Sanre rindukan teman-teman penulis seperti Dato' Abu Bakar hamid (kanan), Keris Mas, Dato' Ahmad Sebi dan Dato' Usman Awang setiap kali beliau berkunjung ke Kuala Lumpur. DBP adalah "taman permainan" Sanre.
BINGKISAN JUBLI DARI SULAWESI SELATAN
Oleh Safrullah Sanre
Sejak “Pesta Sastera Perak” tahun 1981 suku abad kemudian, saya tidak dapat menahan sebak, sekali gus terpegun ketika Auditorium DBP yang baru menjadi hening menjelang keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agung ke ruang Majlis Perasmian Menara DBP. Sewaktu itu, Baginda diiringi Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah.
Dalam Dewan Auditorium di barisan tetamu VIP saya lihat Sasterawan Negara Arena Wati bersama Dato’ A. Samad Said, . Datuk Baha Zain, Dato’ Dr. A. Hassan Ahmad, Dato’ Haji Jumaat Mohd. Noor dan Dato’ A. Aziz Deraman. Hela nafas saya kian perlahan, mengenangkan suku abad yang telah saya lintasi dan persentuhan intelektual – kepada roh jiwa serumpun. Betapa besar rasa syukur saya kepada illahi.
Begitu hebat kesetiaan para tokoh ini bersama ratusan undangan yang lain untuk hadir di majlis yang penuh bersejarah ini. Saya terkenangkan sosok tokoh-tokoh DBP dan para sasterawan lain yang telah meninggalkan kita. Melihat kaca mata tebal Pak Arena mengingatkan saya wajah Allahyarham A. Samad Ahmad yang antara karyanya yang terkenal diterbitkan DBP, iaitu ‘Sulalatus-salatin’.
Juga wajah Allahyarham Dato’ Usman Awang yang sering saya temui di pejabat Baha Zain, ketika masih hidupnya, dan rupa-rupanya kerap kami berjumpa dan sekawasan pula dengan Pak Asraf Wahab dan Umar Junus. Dalam semarak Jubli Emas itu, saya doakan para arwah, tawa dan gurauan mereka. Terasa benar keadaan sudah berubah. Kali ini, pada majlis ini golongan penulis terlalu sedikit yang hadir. Barangkali juga DBP memberi keutamaan kepada pembesar-pembesar negara berbanding golongan penulis. Hal ini disebabkan oleh keterbatasan ruang di auditorium indah ini.
Menara DBP nan megah bukan lagi seperti ‘bangunan lama’ kerana zaman yang telah berubah. Sejumlah tokoh Sasterawan Negara (sembilan semuanya) tidak hadir akibat kesihatan yang tidak mengizinkan, malah ada yang telah meninggalkan kita. Tetapi penulis generasi terkini tidak turut meraikan Jubli Emas membikin saya gundah dan sangsi. Adakah mereka terlalu sibuk, dan beban kerja amat mendera? Hanya mereka sahaja yang boleh menjawabnya.
Barangkali DBP bukan lagi pusat (centrum) tunggal para aktivis. Tetapi ramai juga ‘mantan kakitangan DBP’, yang menjadi kenalan rapat saya seperti M. Noor Azam, Johan Jaaffar, Sutung Umar RS, Ajikik, Kemala, Suhaimi Hj. Mohamad, A.F.Yassin dll, masih seperti dahulu juga, umpama 30 tahun yang lalu.
Saya berdoa pada Allah s.w.t semoga suku abad ke hadapan saya masih boleh ikut serta meraikan kebahagiaan DBP sempena perayaan Jubli Berliannya pula. Saya sedar bahawa lintasan sejarah ini akan dipenuhi irama dan wajah dinamik. Rasa cinta dan nostalgia pada Mural Dewan Tun Syed Nasir dan bangunan lama DBP mungkin sahaja menjadi mangsa kemajuan. Hanya sahaja seandainya Mural dan bangunan lama akan terus kekal menjelma sebagai satu kerinduan yang abadi. 2007.Ends
No comments:
Post a Comment