Yahaya Ismail (Pak Ya) ketika ditemui di kediamannya di Kg. Tunku, Petaling Jaya tahun 2008
YAHAYA, GAPENA DAN TABLOID POLITIKNYA
Tidak ingat, bila kali terakhir saya menemui Yahaya Ismail atau berbuah dengannya. Yahaya sibuk sakan, maklum seorang sasterawan dan kini penulis buku politik sepertinya perlu berada dalam keadaan peka dengan dunia sekelilingnya. Yahaya juga seorang tokoh besar kesusasteraan suatu ketika dulu dengan karya-karyanya sering mengundang kontraversi dan polimik. Khamis lalu, Yahaya menelfon. Suaranya masih seperti biasa dengan dialek Kedah campur Indonesia yang semakin membekas sebagai identiti dirinya. Dan seperti biasa setiap kali memulakan bicara, baik ketika bertemu mahupun ketika bercakap melalui telefon Yahaya akan bertanya, “Apa ada cerita baru?”
Dengan suara tinggi seperti biasa, Yahaya akan bercakap yang diselang dengan ketawa. Kadang-kadang kata-katanya melucukan juga dan kami sama-sama ketawa panjang. Pagi itu entah apa mimpinya Yahaya telefon. Barangkali dia menerima kad raya dari saya yang turut memaparkan sebuah gambar lamanya. Atau memang sudah lama sangat kami saling tidak berhubungan.
Seperti biasa topik yang dibincangkan tidak lari daripada kegiatan penulisan, persatuan penulis, terutama Pena dan Gapena. Yahaya pun pernah memimpin Pena satu ketika pada tahun 1980an dan dia dilabel cuba menyeret persatuan penulis nasional itu masuk ke kancah politik. Kebetulan UMNO ketika itu sedang berdepan dengan Parti Semangat 46 pimpina Tengku Razaleigh Hamzah. Ada sesetengah kalangan dalam UMNO yang mendakwa Yahaya sedang mendekatkan Pena ke Parti Semangat 46.
Dalam perbualan pagi khamis itu, Yahaya masih juga prejudis terhadap kegiatan Gapena di bawah pimpinan Tan Sri Ismail Hussein. Baginya, Gapena masih lagi seperti dulu, mencari Melayu yang tak habis-habis. Ismail yang kebetulan berada di Sibolga ketika ini mengundang pertanyaan Yahaya. “Buat apa Ismail ke sana?” Seolah-olah Yahaya ingin bertanya, “Bukankah daerah Siobolga itu daerah Batak. Apakah orang Batak itu orang Melayu?” Seolah-olah Yahaya mahu memberitahu Ismail bahawa orang Batak dengan orang Melayu di Sumatera Utara masih mempunyai masalah hubungan akibat sengketa tanah dan daerah.
Satu kesimpulan dapat ditarik daripada pertanyaan Yahaya, iaitu selagi persatuan penulis yang bergabung dalam Gapena dipimpin oleh orang-orang yang sama sejak puluhan tahun lalu, tidak mungkin akan berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan Gapena, dan seterusnya dalam dasar dan kegiatannya. Yahaya seperti mahu melihat Gapena mencari dasar baru yang boleh menjadikan Gapena lebih bererti kepada masyarakat penulis daripada hanya menumpukan perhatian kepada kegiatan “mencari Melayu”nya.
“Pada saya, yang penting Gapena berperanan aktif menjaga kepentingan penulis dan melibatkan diri dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan nasional, walaupun tidak semestinya politik,” katanya. Tafsiran yang boleh dibuat daripada cara berfikir Yahaya ialah Gapena, sebagai induk persatuan penulis seluruh Malaysia perlu melihat ke dalam; melihat masalah akar umbi Melayu Malaysia, terutama penulis-penulisnya. Masih banyak masalah yang perlu diberikan perhatian. Misalnya, masalah royalti dan cara berurusan dengan penerbit; masalah Dewan Bahasa dan Pustaka yang tetap sahaja dengan isu lapuk buku tak lakunya dan pengurusannya; masalah beberapa persatuan penulis yang khabarnya mengalami krisis kepimpinan.
Tafsiran ini ada juga benarnya. Bukan menjadi rahsia lagi ada persatuan penulis yang tidak berlaku adil kepada ahli-ahli penulisnya, terutama yang tidak sebulu dengan pucuk pimpinan. Ada persatuan yang jumlah ahlinya tidak bertambah langsung sejak mula ditubuhkan. Ada pula negeri yang diwakili empat persatuan dalam kerabat Gapena. Pada hal negeri itu adalah antara yang terkecil jumlah penduduk mahupun luas wilayahnya. Lebih menarik ada persatuan yang barisan pemimpinnya tidak pernah bertukar sejak ditubuhkan.
Betul juga! Pernah seorang ahli seumur hidup Pena bertanya, “Mana ada persatuan penulis yang sejak tahun 1970an sudah membuat pertukaran pemimpin silih berganti melalui proses pemilihan. Setahu saya cuma Pena sahaja. Kita tahu Pena mempunyai ketua yang bertukar ganti. Dari Usman Awangnya, Mohd Nor Azamnya, Adam Kadirnya, Baha Zainya, Maarof Saadnya, Yahaya Ismailnya dan kini Ahamd Sebinya.”
Selain Pena barangkali Persatuan Penulis Johor (PPJ) juga adakalanya bertukar pemimpin. PPJ pernah dipimpin beberapa tokoh penulis antaranya Ismail Zamzam, Mas’ud Abd Rahman (allahyarham) dan Shukor Ismail. Kecuali Pena dan PPJ ada satu dua persatuan penulis lain yang berbuat begitu. Namun hendak kita salahkan persatuan-persatuan lain kerana tidak bertukar pemimpin, tidak boleh juga. Ada persatuan yang ahli-ahlinya enggan dipilih menerajui kepimpinannya sehingga pemimpin yang ada terus diminta mengekalkan jawatannya. Alasan yang diberikan lebih bersifat peribadi. Ada yang terlalu terlalu sibuk dan masa untuk menumpukan perhatian kepada persatuan terlalu kurang. Kemudian ada juga ahli-ahli persatuan yang tidak mahu mengganggu status quo kepimpinan yang ada kerana khuatir kegiatan persatuan akan tergugat. Atas alasan ini maka ada persatuan yang tetap dipimpin oleh tokoh-tokoh yang sama sejak dulu sampai sekarang.
Di sinilah letak persoalan mengapa Ismail perlu memberikan perhatian kepada masalah dalaman. Kata seorang penulis, “Tan Sri boleh sahaja mencari Melayu di luar negeri tapi berikan tumpuan lebih kepada masalah persatuan, terutama mencari jalan mengubah minda ahli-ahli persatuan di tiap-tiap negeri supaya lebih pro-aktif dalam persatuan. Bagaimana kalau Gapena merancang lebih banyak kegiatan yang berkait dengan latihan atau seminar perubahan minda ahli. Kurangkan sedikit kegiatan memberi kursus sastera, seperti bagaimana mahu menulis sajak, cerpen, lulus peperiksaan dalam kertas sastera atau sebagainya.”
Di samping Gapena, Yahaya juga berbincang tentang peranan akhbar tabloid yang banyak terdapat di pasaran sekarang. Yahaya sendiri memiliki dan memimpin tabloid “Bebas” sejak beberapa tahun yang lalu. “Alhamdulillah, masih dapat bertahan. Itu pun setelah saya tukar strategi dan pendekatan dalam pemberitaan,” katanya. Yahaya megakui bukan mudah mengekalkan kelangsungan hidup akhbar tabloid, terutama jika tabloid itu cendung untuk menyokong golongan establishment. Kalau seratus peratus menyokong pihak kerajaan atau parti kerajaan, tabloid itu seperti “menempah maut”. Bukan sahaja ia akan terpaksa berdepan dengan akhbar-akhbar arus perdana yang sudah mapan, tetapi juga ia tidak akan dapat merebut audien pembaca yang kesetiaannya telah “melekat” dengan akhbar arus perdana.
Sebaliknya jika tabloid menuruti arus kecenderungan pembangkang secara melulu, ia terpaksa bersaing dengan lenggok dan pendekatan pemberitaan tabloid milik pembangkang. Kecuali tabloid seperti yang dimiliki Yahaya mahu menjadi organ parti pembangkang, tidak mungkin tabloid berkenaan dapat bersaing dengan akhbar dan tabloid pembangkang. Maka satu-satunya jalan yang ada ialah satu formula yang meletakkan tabolid pada kedudukan tidak sepenuhnya berpihak kepada establishment tetapi ada kecenderungan memihak kepada pembangkang dalam pendekatan pemberitaannya. Atau tabloid berkenaan memanfaatkan intirk-intrik dan konflik dalaman yang bergolak dalam parti politik, terutama dalam parti yang memerintah. Kelihatannya tabloid “Bebas” yang dipimpin Yahaya membuat pendekatan ini. Begitu juga dengan beberapa tabloid yang lain seperti “Buletin Utama”dan “Buletin Demokrasi”yang dipimpin Jamaluddin Bakar, bekas eksko Pemuda UMNO.
Yahaya mendapati pendekatan seperti ini merupakan jalan tengah yang dianggapnya banyak mendatangkan manfaat kepada kelangsungan hidup tabloidnya. Tetapi yang menjadikan tabloidnya kembali mendapat tempat dalam pasaran ialah pendekatan pemberitaannya yang lebih pro parti pembangkang. Barangkali Yahaya bertolak daripada sikap umum pembaca yang inginkan berita alternatif selain daripada yang dipaparkan akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, The Star, The Sun, Berita Harian, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh atau Tamil Nesan. Juga bukan tidak mungkin Yahaya juga menganggap tidak semua orang suka membaca tabloid organ pembangkang kerana pendekatannya yang terlalu prejudis terhadap kerajaan, seperti Harakah, Keadilan dan lain-lain. Masih ramai yang inginkan pendekatan yang neutral dan mendedahkan kelemahan parti-parti politik, baik yang memerintah mahupun yang membangkang. Yahaya mendapatkan formulanya daripada keinginan golongan ini.
Apapun jua, Yahaya yang telah lama meninggalkan dunia kesusasteraannya, kini merupakan orang media yang sentiasa berusaha mencari pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan nilai komersial medianya. Perubahan dalam cara berfikir tidak dapat dia elakkan, seperti yang terlihat dalam penerbitan tabloid “Bebas”. Bagi sesetengah kalangan, perubahan dalam cara berfikir Yahaya ini adalah kekuatannya. Hal ini amat ketara jika kita menilai karya-karyanya sejak mula dia menulis buku berunsur politik, seawal tahun-tahun 1980an dahulu.
Sesiapa sahaja yang membaca buku-buku politiknya nescaya akan mendapati cara berfikir Yahaya yang kritikal berubah-ubah dari satu ekstrim ke satu ekstrim yang lain. Pada suatu ketika buku Yahaya begitu kritikal terhadap tokoh-tokoh tertentu dalam parti kerajaan dan ada ketikanya pula bukunya memuji sakan tokoh-tokoh yang sama. Katanya, “Tunggulah buku baru saya yang bakal terbit Januari tahun depan. Mesti meledak.” Apabila ditanya apakah buku itu nanti pro atau anti establishment jawabnya, “You tunggulah.” Kelihatannya hanya dengan Gapena sikap Yahaya tak banyak berubah. Ends.
No comments:
Post a Comment