Saudara merentas kepelbagaian ilmu - Timur dan Barat; Islam dan Sekular. Apa yang saudara cari dan apa yang sudah ditemui?
Saya terpengaruh dengan satu bait sajak yang diungkapkan oleh Iqbal, di sini saya mengungkapkannya dalam konteks apa yang saya fahami tentang Timur dan Barat; Timur ialah pedang dan Barat ialah batu pengasah. Pedang akan menjadi tajam dengan adanya batu pengasah. Hubungan Timur dan Barat bagi saya ibarat pedang dan batu pengasah. Dalam ucapan penganugerahan SEA Write Award, saya menyebut bahawa sastera tidak harus dikotakkan dalam sempadan bahasa, politik, geografi dan apa sahaja. Dalam sastera tidak ada sempadan Timur atau Barat. Sastera baik Timur atau Barat adalah sastera milik kita semua. Di sini sastera mengharmonikan, bukan memisahkan. Saya menerima kedua-dua pemikiran daripada Timur dan Barat, ini bagi saya memberikan horizon pengalaman dan pengetahuan yang lebih luas. Saudara terbuka dalam menerima perkembangan dunia ilmu walaupun saudara seorang yang sangat tradisional dan konservatif. Bolehkah saudara nyatakan kedudukan sebenar pemikiran dan perjalanan sastera saudara?
Saya datang daripada keluarga yang di lingkung tradisi Islam yang kuat dan konservatif. Moyang dari sebelah ayah saya merupakan Kadi Besar Kelantan, juga murid kepada ulama besar Tok Khurasan. Keluarga sebelah ayah saya hidup di kampung pinggir bandar. Sebelah perempuannya turun temurun menjadi guru al-Quran untuk anak-anak kampung, sementara sebelah lelakinya turun temurun menjadi imam dan guru agama di kampung. Di rumah nenek saya sebelah ayah terdapat peti besi yang berisi kitab-kitab kuning. Tetapi saya membesar di bandar, dalam tradisi liberal dan sekular. Ini kerana ayah saya tidak mahu anak-anaknya membesar di kampung, kerana baginya kami harus hidup dan berjuang di bandar. Bandar adalah pusat tamadun, pusat segala ilmu dan pemikiran. Di Bandar lahir apa yang disebut madani dan umran iaitu elemen kepada subjek yang lebih besar - tamadun. Maka bagi ayah saya, orang Melayu harus tinggal dan berjuang di pusat kota, di tengah-tengah bandar dan bukan lari darinya kerana orang Melayu harus menjadi masyarakat bandar yang maju serta menguasai bandar sekaligus pusat tamadun. Maka saya dan adik beradik dibawa dan dibesarkan di bandar. Tetapi di sini juga membesarnya tradisi liberal dan sekular. Di luar, saya boleh dikatakan membesar dalam tradisi liberal dan sekular, tetapi pada masa yang akar tradisi masih kukuh di rumah. Dengan berada dalam dua latar belakang ini saya menjadi lebih kritis dan tidak mudah menerima membuta tuli. Saudara mengekalkan posisi sebagai sasterawan - mengkritik, menyaran dan tidak kurang juga menyatakan pandangan yang tajam pada isu-isu semasa. Mengapa tidak terjun ke dunia politik?
Di atas dasar apa pun, saya percaya bahawa saya seorang sasterawan dan saya harus berfikir, bercakap dan bersuara sebagai sasterawan. Dalam kata lain saya berdiri di atas landasan sastera dan budaya bukan di atas landasan politik walaupun suara dan pemikiran saya bercakap tentang politik. Tidak dapat tidak sasterawan sebagai rakyat juga ditentukan nasibnya oleh politik. Maka sasterawan perlu terlibat dan mempunyai hak atas keputusan politik yang menentukan nasib kehidupan mereka. Tetapi sasterawan tidak harus menjadi hamba kepada sebarang sikap partisan dan dogmatik. Maka sikap saya dalam politik amat jelas, saya tidak menjadi hamba kepada sikap partisan dan dogmatik sebaliknya bebas untuk bersuara secara rasional, objektif dan demokratik.Pada saya, keadaan sastera nasional sekarang umpama 'nasi basi', tak banyak perkembangan yang merangsang. Apa yang saudara boleh jelaskan tentang keadaan ini?
Sastera nasional Malaysia sekarang ini jauh dari masyarakat atau dianggap 'nasi basi' mungkin kerana terlalu terikat kepada status quo yang didasarkan oleh nilai-nilai yang dicipta dalam kerangka pemahaman yang tidak mesra perubahan dan pembaharuan. Penulis tidak digalakkan untuk melanggar norma dan nilai yang sedia ada, sebaliknya harus mengikuti garis nilai ini tanpa diberi kebebasan untuk bergerak dalam garis yang baru, iaitu mencipta dan menemui nilai-nilai baru. Dalam kata lain sastera nasional mungkin agak paternalistic dalam memasakkan status quo kepada penulis. Sastera harus dibiarkan bergerak dan berkembang secara alamiah, tanpa terlalu banyak dipaksa untuk bergerak mengikut acuan yang tidak pernah dan tidak mampu untuk berubah. Biarkan sastera bergerak secara alamiah, kerana sebarang penyimpangan akan secara automatiknya menemukan gerakan untuk mengembalikannya kepada titik keseimbangan atau equilibrium. Ini hukum yang adakala sukar di congak dalam perkiraan matematik dan logik otak manusia. Tetapi percayalah hukum alamiah mempunyai sistemnya yang tersendiri, dan adakalanya lebih tersusun daripada hukum ciptaan manusia. Jika ada keberanian daripada ahli sastera, pengurus sastera dan sasterawan untuk membiarkan sastera ini bergerak dan berkembang bebas secara alamiah, sastera akan segera hidup sebagai entiti penting masyarakat di mana penulis dapat menyuarakan kritikan terhadap apa saja yang menindas kehidupan mereka.. Apa yang saudara lihat pada penulis muda sekarang? Ada masa depankah?
Ketika saya mula-mula menulis, saya diacu oleh jiwa yang ingin memberontak terhadap status quo. Walaupun adakalanya pemberontakan ini hanya datang sebagai 'trend' jiwa muda tanpa sebarang tujuan yang jelas atau rebel without cause tetapi ia memberikan satu kekuatan kepada saya untuk sekurang-kurangnya bersikap dan membangunkan fikiran saya menjadi kritis. Saya tidak mudah menerima sesuatu tanpa alasan dan logik yang munasabah. Dalam keadaan ini saya mungkin lebih banyak menyanggah atau memberi alternatif. Di sini saya melihat bahawa penting peranan penulis muda dalam memberikan pilihan atau alternatif terhadap status quo atau fikiran yang sedia ada. Di sini juga akan lahir kedinamikan dalam masyarakat. Maka saya sentiasa menolak sikap yang saya sebutkan sebagai the old man burden iaitu kepercayaan bahawa keputusan untuk orang muda adalah hak dan tanggungjawab mutlak orang tua. Keputusan untuk masa hadapan orang muda harus dibuat oleh orang muda sendiri, atau sekurang-kurangnya melibatkan ruang yang lebih luas kepada orang muda. Kini ketika usia saya sudah memasuki usia yang memasuki kategori 'tua', saya tetap menentang sikap dan pandangan teman-teman seusia 'tua' saya yang masih tidak mahu memberikan kepercayaan kepada penulis muda. Kepada saya, penulis muda perlu belajar daripada setiap keputusan yang mereka buat biar ia manis atau pahit. Ini akan membuatkan mereka sedar dan merasa sendiri kebijaksanaan ataupun kebodohan mereka sendiri. (Dipetik daripada Utusan Malaysia, "sasterawan Nyatakan Kebenaran' oleh Zainal Rashid Ahmad, 12 Februari 2012.)Komen: Perlu direnungkan bersama bagi yang menggelar diri mereka sasterawan!
No comments:
Post a Comment