Dato' M. Noor Azam, ketika di temu bual di kediamannya di Kuala Lumpur, 27 November 2007.
BAHASA MELAYU SEMAKIN DIABAIKAN - M. NOOR AZAM
Kalau kita tengok perjuangan mendaulatkan dan mengembangkan bahasa Melayu di peringkat sebelum merdeka, sampai kita merdeka dengan Perlembagaan Persekutuan tanah Melayu pada waktu itu, bahasa Melayu telah diletakkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Itu satu pencapaian yang sangat penting. Sebelum itu bahasa Melayu telah diberi tempat yang kukuh dalam sistem pendidikan apabila Penyata Razak siap pada tahun 1956. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar untuk sekolah kebangsaan. Selepas merdeka, walaupun sudah ada Penyata Pelajaran 1956 dan diikuti Penyata Rahman Talib tahun 1958, kedudukan bahasa Melayu secara rasmi menjadi kukuh dan kuat.
Tetapi pelaksanaannya tidak begitu memuaskan. Maka timbullah gelombang perjuangan bahasa peringkat yang kedua pula saya anggap selepas merdeka yang dipelopori, terutamanya guru-guru Melayu melalui persatuan guru di negeri-negeri yang bergabung pada peringkat Semenanjung, seperti KGMS (Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung) yang pada waktu itu tokoh-tokohnya termasuklah Cikgu Mohamad, Yusof Rahman dari Ipoh dan banyak lagi yang saya tidak berapa ingat. Di samping tokoh guru ada badan-badan bahasa, persatuan dan kebudayaan yang bergabung di bawah kongres bahasa dan persatuan Melayu. Pergerakan mereka lancar dan bebas kerana ramai juga daripada mereka adalah wartawan, seperti Usman Awang dan Keris Mas.
Mereka ini penulis, sasterawan dan juga orang surat khabar. Maka surat khabar itu menjadi media untuk berjuang. Ada juga GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung), yang turut memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu. Perjuangan sudah ada tetapi pelaksanaan daripada segi pemakaian bahasa sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan adalah kurang. Perjuangan mereka agak hebat pada masa itu sehingga pada satu ketika pada tahun 1959, guru-guru Melayu ini dalam satu persidangan di sekolah Maxwell, Kuala Lumpur mengambil keputusan keluar daripada UMNO beramai-ramai sehingga pada Pilihanraya pada tahun itu banyak guru Melayu berkempen bagi pihak PAS. Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan PAS. Perjuangan itu diteruskan untuk sekolah menengah Melayu. Dalam kerajaan tidak ada dasar pelaksanaan untuk menubuhkan sekolah menengah Melayu. Itu yang menyebabkan guru-guru Melayu ini membuat keputusan keluar daripada UMNO beramai-ramai.
Pada masa itu menterinya Mohd. Khir Johari (Tan Sri) dan Perdana Menterinya Tunku Abdul Rahman. Bagaimanapun, akhirnya sekolah menengah Melayu dapat juga diwujudkan. Perjuangan pun diteruskan untuk melaksanakan bahasa pengantar dalam pendidikan sampai ke universiti. Universiti kebangsaan Malaysia pun menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Dan Negara pun mula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Setelah itu, kita nampak perjuangan politik bahasa telah diangap tamat; dan perjuangan diteruskan pula dalam bidang pentadbiran. Di samping perjuangan politik bahasa, pembinaan bahasa juga berjalan lancar dengan adanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
DBP mengadakan banyak program, kegiatan, penerbitan dan kajian untuk membina dan mengembangkan bahasa. Bahagian istilahnya cukup kuat. Kemudian, kita ada pula kerjasama bahasa Malaysia-Indonesia sehingga akhirnya dipersetujui ejaan bersama bahasa Indonesia. Semua usaha ini penting dicapai dalam usaha membina dan mengembangkan bahasa.
Selepas itu keadaan politik Malaysia sudah berubah. Beransur-ansur bahasa Melayu tidak lagi menjadi penting dalam perjuangan politik. Sebelum merdeka dan selepas merdeka, bahasa Melayu menjadi salah satu faktor penting dalam perjuangan politik orang Melayu. Pemimpin-pemimpin politik kena perjuangkan bahasa Melayu. UMNO kena perjuangkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi alat perjuangan kebangsaan. Jadi, perjuangan guru-guru Melayu pada masa itu banyak disalurkan melalui UMNO kerana ramai daripada mereka adalah ahli UMNO. Selepas itu kita rasa perjuangan politik bahasa dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu patut kita serahkan kepada DBP.
Memang ada bagusnya. Tetapi setelah beberapa tahun, terutama selepas tahun 80-an, penggunaan bahasa Melayu semakin menurun. Bahasa Inggeis “naik balik”. Dalam bidang pentadbiran surat-surat dan laporan rasmi dalam kerajaan ditulis dalam bahasa Inggeris, kertas-kertas projek dalam bahasa Inggeris, laporan tahunan, mesyuarat-mesyuarat syarikat dalam bahasa Inggeris hingga ada pemimpin dan menteri yang bercakap Inggeris dalam TV. Bahasa Melayu semakin lama semakin tidak ada harga sehingga akhirnya jatuh menjadi bahasa yang ketiga. Nombor satu bahasa Inggeris, nombor dua bahasa Cina, nombor tiga bahasa Melayu.
Kalau kita tengok statistik, jumlah edaran surat khabar Cina lebih banyak berbanding surat khabar Melayu. Pendapatan iklan dalam surat khabar Melayu walaupun pembaca ramai contohnya, seperti Utusan masih kurang. Sebabnya, surat khabar Melayu rata-rata mempunyai nilai (rating)nya rendah. manakala surat khabar Inggeris nilai ratingnya tinggi. Pada masa tahun-tahun itulah apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambil teraju pemerintahan, ekonomi menjadi faktor yang sangat penting. Bahasa tidak lagi jadi faktor dalam politik UMNO.
Semangat pejuang bahasa pun sudah menjadi malap dan tidak boleh buat apa-apa lagi. Persatuan Penulis, Persatuan Sasterawan, Persatuan Guru-Guru yang hebat suatu masa dahulu semuanya senyap. Mereka seolah-olah telah berpuas hati. Tidak ada orang lagi memperjuangkan politik bahasa selepas tahun 80-an, Mereka cuma mengharapkan DBP sahaja. Tapi oleh sebab pemakaiannya tidak berkembang maka bahasa Melayu semakin merosot balik. Jadi usaha DBP pun tidak menampakkan apa-apa, walaupun ia diteruskan. Pengajaran bahasa dan sastera di sekolah pun menjadi tidak penting. Yang penting bahasa Inggeris, sains dan teknologi.
Kemudian, datanglah tamparan yang hebat apabila kerajaan pimpinan Dr. Mahathir menukar bahasa pengantar, bahasa Melayu balik kepada bahasa Inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik. Suatu ketika nanti orang akan merasakan bahasa Melayu semakin tidak bernilai. Kelulusan bahasa Melayu tidak penting lagi jika mahu mencari pekerjaan. Semuanya inginkan kelulusan bahasa Inggeris. Maka, dalam perkembangan seperti ini, kedudukan bahasa Melayu semakin tergugat dan semakin merosot sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan walaupun didaulatkan dalam dasar pelajaran dan dalam Perlembagaan Malaysia. Itu keadaan bahasa Melayu pada masa ini. (Petikan temu bual dengan Dato' M. Noor Azam, bekas Setiausha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Bekas ketua Bahagian Umum, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Temu bual diadakan dikediamannya di Kg. Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 27 November 2007)
No comments:
Post a Comment