke pejabat Dharmawijaya, setiap kali itu pula saya menemui Ramli di sana atau mereka berdua sedang bercakap melalui telefon. Dan sebelum berpisah lazimnya kami bertiga akan makan tengahari di Serdang atau di kafeteria mesjid universiti. Dan ketika itu tidak jarang nostalgia jogja kembali meredah ruang dan suasana dengan diikuti hilaian kah! Kah! Kah!

Kini Ramli tidak lagi menulis segiat dulu. Dia mengaku bahawa program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) menyita banyak waktunya. Minggu lalu semasa berbual santai di pejabatnya dia menunjukkan kertas-kerta jawapan mahasiswa yang mengikuti program ini yang ratusan jumlahnya. "Pening. Semua ini perlu dinilai mengikut jadual," katanya. "Ini belum dikira lagi mereka yang mengambil program sarjana yang mengetuk pintu dan menelefon minta bimbingan."

Sibuk tak sibuk dengan tugas mengajar, Ramli banyak juga menyusun buku. Malah dua daripada buku yang disusun bersama dipilih menjadi teks sastera peringkat SPM, iaitu "Suatu Subuh Yang Bening" (1983) sebuah antologi cerpen yang disusun bersama Othman Puteh dan "Kelapa Nan Sebatang" (1991) juga sebuah antologi cerpen susunan bersama Razak Mamat. Turut diterbitkan ialah antologi cerpen "Dongeng Merdeka" yang disusunnya bersama Othman puteh. Dalam bidang puisi dia menyusun "Nafas Kemanusiaan" (1980) dan 'Gema Lembah Kinabalu" (1982).

Ramli turut menjadi penyusun kajian dan kritikan sastera seperti "Memperkatakan Tiga Genre" (1985) bersama Othman Puteh dan Sahalan Mohd Saman, "Hari Kemerdekaan" (1989) bersama Sahlan Mohd Saman, "Sejarah Kesusasteraan Melayu ((1990) bersama Kemala, Hashim Awang, Zakaria Ariffin dan Sahlan Mohd Saman, "Tetamu Dari langit" (1990) bersama Hashim Awang, "Drama Melayu Moden dalam Esei" (1981), "Tinta Pena" (1981), "Novel-Novel Malaysia Dalam kritikan" (1982) dan "Riak Dan Gelombang Sastera" (1984), sebuah antologi esei kritikannya yang disusun Othman Puteh. Bagi mnemudahkan pelajar-pelajar memahami teks sastera di peringkat SPM dan STPM, Ramli turut menyusun beberapa buah buku ulasan.
Saya yakin waktu banyak yang disita oleh program PJJnya tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus menyumbang kritikan yang sihat kepada dunia persuratan, terutama dalam bidang sastera. Kepakarannya masih amat diperlukan, setidak-tidaknya buat jenerasi pelajar yang masih lagi berduyun-duyun mengharapkan bimbingannya. Dan tidak dilupakan komuniti pengarang yang masih mahu karya mereka dibedah oleh sarjana lulusan Gajah Mada ini. Petikan Utusan Zaman, 25 Mac 1999

Monday 22 December 2008

OTHMAN YATIM GEMILANGKAN WAN SU OTHMAN


Prof. Dr. Othman Yatim

Mengukir Kegemilangan Lalu
Catatan A.F.Yassin

Tajuk rencana ini adalah judul buku terbaru yang dihasilkan Profesor Dr. Othman Yatim dari Universiti Malaya dan diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan. Saya dihadiahkan dengan ikhlas oleh Othman senaskhah ketika sedang bermesyuarat Jejak Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka awal bulan ini. Selain saya, Prof. Dato’ Dr Asmah Hj Omar turut diberi senaskhah. “Buku terbaru dan masih panas,” kata Othman, walaupun di halaman tajuknya tertulis tahun 2000.

Kami mengucapkan tahniah dua kali kepada Othman. Pertama atas perlantikan sebagai profesor penuh dan kedua berjaya menghasilkan buku biografi penerima anugerah seni negara 1997, Wan Su Othman dari kelantan. Saya kira penulisan buku ini disiapkan pada tahun 1999 dan mengambil masa agak lama juga diterbitkan. Tidak pasti mengapa prosesnya begitu panjang. Apapun jua seperti kata orang lebih baik terbit lambat daripada tidak terbit langsung.

Kulit buku hasil rekabentuk Rafeah Legino menarik, dengan citra ukiran kayu berbentuk bunga. Di halaman verso tajuk (title verso) antara lain tertulis sejambak nama yang terlibat dalam penerbitan buku ini. Selain Othman, sebagai pengarang, ada penaung penerbitan Dato’ Tengku Alaudin Abd. Majid, ketika itu Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Ketua Penyelaras Penerbitan, Sharifah Zainah Salim, Penyelaras, Othman Ahmad, Penyunting Habsah Mohd Nordin, Perekabentuk Rafeah Legino dan Jurufoto untuk gambar kulit Abd. Aziz Arshad. Mereka ini adalah warga kerja dari pihak kementerian yang patut disebut namanya dalam buku ini. Walaupun pada amalan lazim, jarang sangat ditemui barisan nama seperti ini dalam mana-mana buku yang diterbitkan. Kalau pun ada selain nama pengarang hanya diselitkan nama penyunting.

Barangkali barisan nama ini adalah pra-syarat penerbitan yang ditentukan kementerian. Untung juga Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai penerbit kerajaan, seperti halnya Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan tidak membariskan nama-nama orang yang terlibat dalam penerbitan bukunya. Jika ia berbuat demikian, maka nama Usman Awang, Kamaludin Muhamad M. Noor Azam, Ajikik, Hasrom Haron, Haji Jajuli, Hajah Izah Aziz, Abdul Ahmad, Othman Ismail, Mazlan Mohd Nor, Hassan Majid, Haji Rahim Rahman, Zalilah Syariff dan puluhan nama lain di Dewan Bahasa yang terlibat puluhan tahun pula dalam penerbitan buku.

Kandungan buku dibahagikan kepada enam bab utama dengan bab keenam diangkat tajuknya sebagai judul buku. Othman bukan sahaja bercerita tentang kisah hidup Wan Su sejak dia dilahirkan di Pengkalan Kubur, Kelantan pada tahun 1899 sehingga dia menerima Anugerah Seni Negara pda tahun 1997 tetapi juga bercerita tentang faslsafah dan konsep ukiran secara umum. Namun, kisah hidup Wan Su dianggap lebih menarik malah boleh dijadikan tauladan bagi mereka yang meminati seni ukir.

Menurut Othman Wan Su dibesarkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Wan Su adalah anak bongsu daripada 12 adik beradik. Ayahnya, Othman seorang nelayan dan peniaga beras sementara ibunya, Wan Sri peniaga emas. Sedikit aneh bagaimana Wan Su adik beradik berada dalam serba kekurangan sedangkan kedua-dua orang tuanya peniaga. Beras dan emas pula.

Wan Su dikatakan mula minat dalam seni ukir ketika berusia lapan tahun. Menurut Othman, sebaik sahaja selesai belajar al-Quran, Wan Su singgah di rumah Pak Imam untuk melihatnya mengukir. Pada suatu ketika Wan Su akan mengutip cebisan kertas lakaran yang dibuang Pak Imam dan membawanya pulang. Kemudian dia menekap kertas itu kepada kayu dan mula mengukir mengikuti lakaran di kertas. Sejak itulah Wan Su mula melukis di kertas dan melukis awan larat di layang-layangnya.

Tidak siapa menyangka minatnya dengan kerja-kerja mengukir Pak Imam menjadikannya tokoh pengukir terkenal dan diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa akhirnya. Wan Su bekerja mencari nafkah sebagai tukang gunting. Melalui kerjaya tukang gunting ini dia menerima tempahan orang ramai membuat ukiran di wau-wau dan pentas orang kahwin. Dia kemudian bekerja membantu sepupunya Wan Abdul Rahman mengukir pada emas. Dari sinilah namanya mula menanjak sehingga akhirnya dia dipelawa oleh Mobin Sheppard bekerja sebagai juru ukir di Muzium Negara pada 15 Julai 1962 untuk selama tiga tahun.

Pengiktirafan sebagai pengukir terbukti apabila dia banyak menang pertandingan wau cantik peringkat kebangsaan di Kota Bahru (1974), Kuala Terengganu (1975), Sungai Petani (1976), Kuantan (1978 dan Pulau Pinang (1979). Pak Su menjadikan alam sekitaran sebagai sumber motif ukirannya. Tumbuh-tumbuhan yang melata di kelilingnya adalah ilham dan inspirasi untuk motif-motifnya, antaranya ketola, peria, saga kenering, daun salad, bunga lawang, bunga raya, bunga cina. Dia mengangkat bahan-bahan tumbuhan ini sebagai objek lakaran kerana jasa tumbuhan itu kepada manusia. Ada tumbuhan yang menjadi makanan manusia; banyak pula yang boleh dibuat ubat dan penawar racun. Tidak kurang pula kehadiran tumbuhan itu mencipta keindahan pada ruang, alam sekitar dan dimensi minda manusia.

Terdapat 65 buah ilustrasi dan gambar yang berkait dengan seni ukir dilampirkan dalam buku setebal 120 muka surat ini. Juga terlampir 30 motif bunga yang dihasilkan Wan Su. Ada pula glosari, berupa penjelasan 21 jenis motif yang pengertiannya amat bermanfaat sebagai rujukan. Antara jenis motif itu termasuk Badak Mudik, Itik Pulang Petang, Kelarai, Kepala Cicak, Pilin Berganda, Sibar Dayang dan Siku Keluang.

Beberapa bab buku ini ditulis secara kreatif. Maksudnya pendekatan kreatif dibaurkan dengan pendekatan naratif-deskriptif untuk membentuk kesatuan tulisan. Tujuannya memberi impak emosi yang lebih mengesankan. Dialog antara watak-watak hidup (real) digunakan. Misalnya, percakapan antara Wan Su dengan Mobin Sheppard (ms 35-37) atau dialog Wan Su dengan Wan Gorek (ms 16-17). Kurang pasti apakah ia merupakan dialog-dialog sebenar yang dirakamkan pengarang ketika mengadakan pertemuan dengan watak-watak itu? Atau ia cuma imaginasi pengarang. Bukan tidak mungkin pembaca akan mempersoalkan autentisiti dialog ini.

Pendekatan penulisan biografi yang menggunakan dialog seperti ini banyak terdapat dalam buku-buku biografi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Malah pendekatan dialog ini juga banyak digunakan dalam buku-buku biografi karangan orang Barat seperti yang terdapat dalam buku biografi Virginia Woolf: A Writer’s Life karya Lyndall Gordon atau Tun Jugah of Sarawak karya Vinson H. Sutlive Jr. Hanya sahaja, dialog yang digunakan Gordon dan Sutlive adalah autentik dalam erti dialog berkenaan memangnya dituturkan oleh wataknya.

Apappun jua, Othman melalui bukunya ini, berusaha memperlihatkan ketokohan Wan Su dalam bidang seni ukir yang tiada bandingannya. Setelah habis membaca buku ini kita barangkali akan terfikir: Kalaulah Wan Su ditakdirkan hidup pada zaman kerajaan Melaka abad ke-15, nescaya dia akan dicemburui pengukir-pengukir istana yang pada waktu itu kebanyakannya didatangkan dari sebuah kawasan yang bernama Kundur. Tidak kiralah sama ada Kundur itu berada di Negeri Sembilan atau di Riau Lautan (Pulau Kundur).

Othman, yang lahir pada 6 Disember 1949, bukan orang baru dalam dunia penulisan. Termasuk buku Mengukir Kegemilangan Silam dia telah menghasilkan 15 buah buku yang berkait dengan seni dan budaya. Anak kelahiran Kampung Teluk, Lumut, Perak ini mempunyai kelulusan di peringkat doktor falsafah dalam bidang kesenian Islam dari University of Durham, England.

Antara buku-bukunya yang menarik untuk dibaca ialah Batu Aceh: Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia, Warisan Dalam Kesenian Tamadun Islam, Islamic Art dan Meriam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu Nusantara. Bukunya Batu Aceh itu mengingatkan saya kepada buku Batu Aceh Warisan Sejarah Johor (510 ms) yang ditulis oleh Daniel Perret dan Drs Kamaruddin Abd. Razak, terbitan Yayasan Warisan Johor (1999). Manakala Mengukir Kegemilangan Lalu menambahkan lagi khazanah biografi tokoh terbilang di negeri ini. Ends.

Sunday 21 December 2008

KEMALA SEDIH ZAINAL RASHID TUMBUK MEJA


Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) kini Sarjana Tamu di UPM.

CATATAN A.F.YASSIN
Zainal Rashid Tumbuk Meja, Kemala Sedih

Entah kerana geram, atau entah kerana marah penulis berbakat Zainal Rashid Ahmad menumbuk meja dalam satu forum penulis muda di Rumah Pena sempena mesyuarat agung Pena, Oktober 2003 yang lalu. Khabarnya Zainal memperagakan emosinya kerana kononnya penulis muda dihalang daripada menjadi anggota persatuan penulis. Mengapa mereka dihalang tidak pula dijelaskan. Namun ada andaian bahawa para pemimpin persatuan, rata-rata penulis mapan, kontemporer dan bukan kontemporer, bimbang akan kehadiran penulis muda. Mereka mungkin tercabar jika penulis muda beramai-ramai mendaftar sebagai ahli.

Jika kebimbangan ini benar maka ia tentunya menimbulkan suasana yang kurang sihat dari segi hubungan antara penulis lama (baca: mapan) dan baru (baca: muda). Seolah-olah telah terbentuk satu jurang (fizikal dan mental) antara kedua-dua golongan. Bukan tidak mungkin ada di kalangan penulis baru ini yang merasakan mereka dipinggirkan dalam arus perdana persatuan. Malah sudah ada yang tanpa ragu-ragu berkata “orang lama takut dengan orang baru kerana idea dan pemikiran mereka (orang baru) lebih ke depan dan bersifat lebih intelektual. Orang lama masih kolot idea dan konservatif.”

Masalah orang baru dipinggirkan orang lama ini bukan cerita baru. Masih ingatkah krisis Pena satu ketika dahulu yang melibatkan Yahya Ismail, Maarof Saad dan kemudian Dato’Ahamd Sebi. Yahya didakwa terbabit dengan sebuah parti politik dan sebagai ketua sebuah persatuan penulis, Yahya dicabar untuk tidak mengaitkan dirinya atau melibatkan persatuan dengan parti politik. Dalam pertandingan kemudiannya Yahya dikalahkan oleh Maarof Saad yang ketika itu mendapat sokongan padu dari kalangan penulis baru. Maarof kemudian dikalahkan pula oleh Dato’ Ahmad Sebi Bakar yang juga didukung oleh penulis-penulis baru.

Kemudian, masih ingatkah semangat berpuak-puak di kalangan perwakilan Gapena dalam pemilihan jawatankuasa pada tahun 1990an dahulu? Ketika itu timbul cerita, entah benar atau tidak, tentang wujudnya dua kumpulan, yang bersaing sengit merebut jawatan. Dilaporkan kumpulan yang mencabar kumpulan inkumban telah pun mewujudkan satu “kabinet bayangan” dalam usaha memenangi pemilihan. Malah ada perwakilan yang telah dipujuk untuk memilih calon mereka. Kempen memujuk perwakilan ini persis kempen UMNO menjelang pemilihan ahli majlis tertingginya.

Sikap dan kegiatan kumpulan ini kurang disenangi ramai kerabat Gapena. Walaupun kegiatan itu sudah menjadi sejarah tetapi kesan sampingannya dapat dirasakan hingga ke hari ini. Kecenderungan di kalangan inkumban untuk mengekalkan status quo walau dengan secara apa sekalipun, mungkin boleh dikaitkan akhirnya dengan insiden menumbuk meja Zainal Rashid.

Lagi pula, seperti yang dijelaskan seorang anggota seumur hidup Pena satu ketika dahulu, “Menjadi anggota persatuan ini tidak ada kena mengena dengan wawasan dan pemikiran yang baru atau yang intelektual. Saya lebih melihatnya sebagai satu usaha untuk mengubah pucuk pemimpin untuk kemudian menguasai persatuan. Tidak timbul soal boleh menjadi ahli atau tidak dalam persatuan. Sebabnya setelah seorang baru dipilih memimpin persatuan dia juga akan berbuat seperti apa yang dilakukan pemimpin sebelumnya, iaitu cuba mengekalkan kuasa dengan menghalang pendaftaran baru.”

Ada yang mencadangkan agar golongan yang melepas geram ini menubuhkan persatuan baru dan kemudian memohon untuk menganggotai Gapena. Malah inilah yang terjadi di Melaka yang kini mempunyai empat persatuan yang bergabung dengan badan induk penulis itu. Di Selangor dan Kuala Lumpur pula ada beberapa buah persatuan yang turut menjadi anggota kerabat Gapena. Ada Kalam, ada Kemudi dan ada Persatuan Penulis Selangor. Mana tahu tidak lama lagi Angkatan Penyair Malaysia (APM) yang ditubuhkan di Tanjung Karang tidak lama dahulu akan memohon menjadi anggota.

Presidennya, Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pernah meluahkan rasa kecewanya dengan keadaan persatuan penulis sekarang ini. Pernah Kemala bersuara melalui e-mel bagaimana sulitnya “hendak membina sesuatu yang baru, idealisme kini berdepan dengan tuntutan materi. Kalau bertemu pun setahun sekali. Dalam mesyuarat agung Pena, misalnya, asyik mendengar ucapan ketua satu yang tak pernah berubah. Saranan kita tidak dipedulikan langsung; dan adik-adik kita sudah pandai pula menghentak meja.”

Kemala turut sedih dengan keadaan bahasa dan sastera yang mulai merosot dari sudut politik, budaya dan politik pemerintah. Katanya lagi, “Gapena-DBP-RTM-institusi perguruan tinggi semakin renggang dan takut pada bayang-bayang kebenaran.” Walaupun kelihatannya Kemala seperti memperjuangkan kehadiran penulis muda, namun Kemala tetap mempunyai kecenderungan untuk terus kekal mempertahankan kehadiran penulis lama atau mapan. Seperti katanya, “Kau lihat RTM mana pernah undang penyair mapan yang kontemporer dalam deklamasi Angkasapuri, mereka anggap kami ini teroris agaknya?”

Soalan Kemala ini memang tidak sukar dijawab, jika kita kaitkan dengan insiden Zainal Rashid menghentak meja. Jika benarlah seperti dakwaan Kemala itu, maka ia berpunca daripada sikap berpuak-puak di kalangan penulis sendiri. Satu golongan penulis ( golongan muda?) yang tertancap pengaruhnya di institusi penyiaran kerajaan itu akan berusaha mengekalkan pengaruhnya di RTM. Walaupun Kemala tidak menyebut siapa penyair mapan yang kentemporer itu namun tidak susah untuk mengagak jika ada yang bersungguh-sungguh mengikuti acara deklamasi sajak Angkasapuri.

Akhirnya kita kembali ke punca insiden Zainal Rashid menumbuk meja. Dalam satu majlis bukan sastera yang diadakan baru-baru ini, seorang penulis mapan bertanya kepada saya, “Kalau penulis yang menghentak meja itu ditakdirkan menjadi pemimpin sebuah persatuan nanti, apakah dia tidak akan terperanjat apabila nanti ada penulis lebih muda daripadanya menumbuk meja pula atas sebab yang sama?” Untuk sementara waktu cukuplah kita dipaparkan dengan tumbukan meja Zainal dan rasa gundah Kemala. Ends. (Dipetik daripada akhbar mingguan, Utusan Melayu Mingguan, 11-17 Oktober 2003)

Tuesday 16 December 2008

JB CIQ...JB CIQ...MINUS THE JAM PLEASE!


Johore Bahru Customs, Immigration and quarantine checkpoint launched (Starpix).

Wednesday December 17, 2008
Crawl at CIQ complex checkpoint on first day


JOHOR BARU: The first day of operations at the new Sultan Iskandar Customs, Immigration and Quarantine complex was marred by massive traffic congestion.

The two-hour-long crawl saw traffic into Johor snaking all the way to Woodlands in Singapore during peak hours due to motorists being caught off guard by the cashless toll collection system at the complex.

Many motorists, especially Singaporeans, did not know that they were required to use Touch ’n Go cards at the new complex in Bukit Cagar.


First day blues: THE new Sultan Iskandar Customs, Immigration and Quarantine complex in Johor Baru opened to motorists at 12.01am Tuesday. There was congestion shortly after the opening (main picture) as well as during peak hours, as seen in the picture taken at 1.30pm (inset). Most of the congestion was caused by traffic from Singapore entering Malaysia. See Page 6. — KENNETH WONG / The Star

The congestion did not let up even when Plus officials were stationed at the complex entrance to sell RM20 cards on the spot to motorists.

Counters were also set up at the old checkpoint.

Notices were also placed at Woodlands informing motorist about the traffic congestion at the entrance into Malaysia.

Singaporean businessman John Tan, 45, said he only found out about the cards when he entered Johor via the new complex.


Long wait: The first batch of road users using the new Bangunan Sultan Iskandar Customs, Immigration and Quarantine complex after its opening at midnight Tuesday.

“I was excited to use the new complex and expected it to be more efficient than the old Causeway checkpoint,” he said adding he was surprised when he was told he had to use the card for toll payment.

However, Tan said he was impressed with the design of the new complex.

Fellow Singaporean Tommy Ong, 40, said the authorities should have made the public more aware that Touch ‘n Go cards had to be used.

Malaysian chef Chan Pon Soh, 30 said it was “historic” to be among the first batch of road users using the new complex despite technical difficulties.

“Luckily for me, I already have a Touch ‘n Go card which I use on the North-South Expressway,” he said.


At the Causeway, workers are diverting traffic to the new complex.

Malaysian K. Selvaraju, 41, said he was disappointed with the congestion. “I was hoping for a smoother ride but it was not the case.’’

Johor Immigration director Mohd Nasri Ishak said the congestion was due to motorists not having Touch ‘n Go cards and not used to the new road system.

“The jams were mainly during peak hours in the morning and even when people returned from work,” he said.

He said that adequate notices had been put up informing the public about the cashless toll system adding that all 200 counters for in-bound and out-bound were operational on the first day.(The Star, 17 December 2008)

Comments:
A dawn of a new era at the CIQ checkpoint, Johor Bahru. Next request: A bridge please to replace the aged-old causeway. Singapre should heve been more considerate for the sake of the people on both sides of the Selat Tebrau.

Monday 1 December 2008

SENIMAN SYED ALWI TELAH TIADA!


Ziarah jenazah dengan membaca Surah Yasin sebelum disembahyangkan. (Foto mStar oleh Siti Azura)

Isnin Disember 1, 2008
Syed Alwi meninggal dunia kerana jatuh, bukan disamun
Polis: Kesan lebam disebabkan gigitan serangga


Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

PETALING JAYA: Polis dan anggota keluarga menolak punca kematian Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan, yang ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Rawang dekat sini malam tadi, adalah disebabkan samun dan serangan.


Allahyarham Syed Alwi, 78, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 2 petang.


Terdahulu pukul 1.30 tengah hari tadi, jenazah Syed Alwi disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail.


Kira-kira 150 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada keluarga Allahyarham.


Antara artis yang hadir ialah Sabri Yunos, Rozita Rohaizad, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Rahim Razali, Zulhaila Siregar dan Ellie Suriati.


Sementara itu, anak Allahyarham, Norsham Syed Alwi ketika dihubungi mStar Online berkata, arwah ayahnya meninggal dunia disebabkan penyakit vertigo.


BEKAS isteri Allahyarham Syed Alwi, Norhayati Hashim berkongsi duka bersama artis Ellie Suriati di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur petang tadi.

Dia juga mengesahkan tokoh seniman negara itu, terhantuk sebelum terjatuh di rumahnya kelmarin.


Norsham juga menafikan Syed Alwi disamun.


Pihak polis juga menolak elemen perbuatan khianat kerana bedah siasat menunjukkan kesan lebam kemungkinan disebabkan jatuh.


ANAK Allahyarham Syed Alwi, Norsham menaburkan bunga di pusara bapanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata, Allahyarham Syed Alwi meninggal dunia kerana jatuh dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.


DATUK Ahmad Tarmimi Siregar turut hadir bersama isterinya, Zulhaila Siregar memberi penghormatan terakhir kepada keluarga Allahyarham Syed Alwi.

"Kesan lebam dan calar di tubuh mangsa adalah disebabkan gigitan serangga," katanya.


Kata beliau, pihaknya sedang membuat pemeriksaan dan siasatan susulan memandangkan terdapat banyak ubat di rumahnya.


"Badan mangsa tiada kesan diserang pihak tertentu," katanya lagi.


ELLIE Suriati turut hadir di upacara pengkebumian Allahyarham Syed Alwi.

Dalam pada itu, pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar berkata, arwah merupakan salah seorang yang mendidiknya selepas Datuk Rahim Razali melibatkan diri Tarmimi dalam dunia pementasan.


"Melalui arwah, saya banyak berlakon teater seperti Alang Retak Seribu, Tok Perak dan banyak lagi.


"Beliau bukan sahaja seorang guru malah rakan sekerja yang unik, suka berterus terang.


PENGARAH Faridah Merican dan Joe Hasham merupakan antara rakan seperjuangan Allahyarham Syed Alwi dalam bidang teater.

"Apa yang saya perasan, perangai beliau sama seperti saya iaitu suka 'cakap lepas' dan tidak hipokrit," ujar Tarmimi yang kali terakhir berjumpa dengan arwah ketika sebulan lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.


Tambah Tarmimi, arwah seolah-olah yang beliau akan pergi tidak lama lagi apabila menyerahkan skrip Tok Perak yang sudah dicetak kepada Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.


"Beliau ada meminta saya berlakon dalam Tok Perak yang bakal dipentaskan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.


"Jadi, saya agak terkejut dengan pemergiannya. Beliau tak sakit tetapi pernah dimasukkan ke hospital sekejap," kata Tarmimi yang mengetahui berita kematian menerusi SMS Norsham semalam.


Tarmimi masih meluangkan waktu melawati jenazah Syed Alwi walaupun sedang menjalani pengambaran telefilem Tak Sama Tapi Tak Serupa untuk TV3 hari ini.


BERITA TERDAHULU


Tokoh Seniman Syed Alwi ditemui mati, kesan calar


SUNGAI BULOH: Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Kuang, Rawang dekat sini, kira-kira pukul 8.30 malam tadi.


Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata, mayat mangsa yang berusia 78 tahun itu dijumpai di bahagian dapur rumah banglo berkenaan oleh anaknya, Norsham, 27, yang baru pulang ke rumah.


"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang 48 jam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.


Hasnan berkata, siasatan awal mendapati ada kesan calar dan lebam di badan mangsa, yang tinggal seorang diri sejak Jumaat.


Katanya tiada kesan pecah masuk di banglo milik Allahyarham tetapi terdapat sebuah meja yang terbalik dengan banyak ubatubatan di sekitarnya.


Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dalam satu kejadian samun selain kemungkinan beliau jatuh lalu meninggal dunia.


"Perlakuan jenayah (dalam kes ini) akan disiasat," katanya.


Mayat Syed Alwi dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.


Syed Alwi, anak kelahiran Taiping, Perak mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Pondok Tanjung dan Sekolah Taiping.


Beliau melanjutkan pelajaran ke University of Minnessota, Amerika Syarikat dalam bidang teater dan kewartawanan serta merupakan anak Melayu pertama yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang berkenaan.


Syed Alwi pernah menerima Hadiah Pelajaran Tabung John D. Rockefeller III untuk mengkaji perkembangan teater dan filem semasa di Amerika antara April dan Jun 1980.


Beliau adalah antara penggiat teater yang melalui dua zaman iaitu zaman penjajahan serta zaman kemerdekaan dan banyak menghasilkan karya yang mantap dan mempunyai impak khususnya dalam memperkatakan isuisu berhubung bangsa Melayu.


Syed Alwi dianggap sebagai tokoh terkemuka yang mengangkat martabat teater tanah air daripada corak purbawara dan bangsawan kepada corak yang lebih bersifat kontemporari.


Antara karyanya yang memenangi pelbagai hadiah ialah drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris "I Remember The Rest House" (1992) dan "Member of The Club" (1994).


Syed Alwi adalah pengasas Kumpulan Teater Seni Malaya (Malayan Art Theater Group) pada tahun 1951, yang kemudian bertukar menjadi Malaysian Art Theater Group.


Beliau pernah mengarah dan berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and the Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.


Syed Alwi pernah bertugas dengan RTM, TV3 dan NTV7 sebagai pengurus, penerbit, pelakon, penulis dan pengarah selain pernah bertugas dengan Filem Negara, Panggung Negara, Akademi Seni Kebangsaan, Universiti Malaya dan Pejabat Penerangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Beliau diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara. BERNAMA (Dipetik daripada The Star Online, 2 Disember 2008)

Komen:
Pergi sudah seorang lagi teman seni menemui Sang Penciptanya. Seperti baru semalam kami bertemu di kediamannya di petaling Jaya untuk membincangkan penerbitan buku drama hasil ciptaannya. Pada hal ia sudah hampir dua dekad berlalu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).