Tuesday 9 March 2010

AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM DR. UMAR JUNUS


Dr, Umar Junus foto tahun 1981 dari WAJAH terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.


Buku Dari Kata Ke ideologi kumpulan esei Dr. Umar Junus selenggaraan Dr. Awang Sariyan

Saya dikejutkan oleh panggilan telfon Jaafar Rahim kira-kira 7,30 pagi ini.
Dah dengar berita? Belum. Pak Umar dah meninggal. Innalillah!
Bila? Malam tadi 9.00 malam. Oleh kerana masih berada di luar Kuala Lumpur maka tidak ada peluang untuk menziarahinya buat kali terakhir.

Memang sudah lama juga tidak ada perkabaran daripada beliau kerana mengikut Awang Sariyan beliau dalam keadaan uzur. Satu ketika, semasa bertugas di Penerbit Fajar Bakti saya berkesempatan mendekati Allahyarham dengan lebih dekat. Malah Dr. Awang Sariyan memperkenalkan saya kepadanya dan Awang mencadangkan supaya saya memberi pertimbangan kepada manuskrip berupa kumpulan esei pilihan Umar Junus yang diselenggarakan Awang pada awal tahun 1985, saya teruja untuk menerbitkannya setelah nanti mendapat kelulusan pihak pengurusan.

Manuskrip itu akhirnya diterbitkan dengan judul Dari Kata Ke Ideologi: Persoalan Stilistik Melayu pada tahun yang sama (1985). Buku setebal 263 halaman itu memuatkan 18 esei pilihan Umar Junus lengkap dengan temu bual penyelenggara (Awang Sariyan) dengan Umar Junus. Ke lapan belas esei itu dikelompokkan kepada empat kategori, iaitu (1). Pengantar ke Stilistik, (2). Penilaian Stilistik, (3). Stilistik Menurut Zaman, dan (4). Penulis Dengan Audien.

Bagi Penerbit Fajar Bakti , kedatangan manuskrip itu bagaikan sebuah permata yang “datang bergolek” apatah lagi ia disusun oleh seorang ahli bahasa kawakan seperti Awang Sariyan. Dalam proses penerbitannya, saya meminta Allahyarham Ma’rof Saad mengendalikannya. Ma’rof baru sahaja beberapa bulan bertugas di Fajar Bakti tetapi pengalamannya mengasuh Dewan Sastera bersama-sama Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Shamsuddin Jaafar, ketika bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka meyakinkan saya tentang kemampuannya. Ma’rof ditunjuk ajar oleh editor kanan Fajar Bakti. Abdul Majid Baharom yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Perkamusan, Bahasa dan Sastra.

Saya tertarik dengan manuskrip ini, terutama yang berhubung dengan teks temu bual yang dikaitkan dengan sikap dan pemikiran Umar Junus. Temu bual antara Awang Sariyan dengan Umar Junus berlangsung pada 6 Februari 1984. Keseluruhan temu bual adalah tentang beberapa persoalan stilistik dan sastera Melayu. Kadang-kadang terfikir juga bagaimana seorang ahli bahasa seperti Awang Sariyan begitu berminat untuk menyelenggarakan esei-esei Umar Junus yang hampir keseluruhannya pula berlandaskan sastera dan kesasteraan. Dan Lebih menarik pula apabila Awang Sariyan memulakan dengan soalan pertamanya seperti berikut:

“Mula-mula saya harap Umar Junus dapat memberikan tanggapan umum terhadap sastera sebagai satu kreativiti dan eagai satu disiplin, kerana sastera dapat dilihat sebagai satu kegiatan kreatif dan dapat juga dilihat sebagai satu disiplin imu. Jadi apakah pendapat Pak Umar tentang dikotomi sastera sebagai sastera kreatif dan non-kreatif?”

Umar Junus: Dalam hubungan ini kita mesti membedakan sastera kreatif yang lebih merupakan satu kegiatan penghasilan karya sastera daripada sastera yang satu lagi, iaitu ilmu sastera. Dalam hubungan ini, yang kedua itu mesti merupakan satu ilmu dengan dasar-dasar teorinya sendiri ataupun dengar dasar-dasar penelitiannya sendiri. Persoalannya sekarang adalah tentang ilmu sastera. Ilmu sastera boleh dikatakan suatu hal yang sangat baru, dengan erti bahawa baru-baru ini orang mempersoalkan teori-teori yang berhubungan dengan sastera sahaja.

Sebelumnya orang lebih banyak membicarakan sastera dengan menggunakan common sense, misalnya karya ini baik dan sebagainya. Hanya beberapa adjektif saja yang dapat digunakan tanpa melihat sistematiknya. Mereka tidak pernah melihat karya sastera sebagai suatu sistematik. Dalam ilmu sastera kita berusaha untuk mendapatkan karya sastera sebagai suatu sistematik kerana dalam hubungannya sekarang ada berbagai-bagai sistematik yang digunakan orang untuk menemukan sistematik yang ada dalam karya sastera.

Dengan itu ada berbagai-bagai perkembangan seperti strukturalisme, dekonstrukturalisme ataupun reception aesthetics ataupun bermacam-macam hal yang mencuba melihat sesebuah karya dalam satu kerangka yang sistematik. Ini tidak menghindari atau menghalangi adanya anggapan bahawa karya sastera itu adalah satu-satunya yang kreatif. Itu hakikat penciptaan sastera yang kreatif, tetapi dalam penganalisaanya kita mesti melihatnya sebagai sesuatu yang dikuasai oleh satu sistematik.

Dalam hubungan dengan bahasa Umar melihat adanya sumbangan linguistik kepada perkembangan penelitian tentang hubungan bahasa dan sastera. Umar menyatakan suatu hal yang negatif terhadap perkembangan teori yang ada. Menurutnya, jika hanya seseorang itu hanya melaksanakan teori yang ada dengan langkah-langkah yang sedia ada, munkin dia tidak akan sampai kepada hal itu. Katanya, kita mesti mencari hakikat sesuatu teori, bukan langkah-langkahnya.

Pada akhir temu bual Awang Sariyan ingin mendapatkan pandangan Umar terhadap perkembangan sastera dan penyelidikan sastera Melayu.

“Saya mengharapkan bahawa seseorang penulis akan dapat mengembangkan dirinya sehingga menghasilkan karya-karya yang berbeda daripada karya sebelumnya; dan seorang peneliti perlu sekali membekal diri mereka dengan teori-teori untuk mengembangkan diri mereka sendiri supaya dapat melihat karya kita, terlepas daripada aplikasi dari teori luar secara ketat.”

Dalam kata pengantarnya, Awang Sariyan pada mulanya menghadapi kesulitan mengikuti jalan pemikiran penulisnya. Awang Sariyan tak dapat dengan mudah menemukan sesuatu maklumat yang biasanya dengan mudah diperoleh Awang Sariyan tentang yang berkait dengan sastera. Demikianlah Awang ketika mula-mula mengikut tulisan Umar Junus tentang sastera. Hal itulah akhirnya mendorong Awang Sariyan untuk mengenali sikap dan pemikiran Umar Junus dengan lebih dekat, terutama yang ada kaitannya dengan stilistik sastera.

Awang Sariyan yakin tulisan Umar Junus kuat pertaliannya dengan sikap dan cara kerja Umar Junus dalam meneliti sastera. Umar cuba membawa suatu perspektif yang menurutnya lebih wajar untuk sastera Melayu. Umar Junus ingin menujunkkan bahawa peneliti sastera seperti kata Umar Junus “tidak perlu terikat kepada teori yang dipelajarinya.” Tetapi ia tidak bererti bahwa Umar Junu menolak teori yang ada. Umar Junus malah menganjurkan bahawa peneliti sastera harus peka terhadap perkembangan teori. Namun yang penting bagi Umar Juns ialah usaha mengembangkan sesuatu teori itu sesuai dengan kenyataan yang ada dalam sastera kita.

Di bahagian akhir kata pengantarnya Awang Sariyan menulis bahawa Umar Junus menimbulkan beberapa banyak hal yang kontroversial tetapi penting. Umar Junus mengajak pembaca memahami erti sastera, perkembangan teori-teori sastera, soal ideologi dalam karya sastera, persoalan isi dan bentuk, soal keindahan sastera, metodologi penelitian sastera, sosiologi sastera, hakikat Sejarah Melayu yang sebenarnya, komitmen penulis, dunia penulis dan dunia pembaca dan hubungannya dengan bahasa satera.. Awang Sariyan menyiapkan Kata Pengantar ini pada 8 Mac 1984, iaitu pada hari ini 26 tahun yang lalu.

Demikianlah Allahyarham daripaada kaca mata Awang Sariyan yang berjaya mengumpulkan 18 buah daripada esei terbaik Umar Junus dalam bidang sastera. Khabarnya karya terbaru Allahyarham telah pun diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi entah di mana silapnya naskhah pengarang belum sempat diterima Allahyarham yang dalam keadaan uzur beberapa waktu. Saya pasti Allahyarham tentunya akan melihat karya terakhirnya itu dengan rasa puas dan syukur, Namun Allah lebih menyayanginya.
Allahyarham adalah anak kelahiran Silugkang, Sumatera Barat, daerah yang terkenal dengan kain pelikat silungkang pada 2 Mei 1934. Dalam usia 76 tahun, Allahyarham merupakan seorang pengkritik sastera yang sangat produktif. Allahyarham adalah lulusan sarjana sastera dari Universitas Indonesia (UI) di Jakarta dan memperoleh ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya pada tahun 1983. Allahyarham seangkatan dengan pengkritik HB Jassin.

Wikipedia Indonesia menyebut dalam dunia penulisan esei dan kritikan, Allahyarham banyak menulis dalam Bahasa Melayu dan pernah juga menulis karya ilmiah dalam Bahasa Inggeris bagi jurnal luar negeri. Ia mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 1953. Buku-bukunya termasuklah Perkembangan Puisi Melayu Moden; Sosiologi Sastera; Persoalan Teori dan Metode dan antologi eseinya dalam Catatan Si Malin Kundang.
Buku terbaru yang tidak sempat dipegangnya ialah Perkembangan Gaya Bahasa BM. Buku ni diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).