Sutong Umar RS: Pengarang ekekutif MASACATATAN A.F.YASSIN
Majalah Masa Mula Mencari Khalayak Di Pasaran
Majalah “Masa” mula dipasarkan dua bulan lalu. Keluaran keduanya telah pun berada di pasaran, walaupun masih sukar ditemui. Ia majalah bulanan dan diterbitkan di Kajang. Ketua Pengarangnya Wan Omar Ahmad atau Sutong Umar RS, bekas Ketua Unit Sastera, Kumpulan Berita Harian. Sutong sebelumnya bertugas sebagai Ketua Pengarang Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka. Maka dari segi pengalaman mengendalikan penerbitan majalah, Sutong bukan lagi orang asing.
Setelah meneliti kandungan dua keluaran sulungnya, terdapat semacam ada persamaan dengan majalah “Mastika” terbitan tahun 1970an dahulu. Bezanya “Mastika” waktu itu diterbitkan dalam tulisan Jawi. Keluaran sulung “Masa” mempamerkan potret Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Mohamad, di kulit depannya sementara keluaran keduanya memperagakan wajah Sassterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Menurut Sutong, keluaran ketiganya, kulit depan majalah akan dihiasi dengan potret Datuk M. Noor Azam, bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, juga mantan Tinbalan Ketua Pengarag Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hiasan kulit inilah yang membuatkan “Masa” tidak ada bezanya dengan “Mastika” tahun 1970an. Pembaca barangkali masih ingat kulit depan majalah itu sering dihiasi dengan potret tokoh persuratan. Dan bagi kebanyakan pembaca “Masa” seperti memberikan satu suasana nostalgik kepada mereka. Walaupun tidak dinafikan kandungannya lebih dinamis dan terkini dengan tulisan yang kritis, pedas dan kadang-kadang tajam dan bertenaga.
Hal ini lebih ketara jika keluaran kedua “Masa” dijadikan perbandingan. Malah keluaran kedua majalah ini menimbulkan pula kesan nostalgic kepada pembaca yang masih ingat akan ruangan “Perspektif M. Noor Azam” majalah “Dewan Masyarakat” pertengahan tahun-tahun 1970an dan awal 1980an. “Masa” menjemput semula M. Noor Azam menulis dalam ruangan yang diminati ramai itu. Dan beliau muncul dengan “Apa Nak Jadi dan Apa Sudah Jadi”.
Dengan munculnya “Perspektif” maka “Masa” menampilkan satu adunan kandungan dua majalah, iaitu “Mastika” dan “Dewan Masyarakat”. Ternyata ada kecenderungan di pihak editorial untuk mengumpulkan semula audien pembaca dua majalah ini. Sutong dalam satu pertemuan, Selasa lalu, tidak melihat itu sebagai objektif utamanya mengendalikan “Masa”. Menurutnya, “Masa” adalah “Masa” bukan “Mastika” atau “Dewan Masyarakat”. Kami cuba sajikan yang terbaik, walaupun pada anggapan umum ia mungkin melibatkan adunan kandungan majalah-majalah lain.”
Dato' M. Noor Azam: Yang penting diperhatikan ialah teks dan desain majalah.Bagi Sutong, penglibatan M. Noor Azam, lebih bersifat teknikal baik dari segi penulisan mahupun dari segi desain. Kata Sutong, “Noor Azam adalah editor konsultan Masa. Pengalamannya amat kami perlukan, terutama dari segi melihat sosio-politik dari kacamata seorang penganalisis.” Di samping nama-nama dalam bidang kewartawanan dan penulisan rencana seperti Jalil Rahman, Datuk Saleh Majid, Ibrahim Yahya dan Othman el-Mohamaddy, nama baru melengkapi senarai penulis Masa. Antaranya termasuk doktor muda, Shahrul Lal Sujak dan Fudzail yang khabarnya menetap sementara di Dubai.
Seorang pembaca yang baru menemui “Masa” cenderung menyebut majalah ini “tiga dalam satu” jika dibandingkan dengan majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Maksud pembaca itu, “Masa” adalah bauran majalah “Dewan Masyarakay”, “Dewan Sastera” dan “Dewan Budaya”. Malah dua juga membandingkan kandungan majalah “Massa” (dieja dengan dua ‘S’ yang bermakna khalayak) terbitan Utusan Melayu yang kini telah dihentikan penerbitannya, terutama dalam ruangan seni teater dan hiburannya.
Apapun jua, ruangan politik masih mendominasi kandungan, seperti halnya majalah-majalah umum yang terbit di negeri ini. Pembaca ini berpendapat isu politik ibarat asam garam penerbitan sesebuah majalah umum. Katanya, “Hanya kadang-kadang terfikir juga dengan isu yang diminat pengendali majalah umum, dan tentunya oleh pembaca, jualan majalah tetap juga ditakuk lama. Tidak besar jumlahnya.”
Pendapat pembaca ini ada benarnya. Malah ia diakui benar oleh banyak penerbit majalah. Dewan Bahasa dan Pustaka, khabarnya sedikit kecewa dengan jualan “Dewan Masyarakat” dengan jumlah cetakan sekitar 20,000 naskhah. Suatu ketika jumlah cetakan majalah ini melebihi 60,000 naskhah. Utusan Melayu, khabarnya, tidak gembira dengan prestasi jualan majalah “Massa”nya sehingga menjadi alas an utama ia dihentikan penerbitannya. Khabarnya majalah berita mingguan ini mahu dihidupkan semula, tetapi setelah Pengerusi Eksekutif Utusan Karya, Datuk Dr. Firdaus Abdullah berhijrah tugas ke Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak pasti sama ada majalah itu akan menemui khalayaknya semula atau tinggal sebagai ura-ura sahaja.
Jumlah cetakan “Dewan Budaya” dan “Dewan Sastera” tidak sampai 10,000 naskhah. Tidak semuanya habis dijual. Barangkali juga Ketua Editor Kumpulan Karangkraf, Jalil Ali sudah terbiasa dengan statistik begini untuk majalah “Minda” yang dikendalikannya. Jika demikian halnya, apakah prospek Sutong dengan “Masa”nya? Dan mampukah ia bertahan? Sutong optimis. Menurutnya, ini bukan soal boleh bertahan atau tidak boleh bertahan. Ini soal mengisi kekosongan. Ini soal usaha meningkatkan mentaliti orang ramai. Mesti ada kuasa mengimbangi mentaliti hiburan yang dipengaruhi majalah ringan di pasaran sekarang ini dengan majalah yang “semi-berat dan serius”.
Sensitiviti Sutong banyak dipengaruhi oleh pengalamannya dalam bidang pengendalian majalah dan ini menjadi pendorong baginya meneruskan kerja-kerja begini. Bagaikan kerjayanya tidak dapat dipisahkan dengan majalah. “Masa” menyempurnakan sensitivitinya. Maka baginya tidak timbul persoalan sama ada “Masa” boleh bertahan atau sebaliknya. Katanya, “Kita sajikan yang terbaik dan untuk semua golongan pembaca. Kemudian kita serahkan kepada mereka. Jangka hayat majalah ini bergantung kepada mereka.”
Soal yang terbaik ini begitu subjektif. Kata pembaca tadi, “Yang terbaik buat penerbit belum tentu yang terbaik buat pembaca. Kita kena tengok juga pendekatan penulisan, laras bahasa yang digunakan dalam tulisan dan yang paling penting isu yang dikemukakan. Kalau isunya baik, tetapi ditulis seperti kertas kerja dan menggunakan bahasa yang terlalu akadamik, hanya orang universiti sahajalah yang berminat. Kami orang awam takkan berminat. Saya rasa inilah yang kadang-kadang menakutkan orang membeli majalah. Kalau editor majalah mahukan yang terbaik, dia perlu menimbang yang terbaik dari sudut pembaca, bukan dari sudut editor atau penerbit. Saya tak mahu cakaplah, tapi ada sesetengah majalah umum, baik dalam bidang sastera, budaya atau politik, kandungannya tidak mencerminkan mesra pembaca. Ia lebih mesra penulis atau mesra penerbit.”
Jika pandangan pembaca ini dijadikan panduan, majalah “Masa” boleh berbuat sesuatu untuk mempastikan kelangsungan hidunya berpanjangan. Justeru kerjaya Sutong dalam pengendalian majalah akan berterusan selagi obsesinya kekal demikian. Dan melihat dua keluaran sulungnya, potensi majalah ini akan mempunyai jangka hayat yang panjang tetap ada. Isu setiap keluaran telah dipelbagai dengan isu politik mendominasi. Desain (perwajahan) semakin baik. Hanya yang perlu diberikan perhatian ialah “kedalaman” sesuatu analisis dalam tulisan dan “substance” secara menyeluruh. Ini dikuti oleh unsur kecendorongan dan akhinya panjang pendek sesuatu tulisan. Kata pengamal media, khususnya untuk majalah, tulisan hendaklah tidak melebih dua halaman majalah. Lebih daripada itu, pembaca akan mula menyelak-nyelak muka surat sahaja. Ends.
No comments:
Post a Comment