Foto fail dari kiri: Sutong Umar RS (merokok), Ayob Yamin, Rubaidin Siwar (berkaca mata setengah terlindung), Haji Hamdan Yahya, Rashid Azad Khan, Dato' Usman Awang dan Ajikik ketika menghadiri majlis makan malam di Restoran Bertam, berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka, Mac 1983. Di Bahagian belakang kelihatan Dato' M. Noor Azam (berdiri), Puan Sri Saloma dan Dian P. Ramlee.ARKIB : 21/07/2008
Usman Awang: Cukupkah hanya melalui seminar?
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
SASTERAWAN Negara, Datuk Dr. Usman Awang merupakan tokoh yang telah banyak berjasa kepada masyarakat marhaen menerusi karya-karya sastera yang dihasilkannya sejak tahun 1950-an.
Bagaimanapun, penghargaan atas sumbangan yang dicurahkan oleh Allahyarham menerusi daya keintelektualannya sama ada melalui puisi, drama dan novel selama ini masih belum berada pada tahap yang sepatutnya.
Justeru, ada pihak yang kesal apabila tidak banyak pihak cuba melakukan sesuatu yang lebih bermakna dalam usaha bagi mengenang jasa sasterawan tersohor yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Che Ibrahim Salleh misalnya, mencadangkan banyak cara bagaimana untuk menghargai sasterawan yang meninggal dunia hampir sedekad lalu itu.
“Di manakah hari ini kita menempatkan semua jerih payah dan kemilau seri fikirnya? Akan adakah sebuah bandar bernama Bandar Usman Awang setelah kita ada bandar George Town dan Universiti Limkokwing.
“Sukarkah juga merangka satu hari peringatan Hari Mengenang Usman Awang, mengadakan sayembara, pidato tentang beliau, mengeluarkan stem peringatan atau anugerah penulisan sastera atas namanya?” katanya pada perasmian Seminar Kesusasteraan: Sasterawan Negara Usman Awang di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Perasmian itu disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah sambil disaksikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan Pensyarah Tamu UPM, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala).
Dalam hal ini, idea-idea yang dicadangkan oleh beliau itu cukup relevan untuk diketengahkan, cuma terpulanglah kepada kita cara mana yang sesuai digunakan bagi mencapai hasrat murni tersebut.
Menurut Che Ibrahim, beliau bimbang negara luar seperti China yang amat menggagumi Usman Awang akan menggunakan nama Allahyarham sebagai suatu penghargaan di sana jika kita tidak terlebih dahulu menggunakannya.
“Allahyarham amat dikenali di China, bimbang nanti akan ada sebuah perkampungan sastera di sana yang akan menggunakan nama beliau. Atau sebuah dewan yang gah di Korea juga mengambil sempena nama Allahyarham kerana beliau amat disegani di sana.
“Marilah kita mengenang sumbangan beliau sebagaimana kita cukup lancar dan petahnya menyebut nama-nama tokoh sastera dari luar negara seperti Iqbal ataupun Tagore,” ujarnya.
Pendapat dan cadangan itu turut disokong oleh A. Samad Said yang menyifatkan kaedah penghargaan seperti itu sedikit sebanyak dapat mengingatkan masyarakat terhadap hasil-hasil karyanya yang sepatutnya dikaji serta dihayati pada sepanjang zaman.
Katanya, Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri harus mencontohi kerajaan negeri Melaka yang lebih awal memberikan apresiasi kepada golongan sasterawan sepertinya dalam bidang penulisan di negara ini.
“Melaka contohnya, telah menerbit serta mengedarkan buku hasil karya-karya sastera saya sejak tiga tahun lalu. Sebagai permulaan sembilan buku saya termasuklah novel kanak-kanak, drama dan cerpen telah diterbitkan dengan kerjasama Muzium dan Arkib Negeri Melaka,” katanya.
Tambah A. Samad Said pendekatan dan inisiatif seperti itu amat penting bagi memastikan agar karya-karya agung para Sasterawan Negara tidak terperam atau pupus begitu sahaja.
Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) ikut terlibat dalam seminar dan kini menjadi Sarjana Tamu di UPM.Sementara itu, Dr. Ahmad Kamal pula menyifatkan penghargaan atau tanda yang lebih bermakna harus diwujudkan bagi mengenang jasa serta sumbangan Allahyarham yang bukan sedikit.
“Nilai-nilai kemanusiaan yang diselitkan dalam karya-karya Usman Awang amat besar, apatah lagi beliau berasal dari latar belakang yang susah. Beliau menderita sejak kecil, selain pernah menjadi buruh paksa ketika zaman Jepun.
“Sebab itu, adalah sangat wajar suatu bentuk peringatan diwujudkan oleh pihak kerajaan bagi mengenang jasa Allahyarham sesuai dengan sumbangan beliau kepada masyarakat menerusi bidang kesusasteraan,” ujarnya.
Pada seminar itu, kertas kerja yang dibentangkan antaranya meliputi soal apresiasi terhadap sumbangan dan serba sedikit kupasan tentang karya-karya agung yang pernah dihasilkan oleh Allahyarham.
A. Rahim Abdullah bicara tentang karya Usman Awang.Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah misalnya, membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Harga Hidup dan ‘Rimbaku Airmata’ Bergelut dengan Sahsiah Diri dan Kematian, Prof. Rahman Shaari (Fikiran Ideologikal dalam Tulang-Tulang Berserakan) dan A. Rahim Abdullah (Membaca Tanda-Tanda Tulang-Tulang Berserakan: Mencari Romantikus dan Nasionalisme Seorang Usman Awang). (Utusan Malaysia Online)
Komen: Tak payahlsh kenalkan siapa pengarang besar ini. Semua dunia sudah tahu. Apa sahaja predikat yang ada dalam dunia sastera Malaysia, khususnya Melayu, telah pun diberikan kepadanya. Sasterawan negara? Pejuang sastera? tokoh sastera? dan sebagainya? Pelbagai penghormatan turut diterima tokoh ini dengan akhirnya gelaran Dato' dab doktor falsafah kehormat.
Berdasarkan pencapaian akademik jarang yang mempersoalkan gelaran doktor falsafah kehormat yang diterimanya. Selayaknyalah tokoh ini menerimanya, walaupun hanya berkelulusan Darjah V Sekolah Atap yang terletak di seberang sungai. Sesiapa yang tokoh ini secara peribadi tidak mungkin tidak akan terharu dengan pencapaian, penghargaan dan penghormatan yang diterimanya. Kadang-kadang mereka yang benar-benar rapat dengan tokoh ini, terutama yang seangkatan atau satu ghenerasi lebih muda daripadanya tidak mungkin dapat menyembunyikan rasa sedih menyapu air mata ketika jenazahnya diusung pergi buat selama-lamanya.
Diyakini, kawan-kawan rapat dalam bidang persuratan seperti Dato' M. Noor Azam, Dato' Baha Zain, Piyadasa, Latif Mohidin, Kemala, Samsuddin Jaafar, Saleh Daud, Sutong Umar Rs, Dinsman, Maarof Saad (yang pernah tinggal bersama keluarga ini buat sementara waktu). Juga rakan-rakan rapat yang lain seperti Dr. Syed Hussein Ali, Krishen Jit, Kassim Ahmad dan Faridah Marican. Juga dari rakan-rakan dari negara jiran Singapura dan Indonesia seperti MAS, Masuri SN, Yusnor Ef, Goenawan Mohamad, Taufik Ismail, Rendra dan Wisran Hadi. Hari ini ada yang telah pergi mengikuti jejaknya.
SN Dato' A. Samad Said
Namun ada satu perkara kecil yang terus menarik perhatiannya. Perkara ini semacam suatu hal yang tidak kesampaian walaupun tokoh ini cuba memperjuangkannya. Ia ada kaitannya dengan soal pengiktirafan kepada kaum yang menamakan diri mereka "penulis dan pengarang". Tokoh ini menganggap perkara ini besar dan serius kerana ia membabitkan kehidupan harian kaum ini. Acapkali tokoh ini melahirkan rasa kurang senangnya terhadap pengiktirafan dalam bentuk ganjaran yang diterima. Amat malang, katanya, apabila ada pertubuhan, baik kerajaan atau bukan kerajaan yang masih tidak tahu menilai jerih-perih atau susah-payahnya kaum ini berfikir, mencipta dan menyediakan bahan-bahan untuk dikongsi dengan khalayak melalui persidangan, seminar, wacana atau apa sahaja. Malah karya kaum ini yang tersiar dalam media juga tidak menerima pengiktirafan setimpal.
Pernah dalam satu sembang-sembang bersamanya tokoh ini berkata, " Takkan nilai kerja kita sama dengan sehelai kertas dan seketul batu saja. Apa, kita ini makan kertas atau batu? Ini bukan dalam zaman 60an atau 70an lagi. Nilai kita cuma itu atau RM 30 untuk sajak atau RM 100 untuk cerpen. Sejak dulu sampai sekarang sama saja. Ada yang kata ada yang bayar kurang sekarang."
Terfikir juga apakah pengiktirafan yang sama diperoleh tokoh kategori sasterawan negara atau yang super tersohor seperti Kemala, Dato' Johan Jaafar atau Dato' Mazlan Nordin? Tentulah lebih lagi kot?
No comments:
Post a Comment