Dato' Dr. Mansor Hj Abdullah yang pernah menerajui kepimpinan DPMP Pahang satu ketika.DIALOG PANTAI III DI KUANTAN 1999
Catatan A.F.Yassin
29 Oktober 1999
Saya kira Dato' Tengku Alaudin Majid adalah orang paling keciwa menghadiri Dialog Pantai III yang berlangsung pada 21 - 23 Oktober lalu. Tidak ramai penulis pantai timur yang hadir, malah hampir setengah daripada 50 orang yang datang terdiri daripada penulis pantai barat dan utara Semenanjung. Itupun, barangkali mereka adalah ahli-ahli jawatankuasa persatuan penulis yang menjadi kerabat Gapena. Sebabnya, mereka turut merayakan Hari Ulangtahun Gapena ke-29 yang diadakan sempena Dialog Pantai III. Ada juga peserta mencari-cari kalau-kalau ada wakil Pena yang turut hadir.
Pada hari perasmian didatangkan sejumlah pelajar dari Kolej Islam Kuantan. Upacara perasmian terpaksa ditangguhkan lebih setengah jam kerana menunggu kalau-kalau masih ada peserta-peserta baru yang tiba. Menteri Besar Pahang, Dato' Adnan Yaakob, yang dijadualkan merasmikan Dialog hanya diwakili oleh exco kebudayaan, Dato' Shaharudin Moain.
Tengku Alaudin kurang pasti di mana silapnya. Apakah kurang publisiti? Apakah wujud keadaan berpuak-puak di kalangan penulis-penulis pantai timur? Atau disebabkan dialog pantai diadakan pada penghujung bulan maka banyak penulis di tiga negeri pantai timur - Kelantan, Terengganu dan Pahang - keberatan datang. Maklum di poket tinggal duit syiling. Atau ada sebab-sebab tertentu yang hanya penulis yang berkenaan sahaja yang tahu.
Pada awalnya saya yakin Dialog Pantai III ini akan lebih meriah daripada dua dialog yang telah sudah kerana pada waktu yang sama Gapena akan turut merayakan ulangtahun penubuhannya yang ke-29. Nyatanya ketika saya sampai di Taman Budaya Kuantan Ahad pertang, tempat mendaftar peserta di Hotel Vistana masih kosong. Belum ada yang mendaftar, kata petugas pendaftaran.
Dialog Pantai kali ini membawa tema "Agama dan Budaya Teras kerjasama Masyarakat." Empat kertas kerja dibentang sepanjang dua hari, dengan kertas kerja utama oleh Dato' Dr. Abdul Monir Yaakob, Penolong Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Tajuk kertas kerja Dr. Monir ini sama bunyinya dengan tema Dialog. Kertas kerja lain ialah "Tok Kenali Sebagai Cerpenis" oleh Abdul Aziz Mahmud (ABRAM T.R); "Penulis Pantai Timur - Harapan Kepada generasi Pelapis" oleh S. Othman Kelantan dan "Penulis Terengganu Dari Generasi ke Genarasi" oleh Shariff Putera. Tidak ada kertas kerja dari Pahang tentang perkembangan kumpulan penulisnya kecuali oleh Dr. Munir yang lebih menumpukan kepada perbincangan tentang konsep umum agama dan budaya sebagai teras kerjasama masyarakat.
Seorang peserta dari pantai barat membandingkan Dialog Pantai ini dengan Dialog Utara atau atau Dialog Selatan yang dia pernah ikuti. Ternyata Dialog Pantai belum dapat menandingi cara pengendalian dan sambutan daripada peserta. Dialog Utara lebih terkehadapan, barangkali ia merupakan satu pertemuan yang sifat dan skopnya internasional, merangkumi Indonesia (Sumatera), Malaysia dan Thailand. Begitu juga dengan Dialog Selatan yang merangkumi Johor, Singapura dan Riau. Sementara Dialog Pantai agak bersifat kedaerahan (localised) merangkumi tiga negeri pantai timur Semenanjung.
Namun menurut peserta itu, ia tidak boleh menjadi alasan mengapa Dialog Pantai tidak mendapat sambutan. Pernah katanya ketika dialog yang lalu, ada masanya sesi pembentangan kertas kerja hanya dihadiri tidak sampai sepuluh orang. Katanya, "Bagi saya, ada baiknya jika sesi umum pada petang hari terakhir dialog sebelum penutupan, kita bincangkan masalah sambutan penulis kepada Dialog Pantai ini. Apakah perlu ia diteruskan dua tahun sekali atau diromabk semula tempoh pertemuan menjadi tiga atau empat tahun." Peserta ini yakin kalaulah tidak kerana Gapena mengadakan sambutan ulangtahun penubuhan ke-29nya di Kuantan, jumlah peserta akan jauh lebih rendah.
Tidak kurang yang berasa simpati dengan kerabat penyelenggara, iaitu Dewan Persuratan Melayu Pahang, khusunya Jawatankuasa Pusatnya yang dipimpin oleh Hj Yaakob Isa dan Haji Saiyed Ahmad Abdullah (Sahmad Malaya). Usaha telah mereka lakukan dengan kerjasama erat daripada seluruh ahli jawatankuasanya yang berjumlah 16 orang. Ada yang berkata "Kita tidak boleh salahkan DPMP kerana kurangnya sambutan. Kita perlu melihat jauh sebelum ini. Barangkali pengalaman dua dialog pantai pada tahun 1995 di Kelantan dan 1997 di Terengganu memungkinkan ramai penulis, terutama dari ketiga-tiga negeri itu sendiri tawar hati untuk ikut serta. Sementara kebanyakan penulis di pantai barat, Sabah dan Sarawak tidak pula menganggap pertemuan seperti itu tidak relevan dengan mereka.
Meneliti kertas kerja yang dibentangkan, kecuali yang dibentang Dr Munir tidak ada satu pun yang benar-benar memperlihatkan sebarang kaitan dengan tema dialog kali ini. Misalnya, kertas kerja S. Othman kelantan dan Shariff Putera hampir seluruhnya menyentuh tentang penulis, penulisan dan harapan masa depan. S. Othman Kelantan menggariskan secara kronologis dan historis tentang kelahiran penulis pantai timur sejak tahun 1920an berserta dengan proses regenerasinya. Othman bercerita tentang teknik yang digunakan penulis dulu dan sekarang. Akhirnya dia menyarankan agar penulis pelapis, terutamanya "harus memiliki keupayaan diri yang tinggi untuk wujud sebagai penulis." Bagi Othman keupayaan itu ialah penulis harus berilmu, berketrampilan, mempunyai kreativiti dan mempunyai kepribadian Melayu menurut realiti zamannya. Menurutnya, era sains dan teknologi yang tinggi memaksa "generasi pelapis menjadi sebahagian daripada ledakan itu."
Shariff Putera pula memfokuskan pemerhatiannya kepada jatuh bangunnya penulis Terengganu beserta cabaran yang dilalui mereka. Shariff mempersoalkan kesungguhan sebahagian penulis Terengganu dalam berkarya. Shariff bertanya, " Ke manakah penyair yang begitu ghairah menulis sajak di dalam antologi persatuan yang begitu ramai, cerpenis yang begitu ghairah menghasilkan cerpen di dalam majalah sekolah, penulis novel yang menjanjikan masa depan yang baik itu pergi?" Kemudian ramai pula penulis di negeri itu yang mula mengundurkan diri dan tidak lagi menyertai kegiatan-kegiatan persatuan penulis Terengganu atau PELITA. Menurut Shariff daripada sejumlah penulis baru berbakat hanya Mahanie Sulong yang masih bergiat.
Namun Shariff masih mengakui bahwa ramai penulis yang lahir dalam tahun 1960an dan 1970an masih aktif berkarya, antaranya J.M.Aziz, Omara Rahman, S.M. Noor, Aziz Afkar, Ariffin Ngah, Ali Jusoh, Nawawee Muhammad, Baharuddin Adam, Wan Ahmad Ismail, Hilmi Rindu dan Shariff sendiri sekadar menyebut beberapa nama. Manakala penulis Terengganu yang masih aktif tetapi berada di luar negeri itu termasuklah Tengku Alias taib, Ghazali Ngah Azia, Shafie abu Bakar, Mohammad Awang dan Jymma.
Akhirnya Shariff menasihati penulis baru dan berbakat agar tidak meminggirkan diri daripada terlibat dalam persatuan. Katanya, "Membina kelompok baru bukanlah satu cara yang terbaik sebaliknya membaiki dan memperkukuh atau memantapkan persatuan yang sedia ada rasanya lebih bermakna."
Aziz Mahmud memperkenalkan To Kenali (nama sebenarnya Muhammad Yusuf yang lahir di Kampung Kenali, Kubang Kerian), ulama Kelantan sebagai seorang cerpenis. Menurutnya, dalam kesibukan sebagai Tuk Guru Pondok, anggota Dewan Ulama Kelantan, Ketua Pengarang majalah dan tugas-tugas sosial yang lain "beliau masih lagi sempat mengarang 21 cerpen." Semua cerpen ini kemudian diterbitkan dalam dua antologi, iaitu "12 Cerpen Tok Kenali" dan "Tok kadi dan Tok Guru".
Aziz Mahmud menelaah bahawa keseluruhan cerpen Tok Kenali ini berligar pada persoalan pendidikan dan pengajaran agama yang mengajak pembaca beriman kepada Allah, mencintai ilmu, jujur pada diri dan tidak sombong. Menurutnya Yok Kenali menggunakan kaedah percatuman antara teknik (al-fann) dengan hikmah ketika menulis cerpennya, sesuai dengan ungkapan pemikir Islam, Syed Hussein Nasr bahawa kesenian Islam adalah hasil daripada percantuman kedua-dua unusur itu.
Amat disayangkan kertas kerja Dr Munir sebahagian besarnya menyentuh teori dan konsep. Ia tidak banyak menganalisis peranan agama dan budaya dalam menjalin kerjasama masyarakat. Hampir sembilan daripada 12 halaman kertas kerjanya hanya menerangkan konsep agama dan budaya. Dan pada halaman 11 Dr. Munir memberikan enam saranan. Katanya, agama perlu dijadikan asas dalam pembentukan kebudayaan. Untuk menjadikan agama dan budaya teras kerjasama masyarakat, ia memerlukan pembentukan "common vision", idea, nilai, martabat dan kriteria.
Dr. Munir mencadangkan agar diteruskan tradisi menghormati agama-agama dan budaya yang diamalkan oleh kaum-kaum dalam masyarakat majmuk. Nilai-nilai universal dalam masyarakat Melayu perlu dilahir dan direalisasikan sebagai pemangkin kepada kerjasama antara kaum. Seterusnya, Dr Munir mahu ilmu dan pemikiran diletakkan sebagai saluran ke arah membentuk masyarakat madani yang akan melahirkan budaya yang tinggi nilainya. Pelajaran tamadun dunia dengan empasis kepada tamadun Islam hendaklah dijadikan kursus asas di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dengan tujuan membentuk "world view" kebangsaan. Dan akhirnya, satu seminar kebudayaan kebangsaan perlu diadakan untuk mengkaji semula penghayatan falsafah, pengisian, tujuan dan kesedaran pelaksanaan dasar kebudayaan kebangsaan yang ada sekarang agar lebih berkesan dan mempunyai kuasa perundangan.
Alangkah baiknya jika kertas kerja Dr Munir menyentuh juga peranan yang boleh dimainkan kaum penulis dalam melaksanakan proses kerjasama masyarakat melalui agama dan budaya ini. Malah contoh-contoh kes dari Barat banyak digunakan Dr. Munir dalam hujahnya, yang dikirakan kurang relevan kepada kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
Ada yang menilai setiap kertas kerja ini berdiri sendiri-sendiri tanpa ada hubungan secara bersepadu (integrated). Kemudian, ketiadaan ramai penulis ternama dari pantai timur sedikit menjadi tanda tanya. Barangkali ramai yang mahu bertegur sapa dan berlanggar bahu dengan Nurhisham Mustaffa, Hashim Awang, Ali Jusoh, Mansor Abdullah, Tengku Alias Taib, Ghazali Ngah Azia, Ariffin Ngah, Ariffin Said, Ibrahim Omar, Wan Zanariah Abd. Rahman, Zahari Affandi, Sutong Umar Rs, Wahba, Shafie Abu Bakar, Daeng Ramliakil atau Omara Rahman. Sehingga dengan demikian bukan Tengku Alaudin sahaja yang keciwa tetapi juga saya percaya seluruh jawatankuasa pusat DPMP, tidak terkecuali Yaakob Isa, Sahmad Malaya, Sheikh Badar sheikh Embung, Mohd Hashim Ismail dan Khairul Bariah Arup, satu-satunya wanita dalam jawatankuasa itu, turut "hilang ghairah".
No comments:
Post a Comment