Saturday, 29 September 2012

SMAP BENTONG: PERTEMUAN PENUH BERMAKNA BAGI PENGHUNI


 
Pengetua SMAP Bentong, Karudin Kamarul Zaman ketika berucap di majlis.
 
Ketika berucap dalam majlis penubuhan Hari Ibu Bapa Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP), Bentong, Pahang 14 September 2012 lalu, Pengetua cemerlangna , Tuan Karudin Kamarul Zaman berharap antara lain “kerjaama erat antara ibu bapa dan guru sekolah  bukan saja bermakna tapi sangat bermakna , terutama dalam memberikan idea bernas untuk membngunkan sekolah.”
Inilah apa yang kita sebut “keywords” bagi pembangunan sekolah berasrama penuh SMAP ini. SMAP Bentong adalah sekolah agama ketiga bertaraf persekutuan yang disediakan kerajaan selepas SMAP Kajang di Selangor dan Labu di Negeri Sembilan.  Di SMAP Bentong, jumlah pelajar yang menghuni sekolah adalah sebanyak 168 orang berdasarkan statistik sekolah dan ini tentunya akan bertambah setiap tahun.

Bebarapa orang penjaga pelajar yang ditemui dalam majlis perjumpaan Hari Raya dan Mesyuarat Agung PIBG 2012, 14 September lalu melahirkan rasa puasnya kerana anak-anak mereka berjaya ditempatkan di sekolah berasrama penuh ini.
Kata seorang, “Yang lebih penting ialah sekolah dlengkapi dengan pendidikan agama yang amat kita perlukan untuk menjamin mutu pelajaran dan sahsiah mereka. “
 
Barisan J/K PIBG SMAP Bentong yang baru dipilih.

Namun ada pula yang melihat kawasan sekitaran secara bandingan kurang kondusif untuk belajar. “Saya melihat di kedua-dua SMAP Labu dan Kajang, kawasan sekolahnya dekat dengan Bandar. Misalnya Labu dekat dengan Seremban dan Kajang berada di tengah-tengah Kajang, malah dekat dengan perumahan elit Kajang Country Heights. Jadi ini memudahkan pelajar yang mahu mencari keperluan sekolah dan peralatan yang mereka erlukan,” katanya.
Menurutnya lagi di Bentong kawasan ini dikelilingi kebun kelapa sawit, di tengah-tengah Gugusan Ladang Permaga 1, 2 dan 3. Tidak ada masalah bagi pelajar dari luar Bandar, tapi bagaimana dengan anak-anak yang dilahir dan dibesarkan dalam keluarga yang tinggal di Bandar. Ini satu kejutan budaya buat mereka.”

Seorang lagi penjaga berasa kurang senang bila mendengar  wujudnya kompleks penjara Bentong di kawasan sekitar. “Risau juga saya Manalah tahu kok..kok..” Dia tak mengabiskan kata-katanya.
 
Antara yang hair dalam mesyuarat pertama PIBG SMAP Bentong.
 
Namun umumnya seperti yang ditekankan Pengetua Cemerlang SMAP Bentong ini, pandangan bernas itu akan diambil kira dan “amat bermakna.” Panjang juga ucapan Pengetua dan tentunya elemen keselamatan, pelajaran  dan kesahsiahan pelajar diberikan fokus utama. Baginya cabarannya amatlah  besar menunggu pasukannya namun dengan berkat kerjasama guru dan ibu bapa pelajar semuanya akan mampu diselesaikan.
 
Kawasan Persekitaran SMAP Bentong dengan bangunan dan lapangan parkir yang  tip-top

Dalam seminggu dua ini, bukan tidak mungkin ada pelajar yang mahu pulang sahaja daripada meneruskan pelajaran di tempat yang mungkin dianggapnya terlalu ulu. Barangkali ada pelajar yang sudah pun menamatkan “persekolahan”nya di situ setelah hanya seminggu menghuni bangunan indah di tengah-tengah gugusan Permaga ini.
Barangkali pulu guru kaunselor sekolah ini, Mohd. Fazil Hj. Yahya sedang bertungkus lumus memberi nasihat kepada pelajar yang masih lagi “rindu rumah sendiri di tengh-tengah kota” atau “menangis setiap malam tiba bila melihat mereka dikepung oleh pokok-pokok sawit.”

Persoalan kejiwaan dalam kalangan pelajar yang rata-rata masih di Tingkatan 1 ini amat rumit, malah guru kaunselor akan terpaksa  menyelesaikan masalah yang lebih mempincikan persoalan peribadi dan hubungan jauh dari ibu bapa.” Aptah lagi jika guru kaunselor itu belum mempunyai banyak pengalaman menasihat, jika beliau masih muda usia.
Memang amat mencabar. Daripada tiga buah sekolah agama persekutuan hanya baru di SMAP Bentong yang berupa kawasan baru, jauh dari hiruk-pikuk kota. Daerah yang baru membangun ini sekitar setengah jam perjalanan dari Bandar Bentong dan merupakan jalan aternatif dari Lebuhraya Karak ke Kota Bahru dan Kuala Lipis.

Kompleks sekolah tip-top, serba baru lengkap dengan padang permainan,  pusat pentadbiran, dewan serbaguna, kantin, surau, malah pusat kawalan 24 jam. Dari kejauhan panoramanya saujana mata memandang dengan hijauan pokok-pokok sawit berbukit-bukau.  Bagi pencinta alam suasana sekitaran memukau dan barangkali kawasan ini amat ideal untuk dijadikan tempat tinggal.
Seorang pesara kerajaan yang turut hadir  menjelaskan “seronoknya saya apabila telah tiga kali ke SMAP ini. Katanya, “Saya tak kisah kalau perlu dtang setiap minggu ke sini, kerana kawasan sekitar amat menggembirakan saya.” Barangkali pesara ini pernah tinggal di kampong pada suatu ketika dahulu, walaupun kini dia telah menetap di Kuala Lumpur. Pesara ini mengikuti penjaga anaknya yang baru dua minggu menjadi penghuni asrama.

Begitulah suasana di SMAP Bentong Jumaat lalu. Ada dua majlis berasingan tetapi sebenarnya menurut Pengetua “dua dalam satu.” Pertama majlis perjumpaan Hari Raya Sekolah sementara majlis satu lagi adalah mesyuarat agung penubuhan Persatuan Ibu Bapa SMAP Bentong bagi membentuk Jawatankuasa PIBG menggantikan J/k Penaja.
Encik Zulkifli Abdullah telah dipilih semula menerajui PIBG. Sebelum ini beliau adalah Pengerusi Penaja. Jawatankuasa turut memilih 1 orang anggota Jawatankuasa kerja, enam daripadanya dari kalangan ibu bapa  dengan dua orang audit. Dalam ucapan penangguhan setiap anggta yang dipilih telah memberikan ikrar untuk membina dan memajuka sekolah berasrama penuh, yang perama di luar Bandar, ini sebagai sebuah sekolah menengah agama yang cemerlang, standing dengan di Kajang dan Labu. Dan hasrat itu dikongsi beberapa ibu bapa yang turut memberikan pandangan  paa ucapan penangguhan.

Pengetua Karudin Kamarul Zaman  tidak akan berseorangan dalam memikul tugas berat ini dan bumi Memparga akan membuka tamadun mini baru para warga pelajar dan penduduk Felda sekitar. Komuniti pelajar muda Memperga SMAP Bentong yang pada hari ini berjumlah 168 akan bertambah  mungkin 10 kali ganda dalam tempoh satu dekad yang akan datang. (Catatan Pena Kembara). 

Wednesday, 15 August 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN 1433


DENGAN INGATAN TULUS IKHLAS, KAMI SEKELUARGA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN 1433.


DARIPADA

Ahmad Fadzil Yassin dan Rubiyah Suleiman
Rosmawati Yunus, Nurfaizzati, Nurusydina, Irfan dan Irsyad
Noor Azmi , Izanul Fazliah, Ikhwan Danial, Qaisara (Yaya), Isya dan Nadyne
Iwan Fazlee, Rohana, Akhil dan Hakeem

 Lot 1630 Jalan Gajah 9, Kg. Kubu Gajah, 47000 Sg. Buloh, Selangor Darul Ehsan.



Tuesday, 24 July 2012

ANDAINYA SN USMAN AWANG MASIH ADA, MUNGKINKAH BEGINI JADINYA?


Allahyarham Usman Awang, Sasterawan Negara dan mantan Ketua Bahagian Perkembangan Sastera, DBP.

Saya terima SMS daripada anak arwah Usman Awang, Haslina Usman, minta saya baca portal The Malaysian Insider. Ada satu artikel tentang karya Usman Awang yang ditulis oleh Uthaya Sankar SB. Sedih, kesal  dan pilu setelh membacanya. Tidak siapa menduga niat ikhlas anak sulungnya Haslina perlu mengharungi ranjau yang demikian besar. Semuanya gara-gara Haslina menjadi penaja untuk apa yang disebut oleh Ku Seman Ku Hussein dalam artikelbya di bawah ini  "Teater Uda dan Dara" yang dipersembahkan di Istana Budaya satu ketika dulu. Haslina dianggap pendatang baru dalam dunia persembahan teater ini, apatah lagi untuk menaja persembahan di tempat yang amat elit dalam dunia seni teater. Tetapi memandangkan ini adalah karya arwah ayahnya, maka Haslina berusaha menjayakannya dengan "bantuan" sana sini. Ku Seman dalam artikelnya menjelaskan kedudukan perkara dan akhirnya Haslina bagaikan tersentak,  tak pasti apa yang akan berlaku dengan kerjaya dan masa depannya.

Yang dikesalkan ialah  semua persoalan ini tidak akan timbul jika dari awal lagi Haslina diberikan penjelasan "sejelas-jelasnya" mengenai kesan dan akibat persembahan teater karya arwah ayahnya ini dari semua aspek, terutama kos. Tidak pernah dia duga dia akhirnya akan terjerumus dalam  kancah  defisit yang begitu tinggi. Haslina dan UA Entreprise akan menanggung kerugian yang bukan sedikit. Seperti jelas Ku Seman,  yang seharusnya dianggap sebagai insentif daripada Dana Industri Kreatif kementerian Penerangan , Kebudayaan dan kesenian itu  tidak difahami secara harafiah. Akhirnya yang dianggap dana kretif itu tidak banyak membantu. Mungkin Haslina terpukau dengan istilah "Dana industri" tanpa memikirkan apakah ianya berupa geran atau pinjaman. Saya pun amat kurang jelas sehinggalah  saya membaca artikel Ku Seman. Barulah saya sedar bahawa Haslina rupa-rupanya sedang dicengkam masa depan yang amat tidak menentu.

Tak pasti apakah ada organisasi seni dan budaya yang dapat membantu Haslna dan UA Entreprise yang dipimpinnya. . Atau DBP yang banyak menrima jasa daripada arwah Usman Awang ketika bertugas di institusi bahasa dan sastera itu boleh berbuat sesuatu meringankan beban waris arwah ini. Opsyen yang ada, Haslina perlu menemui pihak pengurusan DBP untuk mendapatkan nasihat.
 
Karya Usman Awang tergadai?
Oleh Ku Seman Ku Hussain

APABILA Istana Budaya menawarkan slot teater karya Sasterawan Negara, ada pula sebuah yayasan yang setuju menjadi penaja utama, dia sebagai anak kepada Sasterawan Negara Usman Awang menerima dengan hati terbuka untuk mementaskan naskhah karya ayahnya, Muzikal Uda dan Dara.
Dalam fikirannya hanya satu iaitu mementaskan karya agung ayahnya. Dia tidak pernah terfikir untuk mendapat keuntungan daripada pementasan muzikal itu kerana baginya, berdirinya watak-watak yang dicipta ayahnya di Istana Budaya, itu adalah puncak gembiranya.

Tetapi yang berlaku di luar muzikal ini berbeza daripada apa yang diharapkan. Pementasan ini membuatkan dia terpaksa menggadai sebuah rumah. Lebih tragis lagi kini bukan sahaja rumahnya bakal dilelong tetapi semua karya-karya ayahnya akan tergadai kepada bank sekiranya tidak dapat membayar Dana Industri Kreatif di bawah Kementerian Penerangan Kebudayaan dan Komunikasi.
Dia sanggup kehilangan rumah tetapi sama sekali tidak sanggup kehilangan hak cipta karya-karya Usman Awang. Apa lagi hanya dia menerusi syarikatnya UA Enterprise yang memegang semua hak cipta karya itu. Tujuan asal untuk mementaskan karya ayahnya tetapi kini semua karya pula akan bertukar tangan.

Itulah saat-saat getir yang didepani oleh Haslina Usman anak sulung Usman Awang apabila bank yang mengeluarkan Dana Industri Kreatif memburunya untuk mendapat balik dana (sebenarnya pinjaman) sebanyak RM900,000.
Rupa-rupanya Dana Industri Kreatif yang digula-gulakan kononnya inilah tanda sokongan kepada warga seniman adalah pinjaman.

"Saya rasa macam mimpi terperangkap dalam situasi ini. Tak percaya sama sekali suatu hari saya kehilangan rumah kerana mementaskan karya ayah saya," demikian tutur Haslina dengan sebak yang ditahan-tahan. Berulang kali Haslina berkata dia tidak menyesal mementaskan Muzikal Uda dan Dara tetapi kalau tahu begini akhirnya, dia sama sekali tidak akan melakukannya.
"Saya tidak ada pengalaman dalam soal mencari penaja bagi projek sebesar ini. Tetapi apabila ada pihak yang menawarkan sokongan untuk jadi penaja, saya pun terima tawaran Istana Budaya mementaskan muzikal ini," jelasnya yang mendapat pinjaman bank itu pada hari terakhir pementasan. Ini bermakna dia terpaksa menggadai rumahnya untuk mendahulukan duitnya.

Katanya, kalau tidak ada pihak yang menawarkan diri menjadi penaja utama, dia tidak terkilan kalau tidak dapat mementaskan Muzikal Uda dan Dara. Ini bukan bidangnya dan tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk dilaburkan dalam bidang yang tidak diarifinya. Tetapi Haslina terperangkap, sebelah kakikya di dalam, sebelah lagi di luar.
YayasanPada saat-saat akhir yayasan yang menawarkan diri jadi penaja menarik diri, sedangkan dia telah memulakan sesi latihan dan membayar pelakon-pelakon. Wangnya telah banyak dibelanjakan. Kalau membatalkan pementasan ini sudah tentu mendatangkan kerugian dan dia masih berharap ada penaja yang boleh membantu meringankan beban kewangannya.

Walaupun Istana Budaya menaja tempat pementasan tetapi Haslina terpaksa membayar kerja lebih masa pekerja produksi Istana Budaya sebanyak RM100,000.
Muzikal Uda dan Dara merupakan karya agung Usman Awang yang mengkritik sistem sosial dalam masyarakat Melayu yang menindas golongan yang tidak berkemampuan. Usman Awang mengkritik sistem "padi kunca" iaitu penindasan terhormat oleh golongan kaya terhadap golongan marhaen. Naskhah ini telah banyak kali dipentaskan termasuk di Auditorium DBKL lebih 20 tahun lalu.

Pementasan di Istana Budaya pada Julai 2010 diarahkan oleh Datuk Rahim Razali dan dilakonkan oleh Razali Hussein dan Misha Omar. Pementasan ini sebagai menggantikan slot teater Salina karya Sasterawan Negara A. Samad Said. Selain Muzikal Uda dan Dara, Usman Awang juga menghasilkan naskhah Tamu Bukit Kenny yang banyak kali dipentaskan.
Haslina menjelaskan, pada mulanya pinjaman yang diluluskan ialah RM1.5 juta. Bagaimanapun dia hanya menerima RM900,000 sahaja tetapi terpaksa menanggung kos guaman bagi pihak bank sebanyak RM25,000 mengikut kadar pinjaman RM1.5 juta.

"Kalau saya tidak boleh melangsaikan hutang RM900,000 itu, syarikat saya UA Enterprise akan muflis dan karya-karya ayah akan tergadai kepada bank," kata Haslina yang hampir tenggelam punca untuk mencari wang membayar pinjaman sebanyak itu.
Haslina bagaimanapun tidak menuding jari menyalahkan mana-mana pihak yang menjerumuskan dia dalam tragedi ini. Sebaliknya semuanya kerana tidak ada pengalaman dalam penganjuran pementasan menelan belanja besar. Walaupun terpaksa menanggung hutang yang banyak Haslina tidak berhutang dengan pekerja produksi dan pelakon-pelakonnya.

Kesimpulan daripada tragedi yang menimpa Haslina, kita wajar bertanya apakah sebenarnya Dana Industri Kreatif yang digambarkan seolah-olah bantuan kewangan untuk mengembangkan seni budaya tempatan? Dana ini menjadi sebutan "wajib" dalam banyak ucapan kononnya itulah tanda prihatin kepada golongan seniman. Apa bezanya Dana Industri Kreatif dengan pinjaman bank? Barangkali Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi wajar memberi penjelasan supaya persepsi serong terhadap dana ini dapat diperbetulkan.
Kepada seniman lain, berhati-hatilah kerana di negara kita penghargaan kepada golongan seniman dan pemikir terlalu rendah. Banyak pula pihak yang cuba meraih perhatian dengan menunjuk simpati dan sokongan kepada seniman. Janganlah terpengaruh dengan slogan demi slogan kerana realitinya sangat berbeza. Kalau karya Usman Awang tergadai, kitalah yang malu bukan birokrat. (Petikan Mingguan Malaysia 22 Julai 2012).









Thursday, 3 May 2012

MENILAI PEMIKIRAN ALLAHYARHAM SHAHAROM HUSSAIN


Allahyarham Cikgu Shaharom Hussain: Pemikirannya dibincangkan dalam satu seminar di Johor Bahru beberapa tahun yang lalu.

Menilai Pemikiran Shaharom Hussain


 Orang lama dalam komuniti budaya Johor, Haji Hamdan Abd. Rahman, terlalu kecewa dengan pendekatan seminar pemikiran Shaharom Hussain yang diadakan di Johor Bahru 4 April lalu. Menurutnya seminar tidak mencapai tujuan sebenarnya. Sambil membelek-belek kertas beberapa kertas kerja yang dibentangkan hari itu, Hamdan Rahman “tidak melihat pemikiran tokoh budaya Shaharom”. Katanya, “Tidak ada satu pun kertas hari ini, kecuali yang dikemukakan Hamdan Yahya, yang menyentuhnya.” Hamdan Yahya adalah bekas pengarah Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

 Hamdan Rahman mahu pihak berwajib memberikan sesuatu yang setimpal sebagai mengenang sumbangan Shaharom yang berusia 85 tahun tapi masih mampu berkarya. Beliau mencadangkan Yayawan Warisan Johor  dan Gapena mencari jalan agar Shaharom  dianugerahkan gelaran Datuk atau gelaran yang setimpal. Malah, katanya, “Shaharom sudah lebih daripada sepatutnya dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.”

 Mana Sikana, salah seorang pembentang kertas kerja bersetuju dengan pendapat Hamdan Rahman. Tetapi Mana Sikana menganggap bahawa pra-syarat anugerah hampir membuatkan Shaharom mustahil dianugerahkan gelaran seumpama itu. Beberapa kriteria syarat perlu diubah. Mana Sikana mencadangkan supaya penilaian karya calon sasterawan negara mesti diasaskan terutamanya kepada faktor berdaya tahan dan masih diperkatakan. DBP perlu membuat penilaian semula tentang pra-syarat ini. Jika hal ini dapat dilakukan kemungkinan besar Shaharom boleh tersenarai dalam barisan calon utama.

 Shaharom masih menulis. Tokoh-tokoh seangkatannya sudah lama pergi. Yang ada hanyalah seorang berdua seperti Datuk Abdullah Hussain, Awal il Sarkam dan sedikit junior A. Samad Ismail. Namun dua terakhir ini “sudah pencen menulis”. Tinggal Abdullah Hussein yang  masih terus berkarya. Persoalan yang berlegar ialah mengapa Shaharom tidak pernah disenarai pendekkan sebagai calon sasterawan negara. Apakah karyanya diangap tidak senilai karya sasterawan negara yang lain. Atau Shaharom terlalu lokal dan tidak begitu menonjol dalam arena sastera tanah air. Tidak seperti S. Othman kelantan, Abdullah Hussain, Dato’ Shahnon Ahmad dan lain-lain.

 Enam kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari itu, bersama ucap utama oleh Datuk Johan Jaafar. Kecuali Mana Sikana, semua pembentang terdiri daripada anak watan Johor sendiri, termasuk pengucap utama Johan. Nilai pemikiran Shaharom disentuh seimbas lalu oleh Hamdan Yahya sedangkan yang lain lebih menitik-beratkan elemen luaran dan fizikal daripada tokoh yang diperkatakan. Hamdan memperlihatkan unsur nasionalisme dalam drama-drama Shaharom. Hamdan menyandarkan pendapatnya ini melalui tafsiran sejarawahan Hans Kohn dari Sustria-Hungary.

Unsur ini terlihat jelas dalam drama “Keris Laksamana Bentan” dan “Badik Panglima Riau.” Hamdan menyebut penentangan terhadap raja dalam Keris Laksamana Bentan adalah bercirikan nasionalisme. Sementara dalam “Badik Panglima Riau” ciri nasionalisme diperlihatkan melalui kesetiaan kepada kumpulan yang dicerminkan oleh watak antagonis Daing Matekoh.

Uacap Utama Johan tidak banyak menonjolkan tokoh yang diseminarkan tetapi cenderung mengasosiasikan dirinya dengan dunia drama Shaharom. Mukadimah ucap utama sebelum sampai kepada pengenalan tentang tokoh berputar di sekeliling penglibatan pengucap utama dalam dunia bangsawan sejak kecil. Mukadimah panjang ini diwajarkan melalui hubung kait antara bangsawan dan drama pentas.

 Amat disayangkan impak pengokohan Shaharom Husain tidak terserlah seperti yang sepatutnya. Seperti kata seoranng peserta seminar, “Ucapan utama baik dari sudut sejarah namun akan menjadi lebih baik sekiranya seluruh ucap utama pagi itu dipusatkan kapda pemikiran Shaharom dan arah tujunya perjuangannya dalam berkarya.” Tiga kertas kerja berkisar hanya tentang Shaharom seperti ketokohannya, rumahnya yang dinamakan Gapura Sastera dan mengapa dan bagaimana Shaharom berkarya. Satu mengulas novel Siapa Gila sementara satu lagi petikan artikel dari buku yang dilancarkan sempena seminar, berjudul “Shaharom Husain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

 Bagaimanapun, ada sesuatu yang menarik dalam kertas kerja Mana Sikana yang berjudul, “Ketokohan Shaharom Husain Sebagai Penulis Skrip Drama.” Mana Sikana menganggap Shaharom sebagai pelopor Drama Melayu moden, sama taraf dengan Syed Alwi al-Hady dalam bidang novel atau Ponggok dalam bidang sajak. Dan menurut Mana Sikana, drama “Si Bongkok Tanjung Puteri” merupakan drama terbaik yang pernah dihasilkan Shaharom daripada sejumlah tujuh karya yang dihasilaknnya. Kesemua tujuh buah drama ini telah dibukukan, iaitu “Si Bongkok Tanjung Puteri”(1962), “Harimau Johor” (1962), “Tun Seri Lanang” (1968), “Balang Emas” (1964), “Tonggak Kerajaan Johor” (1957), “Tun Fatimah” (1964) dan “Wak Cantok” (1965).

Di samping drama, Shaharom turut menghasilkan 18 novel sejarah, termasuk 12 novel sejarah. Dua novel terakhirnya ialah “Di Bawah Hujan Peluru” yang diterbitkan oleh AF Communications pada tahun 2002 dan “Di Bawah Bulan dan Matahari” (2004). Enam buku sejarah telah juga diterbitkan, terakhir “Sejarah Johor” yang terbit pada tahun 1998. Sementara empat buah buku pengembaraan dan tiga buku umum sastera melengkapi penghasilan karya sasteranya sepanjang hampir 50 tahun berkarya.

 Walaupun tidak begitu dibicarakan di peringkat nasional, Shaharom mula mendapat tempat, setidak-tidaknya di hati orang Dewan Bahasa. Ketua Pengarahnya, Datuk Haji Aziz Deraman dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Apabila kita menyentuh mengenai jasa Shaharon Husain yang begitu banyak dalam kesusasteraan Johor dan negara pula, ia wajar dicontohi oleh generasi muda.” Ucapan ini dianggap satu pengiktirafan oleh kerajaan terhadap ksumbangan Shaharom dalam dunia kesusasteraan tanah air.

 Begitu juga halnya dengan kerajaan Johor yang memberikan pengikritarafan. Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abdul. Ghani Othman ketika merasmikan seminar dan seterusnya melancarkan buku “Shaharom Husain Gapura Sastera Johor” berkata kerajaan Johor mahu Yayasan Warisan Johor menerbitkan semula  karya-karya sasterawan Shaharom untuk dijadikan  bahan rujukan oleh aktivis sastera, terutama di kalangan generasi muda.

 Baik Aziz mahupun Abdul Ghani usaha mengetengahkan karya Shaharom ini boleh dikaitkan dengan cara berfikir tokoh berkenaan. Mesej apa yang mahu disampaikannya? Dan semangat kental yang bagaimana perlu dicontoh generasi muda? Generasi muda mampu menilai pemikiran Shaharom melalui karyanya, walaupun pada seminar itu tidak banyak unsur pemikiran yang didedahkan. Malah tidak ada satu pun resolusi lapan perkara yang diterima di akhir sidang yang relevan dengan pemikiran sang tokoh.

 Antara resolusi yang diterima ialah kerajaan Johor diminta menamakan sebatang jalan  di bandar Johore Bahru sebagai Jalan Shaharom Husain. Kerajaan Johor digesa menamakan sebuah bangunan atau institusi  dengan nama Shaharom. Kediaman Gapura Sastera dicadangkan dijadikan Galeri Gapura Sastera Negeri Johor. Jika resolusi ini dapat dilaksanakan maka setikda-tidaknya harapan orang lama budaya Johor Hamdan Rahman tidak lagi murung melihat keadaan Shaharom seperti disisihkan dengan karyanya tidak dihargai. (Pernah disiarkan dalam Utusan Zaman berdasarkan Seminar Pemikiran Shaharom hussain di Johor Bahru beberapa tahun yang lalu).   








Wednesday, 25 April 2012

DARI RANAH MINANG KE PEKAN BARU


Penerbit Jejak Bahasa DBP-TV3  sedang berbincang dengan A.A.Navis dan Wisran Hadi sambil diperhatikan Othman Ismail, Alias Hj Yusof sebelum memulakan penggambaran di kediaman A.A. Navis di Padang pada tahun 2001.

 


CATATAN A.F YASSIN


JELAJAH BAHASA BUKIT TINGGI PEKAN BARU



Perjalanan tujuh jam dari Bukit Tinggi ke Pekan Baru di Sumatera melelahkan. Penerbit Jejak Bahasa dari TV3, Zailan Abdul Rahman malah terpaksa menekan perut sepanjang perjalanan kerana mual dan sakit-sakitan. Katanya, “Sudah tiga kali saya buang air sejak pagi.”

 Ada yang kata Zailan terkena cirit-birit kerana m akan tidak menentu. Hal ini ditambah pula dengan makan nasi padang, pagi dan petang tanpa mengira masa. Zailan merupakan orang kesepuluh daripada sebelas anggota rombongan Jejak Bahasa ke seluruh Sumatera dan Jakarta yang terkena cirit-birit ini. Saya juga melihat jurukamera, Mohamad Fitri Maat berwajah lesu dan pucat sahaja. Barangkali penyakit cirit-biritnya belum sembuh betul. Goncangan bas sepanjang perjalanan menambah derita kru TV3 yang dua ini.

 Pada hari pertama di Pekan Baru, ibukota Propinsi Riau, tiada penggambaran dijalakan untuk merehatkan mereka. Sebaliknya satu post-mortem diadakan untuk menilai kualiti penggambaran pada hari terakhir di Sumatera Barat. Istana Besar Pagar Ruyung dijadikan objek penggambaran. Perantara kami, Wisran hadi, yang baru sahaja menerima anugerah SEA Write Award di Bangkok baru-baru ini menjelaskan orang Minang menganggap bahasa Minang dengan bahasa Melayu erat hubungannya dengan bahasa Melayu. Katanya persamaan kedua-dua bahasa itu terlalu besar untuk melihat perbezaannya yang tidak seberapa.

 Menurutnya ada juga ahli bahasa yang berkata bahawa bahasa Minang itu sebenarnya bahasa Melayu tetapi mempunyai dialek Minang. Walaupun Wisran tidak setuju dengan pendapat ini, namun Wisran sependapat dengan pengarang A.A. Navis bahawa dua bahasa ini identikal, terutama dalam kata perbilangan. Bagaimanapun, yang menarik di ranah Minang ini ialah sejarahnya.
Bergambar ramai di rumah A.A.Navis di Padang tahun 2001. Kelihatan dari kiri Dato' Prof. Dr. Asmah Hj. Omar, Dr. Awang Sariyan, Zailan Abd. Rahman, A.A. Navis, Wan Sakinah (empat kanan), Azura Abd. Karim, A.F.Yassin dan Othman Ismail.
 Berdasarkan tambo dan kaba, satu ketika dahulu ada tiga orang anak Raja Iskandar Zulkarnain dari Mesedonia. Yang tua bernama Maharajo Alif, yang tengah bernama Maharaja Depang dan yang bongsu bernama Mahara Dirajo. Ketika belayar mereka bergaduh sesama sendiri sehingga mereka menghala ke tujuan masing-masing.

 Maharaja Alif belayar ke barat lalu menjadi raja di Bizantium. Mahajara Depang menuju  timur lalu menjadi raja di China dan Jepun sementara Maharaja Dirajo menuju selatan.Kapalnya kemudian tersangkut di puncak Gunung Merapi yang ketika itu kawasan sekitarnya ditenggelami air. Setelah air surut Maharaja Dirajo turun dari puncak itu dan berbuat negeri. Konon ceritanya, Puncak Merapi itu adalah asal alam Minangkabau di samping Singgalang, Tandikat dan Sago.

 Menurut sejarah, Kerajaan Pagar ruyung  di Batu Sangkar didirikan oleh seorang raja dari Jawa, bernama Adityawarman. Kerajaan ini adalah lanjutan daripada kerajaan  di Jambi. Dan Adityawarman merupakan raja pertama Pagar Ruyung. Kerajaan ini bertahan sehingga tahun 1809 apabila ia dimusnahkan oleh pasukan Tuanku Lelo dari Angkatan Perang Padri.

 Apabila Belanda menguasai seluruh wilayah minangkabau pada tahun 1840 bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah. Sementara itu sekolah guru yang pertama didirikan di Bukit Tinggi pada tahun 1855. Sekolah ini akhirnya dikenali dengan sekolah raja. Sedikit demi sedikit bahasa Melayu di sekolah itu ditingkatkan  fungsinya sehingga menjadi bahasa penyampai ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu dipelajari secara mendalam termasuk kaedah tata bahasanya. Kemudian dibuka pula sekolah yang berteraskan pendidikan agama Islam. Ramai orang Minang memanfatkan sekolah ini dan antara tokoh agama yang lahir hasil pendidikan agama ini ialah Sheikh Ahmaf Khaten dari Bukit Tinggi, Sheikh Muhamd Thaher Jalaluddin, juga dari Bukit Tinggi dan Hamka sendiri dari Danau Maninjau. Bahasa Melayu berkembang dengan lahirnya beberapa hasil karya pengarang asal Minang.

 Hari ini kita tidak dapat menidakkan peranan pengarang asal Minang dalam memerkaya bahasa Melayu yang sejak tahun 1928 dinamakan bahasa Indonesia. Antara yang patut disebut ialah Marah Rosli, seorang doktor haiwan yang menghasilkan “Siti Nurbaya” (1922), Nur Sutan Iskandar dengan “apa Dayaku Kerana Aku Perempuan”(1922), Abdul Muis dengan “Salah Asuhan”. Sementara Hamka pula dengan hasil karyanya “Di Bawah Lindungan Kaabah”(1936), “Tenggelamnya Kapal Van der Wijck”(1938) dan “Di Dalam Lembah Kehidupan”(1940).

 Khamis 16 November Penggambaran dimulakan di tingkat teratas Hotel Mutiara Merdeka, Pekan Baru. Suasana Pekan Baru disorot dari satu tempat tinggi secara panoramik. Ini dilanjutkan ke Pasar Cik Puan di tengah-tengah kota. Penggambaran setiap unsur memakan masa hampir tiga jam. Penyakit cirit-birit Muhamad Fitri kambuh lagi. Maka mahu tidak mahu sesi penggambaran untuk hari itu ditamatkan secara mendadak dan semua anggota kru pulang ke hotel. Untung juga hotel yang kami tumpangi agak selesa.

 Sebenarnya ketika sampai di Pekan Baru, kira-kira pukul lapan malam, rombongan ditempatkan di sebuah hotel tiga bintang di pusat kota. Namun setiap anggota rombongan mengadu kamar tidak layak digunakan. Bilik airnya terlalu dhaif sehingga ada anggota yang mengadu tidak selesa untuk dimanfaatkan. Pengacara Azura Karim dan saya sendiri terpaksa pindah bilik apabila mendapati ada tikus di kamar kami masing-masing. Datuk Profesor Emeritus Dr Asmah Hj Omar terpaksa kembali semula ke lobi membuat aduan bahawa kamarnya ada nyamuk. Jurulampu, Mohd Khaidir Abul Abas pula mengadu air paipnya berlumut. Dia tidak mandi malam itu.

Mahu pindah hotel hari sudah malam, maka mahu tidak mahu terpaksalah setiap anggota menanggung azab tidur di kamar yang dhaif demikian. Ketua projek, Othman Ismail langsung tidak terkata malam itu melihat azab menginap di hotel tiga bintang ini. Othman memutuskan untuk pindah ke hotel yang lebih baik esoknya. Ada seorang anggota rombongan yang menganggap pengalaman beberapa hari ini sebagai sudah jatuh ditimpa tangga. Setelah terkena penyakit cirit-birit, mereka tidur di kamar hotel yang mempunyai masalah asas. Katanya, “Barangkali kita terlau lama mengadakan penggambaran.Maklum dari Tanjung Pinang, Pulau Daik, Batam, Jakarta, Bandung, Padang, Bukit Tinggi dan kini Pekan Baru. Sudah tiga minggu kita mengembara menjejaki bahasa. Dan ia meletihkan.”

 Kurang jelas apakah rombongan boleh menghabiskan baki perjalanan ke Palembang, Jambi, Bangka dan Medan hingga 28 November depan. Othman telah mula mencongak-congak. Dia tidak mahu menunda kepulangan lebih lama daripada yang telah dijadualkan, Jika perlu penggambaran di Medan akan ditangguhkan hingga selepas puasa. Dan ini tentunya akan melibatkan penjadualan semula pakej kedua penggambaran ke Kalimantan, Sulawesi, Brunei, Singapura dan seluruh negeri di Sememnanjung Malaysia. Apapun jua Othman akan berbincang terlebih dahulu dengan Zailan sebagai pengarah (sutradara) Jejak Bahasa.

 Selama di Pekan Baru beberapa unsur penggambaran telah dikenal pasti dan dibincangkan dengan Dr Yusmar Yusuf, yang dilantik menjadi seranta rombongan  untuk sektor Pekan Baru. Yusmar adalah ketua Pusat Pengajian dan Kebudyaan Melayu, Universiti Riau. Antara objek penggambaran ialah universiti Riau sendiri, kawasan Pelalawan (Kampar Tua), tempat pemakaman Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir Melaka dan Tun Fatimah, Siak dan jika waktu mengizinkan ibu pejabat akhbar Riau Pos.

 Penggambaran akan memperlihatkan pengembangan bahasa Melayu Riau yang dikatakan adalah pecahan daripada bahasa Melayu Johor-Riau. Bahasa Melayu Riau ini adalah kesinambungan daripada bahasa Melayu kerajaan Melaka. Setelah Melaka dialahkan Portugis, Kerajaan Melaka berpindah ke Johor dan kemudian ke Riau. Bagaimanapun perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824 menyebabkan Johor Riau berpecah. Johor dikuasai Inggeris dan Riau oleh Belanda.

 Belanda menjadikan bahasa Melayu Riau sebagai alat perhubungan dengan penduduk pribumi di Nusantara. Banyak sekolah Melayu dibuka di luar daerah Melayu Riau, seperti di Sumatera Timur dan Indonesia Timur. Berasaskan bahasa Melayu Riau inilah bahasa Indonesia diwujudkan melalui sumpah terkenal Sumpah Pemuda tahun 1928.

 Sekarang, bahasa Melayu Riau hanya berstatus bahasa daerah. Jumlah penuturnya sekitar  satu setengah juta orang. Ia dibahagian kepada dua dialek terbesar, iaitu dialek Melayu Riau Kepulauan dan dialek Melayu Riau Daratan. Dialek Riau Kepulauan dituturkan oleh penduduk-penduduk yang tersebar di gugusan pulau Bentan, Pulau Lingga (Daik), Pulau Serasan, Pulau Tambelan, Pulau Tujuh, Pulau Bingaran dan Pulau Natuna. Dialek ini juga dituturkan oleh masyarakat di Bengkalis, Bukitbatu, Siak dan daerah yang meliputi Propinsi Sumatera timur. Manakala dialek daratan  tersebar di Dumai, Bangkinang, Kuala Kampar, Kubu, Tembusai dan Lubuk Jambi, sekadar menamakan beberapa tempat.

 Rombongan akan menjejaki kedua-dua dialek ini dalam pakej penggambarannya. Yang menjadi masaalah nanti ialah bagaimana melihat perkembangan bahasa Melayu Riau ini dari sudut visual. Menjadi beban tugas Zailan sebagai sutradara untuk mencipta secara kreatif imej-imej bahasa dalam bentuk bingkai-bingkai kecil filemnya.

Pekan Baru, Riau, 17 November 2000.
Tersiar di Utusan Zaman

      


Saturday, 21 April 2012

PERJALANAN CIKGU ARIFF ASAS'50 DI RUMAH GAPENA

Cikgu Ariff (duduk kiri) bersama SN Dato' Abdullah Hussein di rumah Gapena ketika melancarkan buku Cikgu Ariff. Berdiri di belakang sasterawan Singapura, Masuri SN (kanan) dan A.F.Yassin.Foto tahun 19 Jun 2004.


Perjalanan MAS Di Rumah Gapena

Oleh A.F.Yassin

 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) maju selangkah lagi apabila melancarkan buku warganegara asing di Rumahnya di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur 19 Jun 2004 lalu. Sedikit luar biasa bagi sesetengah penulis di Kuala Lumpur. Mengapa buku penulis luar bukan buku penulis Malaysia sendiri? Inilah yang difikirkan sebaik sahaja menerima kad jemputan Gapena beberapa minggu lalu. Dalam kad jemputan itu tertulis antara atur acaranya “Pelancaran Memoir Perjalanan MAS”. Pelancaran pula akan dirasmikan oleh Dato’ Siti Azizah,  Ketua Setiausaha Kementeri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Majlis pelancaran ini mendahului acara induk Dialog Kebudayaan Melayu Malaysia-Singapura.

 Mengapa tidak?  Jawapan spontan seorang penulis Malaysia yang turut hadir dalam majlis dialog itu Sabtu lalu. “Kita kena tengok buku siapa yang kita lancarkan. Ini buku Mohamad Ariff Ahmad, pengasas dan bekas Ketua Satu ASAS ’50. Dan lagi kalau awak nak tahu Mohamad Ariff lulusan maktab perguruan Tanjung Malim. Dan kalau nak tahu lagi, dulu waktu cikgu Arif belajar di Tanjung Malim tak ada itu apa yang disebut negara Singapura,” ujar penulis itu.

 Penulis yang sudah berumur juga ini barangkali berasa tersinggung apabila soalan itu diajukan kepadanya. Atau mungkin juga dia sedang meluahkan emosi kecintaannya terhadap apa yang disebut Melayu yang sekarang ini mula diperlekeh sesetengah pihak. Tanggapan kedua ini mungkin benar kerana daripada perbualan pendek dengnnya, dapat disimpulkan bahawa semangat Melayunya cukup tinggi. Baginya Ariff adalah simbol Melayu yang kental dengn semangat Melayunya, walaupun dia kini adalah warga minoriti di sebuah negara pulau yang dulunya sebuah negeri Melayu jua.

 Ariff adalah penyambung rantaian Melayu di kedua-dua seberang tambak dan di Singapura sendiri Ariff adalah lambang survival bangsa minoriti Melayu di Singapura. “Terima kasih kepada Tanjung Malim yang telah meniupkan semangat Melayu dalam rongganya. Dan hari ini dia tunjukkan semangat kecintaan semangat itu dengan mengizinkan memoir perjalanannya dilancarkan di Kuala Lumpur.”

 Cadangan untuk melancarkan buku Ariff ini berpunca daripada pertemuan Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussain dan ketua duanya, Datuk Latiff Bakar dengan Ariff dan Zulkifly, Presiden Majlis Pusat Pertubuhan Budaya Melayu Singapura beberapa minggu sebelum ini. Kedua-dua pihak tertarik dengan cadangan untuk melancarkan memoir Ariff buat kali keduanya di Rumah Gapena. Semuanya atas dasar persamaan bahawa Ariff, bekas pelajar SITC dan bekas guru sekolah Melayu. Ariff adalah antara warga golongan seperti yang disbut Prof. Madya Zainal Abidin Borhan dalam dialog pagi itu, “agamawan-wartawan-sasterawan yang menyedari hakikat kewujudan sebuah bangsa.” Golongan ini berkongres untuk meletakkan bahasa Melayu, sastera Melayu dan tulisan Melayu sebagai wadah pentauan. Sementara menurut Zainal Abidin kongres persuratan dan bahasa Melayu, Kongres Melayu, Kongres Kebudayaan Melayu merupakan wadah pertemuan dan penyatuan meletakkan gagasan kebangsaan.

 Ketika perjuangan berada pada tahap puncaknya, entiti dua negara Malaysia dan adalah satu dari sudut geo-politiknya dan sisa satu entiti itu masih jelas benar dari sudut geo-budayanya. Dan semasa berlangsungnya majlis pelancaran memoir perjalanan Ariff dan dialog kebudayaan Melayu di Rumah Gapena, suasana  keMelayuan itu amat terasa. Malah 29 orang Melayu dari Singapura itu bagaikan tinggal sekampung dengan puluhan lagi Melayu dari Malaysia yang memenuhi jemputan Gapena hari itu.

 Meilhat Arif duduk bersama-sama dengan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein, Cikgu Hassan Ali dan Ismail, Djamal Tukimin pula bersama dengan Prof. Madya Dr. Solehah Ishak, dan Masuri SN dipelawan makan tengah hari oleh Abd. Rahim Marsidi (pensyarah UPM) di restoran  masakan ala Jakarta di Kg. Baru, bagaikan tidak wujud langsung rasa rasa keterasingan antara mereka. Orang tidak akan percaya melihat kemesraan orang Melayu dari dua negara itu sebenarnya dipisahkan oleh hanya politik dn kuasa.

 Ariff adalah ikon orang Melayu Singapura, malah Ariff boleh juga dianggap sebagai ikon ASAS ’50, tanpanya tidak mungkin sasterawan tanah air seperti Usman Awang, Asraf,  atau Awal il-Sarkam ditokohkan seperti adanya hari ini. Datuk Yaakob Isa, dari Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang memperkenalkan Memoir Perjalanan MAS di majlis itu menyebut betapa nama Ariff dikenali dengan akrab di kalangan pelajar-pelajar Singapura yang sedang belajar di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah. Menurut Yaakob, “Bagi pelajar ini, cikgu Ariff adalah  orang yang sangat baik, orang yang banyak sekali menolong orang Melayu Singapura, penulis, pengarang, pendidik dan tokoh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Mereka sekata menganggap semua orang Melayu  Singapura mesti mengenali Cikgu Ariff.”

Buku memoir perjalanan cikgu Ariff ini adalah tentang pengalaman dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan dengan tokoh sentralnya Mohamad Ariff Ahmad. Kata Yaakob, “Perjalanan Mas membawa kita mengkagumi kecekalan seorang guru Melayu yang berkhidmat di pelbagai arena dalam sebuah negara republik yang bangsa Melayu merupakan minoriti yang nampaknya tidak pernah menjadikan Cikgu Ariff terpencil atau memencilkan dirinya daripada arus perdana pembangunan negaranya. Inilah sebenarnya semangat perjuangan guru Melayu yang ditanamkan oleh tokoh-tokoh pendidik yang menjadi tenaga pengajar di SITC dan tetap subur dan menjiwai peribadi Cikgu Ariff.”

 Begitu mendalamnya hubungan Ariff dengan SITC, khususnya dan Semenanjung Tanah Melayu (Malaya ketika itu) sehingga beliau sanggup berundur  dari kegiatan yang diadakan oleh Persatuan Guru-guru Melayu Singapura. Pengundurannya ini berpunca daripada keputusan Sekolah Melayu Kota Raja menolak permohonan Ariff dan teman-temannya untuk  menggunakan dewan sekolah berkenaan untuk tempat mengadakan Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya. Yaakob menulis, “Ingin juga kita mengetahui siapakah guru besar sekolah Melayu Kota Raja yang tergamak hatinya menolak permohonan Cikgu Ariff dan teman-temannya.”

 Satu isu paling menarik dalam memoir ini ialah  soal penggunaan tulisan Jawi. Badan kerabat yang menyertai Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya berbeza pendapat tentang isu ini. Ada yang setuju tulisan Jawi digantikan dengan tulisan rumi ( di sekolah-sekolah?) dan membiarkan Jawi hanya dalam pengajaran agama Islam. Dalam pengundian yang dijalankan kemudian, ternyata majoriti mahukan  tulisan Jawi hanya untuk agama Islam, manakala tulisan rumi menjadi tulisan rasmi. Dengan keputuan ini Ariff menyimpulkan ada kecenderungan pada penulis Melayu “menggunakan tulisan rumi sebagai tulisan bagi Persuratan Melayu Se-Malaya.”

 Ariff datang bertongkat ke Rumah Gapena, hanya mahu melibatkan diri sepenuhnya dengan pelancaran bukunya. Lebih-lebih lagi pelancaran ini merupakan sebahagian daripada acara Dialog  Kebudayaan Melayu Malaysia-Singapura yang julung-julung kali diadakan. Seperti kata Ismail dalam ucapan sambutan dialog kebudayaan Melayu ini bakal menjadi agenda tahunan dan dialog di Rumah Gapena merupakan yang pertama dan akan diikuti dengan yang kedua kemudian nanti. Mungkin sahaja giliran Singapura pula mengadakannya.

 Mana tahu jika nanti sampai giliran Singapura, dan Majlis Pusat Pusat Pertubuhan  Budaya Melayu Singapura  menjadi penganjurnya, ada pula memoir seorang tokoh nasionalis Melayu dari Malaysia yang boleh dilancarkan di pulau republik itu. Tentunya memori itu dikaitkan pula dengan ibu kandung suluh budiman, dengan anak-anaknya kini telah menjadi tokoh besar dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan kebudayaan sedarjat dengan ketokohan Ariff dan Masuri SN di Singapura.

 Dan dalam hal ini tidak ada yang luar biasanya melancarkan buku Malaysia di Singapura, selagi hubungan erat kebudayaan antara Melayu Singapura dengan Melayu Malaysia terus bertahan. Sememangnya begitulah, jika diambil kira pandangan Djamal Tukimin (Singapura) dalam kertas kerjanya “Kemelayuan, Sesuatu Yang Mulai Terhakis Dan Cuba Didakap Kembali....Asing Tapi Mesra.” Kata Djamal, “Masih banyak juga dengan semangat kental menganggapnya sampai bila-bila pun Melayu tidak akan hilang di dunia.” (Dipetik daripada Utusan Melayu Mingguan 4 - 11 Julai 2004). 












Friday, 20 April 2012

ZAINAL RASHID TUMBUK MEJA DAN KEMALA SEDIH!!

 

 

Sasterawan Negara Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (kemala) sewaktu mendeklamasikan puisi di salah satu acra kegiatan sastera di Kuala Lumpur. 

Entah kerana geram, atau entah kerana marah penulis berbakat Zainal Rashid Ahmad menumbuk meja dalam satu forum penulis muda di Rumah Pena sempena mesyuarat agung Pena dua minggu lalu. Khabarnya Zainal memperagakan emosinya kerana kononnya penulis muda dihalang daripada menjadi anggota persatuan penulis. Mengapa mereka dihalang tidak pula dijelaskan. Namun ada andaian bahawa para pemimpin persatuan, rata-rata penulis mapan, kontemporer dan bukan kontemporer,  bimbang akan kehadiran penulis muda. Mereka mungkin tercabar  jika penulis muda beramai-ramai mendaftar sebagai ahli.


 Jika kebimbangan ini benar maka ia tentunya menimbulkan suasana yang kurang sihat dari segi hubungan antara penulis lama (baca: mapan) dan baru (baca: muda). Seolah-olah telah terbentuk satu jurang  (fizikal dan mental) antara kedua-dua golongan. Bukan tidak mungkin ada di kalangan penulis baru ini yang merasakan mereka dipinggirkan dalam arus perdana persatuan. Malah sudah ada yang tanpa ragu-ragu berkata “orang lama takut dengan orang baru kerana idea dan pemikiran mereka (orang baru) lebih ke depan dan bersifat lebih intelektual. Orang lama masih kolot idea dan konservatif.”

 Masalah orang baru dipinggirkan orang lama ini bukan cerita baru. Masih ingatkah  krisis Pena satu ketika dahulu yang melibatkan Yahya Ismail, Maarof Saad dan kemudian Dato’Ahamd Sebi. Yahya didakwa  terbabit dengan sebuah parti politik dan sebagai ketua sebuah persatuan penulis, Yahya dicabar untuk tidak mengaitkan dirinya atau melibatkan persatuan dengan parti politik. Dalam pertandingan kemudiannya Yahya dikalahkan oleh Maarof Saad yang ketika itu mendapat sokongan padu dari kalangan penulis baru. Maarof kemudian dikalahkan pula oleh Dato’ Ahmad Sebi  Bakar yang juga didukung oleh penulis-penulis baru.

 Kemudian, masih ingatkah  semangat berpuak-puak di kalangan perwakilan Gapena dalam pemilihan jawatankuasa pada tahun 1990an dahulu? Ketika itu timbul cerita, entah benar atau tidak, tentang wujudnya dua kumpulan, yang bersaing sengit merebut jawatan. Dilaporkan kumpulan yang mencabar kumpulan inkumban telah pun mewujudkan satu “kabinet bayangan” dalam usaha memenangi pemilihan. Malah ada perwakilan yang telah dipujuk untuk memilih calon mereka. Kempen memujuk perwakilan ini persis kempen UMNO menjelang pemilihan ahli majlis tertingginya.

 Sikap dan kegiatan kumpulan ini kurang disenangi ramai kerabat Gapena. Walaupun kegiatan itu sudah menjadi sejarah tetapi kesan sampingannya dapat dirasakan hingga ke hari ini. Kecenderungan di kalangan inkumban untuk mengekalkan status quo walau dengan secara apa sekalipun, mungkin boleh dikaitkan akhirnya dengan insiden menumbuk meja Zainal Rashid.

 Lagi pula, seperti yang dijelaskan seorang anggota seumur hidup Pena satu ketika dahulu, “Menjadi anggota persatuan ini tidak ada kena mengena dengan wawasan dan pemikiran yang baru atau yang intelektual. Saya lebih melihatnya sebagai satu usaha untuk mengubah pucuk pemimpin untuk kemudian menguasai persatuan. Tidak timbul soal boleh menjadi ahli atau tidak dalam persatuan. Sebabnya setelah seorang baru dipilih memimpin persatuan dia juga akan berbuat seperti apa yang dilakukan pemimpin  sebelumnya, iaitu cuba mengekalkan kuasa dengan menghalang pendaftaran baru.”

Ada yang mencadangkan agar golongan yang melepas geram ini menubuhkan persatuan baru dan kemudian memohon untuk menganggotai  Gapena. Malah inilah yang terjadi di Melaka yang kini mempunyai empat persatuan yang bergabung dengan badan induk penulis itu. Di Selangor dan Kuala Lumpur pula ada beberapa buah persatuan yang turut menjadi anggota kerabat Gapena. Ada Kalam, ada Kemudi dan ada Persatuan Penulis Selangor. Mana tahu tidak lama lagi Angkatan Penyair Malaysia (APM) yang ditubuhkan di Tanjung Karang tidak lama dahulu  akan memohon menjadi anggota.

 Presidennya, Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pernah meluahkan rasa kecewanya dengan keadaan persatuan penulis sekarang ini. Pernah Kemala bersuara melalui e-mel bagaimana sulitnya “hendak membina sesuatu yang baru, idealisme kini berdepan dengan tuntutan materi. Kalau bertemu pun setahun sekali. Dalam mesyuarat agung Pena, misalnya, asyik mendengar ucapan ketua satu yang tak pernah berubah. Saranan kita tidak dipedulikan langsung; dan adik-adik kita sudah pandai pula menghentak meja.”

 Kemala turut sedih dengan keadaan bahasa dan sastera yang mulai merosot dari sudut politik, budaya dan politik pemerintah. Katanya lagi, “Gapena-DBP-RTM-institusi perguruan tinggi semakin renggang dan takut pada bayang-bayang kebenaran.” Walaupun kelihatannya Kemala seperti memperjuangkan kehadiran penulis muda, namun Kemala tetap mempunyai kecenderungan untuk terus kekal mempertahankan kehadiran penulis lama atau mapan. Seperti katanya, “Kau lihat RTM mana pernah undang penyair  mapan yang kontemporer dalam deklamasi Angkasapuri, mereka anggap kami ini teroris agaknya?”

 Soalan Kemala ini memang tidak sukar dijawab, jika kita kaitkan dengan insiden Zainal Rashid menghentak meja. Jika benarlah seperti dakwaan Kemala itu, maka ia berpunca daripada sikap berpuak-puak di kalangan penulis sendiri. Satu golongan penulis ( golongan muda?) yang tertancap pengaruhnya di institusi penyiaran kerajaan itu akan berusaha mengekalkan pengaruhnya di RTM. Walaupun Kemala tidak menyebut siapa penyair mapan yang kentemporer itu namun tidak susah untuk mengagak jika ada yang bersungguh-sungguh mengikuti acara deklamasi sajak Angkasapuri.

 Akhirnya kita kembali ke punca insiden Zainal Rashid menumbuk meja. Dalam satu majlis bukan sastera yang diadakan baru-baru ini, seorang penulis mapan bertanya kepada saya, “Kalau penulis yang menghentak meja itu ditakdirkan menjadi pemimpin sebuah persatuan nanti, apakah dia tidak akan terperanjat apabila nanti ada penulis lebih muda daripadanya  menumbuk meja pula atas sebab yang sama?” Untuk sementara waktu cukuplah kita dipaparkan dengan tumbukan meja Zainal dan rasa gundah Kemala. (Dipetik daripada Utusan Melayu Mingguan, 11-17 oktober 2003).  

 

  

Friday, 13 April 2012

SOROTAN RAMLI ISIN TENTANG ADA TIKUS DI ATAS LOTENG

Pengulas Cerpen Utusan Zaman 1982, Dr. Ramli Isin, Alumni Univeritas Gajah Mada, Jogjakarta, Indonesia.Pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustka, Kuala Lumpur sebelum berpindah e UKM dn UPM di Jabatan Bahasa. Beliau kini menetp di Kampung Jiboi, Ampangan, Seremban.

Sorotan cerpen “Ada Tikus Di Atas Loteng”oleh Dr. Ramli Isin.

Walaupun cerpenis A.F.Yassin  mnggambarkan secara implisit atau samar-samar namun pada cerpen” Ada Tikus Di Atas Loteng” ini adalah menggambarkan tentang keadaan rumah setinggan atau umah haram yang terdapat  di sekitar kota kosmopolitan Kuala Lumpur ini, nmun walaupun rumah haram, rumah kilat, tetapi ini amat memberi erti  pada Said dan Salbiah, isterinya, kerana  mereka mendpat kebebasan dalam beberapa hal berbanding dengan sewaktu tinggal bersama keluarga. Bagi A.F.Yassin kebebasan itu amat penting pada kehidupan manusia.
Di samping itu  cerpenis A.F.Yassin menyisipkan pula unsur-unsur  yang mengganggu kebebasan manusia itu seperti yang digambarkan oleh Nora dalam  “Lampu, Lanting dan Ketuk-Ketuk” dengan mewujudkan  tentera Ya’juk dan Ma’jud. Bagaimanapun dalam cerpen “ Ada Tikus Di Atas Loteng” ini, A.F.Yassin mewujudkan  “tikus-tikus”  sebagai manusia. Tentu sahaja  segala yang berupa ancaman  dan gangguan itu akan ditentang semampu mungkin. Ini jelas digabarkan oleh A.F.Yassin melalui watak Said.

Namun ada kalanya  usaha-usaha penentangan itu berhasil baik dan ada kalanya sebaliknya. Begitulah yang dialami oleh Said dalam cerita ini. Bagaimanapun Said yang trajik dan aneh itu tentu sahaja  di luar dugaan pembaca mahupun isterinya. Apakah A.F.Yassin  sengaja memunculkan  “deux ex-machina ini di akhir ceritanya untuk melambangkan suatu kekalahan total Said terhadp musuhnya, tikus itu seperti yang ditimpakan oleh Shahnon Ahmad pada watak Jeha dalam novel “Ranjau Spanjang Jaan”, walaupun tidak mematikan watak Jeha seperti Said.
Dengan tidak menafikan  bahawa seseorang pengarng itu mempunyai kebebasan imaginasi, namun saya kira kemtian pada watak Said dengan cara demikian kurang mengesankan walaupun trajik sifatnya. …Perwatakan pada cerpen “Ada Tikus Di Atas Loteng” karya A.F.Yassin iu, walaupun cerpenis ini menampilkan perwatakan yang biasa dalam erti tidak kompleks (kecuali di bahagian akhirnya)  namun agak menarik dan hidup. (Sorottan Cerpen “Utusan Zaman” bulan Ogos 1982). 

Tuesday, 3 April 2012

ALI MAJOD: JASANYA PADA PENSEL SEBATANG





Allhyarham Ali Majod ketika menghadiahkan salah sebuah buku remajanya kepada A.F.Yassin di Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2006.

Adalah diyakini, kalaulah bukan kerana cerpennya "Pensel Sebatang" nama Allahyarham Ali Majod tidak akan menjadi sehebat hari ini dalam bidang sastera umumnya, dan sastera remaja khususnya. Namanya "meletup setelah tersiarnya cerpen itu dalam Dewan Masyarakat, Oktober 1965. Lalu Allahyarham diletakkan sebaris dengan nama besar dalam bidang cerpen Malaysia. Dan selebihnya Allahyarham mengukir nama dalam bidang yang beliau minati sungguh, iaitu sastera remaja. Dua institusi Dewan Bahasa beliau menyumbang tenaga dan kepakaran, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan kemudian berhijrah pula ke Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia di Kuala Lumpur.

Ketika di DBP Kula Lumpur, saya mulai mengenalnya secara peribadi. Berbicara santai kadang-kadang di kantin DBP, bersama-sama teman-teman sekerja yang lain. Dr. Talib Samat, bekas pegawai DBP mungkin lebih akrab dengan Allahyarham. Begitu juga Jaafar Rahim dan Abdul Ahmad. Namun Allahyarham sangat rapat dengan Allahyarham Maarof Saad ketika Maarof mengambilnya bertugas dengan MASA Entreprise menerbitkan buku umum dan sastera kemudiannya.

Dalam artikel berikut Talib berperi tentang kisah Allahyarham Ali tentang sumbangannya dalam bidang sastera.
Asal Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan, Allahyrham amat pendiam orangnya dan ketika berbual, beliau tidak begitu "talkative", bercakap hanya seperlunya. 

UNTUNG nasib seseorang manusia tiada siapa yang mengetahui. Begitulah halnya apabila Datuk Jaafar Abdul Rahim menghantar SMS memberitahu sasterawan Ali Majod yang terkenal dengan cerpen Pensel Sebatang terlantar sakit dan lumpuh dan tidak boleh bercakap lagi.

Saya tidak berlengah lagi dan pada 18 Februari, bersama Jaafar dan seorang rakan lagi kami menziarahi Ali Majod di kediamannya di Subang Jaya. Kami melihat sendiri penderitaannya yang mengalami penyakit saraf sama seperti yang dialami oleh penulis lirik Allahyarham Seri Bayu dan bintang bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Penyakit ini menyebabkan Ali Majod lumpuh, tidak boleh bercakap dan berkomunikasi dengan menulis jika hendak bertanya sesuatu. Makanan pula terpaksa disalurkan menerusi tiub. Keadaan dirinya sulit sekali tetapi masih kenal kawan-kawannya yang datang berziarah.

Apabila saya tulis di kertas tanyakan apakah dia masih ingat saya lagi, dia tulis kembali mengatakan masih kenal lagi. Ketika itu kelihatan kegembiraan pada wajahnya yang tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata.

Ali Majod atau nama sebenarnya Mohd.Ali Majod adalah bekas Ketua Unit Buku Remaja, Bahagian Penerbitan Am, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1990-an. Saya pernah pernah bekerja bersamanya di unit berkenaan sebagai editor buku remaja. Sasterawan ini telah kembali ke rahmatullah pada 20 Mac lalu ketika berusia 72 tahun.

Saya tiba-tiba terkenang sewaktu bertugas di situ dan pernah menemaninya pergi ke Temerloh, Pahang untuk menemui Allahyarham Arman Sani yang novelnya Mat Kilau diciplak oleh seorang penulis lain dan berusaha menyelesaikan masalah itu agar tidak berpanjangan.

Saya sangat terharu dengan penderitaan yang dialami oleh Ali Majod. Kita tahu bagaimana pula dengan nasib kita nanti menjelang umur begitu jika diizinkan Allah. Sekiranya diteliti sumbangan Ali Majod dalam bidang kesusasteraan Malaysia cukup besar tetapi diabaikan golongan pengkritik tanah air. Jika ditelusuri pada era tahun 2000 , Ali Majod memiliki kolum khas di akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan untuk menilai dan mengulas cerpen-cerpen karya pengarang lama dan baru. Ulasan dan kritikan Ali Majod mendatangkan manfaat besar kepada para pengarang yang dikritik karyanya untuk diperbaiki lagi. Sumbangan bersejarah Ali Majod sewaktu beliau sihat itu memungkinkan beliau diiktiraf dalam penilaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) bagi kategori esei / kritikan tahun tertentu.

Sehingga kini tiada lagi pengkritik cerpen yang meneruskan tradisi Ali Majod itu dan cerpen-cerpen yang tersiar berlalu begitu sahaja tanpa sesiapa mengulas atau mengkritiknya.

Ali Majod yang pernah menggunakan nama samaran Malinas dilahirkan pada 12 September 1940 di Gemenceh, Negeri Sembilan. Beliau pernah bertugas sebagai guru di beberapa sekolah di Negeri Sembilan, tenaga pengajar di Universiti Malaya (1980), pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

Ali Majod pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim pada tahun 1958 hingga 1961 dan menyambung pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1975 hingga 1978.

Hadiah

Beliau menulis cerpen remaja, cerpen dewasa, novel remaja dan buku cerita kanak-kanak. Di antara kumpulan cerpen persendiriannya ialah Dalam Diri (DBP, 1974), Lampu-lampu Di Pelabuhan (DBP, 1982) dan Semacam Kepuasan (DBP). Kumpulan cerpen remajanya Sayang Si Tina memenangi hadiah pertama dalam penilaian Hadiah Sastera Remaja ESSO-GAPENA 1 pada tahun 1981 dan diterbitkan oleh DBP (1982). Beliau juga menghasilkan buku cerita kanak-kanak lnilah Ceritaku dan Ani Yang Sihat.

Ali Majod juga pernah menyusun biografi sahabatnya, Allahyarham Othman Puteh. Beliau juga menulis novel remaja Kasihanilah Dia (DBP) dan menyelenggara kumpulan cerpen remaja Biarkan Aku Sendiri (DBP, 1985) dan Impian Murni (DBP, 1986).

Bagaimanapun cerpennya, Pensel Sebatang (Dewan Masyarakat Oktober 1965) menyebabkan beliau cukup popular dan dikenali ramai. Cerpen Pensel Sebatang cukup kaya dengan ilmu psikologi kanak-kanak dan sering digunakan sebagai model pengajaran guru di sekolah untuk menyelami jiwa kanak-kanak. Para guru disaran membaca dan menghayati cerpen ini untuk menjadi guru yang berkualiti dan berperikemanusiaan kepada anak muridnya yang pelbagai ragam dan tingkah laku.

Pada tahun 1971 dan 1972, Ali Majod menerima Hadiah Karya Sastera untuk cerpennya, Penunggu (1971), Ngayau (1971) dan Semacam Kepuasan (1972). Beberapa buah cerpennya telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Jerman dan Rusia.

Sumbangan berkesan Ali Majod dalam dunia kesusasteraan termasuklah sebagai panel hakim peraduan mengarang cerpen bidang yang amat disenanginya. Antaranya termasuklah menjadi panel hakim Sayembara Penulisan Kreatif dan
Kritikan Sastera (bahagian cerpen) peringkat lnter-Varsiti, panel hakim peraduan mengarang cerpen antara sekolah-sekolah menengah berasrama penuh (1986) dan peraduan mengarang sastera remaja (Bahagian Cerpen) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1986).

Beliau juga banyak terlibat dalam membimbing penulis-penulis muda anjuran Minggu Penulis Remaja (MPR) DBP yang banyak melahirkan penulis-penulis terkenal dewasa ini. Cuma apakah mereka masih mengingati lagi sasterawan ini yang sudah kembali untuk selama-lamanya selepas meninggalkan banyak karya sebagai khazanah sastera? (Utusan Malaysia, "Jasa Ali Majod dalam Sastera", 1 April 2012)

 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).