Dato' Mansor Abdullah (dua dari kiri), penyair Shamuddin Jaapar dan penulis lirik Habsah Hassan dalam foto klasik tahun 1973 dalam satu majlis makan malam di Kediaman Tun Husein Onn. AFYassin, yang menulis catatan ini di kiri sekali.Mansor Abdullah: “Saya Kahwin pun dengan kawan kita Juga.”
Salah satau kad Hari Raya yang saya terima dan anggap istimewa datangnya dari Mansor Abdullah, seorang penulis yang pernah menggunakan nama samaran M. Ashiqin. Mansor, yang telah bergelar Dato’ dan berjawatan profesor kini bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor. Kad ini bukan sahaja istimewa buat saya tetapi mengejutkan. Kad ini sungguh mengejutkan kerana sejak dua tahun lalu kadnya hanya tertera nama Mansor seorang dengan hujungnya “sekeluarga”. Tetapi kali ini ada dua nama. Di samping nama Mansor ada pula nama Che Amelia Kassim dengan gelaran “Datin” di pangkalnya.
Ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan, sebaik sahaja menerima kad, Mansor mula bercerita panjang. Rupa-rupanya Mansor bukan sahaja suka buat kejutan dengan karya-krayanya yang mengundang polemik, terutama cerpen, dia juga buat kejutan dalam soal kehidupan hari-harinya. Dan belum pun sempat saya bertanya siapa Che Amelia di sisi namanya dalam kad itu, dia menjawab terlebih dahu, “Kawan kita juga. Aku kahwin kawan kita juga. Siapa lagi ada nama Amelia dalam kawan-kawan kita.”
Macam tak percaya. Sebabnya pernah Mansor kata telah 12 tahun dia tak jumpa Amelia “Kawan kita” itu. Tiba-tiba meletup pula cerita dia berkahwin dengan Amelia. Lalu Mansor bercerita pertemuan yang tidak disangka-sangka hingga katanya “bagaikan api, terus sahaja kami mencari persamaan dan akhirnya setelah mendapat restu orang tuanya, kami kahwin. Sebenarnya secara kebetulan kami terserempak awal tahun ini ketika dalam satu penerbangan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Kami berkahwin pada 14 Ogos lalu.”
“Maaflah, Tak sempat nak beritahu kawan-kawan. Adalah saya beritahu beberapa orang yang sempat, seperti Kemala, Atondra dan Ahmad Razali. Ketika mesyuarat Pena baru-baru ini, saya beritahulah juga tapi ada yang tak percaya,” katanya. Menurut Mansor, orang yang paling tidak percaya ialah Ajikik. Sampaikan Ajikik minta sijil nikah untuk minta Mansor buktikan. Sutong Umar Rs yang berdekatan marahkan Ajikik secara bergurau, “Apa hak engkau meminta surat nikah. Bukannya kau dari pejabat agama.”
Dato' Mansor Abdullah hari ini. Apapun jua, Mansor kini menjadi suami orang semula setelah ketiadaan isteri selama dua tahun.Mansor dan Amelia setelah selamat diijabkabulkan di Johor Bahru. Orang yang bertanggung jawab menjadikan Mansor dan Amelia suami isteri ialah Mufti Johor, Dato’ Mohd Noh Gadot.
Mansor bercerita sejak isterinya Engku Hamidah Engku Abdullah meninggal dunia, dia cuba hidup menduda dan ingin menjaga ketiga-tiga anaknya bersendirian. “Tapi saya tak tahan cerita keliling, fitnah dan segala macam, sehingga anak saya sendiri menasihatkan saya supaya tidak terus membujang,” kata Mansor. “Kau fahamlah sebagai orang bujang semula (eligible bachelor) dan dengan kedudukan aku sekarang di universiti, kau tentu lebih tahukan. Aku tak tahan dengan gangguan seperti ini. Aku pernah tulis cerpen dalam al-Islam tentang keadaan aku ini dengan tajuk Membuat Pilihan.
“Maksudnya kerana tak tahan dengan keadaan ini aku cuba juga cari-cari dan mencari. Akhirnya kawan kita itu juga yang datang. Aku terus terang sahaja dengannya sama ada dia setuju kahwin denganku. Kau tahulah dia, macam aku juga. Aku tak ada isteri dan dia pun tidak asa suami. Aku ada anak dan dia pun ada anak. Lama juga aku tunggu jawapannya. Tiga bulan begitulah. Dia mulanya tak percaya aku sekarang sendirian. Ingatnya aku main-main. Soal kahwin-mahwin ini mana ada main-main.”
Masih belum hilang dalam ingatan kumpulan “kawan kita” ketika Mansor masih bertugas di UTM, Jalan Semarak. Antara ahli-ahli kumpulan “kawan kita” itu termasuklah Datuk Jalil Rahman, bekas ketua pengarang majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Haji Maarof Saad, bekas penolong pengarang Dewan Sastera, Datuk Prof. Dr Hashim Awang, kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam, Jaafar HS dan Amelia Kassim. Kumpulan kawan kita ini sering sahaja bertemu santai di warong dan gerai minum bercerita tentang dunia penulisan.
Amelia ketika itu berkerja dengan sebuah syarikat penerbitan buku. Maka cerita tentang buku selalu sahaja menguasai suasana. Oleh kerana begitu akrabnya kumpulan ini hinggakan masalah keluarga dan peribadi masing-masing dibincangkan bersama dalam usaha mencari jalan keluar. Juga oleh kerana keakraban ini jugalah Mansor cuba merujuk kepada kawan-kawan untuk mencari jalan keluar kepada kemelut gangguan yang dialaminya setelah hidup sendirian. “Aku minta maaflah, Fadzil, kerana tidak sempat nak beritahu kau yang aku memutuskan untuk kahwin dengan Amelia. Sebabnya benda ini mendadak sahaja tibanya. Macam api. Ia datang laju sangat,” katanya. “Kawan-kawan lain ada yang sempat aku beritahu.” Seorang daripadanya Jalil yang mengaku telah sempat dihubunginya.
Demikianlah, Mansor, seorang penulis yang mula menjejakkan kaki dalam dunia pengkaryaan pada awal tahun 1960an seperti mahu kembali turun dari menara gadingnya untuk sama-sama dengan kawan-kawan lamanya. Menurut Jalil, Mansor mungkin sahaja akan menetap di Kuala Lumpur setelah tamat tempohnya di UTM. Saya boleh bayangkan hiruk-pikuknya suasana apabila nanti Mansor berada semula dalam “dakapan” kawan-kawan akrabnya, apatahlah lagi kini dia dan Amelia sudah menjadi pasangan Datuk dan Datin.
Kahadirannya dalam mesyuarat agung Pena baru-baru ini menandakan “kepulangannya” ke dunia yang mula-mulai dia huni pada tahun 1962 dahulu. Mana nanti Ajikik dan Sutong Umar akan membuangkan paku buah keras masing-masing kerana ada yang tidak percaya Mansor dan Amelia boleh bersatu. Bekas bos Amelia, Yahaya Ismail juga mungkin akan bersama untuk setidak-tidaknya bertanya khabar kepada Amelia, seperti “Apa ada cerita baru?”
Yang jelas, Mansor akan kembali ke dunia penulisan. Tanda-tandanya telah semakin nyata. Mansor mula menulis lagi, setelah lama menyepi dalam dunia kesusasteraan. Sejak pertengahan tahun 1980an, jarang sangat karyanya disiarkan, terutama cerpen dan puisi. Ketika itu dia terdorong untuk menulis buku yang ada kepentingan dengan kerjayanya dalam bidang kaunseling. Mansor, lahir pada 21 Februari 1945, seorang sarjana dalam bidang kaunseling pendidikan dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat.
Mansor juga seorang konsultan Pendidikan Psikologi. Maka tidak anehlah kalau dalam bidang ini sahaja, 20 buah buku kaunseling dan komunikasi telah diterbitkan. Antara yang paling awal ialah “Proses Kaunseling”, “Psikologi Remaja”, “Kaunseling Kerjaya”dan “Kaunseling kelompok”. Semuanya diterbitkan pada tahun-tahun 1980an.
Mansor lebih senang berkarya dalam genre cerpen dan novel kanak-kanak. Sejumlah 11 novel kanak-kanaknya telah diterbitkan di samping tiga antologi cerpen. Belum lagi antologi bersama cerpen dan puisi yang dia tidak ketahui jumlahnya. Seperti halnya penulis-penulis yang muncul pada tahun 1960an, Mansor mencuba dalam semua genre penulisan, termasuk drama radio dan TV. Namun dua terakhir ini ditinggalkannya untuk konsentrasi dalam bidang cerpen.
Anak Kampung Durian, Telok Intan (Anson) Perak ini menulis dalam “resume”nya sebagai berkerakyatan Negeri Pahang Darul Makmur (Ahli Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang). Kurang pasti status Mansor yang lahir di Perak dan menjadi rakyat Pahang. Dan bagi sesetengah peminat sastera mungkin Mansor dianggap anak Pahang, lebih dekat dunia orang Pahang. Pengalaman kerjaya dan kegiatannya menunjukkan demikian. Misalnya, pada 1963-64 dia mengajar di beberapa buah sekolah menengah di Kuantan.
Kemudian dia bertugas sebagai kerani di bandar yang sama. Setelah itu dia terus-menerus berkhidmat sebagai guru di bandar itu dan di pekan sehingga tahun 1980. Kerjayanya di luar negeri Darul Makmur itu hanyalah di UTM, Jalan Semarak dan kini diteruskan di Skudai Johor Bahru.
Kejutan yang saya rasakan apabila menerima kad raya Mansor lima hari menjelang Syawal lalu mungkin tidak dirasakan kawan-kawan akrab lain seperti Jalil atau Maarof. Diyakini, kejutan ini mungkin akan dirasai seorang kawan karib kami, Jaafar HS atau Hashim Awang. Hashim berada jauh di negeri orang dan pasti "tertinggal zaman”. Inilah akibatnya kalau sudah berjauhan. (Dipetik daripada akhbar mingguan Utusan Zaman, terbitan Kumpulan Utusan Melayu, Kuala Lumpur)
Komen:Walaupun tulisan ini telah lama disiarkan, namun kehangatan dan keakraban ketika bersamanya tidak mungkin mudah untuk dilupakan. Dia bekas profesor, timbalan naib canselor lagi, dia memiliki ijazah PhD dan prolifik sekali sebagai penulis. Namun kemesraan masih tetap terpancar dalam kata-kata dan tingkahnya. Mungkin dia berkata, "Kau, kau, aku, aku. Apapun, kita tetap kawan. Bila dan di mana sahaja." Seperti itulah dia akan kata kalau kita berada sesama kita.
Tahniah sebagai kawan yang tahu di mana berada dan faham erti kehidupan yang bagaikan roda!
ReplyDelete