Wednesday 30 April 2008

TENAS EFFENDY MENILAI RESAH RASA ORANG MELAYU


Tim Jejak Bahasa di kediaman Pak Tenas (lima dari kiri) di Pekan Baru, Riau, tahun 2000, setelah jamuan pengat pulut durian.

Menyelami Resah Rasa Orang Riau

Bulan bulan lalu, persisnya 20 November 2000, saya sempat bersembang dengan Tengku Nasaruddin Effendy atau senang dengan sebuatan Pak Tenas di rumahnya di Pekan Baru, Riau. Pak Tenas berpakaian baju Melayu dan berkain palikat. Cara berpakaiannya tidak ada bezanya dengan cara berpakaian orang Melayu di Semenanjung. "Ya, saya kan orang Melayu," katanya. Pun Pak Tenas ini adalah salah seorang waris keturunan kerabat Diraja Kerajaan Kampar Tua (Pelalawan). Masih ingat bagaimana Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka terakhir bersama permaisuri baginda Tuan Fatimah melarikan diri dari Portugis ke Kampar lalu menjadi raja di sana?

Pak Tenas orang Melayu. Cakapnya pun lebih banyak dialek Johornya berbanding dialek "orang seberang", walaupun Pak Tenas disitilahkan sebagai orang seberang. Orang Sumatera. Berada di sisinya bersama anggota rombongan Jejak Bahasa yang melakukan penggambaran di kediamannya itu bagaikan kita berada di kalangan anggota kerabat sahaja. Saling tak tumpah.

Bagaimanapun ada sesuatu yang sedikit mengharukan dalam sembang-sembang pagi itu. Sebabnya baru semalamnya suratkabar "Riau Pos" menyiarkan liputan khas tentang apa yang dianggap sebagai "ada fenomena menarik terjadi pada masyarakat Riau." Fenomena itu barupa wujudnya keinginan "yang menggebu-gebu dari masyarakat Kepulauan Riau untuk memisahkan diri daripada Provinsi (Negeri) Riau dengan membentuk provinsi sendiri." Bagaimanapun sehingga hari ini niat Kepulauan Riau itu belum mendapat restu dari Gabenor dan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau. Akibatnya, tulis Riau Pos lagi, "seolah-olah terjadi perpecahan antara masyarakat Kepulauan Riau dengan masyarakat yang ada di daerah Riau Daratan?

Benarkah? Saya minta pandangan Pak Tenas setelah membaca liputan khas Riau Pos itu. Jawapan Pak Tenas persis seperti apa yang dilaporkan Riau Pos. Pak Tenas akur bahawa persatuan Riau tidak lagi ditemukan. Hal ini disebabkan pergeseran pandangan antara orang politik dengan orang politik sendiri dan orang budaya dengan orang politik. Kata Pak Tenas, "Persebatian Riau yang seharusnya tetap terjaga, kini sudah tidak ada lagi. Riau sudah terkotak-kotak dalam satu komuniti politik yang berbeza-beza yang memunculkan kepentingan peribadi atau golongan sahaja, bukan kepentingan bersama."

Pak Tenas menghimbau zaman silam sejarah Riau. Menurutnya, dahulu puak Melayu Riau ini memiliki latar perjuangan sejarah yang kukuh. Katanya, "Persatuan Melayu itu dulunya kukuh. Jangankan yang ada di Riau sahaja, puak Melayu yang tergabung dalam semenanjung ini termasuk Singapura, Johor dan Riau pernah punya satu visi. Namun berpisahnya mereka bukan disebabkan keinginan sendiri, melainkan kerana penjajahan Inggeris dan Belanda dan terpisahnya selat."

"Mahu dibawa ke mana Riau ini sebenarnya? Pertanyaan ini sering dikemukakan oleh ramai orang politik dan budaya di Pekan Baru. Tidak terkecuali Pak Tenas. Katanya, "Perlu ada kesepakatan bersama, ataupun rekonsiliasi. Mahu kita jadikan apa negeri kita ini?"

Persoalannya ialah bagaimana mulanya timbul perpecahan antara sesama elit politik dan budaya ini? Ada yang menyebut semuanya bermula dari meruncingnya hubungan antara Tanjung Pinang (Kepulauan Riau) dengan Pekan Baru (Riau Daratan). Umum menganggap hubungan dan konflik ini sebenarnya adalah antara daratan dan kepulauan. Malah dikatakan ada tanda wujudnya ketegangan antara Gabenor Riau, Saleh Djasit dengan Bupati Kepulauan Riau yang baru terpilih, Huzrin Hood. Hal ini ada kaitannya dengan usaha masyarakat Kepulauan Riau membentuk apa yang disebut Badan Persiapan pembentukan Propinsi Kepulauan Riau. Badan ini diketuai oleh Huzrin sendiri.

Gabenor Riau mahu dialog diadakan sebelum badan pemisah ini mahu meneruskan rancangan untuk ke Jakarta menemui Dewan Perwakilan Rakyat bagi mendapatkan restu. Namun Gabenor sedikit kesal kerana badan itu sudah mendahului "hasil dialog". Pemergian Huzrin dan kawan-kawan seperti membelakangi autoritinya sebaga seorang gabenor. Mengapa terjadi demikian sehingga Huzrin tergesa-gesa ke Jakarta mengadu hal. Dr Alfitra Salam, seorang pemerhati politik Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) yang mendapatkan ijazah kedoktorangnya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa tahun dahulu membayangkan bahawa tindakan tergesa-gesa Huzrin itu ada kaitananya dengan rasa kecewa terhadap pemerintah daerah dan pusat yang selama ini "secara politik memang kurang mendapat perhatian." Malah Presiden Gus Dur sendiri pernah mengulas bahawa "Riau tidak ada apa-apanya."

Kata Alfitrah, "Ini juga menunjukkan sikap kekecewaan masyarakat marginal yang selama ini terpinggirkan dan semakin terpinggir. Autonomi merupakan peluang untuk meningkatkan harkat dan harga diri yang selama ini diinjak-injak." Pandangan Alfitrah ini tiada bezanya dengan pandangan Dr. Yusmar Yusuff, Ketua Pusat Bahasa dan Kebudayaan Melayu Universiti Riau yang saya temui sebelumnya. Cuma katanya, "untuk permulaan kita akan berjuang secara intelektuil, bukan secara politik." Yusmar cukup terkesan dengan ulasan Gus Dur bahawa "Riau tidak ada apa-apanya", padahal menurutnya Riau kaya sumber enerji seperti minyak dan kelapa sawitnya. Bagaimanapun, sikap kecewa Yusmar adalah berpunca dari Jakarta yang menganggap Riau tidak ada apa-apanya.

Alfitrah kecewa dengan sikap Huzrin yang tergesa-gesa mengadu hal ke Jakarta. Katanya, "Seandainya Huzrin agak sabar sedikit dan mengikuti aturan-aturan yang telah ada, saya yakin dia bisa memimpin kepulauan Riau tanpa ada polemik seperti sekarang ini. Tapi kenyataannya Huzrin telah memilih jalan yang salah."

Namun diakui Bupati Huzrin merupakan tokoh dari kelupulauan Riau yang memilik karisme. Alfitrah melihat Huzrin sebagai aset bangsa Melayu di kepulauan itu. Cuma dia tidak sabar. Dan sikapnya dimanfaatkan oleh golongan politik yang menentang rancangannya untuk "membebaskan kepulauan Riau dari Riau Daratan."

Bukan tidak mungkin sikap tak sabar Huzrin ini disebabkan oleh keputusan Dewan Undangan Negeri (DPRD) Riau yang menolak pembentukan propinsi (negeri) Kepulauan Riau, terpisah dari Propinsi Riau yang ada sekarang. Ertinya harapan masyarakat Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi baru setaraf dengan Sumatera Barat atau Jawa Barat mahupun Sumatera Utara belum kesampaian. Kepulauan itu buat sementara akan tetap menjadi sebuah daerah dalam Propinsi Riau, seperti halnya daerah Sepang dalam negeri Selangor, misalnya.

Ini membuatkan Huzrin hilang sabar kerana telah begitu banyak dialog diadakan antara orang kepulauan dengan orang daratan Riau tapi belum mendatangkan hasil yang positif kepada orang kepulauan. Huzrin barangkali berfikir kalau Banten dan Pulau Bangka telah diizinkan untuk membentuk propinsi sendiri mengapa permintaan Kepulauan Riau untuk menjadi propionsi masih juga dihalang-halang?

Dalam hal ini pula Alfitrah mencadangkan empat perkara dasar yang perlu dirujuk sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ini. Pertama, peraturan mengenai proses pembentukan propinsi dan sebagainya perlu ditegakkan. Kedua, Gabenor Riau harus tegas mengamanahkan kepada Bupati sebagai pentabdir sementara "caretaker" kepulauan Riau secepatnya. Ketiga, Tokoh-tokoh dari Kepulauan Riau dan di peringkat propinsi perlu menahan diri dan melakukan usaha yang lebih beretika, misalnya mengadakan dialog yang lebih intim dan berdasarkan kekeluargaan. Keempat, propinsi Riau perlu menyatakan secara tegas bahwa masa depan Kepulauan Riau untuk menjadi sebuah propinsi tersendiri dan bebas dari Propinsi Riau yang sekarang ini masih terbuka luas. Kata Alfitrah, "Ada baiknya DPRD Propinsi Riau meninjau kembali keputusannya menolak pembentukan propinsi Kepulauan Riau. Mesti ada saling memberi dan menerima."

Riau hari ini mempunyai 15 kabupaten (daerah) termasuk lapan yang baru. Empat daripadanya adalah kabupaten induk. "Ini satu tugas berat untuk membenahinya," tutur Pak Tenas. "Ia memerlukan sikap berbaik-baik atau rekonsiliasi. Kita selesaikan satu, satu." Pak Tenas mahu proses berbaik-baik ini dimulakan dari peringkat bawahan. Ia bukan milik orang politik atasa sahaja. Pak Tenas berharap ia bermula di peringkat kabupaten melalui Dewan Undangan Negerinya ataupun lembaga adatnya. "Carilah kesepakatan bersama. Bukan orang elit politik sahaja tapi akan menyeluruh kepada semua masyarakat," katanya.

Pak tenas yakin perjuangan memperbaiki nasib Riau bukanlah milik "segolongan orang sahaja". Semua golongan dan lapisan masyarakat Riau, baik rakyat biasa, mahasiswa, golongan intelek patut direngkuh untuk menghasilkan kesepakatan bersama ini. Katanya, "Kita selama ini hanya terpukau dengan apa yang ada di Pekan Baru, sehingga tokoh-tokoh berpotensi di daerah-daerah dilupakan dan mereka tersingkir." Pak Tenas melihat proses mencar kesepatan bersama itu boleh dimulakan dengan pertemuan tidak formal dengan menggunakan pendekatan kebudayaan dan wadah silaturrahim. Kata Pak Tenas, "Kalau bisa ini yang harus sering kita lakukan. Mencari kesepakatan bersama ini harus dimulai dengan hal-hal yang sifatnya informal."

Apapun jua ada yang serius mengakui bahawa kekalutan ini berpunca dari krisis ketokohan. Di Riau diperkirakan tidak ada tokoh yang suaranya mahu didengar oleh Jakarta. Setidk-tidaknya inilah anggapan Alfitrah. "Dulu kita ada Tabrani tapi dia telah melakukan pengkhianatan terhadap perjuangan masyarakat Riau. Ada baiknya dia kembali ke pangkal jalan." Bagaimana dengan Huzni, Bupati dari tanjung Pinang itu? Kata Alfitrah, "Huzrin akan mendapat dukungan seluruh masyarakat Riau andaikata dia berada pada blok Riau Merdeka. Andaikata dia ambil alih kedudukan Tabrani saya kira dosa-dosanya akan dimaafkan." Satu pandangan yang sedikit radikal berbanding pandangan Pak Tenas, tokoh budaya dari Pekan Baru itu.

A.F.Yassin
19. 12. 2000.

GHAFAR BABA DI TEBAT KERING KUALA PILAH

EKSPEDISI KE TEBAT KERING KUALA PILAH 9 SEPTEMBER 06.

Ke Kampung Tebat Kering, Kuala Pilah bersama Norhalim Ibrahim, ahli sejarah dan budaya Negeri Sembilan. Bertolak dari Seremban pukul 10.30 pagi. Yang menjadi pemandu ekspedisi ialah Dato’ Khalid bin Bonget, bergelar Dato’ Seri Maharaja, Lembaga Suku Mungkal, Luak Ulu Muar. Di perkenalkan di depan Masjid Pekan Kuala Pilah dan darapan sebelum memulakan ekspedisi.

Menurut bekas To’ Empat Jamaluddin Ali yang sama bersekolah dengan Tun Ghafar Baba, dan kini tinggal di Sawah Lebar, Kg. Tebat Kering, Bukit tembusu itu asalnya bernama Kg. Jawa. Dikatakan di situ ramai penduduk dari keturunan Jawa yang bekerja menjual sate dan menarik kereta lembu. Ayah Ghafar, Baba bin Abdullah pindah ke Kg. Jawa ini atas desakan hidup di Melaka mungkin dipanggil abangnya Hitam yang berkahwin dengan Peah di kampung ini. Peah adalah dari suku Biduanda.

Tapak rumah Peah dan Baba di Kg. Jawa yang sekarang dinamakan Tebat Kering (Tobek Koring) dan seluruh kawasan tanah kira-kira 1 pole (boleh bangun dua rumah) telah dijual dua tahun dahulu (2004) kepada orang lain. Tapak rumah itu berjiran pula dengan Cikgu Othman Abu Samah. Tanah ini betul-betul di persimpangan tiga Taman Tebat Kering.

Isteri Jamaluddin bernama Khadijah Yunus. Yunus bapa Khadijah bekas guru pelawat di zaman Tun Ghafar.

Perbualan dengan bekas To’ Empat, Jamaluddin Ali dan isterinya Hajah Khadijah Yunus di rumahnya di Sawah Lebar, Kuala Pilah. Perbualan berlangsung pada pukul 12.30 tangah hari.

Encik Jamaluddin ini sudah kelihatan uzur berusia 84 tahun, sementara Cikgu Othman, jiran sebelah rumah keluarga Tun Ghafar berusia 79 tahun. Menurut Jamaludin, Ghafar kutip bulu golf dan tenis dan kemudian menyerahkannya kepada Mat Saleh di Kelab Ulu Muar, yang terletak kira-kira 1.5 kilometer di tempat padang golf itu. Ghafar dan kawan-kawan akan diberikan kira-kira $1 (duit sekarang). Bola golf itu dikutif di kawasan lekuk antara Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah, (sekarang Pejabat PPD Kuala Pilah) hingga membawa ke masjid yang berada sekarang. Sekolah Ghafar terletak di mana Pusat Kesihatan dan Sekolah Kindergaten berada sekarang. Jadi Ghafar akan ke kawasan lekuk padang golf itu dan membawanya ke kelab Ulu Muar yang terpaksa melalui depan sekolahnya dahulu. Dengan duit itu dia pulang ke rumahnya di Tebat Kering, kira-kira 1 kilometer ke selatan (sekarang ini Taman Tebat Kering).

Hajah Khadijah menafikan sekeras-kerasnya Ghafar terlalu miskin sampai kurang makan dan terpaksa pungut bola golf untuk mencari sesuap nasi. Khadijah juga menafikan yang Ghafar jarang pulang ke rumah, tidur rumah kawan-kawan kerana tidak ada siapa yang menjaganya. Menurut Khadijah, semiskin-miskin orang Kuala Pilah tidak ada yang sampai tak makan dan bekerja macam usia Ghafar. Memang betul ayah Ghafar bawa kereta lembu dan bawa teksi, tapi jarang tak makan. Bila ayah Ghafar meninggal, Ghafar adalah di bawah jagaan ibunya dan juga bapak saudaranya Hitam, yang rumahnya berdekatan dengan kawasan lekuk Sek Kebangsaan Kuala Pilah. Khadijah tidak yakin Ghafar akan ditinggalkan begitu sahaja oleh bapa saudaranya. Adat orang Kuala Pilah atau Negeri Sembilan, jarang meninggalkan anak saudaranya tak makan. Ada kemungkinan Ghafar mahu mencari duit sedikit membantu ibunya atau untuk kegunaannya sendiri maka beliau sanggup mengutip bola golf. Buku Titianku, memoir Ghafar Baba tidak pula menceritakan lebih lanjut tentang zaman kecil-kecilnya.

Rumah ibu bapa Ghafar agak besar juga. Walaupun rumahnya tidak ada lagi tetapi Cikgu Othman menunjukkan contoh rumah ibu bapa Ghafar yaang terletak di Jalan Kuala Pilah-Tampin. Rumah itu seperti rumah minang yang bahagian serambinya terbuka. Atap rumbia dan bumbungnya serdikit melengkung. Kawasan tapak rumah dan tanah yang dimiliki ibu Ghafar satu ketika dahulu semak samun. Tanah ini telah dijual kepada orang lain kira-kira dua tahun dahulu.

Kampung Tebat Kering ini bukanlah sebuah kampung yang jauh di hulu, tetapi di tenagah-tengah pekan Kuala Pilah. Berhampiran pula dengan Kelab Ulu Muar dan sebelah utara sedikit berhampiran dengan masjid sekarang kawasan padang golf kelab. Pekan Kuala Pilah itu sendiri berada di tengah-tengah antara Padang Kelab Golf dengan Kelab Ulu Muar. Sekolah Ghafar berada di sebelah kiri Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran dengan persimpangan jalan Kuala Pilah-Tampin dan Kuala Pilah-Seremban. Di depan Kelab Golg Ulu Muar ada padang dan di tepi padang berdepan dengan Kelab terdapat Sekolah Tamil. Berhampiran tapak rumah Ibu bapa Ghafar terdapat pula Sekolah Menengah Cina. Tidak diduga sekarang kawasan ini adalah kawasan strategik dan menemnpatkan rumah-rumah kerajaan yang tidak lagi didiami di pekan Kuala Pilah.

UKM, 12 September 2006 pukul 1.01 petang.

RAHIM BAKAR YANG MANA SATU?


ABD. RAHIM ABU BAKAR (DATO’, HAJI)

Nama : Abd. Rahim Bin Abu Bakar. Nama panggilan di kalangan anggota keluarga dan kawan-kawan Yusof. Lahir di Beserah, Kuantan, Pahang pada Februari 1943.

Pendidikan: Sekolah rendah di Sekolah Sultan Abdullah. Sekolah menengah di Sekolah Sultan Abu Bakar sebelum ke English College di Johor Bahru. Melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam bidang Ekonomi.

Kerjaya: Mula bekerja sebagai Penolong Setiausaha pada tahun 1966. Pada tahun berikutnya dilantik Penolong Pegawai Daerah Temerloh sehingga 1969. Dilantik sebagai Pengerusi Majlis Bandaran Kuantan 1969-1972. Pada tahun 1971-1972 dilantik sebagai Penolong Setiausaha , Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Pada tahun 1972 dilantik Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Negeri Pahang.

Abd. Rahim menjadi Menteri Besar pada 19 Julai 1978 hingga 7 November 1981. Setelah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Pahang, Abd. Rahim dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 16 Oktober 1982. Dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos pada Julai 1984 hingga Ogos 1986. Pada November 1986 Abd. Rahim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hingga 17 Oktober 2002.

Abd. Rahim kini bertugas sebagai Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan mulai tahun 1990, Pengerusi Shamelin Holdings Sdn. Bhd mulai 1991, Pengerusi Koperasi Shamelin Berhad mulai 1991 dan Pengerusi Plantation & Development (M) Bhd mulai tahun 2000.

Gelaran: Dikurniai bintang Seri Mahkota Pahang (SMP), Ahli Mangku Negara (AMN) dan anugerah Pahang Youth. Pada tahun 1990, dikurniai Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’.

Pernyataan Perjuangan Dalam bidang Bahasa: Bahasa adalah perjuangan bangsa dan telah diterima sebagai sebahagianperjuangan ahli politik Melayu. Kemajuan pembinaan bahasa yang bermaruah telah banyak memberikan sumbangan dalam usaha pembinaan Negara Bangsa. Kedaulatan bahasa Melayu telah mengukuhkan jati diri dan memberikan keyakinan diri kepada orang Melayu sehingga meruntuhkan tembok psikologi yang merupakan penghalang kamajuan mereka.

Orang Melayu telah mula menunjukkan keberadaannya yang bermakna dalam semua bidang kehidupan. Namun akhir-akhir ini kelihatan adanya gerakan menidakkan kewibawaan bahasa Melayu dengan alasan bahawa orang Melayu hanya dapat maju dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam era globalisasi ini. Malangnya mereka yang berpendapat demikian adalah daripada kalangan yang mengaku Melayu dan pemimpin Melayu. Pemimpin-pemimpin politik sudah tidak dapat diharapkan lagi untuk memperjuangkan bahasa Melayu. Jentera kerajaan yang diberi amanah menggerakkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu pula kelihatan semakin tidak berkesan dalam pelaksanaan dasar bahasa Negara. Oleh itu, bahasa Melayu masih berkehendak akan perjuangan yang berterusan, malah dengan lebih gigih lagi tanpa menghiraukan label sebagai pengkhianat dan emosional.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).