Tuesday, 22 July 2008

TENGKU ALAUDDIN BICARA DALAM SEPI?


Tengku Dato' Alauddin Tengku Majid.

SEPI SEORANG AKTIVIS SENI
A.F.Yassin

Dalam perjalanan pulang ke Kuantan, setelah menonton Konsert Menjunjung Kasih di Pekan, sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah, saya dan Datuk Tengku Alaudin Tengku Majid berbual santai. Bas yang membawa rombongan Gapena dan peserta Dialog Pantai III bergerak laju di malam gelap, bagaikan mengejar waktu kerana jam telah menunjukkan waktu hampir tengah malam. Ramai peserta telah nyenyak tidur dibuai hayunan gerak bas ke kiri ke kanan. Dalam suasana beginilah Tengku Alaudin amat senang bicara.

Beberapa tahun kebelakangan ini saya melihat dia begitu aktif dalam Gapena. Tidak pernah sekali pun saya melihat dia tidak ada dalam apa sahaja kegiatan Gapena, baik di Rumah Gapena sendiri, mahu pun di tempat-tempat lain seperti di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Melaka, Seremban dan di kali ini di Kuantan. Kadang-kadang saya naik bingung bagaimana seorang pegawai pentadbir kanan kerajaan boleh menyesuaikan dirinya dengan kegiatan-kegiatan lasak Gapena. Bukankah lebih baik dia menghabiskan waktu bermain golf atau di kelab-kelab ekseklusif pegawai-pegawai kerajaan untuk "menjaga status"?

Tengku Alaudin adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Tahun depan dia akan mencapai usia wajib bersara, iaitu 55 tahun. Mahu ke mana Tengku Alaudin setelah itu? Apakah dia akan diminta melanjutkan kerjayanya atau langsung mendapatkan status mantannya, lalu menjadi anggota baru dalam kelab tak rasmi "Senior Citizen" yang membolehkannya mendapat kemudahan perjalanan dalam negeri dengan tiket separuh harga. Yang pasti Tengku Alaudin telah berjinak-jinak dengan kegiatan Gapena sejak sekian lama. Ketika di Kuantan semasa Dialog Pantai III berlangsung, saya melihatnya begitu aktif untuk menjayakan Dialog. Walaupun dia sedikit keciwa dengan sambutan yang sedikit dingin dari penulis, namun gerak tingkahnya sepanjang dua hari itu seperti dia mahu mengubati kekeciwaannya itu.

Dia ke sana ke mari dengan lincahnya. Pada hari kedua, ketika Perbincangan Meja Bulat lima ahli panel tentang Halatuju Gapena tahun 2000, Tengku Alaudin bekerja keras mengangkat dan mengatur kerusi. Sebabnya tempat perbincangan telah dipindahkan dari auditorium Taman Budaya kepada Bilik Latihan di seberang letak kereta berhampiran dengan kafetaria. Dia bersama Yaakob Isa, Sahmad Malaya, Rahimidin dan beberapa ahli jawatankuasa DPMP bertungkus lumus menyiapkan bilik itu.

Dia bercerita panjang dalam bas. Menurutnya dia merasa sepi selama berkhidmat dalam kerajaan. Tidak ramai yang meminati bidang yang dia minati. Disebabkan minatnya yang begitu meruntun dalam bidang seni budaya maka dia tidak punya kawan yang seiiring jalan, apatah lagi untuk diajak berunding membincangkan seni dan budaya. Barangkali akibat kesepiannya itulah maka Tengku Alaudin sering menyempatkan diri hadir di Rumah Gapena setiap kali ada kegiatan. Malah rasa sepinya ini dilahirkan ketika menutup Dialog Pantai III petang Sabtunya.

Tengku Alaudin, seorang pelukis, memberikan kebebasan kepada anak-anaknya untuk memenuhi masa lapangnya. Ternyata mereka tertarik untuk melibatkan diri dalam bidang teater. Mereka bergiat dalam bidang itu, malah mana teater yang dipersembahkan di sekitar ibukota yang mereka tidak kunjungi. Minat anak-anak Tengku Alaudin itu semacam menjadi penghibur kepadanya. "Kadang-kadang saya tidak terfikir mereka begitu matang bercakap tentang teater, pada hal mereka hanya anak muda," kata Tengku Alaudin.

Ramai yang menilai ada sesuatu dalam diri Tengku Alaudin yang menyebabkan penulis dan penggita budaya terasa mesra apabila bersamanya. Apakah kesungguhnanya dalam memupuk seni budaya bangasa melalui jawatannya di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan atau tutur bicaranya tentang seni budaya yang mempunyai "wave-length" yang setara dengan penulis dan penggiat seni yang bernaung di bawah badan-badan penulis baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat nasional. Seorang budayawan senior pernah menyamakan Tengku Alaudin dari segi kegiatannya dengan Tan Sri Ismail Hussein sendiri. "Lihat sahaja bidang mereka dalam seni budaya. Ismail bidangnya bahasa manakala Tengku Alaudin seni lukis. Dan lihat sahaja seorang yang mempunyai pangkat tinggi dalam kerajaan sanggup mengatur kerusi dan meja hanya semata-mata untuk menjayakan sesuatu acara," kata budayawan itu.


Tan Sri Ismail Husein (barisan depan kanan) bersama Tengku Dato' Alauddin di Persidangan Permuafakatan Melayu di Johor Bahru, 4 April 2008 yang lalu.

Ada pula yang melihat wujudnya "Ismail Hussein" dalam diri Tengku Alaudin. Maksudnya, penampilan dan kepimpinan kedua-dua tokoh ini, terutama dalam berpersatuan dan kerja-kerja sukarela. Ismail Hussein telah ditahan uji kepimpinannya dalam Gapena, malah Gapena itu sendiri sudah sinonim dengan namanya. Walaupun kepimpinannya pernah dicabar dan digugat pada satu ketika tetapi karisme dan keikhlasan Ismail menjadikan kedudukannya dalam Gapena tidak tergoyahkan. Sesetengah pemerhati berpendapat Ismail Hussein tidak dapat dipisahkan kecuali hukum Qada' dan Qadar. Dan pada yang sama Tengku Alaudin dipandang sebagai tokoh yang dapat meneruskan kepemimpinan Ismail Hussein dalam badan induk itu. Setidak-tidaknya ada seorang dua dalam jawatankuasa Pusat Gapena mahu Tengku Alaudin dipersiapkan sebagai pemimpin pelapis selepas Ismail Hussein.

Saya cuba mendapatkan reaksinya tentang kemungkinannya dipersiapkan untuk tugas berat yang dipikul Ismail sekarang, Tengku Alaudin tidak begitu responsif, tetapi saya seperti merasakan bahawa dia adalah salah seorang yang paling sesuai untuk memikul beban tugas dalam Gapena. Saya katakan kepadanya bahawa gandingannya bersama Zainal Borhan dan Hamzah Hamdani akan membawa Gapena ke suatu hala yang terarah seperti yang telah ditunjukkan Ismail Hussein dulu dan sekarang. Pengalaman mentadbir dan mengurus dalam kerajaan adalah aset yang penting seperti halnya Ismail Hussein ketika bertugas dri Universiti Malaya dahulu.

Ketokohan Tengku Alaudin dalam kerajaan tidak siapa boleh pertikaikan. Yang diperlukan ialah mengimbangi ketokohannya itu dalam dunia persuratan dan seni budaya di dalam dan luar negeri. Jejak-jejak langkah Ismail Hussein mendekatkan Melayu diaspora sehingga bangsa yang terpencar-pencar di seluruh dunia itu menganggap Kuala Lumpur sebagai ibukota budaya mereka, perlu "dihidu" Tengku Alaudin sebagai langkah awal menebarkan jala pengaruhnya di luar negara. Sebaiknya mulai sekarang Tengku Alaudin diberi kesempatan untuk bersama-sama Ismail Hussein "meredah belantara budaya Melayu di luar Malaysia" agar dia sedikit demi sedikit mendapatkan momentum yang diperlukan.

Kurang pasti apakah idea cuba mengenengahkan pemimpin pelapis dalam Gapena pada waktu ini meruapakan satu langkah positif, terutama ketika Gapena sedang merancang kegiatan untuk menyambut Ulang Tahun ke-30 penubuhannya tahun 2000 nanti? Cuma satu hal jelas bahawa Gapena sebagai badan induk kepada 23 badan gabungannya telah sepatutnya mula mencari dan mempersiapkan pemimpin pelapisnya menuju alaf baru. Adalah tidak wajar keadaan kepemimpinan dibiarkan berada dalam kekosongan sedangkan Gapena harus terus menonjol sebagai satu-satunya pertubuhan NGO yang mewakili kaum budayawan dan seniman di peringkat nasional. Dua tiga biji bintang yang mula bergemerlapan di alam cekrawala seni budaya kita hari ini sudah sepatutnya diberikan perhatian. Salah satu daripadanya ialah Tengku Alaudin Tengku Majid, yang banyak berjasa meningkatkan dan menghidupkan seni budaya kebangsaan di peringkat kementerian. Tidak siapa yang berani menolak kemungkinan Akademi Seni Kebangsaan yang semakin popular di kalangan seniman muda untuk menimba ilmu merupakan salah satu kegiatan kementerian yang Tengku Alaudin sendiri menjadi "tangan pentingnya".

Bas yang membawa kami pulang ke Kuantan dari Pekan berhenti di Hotel Vistana kurang lebih pukul 12.45 tengah malam. Saya mengucapkan selamat malam kepadanya sebelum meneruskan perjalanan menuju d' Village, hotel penginapan saya kira-kira 13 kilometer ke utara. Dalam perjalanan menuju hotel, saya membayangkan keadaan Tengku Alaudin yang tidak akan sepi lagi setalah dia berusia 55 tahun di permulaan alaf baru tahun 2000. Pada usia bersaranya dia akan mula sibuk mengatur rutin hidupnya bersama para seniman dan budayawan tanah air, jauh dari kesibukan dan kerenah pentadbiran dan pengurusan kerajaan.

5 November 1999

Komen:

Sebagai anggota Kelab Warga Emas, Tengku menumpukan masa dalam kegiatan GAPENA. Beliau merupakan salah seorang tokoh penting pertubuhan itu dan menjadi tokoh kanan dalam usaha GAPENA memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di negara ini. Barangkali pula bakat melukis yang ada padanya akan meningkatkan pula kepekaannya tentang alam sekitar melalui rakaman dan lakaran abadi lembut gemalai tangannya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).