Saturday 31 January 2009

DINO SS YANG KAMI TAHU

CATATAN A.F.YASSIN
Mengenang Dino Dari Sungai Sumum

Terima SMS daripada Wahba pagi Khamis minggu lalu. Bunyinya, " Ahmad Razali beritahu Dino SS meninggal. Kalau nak nak pergi tumpang sama." Spontan "Innalillah" terucapkan. Seorang lagi pergi meninggalkan kawan-kawan untuk meneruskan minat dalam bidang sastera. Usianya 59 tahun.

Tidak ramai kawan-kawan yang ditemui di rumah Allahyarham Dino atau nama penuhnya Mohd. Said Abd. Hamid. Barangkali sudah ramai yang mengunjunginya di sebelah pagi. Yang masih tercegat menunggu jenazah diusung ke surau berhampiran termasuk Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), Datuk A.Samad Said, Datuk Johan Jaafar, S. Othman kelantan, Wahid Kasran, Ahmad Razali (Dr.) dan Othman Shariff, jiran allahyarham yang paling dekat. Ariffin Said salah orang yang paling sibuk mengurus jenazah.

Jiran terdekat lain, seperti Maaruf Saad tidak kelihatan. Barangkali Maarof telah menziarahi pada sebelah paginya. Jiran-jiran lain seperti Othman Puteh dan Rahman Shaari tidak juga kelihatan. Khabarnya Othman tidak dapat membuat kunjungan hormat terakhir kerana masih membentang kertas kertas dalam satu symposium anjuran NUTP Terengganu. Sementara Rahman begitu terkilan kerana hanya mendapat tahu pemergian DINO sehari selepas pengkebumian.

Ahmad Razali sibuk membuat catatan sambil bertanya beberapa orang. Katanya dia diminta editor Dewan Sastera menulis "balasungkawa". Bagaimana Ahmad Razali akan menulisnya sehingga dua halaman majalah tidak dapat dipastikan kerana seperti kata Rahman " tidak banyak diketahui tentang Dino dalam bidang sastera."

Nama Dino SS dikaitkan dengan bidang puisi. Namun sebahagian besar usianya dia habiskan sebagai wartawan di Berita Harian, mengasuh ruangan pendidikan dan kemudian mengetuai unit sastera akhbar berkenaan. Pernah juga dipinjamkan untuk bertugas di Akademi Penulis Pena ketika itu bertempat di Lorong Lumba Kuda off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kawan-kawan yang mengunjungi allahyarham buat kali terakhir Khamis, 17 Julai itu tidak banyak bercakap tentangnya. Barangkali tidak ada apa yang dapat dicakapkan. Ada di kalangan kawan-kawan menyifatkan Dino begitu pendiam, sedikit "memencilkan" diri terutama sejak dia terkena angin ahmar bebera tahun dahulu. Menurut seorang ahli keluarganya Dino sihat-sihat sahaja dan tidak menunjukkan tanda-tanda sesuatu akan berlaku. Dia sedang membuat kerja-kerja terjemahan apabila muntah tiba-tiba. Dia dikejarkan ke hospital Umum Kuala Lumpur sebelum menghenbuskan nafas terakhir kira-kira 2.30 pagi.

Dalam tahun 1990an Rahman Shaari dalam kertas kerjanya "Penulis Muda dan Masa Depannya" yang dibentangkan sempena Hari Sastera Nasional di Shah Alam menyifatkan Dino sebagai seorang penulis yang tidak "mengambil kesempatan." Maksud Rahman biasanya jika ada penulis yang mengasuh sesuatu ruangan, dia akan memanfaatkan ruangan itu untuk menyiarkan karyanya. Katanya, "Ternyata Dino tidak berbuat begitu. Jarang sangat saya melihat karyanya tersiar dalam Berita Minggu sejak dia mengasuh ruangan itu."

Rahman tak pasti apakah Dino diberikan syarat oleh majikannya untuk tidak menyiarkan karya kreatifnya atau dia "segan" berbuat demikian bimbang "apa penulis lain akan kata." Atau Dino terikat dengan etika pengasuh ruangan yang lazimnya tidak akan memanfaatkan keadaan. Jika ini sikap Dino, sememangnya ia amat terpuji, jelas seorang kawan.

Rahman mengakui tidak begitu rapat dengan allahyarham, walaupun katanya, "Kami sama-sama menjadi anak angkat Usman Awang dalam erti mendapatkan tunjuk ajar dalam selok-belok penulisan. Kami tak geng sebenarnya." Bukan Dino dan Rahman sahaja yang menjadi anak angkat Usman yang tidak pernah kenal secara intim sesama sendiri, tetapi juga ramai yang lain yang mengaku pernah menjadi anak angkat sasterawan negara itu. Contohnya, Maaruf Saad dan Sutong Umar RS. Maaruf sendiri pernah tinggal bersama-sama Usman untuk beberapa ketika di Petaling Jaya dan Sutong Umar RS.

Rahman tidak ingat sajak Dino yang manakah yang pernah menghambat hatinya. Secara tersirat Rahman barangkali mahu menjelaskan bahawa jarang ada karya puisi Dino yang terserlah. Puisinya tidak banyak diperkatakan. Kata Rahman, "Ada sebuah dua yang dicipta Dino semasa dia di luar negeri. Saya lupa nama sajak itu, tetapi itulah saya amat meminatinya."

Biasanya Rahman ingat setiap sajak yang diminatinya, termasuk sajaknya sendiri. Malah dia mampu menghafal sajak-sajak itu. Sedikit aneh dia tidak mengingati judul sajak Dino yang dia minati. Apakah kerana Rahman "tidak geng" dengan Dino, maka dia tidak begitu ambil pusing dengan judul sajak Dino itu. A. Ghaffar Ibrahim akan lebih mesra dengan sajak-sajak Dino. Bukan sahaja sebagai jiran terdekat, Ghaffar dianggap kawan karib Dino dan membaca segala gerak tingkahnya dalam bidang puisi. Malah seangkatan kata seorang penyair.

Penglibatan Dino dalam Pena begitu aktif satu ketika. Pernah Dato' Ahmad Sebi Bakar, presiden PENA meminta kerjasamanya untuk rekrut lebih ramai ahli Pena dari kalangan wartawan Berita Harian. Dikatakan hasil jerih payah Dino jugalah Ahmad Sebi berjaya dipilih menjadi presiden sehinggalah ke hari ini. Dan bukan tidak mungkin kerana kegigihan Dino dalam dua bidang, wartawan dan sasterawan, maka Ahmad Sebi menggunakan jasa baiknya untuk Dino dipinjamkan ke Akademi Penulis.

Sebelum jenazah disembahyangkan di surau berhampiran, Wahid Kasran mengingatkan kami bahawa Dino lahir di seberang sungai sebelah Perak dan "saya lahir di seberang sungai di sebelah Selangor." Sunagi yang dimaksudkan Wahid ialah Sungai Bernam yang memisahkan dua negeri. Kata Wahid, "Tempat lahir saya Sabak Bernam. Tempat lahir Dino Bagan Datoh." Lebih tepat tempat lahir Dino di Kampung Sungai Sumun. Dan dua huruf "SS" di hujung nama Dino itu ialah "S" untuk Sungai dan satu "S" lagi untuk Sumun. Samad Said datang menyampuk, "Bukan Syok Sendiri."-ends.

Komen:
Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas rohnya. Amin!

Wednesday 28 January 2009

A MAKASAR MAN: HIS WORKS LIVE ON


Arenawati, the popular name of Muhammad Dahlan Abdul Biang from the Bugis land.

Published: Sunday January 25, 2009 MYT 8:41:00 PM
National laureate Arena Wati dies


KUALA LUMPUR: National laureate Muhammad Dahlan Abdul Baing, 84, better known as Arena Wati, died at the Universiti Kebangsaan Malaysia Hospital (HUKM) in Cheras at 1.40am Sunday, from lung cancer.

He was being treated at HUKM since Sept 20, and his wife Halimah Sulong and two of his children, Ratna Siti Akbari and Hasanuddin, were at his bedside when he breathed his last.

His remains were brought to the Federal Territory Mosque in Jalan Duta at noon for the funeral prayer before burial at 3pm at the Bukit Kiara Muslim cemetery.

Besides his wife, and Ratna and Hasanuddin, Arena Wati also leaves behind four other children, Rahmah Wati, Hirianty, Ilhamuddin and Kamaluddin Rostor.

Rahmah Wati, his eldest, said while warded, her late father was still writing his trilogy titled BaraBaraya.

“The trilogy -- which revolves around the struggles of the Malays in the archipelago -- is to be published this year,” she said.

Meanwhile, another national laureate, Tan Sri A. Samad Said, regards Arena Wati’s death as a big loss to the Malay literary world.

“He was very prolific as he was much inspired by his life’s experiences,” said Samad of his comrade.

Arena Wati, was born on July 30, 1925 in Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makasar, Indonesia and went to a Dutch school in Makasar before it was closed when the war broke out.

He had used other pen names such as Duta Muda and Patria. He won several awards like the SEA Write Award in 1985 and was made a national laureate in 1988.

Arena Wati also entered the journalistic world in 1954 and was once an editor at Pustaka Antara.

Among his many works were Eno (1985), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989), Syair Perang Cina Di Monterado (1989), Burung Badai (1990), Turina (1991) and Citra (1991). -- Bernama

Comment:
The late Arenawati died neither rich nor poor. Yet, he was a clear pick to be named the national laureate in 1988. Respected by many Arenawati was a former editor with Pustaka Antara, when I first met him early 1970s. He was with the late Ruhi Hayat (Ahmad Boestamam) and Aziz Antara, probably discussing the development of Malay literature. Aziz Antara owned the publishing giant.

Thursday 15 January 2009

PERGINYA WARTAWAN VETERAN SAMANI AMIN

Bekas Pengarang Berita BH meninggal


KUALA LUMPUR: Bekas Pengarang Berita, Berita Harian pada 1970-an, Samani Amin meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, dekat sini, jam 6.55 petang, semalam.

Allahyarham Samani, 78, dikatakan mengalami serangan jantung awal pagi kelmarin yang menyebabkan beliau terjatuh dan mengalami luka di kepala.

Isteri Allahyarham, Azizah Ahmad, 68, berkata sebaik menyedari kejadian itu, beliau dan keluarga membawa suaminya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU).

"Ini kali pertama arwah mengalami serangan jantung. Malah, ketika kami berada bersama arwah di hospital Selasa lalu, arwah dalam keadaan ceria dan menyatakan beliau dalam keadaan sihat.

"Bagaimanapun, tengah hari tadi (semalam), kami tidak dibenarkan menemuinya kerana doktor mengesan arwah dikesan mengalami serangan jantung buat kali kedua pada jam 1 petang dan disahkan meninggal dunia petang tadi," katanya ketika dihubungi di kediaman Allahyarham di Lorong Haji Tahir, Kampung Batu 7, Jalan Kebun, Klang dekat sini, semalam.

Allahyarham bertugas selama enam tahun di Berita Harian sebelum dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 22 bulan pada 1976 bersama tokoh kewartawanan, Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak.
Selepas dibebaskan, Allahyarham menjadi penulis bebas sebelum menyertai Yayasan Syed Kechik. Pada 1983, Allahyarham bertugas di akhbar The Star dan bersara sebagai Pengurus Editorial akhbar berkenaan pada 1995.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak – pegawai di syarikat telekomunikasi, Marx Aidiet, 50; pensyarah komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Mus Chairil, 47; ahli perniagaan, Mas Dati, 44 dan bekas wartawan The Star, Mas Elati, 37.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong Universiti, Jalan Kebun, Klang jam 10 pagi ini. (Berita Harian Online, 15 Januari 2009)


Komen:
Seorang lagi kawan wartawan meninggalkan kita. Alahyarham Samani Amin cepat mesra bergaul walaupun saya ketika itu (Disember 1971) baru berkhidmat dengan berita Harian sebagai Pemberita Kadet (Cadet Reporter) bersama dua yang lain, Shukor Rahman dan Chew. Saya diperkenalkan kepadanya oleh Ketua penyunting ketika itu, A. Samad Said (Datuk) dan Zainuddin Bendahara. A. Samad Said bos saya di Bahagian penyuntingan (subbing)sementara Allahyarham A. Samad Ismail (Tan Sri) bos besar kami sebagai Pengarang Urusan Berita Harian.

Pemergian Samani mengingatkan kami hubungan akrab dalam kalangan kami di Berita Harian dengan pejabatnya di Tingkat 3 Bangunan induk (lama) Bangunan New Straits Times. Siapa dapat melupakan wajah-wajah mesra kawan-kawan wartawan waktu itu, seperti A. Shukor Haron, Mali dan Salim Kajai di meja separuh bulat menghadap Bos A. Samad Said. Siapa dapat melupakan kawan-kawan yang lain seperti Zainuddin Bendahara, Zubaidah Abd. Rahman, Adibah Amin, Maarof Mohd Noh, Hamid Bendahara, Shahril Lembang dan Shafie Noor dan Hadzrami A.R.

Hari ini ada di kalangan kawan-kawan ini yang telah pergi dahului, ada yang sedang mengingat pengalaman masa lalu dan barangkali pula ada yang masih aktif menyumbang kepada media.Di manalah mereka sekarang ya!

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin!

Sunday 11 January 2009

SHAHAROM HUSSAIN MENULIS KE AKHIR HAYAT


Keratan akhbar tentang pemergian budayawan Shaharom Hussain tidak lama dahulu.

Ketika Catatan ini ditulis dan disiarkan dalam Utusan Zaman pada 2004, Allahyarham Shaharom Hussain masih lagi aktif menulis. Setiap kali berkunjung ke Johor Bahru, saya akan menemuinya di kediamannya di Kempas. Beliau gembira dapat bertemu dengan kawan-kawan, terutama dari Kuala Lumpur. Dan seperti biasa beliau akan memaklumkan bahawa pada sebelah paginya beliau akan berada di pusara isterinya di Tanah Perkuburan Mahmudiah. Setahun yang lalu saya menemuinya di rumah anaknya, Dr. Hatta di Gombak. Shaharom kelihatan begitu uzur.

Kata-katanya juga tidak menunjukkan bahawa beliau kencang berbual seperti selalunya. Setelah sejam bersamanya beliau minta diri masuk ke kamarnya untuk beristirehat. Itulah kali terakhir saya berjumpa dengannya. Kami sempat berbual secara ala-kadar kerana beliau berada dalam keadaan ingat-ingat lupa. Rencana yang saya tulis di bawah ini berupa catatan saya bersandarkan Seminar Pemikiran Shaharom Hussain yang diadakan di Johor Bahru, tajaan Yayasan Warisan Johor pada April 2004.

CATATAN AF.YASSIN
Menilai Pemikiran Shaharom Hussain

Orang lama dalam komuniti budaya Johor, Haji Hamdan Abd. Rahman, terlalu kecewa dengan pendekatan seminar pemikiran Shaharom Hussain yang diadakan di Johor Bahru 4 Mei 2004 yang lalu. Menurutnya seminar tidak mencapai tujuan sebenarnya. Sambil membelek-belek kertas beberapa kertas kerja yang dibentangkan hari itu, Hamdan Rahman “tidak melihat pemikiran tokoh budaya Shaharom”. Katanya, “Tidak ada satu pun kertas hari ini, kecuali yang dikemukakan Hamdan Yahya, yang menyentuhnya.” Hamdan Yahya adalah bekas pengarah Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Hamdan Rahman mahu pihak berwajib memberikan sesuatu yang setimpal sebagai mengenang sumbangan Shaharom yang berusia 85 tahun tapi masih mampu berkarya. Beliau mencadangkan Yayawan Warisan Johor dan Gapena mencari jalan agar Shaharom dianugerahkan gelaran Datuk atau gelaran yang setimpal. Malah, katanya, “Shaharom sudah lebih daripada sepatutnya dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.”

Mana Sikana, salah seorang pembentang kertas kerja bersetuju dengan pendapat Hamdan Rahman. Tetapi Mana Sikana menganggap bahawa pra-syarat anugerah hampir membuatkan Shaharom mustahil dianugerahkan gelaran seumpama itu. Beberapa kriteria syarat perlu diubah. Mana Sikana mencadangkan supaya penilaian karya calon sasterawan negara mesti diasaskan terutamanya kepada faktor berdaya tahan dan masih diperkatakan. DBP perlu membuat penilaian semula tentang pra-syarat ini. Jika hal ini dapat dilakukan kemungkinan besar Shaharom boleh tersenarai dalam barisan calon utama.

Shaharom masih menulis. Tokoh-tokoh seangkatannya sudah lama pergi. Yang ada hanyalah seorang berdua seperti Datuk Abdullah Hussain, Awal il Sarkam dan sedikit junior A. Samad Ismail. Namun dua terakhir ini “sudah pencen menulis”. Tinggal Abdullah Hussein yang masih terus berkarya. Persoalan yang berlegar ialah mengapa Shaharom tidak pernah disenarai pendekkan sebagai calon sasterawan negara. Apakah karyanya diangap tidak senilai karya sasterawan negara yang lain. Atau Shaharom terlalu lokal dan tidak begitu menonjol dalam arena sastera tanah air. Tidak seperti S. Othman kelantan, Abdullah Hussain, Dato’ Shahnon Ahmad dan lain-lain.

Enam kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari itu, bersama ucap utama oleh Datuk Johan Jaafar. Kecuali Mana Sikana, semua pembentang terdiri daripada anak watan Johor sendiri, termasuk pengucap utama Johan. Nilai pemikiran Shaharom disentuh seimbas lalu oleh Hamdan Yahya sedangkan yang lain lebih menitik-beratkan elemen luaran dan fizikal daripada tokoh yang diperkatakan. Hamdan memperlihatkan unsur nasionalisme dalam drama-drama Shaharom. Hamdan menyandarkan pendapatnya ini melalui tafsiran sejarawahan Hans Kohn dari Sustria-Hungary.

Unsur ini terlihat jelas dalam drama “Keris Laksamana Bentan” dan “Badik Panglima Riau.” Hamdan menyebut penentangan terhadap raja dalam Keris Laksamana Bentan adalah bercirikan nasionalisme. Sementara dalam “Badik Panglima Riau” ciri nasionalisme diperlihatkan melalui kesetiaan kepada kumpulan yang dicerminkan oleh watak antagonis Daing Matekoh.

Uacap Utama Johan tidak banyak menonjolkan tokoh yang diseminarkan tetapi cenderung mengasosiasikan dirinya dengan dunia drama Shaharom. Mukadimah ucap utama sebelum sampai kepada pengenalan tentang tokoh berputar di sekeliling penglibatan pengucap utama dalam dunia bangsawan sejak kecil. Mukadimah panjang ini diwajarkan melalui hubung kait antara bangsawan dan drama pentas.

Amat disayangkan impak pengokohan Shaharom Husain tidak terserlah seperti yang sepatutnya. Seperti kata seoranng peserta seminar, “Ucapan utama baik dari sudut sejarah namun akan menjadi lebih baik sekiranya seluruh ucap utama pagi itu dipusatkan kapda pemikiran Shaharom dan arah tujunya perjuangannya dalam berkarya.” Tiga kertas kerja berkisar hanya tentang Shaharom seperti ketokohannya, rumahnya yang dinamakan Gapura Sastera dan mengapa dan bagaimana Shaharom berkarya. Satu mengulas novel Siapa Gila sementara satu lagi petikan artikel dari buku yang dilancarkan sempena seminar, berjudul “Shaharom Husain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bagaimanapun, ada sesuatu yang menarik dalam kertas kerja Mana Sikana yang berjudul, “Ketokohan Shaharom Husain Sebagai Penulis Skrip Drama.” Mana Sikana menganggap Shaharom sebagai pelopor Drama Melayu moden, sama taraf dengan Syed Alwi al-Hady dalam bidang novel atau Ponggok dalam bidang sajak. Dan menurut Mana Sikana, drama “Si Bongkok Tanjung Puteri” merupakan drama terbaik yang pernah dihasilkan Shaharom daripada sejumlah tujuh karya yang dihasilaknnya. Kesemua tujuh buah drama ini telah dibukukan, iaitu “Si Bongkok Tanjung Puteri”(1962), “Harimau Johor” (1962), “Tun Seri Lanang” (1968), “Balang Emas” (1964), “Tonggak Kerajaan Johor” (1957), “Tun Fatimah” (1964) dan “Wak Cantok” (1965).

Di samping drama, Shaharom turut menghasilkan 18 novel sejarah, termasuk 12 novel sejarah. Dua novel terakhirnya ialah “Di Bawah Hujan Peluru” yang diterbitkan oleh AF Communications pada tahun 2002 dan “Di Bawah Bulan dan Matahari” (2004). Enam buku sejarah telah juga diterbitkan, terakhir “Sejarah Johor” yang terbit pada tahun 1998. Sementara empat buah buku pengembaraan dan tiga buku umum sastera melengkapi penghasilan karya sasteranya sepanjang hampir 50 tahun berkarya.

Walaupun tidak begitu dibicarakan di peringkat nasional, Shaharom mula mendapat tempat, setidak-tidaknya di hati orang Dewan Bahasa. Ketua Pengarahnya, Datuk Haji Aziz Deraman dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Apabila kita menyentuh mengenai jasa Shaharon Husain yang begitu banyak dalam kesusasteraan Johor dan negara pula, ia wajar dicontohi oleh generasi muda.” Ucapan ini dianggap satu pengiktirafan oleh kerajaan terhadap ksumbangan Shaharom dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Begitu juga halnya dengan kerajaan Johor yang memberikan pengikritarafan. Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abdul. Ghani Othman ketika merasmikan seminar dan seterusnya melancarkan buku “Shaharom Husain Gapura Sastera Johor” berkata kerajaan Johor mahu Yayasan Warisan Johor menerbitkan semula karya-karya sasterawan Shaharom untuk dijadikan bahan rujukan oleh aktivis sastera, terutama di kalangan generasi muda.

Baik Aziz mahupun Abdul Ghani usaha mengetengahkan karya Shaharom ini boleh dikaitkan dengan cara berfikir tokoh berkenaan. Mesej apa yang mahu disampaikannya? Dan semangat kental yang bagaimana perlu dicontoh generasi muda? Generasi muda mampu menilai pemikiran Shaharom melalui karyanya, walaupun pada seminar itu tidak banyak unsur pemikiran yang didedahkan. Malah tidak ada satu pun resolusi lapan perkara yang diterima di akhir sidang yang relevan dengan pemikiran sang tokoh.

Antara resolusi yang diterima ialah kerajaan Johor diminta menamakan sebatang jalan di bandar Johore Bahru sebagai Jalan Shaharom Husain. Kerajaan Johor digesa menamakan sebuah bangunan atau institusi dengan nama Shaharom. Kediaman Gapura Sastera dicadangkan dijadikan Galeri Gapura Sastera Negeri Johor. Jika resolusi ini dapat dilaksanakan maka setikda-tidaknya harapan orang lama budaya Johor Hamdan Rahman tidak lagi murung melihat keadaan Shaharom seperti disisihkan dengan karyanya tidak dihargai.

Friday 9 January 2009

PENGARANG ARIS TAHIR DARI MUAR

BICARA
Oleh A.F.Yassin

ARIS TAHIR: ORANG MUAR BERGIAT DI JAYBEE.

Setiap kali ada kegiatan seni budaya di Johor Bahru yang saya hadiri, saya tidak dapat mengelakkan diri daripada tidak bertemu dengan seorang penulis lama dari Muar. Dia, Aris Tahir, seorang guru pesara tetapi terlibat aktif dalam persatuan penulis dengan pelbagai kegiatannya. Saya tak pasti entah ke berapa kali saya bertemu dan berbual dengannya. Malah terakhir sewaktu berlangsungnya Pertemuan Sasterawan Nusantara X dan Pertemuan Sasterawan Malaysia 1 (PSN X/PSM 1) di Johor Bahru April1999 lalu, saya melihat dia salah seorang yang begitu sibuk melayan para tamu, terutama dalam acara mendaftarkan peserta dari negara-negara senusantara. Aris merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pendaftaran peserta yang dipimpin Shapiai Mohd Ramly.

Pernah dalam satu pertemuan saya tanyakan tempat tinggalnya. Di Muar atau di Johor Bahru? Jawabnya, "Muar.Tetapi kalau ada sebarang kegiatan sastera atau seni budaya lain, saya pasti ke JB. Perjalanan dari Muat ke JB tak menjadi masalah. Sudah biasa." Suaranya garau-garau lembut dan sedap didengar. Tidak membosankan. Barangkali ini ada kaitannya dengan pengalamannya sebagai guru. Semasa menghadiri Festival Kebudayaan Melayu di Pekan Baru dua tahun yang lalu, dia jarang sekali menyendiri. Satu ketika, semasa mengunjungi pameran kebudayaan di dalam sebuah dewan besar dia begitu mesra dengan beberapa teman penulis dari Malaysia dan Riau. Dia sering kelihatan bersama Kalam Hamidi, Alang Ahmad Teh dari DPMP, Abdul Aziz Long dan Nazel Hashim Mohd.

Anehnya, ketika berbual aris sering sahaja merendah diri, mengeluarkan kata-kata seperti, "siapalah kita kalau dibandingkan dengan mereka" atau "munkgin sahaja orang sekaran tak ingat kita lagi. Maklum orang pencen." Barangkali ada alasan Aris berkata begitu. Jika tak silap dalam Seminar Warisan Johor 1-4 Ogos 1996 yang lalu ada sebuah kertaskerja yang menghuraikan perjuangan dan kesinambungan organisasi penulis Johor, sejak 108 tahun yang lalu. Ketika kertas kerja itu "membincangkan" penubuhan Perkumpulan Penulis dan Peminat-Peminat Bahasa Muar (PPPBM) nama Aris Tahir terkeluar daripada senarai pengasas perkumpulan itu. Pengasas-pengasas yang disebut ialah Mohd Salleh Kasmin (Maskam), Mahadi Abdul dan Abdul Manaf Semo. Sedangkan Aris merupakan salah seorang pengasas perkumpulan itu. Kelompok penulis Muar ini menubuhkan PPPBM kerana tidak setuju dengan hasrat Persatuan Penulis Johor (PPJ) untuk menyatukan semua penulis Johor ke dalam persatuan yang tunggal. Maka apabila pendaftaran PPJ diluluskan pada 10 Mei 1967, penulis-penulis dari Muar ini pun membentuk PPPBM. Tujuan pembentukannya ialah antara lain "mencari jalan memupuk dan membimbing bakat-bakat penulis dan peminat-peminat bahasa di daerah Muar.

Kemudian, dalam perbincangan tentang puisi moden Johor serta cerpen dan cerpenis Johor dalam seminar yang sama, nama Aris tidak disebut langsung, pada hal dia boleh dianggap di antara deretan nama besar penulis Johor kerana karyanya telah mula mendapat tempat apabila sajaknya pertama kali disiarkan dalam "Utusan Kanak-Kanak" pada tahun 1953 dengan judul "Budi Bahasa". Ketika itu usianya baru 16 tahun dan media "Utusan Kanak-Kanak" merupakan salah satu penampungan penulisan kreatif yang cukup popular waktu itu.

Saya tak berani kata bahawa faktor-faktor ini menyebabkan Aris "terkilan" sehingga dia begitu merendah diri, tetapi mengingat perjuangannya dalam dunia kesusasteraan bermula sejak empat dekad yang lalu dan masih terus aktif hari ini maka faktor "keterciciran" namanya sedikit menyayatkan. Ada yang berkata kerana Aris menjadi salah seorang pengasas PPPBM maka dia dianggap sebagai "menongkah arus" dalam memperjuangkan perpaduan penulis-penulis Johor dan oleh itu harus disisihkan.

Dalam pada itu Aris begitu prihatin pula tentang masalah kawan-kawan. Pernah satu ketika setelah sampai di jeti Melaka dengan feri dari Dumai dalam perjalanan pulang dari menghadiri Festival Kebudayaan Melayu di Pekan Baru, dia bertanya kepada saya apakah ada orang datang menjemput saya pulang dan adakah saya punya kenderaan ke Kuala Lumpur. Pada hal dia sendiri akan menghala ke selatan. Dan di jeti itu dia terus sibuk persis seperti dia sedang mengatur ahli-ahli rombongan pulang ke rumah masing-masing.

Dan semasa makan malam di kediaman rasmi Menteri Besar Johor pada malam ketiga PSN X/PSM 1, dia datang dan pergi ke beberapa buah meja membawa hidangan. Dia bagaikan melayan tetamu yang datang berkunjung ke rumahnya sendiri. Pernah seorang penulis luar Johor berkata, "Cikgu Aris ini kalau jadi PRO cukup bagus. Ada sentuhan kemanusiaan dalam dirinya. Saya jarang melihat atau mendengar dia meninggikan suara bila bercakap. Tak tahulah kalau dia bertukar garang apabila di rumah bersama keluarganya."

Saya kira ramai yang kurang mahfum tentang kegiatannya dalam bidang kesusasteraan, apatah lagi kebudayaan. Penulis generasi muda, kecuali yang di Johor, barangkali tidak pernah kenal dan tahu siapa Aris Tahir, bekas guru dan anak Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar adalah seorang penulis lama dari Johor yang kini berusia 62 tahun. Rahman Shaari, misalnya, pun mungkin kenal begitu-begitu sahaja penulis yang bernama Aris Tahir ini kerana dalam kertaskerja "Puisi Moden Johor" di Seminar Warisan Persuratan Johor pertama, Rahman membariskan beberapa nama penulis Johor yang telah memberikan sumbangan besar dalam persajakan tanah air.

Antara penulis-penulis yang disebutnya ialah Anis Sabirin, Alis Murni, Jaafar HS, Zam Ismail, Gunawan Mahmood, Shapiai Ramly, Inzura Kosnin dan beberapa lagi. Siapa penulis yang termasuk dalam "beberapa lagi" itu tidak dinyatakan. Barangkali juga nama Aris Tahir adalah di antara "beberapa lagi" nama yang tersangkut dalam kepala Rahman tetapi dia tidak sampai menyebut nama itu.

Begitu juga halnya dengan Anis (Amida @ Hamidah Abdul Hamid), melalui kertas kerjanya "Cerpen dan Cerpenis Johor, Riak Citra Darul Takzim" hanya menyenaraikan sebilangan nama penulis Johor " yang pernah dan/atau sedang turut mewarnai prasarana dunia pencerpenan Johor. Antara nama-nama yang disebut Anis ialah Tongkat Warant (Dato' Dr Usman Awang), Nora (Ali Hj Ahmad), Anis Sabirin, Rokiah Abu Bakar, Adibah Amin, A. Shukor Haron, Zaharah Nawawi, Salmah Mohsein, Khadijah Hashim, Zawiyah Mohd Noh, Anis (Amida @ Hamidah Abdul Hamid), Sarah Rahim, Habsah Hassan, Rogayah A. Hamid, Siti Aishah Murad, Halilah Hj. Khalid, Gunawan Mahmood, Hasidah Disan, Saadiah Hj Ibrahim, Siti Muhawa Rahmat, Azmi Taib dan Amiruddin Ali dalam bidang cerpen. Nama Aris Tahir tertinggal juga. Barangkali pula Anis tidak melihat satu pun cerpen Aris yang tersiar di mana-mana surat khabar atau majalah.

Namun jika ada yang sudi menyorot kembali sumbangan Aris untuk Johor dalam bidang kesusasteraan, maka tidak dapat tidak kita akan "terjumpa" dengan karya-karyanya, terutama dalam genre puisi. Malah empat buah buku antologi puisinya telah diterbitkan, iaitu "Suara Selatan Semenanjung" (1960), "Bicara Hari Ini" (1985), "Jejak-Jejak" (1995) dan "Catatan Sepanjang Sungai Muar" (1995), manakala sebuah antologi puisi berjudul "Salam Keakraban" diterbitkan oleh Kementerian Perpaduan Negara pada tahun yang sama. Kurang jelas mengapa puisi-puisi Aris jarang diperkatakan dan nama Aris sendiri (yang juga punya nama samaran seperti Said Tahir, Said Johor dan Sitarama) jarang diperkenalkan sebagai seorang penulis, tetapi adalah diyakini hal ini disebabkan kebanyakan karya puisi Aris lebih bersifat "localised", berlegar di suasana tempatan atau tumpuan utama pengkaryaannya adalah dalam bentuk rencana berita atau esei umum.

Barangkali pula Aris lebih dikenali sebagai pemberita sambilan atau stringer untuk akhbar harian. Aris pernah bertugas seperti demikian selama lima tahun dengan akhbar "Berita Harian" (1979 - 1984). Setelah itu menjadi pemberita sambilan dengan akhbar "Watan" dari 1985 hingga 1990. Bagaimanapun, sumbangan besarnya kepada negeri Johor ialah ialah usaha penyelidikan dan penulisan dalam bidang sejarah tempatan dan pendidikan. Aris terlibat dalam penyelidikan ini di bawah projek "Pewaris" tajaan Yayasan Warisan Johor. Dalam pada itu di Muar sendiri Aris menyelenggarakan penerbitan risalah "An Nuur" . Risalah ini diterbitkan oleh Lujnah Ta'mir, Muar. Pengalamannya dalam bidang penerbitan ini berpunca dari kegiatannya sebagai salah seorang anggota sidang pengarang majalah "Kebudayaan yang diterbitkan oleh Persatuan Guru-Guru (1956-1965).

Aris masih terus menulis puisi, namun kesibukan dengan kegiatan semasa dalam persatuan dan kerjasamanya dengan Yayasan Warisan Johor menyebabkan karyanya jarang ditemui di dada-dada akhbar atau majalah. Malah sekarang ini Aris adalah pengerusi Persatuan penulis Johor, Kegiatan Daerah Muar di samping menjadi salah seorang ahli Jawatankuasa PPJ sendiri. Kurang jelas sejak bila dia merujuk semula ke PPJ setelah dia dan kawan-kawan mengasaskan PPPBM di Muar beberapa dekad yang lalu. Dalam PPJ, Aris juga pernah dilantik sebagai pengerusi Biro Penerbitan dengan tanggungjawab menerbitkan "Dupa".

Dalam usianya sekarang dan dengan kegiatan rancak dalam persuratan dan kebudayaan di negeri Johor, saya percaya Aris lebih daripada mencari eskapisme dalam dunia ciptasastera, lebih-lebih lagi ketika dia masih merasa "dipinggirkan" dari arus perdana kesusasteraan. Dan bukan tidak mungkin sudah ada orang yang menganggapnya sebagai orang marjinal dalam bidang yang dia masih mempunyai kecenderungan untuk terus memperlihatkan kemampuan kreativitinya. Kecenderungannya ini dapat dilihat dan dirasakan ketika dia berbual santai bersama Azizi Hj. Abdullah, Mansor Abdullah, Rahim Abdullah dan Ahmad Sarju di meja makan semasa makan malam di Saujana, Kediaman Dato' Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor sempena PSN X/PSM 1.

A.F.Yassin
11 Jun 1999

Sunday 4 January 2009

PENERIMA ANUGERAH MASTERA 1999 SAPARDI DJOKO DAMONO


Sapardi Djoko Damono

BICARA
HADIAH SASTERA MASTERA 1999

Soronok juga berbual santai dengan Sapardi Djoko Damono di majlis makan malam anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Sambil menunggu hidangan, kami bersembang tentang banyak perkara, terutama di Indonesia - tentang politik semasa, tentang sastera dan tentang internet. Sapardi tokoh sastera ternama di Indonesia. Kini dia bertugas sebagai guru besar kesusasteraan di Universitas Indonesia.

Kata Sapardi, dia ke Malaysia atas undangan sebagai pembentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Bandingan selenggaraan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dan katanya lagi, "kami tidak punya masaalah untuk mengetahui perkembangan sastera Malaysia kerana kami baca melalui internet. Biasanya kami dapat bahan dari Berita Harian dan New Straits Times yang disiar dalam internet."

Apakah dia tidak kecewa kerana gagal memenangi hadiah mastera malam itu? Sapardi senyum sambil berkata, "Tidak apa-apa kok!". Dari Indonesia, yang menang malam itu ialah Titis Basiono P.I. melalui trilogi novelnya, Dari Lembah ke Coolibah 1997, Welas Asih Merangkuh Tajali 1997 dan Menyucikan Perselingkuhan 1889.

Nama Sapardi masuk peringkat akhir lewat karyanya Arloji (kumuplan puisi). Tapi barangkali nasib tidak menyebelahinya. Seorang lagi tokoh Indonesia yang namanya masuk peringkat akhir ialah Taufik Ikram Jamil melalui antologi cerpennya Membaca Hang Jebat.

Malam itu kelihatan Sapardi tidak banyak bercakap. Dia barangkali bukan jenis manusia yang "mulut murai". Namun dari raut wajahnya seperti dia sedang memikirkan sesuatu. Sesekali matanya "berlegar" memandang keadaan keliling. Dan apabila saya tanyakan jumlah tokoh sastera yang datang dari Indonesia, dia menjawab lima dan matanya tercari-cari lagi yang tiga. Seorang sudah berada di sebelahnya yang sedang asyik berbual dengan A. Rahim Abdullah dan Rahman Shaari.
Apakah yang difikirkan Sapardi? Apakah dia sedang memikirkan kertas kerjanya yang akan dibentangkan pagi esoknya? Atau dia memikirkan kawan-kawannya yang tidak kelihatan malam itu? Atau mungkin saja dia memikirkan bagaimana karyanya tidak terpilih untuk memenangi Hadiah Mastera yang pertama itu? Kerana siapa tidak mahu menjadi pemenang sulung dari negaranya untuk hadiah sastera yang terbongsu yang dilahirkan dan yang pula merupakan projek sulung Mastera dalam program pengiktirafan bakat atau tokoh sastera serantau.

Dan Sapardi bukan calang-calang tokoh di negara jiran itu. Pada tahun 1984, Sapardi menrima Anugerah Puisi Putra dari Malaysia. Dua tahun kemudian Sapardi menerima pula SEA-Write Award dari Thailand. Pada tahun 1990, dia meraih pula Hadiah Seni dari negaranya sendiri. Sedangkan Titis Basino cuma pernah memenangi hadiah hiburan majalah sastera tahun 1963.

Namun seperti kata penganjur, hadiah mastera hanya mempertimbangkan karya-karya yang diterbitkan pada tahun 1997 dan 1998. Dan pertimbangan tidak mengambil kira karya-karya sebelumnya, mahupun pretasi dan status tokoh sastera itu sendiri. Hanya karya yang menjadi tumupuan. Misalnya, Indonesia menyenaraikan 38 buah karya ke peringkat akhir. Malaysia pula 22 buah sementara Brunei 10. Daripada sejumlah karya ini tiga masuk peringkat akhir bagi setiap negara.

Penilaian di peringkat akhir ini dilakukan oleh Panel Hadiah Sastera Peringkat Induk yang terdiri daripada Hj Aziz Deraman (pengerusi), Hj Hamdan Yahya (Timbalan pengerusi), Zaini Oje @Ozea (setiausaha), Zahrah Ibrahim (Timbalan Pengerusi). Sementara ahli-ahlinya ialah Prof. Dr. Md Salleh Yaapar dan Prof Dato' Abu Hassan Sham dari Malaysia; Hj Abd. Hakim Hj. Mohd Yassin dari Brunei Darussalam; Drs Abd Rozak Zaidan dari Indonesia dan Dr. Hadijah Rahmat dari Singapura.

Karya-karya Malaysia ke peringkat akhir dipilih oleh lapan ahli panel terdiri daripada Hj Aziz Deraman, Hj Hamdan Yahya, Hamzah Hamdanu, Kemala, Zaini Oje@Ozea, Abdul Rahman Yusof, Prof. Madya Dr Sahlan Mohd Saman, Prof. Madya Dr. Siti Zainon Ismail dan Zahrah Ibrahim. Di Indonesia, karya-karya ke pringkat akhir dipilih oleh Drs. Abdul Rozak Zaidan, Hamsad Rangkuti, Dr. Boen S. Oemarjati, Drs. Lukman Ali dan Prof Dr. Yus Rusyana. Brunei pula diwakili oleh Dato' Paduka Hj Alidin Hj Othman, Hj Abd. Hakim bin Hj Mohd Yassin, Awang Alimin bin Hj Abd. Hamid, Datuk paduka Haji Mahmud Haji Bakyr, Dato' Paduka Hj Ahmad bin Kadi, Dr Haji Hashim bin Hj Abd. Hamid, Pg. Hj Mahmud bin Pg. Hj. Damit dan Dayang aminah binti Haji Momin. Singapura tidak mempunyai ahli panel dan tidak memilih karya kerana statusnya sebagai pemerhati.

Dengan demikian itu hadiah mastera sulung ini hanyalah untuk tiga negara, Malaysia, Brunei dan Indonesia. Kemungkinan pemberian hadiah ini akan diperluaskan ke negera-negara lain di Asia Tenggara akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat masing-masing negara mampu berkarya dalam bahasa Melayu/Indonesia. Mana tahu dalam masa yang terdekat ini Singapura dan Thailand mungkin akan menghantar karya tokoh sasteranya untuk dipertimbangkan memandangkan banyak juga hasil karya dalam bahasa Melayu/Indonesia telah diterbitkan.

Panel setiap negara yang terlibat telah memilih tiga karya untuk dinilai secara induk di Malaysia. Brunei misalnya memilih kumpulan puisi Episod-Episod Si Awang, karya Badaruddin H.O. (1998), Kumpulan cerpen "Hoha" karya Norsiah M.S. (1887) dan novel Kenawi Dari Hulu oleh P.H. Abd. Aziz (1998).

Indonesia memilih Trilogi novel Dari Lembah ke Coolibah (1997), Welas Asih Merengkuh Tajali (1997) dan Menyucikan Perselingkuhan (1998) karya Titis Basino P.I.; Kumpulan puisi 'Arloji" karya Sapardi Djoko Damono (1998) dan kumpulan cerpen "Membaca Hang Jebat" oleh Taufik Ikram Jamil. Manakala Malaysia pula memilih esei/kritikan "Rasa- Fenomenologi: Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said" karya Sohaimi Abdul Aziz (1998); ese/kritikan "Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran" karya Dharmawijaya (1998) dan kumpulan cerpen "Rapsodi" karya Zaen Kasturi.

Malam itu, selain Titis Basino penenang dari Indonesia, muncul pula Badaruddin H.O. sebagai pemenang dari Brunei dengan "Episod-Episod Si Awang"nya dan dari Malaysia sendiri muncul Sohaimi Abdul Aziz dengan esei-kritikannya itu. Nyatanya Malaysia mengutarakan esei'kritikan sebagai pemenang, sementara Indonesia dan Brunei karya kreatif (novel dan puisi).

Ketika memberikan ulasan Panel Induk mendapati semua karya yang dinilai di peringkat akhir, iaitu pringkat induk dan rantau (negara) mempunayi kekuatan masing-masing. Panel juga "sedar bahawa menilai karya antara genre secara bandingan memang sukar dan memerlukan asas penilaian dan pemilihan yang kukuh. Kata penilai lagi, "Bagaimanapun, karya yang dinilai tyang merentasi genre didasarkan pada dampaknya kalau dibaca seganding dengan karya-karya lain walaupun berbeza genre. Penilian ini melihat kekuatan kesatuan organik karya, kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang, keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan, keindahan moral, kesusilaan nilai dan inovasi dalam kreativiti. Di samping itu ada ketetapan lain juga yang dicapai oleh panel dalam menentukan pemilihan seperti jumlah karya dalam satu antologi, imbangan peratusan karya lama dan baru, tempoh relevannya esei/kritikan, ada tidaknya ISBN, dan sumber penerbit."

Demikianlah, berdasarkan jargon penilaian inilah akhirnya panel induk membuat pemilihan akhir. Cuma ada yang bertanya di majlis penyampaian hadiah malam itu tentang kemungkinan panel masing-masing negara tidak memperolehi dan membaca setiap karya sastera yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit. Di Malaysia sahaja ada 300 buah penerbit dan tidak kurang daripada 25% dripadanya menerbitkan karya sastera. Dan setiap penerbit ini tidak hanya menerbitkan sebuah dua karya dalam tempoh dua tahun kebelakangan (1997-1998). Begitu juga halnya di Indonesia. Penerbitan karya sastera dalam pelbagai genre cukup berkembang, ketimbang audien pembacanya yang cukup luas pula.

Rahman Shaari pula menekankan peri pentingnya diwujudkan satu kriteria penilaian yang standard dan umum yang merentasi antarnegara peserta. Ertinya Rahman mencadangkan supaya pihak mastera "mencari satu kayu ukur penilaian dan kriteria minimal agar setiap karya yang terpilih di setiap negara mempunyai kualiti yang asas." Rahman berkata tidak wajar sekiranya karya yang terpilih di sebuah negara itu mempunyai kualiti yang terlalu tinggi berbanding karya yang dipilih oleh negara yang lain pula. Persoalan ini akan timbul sebaik sahaja ada peneliti yang telah selesai membuat kajian tentang karya-karya yang menang setiap dua tahun.

Bagaimanapun jua, usaha mastera menampilkan hadiah sasteranya sendiri ini patut diberi pujian kerana ia akan menambahkan lagi jumlah hadiah sastera yang ada di negeri ini. Dengan demikian, maka tidaklah keterlaluan jika saya katakan Malaysia begitu pemurah dalam pemberian hadiah kepada golongan penulis dan sasterawannya. Mana tahu suatu hari nanti Indonesia, Brunei, Singapura dan negara-negara anggota Asean yang lain akan mengikuti jejak langkah Malaysia dalam usahanya memertabatkan kesusasteraan dan sasterawannya.

Sebelum pulang saya melihat ramai hadirin yang masih lagi berkumpul di ruang lobi dewan. Antara yang terakhir meninggalkan lobi ialah Sapardi sendiri. Dia masih ayik berbual-bual dengan rakan-rakan sasterawan dari Malaysia dan Brunei. Haji Aziz, Hj Hamdan dan Hj Hamzah menjadi hos paling baik dan mesra malam itu apabila mereka tetap melayan dan menunggu sehingga jemputan tearkhir meninggalkan dewan jamuan. Turut sama hingga ke saat akhir ialah Datok Hassan Ahmad, mantan Ketua pengarah DBP yang sekarang ini memimpin Yayasan Karyawan. (A.F.Yassin, Utusan Zaman 29 Ogos 1999)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).