Prof. Dr. Chandra Muzaffar ketika ditemu bual oleh A.F.Yassin di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 26 November 2007.
DR. CHANDRA MUZAFFAR: BAHASA MELAYU KEPERIBADIAN BANGSA MALAYSIA
Bahasa rasmi kita penting daripada segi keperibadian bangsa Malaysia. Itulah sebabnya kita harus mempunyai tumpuan kepada tiga persoalan, terutama dalam konteks masyarakat berbilang kaum. Pertama, kalau dibandingkan dengan keadaan bahasa Melayu pada tahun 1957, bahasa Melayu hari ini digunakan oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia. Sebabnya, sebahagian besar masyarakat Malaysia memahami bahasa itu dan mereka dapat menggunakan bahasa ini dalam perbualan harian dan sebagainya. Itu adalah satu pencapaian besar.
Kedua, kita juga berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pentadbiran negara. Kita berjaya mempertingkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Ketiga, kita juga berjaya menggunakan bahasa Melayu di universiti. Maksud saya di universiti-universiti awam kita. Pada keseluruhannya, bahasa Melayu digunakan dalam urusan di universiti. Kalau kita hendak membuat satu penilaian yang adil, kita juga harus menerima bahawa walaupun sepanjang 50 tahun ini, kita berjaya dalam usaha-usaha mendaulatkan bahasa Melayu, dalam beberapa sudut kita gagal.
Pertama, walaupun bahasa ini digunakan di universiti tetapi mungkin kurang tepat kalau kita katakan bahawa bahasa Melayu itu telah menjadi bahasa ilmu sepenuhnya. Ia hanya menjadi bahasa ilmu untuk mata pelajaran tertentu sahaja. Kita katakan begitu kerana ia bukan bahasa utama dalam pendidikan, seperti dalam bidang-bidang penting seperti bidang perubatan, sains atau undang-undang. Bahasa Melayu belum menjadi bahasa ilmu yang setanding dengan bahasa-bahasa lain, misalnya bahasa Inggeris yang kedudukannya sebagai bahasa ilmu berada di kemuncaknya. Begitu juga halnya dengan bahasa Perancis sebagai bahasa ilmu atau bahasa Jerman atau bahasa Parsi.(Petikan temu bual dengan Prof. Dr. Chandra Muzaffar di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, 26 November 2007.)
No comments:
Post a Comment