Dato' M. Noor Azam
CATATAN A.F.YASSIN
Apabila penulis berkumpul di majlis Keris Mas dan Arenawati
Memang sukar bertemu dengan rakan-rakan penulis secara serentak. Apatah lagi jika mereka tinggal berjauhan. Dan minat mereka untuk bertemu dalam seminar, umpamanya telah semakin luntur. Kalau ingin bertemu penulis mapan dan kelas kakap, tunggu mereka diundang sebagai pembentang kertas kerja oleh penganjur seminar atau kongres persuratan. Jika tidak yang ingin bertemu mereka terpaksa tunggu sehingga Pena atau Gapena mengadakan mesyuarat agung tahunannya. Tetapi jangan pula terkejut rakan-rakan penulis yang ditemui itu hanya muka-muka itu sahaja.
Maka apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar sehari dan pelancaran empat buku Arenawati dengan kerjasama Penerbit UKM dan Utusan Publications & Distributors Sabtu minggu lalu rindu untuk menemui rakan-rakan penulis terobat juga. Tiga hari kemudian DBP sekali lagi menganjurkan seminar tiga hari tentang pemikiran Sasteran Negara pertama, Keris Mas. Semakin bertambah bilangan penulis yang jarang ditemui datang berkumpul.
Dari Negara Brunei Darussalam datang Dato’ Prof. Dr Hashim Awang, dari Singapura datang pula Mana Sikana yang datang tertengkot-tengkot kerana sakit kaki. Dia tersedat sebentar di ruang letak kereta DBP, tidak tahu arah tuju kerana besarnya ruang letak kereta itu dan lif yang menghubungkan ruang letak kereta dengan Dewan Seminar tidak berfungsi. Dari utara datang Azizi Hj. Abdullah, yang namanya sejak akhir-akhir ini agak sensitive bagi sesetengah kalangan media.
Azizi yang kini bertugas di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan ke Melaka dahulu untuk menghadiri satu seminar lain sebelum menghadiri Seminar Pemikiran Keris Mas. Dari Penjara Sungai Buloh, datang pula Ijmala MN. Penyair ini bertugas di Penjara Sungai Buloh. Dato’ Dr. Nordin Haji Abdul Rahman (Atondra) tidak ketinggalan hadir berpakaian kemas dengan songkok dipakai senget ala atondra. Kemala, Saleh Rahmad, S.M. Zakir dan beberapa yang lain bukan orang asing di DBP. Begitu juga dengan sasterawan negara paling bongsu, S. Othman Kelantan.
Jaafar Ab. Rahim
Pof. Dato' Dr. Hashim Awang
Dan Dato’ Mohd Nor Yusof (M. Noor Azam) berpakaian lasak (rugged) semua biru turut sama. Sejak akhir-akhir ini towering personality, salah seorang yang mewajahkan Dewan Bahasa sehingga menjadi towering institution satu ketika itu sering ke Dewan Bahasa. Katanya, “Nak jumpa kawan-kawan.” Tetapi lazimnya M. Noor Azam Cuma bersembang di warong mamak di tempat yang dikenali dengan bucu dewan.
Dari Makasar, Pulau Sulewasi, datang sekumpulan empat orang tokoh persuratannya, antaranya Safrullah Sanre yhang jarang kjetinggalan hadir dalam majlis-majlis seperti ini. Seperti katanya, “Malaysia adalah kampung keduaku. Dan rumah Gapena rumah keduaku.” Mereka datang kali ini kerana ingin merayakan hari ulangtahun kelahiran Arenawati yang ke-80. Kata salah seorang anggota rombongan, “Pak Arena sasterawan milik kami juga kerana beliau kelahiran Makasar.”
Ada yang berkata ramainya penulis mapan dan “yang punya nama” datang ke Dewan kerana meraikan dua tokoh besar persuratan, iaitu Arenawati dan Allahyarham Keris Mas. Mereka diraikan Dewan Bahasa. Tidak pasti apakah majlis keraian ini diadakan atas inisiatif Ketua Pengarah baru Dewan Bahasa, Dato’ Dr Firdaus Abdullah, yang juga penulis, atau mereka datang hendak bernostalgia dengan kawan-kawan penulis tentang hubungan dengan Keris Mas dan Arenawati.
Jika kehadiran mereka adalah untuk bernostalgia, mereka tidak kecewa. Sebabnya di seminar pemikiran Keris Mas sahaja ada kertas M. Noor Azam yang membincangkan pemikiran Keris Mas berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah Keris Mas. Kata seorang penulis, “Saya fikir kertas dato’ Noor Azam amat mengesankan kerana menyjngkap pemikiran dan sosok peribadi Keris Mas dari sudut hubungan akrab antara dua rakan dan antara ketua dengan timbalannya.” M. Noor Azam bertugas sebagai timbalan Keris Mas di Dewan Bahasa satu ketika.
Noor Azam melihat Keris Mas sebagai mentornya dalam bidang penulisan. Noor Azam amat terhutang budi kepadanya kerana tanpanya Noor Azam mungkin kekal menjadi guru sekolah rendah. Tidak mungkin dia menjadi penulis seperti sekarang. Yang paling menarik daripada sosok personality Keris Mas ialah dia seorang ketua yang tidak pernah marah atau kasar kepada orang bawahannya. Keris sentiasa senyum kepada anak-anak huahnya seolah-olah senyumannya itu ibarat penyuntik semangat bekerja buat mereka.
Kemudian ada pula nota “pendahuluan” untuk prosiding seminar yang memuatkan 29 kertas kerja tentang pemikiran Keris Mas. Pengalaman bekerja Jaafar Rahim di bawah Keris Mas dicatatkan dalam nota “Pendahuluan”. Menurut Jaafar, satu perkara menarik tentang hubungan kerja Keris Mas sebagai Ketua dan “kami sebagai orang bawahan ialah kami bekerja dalam suasana ceria. Bekerja dalam satu pasukan dan saling menghormati.” Tulis Jaafar, “Cara bekerja seperti ini bukan sahaja tidak mendatangkan tekanan bahkan meningkatkan produktiviti Bahagian Pngembangan Sastera, khususnya di majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan sastera.”
Kedua-dua catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim ini adalah prolog sebuah seminar tentang sikap dan pemikiran Keris Mas melalui karya-karyanya. Selama ini pun telah banyak peneliti sastera menganalisisi pemikiran Keris Mas melalui karyanya. Maka seperti kata seorang penulis yang hadir, “Tidak ada yang baru. Cuma kita disegarkan semula dengan analisis-analisis dalam 27 kertas kerja itu. Bagi saya paling terkesan ialah catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim.”
Di luar sidang Hashim Awang dari Universiti Negara Brunei Darussalam bercerita tentang peristiwa-peristiwa lama yang terjadi dalam tahun-tahun 1980an. Di samping Keris Mas Hashim tidak melupakan allahyarham Othman Puteh dan Dharmawijaya, dua kawan akrabnya yang telah pergi dahulu. Hashim rindukan kata-kata dan gerak tingkah mereka. Begitu juga pensyarah UPM, Abd. Rahim Marsidi. Katanya, “Kita ini seperti 10 budak hitam. Entah siapa pula selepas ini.” Manakala Safrullah Sanre mahu majlis hari ulangtahun Arenawati di ulang sambut di Makasar dalam masa terdekat. Katanya, “Pak Arena perlu diberi penghormatan di kota kelahirannya. Penulis sana pun mahu merayakannya.” Ends.
salam Tuan.
ReplyDeletesaya ingin meminta jasa baik Tuan untuk membolehkan saya mengetahui perkembangan terbaru mengenai datuk m noor aza. sangat mengkagumi tulisannya. mungkin beliau menulis blog dan saya ingin tahu mengenainya.
sayang sekiranya beliau tidak lagi menulis.