Thursday, 12 June 2008

DOL KEROPOK DEWAN BAHASA


ALLAHYARHAM USMAN AWANG: BELIAUKAH DOL KEROPOK DI DEWAN BAHASA?

CATATAN A.F.YASSIN
Mengingat Kembali Dol Keropok di Dewan Bahasa

Bucu, satu kawasan kecil terletak di depan Dewan Bahasa dan Pistaka. Ia juga dikenali sebagai Tanjung. Terdapat beberapa gerai makan yang sejak enam pagi lagi sudah dikunjungi ramai pelanggan yang datang bergelombang. Mulanya, datang berkunjung sarapan kumpulan polis lalulintas. Mereka meninggalkan gerai sebelum tujuh pagi. Kemudian datang pula kumpulan editor dan staf Dewan Bahasa.

Setelah pukul lapan sepi seketika sehingga pukul sepuluh apabila editor dan staf ini kembali berkunjung untuk kudapan. Mereka disertai kumpulan perekabentuk syarikat Dawama yang berpejabat di Wisma Miramar. Ini berterusan ketika rehat makan tengah hari dan akhirnya minum petang pukul tiga.

Yang menarik bucu ini seolah-olah sudah dianggap tempat pertemuan orang persuratan. Minggu lalu sahaja, misalnya, ada pertemuan santai Dato’ Mohd Noor Azam, bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir dengan beberapa staf Dewan Bahasa yang juga penulis, seperti Jaafar Rahim, Mohd Daud Mohammad dan Ahmad Shahidan. Dalam beberapa hari ini ada pula Abd. Rahim Abdullah, Ketua Program Penulisan Akademi Seni Kebangsaan dan Marzuki Ali yang menikmati juadah gerai. Dan Selasa lalu, “timbul” Anas K. Hadimaja yang kelihatan sedikit uzur dan datang bertongkat. Kata mamak sebuah gerai, “Ini orang semua selalu datang juga minum. Pagi ada petang pun ada.”

Kalaulah bucu itu boleh mendengar, ia tentu gembira. Sebabnya penulis dan staf Dewan Bahasa sering sahaja bercerita kisah-kisah lama, bernostalgia sesama sendiri. Terutama dalam beberapa hari ini. Jaafar Rahim sedang merancang untuk mengadakan majlis mengingati Keris Mas pada 2-3 Ogos nanti. Berbagai acara diadakan dengan seminar sehari menjadi acara utamanya.

Satu acara menarik, tetapi tidak rasmi ialah mengumpulkan semula semua bekas petugas Dewan Bahasa, yang masih hidup dan yang nama mereka sinonimos dengan kemajuan Dewan Bahasa. Malah mereka dianggap sebagai tokoh-tokoh besar atau “towering personality” nasional dalam bidang persuratan yang membantu Dewan Bahasa meningkatkan citranya di mata masyarakat. Selain Noor Azam, Jaafar akan mengundang antara lain Kemala (Dr. Ahmad Kamal Abdullah), Dato’ Abdullah Hussein, Saleh Daud, Shamsuddin Jaafar, Ajikik, Ainon Mohamad dan Awam il Sarkam, Jaafar tidak lupa Dato’ Baharuddin Zainal dan Dato’ Johan Jaafar walaupun mereka warga Dewan Bahasa atas jawatannya sebagai ahli Lembaga Pengelola.

ALLAHYARHAM KERIS MAS (KANAN): ATAU BELIAUKAH DOL KEROPOK?

Di Bucu Dewan Bahasa itulah, Jaafar berjaya memujuk Noor Azam untuk bernostalgia di majlis mengingati Keris Mas. Letih juga Jaafar memujuk “Dato’ kita itu” sekadar meminjam katanya. Pada mulanya Noor Azam enggan dan hanya ingin hadir sebagai peserta tetapi setelah didesak Jaafar dan kawan-kawan, Noor Azam menerima dengan syarat beliau hanya akan bercerita tentang Keris Mas sekadar yang beliau ingat. Katanya, “Dah lupa banyak dah, dah lama sangat. Yang saya ingat cara orang tua itu menghisap paipnya.”

Beberapa minggu sebelumnya beberapa orang anggota Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa bersembang-sembang santai sambil kudapan mencari jalan bagaimana Kesatuan boleh membantu Dewan Bahasa mengembalikan semula citra kegemilangannya. Sambil meneguk tarik mamak, Hasni, Ahmad Shahidan dan Yusof seperti bersumbang saran dalam kesantaian. Kudapan pagi

“Nampaknya Dato’ Ketua Pengarah kita yang baru ini berfikiran sama dengan kami,” kata Hasni. Menurutunya telah beberapa kali mereka bercerita tentang keazaman ini. “Kita tak mahu terus mendengar Dewan Bahasa dikatakan sudah tidak relevan lagi. Bagi kami Dewan Bahasa masih dan terus relevan. Cuma kegiatan dan fungsinya perlu disesuaikan dengan kehendak zaman. Dan masih banyak yang perlu dilakukan.” Menurut Hasni dan kawan-kawan pihak kesatuan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Dato’ Dr. Firdaus Haji Abdullah. “Kami lihat sebagai orang yang terlibat aktif dalam bidang persuratan Dato’ kita itu amat memahami masalah citra Dewan bahasa yang sedikit tercalar ini.”

Di bucu itu juga penulis Anas K. Hadimaja, yang juga bekas setiausaha akhbar Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie pada tahun 1970an dahulu datang berkkunjung. Selasa lalu Anas meminta saya menyampaikan salamnya kepada Ketua Pengarah yang baru. Katanya, “Kalau kau jumpa Firdaus, katakan saya kirim salam. Dan yang lebih penting kau sampaikan sangat-sangat supaya dia jaga kesihatan dan pergi cek dengan doktor selalu. Kita menaruh harapan kepada dia. Kembaikan Dewan ke fungsi asalnya.”

Sebelumnya datang pula Sutong Umar RS yang kini sibuk mengendalikan majalah “MASA” yang baru sahaja terbit dengan edisi keempatnya. Sutong sedang melakar konsep untuk majalah kedua, iaitu majalah Seni. Sutong bernasib baik kerana Noor Azam masih mahu membantunya sebagai penasihat editorial. Kata Sutong, “Noor Azam penting. Ruangan perspektifnya dalam majalah Dewan Masyarakat suatu waktu telah kami teruskan dalam MASA. Bos kita juga turut membuat penyaringan rencana.”


DARI KIRI: ALLAHYARHAM WIJAYA MALA, A.F.YASSIN, DATUK HASSAN AHMAD, DATO' M. NOOR AZAM, ALLAHYARHAM SALEH DAUD, HJ. AHMAD KABA DAN ALLAHYARHAM RUBAIDIN SIWAR: ATAU SALAH SEORANG DARIPADA MEREKA INIKAH?

Jelas bucu bagaikan menyaksikan wujudnya satu gelombang penulis yang masih mahu melihat Dewan Bahasa kembali unggul seperti dalam tahun-tahun 1960an dan 1970an dahulu. Kemahuan itu ditunjukkan oleh penulis-penulis mapan dan penulis-penulis generasi hari ini merangkap tenaga kerja Dewan Bahasa seperti Jaafar, Ahmad Shahidan dan Wahab Hamzah.


Pak Awam il-Sarkam: Tanyanya selalu: Mana Dol Keropok?

“Kita mesti bantu Firdaus. Jangan terlalu mengambil banyak masa belajar tentang masalah Dewan. Dia menghadapi cabaran dan dugaan, malah godaan dari pelbagai penjuru. Dia kena kuat fizikal dan mental,” kata seorang penulis yang sering menikmati mee mamak di Bucu itu. Penulis berkenaan yang juga bekas staf Dewan Bahasa turut bernostalgia tentang kisah Dol Keropok di Dewan Bahasa. Kebetulan Jaafar Rahim sedang mengumpulkan kisah Dol Keropok dan peranannya di Dewan Bahasa pada dekad-dekad 60-an dan 70-an dahulu untuk majlis Keris Mas. Ends.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).