Artikel di bawah ini " Sasterawan terpinggir" oleh Chairil Ehsan dipetik daripada Utusan Malaysia, 19 feb 2012
SAYA cukup tertarik dengan isu yang dilontarkan oleh penulis pojok Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia 5 Februari lalu mengenai penghargaan kita terhadap golongan atlet dan sasterawan. Kita semua bukan menentang pembangunan sukan yang dibuat oleh kerajaan. Tetapi pada masa yang sama kita juga perlu membangun prasarana dan penghayatan khalayak terhadap kesusasteraan. Kalau dikaji, golongan yang memperkenalkan negaranya ke pentas dunia adalah cendekiawan dan seniman. Dalam kelompok seniman, ada sasterawan, penulis serta pelakon dan pengarah filem yang berkaliber.
Indeks apakah yang digunakan untuk melimpahi hadiah demi hadiah dan anugerah demi anugerah kepada atlet? Adakah kerana berjaya mengawal gawang dari dibolosi tendangan lawan itu sebagai indeks "pencapaian" luar biasa lalu mewajarkan dianugerahkan sebuah banglo? Khairul Fahmi menjadi saksi atlet atau ahli sukan negara ini mendapat anugerah besar, melangkau sasterawan yang berkarya lebih setengah abad secara berterusan.
Pemain badminton Lee Chong Wei juga membuktikan kepada kita seolah-olah kejayaan di gelanggang dunia mewajarkan dia diberi anugerah demi anugerah. Kalau ini bukan indeksnya, apa dia? Kita tentunya sama sekali tidak fikir nama negara dan pemikiran serta budaya rakyat terpancar dengan kemenangan Chong Wei. Tiger Wood lebih hebat tetapi apakah yang kita belajar daripada Tiger Wood untuk hubungkan dengan negaranya? Kalau masyarakat luar mahu mengenal pemikiran dan wajah budaya orang Malaysia, mereka mestilah membaca karya sastera yang tulis oleh sasterawan kita. Mereka kena membaca karya Sasterawan Negara Anwar Ridhuan, Sasterawan Negara Keris Mas dan sasterawan lain yang mengungkapkan budaya dan alam fikir masyarakat.
Indeks perhatian kerajaan kepada golongan sasterawan atau seniman tidak boleh dibuat hanya kerana mengambil kita populariti. Kalau penanda aras ini digunapakai, sampai bila pun sasterawan kita tidak akan diberi perhatian. Sebabnya kesusasteraan bidang yang tidak popular di mana populariti itu ditentukan oleh golongan muda yang menjauhi sastera. Bidang yang popular bagi sebahagian besar khalayak adalah sukan dan seni murahan. Adakah populariti ini menjadi penanda aras sama ada kita mahu meraikan sasterawan atau atlet? Saya antara peminat tegar bola sepak dan beberapa sukan lain termasuk golf. Malah bukan sekadar peminat tegar, dalam sukan golf misalnya saya turut terlibat secara aktif dan pernah juga beberapa kali menang pertandingan. Jadi, saya bukanlah orang yang anti sukan yang mengangkat sumbangan sasterawan secara membuta tuli.
Saya meminati muzik dan filem. Saya menjadi kaki wayang yang agak teruk. Pada masa yang sama saya mengagumi sastera tempatan dan Inggeris. Daripada pemerhatian saya, dalam sukan dan seni popular yang lain kepada populariti. Tidak ada kecenderungan untuk bermati-matian kerana "negara" seperti yang kita sangkakan. Lihatlah bagaimana layanan kita kepada juara Piala Thomas hampir 20 tahun lalu. Kemudian bandingkan dengan layanan kita kepada sasterawan yang karya mereka merentasi benua. Kedua-duanya ibarat langit dengan bumi. Kalau juara Piala Thomas mendapat wang berjuta, tanah dan banyak lagi "sumbangan ikhlas" daripada pelbagai pihak, apa yang Sasterawan Negara Usman Awang atau Anwar Ridhuan dapat apabila karya mereka diterjemah dalam pelbagai bahasa dan dipasarkan di luar negara?
Kita tidak boleh menjadikan populariti yang diberikan oleh khalayak terutama golongan muda sebagai faktor yang mesti dipatuhi. Kononnya kalau bidang sukan itu popular maka atlet mesti diberi penghargaan yang tinggi melangit. Ini kerana sebahagian besar golongan muda kita adalah mediocre yang terperangkap dengan sindrom mediocrity. Sindrom ini telah merebak dengan meluas dalam masyarakat dan menjadi barah apabila wujudnya golongan yang hidup semata-mata untuk hidup, berfikir secara simplisiti dan menjadi pengikut bukan pencetus.
Golongan ini sudah tentulah tidak akan mendekati bidang kesusasteraan kerana sastera itu penuh dengan kompleksiti dan menuntut keterlibatan pemikiran. Golongan mediocre akan menjauhi kompleksiti. Mereka inilah yang menjadi mangsa kerakusan penggerak konsumerisme dalam dunia sukan. Sebab itu saya sangat setuju dengan Siti Jarum bahawa sukan tidak ada kena mengena dengan jati diri bangsa dan jauh sekali mengharumkan nama negara. Di luar negara ahli sukan bukan dijulang kerana "mengharumkan" negara. Sebenarnya mereka dijulang oleh penggerak konsumerisme untuk tujuan dagang.
Lihatlah pendapatan bintang-bintang sukan bertaraf dunia. Mereka bukan kaya raya dengan duit sumbangan kerajaan tetapi oleh pengiklan. Bintang golf Tiger Wood sebelum skandal seksnya mengaut keuntungan dari pengiklan. Tidak ada pula kita dengar kerajaan memberi sumbangan itu dan ini kepada Tiger Woods. Bezanya atlet dengan sasterawan di Negara ini terletak bukan kepada indeks penghargaan, populariti dan ganjaran lumayan serta pengiktirafan kerajaan kepada kedua-dua golongan ini, tetapi siapa mereka di dalam dan di luar Negara. Bagi golongan atlet, siapa tak kenal Lee Chong Wei di peringkat antarabangsa, Penjaga gol Khirul Fahmi dalam bola sepak di kalangan Negara ASEAN, malah dalam bidang apa sekalipun. Misalnya dalam badminton siapa tak kenal Misbun, Razif dan Jailani serta adiknya Rashid di arena antarabangsa.
Kita tak usah ceritalah tentang Tiger Woods dalam lapangan golf atau satu ketika dahulu Mario Kempes, pemain Argentina yang namanya ngetop di Piala Dunia pada tahun 1978. Ketika itu Argentina memenangi Piala Dunia. Tidak usah kita bercerita tentang Pele atau Maradona. Soalnya apa yang membezakan atlet-atlet ini dengan sasterawan, terutama berbanding sasterawan Malaysia yang telah dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara. Soalnya apa yang membezakan dalam kalangan sasterawan Malaysia dan dunia, populariti sasterawan luar Negara seperti Hemingway dan beberapa nama yang disebut penulis ini berbanding Dato’ Anwar Ridhuan, Dato’ Usman Awang mahupun keris Mas atau Dato’ A Samad said mahupun Dato’ Shahnon Ahmad , penyanyi antarabangsa mendiang Whitney Houston atau Elvis Presley berbandng Siti Norhaliza atau P. Ramlee mahpun Sudirman Hj Arshad.
Jawapannya memang sudah ada dalam pemikiran dan benak kita. Yang membezakan bukan populariti, bukan karya tetapi pengiktirafan antarabangsa dan indeks penghargaan antarabangsa yang datang bersama ganjaran berjuta yang mereka peroleh berbanding indeks penghargaan dan pengiktirafan yang diterima golongan sasterawan kita walaupun sudah 50 tahun berkarya. Soalnya mudah sahaja, siapa Dato’ Anwar Ridhuan dalam indeks penghargaan di kalangan sasterawan dunia? Atau siapa Dato’ A Samad Said di kalangan sasterawan dunia? Tak perlulah kita bercerita tentang Tiger woods atau David Bekham. Kalau kita buat perbandingan antara mereka dengan sasterawan Negara kita, samalah seperti Kita bercakap dengan membandingkan antara semut kecil yang melata di bumi dengan burung garuda yang mendiami Laut Qalzum! Lebih baik kita mengukur baju di badan kita sendiri. Itulah rasional yang ditulis Siti Jarum yang pada ramai orang tidak ada salah silapnya.
No comments:
Post a Comment