Wednesday, 23 July 2008

A. KARIM ABDULLAH H.B.JASSIN MALAYSIA


Buku Allahyarham Haji A. Karim Abdullah yang memuatkan esei-esei tentang diri dan apa orang lain kata.

CATATAN A.F.YASSIN
BUNG KARIM "PUSTAKAWAN" SASTERA

Khamis lalu, terima surat dari Haji A. Karim Abrullah, mesra dengan panggilan Bung Karim. Bersama surat itu disertakan dua buah buku kecil, "Pameran Buku Riwayat Hidup Dan Sirah Rasulullah S.A.W." dan "Bung Karim Penyelenggara dan Pendokumentor Sastera". Menraiknya, kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Bung Karim Entreprise. Kandungan kedua-dua buku ini mirip autobiografis. Maksudnya banyak menyentuh tentang Bung Karim sendiri yang ditulis secara kronologis dan bibliografis.

Kedua-dua buku ini diusahakan berdasarkan koleksi peribadi Bung Karim sendiri. Namun setelah mengimbas lalu kedua-dua buku berkenaan, didapati maklumat yang diberikan menjangkau lebih jauh daripada sekadar dokumentasi tentang "peribadi" Bung Karim. Maklumat yang ada secara tak langsung melibatkan sejarah perjuangan beberapa tokoh tertentu, khasnya dari Pahang. Maklumat juga melibatkan sejarah Gapena dan Dewan Persuratan Melayu Pahang. Maklumat juga melibatkan hubungan intim Bung karim dengan Pak Sako, Keris Mas, Zakaria Hitam dan A. Samad Ismail.

Contohnya, terdapat pelbagai buku tentang Pak Sako dan Keris Mas yang telah diterbitkan yang melibatkan Bung karim sebagai penyelenggara. Pada tahun 1987, terbit buku "Cerpen-Cerpen pak Sako yang diselenggarakan Bung Karim bersama Hashim Awang. Ada pula "Pak Sako Bistari" yang diterbitkan setahun kemudian. Sembilan tahun kemudian Bung Karim menyusun pula buku "Pak Sako dari Sudut Pandangan Pak Samad". Setahun sebelumnya lahir buku "Memori Pak Sako". Mulai milineium baru ini Bung Karim akan menyelenggarakan penerbitan beberapa buah lagi buku tentang Pak Sako, antaranya "Pak Sako Sasterawan Rakyat", "karya Klasik Putera Gunung Tahan Dari Pandangan Pemimpin dan Tokoh-Tokoh dari Pahang Darul makmur" dan "Moostapir Monolog - Cerpen-cerpen lain Pak Sako".

Untuk Keris Mas, Bung Karim menyelenggarakan "Mutiara Fikir SN Keris Mas" pada tahun 1997 dan pada tahun ini Bung Karim akan menerbitkan "SN Keris Mas: Dari Tanggapan Tokoh & Sarjana". Buku ini diselenggarakan bersama A. Rahim Abdullah. Sebuah lagi buku selenggaraannya yang bakal terbit ialah "Keris Mas - Sasterawan Nasionalis." Malah untuk tokoh Awam-il-Sarkam, Bung Karim (sebagai kawan karib barangkali) telah mengusahakan bersama Mawar Shafie buku antologi cerpennya berjudul "pengintipan" yang juga bakal terbit tahun ini.

Selain Pak Sako dan Keris Mas ada lagi beberapa tokoh Pahang yang kisah perjuangannya dan sumbangan mereka diselenggara, diterbit dan didokumentasikan. Bung Karim menyelenggarakan buku tentang pemikiran Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang diberi judul Pemikiran Tun Razak Tentang Bahasa-Sastera-Budaya." Ada pula buku tentang "Zakaria Hitam, Pak Zek Budayawan yang Berjaya", "Koleksi Pantun Pak Zek". Buku "Ibrahim Yaakub-Pencetus semangat Kebangsaan Melayu" telah diselenggarakan Bung Karim dan dijangka terbit pada tahun ini.

Bagi yang mengenali Bung Karim lebih dekat, dokumentasi di rumah Bung Karim cukup lengkap. Jarang amat diperoleh maklumat dan dokumentasi selengkap dan seterpeinci yang dimiliki Bung Karim. Seorang teman yang rapat dengannya pernah berkata "Bung Karim bukan sahaja menyimpan maklumat tetapi menerbitkannya sekali, baik oleh institusi penerbitan mahupun olehnya sendiri." Seorang penulis pernah menganggap Bung Karim sebagai "pendokumentor yang gigih" manakala majalah 'Karya" terbitan 25 Oktober 1997 menganggap Bung Karim "mengikuti Jejak H.B. Jassin" dari Indonesia yang bahan dokumentasinya memenuhi setiap inci ruang rumahnya.


Anggota-anggota Kelab Veteran DBP dalam satu pertemuan di rumah Allahyarham Tuan Haji A. Karim Abdullah.

Demikianlah, Bung Karim yang punya minat menyimpan dan menerbit semua bahan persuratan yang ada kaitannya dengan bahasa, sastera dan budaya. Tidak keterlalun jika Bung Karim boleh dianggap sinonim dengan H.B. Jassin. Ini diakui oleh Dino SS sendiri dalam Berita Minggu pada tahun 1993. Kalau di Indonesia semua orang maklum tentang kehadiran H.B.Jassin di persada persuratan negara itu. Dan mungkin di Malaysia semua maklum akan kehadiran nama Bung Karim di persada persuratannya pula. Ketika di rumah Bung Karim sebulan yang lalu, saya melihat buku dan bahan-bahan persuratan berada di mana-mana. Di Ruang tamu, di meja makannya dan saya boleh teka bahawa ada buku di katil tempat tidurnya. Beberapa buah buku agama terssusun di satu sudut. Menurutnya, jumlah koleksi buku agama sahaja lebih 150 judul.

Nama Bung Karim mula saya kenal ketika dia menjadi juruacara Majalah TV, terbitan Televisyen Malaysia pada akhir tahun 60an. Dia pernah dilihat di kaca TV sebagai "pembaca warta berita" dan sesekali berlakon dalam drama TV. Saya diperkenalkan orangnya oleh Usman Awang pada 7 September tahun 1972. Ketika itu saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Keakraban mula dirasakan apabila saya menyertainya dan Awam-il-Sarkam (Pak Awam a.k.a Wahab Muhamad) sebagai anggota sidang pengarang majalah "Dewan Masyarakat". Ketua editor "Dewan Masyarakat" ketika itu Keris Mas dan editornya Usman Awang.

Bekerja dengan Bung Karim banyak manfaatnya. Paling-paling Bung Karim boleh bantu meringankan beban tugas terutama untuk tujuan "menyemak fakta". Bung Karim amat gemar mencari dan mengumpul bahan. Di atas mejanya dipenuhi dengan pelbagai bahan editorial. Yang sedang digunakan dan yang tidak digunakan. Ada sesetangah bahan itu sudah "kotai" dan dimakan zaman, namun ia tetap dibenahi Bung Karim sebagai bahan dokumentasi berguna pada masa akan datang. Bukan tidak mungkin sesetangah daripada bahan itu masih ada di rumahnya ketika ini.

Bung Karim adalah orangnya yang diminta Usman Awang menemani saya dalam pertemuan "sukar" dengan pemimpin-pemimpin persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia di kampus UKM di Pantai, Kuala Lumpur pada tahun 1974. Pertemuan kami dengan persatuan mahasiswa itu adalah ekoran daripada sebuah makalah yang mempersoalkan tahap penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar UKM. Makalah itu mendapat reaksi dan bantahan keras dari mahasiswa dan penulisnya diminta berdepan dengan pemimpin persatuan. Antara pemimpin mahasiswa yang kami temui ialah Shafie Abu Bakar (sekarang adun PAS di Selangor), Asiah Sarji dan Halim Arshat. Berkat bantuan Bung Karim, masalah itu dapat diselesaikan dengan baik. Kami bersetuju untuk menyiarkan reaksi persatuan kepada makalah itu dalam "Dewan Masyarakat" edisi beriktunya.

Saya menganggap Bung Karim merupakan "orang tengah" yang berwibawa dalam menyelesaikan masalah prasangka pemimpin mahasiswa UKM itu terhadap saya, sebagai penulis makalah. Ada ketikanya apabila saya tanyakan sesuatu kepada rakan setugas Pak Awam, lantas Pak Awam meminta saya jumpa Bung Karim. "Kau tanya aku buat apa. Tanyalah karim. Dia lebih tahu dari aku," katanya. Dua hari lalu, Saleh Daud Bendahari Gapena sedikit "geram" dengan "Dewan Sastera" keluaran terbaru dan menyebut nama Bung Karim. Katanya ada penulis yang masih tidak tahu mengeja namanya dengan betul. Sepatutnya editirnya lebih bertanggung jawab. "Dia orang boleh tanyakan Karim Abdullah untuk pastikan ejaan nama yang betul, kalau tak dapat saya."

Bung Karim lebih banyak tahu "dari aku", malah lebih tepat Bung karim lebih banyak tahu dari kebanyakan orang. Terutama hal-hal yang menyangkut masalah bahasa, sastera dan kebudayaan. Bung Karim tidak segan mendampingi ramai tokoh masyarakat. Dan adan yang menganggap rasa tidak segan Bung Karim inilah yang menjadikannya begitu gigih dan berminat dalam kegiatan pendokumentasian ini. Bung Karim bagaikan sedang bercinta dengan tokoh dan perwatakan tokoh itu. Bung Karim melahirkan rasa sentimen dan emosi yang tinggi apabila berdepan dengan tokoh sehingga dengan demikian Bung Karim akan menyimpan apa sahaja yang diperolehinya atau yang diberikan kepadanya.

Begitulah. Dengan tokoh wartawan A. Samad Ismail, Bung Karim menyimpan segala sesuatu yang ditulis wartawan veteran itu. A. Samad Ismail tidak punya salinan tetapi Bung Karim punya. Pada tahun 1997 Bung karim berjaya menyelenggarakan buku "Antara Pemikiran A.Samad Ismail" dan tidak lama lagi bakal terbit pula dua buku baru selenggaraan Bung Karim tentang Samad yang berjudul "A. Samad Ismail - Pejuang Multiwarna" dan "Dialog Dengan A. Samad Ismail". Satu dekad sebelum ini Bung Karim meneyelenggarakan buku "A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan".

Kelebihan Bung Karim sebagai penyimpan bahan dokumentasi ialah keinginannya untuk tidak dianggap sebagai hanya "tukang simpan bahan". Bung Karim ingin bahan-bahan itu disusun dan diterbitkan. Pernah katanya, "Saya akan cuba mendapatkan penajaan untuk menerbitkan. Kalau tidak duit, saya sendiri akan terbitkan setakat yang termampu." Ada 18 buah judul yang telah diselenggarakan dan dalam proses mahu menerbitkannya. Saya membayangkan jika kessemua 18 judul ini mahu diterbitkan tahun ini, Bung karim memerlukan sekurang-kurangnya RM180,000.00 dengan andaian kos menerbitkan sebuah judul berjumlah RM10,000.00. Dan dengan harga bahan cetakan yang meningkat hari ini Bung Kartim memerlukan lebih suku juta ringgit.

Harapan Bung Karim terlalu besar. Pemikirannya tentang pendokumentasian terlalu ideal. Bung karim hanya insan biasa yang tidak akan termampu untuk menyelia dan mengawet bahan dokumentasinya secanggih perpustakaan negara. Namun komitmennya terhadap penyimpanan khazanah persuratan yang berharga ini adalah lebih 100%. Barangkali 150%. Manakala kemampuannya dari segi material (kewangan) hanya setakat 30%. Soalnya bagaimanakah Bung karim boleh menyelesaikan masalah baki persen yang jauh lebih besar berbanding kemampuannya?

Ada ura-ura Bung Karim ingin menyerahkan sebahagian besar bahan dokumentasinya kepada institusi pendidikan tinggi atau perpustakaan. Andainya ini berlaku apakah nanti status Bung karim sebagai penyelenggara dan pendokumentor sastera? Apakah rumahnya di No. 73, Jalan Datuk Aziz 14/29, Petaling Jaya itu akan "sepi" daripada bahan-bahan yang sejak hampir empat dekat yang lalu dikumpulkan dengan begitu komited? Saya tidak dapat mengagak apakah berada dalam fikiran Bung Karim ketika dia hanya didampingi isteri, Aishah Abdullah, dua anaknya Aznul Shahrim dan Azlina dan lima cucunya tanpa buku dan bahan dokumentasi di sekelingnya. Bagi seorang insan penelaah makalah dari kampung Bangau, Temerluh ini yang mencapai usia 63 tahun pada 6 September depan, tentunya Bung Karim akan berdepan dengan suasana "keseorangan" tanpa buku di keliling pinggangnya.

A.F.Yassin
4 Ogos 2000
Dipetik daripada akhbar mingguan Utusan Zaman)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).