Keratan akhbar tentang pemergian budayawan Shaharom Hussain tidak lama dahulu.Ketika Catatan ini ditulis dan disiarkan dalam Utusan Zaman pada 2004, Allahyarham Shaharom Hussain masih lagi aktif menulis. Setiap kali berkunjung ke Johor Bahru, saya akan menemuinya di kediamannya di Kempas. Beliau gembira dapat bertemu dengan kawan-kawan, terutama dari Kuala Lumpur. Dan seperti biasa beliau akan memaklumkan bahawa pada sebelah paginya beliau akan berada di pusara isterinya di Tanah Perkuburan Mahmudiah. Setahun yang lalu saya menemuinya di rumah anaknya, Dr. Hatta di Gombak. Shaharom kelihatan begitu uzur.
Kata-katanya juga tidak menunjukkan bahawa beliau kencang berbual seperti selalunya. Setelah sejam bersamanya beliau minta diri masuk ke kamarnya untuk beristirehat. Itulah kali terakhir saya berjumpa dengannya. Kami sempat berbual secara ala-kadar kerana beliau berada dalam keadaan ingat-ingat lupa. Rencana yang saya tulis di bawah ini berupa catatan saya bersandarkan Seminar Pemikiran Shaharom Hussain yang diadakan di Johor Bahru, tajaan Yayasan Warisan Johor pada April 2004.
CATATAN AF.YASSIN
Menilai Pemikiran Shaharom HussainOrang lama dalam komuniti budaya Johor, Haji Hamdan Abd. Rahman, terlalu kecewa dengan pendekatan seminar pemikiran Shaharom Hussain yang diadakan di Johor Bahru 4 Mei 2004 yang lalu. Menurutnya seminar tidak mencapai tujuan sebenarnya. Sambil membelek-belek kertas beberapa kertas kerja yang dibentangkan hari itu, Hamdan Rahman “tidak melihat pemikiran tokoh budaya Shaharom”. Katanya, “Tidak ada satu pun kertas hari ini, kecuali yang dikemukakan Hamdan Yahya, yang menyentuhnya.” Hamdan Yahya adalah bekas pengarah Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Hamdan Rahman mahu pihak berwajib memberikan sesuatu yang setimpal sebagai mengenang sumbangan Shaharom yang berusia 85 tahun tapi masih mampu berkarya. Beliau mencadangkan Yayawan Warisan Johor dan Gapena mencari jalan agar Shaharom dianugerahkan gelaran Datuk atau gelaran yang setimpal. Malah, katanya, “Shaharom sudah lebih daripada sepatutnya dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.”
Mana Sikana, salah seorang pembentang kertas kerja bersetuju dengan pendapat Hamdan Rahman. Tetapi Mana Sikana menganggap bahawa pra-syarat anugerah hampir membuatkan Shaharom mustahil dianugerahkan gelaran seumpama itu. Beberapa kriteria syarat perlu diubah. Mana Sikana mencadangkan supaya penilaian karya calon sasterawan negara mesti diasaskan terutamanya kepada faktor berdaya tahan dan masih diperkatakan. DBP perlu membuat penilaian semula tentang pra-syarat ini. Jika hal ini dapat dilakukan kemungkinan besar Shaharom boleh tersenarai dalam barisan calon utama.
Shaharom masih menulis. Tokoh-tokoh seangkatannya sudah lama pergi. Yang ada hanyalah seorang berdua seperti Datuk Abdullah Hussain, Awal il Sarkam dan sedikit junior A. Samad Ismail. Namun dua terakhir ini “sudah pencen menulis”. Tinggal Abdullah Hussein yang masih terus berkarya. Persoalan yang berlegar ialah mengapa Shaharom tidak pernah disenarai pendekkan sebagai calon sasterawan negara. Apakah karyanya diangap tidak senilai karya sasterawan negara yang lain. Atau Shaharom terlalu lokal dan tidak begitu menonjol dalam arena sastera tanah air. Tidak seperti S. Othman kelantan, Abdullah Hussain, Dato’ Shahnon Ahmad dan lain-lain.
Enam kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari itu, bersama ucap utama oleh Datuk Johan Jaafar. Kecuali Mana Sikana, semua pembentang terdiri daripada anak watan Johor sendiri, termasuk pengucap utama Johan. Nilai pemikiran Shaharom disentuh seimbas lalu oleh Hamdan Yahya sedangkan yang lain lebih menitik-beratkan elemen luaran dan fizikal daripada tokoh yang diperkatakan. Hamdan memperlihatkan unsur nasionalisme dalam drama-drama Shaharom. Hamdan menyandarkan pendapatnya ini melalui tafsiran sejarawahan Hans Kohn dari Sustria-Hungary.
Unsur ini terlihat jelas dalam drama “Keris Laksamana Bentan” dan “Badik Panglima Riau.” Hamdan menyebut penentangan terhadap raja dalam Keris Laksamana Bentan adalah bercirikan nasionalisme. Sementara dalam “Badik Panglima Riau” ciri nasionalisme diperlihatkan melalui kesetiaan kepada kumpulan yang dicerminkan oleh watak antagonis Daing Matekoh.
Uacap Utama Johan tidak banyak menonjolkan tokoh yang diseminarkan tetapi cenderung mengasosiasikan dirinya dengan dunia drama Shaharom. Mukadimah ucap utama sebelum sampai kepada pengenalan tentang tokoh berputar di sekeliling penglibatan pengucap utama dalam dunia bangsawan sejak kecil. Mukadimah panjang ini diwajarkan melalui hubung kait antara bangsawan dan drama pentas.
Amat disayangkan impak pengokohan Shaharom Husain tidak terserlah seperti yang sepatutnya. Seperti kata seoranng peserta seminar, “Ucapan utama baik dari sudut sejarah namun akan menjadi lebih baik sekiranya seluruh ucap utama pagi itu dipusatkan kapda pemikiran Shaharom dan arah tujunya perjuangannya dalam berkarya.” Tiga kertas kerja berkisar hanya tentang Shaharom seperti ketokohannya, rumahnya yang dinamakan Gapura Sastera dan mengapa dan bagaimana Shaharom berkarya. Satu mengulas novel Siapa Gila sementara satu lagi petikan artikel dari buku yang dilancarkan sempena seminar, berjudul “Shaharom Husain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bagaimanapun, ada sesuatu yang menarik dalam kertas kerja Mana Sikana yang berjudul, “Ketokohan Shaharom Husain Sebagai Penulis Skrip Drama.” Mana Sikana menganggap Shaharom sebagai pelopor Drama Melayu moden, sama taraf dengan Syed Alwi al-Hady dalam bidang novel atau Ponggok dalam bidang sajak. Dan menurut Mana Sikana, drama “Si Bongkok Tanjung Puteri” merupakan drama terbaik yang pernah dihasilkan Shaharom daripada sejumlah tujuh karya yang dihasilaknnya. Kesemua tujuh buah drama ini telah dibukukan, iaitu “Si Bongkok Tanjung Puteri”(1962), “Harimau Johor” (1962), “Tun Seri Lanang” (1968), “Balang Emas” (1964), “Tonggak Kerajaan Johor” (1957), “Tun Fatimah” (1964) dan “Wak Cantok” (1965).
Di samping drama, Shaharom turut menghasilkan 18 novel sejarah, termasuk 12 novel sejarah. Dua novel terakhirnya ialah “Di Bawah Hujan Peluru” yang diterbitkan oleh AF Communications pada tahun 2002 dan “Di Bawah Bulan dan Matahari” (2004). Enam buku sejarah telah juga diterbitkan, terakhir “Sejarah Johor” yang terbit pada tahun 1998. Sementara empat buah buku pengembaraan dan tiga buku umum sastera melengkapi penghasilan karya sasteranya sepanjang hampir 50 tahun berkarya.
Walaupun tidak begitu dibicarakan di peringkat nasional, Shaharom mula mendapat tempat, setidak-tidaknya di hati orang Dewan Bahasa. Ketua Pengarahnya, Datuk Haji Aziz Deraman dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Apabila kita menyentuh mengenai jasa Shaharon Husain yang begitu banyak dalam kesusasteraan Johor dan negara pula, ia wajar dicontohi oleh generasi muda.” Ucapan ini dianggap satu pengiktirafan oleh kerajaan terhadap ksumbangan Shaharom dalam dunia kesusasteraan tanah air.
Begitu juga halnya dengan kerajaan Johor yang memberikan pengikritarafan. Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abdul. Ghani Othman ketika merasmikan seminar dan seterusnya melancarkan buku “Shaharom Husain Gapura Sastera Johor” berkata kerajaan Johor mahu Yayasan Warisan Johor menerbitkan semula karya-karya sasterawan Shaharom untuk dijadikan bahan rujukan oleh aktivis sastera, terutama di kalangan generasi muda.
Baik Aziz mahupun Abdul Ghani usaha mengetengahkan karya Shaharom ini boleh dikaitkan dengan cara berfikir tokoh berkenaan. Mesej apa yang mahu disampaikannya? Dan semangat kental yang bagaimana perlu dicontoh generasi muda? Generasi muda mampu menilai pemikiran Shaharom melalui karyanya, walaupun pada seminar itu tidak banyak unsur pemikiran yang didedahkan. Malah tidak ada satu pun resolusi lapan perkara yang diterima di akhir sidang yang relevan dengan pemikiran sang tokoh.
Antara resolusi yang diterima ialah kerajaan Johor diminta menamakan sebatang jalan di bandar Johore Bahru sebagai Jalan Shaharom Husain. Kerajaan Johor digesa menamakan sebuah bangunan atau institusi dengan nama Shaharom. Kediaman Gapura Sastera dicadangkan dijadikan Galeri Gapura Sastera Negeri Johor. Jika resolusi ini dapat dilaksanakan maka setikda-tidaknya harapan orang lama budaya Johor Hamdan Rahman tidak lagi murung melihat keadaan Shaharom seperti disisihkan dengan karyanya tidak dihargai.
No comments:
Post a Comment