Wednesday, 7 March 2012

ZAHARI HASIB: PERGI YANG TAK KEMBALI!


Allahyarham Zahari Hasib, penyair terpinggir?



Berikut adalah artikel Ku Seman Ku Hussain yang dikutip sepenuhnya dari Utusan Malaysia, 4 Mac 2012 tentang Allahyarham penyair Zahari Hasib yang pergi buat selama-lamanya.Tidak banyak yang kita ketahui tentang penyair ini dalam kalangan kawan-kawan penulis. Saya peribadi tidak begitu mengenalinya kecuali melalui karyanya yang kebanyakannya berupa puisi. Melihat wajahnya melalui dada media sahaja dan pernah dengar bahawa Allahyarham bertugas sebagai "pengawal keselamatan". Tidak dapat pula disahkan kerana tidak pernah bertemu dengan Allahyarham.


Begitulah golongan penulis ini dengan dunianya. Walaupun ada yang tidak pernah bertatap muka tetapi sesetengahnya mengetahui kawan-kawan wujud melalui pancaran karyanya dalam dada-dada akhbar dan majalah. Inilah penghubung antara mereka, mengetahui isi hati mereka dan mengintai-hubung melalui cara berfikir mereka. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahrarham. Al-Fatihah! -A.F.Yassin 8 Mac 2012.
Belasungkawa Zahari Hasib Penyair yang terpinggirBelasungkawa Zahari Hasib Penyair yang terpinggir


Saya mengesani pemikirannya selepas banyak kali melihat dia deklamasi puisi di Kuala Lumpur tahun 1984. Saya terpikat dengan puisi-puisinya yang ringkas dan meminjamkan gaya deskriptif. Puisi-puisinya boleh dinikmati oleh banyak orang sekalipun tidak boleh difahami oleh semua orang. Puisi-puisi yang bercorak impresionistik telah memperkenalkan dia sebaris dengan penyair lain.
Puisinya tentang buang manggis tampuk di kulit dan ulasnya di dalam sangat mengesankan. Katanya, manggis tidak pernah berbohong, lima cabang tampuknya, ada lima ulas di dalamnya. Dia seorang yang sangat memerhati kemudian dipindahkan menjadi puisi dengan suntikan pemikiran dan kritikan.
Tetapi seingat saya, sepanjang usia kepenyairannya, dia tidak pernah ditonjolkan sebagai salah seorang penyair yang pernah kita miliki. Dia penyair agak terpinggir. Walaupun bukan tergolong sebagai penyair muda 1980-an tetapi itulah zaman kemuncaknya. Dekad 1980-an adalah suara lantang penyair muda mengkritik sistem sosial dan mencari diri, tetapi Zahari terus dengan gayanya bagai seorang ayah menegur anak-anak. Tambahan pula sikapnya yang tidak pernah bermegah kerana kerap juga diulangi, "Saya tak sekolah tinggi."

Saya fikir salah sebuah bukunya, Menyorot Kisah dan Ilham (1987) penting untuk kita menyingkap proses kreatif dia menghasilkan puisi-puisi sinikal dan satira sosial yang tajam. Dia menghasilkan tiga antologi puisi, Kuntuman Harapan (1992), Debu Di Kaca (1995) dan Bunga-Bunga Terbuang (1989).
Malam Ahad lalu (26 Februari) tatkala menerima SMS daripada Pengurus Besar TV AlHijrah, Zainal Rashid Ahmad mengkhabarkan berita duka kepulangannya ke negeri abadi, saya segera teringat susuk dan pekertinya yang sering membuat saya terharu. Kepulangan penyair Zahari Hasib pada usia 65 tahun di Teluk Intan, Perak membuatkan saya kehilangan orang yang berpekerti tinggi. Saya masih menyimpan 15 puisi yang ditulis dengan mesin taip yang belum disiarkan. Membaca kembali semua puisi ini mengingatkan Zahari yang pernah saya kenali 28 tahun lalu.

Suatu yang sangat sentimental dan mengharukan perasaan saya kerana semua puisi itu dihantar sendiri dengan tangan. Zahari yang lahir pada 15 Jun 1947 itu menetap di Teluk Intan, menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menghantar puisi kemudian balik semula ke Teluk Intan. Bersama sampul puisi, Zahari menghulurkan beberapa pek plastik berisi gula-gula yang diklip pada sekeping kertas sebesar kelingking bertulis, "Ikhlas Daripada Zahari Hasib."

Zahari seorang yang humanis, deria rasa dan kotak fikirnya seiringan menangkap pergulatan sosial dan dia ada saranan. Zahari menerusi puisi-puisinya sangat akrab dengan sosialisasi di sekeliling. Dia melihat dari sudut pandangan yang dalam dan penuh tanggungjawab. Zahari seorang pemerhati dan perenung yang setia, tentang sekecil-kecil benda hingga kepada sebesar-besarnya. Puisinya, Hakikat pertama kali disiarkan dalam majalah Pemimpin tahun 1969 dan mula menulis puisi sejak awal tahun 1960-an lagi.

Perkenalan pertama dengan Zahari ketika saya ketika menghadiri pelancaran pameran lukisan di Rumah Anak Alam berhampiran Padang Merbuk, Kuala Lumpur tahun 1984. Saya pernah nampak wajahnya dan kenal siapa dia. Saya memperkenalkan diri dan kami berbual agak panjang seusai majlis hingga lewat malam.

Setahun kemudian, kerana tidak ada pihak yang memberi peluang khusus kepada Zahari mendeklamasikan puisi-puisinya depan khalayak, saya bersama Wan Zulkifli Wan Yaacob sekarang Ketua Biro Utusan Terengganu, Zulkifli Ismail (pelakon drama), Halim Yazid pelajar Universiti Malaya sekarang Pegawai Kebudayaan Universiti Malaya menganjurkan Malam Puisi Zahari Hasib di Pusat Seni, Jalan Bandar.

Acara puisi itu dianjurkan secara "miskin" tetapi kepada Zahari itu adalah catatan penting dalam sejarah kepenyairannya. Zahari sangat terharu kerana diberi peluang menjadi hos acara deklamasi puisi. Penyair lain kerap mendapat pendedahan dan sering tertonjol di majlis-majlis sastera, tetapi tidak kepada Zahari. Ada sesetengah pihak menganggap puisi Zahari tidak ada nilai. Kata mereka, bahasanya terus terang, tidak mendalam dan nipis pemikiran.
Tetapi kami ketika itu walaupun bukan mahir hal puisi dan sastera memikirkan Zahari ada kelebihan dan keunikan. Zahari ada pemikiran dan menggunakannya untuk mengkritik dan kerap kali juga satiranya menyentak perasaan.

Kali terakhir lebih kurang enam bulan lalu, ketika datang ke pejabat, Zahari tidak mengambil masa saya selain bertanya khabar dan menghantar karyanya. Dari jauh tujuannya untuk menghantar karya dan tidak berbual kosong. Saya fikir Zahari antara orang yang memulakan hari baru dengan membaca akhbar. Buktinya Zahari akan menelefon saya seawal pukul 7 pagi hari Ahad kalau ada puisinya disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Tuturnya ringkas sahaja, "Terima kasih daripada Zahari Hasib."
Peribadi Zahari banyak mengajar saya yang kurang ilmu supaya menerima teguran walaupun ada kala melukakan. Zahari sangat sedar duduknya dalam dunia puisi, kerana itu tidak pernah diluah keterpinggirannya dalam peta puisi Malaysia.


3 comments:

  1. AsSalam..terima kasih saudara A.F Yassin atas tulisan blog ini dan juga kepada Ku Seman Ku Hussain. Allahyarham Zahari Hasib bertugas sebagai Pegawai Keselamatan Bank Negara Malaysia.Setelah bersara beliau berpindah dan menetap di Teluk Intan, Perak.Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh beliau.Amin...Al-fatihah.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).