Allhyarham Ali Majod ketika menghadiahkan salah sebuah buku remajanya kepada A.F.Yassin di Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2006.
Adalah diyakini, kalaulah bukan kerana cerpennya "Pensel Sebatang" nama Allahyarham Ali Majod tidak akan menjadi sehebat hari ini dalam bidang sastera umumnya, dan sastera remaja khususnya. Namanya "meletup setelah tersiarnya cerpen itu dalam Dewan Masyarakat, Oktober 1965. Lalu Allahyarham diletakkan sebaris dengan nama besar dalam bidang cerpen Malaysia. Dan selebihnya Allahyarham mengukir nama dalam bidang yang beliau minati sungguh, iaitu sastera remaja. Dua institusi Dewan Bahasa beliau menyumbang tenaga dan kepakaran, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan kemudian berhijrah pula ke Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia di Kuala Lumpur.
Ketika di DBP Kula Lumpur, saya mulai mengenalnya secara peribadi. Berbicara santai kadang-kadang di kantin DBP, bersama-sama teman-teman sekerja yang lain. Dr. Talib Samat, bekas pegawai DBP mungkin lebih akrab dengan Allahyarham. Begitu juga Jaafar Rahim dan Abdul Ahmad. Namun Allahyarham sangat rapat dengan Allahyarham Maarof Saad ketika Maarof mengambilnya bertugas dengan MASA Entreprise menerbitkan buku umum dan sastera kemudiannya.
Dalam artikel berikut Talib berperi tentang kisah Allahyarham Ali tentang sumbangannya dalam bidang sastera.
Asal Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan, Allahyrham amat pendiam orangnya dan ketika berbual, beliau tidak begitu "talkative", bercakap hanya seperlunya.
UNTUNG nasib seseorang manusia tiada siapa yang mengetahui. Begitulah halnya apabila Datuk Jaafar Abdul Rahim menghantar SMS memberitahu sasterawan Ali Majod yang terkenal dengan cerpen Pensel Sebatang terlantar sakit dan lumpuh dan tidak boleh bercakap lagi.
Saya tidak berlengah lagi dan pada 18 Februari, bersama Jaafar dan seorang rakan lagi kami menziarahi Ali Majod di kediamannya di Subang Jaya. Kami melihat sendiri penderitaannya yang mengalami penyakit saraf sama seperti yang dialami oleh penulis lirik Allahyarham Seri Bayu dan bintang bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.
Penyakit ini menyebabkan Ali Majod lumpuh, tidak boleh bercakap dan berkomunikasi dengan menulis jika hendak bertanya sesuatu. Makanan pula terpaksa disalurkan menerusi tiub. Keadaan dirinya sulit sekali tetapi masih kenal kawan-kawannya yang datang berziarah.
Apabila saya tulis di kertas tanyakan apakah dia masih ingat saya lagi, dia tulis kembali mengatakan masih kenal lagi. Ketika itu kelihatan kegembiraan pada wajahnya yang tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata.
Ali Majod atau nama sebenarnya Mohd.Ali Majod adalah bekas Ketua Unit Buku Remaja, Bahagian Penerbitan Am, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1990-an. Saya pernah pernah bekerja bersamanya di unit berkenaan sebagai editor buku remaja. Sasterawan ini telah kembali ke rahmatullah pada 20 Mac lalu ketika berusia 72 tahun.
Saya tiba-tiba terkenang sewaktu bertugas di situ dan pernah menemaninya pergi ke Temerloh, Pahang untuk menemui Allahyarham Arman Sani yang novelnya Mat Kilau diciplak oleh seorang penulis lain dan berusaha menyelesaikan masalah itu agar tidak berpanjangan.
Saya sangat terharu dengan penderitaan yang dialami oleh Ali Majod. Kita tahu bagaimana pula dengan nasib kita nanti menjelang umur begitu jika diizinkan Allah. Sekiranya diteliti sumbangan Ali Majod dalam bidang kesusasteraan Malaysia cukup besar tetapi diabaikan golongan pengkritik tanah air. Jika ditelusuri pada era tahun 2000 , Ali Majod memiliki kolum khas di akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan untuk menilai dan mengulas cerpen-cerpen karya pengarang lama dan baru. Ulasan dan kritikan Ali Majod mendatangkan manfaat besar kepada para pengarang yang dikritik karyanya untuk diperbaiki lagi. Sumbangan bersejarah Ali Majod sewaktu beliau sihat itu memungkinkan beliau diiktiraf dalam penilaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) bagi kategori esei / kritikan tahun tertentu.
Sehingga kini tiada lagi pengkritik cerpen yang meneruskan tradisi Ali Majod itu dan cerpen-cerpen yang tersiar berlalu begitu sahaja tanpa sesiapa mengulas atau mengkritiknya.
Ali Majod yang pernah menggunakan nama samaran Malinas dilahirkan pada 12 September 1940 di Gemenceh, Negeri Sembilan. Beliau pernah bertugas sebagai guru di beberapa sekolah di Negeri Sembilan, tenaga pengajar di Universiti Malaya (1980), pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Ali Majod pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim pada tahun 1958 hingga 1961 dan menyambung pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1975 hingga 1978.
Hadiah
Beliau menulis cerpen remaja, cerpen dewasa, novel remaja dan buku cerita kanak-kanak. Di antara kumpulan cerpen persendiriannya ialah Dalam Diri (DBP, 1974), Lampu-lampu Di Pelabuhan (DBP, 1982) dan Semacam Kepuasan (DBP). Kumpulan cerpen remajanya Sayang Si Tina memenangi hadiah pertama dalam penilaian Hadiah Sastera Remaja ESSO-GAPENA 1 pada tahun 1981 dan diterbitkan oleh DBP (1982). Beliau juga menghasilkan buku cerita kanak-kanak lnilah Ceritaku dan Ani Yang Sihat.
Ali Majod juga pernah menyusun biografi sahabatnya, Allahyarham Othman Puteh. Beliau juga menulis novel remaja Kasihanilah Dia (DBP) dan menyelenggara kumpulan cerpen remaja Biarkan Aku Sendiri (DBP, 1985) dan Impian Murni (DBP, 1986).
Bagaimanapun cerpennya, Pensel Sebatang (Dewan Masyarakat Oktober 1965) menyebabkan beliau cukup popular dan dikenali ramai. Cerpen Pensel Sebatang cukup kaya dengan ilmu psikologi kanak-kanak dan sering digunakan sebagai model pengajaran guru di sekolah untuk menyelami jiwa kanak-kanak. Para guru disaran membaca dan menghayati cerpen ini untuk menjadi guru yang berkualiti dan berperikemanusiaan kepada anak muridnya yang pelbagai ragam dan tingkah laku.
Pada tahun 1971 dan 1972, Ali Majod menerima Hadiah Karya Sastera untuk cerpennya, Penunggu (1971), Ngayau (1971) dan Semacam Kepuasan (1972). Beberapa buah cerpennya telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Jerman dan Rusia.
Sumbangan berkesan Ali Majod dalam dunia kesusasteraan termasuklah sebagai panel hakim peraduan mengarang cerpen bidang yang amat disenanginya. Antaranya termasuklah menjadi panel hakim Sayembara Penulisan Kreatif dan Kritikan Sastera (bahagian cerpen) peringkat lnter-Varsiti, panel hakim peraduan mengarang cerpen antara sekolah-sekolah menengah berasrama penuh (1986) dan peraduan mengarang sastera remaja (Bahagian Cerpen) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1986).
Beliau juga banyak terlibat dalam membimbing penulis-penulis muda anjuran Minggu Penulis Remaja (MPR) DBP yang banyak melahirkan penulis-penulis terkenal dewasa ini. Cuma apakah mereka masih mengingati lagi sasterawan ini yang sudah kembali untuk selama-lamanya selepas meninggalkan banyak karya sebagai khazanah sastera? (Utusan Malaysia, "Jasa Ali Majod dalam Sastera", 1 April 2012)
No comments:
Post a Comment