Sasterawan Negara Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (kemala) sewaktu mendeklamasikan puisi di salah satu acra kegiatan sastera di Kuala Lumpur.
Entah kerana geram, atau entah kerana marah penulis berbakat Zainal Rashid Ahmad menumbuk meja dalam satu forum penulis muda di Rumah Pena sempena mesyuarat agung Pena dua minggu lalu. Khabarnya Zainal memperagakan emosinya kerana kononnya penulis muda dihalang daripada menjadi anggota persatuan penulis. Mengapa mereka dihalang tidak pula dijelaskan. Namun ada andaian bahawa para pemimpin persatuan, rata-rata penulis mapan, kontemporer dan bukan kontemporer, bimbang akan kehadiran penulis muda. Mereka mungkin tercabar jika penulis muda beramai-ramai mendaftar sebagai ahli.
Jika kebimbangan ini benar maka ia tentunya menimbulkan suasana yang kurang sihat dari segi hubungan antara penulis lama (baca: mapan) dan baru (baca: muda). Seolah-olah telah terbentuk satu jurang (fizikal dan mental) antara kedua-dua golongan. Bukan tidak mungkin ada di kalangan penulis baru ini yang merasakan mereka dipinggirkan dalam arus perdana persatuan. Malah sudah ada yang tanpa ragu-ragu berkata “orang lama takut dengan orang baru kerana idea dan pemikiran mereka (orang baru) lebih ke depan dan bersifat lebih intelektual. Orang lama masih kolot idea dan konservatif.”
Masalah orang baru dipinggirkan orang lama ini bukan cerita baru. Masih ingatkah krisis Pena satu ketika dahulu yang melibatkan Yahya Ismail, Maarof Saad dan kemudian Dato’Ahamd Sebi. Yahya didakwa terbabit dengan sebuah parti politik dan sebagai ketua sebuah persatuan penulis, Yahya dicabar untuk tidak mengaitkan dirinya atau melibatkan persatuan dengan parti politik. Dalam pertandingan kemudiannya Yahya dikalahkan oleh Maarof Saad yang ketika itu mendapat sokongan padu dari kalangan penulis baru. Maarof kemudian dikalahkan pula oleh Dato’ Ahmad Sebi Bakar yang juga didukung oleh penulis-penulis baru.
Kemudian, masih ingatkah semangat berpuak-puak di kalangan perwakilan Gapena dalam pemilihan jawatankuasa pada tahun 1990an dahulu? Ketika itu timbul cerita, entah benar atau tidak, tentang wujudnya dua kumpulan, yang bersaing sengit merebut jawatan. Dilaporkan kumpulan yang mencabar kumpulan inkumban telah pun mewujudkan satu “kabinet bayangan” dalam usaha memenangi pemilihan. Malah ada perwakilan yang telah dipujuk untuk memilih calon mereka. Kempen memujuk perwakilan ini persis kempen UMNO menjelang pemilihan ahli majlis tertingginya.
Sikap dan kegiatan kumpulan ini kurang disenangi ramai kerabat Gapena. Walaupun kegiatan itu sudah menjadi sejarah tetapi kesan sampingannya dapat dirasakan hingga ke hari ini. Kecenderungan di kalangan inkumban untuk mengekalkan status quo walau dengan secara apa sekalipun, mungkin boleh dikaitkan akhirnya dengan insiden menumbuk meja Zainal Rashid.
Lagi pula, seperti yang dijelaskan seorang anggota seumur hidup Pena satu ketika dahulu, “Menjadi anggota persatuan ini tidak ada kena mengena dengan wawasan dan pemikiran yang baru atau yang intelektual. Saya lebih melihatnya sebagai satu usaha untuk mengubah pucuk pemimpin untuk kemudian menguasai persatuan. Tidak timbul soal boleh menjadi ahli atau tidak dalam persatuan. Sebabnya setelah seorang baru dipilih memimpin persatuan dia juga akan berbuat seperti apa yang dilakukan pemimpin sebelumnya, iaitu cuba mengekalkan kuasa dengan menghalang pendaftaran baru.”
Ada yang mencadangkan agar golongan yang melepas geram ini menubuhkan persatuan baru dan kemudian memohon untuk menganggotai Gapena. Malah inilah yang terjadi di Melaka yang kini mempunyai empat persatuan yang bergabung dengan badan induk penulis itu. Di Selangor dan Kuala Lumpur pula ada beberapa buah persatuan yang turut menjadi anggota kerabat Gapena. Ada Kalam, ada Kemudi dan ada Persatuan Penulis Selangor. Mana tahu tidak lama lagi Angkatan Penyair Malaysia (APM) yang ditubuhkan di Tanjung Karang tidak lama dahulu akan memohon menjadi anggota.
Presidennya, Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pernah meluahkan rasa kecewanya dengan keadaan persatuan penulis sekarang ini. Pernah Kemala bersuara melalui e-mel bagaimana sulitnya “hendak membina sesuatu yang baru, idealisme kini berdepan dengan tuntutan materi. Kalau bertemu pun setahun sekali. Dalam mesyuarat agung Pena, misalnya, asyik mendengar ucapan ketua satu yang tak pernah berubah. Saranan kita tidak dipedulikan langsung; dan adik-adik kita sudah pandai pula menghentak meja.”
Kemala turut sedih dengan keadaan bahasa dan sastera yang mulai merosot dari sudut politik, budaya dan politik pemerintah. Katanya lagi, “Gapena-DBP-RTM-institusi perguruan tinggi semakin renggang dan takut pada bayang-bayang kebenaran.” Walaupun kelihatannya Kemala seperti memperjuangkan kehadiran penulis muda, namun Kemala tetap mempunyai kecenderungan untuk terus kekal mempertahankan kehadiran penulis lama atau mapan. Seperti katanya, “Kau lihat RTM mana pernah undang penyair mapan yang kontemporer dalam deklamasi Angkasapuri, mereka anggap kami ini teroris agaknya?”
Soalan Kemala ini memang tidak sukar dijawab, jika kita kaitkan dengan insiden Zainal Rashid menghentak meja. Jika benarlah seperti dakwaan Kemala itu, maka ia berpunca daripada sikap berpuak-puak di kalangan penulis sendiri. Satu golongan penulis ( golongan muda?) yang tertancap pengaruhnya di institusi penyiaran kerajaan itu akan berusaha mengekalkan pengaruhnya di RTM. Walaupun Kemala tidak menyebut siapa penyair mapan yang kentemporer itu namun tidak susah untuk mengagak jika ada yang bersungguh-sungguh mengikuti acara deklamasi sajak Angkasapuri.
Akhirnya kita kembali ke punca insiden Zainal Rashid menumbuk meja. Dalam satu majlis bukan sastera yang diadakan baru-baru ini, seorang penulis mapan bertanya kepada saya, “Kalau penulis yang menghentak meja itu ditakdirkan menjadi pemimpin sebuah persatuan nanti, apakah dia tidak akan terperanjat apabila nanti ada penulis lebih muda daripadanya menumbuk meja pula atas sebab yang sama?” Untuk sementara waktu cukuplah kita dipaparkan dengan tumbukan meja Zainal dan rasa gundah Kemala. (Dipetik daripada Utusan Melayu Mingguan, 11-17 oktober 2003).
No comments:
Post a Comment