Sahmad Malaya (kiri) bersama-sama Haji Kamaluddin Lela dalam pertemuan kami di Temerloh, 18 Januari 2009.Pergi yang tak akan kembali:
Teman-teman tinggal kenangan
Aktivis budaya Allahyarham Syed Ahmad Syed Abdullah (Sahmad Malaya) yang berpulang ke rahmatullah dua hari lalu (7 Julai 2009) memang saya kenali sejak dekad 1970-an lagi, tetapi entah kenapa tak berapa mesra sangat. Malah beberapa kali juga teh tarik bersama di Jalan Pahang (gerai mamak di hadapan HKL) atau di majlis-majlis Gapena, sebaliknya tak juga rapat. Barangkali kami sama-sama pendiam, di samping sekadar lebih senang mendengar rakan-rakan mengomel. Entahlah! Pernah juga sekitar Ogos 1973, saya bersama Allahyarham Pak Sako (Dato' Dr Ishak Haji Muhammad) terkandas di Temerloh, kira-kira jam 8.00 malam dalam perjalanan balik dari Kemaman.
Kami kehabisan wang tambang untuk balik ke Kuala Lumpur, di samping cukup untuk tambang teksi seorang sahaja. (Ketika itu masih belum dibina lebuhraya ke pantai timur, malah masih lagi melalui jalan Bentong lama). Justeru Pak Sako sarankan menginap di hotel di Temerloh, kerana beliau boleh hubungi Sahmad Malaya atau ramai saudara maranya, bagi menampung perbelanjaan. Disebabkan saya meninggalkan pejabat (lebih 15 hari, dengan tak mengambil cuti), terpaksa juga saya balik ke Kuala Lumpur seterusnya ke Seremban (kira-kira hampir jam 12.00 malam baru sampai ke Seremban, kerana perkhidmatan bas masih beroperasi), dengan baki tambang di saku Pak Sako. (Bagi pemahaman generasi sekarang, bagaimana persahabatan perlu terjalin, seolah-olah Wahab dan Bung Hashim dalam novel 'Patah Sayap Terbang Jua' A Samad Ismail).
Memang saya tak sempat bertemu Sahmad atau 'Abah' malam berkenaan, setelah Pak Sako hubungi beliau. Pak Sako beritahu sepeninggalan saya balik, ramai teman-teman dan sanak saudaranya di Temerloh yang menemui hingga santak ke pagi. Bagaimanapun di Pahang memang mereka berbangga dengan Semantan (bukannya Temerloh) iaitu Lancang membawa ke Mentakab, lokasi gerakan gerila yang dibangkitkan oleh Dato' Bahaman (gambar). Apalagi jawatan Dato' Setia Perkasa Orangkaya Semantan yang dipegang Dato' Bahaman tak pernah dimansuh, malah berdasarkan perjanjian lisan bersama sahabatnya jawatan itu diserahkan kepada Dato' Syed Ali al-Habsyi (atau al-Jaffri). Selepas meninggal dunia jawatan berkenaan digilirkan pula kepada anaknya Dato' Syed Abdullah (bekas ADUN Mentakab 1959-1969).
Satu ketika Pak Sako pernah melahirkan rasa tersinggung dengan sikap rakan seperjuangan Ibrahim Haji Yaakob (Iskandar Kamal) yang berkunjung ke Petaling Jaya sekitar 1970-an, tetapi tak memberitahu insiden yang berlaku. (Saya difahamkan Iskandar Kamal lebih melayan rakan-rakan kalangan perbankan, disebabkan beliau pimpinan perbankan di Indonesia, seolah-olah tak peka dengan kehadiran Pak Sako dalam majlis berkenaan). Bagaimanapun Pak Sako tetap menyanjung tinggi perjuangan Ibrahim Haji Yaakob. Ketika teh tarik bersama Haji Kamarudzaman Salleh semalam (8 Julai 2009), beliau memberitahu YTM Dato' Lela Maharaja Dato' Haji Muhamad Sharip Othman, Undang Luak Rembau masih memanggil saya dengan nama 'Pak Sako'.
(Dharmala NS).
Catatan Dharma (Dharmala NS) melalui Blognya pada 9 Julai 2009 di atas mengingatkan saya kepada pertemuan terakhir dengan Arwah Sahmad Malaya di rumahnya di Temerloh, pada 12 November 2008, pukul 3.00 petang, dan sekali lagi pada 18 Januari 2009, pukul 11.30 pagi. Saya mengunjungi Allahyarham bersama mantan wartawan Utusan Melayu, Haji Kamaluddin Lela, yang kebetulan pula orang Pahang (Kuala Lipis).Tujuan kunjungan kami pada kali kedua pada 18 Januari 2009 adalah untuk menjemputnya bersama ke kediaman Dato’ Orang Kaya Indera Segara Pahang, YM Tengku Ibrahim bin Tengku Muhammad di Pekan. Oleh kerana ketika itu Sahmad Malaya atau “Abah” tidak beberapa sihat, maka kami tidak membawanya bersama dan kami berbual selama 45 minit sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan dan Pekan.
Kami meminta pendapatnya tentang isu raja berperlembagaan, berikutan krisis politik di Perak. Sahmad Malaya atau Haji Saiyed Ahmad bin Saiyed Abdullah, 79 (lahir 28 Disember 1929), mesra dengan panggilan “Abah” di kalangan kawan-kawan budayawan, guru dan masyarakat tempatan berbual dalam keadaan suara tersekat-sekat. Masih belum sihat betul, katanya. Di Pahang, Allahyarham berkait keluarga dengan keluarga diraja, dua pupu dengan DYMM Baginda Sultan Ahmad Shah. Beliau dipanggil “ayahanda” oleh DYTM Tengku Abdullah, Tengku Mahkota, sementara DYMM Baginda Sultan Ahmad memanggil Saiyed Ahmad “Master”. Allahyarham terlatih sebagai pendidik, lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris, (MPSI sekarang UPSI), Tanjung Malim dan pernah aktif dalam prsatuan belia dan politik. Disebabkan politik kekiriannya dan mendampingi tokoh-tokoh politik Pahang seperti Pak Sako dan Ahmad Boestamam, Allahyarham sering ditukarkan tempat mengajar di hampir segenap daerah di Pahang. Pernah ditugaskan di sekolah di Hulu Tembeling selama dua tahun (1964 – 1965). Allahyarham adalah salah seorang pengasas Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP). Allahyarham masih lagi menjadi ahli Lembaga Pengarah Muzium Pekan.
Nama Sahmad Malaya yang digunakan sebagai nama samaran ini dikaitkan dengan minat beliau kepada sejarahwan Johor, Cikgu Shaharom Hussein yang menggunakan nama Mashur Malaya. Setelah itu Allahyarham bersama-sama rakannya yang belajar di MPSI menggunakan nama Malaya di hujung nama samaran. Di samping beliau yang menggunakan nama “Sahmad Malaya” ialah Pengarang Harun Hassan yang menggunakan “Belia Malaya” dan Abdul Hamid Hashim, pengarang dari Kedah yang menggunakan nama “Rumaja Malaya.”
Menurutnya, kesemua tokoh yang menggunakan nama samaran di akhir nama kini telah meninggal dunia. Hanya beliau seorang sahaja yang masih hidup yang membawa nama “Malaya” itu sehinggalah Allahyarham ikut sama awal Julai ini. Ketika itu Allahyarham masih berbangga kerana hanya Allahyarham merupakan tokoh pengarang terakhir yang memahat nama samaran demikian. Nama Sahmad adalah kependekan daripada nama sebenarnya Saiyed Ahmad.
Dalam perbualan itu Sahmad Malaya bercerita tentang keikhlasan Baginda Sultan Ahmad Shah mendampingi rakyat, Katanya, baginda sebagai Sultan dan Raja Pemerintah Pahang membela senantiasa bersama rakyat di waktu senang dan sudah, di waktu kritis dan waktu tenang. Sikap dan tindakan baginda bukan bukan dibuat-buat. Baginda menerima pendidikan tidak formal daripada Almarhum ayahanda Sultan Abu Bakar untuk mengasihi rakyat di mana pun mereka berada, sambil mengingatkan bahawa baginda Sultan ibarat payung kepada rakyat. Sahmad bercakap tentang Almarhum Sultan Abu Bakar.
Sahmad melihat Almarhum Sultan Abu Bakar begitu ramah bergaul dengan rakyat tanpa hadirnya sebarang sebarang rintangan psikologi baik dalam cara berbual mahupun dalam cara bertingkah laku. Ini dapat dibuktikan apabila dalam sesuatu majlis keramaian, Almarhum Sultan Abu Bakar sering mengakhiri keberangkatan Baginda dengan acara yang di luar aturan protokol. Bagi Almarhum Sultan Abu Bakar, antara baginda dengan rakyat tidak ada kedudukan tinggi rendah. Almarhum malah lebih pantas bertindak jika berlaku malapetaka seperti banjir dan kebakaran. Almarhum adalah orang yang mula sampai di tempat kejadian dan tindakan Almarhum ini diikuti secara tradisi oleh anakanda dan cucunda yang ada sekarang. Semuanya sama belaka.
Sahmad yakin Almarhum Sultan Abu Bakar menunjukkan kemesraan yang lebih mendalam terhadap rakyat jelata. Katanya, “Saya yakin rakyat memberi taat setia yang tidak berbelah bagi kepada almarhum.” Yang mengkagumkan Sahmad ialah kekuatan daya ingat Almarhum Sultan Abu Bakar dan hal ini pun turut dimiliki Baginda Tuanku Sultan Ahmad Shah sekarang. Baginda berdua dapat mengingat nama dan tempat bertemu rakyatnya walaupun pertemuan telah berlangsung berbulan-bulan lamanya. Seperti kata Saiyed Ahmad, “ Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.” Dan dalam berpakaian Almarhum lebih gemar memakai Baju Melayu dengan kain pelikat, terutama apabila Baginda berangkat jalan-jalan di sekitar Bandar Pekan, terutamanya.
Ketika meminta diri menreuskan perjalanan ke Kuantan dan Pekan, kami diiringi Sahmad hingga ke pintu pagar rumahnya dan melambaikan tangan sehingga kami hilang dari pandangannya. Kami tidak akan lupa akan jalan ke rumahnya yang kami lalui berhampiran Sungai Pahang, iaitu Jalan Indera Segara, rumah No. E-48, Temerloh.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Amin Ya Rabul-Alamin!
No comments:
Post a Comment