Sunday, 29 June 2008

"MASA" YANG KEKAL TAK BERTAHAN


Sutong Umar RS: Pengarang ekekutif MASA

CATATAN A.F.YASSIN
Majalah Masa Mula Mencari Khalayak Di Pasaran

Majalah “Masa” mula dipasarkan dua bulan lalu. Keluaran keduanya telah pun berada di pasaran, walaupun masih sukar ditemui. Ia majalah bulanan dan diterbitkan di Kajang. Ketua Pengarangnya Wan Omar Ahmad atau Sutong Umar RS, bekas Ketua Unit Sastera, Kumpulan Berita Harian. Sutong sebelumnya bertugas sebagai Ketua Pengarang Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka. Maka dari segi pengalaman mengendalikan penerbitan majalah, Sutong bukan lagi orang asing.

Setelah meneliti kandungan dua keluaran sulungnya, terdapat semacam ada persamaan dengan majalah “Mastika” terbitan tahun 1970an dahulu. Bezanya “Mastika” waktu itu diterbitkan dalam tulisan Jawi. Keluaran sulung “Masa” mempamerkan potret Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Mohamad, di kulit depannya sementara keluaran keduanya memperagakan wajah Sassterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Menurut Sutong, keluaran ketiganya, kulit depan majalah akan dihiasi dengan potret Datuk M. Noor Azam, bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, juga mantan Tinbalan Ketua Pengarag Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hiasan kulit inilah yang membuatkan “Masa” tidak ada bezanya dengan “Mastika” tahun 1970an. Pembaca barangkali masih ingat kulit depan majalah itu sering dihiasi dengan potret tokoh persuratan. Dan bagi kebanyakan pembaca “Masa” seperti memberikan satu suasana nostalgik kepada mereka. Walaupun tidak dinafikan kandungannya lebih dinamis dan terkini dengan tulisan yang kritis, pedas dan kadang-kadang tajam dan bertenaga.

Hal ini lebih ketara jika keluaran kedua “Masa” dijadikan perbandingan. Malah keluaran kedua majalah ini menimbulkan pula kesan nostalgic kepada pembaca yang masih ingat akan ruangan “Perspektif M. Noor Azam” majalah “Dewan Masyarakat” pertengahan tahun-tahun 1970an dan awal 1980an. “Masa” menjemput semula M. Noor Azam menulis dalam ruangan yang diminati ramai itu. Dan beliau muncul dengan “Apa Nak Jadi dan Apa Sudah Jadi”.

Dengan munculnya “Perspektif” maka “Masa” menampilkan satu adunan kandungan dua majalah, iaitu “Mastika” dan “Dewan Masyarakat”. Ternyata ada kecenderungan di pihak editorial untuk mengumpulkan semula audien pembaca dua majalah ini. Sutong dalam satu pertemuan, Selasa lalu, tidak melihat itu sebagai objektif utamanya mengendalikan “Masa”. Menurutnya, “Masa” adalah “Masa” bukan “Mastika” atau “Dewan Masyarakat”. Kami cuba sajikan yang terbaik, walaupun pada anggapan umum ia mungkin melibatkan adunan kandungan majalah-majalah lain.”

Dato' M. Noor Azam: Yang penting diperhatikan ialah teks dan desain majalah.

Bagi Sutong, penglibatan M. Noor Azam, lebih bersifat teknikal baik dari segi penulisan mahupun dari segi desain. Kata Sutong, “Noor Azam adalah editor konsultan Masa. Pengalamannya amat kami perlukan, terutama dari segi melihat sosio-politik dari kacamata seorang penganalisis.” Di samping nama-nama dalam bidang kewartawanan dan penulisan rencana seperti Jalil Rahman, Datuk Saleh Majid, Ibrahim Yahya dan Othman el-Mohamaddy, nama baru melengkapi senarai penulis Masa. Antaranya termasuk doktor muda, Shahrul Lal Sujak dan Fudzail yang khabarnya menetap sementara di Dubai.

Seorang pembaca yang baru menemui “Masa” cenderung menyebut majalah ini “tiga dalam satu” jika dibandingkan dengan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Maksud pembaca itu, “Masa” adalah bauran majalah “Dewan Masyarakay”, “Dewan Sastera” dan “Dewan Budaya”. Malah dua juga membandingkan kandungan majalah “Massa” (dieja dengan dua ‘S’ yang bermakna khalayak) terbitan Utusan Melayu yang kini telah dihentikan penerbitannya, terutama dalam ruangan seni teater dan hiburannya.

Apapun jua, ruangan politik masih mendominasi kandungan, seperti halnya majalah-majalah umum yang terbit di negeri ini. Pembaca ini berpendapat isu politik ibarat asam garam penerbitan sesebuah majalah umum. Katanya, “Hanya kadang-kadang terfikir juga dengan isu yang diminat pengendali majalah umum, dan tentunya oleh pembaca, jualan majalah tetap juga ditakuk lama. Tidak besar jumlahnya.”

Pendapat pembaca ini ada benarnya. Malah ia diakui benar oleh banyak penerbit majalah. Dewan Bahasa dan Pustaka, khabarnya sedikit kecewa dengan jualan “Dewan Masyarakat” dengan jumlah cetakan sekitar 20,000 naskhah. Suatu ketika jumlah cetakan majalah ini melebihi 60,000 naskhah. Utusan Melayu, khabarnya, tidak gembira dengan prestasi jualan majalah “Massa”nya sehingga menjadi alas an utama ia dihentikan penerbitannya. Khabarnya majalah berita mingguan ini mahu dihidupkan semula, tetapi setelah Pengerusi Eksekutif Utusan Karya, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berhijrah tugas ke Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak pasti sama ada majalah itu akan menemui khalayaknya semula atau tinggal sebagai ura-ura sahaja.

Jumlah cetakan “Dewan Budaya” dan “Dewan Sastera” tidak sampai 10,000 naskhah. Tidak semuanya habis dijual. Barangkali juga Ketua Editor Kumpulan Karangkraf, Jalil Ali sudah terbiasa dengan statistik begini untuk majalah “Minda” yang dikendalikannya. Jika demikian halnya, apakah prospek Sutong dengan “Masa”nya? Dan mampukah ia bertahan? Sutong optimis. Menurutnya, ini bukan soal boleh bertahan atau tidak boleh bertahan. Ini soal mengisi kekosongan. Ini soal usaha meningkatkan mentaliti orang ramai. Mesti ada kuasa mengimbangi mentaliti hiburan yang dipengaruhi majalah ringan di pasaran sekarang ini dengan majalah yang “semi-berat dan serius”.

Sensitiviti Sutong banyak dipengaruhi oleh pengalamannya dalam bidang pengendalian majalah dan ini menjadi pendorong baginya meneruskan kerja-kerja begini. Bagaikan kerjayanya tidak dapat dipisahkan dengan majalah. “Masa” menyempurnakan sensitivitinya. Maka baginya tidak timbul persoalan sama ada “Masa” boleh bertahan atau sebaliknya. Katanya, “Kita sajikan yang terbaik dan untuk semua golongan pembaca. Kemudian kita serahkan kepada mereka. Jangka hayat majalah ini bergantung kepada mereka.”

Soal yang terbaik ini begitu subjektif. Kata pembaca tadi, “Yang terbaik buat penerbit belum tentu yang terbaik buat pembaca. Kita kena tengok juga pendekatan penulisan, laras bahasa yang digunakan dalam tulisan dan yang paling penting isu yang dikemukakan. Kalau isunya baik, tetapi ditulis seperti kertas kerja dan menggunakan bahasa yang terlalu akadamik, hanya orang universiti sahajalah yang berminat. Kami orang awam takkan berminat. Saya rasa inilah yang kadang-kadang menakutkan orang membeli majalah. Kalau editor majalah mahukan yang terbaik, dia perlu menimbang yang terbaik dari sudut pembaca, bukan dari sudut editor atau penerbit. Saya tak mahu cakaplah, tapi ada sesetengah majalah umum, baik dalam bidang sastera, budaya atau politik, kandungannya tidak mencerminkan mesra pembaca. Ia lebih mesra penulis atau mesra penerbit.”

Jika pandangan pembaca ini dijadikan panduan, majalah “Masa” boleh berbuat sesuatu untuk mempastikan kelangsungan hidunya berpanjangan. Justeru kerjaya Sutong dalam pengendalian majalah akan berterusan selagi obsesinya kekal demikian. Dan melihat dua keluaran sulungnya, potensi majalah ini akan mempunyai jangka hayat yang panjang tetap ada. Isu setiap keluaran telah dipelbagai dengan isu politik mendominasi. Desain (perwajahan) semakin baik. Hanya yang perlu diberikan perhatian ialah “kedalaman” sesuatu analisis dalam tulisan dan “substance” secara menyeluruh. Ini dikuti oleh unsur kecendorongan dan akhinya panjang pendek sesuatu tulisan. Kata pengamal media, khususnya untuk majalah, tulisan hendaklah tidak melebih dua halaman majalah. Lebih daripada itu, pembaca akan mula menyelak-nyelak muka surat sahaja. Ends.

Wednesday, 18 June 2008

DETIK CEMAS DI RUANG UDARA MENADO


Kota Menado dikelilingi gunung-ganang dengan laut di muka kota.

DETIK MENCEMASKAN DI RUANG UDARA MENADO
CATATAN A.F.YASSIN

Kapal terbang GA 600, dari Garuda Airlines, jenis DC 10 berlegar-legar di ruang udara Menado Sulawesi Utara selama 20 minit. Ketika itu awan tebal menyelubungi ruang udara seluruh kota Menado yang sesekali kelihatan bagaikan menggamit ratusan penumpang yang ada dalam pesawat itu.

Anggota rombongan Jejak Bahasa, 12 orang semuanya termasuk pengurus Jabatan Dokumentasi, TV3, Zainal Ariffin saling berpandangan. Zainal baru sampai dari Jakarta untuk ikut serta bagi sektor Menado selama 6 hari.

Beberapa ketika sebelumnya sutradara Jejak Bahasa, Mohd Zainal Abdul Rahman dan jurukamera, Mohd Fadri begitu sibuk ke sana ke mari dalam pesawat mencari sudut terbaik untuk membuat penggambaran kota Menado dari udara. Mereka kembali ke tempat masing-masing di minta berbuat demikian oleh pramugari.

Kami hanya sedar yang pesawat tidak dapat mendarat di Lapangan Terbang Samratulangi setelah 2 kali kami melihat pulau gunung berapi yang sama muncul lagi di bawah sana.

”Kita seperti berlegar di ruang sahaja“ kata Zainal. “Nampaknya kapal terbang tak boleh mendarat. Ada ribut barangkali”.

“Tapi saya lihat cuaca elok. Bandar di bawah itu jelasnya”, ujar Haji Alias Yusof, jurufoto Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru bersara Disember lalu. Alias juga kelihatan sibuk mengambil gambar kota Menado dari udara sebelumnya. Mulutnya kumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu begitu juga halnya dengan beberapa anggota yang lain.

Ketua Ekspedisi, Othman Ismail yang tidak sedap badan dan batuk-batuk sejak sampai di Makasar 13 Januari lalu diam tidak bercakap. Tidak pasti apakah dia sedang tidur atau sedang bergelut melawan rasa kurang sedap badannya seperti biasa dia mengenakan topi birunya. Umumnya keadaan dalam pesawat sunyi sepi. Semua lebih kurang 100 orang penumpang seperti terpaku di tempat duduk masing-masing.

Kapal terbang cuba lagi melakukan pendaratan sebaik sahaja melintasi pulau gunung berapi bagi kali ketiganya. Ia bergoncang beberapa saat ketika melanggar awan tebal. Terdengar beberapa suara jeritan apabila kapal terbang “terhentak” sedikit membuatkan isi perut bagaikan naik ke dada. Suara tangisan seorang anak kecil bertalu-talu mengharukan.

Zainal dan saya saling berpandangan. Fadri yang berada di depan kami memeluk erat kamera tvnya. Suara pengacara Azura Abdul Karim yang biasanya memenuhi di ruang tempat kami duduk, tidak kedengaran lagi. Barangkali Azura juga sedang membaca sesuatu.
Kami lihat ke bawah lagi. Pulau gunung berapi kami lihat lagi, melintasi buat kali kelimanya. Tidak semena-mena kami merasa kapal terbang mendongak ke atas dan mempercepatkan kelajuan.

Juruterbang membuat pengumuman memberitahu kapal terbang tidak dapat mendarat kerana cuaca buruk sehingga dengan demikian kapal terbang akan berpatah balik ke Makasar yang akan memakan masa satu jam.

Kami lapang dada. Lebih baik patah balik daripada cuba mendarat. Saya teringatkan berita kapal terbang terhempas di Lapangan Terbang Pulinesia, beberapa waktu yang laluakibat cuaca buruk, apabila juruterbang cuba melakukan pendaratan. Mujur juga juruterbang pesawat yang kami naiki tidak cuba melakukan “advancer” atau ingin menjadi hero.

Sepanjang penerbangan kembali semula ke Makasar berbagai-bagai fikiran melintas lalu, terutama yang menyangkut kegiatan yang dilakukan di Makasar. Tambahan pula sambutan luar biasa hangatnya dari pihak Universitas Hassanaldin, yang menjadi hos rombongan Jejak Bahasa. Kegiatan diserikan oleh rombongan Ketua Pengarah DBP yang anggotanya terdiri daripada Datuk Rahim Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Rahman Yusof, Pengarah DBP Cawangan Sarawak beserta dua orang pegawainya dan Mohd Kadir, Ketua Bahagian Pra-cetak DBP.

Selama menunggu di Lapangan Terbang Hassanaldin, Makasar sehingga cuaca di Menado membaik saya membelek-belek buku catatan. Cuba mengingat kembali peristiwa yang berlaku selama empat hari penggambaran di kota yang terkenal dengan sejarah raja-raja guanya.

Dr. Najmuldin Abu Safar, Pensyarah Universitas Hassanaldin yang baru sahaja meraih ijazah PHDnya dari Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi orang perantaraan kami di Makasar, ibukota Provinci Sulawesi Selatan. Pada malam kami tiba Dr. Najmuldin bersama Professor Sharifaldin Wahad, Timbalan Naib Canselor Universiti berkenaan untuk bidang pengembangan dan kerjasama berbincang .... dengan rombongan tentang unsur-unsur penggambaran yang akan diambil selama empat hari di kota Makasar yang penduduknya berjumlah dua juta orang.

Selain membuat penggambaran aulan memperkenalkan kota Makasar, rombongan akan mengadakan “mock-up” .... (.......) di fakulti kedoktoran.

Kru TV3 tidak melepaskan peluang merakamkan pertemuan rombongan Ketua Pengarah DBP dengan tokoh-tokoh akademik, sejarahwan, budayawan dan sasterawan Sulawesi Selatan, khususnya Makasar sendiri di Universiti Hassanaldin.


Dato' Abd. Rahim Bakar: "Mencari peramaan dari semua sudut kehidupan.."

Fokus perbincangan meliputi kebahasaan yang di lihat dari perspektif sejarah dan kebudayaan. Dato’ Rahim dan Haji Aziz senada dalam selama perkenalannya bahawa dialog pagi itu tidak hanya sekadar “......” tetapi lebih menekankan kepada usaha mencari persamaan dari semua sudut kehidupan, terutama budaya dan persuratan, baik antara etnik Bugis, Makasar mahupun antara etnik-etnik lain dengan di Malaysia Dato’ Rahim, menyatakan, menjelaskan betapa perlunya diwujudkan kesepakatan kerjasama dalam bahasa dan sastera antara Kuala Lumpur dan Makasar.

Katanya bahasa melayu menghadapi cabaran apabila ada kalangan kaum elit, terutamanya, lebih mengutamakan bahasa inggeris, pada era globalisasi. Menurutnya Dewan Bahasa mendokong penggunaan bahasa inggeris jika bahasa itu dapat mempertingkat kemahiran berbahasa inggeris rakyat malaysia.

Dalam pada itu Haji Aziz menekankan pula bahawa “perjuangan kami ialah menjadikan bahasa melayu/indonesia sebagai salah satu bahasa dunia. Bahasa kita merupakan bahasa ke empat terbesar di dunia. Mengikut jumlah menuturnya seramai 250 juta orang”. Haji Aziz pula menjelaskan bahawa satu keazaman politik amat diperlukan sekiranya bahasa melayu ingin dijadikan bahasa komunikasi MASTERA atau Majlis Sastera Nusantara dan MABBIM atau Majlis Bahasa Melayu Brunei, Indonesia dan Malaysia merupakan wadah dan platform untuk meningkatkan kerjasama kebahasaan dan kesasteraan serantau dalam nusantara.

Haji Aziz juga berharap penerbitan karya tempatan dan serantau dari Laos, Kemboja dan Vietnam, misalnya dalam bahasa melayu akan lebih memperluaskan lagi horizon pemikiran dan rasa mesra budaya antara negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Kedua-dua tokoh Dewan Bahasa ini turut menekankan keinginan dan harapan yang sama ketika mengadakan pertemuan dengan tokoh bahasa dan budaya di Balai Bahasa Sulawesi Selatan dan Yayasan Kebudayaan Puncak daripada perbincangan itu ialah acara menandatangani perjanjian persefahaman secara berasingan dengan Balai Bahasa dan Yayasan Kebudayaan Sulawesi Selatan.

Perjanjian ini merangkumi kerjasama dalam bidang penerbitan, latihan dan wisata bahasa. Sebagai permulaan, akan diusahakan penerbitan sebuah antologi puisi karya penyair dari Malaysia Sulawesi dan Kalimantan. Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak akan diberi tanggungjawab menerbitkannya.

Pertemuan di Balai Bahasa sedikit sentimentel dan sesekali emosional beberapa tokoh bahasa dan sastera Makasar tidak dapat menyembunyikan perasaan terharunya menyambut kedatangan rombongan Dewan Bahasa dan Jejak Bahasa.

Seorang tokoh yang menyebut namanya Mutalib mahu bahasa melayu/indonesia hendaklah digunakan dalam sebarang pertemuan serantau kerana mutalib menganggap penduduk wilayah serantau majoritinya berbahasa melayu. Katanya lagi penerbitan karya orang Sulawesi masih di tahap “mengharapkan simpati” namun “bagi kami dana bukanlah segala-galanya, tetapi semangat untuk mengusahakan”.

Dengan sentimen melayu yang ..... Mutalib menekan bahawa bahasa melayu asalnya dari bahasa orang melayu yang datang ke Makasar berabad yang lalu.

Yang lebih menarik adalah tanggapan seorang peserta yang memperkenalkan dirinya sebagai Ishak. Dia seorang professor. Begitu bersemangat dia apabila berkata “bahasa indonesia itu adalah sebenarnya bahasa moden melayu.

Menurutnya sejak Sulawesi Selatan berubah menjadi provinci autonomi Januari lalu, “kami sudah melihat dasar-dasar autonomi itu membawa aroma melayu yang membugis terutama di Makasar. Ertinya kami kembali memelayukan dan membugisi”. Kurang jelas apa maksud Ishak.

Tambah menarik apabila Ishak berkata, “Yang kita tuturkan ini bukan bahasa Indonesia tetapi Bahasa Melayu Indonesia. Dengan ungkapan ini maka sudah timbul kebersamaan di kalangan kita dalam bahasa, iaitu adanya bahasa melayu indonesia, ada bahasa melayu malaysia, ada bahasa melayu singapura dan dan bahasa melayu brunei. Kebersamaannya adalah istilah bahasa melayu itu”. Ishak menekan jua peri pentingnya diadakan pertukaran karya sastera kerana di makin, “kita mendekati diri kita sebagai bangsa melayu”.

Seorang tokoh bahasa Makasar, Bustamin namanya, mencadangkan agar Dewan Bahasa memberi peluang kepada pegawai Balai Bahasa Sulawesi Selatan berlatih di Dewan Bahasa Kuala Lumpur. Katanya, “kita masih tertinggal dalam semua bidang pembangunan bahasa dan dengan adanya latihan seumpama itu maka pegawai bahasa kami akan meningkatkan pengurusan bahasa”. Haji Aziz menganggap positif cadangan Bustamin. Rombongan Jejak Bahasa mengadakan acara berasingan. Ketika pertemuan berlangsung rombongan makamalam di restoran masakan jawa berdekatan Pantai Esplande Menado.

Zainal arifin Pengurus Bahagian Dokumentari TV3 dan pengacara Jejak Rasul, yang menyertai rombongan di Menado melahirkan rasa puas hati dengan hasil penggambaran kru Jejak Bahasa di kota ini. Katanya banyak elemen bagus yang akan menjadi dan tarikan kepada program Jejak Bahasa. Dia sendiri memuji daya tarikan kota Menado. Saya tidak pasti daya tarikan apa yang dipuji Zainal.
Kerana dia berkata secara umum. Barangkali terlintas juga dalam hatinya tentang keindahan suasana kota, tidak tidak terkecuali wajah menawan kaum femininnya.

Saya teringat kata-kata seorang hos Jejak Bahasa di Jakarta, Tati. “Kalau nanti berada di Menado, bapak-bapak semua diharap tidak tergoda dengan kecantikan cewek-ceweknya,” kata Tati bercanda. Wajah Maria Menado dan arwah Normadiah seperti membayangi kami di kota Menado. Sungguh!

Menado, 23 Januari 2001

MENJEJAK KAKI DI TANAH KELAHIRAN MARIA MENADO DAN NORMADIAH


Di Kota Menado inilah lahirnya seniwati Normadiah dan Maria Menado.

BERKAMPUNG DI TANAH KELAHIRAN NORMADIAH, MARIA MENADO

Berita kematian bintang filem Normadiah beberapa ketika yang lalu masih membekas dalam hati ketika pertama kali saya menjejakkan kaki di tanah kelahirannya di Menado. Begitu juga dengan nama bintang filem kawakan tahun 50an dan 60an, Maria Menado.
Saya dan hampir seluruh sebelas anggota rombongan Jejak Bahasa DBP-TV3 begitu ghairah untuk melihat suasana dan keadaan sekitarnya, terutama Kota Menado, yang terletak di hujung utara Pulau Sulawesi.
Bagi Rahim Aman, Penyelidik untuk Daerah Sulawesi dan Pensyarah UKM, kedatangan ke Menado seperti “balik kampung” sahaja sebabnya mertuanya orang Gurintalo tetapi menetap di Minado. Maka tidak hairanlah dia tenang sahaja sepanjang penerbangan dari Makassar ke Menado.
Lagu Oinani kiki nyanyian Aniki Karunluh tahun 60-an dan dinyanyikan semula oleh penyanyi remaja sensasi Sulawesi Utara, Nova Sandukh untuk rakaman penggambaran Jejak Bahasa di Pantai Menado mengasyikkan.
Walaupun tidak sebaik penampilan suaranya berbanding Aniki Karunluh namun suara Nova Sandukh cukup untuk mengembalikan ingatan kami kepada penyanyi Aniki Karunluh yang kini khabarnya menetap di Belanda. Menurut pemandu Jejak Bahasa di Menado, Bety Polo seorang Pegawai Wanita dari Pejabat Gabenor Sulawesi Utara, lagu Oinani Kiki adalah lagu simpati seorang anak yang ingin membeli rumah tetapi tidak punya wang.
Bety Menterjemahkan bait-bait lagu itu ke dalam bahasa Melayu antara lain: Oh anak ku tersayang/mahu pergi ke Minado/ingin membeli rumah / tolong berikan wang / kerana saya tidak punya apa-apa / asalkan ikhlas. Suara Nova serak-serak basah dan penyanyi keturunan Minahasa dan anak saudara pula kepada Gabenor Sulawesi Utara itu popular dengan tiga album solonya, dua daripadanya berjudul “satu .Kadira (kerusi) tiga orang” dan “kita rela berkorban” Nova baru berusia 17 tahun tetapi berstatus “janda anak satu”. Katanya, “saya kahwin muda eihoo!
Dari atas bukit Tomahon Kota Minado kelihatan memenuhi pinggiran sebuah teluk. Pulau Menado tua berbalam seperti mengepungi perairan teluk sehingga Menado bagaikan teluk di pinggiran sebuah tasik. Kotanya tidaklah besar, tetapi di sana sini gereja menjadi unsur terpenting. Adalah sebuah dua masjid besar, termasuk masjid raya yang sedang dibangunkan.
Menurut Bety, terdapat hanya 10% penduduk beragama Islam di kota ini, tetapi 42% daripada hampir tiga juta penduduk provinsi Sulawesi Utara, beragama Islam. Kebanyakannya tinggal di Guruntalo yang akan menjadi sebuah provinsi dalam waktu terdekat ini.
Ertinya Guruntalo akan menjadi provinsi yang hampir seluruh penduduknya beragama Islam. Barangkali pemisahan Guruntalo daripada Sulawesi Utara didasarkan kepada kelompok etnik dan keagamaan.
Salah satu yang menarik di Minado ialah intonasi dan sebutan penutur bahara Indonesia/Melayu. Ramainya yang berkata bahawa orang Menado bercakap dalam bahasa Melayu Menado. Jarang kami dengar penduduk tempatan menyatakan mereka berbahasa Indonesia. Kata seorang peniaga ikan di pasar Pililangan ”kami bercakap dalam bahasa Melayu dialek Minado” soalnya apakah ada dialek Minado dan apakah memang rasminya mereka bercakap dalam apa yang dikatakan mereka “Melayu Menado?”
Jejak Bahasa mendapatkan pandangan Profesor Doktor Haji Hongo Tajuddin Yusof, Ketua Pejabat Bahasa Menado merangkap Profesor di Institut Keguruan Ilmu Pendidikan (IKIP) Menado. Kata Profesor Yusof bahasa Melayu itu rasminya bahasa Indonesia dan di Menado bahasa itu dituturkan melalui berbagai-bagai dialek seperti dialek Menado sendiri, dialek Guruntalo atau dialek Minahasa.
Sementara itu setiap dialek itu mengandungi idioleknya pula semacam bunyi sebutan atau intonasi. “Yang kita dengar mereka bicara itu adalah tutur kata mereka berdasarkan idiolek itu’, katanya.
Tutur kata orang di Menado cepat dan pantas. “Kita perlu dengar baik-baik kalau mahu mengerti dan banyak perkataan dalam bahasa tempatan berasal daripada bahasa Melayu. Kata Bety. Hal ini diakui oleh Profesor Yusof sendiri. Menurutnya di Sulawesi Utara penduduknya memahami tiga bahasa, baik bahasa ibunda mereka sendiri, bahasa Melayu Menado dan bahasa Indonesia’.
Menurut Profesor Yusof bahasa ibunda mereka terdiri daripada misalnya bahasa Minahasa untuk etnik Minahasa bahasa Guruntalo untuk etnik yang hampir semuanya beragama Islam atau bahasa etnik lainnya. Bahasa-bahasa etnik ini berbeza sekali antara satu dengan yang lain. Perbezaan sama seperti perbezaan antara bahasa jawa dengan bahasa Melayu atau bahasa sunda.
“Bagaimanapun, semua etnik itu tahu berbahasa Melayu Menado dan berbahasa Indonesia. Kedua-dua bahasa Melayu Menado ini pula berbeza dengan bahasa Indonesia, ”kata Profesor Yusof. Kami difahamkan bahasa-bahasa Melayu minado itu berasal dari bahasa Melayu Riau.
Cuma bahasa itu mengalami proses sosiolisasi dan membaur dengan bahasa ibunda. Kata Bety,”Bahasa Indonesia pula, ya sepertinya yang ada sekarang. Banyak perkataan telah dijawakan”.
Bety Polo beragama Kristian Protestan. Tapi tunggu dulu, katanya. “Walaupun saya beragama Kristian keharmonian hubungan antara agama amat rukun. Kami seperti berkeluarga. Di sini perkahwinan antara agama sudah lazim.
Misalnya, ada keluarga yang isteri Islam, suami Kristian dan anak-anak dipersilakan untuk memilih, apakah mahu masuk Islam agama ibunya atau Kristian, agama ayahnya. Itukan rukun namanya” ketua Komiti penyambut, David Babiho, beragama Islam, walaupun namanya bukan Daud. Lebih menarik ialah nama salah seorang pemain gitar kumpulan muzik yang mengiringi nyanyian Nova Sandukh. namanya Jefri bin Jaafar. Pengacara TVRI, Menado yang turut menganggotai komiti penyambut, bernama Drs. Uthkan Diman. Bunyi macam beragama Islam tetapi dia kristian.


Dato' Maria Menado, orang Minahasa asal kota Menado, Sulawesi Utara.

Othman Ismail, Ketua Projek Jejak Bahasa dan saya berpandangan ketika Bety menjelaskan dalam mesyuarat malam pertama bersama Jawatankuasa Penyambut Jejak Bahasa di Menado.
Yang membuatkan kami saling berpandangan lagi ialah apabila orang Islam dan orang Kristian saling bersapa-sapaan dengan ucapan Assalamualaikum dan selom sekali gus” atau seorang beragama Hindu dengan seorang beragama Islam memberi salam dan “Om Swastiastu” sekali gus. Bety Polo yang Protastan setiap kali menyapa kami dengan assalamualaikum” terlebih dahulu. Inilah rukun hidup orang Minado.
Beberapa hari bersama hos rombongan dan menjelajahi Menado dan daerah sekitarnya menyaksikan keharmonian sebuah kota kecil yang seperti tidak mengenali erti demontrasi dan tunjuk rasa yang sedang hangat-hangatnya di Jakarta. Kata David, “di sini semua tenang-tenang sahaja”.
Saya fikir rukun agama yang sudah menjadi adat kebiasaan di Menado memperkuat hubungan silaturahim antara sesama kita. Saudara perlu memahami konsep hidup kami di Menado ialah kerukunan dan lambang kami di kota ini ialah Menado kota nyiur melambai”
Menado kota nyiur melambai! sungguh Menado dipenuhi pohon kelapa. Di sana sini di tengah-tengah kota pohon kelapa ditanam orang. Apabila ditiup angin dari laut atau dari gunung daunnya meliang liuk terkena tiupan bagaikan ia sedang melambai pengunjung dari lautan atau dari daratan. “Kami gunakan kata nyiur bukan kelapa. Itu adalah pengaruh bahasa Melayu. Bahasa Indonesia kelapa”, kata seorang anggota komiti penyambut.
Kami dibawa kekaki sebuah gunung berapi. Masih terdapat asap dan sesekali api yang menyala. Seluruh lereng di sebelah selatannya berwarna hitam dan dibahagian depannya kekuningan.
“Saudara boleh tafsirkan sendiri maka daripada warna-warna itu”, kata ..........yang memandu kami ke tempat itu. Gunung ini adalah salah satu daripada dua gunung berapi yang mengapit kota Menado dari selatan dan utara yang menurut pemandu kami masih hidup dan aktif.
Tidak jauh daripada tempat kami melihat kota Menado “yang saujana mata memandang” ada sebuah tanah perkuburan orang Minahasa yang dinamakan wali waroga dalam bahasa Minahasa wali bererti rumah dan waroga badan yang hancur luluh dalam batu.
Terdapat puluhan kubur orang Minahasa dulu-dulu yang batu nisan mengandungi mayat. Ertinya orang Minahasa suatu ketika dulu menanam mayat di dalam batu yang kemudian ditegakkan sebagai nisan.
Ertinya lagi, dalam batu nisan tersimpan mayat yang ditanam secara duduk berpeluk tubuh, lengkap dengan ruang kepala di bahagian atas batu, bukan dalam tanah seperti lazimnya orang menanam mayat.
Menurut penjaga kubur, Ulca, wanita berusia 33 tahun beranak empat, batu-batu itu dipindahkan dari berbagai-bagai tempat di seluruh daerah Minahasa. “Yang ada masih puluhan. Ada 2,000 lagi yang akan dipindahkan ke sini”, kata Ulca
Dia begitu pintar bicara dalam bahasa Indonesia. Dia menjelaskan beberapa perbezaan dalam ukiran dan bentuk batu nisan bermayat itu. Batu tanpa tulisan atau gambar menunjukkan ia telah berusia ribuan tahun.
Yang berukirkan kelasi. Portugis menunjukkan batu nisan itu berisikan mayat orang Portugis sementara batu nisan berukirkan mahkota di bahagian atasnya menunjukkan ia berisikan mayat orang Belanda. Batu yang bertuliskan bahasa minahasa berisikan mayat orang Minahasa.
Kuburan ini menarik kerana mayat semua agama ditanamkan di satu tempat, terutama Islam dan Kristian. Nyatanya tanah perkuburan turut “hidup rukun”! di Menado.

Sunday, 15 June 2008

WAHBA DENGAN KARYA KEMANUSIAANNYA


"Warna-warna Kehidupan" Wahba dalam pasaran. Cerpen-cerpennya menghimbau raa kemanusiaan.

CATATAN A.F.YASSIN
Warna-warna kehidupan Wahba

Dua minggu lalu, Wan Hamzah Awang (Wahba) muncul dengan antologi karya kreatif berjudul “Warna-Warna kehidupan: Rindu Seorang Ibu”. Antologi ini adalah himpunan dua genre, puisi dan cerpen. Katanya, “Jarang penulis menghimpunkan dua genre dalam satu antologi. Dan kalau nak kumpulkan puisi sahaja orang tak baca apalagi nak beli.”

Bagi Wahba ini satu strategi pemasaran, bukan beliau tidak mempunyai cukup karya dalam sesuatu genre. Difahamkan sebuah lagi antologi dua genre akan terbit tidak lama lagi dengan Warna-warna Kehidupan kekal sebagai judul siri. Ertinya akan banyak lagi cerpen dan puisi Wahba akan menemui khalayak pembaca.

Kemunculan anotlogi terbaru ini menandakan bermulanya kegiatan kreatif Wahba yang sejak sekian lama dikesampingkannya. Sejak sekina lama itu pula Wahba tidak aktif berkarya kerana tugas yang banyak menyita waktunya semasa di Utusan Melayu. Wahba pernah dipertanggungjawabkan memimpin Mastika, Utusan Zaman dan terakhir majalah ilmiah Pemikir. Di samping itu Wahba diamanahkan pula untuk menyelaraskan pemilihan karya kreatif bagi semua majalah terbitan Utusan Melayu (kini Utusan Karya).

Katanya, “Ini bukan soal prolifik atau aktif. Sekarang saya lapang selapangnya setelah bersara. Jadi itulah saya kumpulkan semua karya saya sejak mula menulis dahulu. Masa terbaik buat saya kerana kalau tak dikumpulkan karya saya akan hilang begitu sahaja. Dan ini senaskhah, bacalah.”

Menariknya, antologi ini mempunyai tajuk kecil yang kalau dibaca sekali lalu bagaikan memberi maksud keresahan penulis dalam sikap tenangnya. Wahba begitu pendiam orangnya, tak banyak bercakap. Wahba melukiskan dalam tajuk kecilnya, “Mencari hujung yang tiada bertepi, terbeku dalam kelu. Terkapai dalam resah. Hati mati. Lidah kelu, sepi memilu.” Tajuk kecil ini adalah sebahagian daripada bait “Resah” puisinya di halaman 31. Bagi yang mengenal Wahba (luar dalam) puisi ini mewakili dirinya.

Seorang penulis pernah melukiskan Wahba sebagai “Air yang tenang.” Penulis itu tidak menambah lagi. Tapi mungkin juga penulis itu tidak akan melengkapkannya dengan kata-kata “jangan disangka tiada buaya.” Mungkin dia ingin menambah pelengkap “ada arus yang bergejolak di dalamnya.” Maka penulis itu ingin melukiskan Wahba sebagai “Air yang tenang jangan disangka tidak bergejolak arusnya.”

Hampir semua sepuluh cerpen dalam antologi ini tidak mempunyai elemen provokatif, mengata atau menyinggung sesiapa. Kata Wahba, “Sebahagian besar cerpennya adalah gambaran persoalan manusia dengan kehidupan yang mengandungi berbagai-bagai warna dan emosi, derita gembira serta ceria dan pilu.”


Sebuah lagi buku Wahba berjudul 'Layar Perak dan Sejarahnya" yang ditulis berama Seniman M. Amin terbitan Fajar Bakti, Petaling Jaya.

Wahba orang lama dalam dunia sastera, walaupun dia menganggap dirinya belum cukup kuat untuk digelar tokoh atau veteran. Sebagai orang lama Wahba tidak mampu “terjun” bereksperimen seperti penulis generasi baru yang terlalu obses dengan pendekatan “avant-garde”nya dan teknik penulisan yang super terkini. Wahba pengikut konvensionalis dan seperti halnya “tradition dies hard” Wahba seperti tidak mahu tahu wujudnya teknik yang digilai penulis generasi muda hari ini. Sikap Wahba demikian bagaikan mempersoalkan rasional bahawa penulis konvensional tidak semestinya dinamik dan progresif. Juga rasional bahawa penulis yang tidak bersifat global dan bervisi besar itu tidak mengikut zaman dan masih tinggal di bawah kepompong masyarakat nya sahaja.

Wahba mempunyai pandangan bahawa soal maju atau tidak majunya penulis bergantung kepada ruang lingkup pemikirannya. Misalnya upaya membina bangsa dalam sesuatu karya terletak bukan pada besar tidaknya visi, global tidaknya sikap, atau ada tidaknya pemikiran gardu depan (avant-garde) seseorang penulis. Yang lebih penting misi dan visi yang digambarkan secara halus dan komunikatif. Sebarang teknik yang mempersulit komunikasi, walau bagaimana super terkininya, tidak akan membawa banyak manfaat jika gambaran misi dan visinya tidak terungkap.

Inilah yang cuba dimanfaatkan Wahba dalam antologi ini. Hampir semua cerpennya memperalatkan teknik konvensional dengan persoalan manusia biasa. Namun amat jelas Wahba mampu mendekatkan emosi dan sentimen watak-wataknya dengan realiti kehidupan sehari-hari. Malah dialog yang digunakan adalah mencerminkan kepribadian watak itu sendiri. Jika watak itu seorang posmen dia akan bercakap seperti seorang posmen, bukan seperti seorang pegawai atau ahli korporat. Makna kata, Wahba amat berhati-hati dalam pemilihan kata-kata untuk watak-wataknya. Malah dialog itu juga telah mencerminkan nilai-nilai universal.

Membaca cerpen-cerpen Wahba ini tidak memeningkan kerana tidak ada yang boleh membuatkan pembaca pening. Sebabnya teknik konvensional yang digunakan mampu mengajak pembaca turut sama menyelami resah gelisah atau suka duka watak-wataknya. Tidak ada persoalan timbal balik atau bawah sedar yang ruwet. Malah kebanyakannya bersifat kronologis dengan peleraian cerita yang tidak banyak menuntut orang berfikir.

“Aduhai Datin Peah” dan “Alahai YB” adalah dua daripada 10 yang barangkali boleh menyinggung, namun mesejnya tidaklah sampai melukakan. Dan realitinya memang begitu. Dalam “Alahai YB” (halaman 117), misalnya, apa yang dilukiskan Wahba adalah reality kehidupan dunia politik. Yang menikam dan yang kena tikam. Jika tak sanggup diperlakukan demikian maka sebaiknya jauhkan diri dari politik. Inilah mesej Wahba. Begitulah akhirnya watak Karim ditikam dari belakang oleh pencabarnya Kardi yang akhirnya terpilih sebagai calon parti.

Difahamkan semua cerpen ini telah disiarkan dalam pelbagai media. Dari sudut pengkaji, cerpen-cerpen ini tidak banyak memberi manfaat. Jalur pemikiran Wahba sebagai cerpenis sejak tahun 1970an lagi tidak dapat ditebak kerana tidak dicatatkan bila cerpen ini dicipta dan bila pula ia disiarkan. Ada kemungkinan cerpen awal dalam antologi ini disiarkan lebih kemudian berbanding cerpen-cerpen di bahagian akhir antologi.

Wahba yang kini sedang giat membantu Ran Publishers menerbitkan “Puisi 100 Penyair” menyelitkan puisinya dalam antologi ini. Setiap cerpen diselang seli dengan sajak. Ada 14 buah sajak, 10 daripadanya tentang ketuhanan sementara empat lagi tentang perjalanan. Persoalan tidak banyak lari daripada persoalan dalam cerpen. Wahba memilih sajak-sajak ini sebagai pelengkap yang harmonis kepada lukisan wajah cerpennya. Tidak sukar memahami sajak-sajaknya. Tidak ada unsure abstrak dan setiap patah kata yang dipilihnya adalah lambang-lambang yang mudah ditafsir. Kadang-kadang sajak Wahba ini adalah jelmaan prosa-prosa pendek. Saling tak tumpah.

Dalam sajak “Pemberian.Nya” Wahba menulis, “Bukan emas berlian/ intan atau wang berjuta/ yang diberinya/ Dia hanya memberi kamu/ sebuah kitab/ yang perlu kamu baca/ dan menghayati panduannya.” Wahba mengakhir puisinya dengan “Jika kamu berfikir/ Kamu tidak akan sesat/ kerana kandungan dan panduannya/ memberi sinar bahagia/ selama-lamanya.

Inilah laras bahasa yang digunakan Wahba dalam puisinya. Memang sukar mencari kata-kata bombastik dengan jargon-jargon lagaknya (snobbish) dalam 14 puisi Wahba yang dimuatkan. Sebagai contoh lihat sahaja pemilihan kata-kata dalam sajaknya “gadis di sebalik cermin.” Wahba ingin menyampaikan bahawa wanita penjual maruah dan diri memanfaatkan kecantikan yang bukan asli yang hanya wangi di luaran tetapi hangit di dalamanan. Indah khabar dari rupa.

Seperti halnya dengan cerpen tidak ada sumber rujukan yang sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh pengkaji. Wahba menyedari kekurangan sumber ini, namun katanya “ada banyak cara untuk orang mengkaji karya penulis.” Maksud Wahba mungkin, pengkaji biasanya tahu bagaimana membuat kajian. Pengkaji yang mahir boleh menilai karya, malah boleh meneka bila karya dicipta dengan hanya membuat perbandingan antara satu karya dengan yang lain.

“Warna-Warna Kehidupan Rindau Seorang Ibu” setebal 190 halaman membawa persoalan biasa lagi lokal tetapi mampu menyampaikan mesej yang universal kepada pembacanya. Tidak ada konflik antarabangsa, tidak ada teknik yang memeningkan. Wahba masih berpegang kuat kepada elemen konvensional. Antologi ini diterbitkan oleh Progressive Publishing House Sdn Bhd, Lembah Keramat. Harga senaskhah tidak dinyatakan. Ends.

Friday, 13 June 2008

MISTERI BENTENG BATU KAPUR DI BANGKA


Dato' A. Rahim Bakar (tiga dari kanan) sedang mendengar penerangan jurugambar TV3, Mohd. Fitri di muka pintu rumah penduduk desa dengan ditemani Tim jejak Bahasa dan para pegawai pelancongan Pulau Bangka di Desa Batu Kapur dalam usha menjejaki batu bersurat pulau itu.

Utusan Zaman 25 Februari 2001
MISTERI BENTENG KOTA KAPUR DI PULAU BANGKA
Oleh A.F.Yassin

Kurang jelas apakah ekspedisi Bangka tiga hari ini mengandungi misteri atau kebetulan Penghubung Jejak Bahasa di Pulau yang begitu popular namanya di Malaysia, terutama apabila ia disebut-sebut dalam lagu-lagu dari filem Melayu tahun 50-an dahulu, Bapak Hamid dari Pejabat Pelancongan Bangka seperti tidak percaya apa yang kami alami sehari dua ini adalah misteri.

Begitu juga halnya dengan Datuk Rahim Bakar, Pengerusi Badan Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, yang turut salam dalam ekspedisi Jejak Bahasa sekitar Palembang-Bangka.
Menurut Pak Hamid sejak beberapa minggu yang lalu Bangka mengalami cuaca yang cukup panas. Tidak ada hujan dan tidak juga mendung. Seorang peniaga di pasar Sungai Liat, kira-kira setengah jam perjalanan dari Pangkal Pinang, ibu kota …… Bangka ….. (dinaikkan taraf dari Kabupatan kepada ……. dua bulan yang lalu), berasa hairn dengan hujan yang turun mencurah dengan tiba-tiba terutama pada waktu malam.

Sedikit luar biasa dan kami merasakan ada sedikit tidak betulnya, kata peniaga berbangsa Melayu Bangka. Tutur katanya seperti tutur kata orang Perak atau orang Melayu Betawi. Kami anggota rombongan lebih-lebih lagi bertambah hairan. Bukan hujan yang turun tetapi cara hujan itu turun. Kelmarin hari Khamis, rombongan dijadualkan pergi ke tempat di mana pernah tertanamnya prasasti batu kapur.

Tempat itu terletak di sebuah kawasan di Bahagian Tengah Pulau Bangka, kira-kir tiga jam perjalanan dari Pangkal Pinang.Prasasti yang kami maksudkan itu adalah satu tahun peninggalan tamadun lampau di pulau yang berpenduduk kurang sedikit satu juta orang dengan 60% peribumi Bangka, dikatakan seratus persen Melayu. Prasasti atau batu bersurat kota kapur ini bertuliskan tahun 686 masihi, Ertinya tulisan di atas batu itu yang memanjang tinggi itu diukir orang pada abad ketujuh, kira-kira seribu empat ratus tahun dahulu.

Batu bersurat ini ditemukan oleh ahli sejarah Belanda merangkap Milang Kristian yang bernama Van Der Mulan pada tahun 1892. Batu bertulis itu juga membawa bukti bahawa Pulau Bangka menjadi benteng kerajaan Srivijaya abad ketujuh. Ketika itu mungkin penduduk Pulau Bangka mengamalkan kepercayaan animismi. Sisa-sa kepercayaan masih terdapat sehingga hari ini. Misalnya orang Bangka masih mengadakan upacara tabir, upacara lempar ketupat dan nganjak (pameran makanan kepada roh halus). Upacara ini dilakukan terutama oleh masyarakat dari suku kaum orang Luma.

Di samping prasasti Bukit Kapur ada pula patung vistu dan cindai dari agama Budha tetapi pertemuan kedua-duanya tidak begitu meyakinkan bahasa wujud di Pulau Bangka agama Budha dan agama Hindu sebagai agama penduduk asal Bangka. Barangkali pertemuan itu hanyalah tanda bukti wujudnya benteng kerajaan Srivijaya dengan menjadikan Bangka batu loncatan untuk kerajaan itu meluaskan wilayah takluknya ke Majapahit dan alam Melayu. Memang, Bangka tempat yang paling sesuai untuk dijadikan batu loncatan oleh kuasa besar ketika itu, Srivijaya.

Kerajaan Srivijaya yang dikatakan berpusat di Kota Palembang melihat Pulau Bangka, laluan pentingnya untuk ke selatan dan utara. Ke selatan ke Pulau Jawa dan ke utara Johor-Riau. Ketika kami sampai di kampung kota kapur hujan turun renyai-renyai. Perjalanan tiga jam dengan menaiki empat buah van amat lasak. Banyak kali kepala anggota-anggota rombongan terhantuk di siling van kerana jalan tanah yang berlubang dan becak. Cuma yang meredakan rasa geram dan marah kerana jalan yang teruk itu ialah suasana di kiri kanan jalan.Ia tidak ubah seperti kita berkenderaan di jalan utama di Malaysia. Ada kalanya kami seperti sedang berjalan di kawasan Hulu Langat. Dan ada kalanya di sebuah kawasan kampung dari kota ke istana raja di Negeri Sembilan.

Saya jatuh cinta dengan Pulau Bangka ini, kata seorang anggota rombongannya.Dengan ceweknya? saya bercanda.Dengan alam kelilingnya, ada pohon kelapa, ada belukar dengan bunga hutannya, ada rumpunan buluh di tepi sungai, ada rumpunan mengkuang dan yang lebih menyangkakan saya ada pokok rumbia setiap kali kita melintas sungai kecil cuainya.Di kampung kota kapur kami singgah melapor diri kepada ketua kampung. Bapak Mahadzil. Nama bapak sama dengan nama Perdana Menteri kami, saya bercanda, Ya begitu? tanyanya kembali.Cuma nama Perdana Menteri kami ada hujungnya.. Bapa dieja dengan hil. Ketua kampung itu ketua, sementara krew TV3 dijamu durian oleh ketua kampung (tentunya dibayar)., Datuk Rahim dan ketua projek Othman Ismail memancakkan letak lokasi batu bertulis kota kapur itu.

Sementara saya bertanya kepada seorang pegawai pelancongan Bangka yang ikut serta ke kampung itu. Menurutnya kata kapur pada kota kapur itu ialah sejenis agas yang dinamakan kekapur. Ia banyak terdapat di daerah berkenaan sehingga orang kampung menamakan desa Kota Kapur. Menurut versi orang kampung, asal mula nama kampung itu ialah desa Semarang tetapi oleh kerana ditemukan batu kapur di daerah itu maka ia dinamakan semula dengan desa kota kapur. Kurang jelas apakah ada orang Semarang dari Jawa Tengah yang datang meneroka kampung itu.

Menurut ketua kampung letak kota kapur yang menjadi benteng Srivijaya di Pulau Bangka itu dipastikan berada di atas sebuah bukit kecil. Katanya bukit itu sebenarnya adalah benteng kerajaan Srivijaya. Dari benteng itu akan terlihat musuh yang datang dari kuala sungai dan lautan. Di hulu kawasan lembah di keliling benteng itu adalah lautan. Belum pun sempat kami menaiki kenderaan untuk meneruskan perjalanan menuju benteng yang disebukan itu hujan turun dengan lebat.

Ia berhenti kemudian ketika kami berkenderaan menuju ke lokasi. Sebaik-baik sahaja kami turun untuk melihat keadaan bukit yang kini adalah dusun durian dan getah, hujan kembali turun dengan lebat. Semua anggota rombongan termasuk Datuk Rahim lari bertempiaran masuk semula ke dalam van. Kami menunggu beberapa ketika, malah ada yang memberanikan diri berpayung untuk melihat keadaan keliling kota yang dianggap tiga kilometer persegi lebarnya itu dengan berpayung. Tiba-tiba ketua kampung berubah fikiran apabila sutradara Jejak Bahasa Zailan Abdul Rahman bertanyakan tempat pertemuan batu bersurat kota kapur.

Katanya tempat itu berhampiran dengan sungai di bawah benteng. Datuk Rahim yang tidak menghiraukan hujan bersama ketua kampung dan pegawai pelancaongan menuruni curam menuju sungai. Sebentar kemudian mereka berpayung semula mendaki benteng. Tak boleh pergi, kata Daruk Rahim, ada lagi sungai kecil sebelum sampai ke sungai tempat batu bersurat itu. Oleh kerana pegawai pelancong tak mahu menyeberang dan tak mahu pakai kasut, kami tak jadi ke sana. Zailan tidak begitu berpuas hati dengan penjelasan ketua kampung. Dia meminta dibawa melihat muara ungai dan lautan berkenaan dari satu tempat yang tinggi.

Kami menaiki kenderaan semula dan tidak berapa saat kemudian hujan pun berhenti. Kami berhenti betul-betul di satu tebing tinggi yang menghala ke lautan luas.
Oleh kerana banyak pokok tinggi-tinggi kuala yang dimaksudkan itu tidak kelihatan. Datuk Rahim memberanikan diri berjalan menuju ke tepi tebing dengan diikuti ketua kampung dan Zailan. Ahirnya rombongan membatalkan niat untuk terus mencari bekas tapak batu bersurat itu dan kembali ke kediaman ketua kampung. Hujan berhenti semula sebaik sahaja kami berguruk pulang ke desa. Dalam perjalanan dua buah kenderaan terpaksa ditolak beramai-ramai kerana tayar terperosok ke jalan yang semakin berkubang akibat diganti air.

Azura Karim pengacara Jejak Bahasa yang naik sama van dengan saya hampir tidak percaya dengan hujan turun dan hujan berhenti setiap kali kami naik dan turun dari kenderaan. Katanya, ini adalah orang yang tidak memberi salam ketika nak masuk ke tempat ini. Ramai yang tidak perasan dengan peristiwa hujan misteri ini. Dan apabila saya tanyakan kepada Yuna, pemilik agensi pelancongan Billa Vista Bangka yang menjadi drebar kami sehari kemudian (hari ini), dia hanya tersenyum sambil menceritakan sedikit sejarah Pulau Bangka. Menurutnya pada suatu ketika dalam tahun 1600-an ada seorang anak raja yang telah diusir dari Siantan oleh Sultan Johor Riau. Dia dengan pengikutnya meninggalkan negerinya menuju selatan lalu mendarat di Riau, yang terletak di utara Pulau Bangka.

Dia dengan pengikutnya berbuat negeri di atas gunung Maras. Untuk menghabiskan sisa-sia usianya anak bangsawan ini dan pengikutnya pun bertapa di atas gunung itu, menuntut ilmu kebatinan. Dengan ilmu kebatinan itu mereka mempertahankan diri dari serangan musuh dari luar. Bermacam-macam ilmu dipelajari termasuklah ilmu hitam dan santau menyantau. Kata Yuna sampai sekarang masih ada masyarakat Bangka di daerah itu, tidak terkecuali di daerah kota kapur yang masih mengamalkan kebatinan ini.

Bapak-bapak semua perlu sopan dan ramah ketika berbicara dengan orang-orang kampung. Hanya dengan rokok asap sahaja bapak-bapak boleh hidup merana. Hidup segan mati tak mahu, katanya. Apabila saya tanyakan tentang peristiwa hujan di desa kota kapur sehari sebelumnya, Yuna berasa yakin, ada di antara anggota rombongan Jejak Bahasa yang mempunyai niat yang tidak ikhlas apabila berkunjung ke desa yang menurutnya masih mempunyai misteri kota kapurnya. Yuna seorang warganegara Indonesia keturunan Cina. Haji Alias, Razali Saad dari Dewan Bahasa dan Bapak Najib da saya saling berpandangan ketika Yuna bercerita, tegak juga bulu roma dibuatnya.

Kata Yuna, itu baru misteri hujan. Kota Kapur masih lagi mesra dengan bapak-bapak semua.

Pulau Bangka 16 Februari 2001.

Thursday, 12 June 2008

DOL KEROPOK DEWAN BAHASA


ALLAHYARHAM USMAN AWANG: BELIAUKAH DOL KEROPOK DI DEWAN BAHASA?

CATATAN A.F.YASSIN
Mengingat Kembali Dol Keropok di Dewan Bahasa

Bucu, satu kawasan kecil terletak di depan Dewan Bahasa dan Pistaka. Ia juga dikenali sebagai Tanjung. Terdapat beberapa gerai makan yang sejak enam pagi lagi sudah dikunjungi ramai pelanggan yang datang bergelombang. Mulanya, datang berkunjung sarapan kumpulan polis lalulintas. Mereka meninggalkan gerai sebelum tujuh pagi. Kemudian datang pula kumpulan editor dan staf Dewan Bahasa.

Setelah pukul lapan sepi seketika sehingga pukul sepuluh apabila editor dan staf ini kembali berkunjung untuk kudapan. Mereka disertai kumpulan perekabentuk syarikat Dawama yang berpejabat di Wisma Miramar. Ini berterusan ketika rehat makan tengah hari dan akhirnya minum petang pukul tiga.

Yang menarik bucu ini seolah-olah sudah dianggap tempat pertemuan orang persuratan. Minggu lalu sahaja, misalnya, ada pertemuan santai Dato’ Mohd Noor Azam, bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir dengan beberapa staf Dewan Bahasa yang juga penulis, seperti Jaafar Rahim, Mohd Daud Mohammad dan Ahmad Shahidan. Dalam beberapa hari ini ada pula Abd. Rahim Abdullah, Ketua Program Penulisan Akademi Seni Kebangsaan dan Marzuki Ali yang menikmati juadah gerai. Dan Selasa lalu, “timbul” Anas K. Hadimaja yang kelihatan sedikit uzur dan datang bertongkat. Kata mamak sebuah gerai, “Ini orang semua selalu datang juga minum. Pagi ada petang pun ada.”

Kalaulah bucu itu boleh mendengar, ia tentu gembira. Sebabnya penulis dan staf Dewan Bahasa sering sahaja bercerita kisah-kisah lama, bernostalgia sesama sendiri. Terutama dalam beberapa hari ini. Jaafar Rahim sedang merancang untuk mengadakan majlis mengingati Keris Mas pada 2-3 Ogos nanti. Berbagai acara diadakan dengan seminar sehari menjadi acara utamanya.

Satu acara menarik, tetapi tidak rasmi ialah mengumpulkan semula semua bekas petugas Dewan Bahasa, yang masih hidup dan yang nama mereka sinonimos dengan kemajuan Dewan Bahasa. Malah mereka dianggap sebagai tokoh-tokoh besar atau “towering personality” nasional dalam bidang persuratan yang membantu Dewan Bahasa meningkatkan citranya di mata masyarakat. Selain Noor Azam, Jaafar akan mengundang antara lain Kemala (Dr. Ahmad Kamal Abdullah), Dato’ Abdullah Hussein, Saleh Daud, Shamsuddin Jaafar, Ajikik, Ainon Mohamad dan Awam il Sarkam, Jaafar tidak lupa Dato’ Baharuddin Zainal dan Dato’ Johan Jaafar walaupun mereka warga Dewan Bahasa atas jawatannya sebagai ahli Lembaga Pengelola.

ALLAHYARHAM KERIS MAS (KANAN): ATAU BELIAUKAH DOL KEROPOK?

Di Bucu Dewan Bahasa itulah, Jaafar berjaya memujuk Noor Azam untuk bernostalgia di majlis mengingati Keris Mas. Letih juga Jaafar memujuk “Dato’ kita itu” sekadar meminjam katanya. Pada mulanya Noor Azam enggan dan hanya ingin hadir sebagai peserta tetapi setelah didesak Jaafar dan kawan-kawan, Noor Azam menerima dengan syarat beliau hanya akan bercerita tentang Keris Mas sekadar yang beliau ingat. Katanya, “Dah lupa banyak dah, dah lama sangat. Yang saya ingat cara orang tua itu menghisap paipnya.”

Beberapa minggu sebelumnya beberapa orang anggota Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa bersembang-sembang santai sambil kudapan mencari jalan bagaimana Kesatuan boleh membantu Dewan Bahasa mengembalikan semula citra kegemilangannya. Sambil meneguk tarik mamak, Hasni, Ahmad Shahidan dan Yusof seperti bersumbang saran dalam kesantaian. Kudapan pagi

“Nampaknya Dato’ Ketua Pengarah kita yang baru ini berfikiran sama dengan kami,” kata Hasni. Menurutunya telah beberapa kali mereka bercerita tentang keazaman ini. “Kita tak mahu terus mendengar Dewan Bahasa dikatakan sudah tidak relevan lagi. Bagi kami Dewan Bahasa masih dan terus relevan. Cuma kegiatan dan fungsinya perlu disesuaikan dengan kehendak zaman. Dan masih banyak yang perlu dilakukan.” Menurut Hasni dan kawan-kawan pihak kesatuan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Dato’ Dr. Firdaus Haji Abdullah. “Kami lihat sebagai orang yang terlibat aktif dalam bidang persuratan Dato’ kita itu amat memahami masalah citra Dewan bahasa yang sedikit tercalar ini.”

Di bucu itu juga penulis Anas K. Hadimaja, yang juga bekas setiausaha akhbar Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie pada tahun 1970an dahulu datang berkkunjung. Selasa lalu Anas meminta saya menyampaikan salamnya kepada Ketua Pengarah yang baru. Katanya, “Kalau kau jumpa Firdaus, katakan saya kirim salam. Dan yang lebih penting kau sampaikan sangat-sangat supaya dia jaga kesihatan dan pergi cek dengan doktor selalu. Kita menaruh harapan kepada dia. Kembaikan Dewan ke fungsi asalnya.”

Sebelumnya datang pula Sutong Umar RS yang kini sibuk mengendalikan majalah “MASA” yang baru sahaja terbit dengan edisi keempatnya. Sutong sedang melakar konsep untuk majalah kedua, iaitu majalah Seni. Sutong bernasib baik kerana Noor Azam masih mahu membantunya sebagai penasihat editorial. Kata Sutong, “Noor Azam penting. Ruangan perspektifnya dalam majalah Dewan Masyarakat suatu waktu telah kami teruskan dalam MASA. Bos kita juga turut membuat penyaringan rencana.”


DARI KIRI: ALLAHYARHAM WIJAYA MALA, A.F.YASSIN, DATUK HASSAN AHMAD, DATO' M. NOOR AZAM, ALLAHYARHAM SALEH DAUD, HJ. AHMAD KABA DAN ALLAHYARHAM RUBAIDIN SIWAR: ATAU SALAH SEORANG DARIPADA MEREKA INIKAH?

Jelas bucu bagaikan menyaksikan wujudnya satu gelombang penulis yang masih mahu melihat Dewan Bahasa kembali unggul seperti dalam tahun-tahun 1960an dan 1970an dahulu. Kemahuan itu ditunjukkan oleh penulis-penulis mapan dan penulis-penulis generasi hari ini merangkap tenaga kerja Dewan Bahasa seperti Jaafar, Ahmad Shahidan dan Wahab Hamzah.


Pak Awam il-Sarkam: Tanyanya selalu: Mana Dol Keropok?

“Kita mesti bantu Firdaus. Jangan terlalu mengambil banyak masa belajar tentang masalah Dewan. Dia menghadapi cabaran dan dugaan, malah godaan dari pelbagai penjuru. Dia kena kuat fizikal dan mental,” kata seorang penulis yang sering menikmati mee mamak di Bucu itu. Penulis berkenaan yang juga bekas staf Dewan Bahasa turut bernostalgia tentang kisah Dol Keropok di Dewan Bahasa. Kebetulan Jaafar Rahim sedang mengumpulkan kisah Dol Keropok dan peranannya di Dewan Bahasa pada dekad-dekad 60-an dan 70-an dahulu untuk majlis Keris Mas. Ends.

Thursday, 5 June 2008

BAHASA MELAYU DAN BADAN BERTINDAK BAHASA


Yahaya Ismail, ketika ditemu bual di kediamannya di Kg. Tunku, Petaling Jaya pada 14 November 2007.

YAHAYA ISMAIL: MENGAPA KITA TUBUHKAN BADA BERTINDAK BAHASA MELAYU?

Pada pendapat, selepas 50 tahun merdeka, bahasa Melayu memang ada peningkatannya. Daripada segi sistem pendidikan, ketika di zaman kolonial British dahulu, paling tinggi kita hanya ada Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Dengan kelulusan itu, kita menjadi cikgu, mata-mata atau pun peon. Dan atas segala macam sebab British memang tidak menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di pengajian tiggi.

Setelah kita merdeka, Tun Razak dengan kesedaran Kemelayuan yang kuat, melahirkan Penyata Razak tahun 1956. Itulah yang menjadi asas kepada sistem pendidikan kebangsaan di mana bahasa Melayu akan menjadi bahasa pengantar dari sekolah rendah sampailah ke universiti. Itulah dasar yang telah ditetapkan kerajaan di bawah pimpinan Tun Razak. Memang baik!

Selepas itu, barulah ada komiti lain untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kalau saya tak silap, Tun Syed Nasir dan Tun Mahathir Mohamad, termasuklah dalam komiti yang ditubuhkan. Mereka inilah yang memberi ruang baru kepada petuturan bahasa Melayu di peringkat universiti dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pemula. Jadi, daripada segi itu, bagus!

Dalam Perlembagaan ada disebutkan bahawa 10 tahun selepas merdeka, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu, iaitu pada tahun 1967. Tetai ternyata semacam ada tentangan daripada pihak-pihak yang anti bahasa Melayu. Dengan adanya penentangan inilah yang menimbulkan kesedaran kami untuk mewujudkan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan. Tujuannya adalah untuk memperjuangkan Fasal 152. Perlembagaan Negara, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang tunggal 10 tahun selepas merdeka. Kerajaan tidak tidak boleh berganjak.

Bagaimanapun, proses perkembangan politik di Malaysia ini selepas Tun Razak dan Tun Hussein Onn memperlihatkan peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu menjadi semakin malap. Kerajaan ada meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1967. Nampaknya ada usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar dan juga bahasa dalam pentadbiran negara. Akta itu kita boleh terimalah. Rakyat menganggap, “ Wah, ini sudah bagus!” Ertinya sudah ada nilai ekonomi yang diberikan kepada bahasa Melayu

Maka, dalam surat-menyurat pun, semuanya dibuat dalam bahasa Melayu. Pada pandapat saya telah timbul apa yang kita panggil, nationalisme linguistik. Ertinya, ada rasa kebangsaan daripada segi bahasa. Jadi, bahasa itu sudah menjadi satu kekuatan politik, satu isu politik yang dijiwai oleh UMNO yang memerintah dan juga pihak-pihak lain yang dianggap sebagai pembangkang. Memang ada. Malangnya, pada zaman kerajaan dipimpin Tun Mahathir, berlaku sedikit anjakan. Tun Mahathir mahu orang Melayu, terutamanya mesti cepat berubah dalam cara berfikir dan tidak hanya menyerah kepada nasib dan lain-lain. Ini bererti mesti ada ‘ mental change ’ atau revolusi mental dalam kalangan orang Melayu.

Dengan hal yang demikian, ilmu menjadi perkara penting. Tun Mahathir juga lebih menekankan soal ekonomi. Timbullah konsep pandang ke timur, sebagai satu usaha untuk menyedarkan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bahawa kita ini mesti cepat berubah dan berjiwa dinamik. Jangan menyerah segala-gala kepada kerajaan. Dan Tun Mahathir nampaknya tidak mahu menggalakkan mentaliti subsidi dalam kalangan orang Melayu. Ini yang kita nampak dari segi kepimpinan Tun Mahathir selama 22 tahun. Dalam proses untuk memajukan ataupun memodenisasikan negara dan juga masyarakat, Tun Mahathir sudah melakukan suatu tindakan yang mungkin dianggap oleh kebanyakan orang Melayu, sebagai merugikan orang Melayu, iaitu Tun Mahathir menekankan pentingnya sains dan teknologi. Tun Mahathir juga menekankan soal perindustrian. Memang bagus, tetapi sepatutnya janganlah sampai mengorbankan orang Melayu.

Misalnya, apa yang Tun Mahathir perkenalkan sekarang, mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Bukannya kita benci bahasa Inggeris. Tidak! Tapi, cuba kita lihat Negera Jepun, Korea, Mereka maju, tetapi rakyatnya rata-rata tidak tahu bahasa Inggeris. Bukan semua rakyatnya tahu bahasa Inggeris tetapi negara itu tidak memajukan bahasa itu. Mereka memajukan bahasa Jepun atau bahasa Korea. Buku yang diterbitkan di Amerika baru dua bulan sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun atau bahasa Korea. Orang Korea dan orang Jepun tidak perlu mempelajari bahasa Inggeris tetapi mereka berjaya menguasai ilmu. Ini yang penting.

Malangnya, kita ini tidak. Tun Mahathir mahu orang Melayu maju, terutama sekali dari segi ilmu pengetahuan. Tetapi buku dalam bahasa Melayu tidak ada. Mahu tidak mahu, kita mesti menggunakan buku bahasa Inggeris. Mahu tidak mahu, kita kena menguasai bahasa Inggeris. Tun Mahathir hendak orang Melayu cepat maju. Tidak mahu tunggu sehingga semua buku ditulis dalam bahasa Melayu, baru kita hendak melahirkan doktor, jurutera dan lain-lain. Sebagai pemimpin, Tun Mahathir berhak berbuat demikian tetapi malangnya orang-orang lain yang diberi amanah untuk memajukan bahasa Melayu dan mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu tidak mengikuti perkembangan seperti halnya para pemimpin negara.

Maka tempanglah penggunaan bahasa Melayu ini. Akhirnya, hari ini orang-orang yang hanya belajar menguasai bahasa Melayu mendapati mereka tidak mempunyai tempat. Nilai kemanusiaan sudah tidak ada. Sekarang ini, kebanyakan yang menjadi penganggur terdiri daripada mereka yang mengambil jurusan Pengajian Melayu, Pengajian Media atau Pengajian Islam dan lain-lain. Lowongan untuk mendapatkan pekerjaan terbatas sekali. Yang jadi mangsa sekarang ialah orang Melayu. (Petikan temu bual dengan Yahaya Ismail pada 14 November 2007. Temu bual diadakan di kediamannya di Kg. Tunku, Petalng Jaya.)

Wednesday, 4 June 2008

BAHASA MELAYU YANG SEMAKIN TERABAI


Dato' M. Noor Azam, ketika di temu bual di kediamannya di Kuala Lumpur, 27 November 2007.

BAHASA MELAYU SEMAKIN DIABAIKAN - M. NOOR AZAM

Kalau kita tengok perjuangan mendaulatkan dan mengembangkan bahasa Melayu di peringkat sebelum merdeka, sampai kita merdeka dengan Perlembagaan Persekutuan tanah Melayu pada waktu itu, bahasa Melayu telah diletakkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Itu satu pencapaian yang sangat penting. Sebelum itu bahasa Melayu telah diberi tempat yang kukuh dalam sistem pendidikan apabila Penyata Razak siap pada tahun 1956. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar untuk sekolah kebangsaan. Selepas merdeka, walaupun sudah ada Penyata Pelajaran 1956 dan diikuti Penyata Rahman Talib tahun 1958, kedudukan bahasa Melayu secara rasmi menjadi kukuh dan kuat.

Tetapi pelaksanaannya tidak begitu memuaskan. Maka timbullah gelombang perjuangan bahasa peringkat yang kedua pula saya anggap selepas merdeka yang dipelopori, terutamanya guru-guru Melayu melalui persatuan guru di negeri-negeri yang bergabung pada peringkat Semenanjung, seperti KGMS (Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung) yang pada waktu itu tokoh-tokohnya termasuklah Cikgu Mohamad, Yusof Rahman dari Ipoh dan banyak lagi yang saya tidak berapa ingat. Di samping tokoh guru ada badan-badan bahasa, persatuan dan kebudayaan yang bergabung di bawah kongres bahasa dan persatuan Melayu. Pergerakan mereka lancar dan bebas kerana ramai juga daripada mereka adalah wartawan, seperti Usman Awang dan Keris Mas.

Mereka ini penulis, sasterawan dan juga orang surat khabar. Maka surat khabar itu menjadi media untuk berjuang. Ada juga GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung), yang turut memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu. Perjuangan sudah ada tetapi pelaksanaan daripada segi pemakaian bahasa sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan adalah kurang. Perjuangan mereka agak hebat pada masa itu sehingga pada satu ketika pada tahun 1959, guru-guru Melayu ini dalam satu persidangan di sekolah Maxwell, Kuala Lumpur mengambil keputusan keluar daripada UMNO beramai-ramai sehingga pada Pilihanraya pada tahun itu banyak guru Melayu berkempen bagi pihak PAS. Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS. Perjuangan itu diteruskan untuk sekolah menengah Melayu. Dalam kerajaan tidak ada dasar pelaksanaan untuk menubuhkan sekolah menengah Melayu. Itu yang menyebabkan guru-guru Melayu ini membuat keputusan keluar daripada UMNO beramai-ramai.

Pada masa itu menterinya Mohd. Khir Johari (Tan Sri) dan Perdana Menterinya Tunku Abdul Rahman. Bagaimanapun, akhirnya sekolah menengah Melayu dapat juga diwujudkan. Perjuangan pun diteruskan untuk melaksanakan bahasa pengantar dalam pendidikan sampai ke universiti. Universiti kebangsaan Malaysia pun menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Dan Negara pun mula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Setelah itu, kita nampak perjuangan politik bahasa telah diangap tamat; dan perjuangan diteruskan pula dalam bidang pentadbiran. Di samping perjuangan politik bahasa, pembinaan bahasa juga berjalan lancar dengan adanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

DBP mengadakan banyak program, kegiatan, penerbitan dan kajian untuk membina dan mengembangkan bahasa. Bahagian istilahnya cukup kuat. Kemudian, kita ada pula kerjasama bahasa Malaysia-Indonesia sehingga akhirnya dipersetujui ejaan bersama bahasa Indonesia. Semua usaha ini penting dicapai dalam usaha membina dan mengembangkan bahasa.

Selepas itu keadaan politik Malaysia sudah berubah. Beransur-ansur bahasa Melayu tidak lagi menjadi penting dalam perjuangan politik. Sebelum merdeka dan selepas merdeka, bahasa Melayu menjadi salah satu faktor penting dalam perjuangan politik orang Melayu. Pemimpin-pemimpin politik kena perjuangkan bahasa Melayu. UMNO kena perjuangkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi alat perjuangan kebangsaan. Jadi, perjuangan guru-guru Melayu pada masa itu banyak disalurkan melalui UMNO kerana ramai daripada mereka adalah ahli UMNO. Selepas itu kita rasa perjuangan politik bahasa dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu patut kita serahkan kepada DBP.

Memang ada bagusnya. Tetapi setelah beberapa tahun, terutama selepas tahun 80-an, penggunaan bahasa Melayu semakin menurun. Bahasa Inggeis “naik balik”. Dalam bidang pentadbiran surat-surat dan laporan rasmi dalam kerajaan ditulis dalam bahasa Inggeris, kertas-kertas projek dalam bahasa Inggeris, laporan tahunan, mesyuarat-mesyuarat syarikat dalam bahasa Inggeris hingga ada pemimpin dan menteri yang bercakap Inggeris dalam TV. Bahasa Melayu semakin lama semakin tidak ada harga sehingga akhirnya jatuh menjadi bahasa yang ketiga. Nombor satu bahasa Inggeris, nombor dua bahasa Cina, nombor tiga bahasa Melayu.

Kalau kita tengok statistik, jumlah edaran surat khabar Cina lebih banyak berbanding surat khabar Melayu. Pendapatan iklan dalam surat khabar Melayu walaupun pembaca ramai contohnya, seperti Utusan masih kurang. Sebabnya, surat khabar Melayu rata-rata mempunyai nilai (rating)nya rendah. manakala surat khabar Inggeris nilai ratingnya tinggi. Pada masa tahun-tahun itulah apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambil teraju pemerintahan, ekonomi menjadi faktor yang sangat penting. Bahasa tidak lagi jadi faktor dalam politik UMNO.

Semangat pejuang bahasa pun sudah menjadi malap dan tidak boleh buat apa-apa lagi. Persatuan Penulis, Persatuan Sasterawan, Persatuan Guru-Guru yang hebat suatu masa dahulu semuanya senyap. Mereka seolah-olah telah berpuas hati. Tidak ada orang lagi memperjuangkan politik bahasa selepas tahun 80-an, Mereka cuma mengharapkan DBP sahaja. Tapi oleh sebab pemakaiannya tidak berkembang maka bahasa Melayu semakin merosot balik. Jadi usaha DBP pun tidak menampakkan apa-apa, walaupun ia diteruskan. Pengajaran bahasa dan sastera di sekolah pun menjadi tidak penting. Yang penting bahasa Inggeris, sains dan teknologi.

Kemudian, datanglah tamparan yang hebat apabila kerajaan pimpinan Dr. Mahathir menukar bahasa pengantar, bahasa Melayu balik kepada bahasa Inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik. Suatu ketika nanti orang akan merasakan bahasa Melayu semakin tidak bernilai. Kelulusan bahasa Melayu tidak penting lagi jika mahu mencari pekerjaan. Semuanya inginkan kelulusan bahasa Inggeris. Maka, dalam perkembangan seperti ini, kedudukan bahasa Melayu semakin tergugat dan semakin merosot sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan walaupun didaulatkan dalam dasar pelajaran dan dalam Perlembagaan Malaysia. Itu keadaan bahasa Melayu pada masa ini. (Petikan temu bual dengan Dato' M. Noor Azam, bekas Setiausha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Bekas ketua Bahagian Umum, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Temu bual diadakan dikediamannya di Kg. Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 27 November 2007)

Tuesday, 3 June 2008

LOGHAT SIAK DAN REMBAU TAK BANYAK BEZA


Sebuah rumah Kg. Tanah Datar, Gadong, NS. Perhatikan bumbungnya yang serupa dengan bumbung rumah orang Siak. Ia tidak berbentuk melengkung seperti rumah orang Minang.

TUTUR KATA ORANG SIAK MIRIP ORANG NOGORI
Oleh A.F.Yassin (yang berkunjung ke Siak brsama Tim Jejak Bahasa, anjuran DBP-TV3pada tahun 2000.)

Jam 5.30 petang, 21 Februari, Muzium Siak yang dahulunya istana Sultan Siak Inderapura telah hampir satu jam ditutup.
Namun krew penggambaran Jejak Bahasa dan TV3 masih berada di dalam untuk mengabadikan beberapa barang purba ke dalam media selulus.
Antara barang yang diabaikan termasuklah manuskrip dan perjanjian lama yang dibuat Sultan Siak dengan Belanda. Juga yang menjadi tarikan krew ialah sebuah alat muzik lama, satu daripada dua yang masih ada di dunia.
Di luar muzium, tiga orang gadis menghampiri pintu masuk. Mereka mahu masuk tetapi dicegah pengawal muzium.
Kata seorang gadis, awak nak nengok! dia merayu supaya membenarkannya masuk tetapi tetap dihalang. Kata pengawal, ada TV3 dari Malaysia lagi shooting.
Gadis itu membahasakan dirinya awak. Dan awak di Siak bererti saya. Lalu saya teringat akan bahasa orang Negeri Sembilan, terutama Rembau yang lazimnya membahasakan dirinya awak.
Beberapa minit kemudian, saya mendengar pula pengawal itu bersembang dengan seorang kawannya yang baru sampai.
Tanya pengawal, malam ini kau buek apo? Kawannya menjawab, tak ada buek apo do! Duduk yo di rumah. Nak nengok budak-budak itu baco buku sekolah. Budak-budak bermaksud anak-anaknya.
Sekali lagi saya teringatkan dialek orang Negeri Sembilan. Pernah Profesor Madya Zainal Borhan menjelaskan bahawa dialek pertuturan orang Siak sama dengan orang di Negeri Sembilan. Malam itu saya menghubungi Darmawijaya, penyair dan budayawan terbilang di Seremban melalui telefon.
Saya hendakkan kepastian tentang perbilangan tentang hubungan Siak dengan Negeri Sembilan, terutama Rembau.
Darmawijaya membacakan satu petikan dari sebuah buku, Raja Mahmud dijadikan Raja di Negeri Sembilan (Rembau) dan menetap di Penajis dengan gelaran Raja Melewar, setelah mendapat restu dari Sultan Johor pada kurun ke-17. Maka adalah perbilangan yang berbunyi beraja ke Johor, bertali ke Siak dan bertuan ke Minangkabau.
Pengarang buku negeri yang sembilan, Nurhalim Ibrahim pula suatu ketika pernah cuba mencari makna perbilangan ini.
Nurhalim berpendapat bertali ke Siak itu mungkin membawa maksud orang-orang di Negeri Sembilan, khususnya Rembau kebanyakannya mempunyai hubungan keluarga dengan orang Siak.
Ada pertalian darah. Kurang pasti apakah Dato’ Lela Balang yang keturunannya menjadi Undang Rembau sejak abad ke-16 lagi berasal dari Siak atau dari Minangkabau. Dalam pada itu, ada pula suku-suku di Rembau yang sama namanya dengan suku-suku di Siak, seperti suku tanah datar.
Andainya Nurhalim turut berada di Siak dan mendengar pertuturan penduduknya, adalah diyakini, Nurhalim akan membuat kesimpulan bahawa sebenarnyalah orang Rembau (Negeri Sembilan) itu sebahagian besarnya berasal dari Siak.
Pengaruh dialek Minang dalam bahasa Melayu Siak amat ketara, walaupun orang Siak tidak bercakap dalam bahasa Minang.
Lenggok intonasi pertuturan orang Siak amat berbeza dengan orang Minang tetapi lenggok intonasi orang Rembau hampir sama dengan lenggok orang Siak.
Amat menarik jika orang Rembau di Negeri Sembilan mengunjungi Siak serta Inderaputra, apakah perasaannya? Apakah ia terasa akan wujud keterikatan daripada sudut pertuturan dan pertalian darah yang kental setelah mendengar orang Siak bercakap atau melihat keadaan alam sekeliling yang saling tak tumpah dengan di daerahnya sendiri?
Di tebing sungai Siak penuh dengan pokok rumbia. Ada juga pokok mengkuang, kelapa sawit dan getah menjadi tanaman utama. Sepanjang perjalanan dari Pekan Baru, ibu kota Perupensi Rembau ke Siak Seri Inderapura yang dilihat ke kiri kanan hanya estet kelapa sawit, getah dan dusun buah-buahan.
Siak Seri Inderapura suatu ketika dahulu merupakan sebuah kerajaan besar dan berdaulat. Daerah taklukkannya menjangkau wilayah yang hari ini terletaknya medan di Sumatera Utara.
Menurut sejarah, kerajaan Siak diasaskan oleh Raja Kecil (Raja Kecik, menurut sebutan orang Siak), yang dikatakan anak sultan Mahmud Johor yang mangkat dijulang pada tahun 1699.
Doktor Nadas Hasrin dari pejabat pelancongan Siak menjelaskan anak Sultan Mahmud dengan isterinya Cik Pong ini yang masih bayi ketika dibawa lari ke Sumatera.
Cerita pelarian Raja Kecil itu mempunyai versi. Menurut versi pertama, setelah sultan mangkat dijulang Bentan ditikam laksamana Bentan dalam perjalanan ke masjid, Cik Pong dilarikan bersama bayinya ke jambi lalu ke Sumatera Selatan.
Di sana anaknya itu dibesarkan dan akhirnya mengasaskan kerajaan Siak. Menurut versi kedua pula, Cik Pong dan anaknya dibawa lari ke Jambi lalu ke Pagar Ruyong di Sumatera Barat (Minangkabau).
Setelah dewasa Raja Kecil perlu membuktikan dirinya anak raja dengan memanjat pohon jelatang sejenis pokok yang daunnya jika dipegang atau disentuh membuat orang gatal-gatal.
Raja Kecil memanjat pohon itu dan kemudian turun tanpa mengalami gatal-gatal di tubuhnya. Dengan ujian ini Raja Pagar Ruyong mengisytiharkan Raja Kecil sememangnyalah seorang anak raja sebenar-benarnya.
Siak waktu masih di bawah takluk Johor tetapi hanya pada nama dan diketuai oleh seorang Syahbandar.
Maka oleh Raja Kecil Siak dijadikan pusat kekuasaannya dengan mengasaskan sebuah kerajaan apa yang dipanggil kerajaan Siak Seri Inderapura.
Raja Kecil menjadi raja dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah dan bertakhta dari tahun 1723 hingga 1745.
Baginda memerangi Johor yang di bawah Sultan yang bernasabkan Bendahara setelah kemangkatan Sultan Mahmud dikatakan tidak meninggalkan pangkatnya.
Ahli sejarah berpendapat Sultan Mahmud mangkat dibunuh tanpa mempunyai anak sebagai ganti. Maka ditabalkan Bendahara sebagai pengganti raja untuk memerintah Johor dan akhirnya keturunannya menjadi raja untuk wilayah takluk yang meliputi Johor, Rembau, Pahang dan Lingga.
Sultan terakhir di kalangan keturunan bendahara ini ialah Sultan Ali yang keturunannya telah diusir keluar dari istana Sari Galam Singapura pada tahun lalu melalui satu enakmen parlimen Singapura.
Apa pun jua, Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah bercita-cita merebut takhta milik ayahandanya Sultan Mahmud mangkat dijulang dari tangan sultan keturunan bendahara. Beberapa peperangan terjadi dengan menang dan kalah menjadi adat orang berperang.
Pernah Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah menguasai seluruh kerajaan Johor namun akhirnya baginda terpaksa akur dengan keputusan Johor.
Bagaimanapun, semangat juang Sultan Abd. Jalil Rahmat ini diteruskan oleh penggantinya yang pada kali ini menentang penjajahan Belanda pula.
Ada sebelas sultan yang bertakhta di Siak Seri Inderapura saling silih berganti sejak mangkatnya Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kecil pada tahun 1746).
Mereka terdiri daripada anakanda baginda Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah (1746-1765), Sultan Abdul Jalil Jallaludin Shah (1765-1766), Sultan Abdul Jalil Alamaldin Shah (1766-1780), Sultan Muhamad Ali Abdul Jalil Muazam Shah (1780-1782), Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah (1782-1784), Sultan Al-Siddis Sharif Ali Abdul Jalil Saifuldin Balawi (1784-1810).
Baginda merupakan sultan pertama yang berdarah arab dengan gelaran Syed Sharif.
Baginda adalah anakanda kepada Puteri Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah, Sultan yang ke-6 memerintah Siak.
Puteri ini berkahwin dengan bangsawan arab ketika Sultan Abdul Jalil Muzaffar Shah mangkat di Dungun ketika mengunjungi Terengganu pada tahun 1784, cucu baginda yang berdarah arab ini menjadi penggantinya.
Sultan pertama berdarah arab ini mangkat pada tahun 1810 dan digantikan oleh puteranya dengan gelaran Sultan Al-Siddis Sharif Ibrahim Abdul Jalil Halilaldin (1810-1815).
Penggantinya Sultan Al-Siddis Sharif Ismail Jalil Jallaldin (1815-1854). Anakanda baginda naik takhta pada tahun 1854 dengan gelaran Sultan Al-Siddis Sharif Kasim Abdul Jalil.
Baginda naik takhta sehingga tahun 1889. Setelah mangkat, baginda digantikan oleh Sultan Al-Siddis Sharif Hashim Abdul Jalil Saifuldin (1889-1908).
Anakanda baginda yang bernama Tengku Sulong naik takhta setelah 7 tahun kemangkatan ayahandanya, Sultan Al-Siddis Sharif Hashim Abdul Jalil Saifudin, iaitu pada tahun 1915.
Baginda merupakan sultan terakhir Siak setelah baginda menyatakan taat setia kerajaan Siak kepada pemerintah republik Indonesia dan bersama berjuang menentang Belanda.
Pernyataan baginda ini mendapat bantahan keras dari Belanda. Akhirnya baginda meninggalkan Siak lalu menggabungkan diri dengan rakyat Indonesia untuk melanjutkan perjuangan di daerah Aceh.
Sebelum meninggalkan Siak, baginda menyerahkan istananya berserta keseluruh kekayaan Siak kepada pemerintah republik Indonesia.
Setelah Indonesia rasmi merdeka pada 17 Ogos 1945 baginda berangkat ke Jakarta dan tinggal menetap di sana dengan mendapat pencen dari pemerintah Indonesia.
Beberapa tahun kemudian baginda kembali ke Siak tanah tumpah darahnya dan wafat pada 23 April 1968 dalam usia 76 tahun.
Baginda dimakamkan berdekatan dengan Masjid Shahilbuldin Seri Inderapura dengan penuh istiadat kenegaraan. Baginda dianugerahkan secara pos umum gelar pahlawan nasional dengan disertai piagam dan tanda kehormatan bintang Mahaputra. Putera Adekradana oleh presiden republik Indonesia pada tahun 1998 sebagai mengenang jasanya berjuang menentang Belanda.
Muzium Siak Seri Inderapura yang terletak kira-kira 300 meter dari masjid ini adalah lambang kebesaran kesultanan Siak terutama sultan terakhirnya.
Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah peninggalan sultan sejak tahun 1725, walaupun ada di antaranya hanya tiruan daripada asalnya yang telah disimpan di Muzium Jakarta atau yang telah hilang.
Ketika pertemuan dengan Timbalan Setiausaha daerah Kabupaten Siak, Dr. Zul Arianto, 19 Februari lalu kepada rombongan Jejak Bahasa diperjelaskan komitmen Siak sebagai sebuah daerah dalam Kesatuan Republik Indonesia.
Penduduk Siak sejak berada dalam republik telah mengalami pelbagai situasi politik. Suka dan duka silih berganti.

WUJUDKAN KUMPULAN PENDESAK BAHASA


Tan Sri Azhari Taib, ketika ditemu bual di kediamannya di Alor Setar, Kedah, 10 November 2007 lalu.


TAN SRI AZHARI TAIB: KITA PERLU SERAMPANG DUA MATA DALAM SOAL BAHASA
Pada amnya dalam perjuangan kemerdekaan ini soal-soal yang berkaitan dengan agama Islam , kedaulatan raja-raja, bahasa kebangsaan, ekonomi dan sebagainya adalah perkara yang menjadi asas kepada pejruangan. Benda-benda itu menjadi bahan dalam penentangan kita terhadap penjajahan. Saya pun bukan ahli bahasa, saya lebih tertumpu kepada politik. Mereka ambil saya pun atas tujuan pengaruh dalam politik. Saya anggota Jawatankuasa Tertinggi UMNO masa itu dan bekas Setiausaha Agung. Semasa Senu (Tan Sri) keluar negeri, saya ganti, Khir Johari sekalilah.

Saya pula tidak pernah bekerja dengan kerajaan. Kerja saya sebagai wartawan . Jadi lantang sikitlah. Kalau dalam percakapan ini saya lantang, minta maaflah. Dalam perjuangan sehingga kita mencapai kemerdekaan tiap-tiap aspek perjuangan daripada ekonomi, politik dan sebagainya kita lakukan ‘follow up’. ‘Follow up’ ini dilakukan oleh persatuan, kumpulan atau sebagainya yang bertindak sebagai badan pendesak . Depa ada ‘hubungan' dengan ‘orang politik’.

Malangnya antara badan-badan pendesak itu yang paling lemah ialah orang bahasa. Mereka tidak ada apa, tak bersatu, tak ada tenaga, tak ada wang, apa pun tak ada. Dulu mula-mula adalah bising juga semasa Syed Nasir Ismail (Tun) menerajui Dewan Bahasa. Syed Nasir ialah ‘orang politik’. Dia ‘orang kuat dalam UMNO’, ahli jawatankuasa tertinggi. Tarafnya sama dengan menteri. Jadi, menteri siapa pun dia lantang begitu.

Dia boleh ‘langsung’ dengan atau tegur perdana menteri, menteri pelajaran dan lain-lain apabila ada kaitan dengan soal bahasa. Syed Nasir berani bersuara. Tetapi sesudah Dewan Bahasa menjadi sebahagian daripada badan kerajaan ia menjadi lumpuh. Harapan sesetengah pihak agar DBP lantang dalam soal bahasa tidak terlaksana. Dah jadi pejabat kerajaan tak boleh lantang lagi..

Ketua Pengarah Dewan Bahasa kalau nak duduk lama jangan jadi ‘pressure group’.ahli-ahli lembaga pengarah tak ada ahli bahasa. . Kalau jadi ‘pressure group’ maknanya bukan saja orang sayang pada sastera, tetapi mesti pandai ‘argue’. Syed Nasir boleh ... Sekarang bahasa Melayu jadi bahasa kebangsaan, boleh cakap habis tepi jalan. Inisiatif tak ada. Cakap saja. Ini bukan masa tahun lima puluh enam atau lima puluh tujuh dulu ketika zaman Syed Nasir. Kedudukan Ketua Pengarah sekarang adalah pegawai kerajaan. Kalau awak kata beliau adalah tukang bagi buku, itu memang betul. Mana boleh dia menidakkan. Kalau dia menidakkan dia kena ...

Jadi dia bukan satu badan yang bebas seperti Dewan Perniagaan Melayu, seperti dewan apa-apa lagilah, yang menjadi badan pendesak, yang membolehkan suara kita sampai kepada meja Pak Lah. Takkan sampai. ...

Malangnya bahasa ini adalah berkaitan dengan kemajuan bangsa kita. Kita nak serampang dua mata. Kita mahu anak kita berpelajaran tinggi dan mahu bahasa kita bagus. Kedua-duanya mesti ada. (Petikan temu bual dengan Tan Sri Azhari Taib di kediamannya di Alor Setar, Kedah, 10 November 2007.)

PERJUANGAN BAHASA MELAYU TAK SEMARAK DAHULU - AISHAH GHANI


Tan Sri Aishah Ghani ketika ditemu bual di pejabatnya di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur, 24 Oktober 2007.

Pada saya perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan memang sudah lama. Pada peringkat awal perjuangannya memang bersemmarak dan bersemangat tetapi sejak akhir-akhir ini perjuangannya sudah tenggelam kerana banyak masalah-masalah lain yang perlu ditangani. Kalau kita hendak tengok bahasa Melayu menjadi satu bahasa yang berdaulat yang ada harga dan nilai ekonomi dan dihormati oleh semua rakyat bukanlah satu perjuangan yang mudah.

Negara kita terbahagi berbagai-bagai suku kaum dan kaum-kaum ini ada bahasanya sendiri. Kalau boleh kita hendak mereka bercakap satu bahasa tetapi ini bukan suatu kerja yang mudah. Sungguhpun kita majoriti tetapi majoriti kita kecil sahaja. Tidak boleh dibandingkan dengan Filipina dan Indonesia di mana bangsa mereka mempunyai majoriti yang besar. Kalau di Indonesia kita tengok orang-orang china atau kaum-kaum lain berbangga dengan bahasa Indonesia mereka. Mereka membaca dan bertutur dalam bahasa yang sama dengan pribumi. Negara kita tidak begitu. Sungguhpun Dasar pelajaran kita mengutamaikan bahasa kebangsaan tetapi ia tidak diberi nilai ekonomi. Penguasaan orang Melayu sendiri dalam bahasa kebangsaan mengecewakan saya juga. Kadangkala mereka tidak menggunakan bahasa yang betul dan tepat suka mencampur aduk dengan bahasa-baasa lain. Kita berharap mereka yang memperjuangkan bahasa sendiri tetapi bila bercakap mereka suka bertutur bahasa Inggeris atau bahasa rojak. Kita tak boleh marah orang lain kalau mereka tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

...Tidak tahulah saya tetapi mungkinnya begitulah. Kita tidak ada pemimpin-pemimpin yang sayangkan bahasa Melayu. Dulu kita ada panglima bahasa seperti Allahyarham Tun Syed Nasir tetapi sekarang orang macamnya tidak ada lagi. Beliau tu cekal. Dulu kita ada kegiatan seperti Bulan Bahasa di adakan di sana sini tetapi sekarang tidak ada lagi. Saya sendiri rasa pelik kenapa sejak kebelakangan ini UMNO sendiri pun tidak begitu ambil berat tentang bahasa kebangsaan.


...Tercatat dalam perlembagaan tu memang baguslah tetapi ia hanya tertulis dalam perlembagaan sahaja tetapi zahirnya ia tidak diamalkan dan dipedulikan. Sepatutnya sebagai orang Melayu kita perlu menghayati dan menegakkan imej nya sebagai bahasa kebangsaan. Matlamat perjuangan orang Melayu sekarang ini nampaknya bukan pada bahasa lagi tetapi pada ekonomi. Mereka berlumba-lumba hendak mencapai kejayaan dan menjadi orang kaya. Setengah tu berlumba-lumba masuk politik, masuk UMNO bukan kerana apa, kerana hendak mendapat projek. Ini cara mereka fikir sekarang.
Memang ada orang macam itu, tetapi tidak kesemuanya masuk UMNO dapat projek .
Yang masih jujur perjuangannya banyak lagi. Mungkin yang khusus berjuang untuk menegakkan bahasa Melayu itu sudah berkurangan. Semangat sudah berkurangan. Masalahnya terkletak pada sikap orang melayu sendiri. Kita tengok pemimpin-pemimpin kita bercakap dalam TV mereka lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu rojak. Kadangkala memalukan. Banyak masalah berpunca dari sikap yang menimbulkan kelemahan besar bagi orang Melayu. Sikap mengubah perjuangan mereka daripada seseorang pejuang bahasa kepada perjuangan mencari kekayaan dan kebendaan. Satu lagi sikap orang-orang Melayu sekarang ini ialah sukakan hiburan secara melampau-lampau. Heboh sana heboh sini. Bangsa lain tak ada mat rempit tetapi bangsa Melayu berlambak. Memalukan. Budak Cina belajar tinggi-tinggi, budak-budak Melayu kita gilakan hiburan dan rempit sana rempit sini. Tapi ini tak pernah dipersoalkan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).