Pelancaran Tanduk Sumbing dan seminar kesusasteraan tajaan UPSI Tanjung Mlim 31 Julai 2010 hujung minggu. Pendaftaran masuk hanya RM10.Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan melancarkan buku TANDUNK SUMBING 31 Julai ini. Pelancaran buku anjuran UPSi ini diadakan dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman (Budiman). Tidak jelas adakah buku ini diterbitkan oleh Persatuan Penulis Budiman atau oleh UPSI sendiri. Oleh kerana Ketua kursi berkenaan, Prof. Dr. Datuk Zainal Kling terlibat aktif maka diperkirakan buku ini ada kaitannya dengan UPSI dengan bantuan Budiman. Juga tidak jelas apakah Budiman, ringkasan kepada Persatuan Penulis Budiman itu ada kaitan dengan Persatuan Suluh Budiman, yang pada satu ketika amat terserlah aktif pada tahun-tahun 1980an dahulu. Jika Persatuan Suluh Budiman tiada kaitan maka UPSI hari ini mempunyai tiga organisasi pendidikan yang berusaha meningkatkan daya saing dalam kalangan dunia persuratan tanah air. Satu UPSi itu sendiri di mana bernaungnya Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba. Kemudian ada Persatuan Suluh Budiman dan kini ada pula Persatuan Penulis Bdiman (Budiman). Besar kemungkinan buku TANDUK SUMBING ini diterbitkan oleh Persatuan Penulis Budiman dengan kerjasama erat Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba. Buku ini berupa antologi cerpen dan puisi yang diselnggarakan Ismail Man.
Sempena pelancaran buku antologi cerpen puisi ini diadakan pula seminar Perkembangan Kesusateraan Mutakhir. Ada tanda-tanda bahawa Kursi Tun Abdul Ghaffar Baba ini akan menjadi bertambah aktif pada tahun-tahun akan datang memandangkan peneraju kursi Datuk Zainal Kling sendiri adalah juga salah satu orang kuat GAPENA. Dan kita faham usaha yang berterusan sedang terus dilakukan GAPENA dalam meningkatkan martabat kaum penulis di negeri ini. Dan bukan sedikit masa dan tenaga dikeluarkan untuk membina tamadun Melayu, terutama dalam bidang persuratan. Zainal ialah ketua Kursi dan penglibatannya dalam GAPENA mengundang inspirasi yang bukan sedikit demi masa depan dunia persuratan Melayu.
Menariknya, seminar ini mengundang penulis dan tokoh yang bukan sahaja sedang mengukir nama dalam persada persuratan, tetapi tokoh-tokoh ini adalah barisan depan bidang kesusasteraan hari ini. Mereka ini aktif menulis. Mereka juga aktif memartabatkan dunia persuratan. Pada majlis seminar sehari itu nanti tokoh-tokoh ini akan bercerita tentang hampir semua genre sastera, dan yang tentunya turut menyangkut hasil karya yang dibukukan.
Dalam bidang cerpen yang hadir akan berpeluang mengikuti kupasan terkini tentang genre ini. kupasan cerpen akan dibentangkan S.M.Zakir Mohamad Daud Mohamad dan Arif Mohamad, semuanya penulis yang mewakili Persatuan penulis Nasional (PENA), Dewan Bahasa dan Pustaka dan Budiman sendiri. Dalam bidang novel ada pula tokoh-tokoh muda yang amat berbakat seperti Dr. Mawar Shafie dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azhar Wahid dari Budiman dan Nisah Haron seorang peguam yang menggelar dirinya penulis bebas.
Bidang puisi pula akan mengetengahkan tokoh-tokoh muda Nafi Mat dari Universiti Putera Malaysia (UPM), A. Halim Ali yang mewakili Budiman dan penulis tak asing lagi dari UPSI, Prof. Dr. Zakaria Ali (bila pindah dari USM?).
Seperti lazimnya satu forum menarik akan diadakan di akhir sesi sidang. Ia menyangkut Persoalan Sastera Mutakhir: Cabaran dan Masa Depan. Tiga ahli panel dilantik yang terdiri daripada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin dari UPSI, Dr. Haji Mohd Johari Ab. Hamid dari Budiman dan Dr. Abd. Ghani Abu juga dari Budiman. Moderator forum ialah Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis. Bukhari bukan asing lagi dalam dunia persuratan, begitu juga dengan nama Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Dua nama ini beserta Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohd Yusof Hassan adalah tunggak majlis atas dasar mereka sudah lama berkecimpung dalam dunia persuratan. Abdullah orang bahasa tetapi telah menulis banyak buku tentang bahasa dan motivasi. Begitu juga dengan Mohd Yusof yang telah menulis dalam bidang sastera, khususnya kritikan.
Accara sehari ini akan bermula jam 8.00 psgi. Kurang jelas siapa yang akan merasmikannya. Apakah yang akan merasmikannya nanti seorang pemimpin negara a.k.a orang politik, atau orang ilmuan dari menara gading atau tokoh persuratan. Yang penting mahu dilihat ialah hasil seminar dan maklum balas daripada pelancaran antologi TANDUK SUMBING ini. Tersenyum juga saya apabila membaca judul antologi cerpen puisi ini yang akan dilancarkan. Sebabnya yang bertanduk biasanya haiwan seperti kerbau dan lembu. Atau kambing mahupun rusa. Jarang kita dengar haiwan bertandunk sumbing kecuali mereka baru lepas berlaga.
Apapun, Selamat Bersidang orang UPSI, khususnya Kursi tun Abd. Ghaffar Baba!
No comments:
Post a Comment