Tuesday, 28 April 2009

UKM-UNPAD BANDUNG BINA JAMBATAN BUDAYA


Monumen Nasional di Kota Bandung 2002

Seramai 60 orang pensyarah dan ilmuan dari sebuah universiti di Bandung, Indonesia berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 8-10 Oktober 2002 yang lalu untuk menghadiri Simposium Kebudayaan Malaysia-Indonesia Ke-8. Pensyarah dan ilmuan itu merupakan spesialis dalam bidangnya masing-masing yang berkait dengan kebudayaan dan ilmu sosial lainnya. Rombongan 60 orang itu diketuai oleh Rektor Universitas Padjadjaran Bandung.

Hos simposium ialah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM dan simposium dirasmikan Selasa lalu oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’Aziz Shamsuddin di sebuah hotel terkemuka di Bandar Baru Bangi. Simposum tiga hari itu mengetengahkan 18 kertas kerja, merangkumi pelbagai aspek kebudayaan dan kehidupan berilmu. Semua jurusan di fakulti sains sosial dan kemanusiaan digerakkan untuk menjayakan simposium. Begitu juga halnya dengan Universiti Pajajaran yang mengirim para ilmuan kanan bergelar profesor dan gurubesar. Dekan pelbagai fakulti yang berkait dengan ilmu sosial dan kemanusiaan turut hadir dalam simposium ini, antaranya Prof. Dr Zulrizka Iskandar, Dekan Fakultas Psikologi dan Drs Soeganda Priyatna, Dekan Fakultas Ilmu Komunikasi. Antara yang memberikan ucaputama ialah Datuk Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin dari ATMA.

Termasuk tahun ini telah lapan kali simposium diadakan secara bergilir antara UKM dan UNPAD Bandung. Bagaimana hasilnya? Seorang peserta dari Bandung, Drs Solleh Soemirat, MA dari Fakultas Ilmu Komunikasi menilai simposium sebagai wadah mendekati jurang komunikasi budaya antara dua negara, terutama di kalangan para ilmuan di dua universiti – UKM dan Padjadjaran. Katanya, “Kerjasama erat dalam bidang kelilmuan dan multi-disiplin dapat diteruskan, malah simposium sering mengingatkan kita akan pentingnya kerjasama itu.”

Solleh sedikit gusar dengan arah tuju hubungan dua negara. Katanya, “Adalah membimbangkan di saat kita sedang berusaha mendekatkan jurang komunikasi di kalangan cerdik pandai di universiti, kini ada pula yang buat angkara dan karenah di peringkat orang biasa.” Solleh risau peristiwa yang kurang “enak” yang melibatkan Tenaga Kerja Indonesia tanpa izin dan dihantar pulang baru-baru ini bagaikan menjejaskan usaha para ilmuwan ini memupuk kerjasama yang lebih erat.

Matlamat simposum dan kerjasama antara UKM dan Bandung ini berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Kalau sekarang orang bercakap tentang globalisasi, maka “kita juga harus mengutamamakan proses globalisasi itu untuk dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua negara.” Katanya, “Malah ini juga ditekankan oleh Datuk Shamsul Amri ketika memberikan ucaputamanya selasa lalu.”

Seperti lazimnya orang bersimposium, isu yang dibincangkan di luar sidang lebih menarik perhatian. Barangkali ini terjadi kerana perbincangan tidak terikat dengan tajuk-tajuk kertas kerja yang kadang-kadang rigid dan bersifat ilmiah. Kering dan kadangkala membosankan. Isu hangat yang dibincangkan di luar sidang ialah isu pendatang tanpa izin yang dihantar pulang baru-baru ini. Selain itu ada pula isu pengiriman pelajar Malaysia ke Indonesia yang jumlahnya semakin berkurangan saat ini.

Solleh berpendapat neutral tentang isu ini. “Saya orang komunikasi dan saya perlu melihat tanpa bayangan prasangka,” katanya. “Sebagai seorang pendidik dalam bidang komunikasi, pesan penting ialah melihat sebarang isu itu atas dasar ilmu dan logika.” Maksud Solleh ialah jangan libatkan unsur emosi dan sentimen kenegaraan jika mahu “bincangkan” masalah sensitif seperti ini. Katanya lagi, “Yang penting mencari akar masalah seperti yang sering diminta Perdana Menteri Malaysia ketika mengulas ancaman Presiden Bush untuk menyerang Iraq. Mahathir benar. Kerana bagi saya punca masalah pendatang tanpa izin ini, misalnya ialah wujudnya sikap tamak dan tidak berperikemanusiaan di kalangan mereka yang mengeksport tenaga kerja Indonesia ke Malaysia.”

Beberapa orang peserta yang ketagih teh tarik membawa perbincangan tak formal ke gerai makan malam di Bangsar. Sekurang-kurangnya empat orang pesnyarah universiti Bandung berbincang serius bersama rakannya dari Malaysia. Misalnya, Didi Suyardi, Soeganda Priyatna, Zulrizka Iskandar dan Solleh Soemirat bersetuju bahawa pertukaran pelajar antara kedua negara ditingkatkan lagi. Malah Fakultas Kedoktoran sebuah universirti di Bandung menawarkan 30 tempat bagi pelajar Malaysia malanjutkan pelajarannya dalam bidang itu. Mereka mengakui suatu ketika tidak ramai lulusan dari Malaysia. Statistik menunjukkan sepanjang tahun-tahun 1970-90an hanya seorang yang lulus dari fakultas itu, padahal jumlah pelajar yang dihantar adalah lebih banyak.

Kerjasama bidang penerbitan juga dibincangkan lebih hangat di luar sidang. Rombongan dari Bandung ini mengakui kecanggihan penerbitan di Malaysia, khususnya di UKM sendiri. “kita mungkin akan mengambil waktu juga untuk sampai ke tahap yang dicapai UKM hari ini,” kata Solleh. Dalam pada itu Solleh dan rakan-rakannya bercadang untuk mengirimkan hasil penelitian ilmiahnya yang ditulis semula kepada jurnal-jurnal di Malaysia untuk diterbitkan.

Salah satu jurnal yang diperkatakan ketika “minum teh taik” di Bangsar itu ialah Pemikir terbitan Kumpulan Utusan Melayu. Selain Pemikir mereka menyebut Tenggara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Solleh sendiri terkesan dengan kandungan “Pemikir” keluaran terbaru yang diperolehnya dari Penyelaras jurnal, Wan Hamzah Awang (Wahba). Solleh menyebut artikel “Hubungan Agama dan Negara” yang ditulis Kamaruzzaman Bustamam Ahmad.

Kamaruzzaman, asli Aceh mendapat pendidikan di Madrasah Ibtidaiyah Negeri Krueng, Aceh Utara dan Institut Agama Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta, Indonesia. Artikelnya membincangkan keadaan agama Islam di Indonesia dalam realiti politik negara itu. Kajian ilmiah Kamaruzzaman itu menjadi penting kerana dua perkara. Pertama walaupun Indonesia sebuah negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang paling banyak, namun ia masih dianggap negara sekular. Bukan negara Islam. Dan hal ini lebih jelas diungkapkan dalam Perlembagaan negara itu yang digubal pada tahun 1945.

Kemudian Indonesia kini dianggap sebagai salah sebuah negara di Asia Tenggara yang dicap sebagai “sarang” pengganas yang dikaitkan dengan al-Qaedah. Ada beberapa pemimpinnya berada di Indoensia dan mereka dikehendaki oleh sama ada Singapura, Amerika mahupun Malaysia. Bagaimanapun artikel Kamaruzaaman tidak membincangkan tentang kedua perkara tersebut. Cuma di bahagian akhir artikel dua bahagian ini memperlihatkan kaitan Indonesia dengan keinginan beberapa rakyatnya menubuhkan sebuah negara Islam atau “daulah Islamiah”. Kebetulan istilah “Daulah Isliamiah” ini sering sahaja disebut-sebut ketika orang berbincang tentang kumpulan Jemaah Islamiah di Singapura dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) di Malaysia. Majalah Time baru-baru ini mendakwa pemimpin kedua-dua kumpulan ini berada di Indonesia.

Bagusnya simposium kali ini ia mendapat kerjasama memberangsangkan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur. Timbalan Duta yaang juga Menteri Kedutaannya, Suherman Obon sentiasa mengambil berat tentang rombongan. Suherman kelihatan hadir dalam beberapa perbincangan. Katanya, “Simposium begini patut diteruskan. Malaysia dan Indonesia begitu dekat dan kita dari rumpun yang sama dan mengamalkan budaya yang sama.”

Menurut Herman, dia peribadi lebih senang berada di Malaysia berbanding negara-negara lain. “Saya telah ditugaskan di merata negara di dunia ini, tapi Malaysia yang amat saya senangi. Saya seperti berada di negeri saya sendiri. Makannya, minumnya, orangnya tidak ubah seperti di Indonesia juga,” katanya. Sebagai menghormati rombongan pihak kedutaan mengadakan pertemuan silaturahmi antara staf kedutaan dengan peserta rombongan Rabu malam di bangunan kedutaan di Jalan Tun Razak.

Inilah juga yang mungkin menjadi penyebab utama mengapa begitu ramai peserta rombongan Indonesia menghadiri simposium tahunan ini. Menurut seorang peserta, jumlah yang hadir tahun ini adalah yang terbesar. Tahun depan simposium akan dilanjutkan di Bandung pula, di kampus Universitas Padjadjaran. “Saya melihat persediaan untuk menjadikan simposium tahun ini cukup berhasil. Pihak UKM telah begitu berhati-hati dan hasil kertas kerja yang telah dibukukan memudahkan kami mengikuti jalannya sidang,” kata Solleh.

Solleh, salah seorang anggota jawatankuasa simposium di pihak Indonesia menganggap persediaan rapi oleh pihak UKM mencabarnya untuk mengadakan simposium yang lebih baik pada tahun depan. “Perlu saya akui bahawa pembukuan kertas kerja dan diedarkan serentak di simposium kali ini cukup bererti bagi kami. Paling-paling para peserta tidak perlu mencari-cari kertas kerja setiap kali sidang mahu dimulakan,”katanya. Kata-kata anggota jawatankuasa simposium dari Indonesia ini semestinya satu pujian tak langusng kepada jawatankuasa penyelenggara simposium UKM. Minta-minta juga hasil simposium akan dilaksanakan seberkesan penyediaan simposium. Ini barangkali permintaan pihak pentadbir kedua-dua universiti – satu di Bangi dan satu lagi di Bandung! Ends.

MENDEKATI JIWA PENULIS POLITIK YAHAYA ISMAIL


Yahaya Ismail (Pak Ya) ketika ditemui di kediamannya di Kg. Tunku, Petaling Jaya tahun 2008

YAHAYA, GAPENA DAN TABLOID POLITIKNYA

Tidak ingat, bila kali terakhir saya menemui Yahaya Ismail atau berbuah dengannya. Yahaya sibuk sakan, maklum seorang sasterawan dan kini penulis buku politik sepertinya perlu berada dalam keadaan peka dengan dunia sekelilingnya. Yahaya juga seorang tokoh besar kesusasteraan suatu ketika dulu dengan karya-karyanya sering mengundang kontraversi dan polimik. Khamis lalu, Yahaya menelfon. Suaranya masih seperti biasa dengan dialek Kedah campur Indonesia yang semakin membekas sebagai identiti dirinya. Dan seperti biasa setiap kali memulakan bicara, baik ketika bertemu mahupun ketika bercakap melalui telefon Yahaya akan bertanya, “Apa ada cerita baru?”

Dengan suara tinggi seperti biasa, Yahaya akan bercakap yang diselang dengan ketawa. Kadang-kadang kata-katanya melucukan juga dan kami sama-sama ketawa panjang. Pagi itu entah apa mimpinya Yahaya telefon. Barangkali dia menerima kad raya dari saya yang turut memaparkan sebuah gambar lamanya. Atau memang sudah lama sangat kami saling tidak berhubungan.

Seperti biasa topik yang dibincangkan tidak lari daripada kegiatan penulisan, persatuan penulis, terutama Pena dan Gapena. Yahaya pun pernah memimpin Pena satu ketika pada tahun 1980an dan dia dilabel cuba menyeret persatuan penulis nasional itu masuk ke kancah politik. Kebetulan UMNO ketika itu sedang berdepan dengan Parti Semangat 46 pimpina Tengku Razaleigh Hamzah. Ada sesetengah kalangan dalam UMNO yang mendakwa Yahaya sedang mendekatkan Pena ke Parti Semangat 46.

Dalam perbualan pagi khamis itu, Yahaya masih juga prejudis terhadap kegiatan Gapena di bawah pimpinan Tan Sri Ismail Hussein. Baginya, Gapena masih lagi seperti dulu, mencari Melayu yang tak habis-habis. Ismail yang kebetulan berada di Sibolga ketika ini mengundang pertanyaan Yahaya. “Buat apa Ismail ke sana?” Seolah-olah Yahaya ingin bertanya, “Bukankah daerah Siobolga itu daerah Batak. Apakah orang Batak itu orang Melayu?” Seolah-olah Yahaya mahu memberitahu Ismail bahawa orang Batak dengan orang Melayu di Sumatera Utara masih mempunyai masalah hubungan akibat sengketa tanah dan daerah.

Satu kesimpulan dapat ditarik daripada pertanyaan Yahaya, iaitu selagi persatuan penulis yang bergabung dalam Gapena dipimpin oleh orang-orang yang sama sejak puluhan tahun lalu, tidak mungkin akan berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan Gapena, dan seterusnya dalam dasar dan kegiatannya. Yahaya seperti mahu melihat Gapena mencari dasar baru yang boleh menjadikan Gapena lebih bererti kepada masyarakat penulis daripada hanya menumpukan perhatian kepada kegiatan “mencari Melayu”nya.

“Pada saya, yang penting Gapena berperanan aktif menjaga kepentingan penulis dan melibatkan diri dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan nasional, walaupun tidak semestinya politik,” katanya. Tafsiran yang boleh dibuat daripada cara berfikir Yahaya ialah Gapena, sebagai induk persatuan penulis seluruh Malaysia perlu melihat ke dalam; melihat masalah akar umbi Melayu Malaysia, terutama penulis-penulisnya. Masih banyak masalah yang perlu diberikan perhatian. Misalnya, masalah royalti dan cara berurusan dengan penerbit; masalah Dewan Bahasa dan Pustaka yang tetap sahaja dengan isu lapuk buku tak lakunya dan pengurusannya; masalah beberapa persatuan penulis yang khabarnya mengalami krisis kepimpinan.

Tafsiran ini ada juga benarnya. Bukan menjadi rahsia lagi ada persatuan penulis yang tidak berlaku adil kepada ahli-ahli penulisnya, terutama yang tidak sebulu dengan pucuk pimpinan. Ada persatuan yang jumlah ahlinya tidak bertambah langsung sejak mula ditubuhkan. Ada pula negeri yang diwakili empat persatuan dalam kerabat Gapena. Pada hal negeri itu adalah antara yang terkecil jumlah penduduk mahupun luas wilayahnya. Lebih menarik ada persatuan yang barisan pemimpinnya tidak pernah bertukar sejak ditubuhkan.

Betul juga! Pernah seorang ahli seumur hidup Pena bertanya, “Mana ada persatuan penulis yang sejak tahun 1970an sudah membuat pertukaran pemimpin silih berganti melalui proses pemilihan. Setahu saya cuma Pena sahaja. Kita tahu Pena mempunyai ketua yang bertukar ganti. Dari Usman Awangnya, Mohd Nor Azamnya, Adam Kadirnya, Baha Zainya, Maarof Saadnya, Yahaya Ismailnya dan kini Ahamd Sebinya.”

Selain Pena barangkali Persatuan Penulis Johor (PPJ) juga adakalanya bertukar pemimpin. PPJ pernah dipimpin beberapa tokoh penulis antaranya Ismail Zamzam, Mas’ud Abd Rahman (allahyarham) dan Shukor Ismail. Kecuali Pena dan PPJ ada satu dua persatuan penulis lain yang berbuat begitu. Namun hendak kita salahkan persatuan-persatuan lain kerana tidak bertukar pemimpin, tidak boleh juga. Ada persatuan yang ahli-ahlinya enggan dipilih menerajui kepimpinannya sehingga pemimpin yang ada terus diminta mengekalkan jawatannya. Alasan yang diberikan lebih bersifat peribadi. Ada yang terlalu terlalu sibuk dan masa untuk menumpukan perhatian kepada persatuan terlalu kurang. Kemudian ada juga ahli-ahli persatuan yang tidak mahu mengganggu status quo kepimpinan yang ada kerana khuatir kegiatan persatuan akan tergugat. Atas alasan ini maka ada persatuan yang tetap dipimpin oleh tokoh-tokoh yang sama sejak dulu sampai sekarang.

Di sinilah letak persoalan mengapa Ismail perlu memberikan perhatian kepada masalah dalaman. Kata seorang penulis, “Tan Sri boleh sahaja mencari Melayu di luar negeri tapi berikan tumpuan lebih kepada masalah persatuan, terutama mencari jalan mengubah minda ahli-ahli persatuan di tiap-tiap negeri supaya lebih pro-aktif dalam persatuan. Bagaimana kalau Gapena merancang lebih banyak kegiatan yang berkait dengan latihan atau seminar perubahan minda ahli. Kurangkan sedikit kegiatan memberi kursus sastera, seperti bagaimana mahu menulis sajak, cerpen, lulus peperiksaan dalam kertas sastera atau sebagainya.”

Di samping Gapena, Yahaya juga berbincang tentang peranan akhbar tabloid yang banyak terdapat di pasaran sekarang. Yahaya sendiri memiliki dan memimpin tabloid “Bebas” sejak beberapa tahun yang lalu. “Alhamdulillah, masih dapat bertahan. Itu pun setelah saya tukar strategi dan pendekatan dalam pemberitaan,” katanya. Yahaya megakui bukan mudah mengekalkan kelangsungan hidup akhbar tabloid, terutama jika tabloid itu cendung untuk menyokong golongan establishment. Kalau seratus peratus menyokong pihak kerajaan atau parti kerajaan, tabloid itu seperti “menempah maut”. Bukan sahaja ia akan terpaksa berdepan dengan akhbar-akhbar arus perdana yang sudah mapan, tetapi juga ia tidak akan dapat merebut audien pembaca yang kesetiaannya telah “melekat” dengan akhbar arus perdana.

Sebaliknya jika tabloid menuruti arus kecenderungan pembangkang secara melulu, ia terpaksa bersaing dengan lenggok dan pendekatan pemberitaan tabloid milik pembangkang. Kecuali tabloid seperti yang dimiliki Yahaya mahu menjadi organ parti pembangkang, tidak mungkin tabloid berkenaan dapat bersaing dengan akhbar dan tabloid pembangkang. Maka satu-satunya jalan yang ada ialah satu formula yang meletakkan tabolid pada kedudukan tidak sepenuhnya berpihak kepada establishment tetapi ada kecenderungan memihak kepada pembangkang dalam pendekatan pemberitaannya. Atau tabloid berkenaan memanfaatkan intirk-intrik dan konflik dalaman yang bergolak dalam parti politik, terutama dalam parti yang memerintah. Kelihatannya tabloid “Bebas” yang dipimpin Yahaya membuat pendekatan ini. Begitu juga dengan beberapa tabloid yang lain seperti “Buletin Utama”dan “Buletin Demokrasi”yang dipimpin Jamaluddin Bakar, bekas eksko Pemuda UMNO.

Yahaya mendapati pendekatan seperti ini merupakan jalan tengah yang dianggapnya banyak mendatangkan manfaat kepada kelangsungan hidup tabloidnya. Tetapi yang menjadikan tabloidnya kembali mendapat tempat dalam pasaran ialah pendekatan pemberitaannya yang lebih pro parti pembangkang. Barangkali Yahaya bertolak daripada sikap umum pembaca yang inginkan berita alternatif selain daripada yang dipaparkan akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, The Star, The Sun, Berita Harian, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh atau Tamil Nesan. Juga bukan tidak mungkin Yahaya juga menganggap tidak semua orang suka membaca tabloid organ pembangkang kerana pendekatannya yang terlalu prejudis terhadap kerajaan, seperti Harakah, Keadilan dan lain-lain. Masih ramai yang inginkan pendekatan yang neutral dan mendedahkan kelemahan parti-parti politik, baik yang memerintah mahupun yang membangkang. Yahaya mendapatkan formulanya daripada keinginan golongan ini.

Apapun jua, Yahaya yang telah lama meninggalkan dunia kesusasteraannya, kini merupakan orang media yang sentiasa berusaha mencari pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan nilai komersial medianya. Perubahan dalam cara berfikir tidak dapat dia elakkan, seperti yang terlihat dalam penerbitan tabloid “Bebas”. Bagi sesetengah kalangan, perubahan dalam cara berfikir Yahaya ini adalah kekuatannya. Hal ini amat ketara jika kita menilai karya-karyanya sejak mula dia menulis buku berunsur politik, seawal tahun-tahun 1980an dahulu.

Sesiapa sahaja yang membaca buku-buku politiknya nescaya akan mendapati cara berfikir Yahaya yang kritikal berubah-ubah dari satu ekstrim ke satu ekstrim yang lain. Pada suatu ketika buku Yahaya begitu kritikal terhadap tokoh-tokoh tertentu dalam parti kerajaan dan ada ketikanya pula bukunya memuji sakan tokoh-tokoh yang sama. Katanya, “Tunggulah buku baru saya yang bakal terbit Januari tahun depan. Mesti meledak.” Apabila ditanya apakah buku itu nanti pro atau anti establishment jawabnya, “You tunggulah.” Kelihatannya hanya dengan Gapena sikap Yahaya tak banyak berubah. Ends.

MEMBINA JAMBATAN BUDAYA KL-MAKASAR

Safrullah Sanre, anak Makasar dan seorang aktivis sastera-budaya di bumi Sulawesi Selatan. Ketika mengunjungi Kuala Lumpur baru-baru ini Safrullah mencadangkan agar diadakan pertemuan Johor-Makasar dalam bidang persuratan dan kebudayaan. Katanya, “Pertemuan seumpama ini perlu untuk menjajaki kemungkinan mempereratkan semula hubungan yang dahulunya dirintis empat putera raja dari Bugis.” Yang celik sejarah akan faham siapa putera raja yang dimaksudkan. Mereka Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Kesemuanya putera raja Upu Tenderi Burung, Raja Negeri Luwok di Tanah Bugis. Mereka berperanan dalam peperangan antara Raja Kechil yang ingin merampas takhta Kerajaan Johor daripada Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

Safrullah melihat Johor sebagai landasan pertemuan kerana di Johor jugalah bermulanya peranaan orang Bugis. Jika dahulu orang Bugis membantu dalam usaha menyelesaikan rebutan kuasa antara putera raja Melayu, tapi kalu ini biarlah hubungan itu hanya dalam usaha meningkatkan tali persuratan dan kebudayaan. Kerana menurut Safrullah, tidak ada sebab mengapa antara kedua-dua bangsa Melayu dan Makasar, khasnya Bugis tidak dapat meneruskan silaturrahim yang hampir terputus oleh perjalanan sejarah dan zamannya.

Safrullah sendiri hampir terpinggir akibat daerah kediamannya “sedikit terpencil” dari daerah sentral Jakarta atau Kuala Lumpur. Safrullah enggan “memencilkan dirinya.” Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah dua kali Safrullah mengunjungi Malaysia dan menurut mesej yang diterima melalui e-mel baru-baru ini Safrullah akan ke Brunei mengikuti Pertemuan Sasterawan Nusantara dan seterusnya ke Kuching untuk menghadiri Hari Sastera yang akan dirayakan di pantai peranginan Sentubung. Mac lalu dia menampakkan muka di Seminar sehari sempena Persidangan Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Antarabangsa (MASTERA), di Johor Bahru. Sebulan yang lalu dia di Kuala Lumpur beberapa hari menginap di “asrama” Gapena untuk mengadakan penelitian dan kegiatan pribadinya.

Kami bertemu di Makasar Januari lalu. Dia bercerita tentang sastera, bahasa dan budaya. Safrullah seperti membenarkan dirinya diseret lebih dalam ke daerah sastera Malaysia dan lebih mendekatkan diri dengan Kuala Lumpur berbanding Jakarta. Mungkin tanggapan ini kurang tepat tetapi yang telah mengenal dirinya akan berpersepsi begitu. Saya katakan demikian kerana usahanya menjejak tempat pemukiman sementara rombongan “Jejak Bahasa” yang sedang membuat penggambaran untuk program “Jejak Bahasa” TV3-DBP di tanah Bugis itu.

Safrullah seperti mahu melihat hubungan intim antara Makasar dengan dengan Malaysia, khususnya Johor. Katanya ada kaitan antara orang Makasar dengan orang Johor dan kaitan itu telah lama wujud, iaitu sejak pemerintahan Kerajaan Johor Riau lagi. Katanya “Malah kita usah lupa akan peranan empat anak raja keturunan Bugis dalam Kerajaan Melayu Riau Johor.” Raja Muda Riau diwarisi keturunan anak raja Bugis. Raja haji dan Raja Ali Haji siapa tak kenal.

Safrullah boleh diibaratkan sebagai penjihad sastera-budaya Melayu-Bugis dan mahu manfaatkannya dalam meingkatkan hubungan sastera-budaya Malaysia Makasar. Sikap jernihnya yang ingin melihat bertautnya kembali hubungan Melayu-Makasar yang diasaskan kepada sejarah penglibatan orang Bugis dalam Kerajaan Melayu Johor-Riau.

Tambah Safrullah, penglibatan orang Bugis di alam Melayu dipertingkat oleh penghijrahan orang Melayu Johor ke tanah Bugis di Pulau Sulawesi, terutama di Makasar (dulunya Ujung Pandang). Orang Melayu Johor ini membawa bersamanya apa yang disebut Safrullah sebagai warisan sastera, bahasa dan budaya. Katanya, “Warisan itu kini sudah menjadi intertekstual kerana kebanyakan teks sastera Melayu sudah disadur ke dalam bahasa daerah.”

Ada satu komuniti Melayu berkampung di tengah-tengah kota Makasar. Dalam pertemuan singkat dengan warga Makasar keturunan Melayu, kami anggota rombongan Jejak Bahasa mendapat maklumat tidak ternilai tentang sejarah penghijrahan komuniti ini. Sekarang pun anggota komuniti Melayu ini masih merasa bangga dengan keturunan mereka. Ramai di kalangan mereka masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dialek Johor dengan baik. Di samping itu mereka tetap mempertahankan warisan budaya seperti nikah kahwin dan adat orang Melayu lainnya sejak kedatangan datuk nenek mereka dua ratus tahun dahulu.

Malah ada di kalangan mereka yang mengaku dari keturunan orang Melaka. Kata seorang ketua keluarga Melayu itu, Walaupun belkum pernah ke Melaka tapi kami rasa begitu dekat apabila menyebut Melaka kerana “nenek moyang kami bercerita kami orang Melaka.” Barangkali cerita dari Melaka ini dikaitkan dengan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis dan penerusan Kerajaan Melayu itu di Johor Riau kemudiannya.

Ini menjadi premis keazaman dan rasa keterikatan Safrullah dengan pemikiran sastera warisan Melayu Bugis. Bukan tidak mungkin Safrullah terpengaruh dengan kewujudan komuniti Melayu di Kota Makasar dan kitab sejarah orang Melayu, terutama “Salsilah Melayu dan Bugis”, “Sejarah Johor” dan “Sejarah Melayu”. Maka semangat ingin melihat bermulanya pertemuan Johor Makasar itu semakin membara. Lebih kerap dia mengunjungi Malaysia maka akan semakin meningkat pula suhu semangatnya.

Apakah yang sedang difikirkan Safrullah? Apakah dia mahu mengambil kesempatan dengan mengeksplorasi setiap peluang akibat wujudnya pertemuan itu untuk motif peribadinya. Jelas ramai sasterawan dan budayawan, malah orang biasa akan mempersoalkan keghairahan Safrullah mahukan pertemuan seumpama itu diadakan. Sementelah pula dia memperjuangkannya hampir bersendirian. Dan dia menambah “Dicadangkan pertemuan dimulakan di Makasar. Tahun berikutnya di Johor Bahru. Pertemuan boleh setiap tahun secara bergilir.”

Turut difikirkan Safrullah tentunya perkara adan isu yang bersangkut paut pula dengan sikap pemerintah Indonesia, terutama pemerintah daerah Sulawesi Selatan yang menurutnya “meletakkan bidang kebudayaan dalam senarai keutamaan yang rendah. Tidak seperti di Johor yang menjadikan pembangunan kebudayaan menjadi sebahagian daripada tanggungjawab holistik kerajaannya.” Kata Safrullah, aktivis budaya rantau Malaysia mendapat kerjasama erat dari kerajaan.

Namun Safrullah sesikit kurang senang dengan cara berfikir kebanyakan penulis dan editor Malaysia, yang mahu media tempatan tidak lagi menyiarkan karya penulis Indonesia. Safrullah faham benar mengapa penulis dan editor Malaysia bersikap begitu. Kecuali majalah “Sanggang” yang diterbitkan oleh Riau Pos di Pekan Baru dan sesekali majalah “Horison” yang diterbitkan di Jakarta, tidak ada majalah atau suratkhabar mingguan di republik tetangga itu yang mahu menyiarkan karya penulis Malaysia. Khabarnya majalah “Dewan Sastera” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil sikap tidak akan “melayan lagi karya penulis Indonesia.”

Maka jihad sastera-budaya Safrullah semakin melalui jalan sukar jua. Cadangannya untuk mengadakan pertemuan tahunan Johor Makasar mungkin sahaja akan tinggal cadangan. Dimatikan sebelum lahir. Pilihan Safrullah yang masih ada ialah dengan mendekati Yayasan Warisan Johor, dianggap lengan budaya kerajaan negeri. Timbalan pengarahnya Yayasan, Zam Ismail, seorang sasterawan-budayawan, walaupun khabarnya dari kerutunan Jawa, barangkali akan bersimpati dengan pemikiran Safrullah. Fakta menunjukkan banyak rakyat Johor, baik daripada kalangan bangsawan mahupun di kalangan orang biasa, berketurunan Bugis. Zam tidak boleh nafikan, dan begitu juga halnya dengan sejarah intim Johor dan Bugis, Zam lagi tidak boleh nafikan.

Safrullah khabarnya mempunyai manuskrip lama yang perlu diketengahkan, mengaitkan hubungan Johor Bugis. Ini boleh dijadikan titik permulaan hubungan Safrullah dengan Zam di Yayasan. Kalau Johor boleh mengadakan pertemuan sasterawan nusantara dua tahun lalu, boleh mengadakan persembahan dan peraduan zapin yang melibatkan kumpulan dari daerah Nusantara, maka tidak ada sebab Johor tidak boleh memberikan pertimbangan kepada cadangan Safrullah. Gapena melalui Setiausaha Duanya, Prof. Madya Zainal Borhan boleh sahaja menjadi promoter untuk menggerakkan pertemuan demikian. Dasar pembangunan holistik kerajaan Johor di bawah pimpinan mantan ahli akademik, Datuk Haji Abdul Ghani Othman boleh menjadi pemangkin untuk mengadakan pertemuan Johor Makasar.

Manfaat daripada pertemuan tetap ada. Ini kata Safrullah. Khazanah warisan dalam bentuk intertekstual maih banyak yang boleh diketengahkan. Status autonomi pemerintah daerah di Indonesia boleh dimanfaatkan untuk memajukan bidang sastera budaya. Kerana jelas yang berkaitan dengan kebudayaan telah diletakkan di bawah wewenang dan kuasa propinsi. Kata seorang budayawan ketika ditemui selepas majlis dialog antara budayawan Makasar dengan rombongan Dewan Bahasa dan Pustaka di Pusat Bahasa Cabang Maksar Januari lalu, “Orang Melayu dan orang Makasar itu tidak ada bedanya dari sudut sejarah dan budaya. Kiranya kami lebih dekat dengan Malaysia, terutama yang menyangkut keturunan, perasaan dan pemikiran. Tak perlulah kami beritahukan berbanding dengan siapa.”

Kalau Safrullah jadi ke Brunei dan Sarawak hujung minggu ini untuk meghadiri Pertemuan Sasterawan Nusantara dan Hari Sastera, ada juga baiknya Safrullah “merisik-risik” dengan Zainal Borhan, salah seorang tokoh penting Gapena, atau Tan Sri Ismail Hussein sendiri sebagai Ketua Satu meminta jasa baik pertubuhan penulis itu menjadi promoter pertemuan Johor Makasar. Tetapi kalau ada wakil Yayasan Warisan Johor yang hadir, terutama Zam, Safrullah boleh langsung sahaja berbincang dengannya. Paling-paling Safrullah akan dianggap printis hubungan persuratan dan budaya, berbanding anak raja Upu Tenderi Burung yang merintis hubungan politik satu ketika dahulu. – ends-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).