Allahyarham Cikgu Shaharom Hussain: Pemikirannya dibincangkan dalam satu seminar di Johor Bahru beberapa tahun yang lalu.
Menilai Pemikiran Shaharom Hussain
Orang lama dalam komuniti budaya Johor, Haji Hamdan Abd. Rahman,
terlalu kecewa dengan pendekatan seminar pemikiran Shaharom Hussain yang
diadakan di Johor Bahru 4 April lalu. Menurutnya seminar tidak mencapai tujuan
sebenarnya. Sambil membelek-belek kertas beberapa kertas kerja yang
dibentangkan hari itu, Hamdan Rahman “tidak melihat pemikiran tokoh budaya
Shaharom”. Katanya, “Tidak ada satu pun kertas hari ini, kecuali yang
dikemukakan Hamdan Yahya, yang menyentuhnya.” Hamdan Yahya adalah bekas
pengarah Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Hamdan Rahman mahu pihak berwajib memberikan sesuatu yang setimpal
sebagai mengenang sumbangan Shaharom yang berusia 85 tahun tapi masih mampu
berkarya. Beliau mencadangkan Yayawan Warisan Johor dan Gapena mencari jalan agar Shaharom dianugerahkan gelaran Datuk atau gelaran yang
setimpal. Malah, katanya, “Shaharom sudah lebih daripada sepatutnya
dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.”
Mana Sikana, salah seorang pembentang kertas kerja bersetuju dengan
pendapat Hamdan Rahman. Tetapi Mana Sikana menganggap bahawa pra-syarat
anugerah hampir membuatkan Shaharom mustahil dianugerahkan gelaran seumpama
itu. Beberapa kriteria syarat perlu diubah. Mana Sikana mencadangkan supaya
penilaian karya calon sasterawan negara mesti diasaskan terutamanya kepada
faktor berdaya tahan dan masih diperkatakan. DBP perlu membuat penilaian semula
tentang pra-syarat ini. Jika hal ini dapat dilakukan kemungkinan besar Shaharom
boleh tersenarai dalam barisan calon utama.
Shaharom masih menulis. Tokoh-tokoh seangkatannya sudah lama pergi.
Yang ada hanyalah seorang berdua seperti Datuk Abdullah Hussain, Awal il Sarkam
dan sedikit junior A. Samad Ismail. Namun dua terakhir ini “sudah pencen
menulis”. Tinggal Abdullah Hussein yang
masih terus berkarya. Persoalan yang berlegar ialah mengapa Shaharom
tidak pernah disenarai pendekkan sebagai calon sasterawan negara. Apakah
karyanya diangap tidak senilai karya sasterawan negara yang lain. Atau Shaharom
terlalu lokal dan tidak begitu menonjol dalam arena sastera tanah air. Tidak
seperti S. Othman kelantan, Abdullah Hussain, Dato’ Shahnon Ahmad dan
lain-lain.
Enam kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari itu, bersama ucap
utama oleh Datuk Johan Jaafar. Kecuali Mana Sikana, semua pembentang terdiri
daripada anak watan Johor sendiri, termasuk pengucap utama Johan. Nilai
pemikiran Shaharom disentuh seimbas lalu oleh Hamdan Yahya sedangkan yang lain
lebih menitik-beratkan elemen luaran dan fizikal daripada tokoh yang
diperkatakan. Hamdan memperlihatkan unsur nasionalisme dalam drama-drama
Shaharom. Hamdan menyandarkan pendapatnya ini melalui tafsiran sejarawahan Hans
Kohn dari Sustria-Hungary.
Unsur ini terlihat jelas dalam drama “Keris Laksamana Bentan” dan
“Badik Panglima Riau.” Hamdan menyebut penentangan terhadap raja dalam Keris
Laksamana Bentan adalah bercirikan nasionalisme. Sementara dalam “Badik
Panglima Riau” ciri nasionalisme diperlihatkan melalui kesetiaan kepada
kumpulan yang dicerminkan oleh watak antagonis Daing Matekoh.
Uacap Utama Johan tidak banyak menonjolkan tokoh yang diseminarkan
tetapi cenderung mengasosiasikan dirinya dengan dunia drama Shaharom. Mukadimah
ucap utama sebelum sampai kepada pengenalan tentang tokoh berputar di
sekeliling penglibatan pengucap utama dalam dunia bangsawan sejak kecil.
Mukadimah panjang ini diwajarkan melalui hubung kait antara bangsawan dan drama
pentas.
Amat disayangkan impak pengokohan Shaharom Husain tidak terserlah
seperti yang sepatutnya. Seperti kata seoranng peserta seminar, “Ucapan utama
baik dari sudut sejarah namun akan menjadi lebih baik sekiranya seluruh ucap
utama pagi itu dipusatkan kapda pemikiran Shaharom dan arah tujunya
perjuangannya dalam berkarya.” Tiga kertas kerja berkisar hanya tentang
Shaharom seperti ketokohannya, rumahnya yang dinamakan Gapura Sastera dan
mengapa dan bagaimana Shaharom berkarya. Satu mengulas novel Siapa Gila
sementara satu lagi petikan artikel dari buku yang dilancarkan sempena seminar,
berjudul “Shaharom Husain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat dari
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bagaimanapun, ada sesuatu yang menarik dalam kertas kerja Mana Sikana
yang berjudul, “Ketokohan Shaharom Husain Sebagai Penulis Skrip Drama.” Mana
Sikana menganggap Shaharom sebagai pelopor Drama Melayu moden, sama taraf
dengan Syed Alwi al-Hady dalam bidang novel atau Ponggok dalam bidang sajak.
Dan menurut Mana Sikana, drama “Si Bongkok Tanjung Puteri” merupakan drama
terbaik yang pernah dihasilkan Shaharom daripada sejumlah tujuh karya yang
dihasilaknnya. Kesemua tujuh buah drama ini telah dibukukan, iaitu “Si Bongkok
Tanjung Puteri”(1962), “Harimau Johor” (1962), “Tun Seri Lanang” (1968),
“Balang Emas” (1964), “Tonggak Kerajaan Johor” (1957), “Tun Fatimah” (1964) dan
“Wak Cantok” (1965).
Di samping drama, Shaharom turut menghasilkan 18 novel sejarah,
termasuk 12 novel sejarah. Dua novel terakhirnya ialah “Di Bawah Hujan Peluru”
yang diterbitkan oleh AF Communications pada tahun 2002 dan “Di Bawah Bulan dan
Matahari” (2004). Enam buku sejarah telah juga diterbitkan, terakhir “Sejarah
Johor” yang terbit pada tahun 1998. Sementara empat buah buku pengembaraan dan
tiga buku umum sastera melengkapi penghasilan karya sasteranya sepanjang hampir
50 tahun berkarya.
Walaupun tidak begitu dibicarakan di peringkat nasional, Shaharom mula
mendapat tempat, setidak-tidaknya di hati orang Dewan Bahasa. Ketua
Pengarahnya, Datuk Haji Aziz Deraman dalam ucapan alu-aluannya berkata,
“Apabila kita menyentuh mengenai jasa Shaharon Husain yang begitu banyak dalam
kesusasteraan Johor dan negara pula, ia wajar dicontohi oleh generasi muda.”
Ucapan ini dianggap satu pengiktirafan oleh kerajaan terhadap ksumbangan
Shaharom dalam dunia kesusasteraan tanah air.
Begitu juga halnya dengan kerajaan Johor yang memberikan
pengikritarafan. Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abdul. Ghani Othman ketika
merasmikan seminar dan seterusnya melancarkan buku “Shaharom Husain Gapura
Sastera Johor” berkata kerajaan Johor mahu Yayasan Warisan Johor menerbitkan
semula karya-karya sasterawan Shaharom
untuk dijadikan bahan rujukan oleh
aktivis sastera, terutama di kalangan generasi muda.
Baik Aziz mahupun Abdul Ghani usaha mengetengahkan karya Shaharom ini
boleh dikaitkan dengan cara berfikir tokoh berkenaan. Mesej apa yang mahu
disampaikannya? Dan semangat kental yang bagaimana perlu dicontoh generasi
muda? Generasi muda mampu menilai pemikiran Shaharom melalui karyanya, walaupun
pada seminar itu tidak banyak unsur pemikiran yang didedahkan. Malah tidak ada
satu pun resolusi lapan perkara yang diterima di akhir sidang yang relevan
dengan pemikiran sang tokoh.
Antara resolusi yang diterima ialah kerajaan Johor diminta menamakan
sebatang jalan di bandar Johore Bahru
sebagai Jalan Shaharom Husain. Kerajaan Johor digesa menamakan sebuah bangunan
atau institusi dengan nama Shaharom.
Kediaman Gapura Sastera dicadangkan dijadikan Galeri Gapura Sastera Negeri
Johor. Jika resolusi ini dapat dilaksanakan maka setikda-tidaknya harapan orang
lama budaya Johor Hamdan Rahman tidak lagi murung melihat keadaan Shaharom
seperti disisihkan dengan karyanya tidak dihargai. (Pernah disiarkan dalam Utusan Zaman berdasarkan Seminar Pemikiran Shaharom hussain di Johor Bahru beberapa tahun yang lalu).