Dato' Prof (Emeritus) Dr. Asmah Hj. Omar sedang meneliti skrip Jejak Bahasa di kediaman Raja Hamzah Yunus, di Pulau Penyengat. Wan Sakinah (kiri) memerhatikan. DI PESISIRAN SUNGAI JOHOR
Benarlah kata Raja Hamzah Yunus, budayawan dari Pulau Penyengat, Riau yang ditemui baru-baru ini. Katanya, "Di mana saja sultan pergi, beliau akan berbuat negeri di sana." Maksud Raja Hamzah negeri baru dibuka jika sultan pindah. Hal ini diperkuatkan lagi oleh pensyarah sejarah, Prof. Madya Zainal Borhan dari Universiti Malaya.
Maka jika di Riau Lingga, beberapa orang sultan membuat pusat pemerintahan di Hulu Riau, Pulau Penyengat dan Daik Lingga, maka sebelum pemerintahan Riau Lingga, beberapa orang Sultan juga telah membuat negeri di beberapa tempat di sepanjang pesisir Sunagi Johor. Mereka berbuat demikian setelah berundur daripada serangan penjajah Portugis dan Belanda. Sepatah kata seorang ahli akademik dari UKM, sultan dan orang-orangnya menjalani hidup bagaikan "nomad", pindah randah setiap kali keselamatan negeri terancam, atau apabila berlaku perebutan kuasa.
Demikianlah, ketika membaca buku terbaru "Peninggalan Sejarah Di Pesisiran Sungai Johor" (96 halaman dan harga tidak dinyatakan) terbitan Yayasan Warisan Johor, saya memikir-mikirkan pendapat Raja Hamzah dan Zainal Borhan ini. Lojikanya begitulah. Buku bergambar, semi-mewah ini pun membuat lakaran demikian, lewat gambar-gambar berwarna-warni makam, tapak-tapak istana dan kubu pertahanan. Pengarangnya, Drs. Kamaruddin Ab. Razak, kurator Bahagian Pemuziuman Yayasan Warisan Johor, mengabadikan makam raja, tapak istana dan kubu pertahanan sepanjang sungai dari muara hingga ke Sayong Pinang.
Makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh di pesisiran Sungai Muar.Kamaruddin menjelaskan "Sungai Johor merupakan pusat pemerintahan terpenting kesultanan Melayu selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Pemerintahan kesultanan Johor di Sungai Johor bermula pada tahun 1529 hingga tahun 1718, iaitu kira-kira 129 tahun di bawah pemerintahan sebelas orang sultan yang bermula dari Sultan Alauddin Riayat Shah II hingga Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV."
Kata Kamaruddin lagi sepanjang pemerhatiannya, kawasan-kawasan peninggalan sebuah tamadun Melayu ini sekarang merupakan kawasan perkampungan lama yang jumlah penduduknya sangat sedikit. Malah ada yang telah ditinggalkan kosong dan telah menjadi kawasan belukar dan hutan kecil. Ada pula yang mengalami kemusnahan akibat pembangunan. Kata-kata kamaruddin ini sedikit berbeza dengan apa yang saya dapat lihat ketika di Daik. Di sana bukan sahaja makam-makam sultan dan yamtuan muda dijaga dengan baik, tetapi juga tapak istana dan tempat permandian raja. Misalnya, tempat permandian Ungku Ampuan Jahara di Lubuk Palawan, begitu rapi diuruskan sehingga membolehkan sesiapa sahaja yang mengunjungi tempat itu mandi-manda. "Ya, kalau mahu," kata Raja Hamzah.
Kamaruddin telah mengusahakan yang terbaik melalui bukunya ini. Walaupun terdapat beberapa buah buku dan rencana tentang pesisiran Sunagi Johor dengan peninggalan sejarahnya, terutama yang diusahakan Halim Nasir dan lain-lain, namun hasil pemerhatian Kamaruddin ini lebih terperinci. Maksudnya, Kamuruddin memberikan penjelasan tentang ukuran panjang pendek sesuatu artifek dan kawasan istana. Turut dipaparkan lakaran peta kedudukan istana, makam dan kubu, malah di beberapa tempat disoroti juga bagaimana sesuatu tempat itu mendapat namanya.
Misalnya, sejarah Kampung Panchor. Di kampung ini terletaknya Kota panchor yang dibina oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Menurut Kamaruddin nama Kampong Panchor ini diambil kerana terdapat satu pancuran air semulajadi di pinggir kampung. Pancutan airnya mengeluarkan bunyi yang kuat dan ia tidak pernah kering dan pada zaman dahulu ia merupakan sumber air kepada penduduk.
Kota Panchor dibina dari balok-balok kayu besar dan berlapis-lapis dan tingginya 12 kaki. Lantai bahagian dalam kota dipertinggikan kira-kira lima kaki. Kota Panchor ini terletak di atas Bukit Takul Kanan, berhampiran dengan Sungai Takul yang menghilir ke Sungai Johor. Ada 12 meriam tembaga diletakkan di kawasan kota. Dua daripadanya telah ditemui semasa pemerintahan Sultan Ibrahim. Satu daripadanya, dipercayai meriam jamtan, jatuh ke dalam sungai ketia cuba membawanya keluar tetapi sebuah lagi berjaya dibawa ke Johor Bahru. Meriam itu kini diletakkan di hadapan bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan.
Terdapat juga makam Tengku Dara Puteh di puncak Bukit Takul ini. Hari ini kawasan makam ini telah dijadikan tanah perkuburan awam untuk penduduk tempatan. Batu nesan makam ini adalah daripada batu karang berukir berbentuk batu Aceh.
Buku ini mengandungi 13 bab yang bercerita tentang Kota Johor Lama, Kubu Badak, Kampung Panchor Kota Tinggi, Bukit Seluyut, Gonggong dan Pasir Putih. Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Makam Bendahara Tun Habab, Kota Makam Tauhid, Batu Sawar, Makam Cik Siti. Makam Laksamana Bentan dan Kota Sayung Pinang. Yang masih dipelihara dan dijaga dengan baik ialah Kota Johor Lama, Makam Sultan Mahmud, Makam Bendahara Tun Habab, Kota Makam Tahid dan Makam Laksamana Bentan. Barangkali makam-makam ini terlatak di sekitar bandar Kota Tinggi dan termasuk dalam kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi. Yang lainnya masih dalam keadaan yang dhaif. Misalnya makam-makam di Sayong Pinang. Sesetengahnya berada dalam keadaan yang menyedihkan. Satu dua makam tinggal terbiar berdekatan dengan kawasan ternakan.
Gambar-gambar dalam buku ini menceritakan segala-galanya. Contohnya gambar-gambar kawasan Kubu Badan memberi kesan bahawa seolah-olah ia baru sahaja ditemui. Pohon-pohon besar tumbuh di sana sini. Hal yang sama juga dapat dilihat di Bukit tukul Kampong Panchor, kawasan pancuran airnya, dan tapak istana Sultan Alauddin Riayat Shah II.
Di Bukit Seluyut, ada makam Sultan Muzaffar Shah, tetapi keadaan kawasan itu amat menyedihkan. Ia dipenuhi belukar dan makam itu kelihatan seperti sebuah pondok dalam dusun durian. Di lereng bukit itu terdapat pula Makam Raja Fatimah. Yang paling rapi dijaga ialah Kompleks Makam Sultan Mahmud. Ada 16 makam yang ditempatkan dalam kompleks ini, enam daripadanya ialah makam Sultan Abdullah Syah Ibn Almarhum Sultan Muzaffar Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Abdul Jalil Syah V, Satilah Salam (Keturunan Sultan Mahmud), Sultan Mahmud Shah Ibn Almarhum Sultan Ibrahim Shah, dan makam kucing bertanduk. Sepuluh makam lagi tidak diketahui kepunyaan siapa.
Sementara di Kampung Kelantan ada pula makam Megat Seri Rama, pahlawan dari Pulau Bentang, yang menjadi Laksamana di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Sejarah menunjukkan laksamana Bentan inilah yang membunuh Sultan Mahmud kerana kezaliman sultan ini membunuh isterinya, Dang Anum yang sedang mengandung. Sultan Mahmud murka kerana Dang Anum mengambil seulas nangka dari dusun sultan kerana mengidamkan buah itu.
Beberapa artifek menarik ditemui di beberapa kawasan peninggalan ini. Antaranya tembikar, seledon, botol kaca, mangkuk, pinggan dan sudu seramik ditemui di Sayong Pinang. Kebanyakannya sudah pecah.
Kamaruddin, yang berkelulusan dari Universitas Udayana, Bali dalam bidang Arkeologi, menilai bahawa kebanyakan tempat sejarah di sepanjang Sungai Johor ini "masih belum diberi perhatian yang sewajarnya. Perubahan bentuk bumi, akibat hakisan, pemendapan sungai dan aktiviti manusia dikhuatiri akan memberi kesan kepada tempat tersebut, sekiranya tiada langkah-langkah yang diambil untuk memeliharanya."
Bagaimanapun, buku ini terlalu ringkas untuk rujukan yang berkesan. Kecuali gambar-gambar dan lakar-lakar peta, teks buku ini mengundang banyak pertanyaan lagi. Sebabnya ada bahagian-bahagian yang amat memerlukan penjelasan lebih lanjut. Contohnya, pembaca barangkali ingin tahu siapa Raja Fatimah dan apa peranannya dalam sejarah Johor. Asa-usul Laksamana Bentan juga kurang jelas. Buku ini menyebut Laksamana Bentan berasal dari Bentan, Sumatra. Pembaca mungkin terkeliru apakah ada Bentan di tanah besar Sumatra, selain dari Pulau Bentan di selatan Batam.
Amat baik kiranya, setiap makam itu diiringi dengan sejarah ringkas sultan atau siapa yang disemadikan di situ. Begitu juga halnya dengan tapak istana, kubu pertahanan, mariam dan artifek lain yang ditemui. Ini akan lebih mendekatkan pembaca kepada sejarah kesultanan Johor selepas kesultanan Melaka, tetapi masih lagi mempunyai pertalian darah.
Apapun, Kamuruddin telah memberi sumbangan besar kepada Yayasan Warisan Johor kerana kajian arkeologisnya ini. Dan bagi Yayasan, ini semestinya satu permulaan daripada sebuah projek jangkapanjang untuk menjadikan pesisiran Sungai Johor sebuah rantau sejarah yang berpotensi besar menjadi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negeri. Perkhidmatan bot atau feri hilir-mudik Sungai Johor untuk membawa pelancong mengunjungi tempat-tempat bersejarah ini dapat membantu Johor meningkatkan pendapatan daripada ringgit-pelancongnya. Paling-paling pelancong akan dapat menghayati kehidupan "pindah-randah" sultan-sultan zaman dahulu seperti yang diungkapkan Raja Hamzah dan Zainal Borhan.
Nak bagi tau memang wakil rakyat di Johor tak pandai dalam memajukan sektor pelancungan berbanding wakil rakyat di Melaka. Gamaknya jikalau negeri Johor diserahkan kpd Melaka makanya Johor pasti maju di sektor pelancungan
ReplyDeleteMereka tu tak tau sejarah agaknya... Mungkin juga bukan orang johor sejati
DeleteMana nak dapat buku ni, dan berapa harga nya.
ReplyDelete