Tan Sri Azhari Taib, ketika ditemu bual di kediamannya di Alor Setar, Kedah, 10 November 2007 lalu.
TAN SRI AZHARI TAIB: KITA PERLU SERAMPANG DUA MATA DALAM SOAL BAHASA
Pada amnya dalam perjuangan kemerdekaan ini soal-soal yang berkaitan dengan agama Islam , kedaulatan raja-raja, bahasa kebangsaan, ekonomi dan sebagainya adalah perkara yang menjadi asas kepada pejruangan. Benda-benda itu menjadi bahan dalam penentangan kita terhadap penjajahan. Saya pun bukan ahli bahasa, saya lebih tertumpu kepada politik. Mereka ambil saya pun atas tujuan pengaruh dalam politik. Saya anggota Jawatankuasa Tertinggi UMNO masa itu dan bekas Setiausaha Agung. Semasa Senu (Tan Sri) keluar negeri, saya ganti, Khir Johari sekalilah.
Saya pula tidak pernah bekerja dengan kerajaan. Kerja saya sebagai wartawan . Jadi lantang sikitlah. Kalau dalam percakapan ini saya lantang, minta maaflah. Dalam perjuangan sehingga kita mencapai kemerdekaan tiap-tiap aspek perjuangan daripada ekonomi, politik dan sebagainya kita lakukan ‘follow up’. ‘Follow up’ ini dilakukan oleh persatuan, kumpulan atau sebagainya yang bertindak sebagai badan pendesak . Depa ada ‘hubungan' dengan ‘orang politik’.
Malangnya antara badan-badan pendesak itu yang paling lemah ialah orang bahasa. Mereka tidak ada apa, tak bersatu, tak ada tenaga, tak ada wang, apa pun tak ada. Dulu mula-mula adalah bising juga semasa Syed Nasir Ismail (Tun) menerajui Dewan Bahasa. Syed Nasir ialah ‘orang politik’. Dia ‘orang kuat dalam UMNO’, ahli jawatankuasa tertinggi. Tarafnya sama dengan menteri. Jadi, menteri siapa pun dia lantang begitu.
Dia boleh ‘langsung’ dengan atau tegur perdana menteri, menteri pelajaran dan lain-lain apabila ada kaitan dengan soal bahasa. Syed Nasir berani bersuara. Tetapi sesudah Dewan Bahasa menjadi sebahagian daripada badan kerajaan ia menjadi lumpuh. Harapan sesetengah pihak agar DBP lantang dalam soal bahasa tidak terlaksana. Dah jadi pejabat kerajaan tak boleh lantang lagi..
Ketua Pengarah Dewan Bahasa kalau nak duduk lama jangan jadi ‘pressure group’.ahli-ahli lembaga pengarah tak ada ahli bahasa. . Kalau jadi ‘pressure group’ maknanya bukan saja orang sayang pada sastera, tetapi mesti pandai ‘argue’. Syed Nasir boleh ... Sekarang bahasa Melayu jadi bahasa kebangsaan, boleh cakap habis tepi jalan. Inisiatif tak ada. Cakap saja. Ini bukan masa tahun lima puluh enam atau lima puluh tujuh dulu ketika zaman Syed Nasir. Kedudukan Ketua Pengarah sekarang adalah pegawai kerajaan. Kalau awak kata beliau adalah tukang bagi buku, itu memang betul. Mana boleh dia menidakkan. Kalau dia menidakkan dia kena ...
Jadi dia bukan satu badan yang bebas seperti Dewan Perniagaan Melayu, seperti dewan apa-apa lagilah, yang menjadi badan pendesak, yang membolehkan suara kita sampai kepada meja Pak Lah. Takkan sampai. ...
Malangnya bahasa ini adalah berkaitan dengan kemajuan bangsa kita. Kita nak serampang dua mata. Kita mahu anak kita berpelajaran tinggi dan mahu bahasa kita bagus. Kedua-duanya mesti ada. (Petikan temu bual dengan Tan Sri Azhari Taib di kediamannya di Alor Setar, Kedah, 10 November 2007.)
No comments:
Post a Comment