Allahyarham Dr. Shaharom Husain, kiri, dan anak sulung Allahyarham Prof. Dr. Hatta Shaharom, ketika ditemu bual A.F.Yassin di rumah Dr. Hatta, Gombak,Selangor, 18 November 2007.
Khazanah sastera peninggalan Shaharom wajar diselamatkanBerita Harian Online, 16 Oktober 2008
DUNIA kesusasteraan Melayu kehilangan seorang lagi tokoh besar apabila sasterawan Shaharom Husain yang lahir pada 4 November 1919 di Kampung Peserai, Mukim Tiga, Batu Pahat meninggal dunia pada 2 Oktober, lalu.
Dalam dunia penulisan, beliau turut menggunakan nama Dharmaya, Mashur Malaya, Shabhi, Tokoh Guru dan Tokoh Budaya.
Allahyarham Shaharom menghasilkan beberapa novel yang terbit sebelum dan selepas kemerdekaan. Antara 10 Julai 1511 (1947), Hantu Laut (1948), Korban Sungai Muar (1948), Tun Fatimah (1948), Bermandi Darah di Sungai Johor (1949), Jiwa Melarat (1949), Berpaling ke Akhirat (1950), Kecewa (1950), Keris Laksamana Bentan (1954), Korban Kuala Kubu Karam (1955), Lembing Awang Pulang ke Dayang (1959) dan Bendahara Tepok (1963).
Beliau juga menghasilkan karya drama seperti Tonggak Kerajaan Johor (1957), Tun Seri Lanang (1959), Harimau Johor (1962), Tun Fatimah (1964), Si Bongkok Tanjung Puteri (1965) dan Wak Cantuk (1966).
Ketika hayatnya, Shaharom menerima beberapa anugerah seperti 'Tokoh Guru Berjasa Johor' (1983), 'Tokoh Guru Kebangsaan Malaysia (1984)', 'Tokoh Budaya Johor' (1991) dan 'Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan' UKM (1989).
Namun, selepas kematiannya, satu daripada cabaran besar yang perlu ditangani ialah untuk menyelamatkan khazanah sastera tinggalan Shaharom. Di rumah asalnya, 'Gapura Sastera' di Kempas, Johor Bahru, menyimpan koleksi yang amat berharga.
Selama beberapa dekad, sejak 1940-an, beliau membeli dan menyimpan pelbagai jenis akhbar, majalah, jurnal, pelbagai kertas kerja seminar dan simposium serta buku dari dalam dan luar negara. Sebahagian koleksinya, tidak ada di mana-mana arkib atau perpustakaan penting di negara ini.
Khazanah sastera tinggalan beliau amat tinggi nilainya dan wajar diselamatkan melalui kaedah koleksi serta pengawetan terkini. Di negara bercuaca lembap seperti Malaysia, bahan yang tidak disimpan melalui kaedah sesuai mudah reput dan rosak.
Oleh itu, wajarlah usaha menyelamatkan koleksi sastera beliau dilakukan segera. Semakin lambat proses penyelamatan dilakukan, semakin banyak bahan akan rosak. Kerosakan bahan akan merugikan generasi muda atau penyelidik yang berhasrat meneliti isu sastera dan kemasyarakatan dalam sesuatu zaman.
Diharapkan, pihak Arkib Negara, Perpustakaan Negara, Yayasan Warisan Johor dan Dewan Bahasa dan Pustaka, mengadakan perbincangan dengan waris Shaharom demi merangka dan mengambil langkah positif untuk menyelamatkan khazanah sastera tinggalan tokoh sastera dan budaya yang luar biasa ini.
Generasi kini dan akan datang pasti terhutang budi kepada Shaharom yang mempunyai koleksi seni, sastera dan budaya meliputi tempoh lebih tujuh dekad.
DATUK DR ANWAR RIDHWAN,
Dekan Fakulti Penulisan
Akademi Seni Budaya
dan Warisan Kebangsaan (Aswara),
Kuala Lumpur.
komen:
Cadangan Dekan Fakulri Aswara itu patut diberi pertimbangan serius. Jika kita mahu lihat khazanah tokoh budaya, terkenal dengan drama Si Bongkok Tanjung Puteri itu terselamat daripada dimamah zaman.
Sebagai salah seorang peminatnya yang sering menemuinya ketika hayatnya, saya rasa temu bual terakhir dengan beliau di kediamanan anaknya Dr. Hatta Shaharom di Taman Berlian, Gombak pada 18 November 2007 yang lalu merupakan pandangan dan pendapat rasmi terakhir Allahyarham mengenai perkembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu.
Semasa ditemu bual Allahyarham menyatakan rasa kesalnya terhadap sikap sesetengah golongan masyarakat yang mula meminggirkan peranan bahasa, sastera dan budaya Melayu. Katanya, "Banyak orang tanya saya tentang bahasa. Saya kata bahasa Melayu sekarang ni nak dikatakan bahasa rasmi tak pulak. Orang hanya mementingkan soal bisnes sahaja. Itu sahaja. Lain tak ada. Bahasa Melayu dah tak begitu penting lagi."
Apabila ditanya bagaimana Allaharham mahu dikenang oleh masyarakat Allahyarham menjawab " Tengok pada keadaan sekarang, dia orang berkehendakkan pengalaman saya. Dan itu yang kerajaan Johor minta dan saya berikan. Dia berkehendakkan pengalaman saya, hidup saya. Dia orang mahu dengar saya berkecimpung di dalam pendidikan, bahasa, budaya, sastera, politik. Bacalah buku saya "Di bawah Hujan Peluru"....
"Saya ada satu buku, saya tak tau siapa yang nak terbitkan buku itu… Sudah siap… Namanya Puteri Gunung Kinabalu. Awak tak ada niat nak terbitkan buku saya? Kalau ada yang menaja saya terbitkanlah. Sekarang saya tunggu orang menaja, kalau ada yang sanggup.Gambar-gambarnya pun dah siap."
No comments:
Post a Comment