Friday 30 March 2012

SETEGAS MANAKAH KETUA PANGARAH BARU DEWAN BAHASA MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU?


Dr. Awang sariyan, Ketua Pengarah DBP yang baru. Gambar kenang-kenangan Dr. Awang ketika bersama program Jejak Bahasa Episod Sumatera Barat. Gambar di depan Istana Pagar ruying ini diabadikan A.F.Yassin, salah seorang anggita Tim penyelidik Jejak Bahasa yang dipimpin Dato' Profesor (Emeritus) Dr. Asmah Hj. Omar, tahun 2000. 


Khamis, 29 Mac 2012 lalu seorang sahabat, pesara DBP datang berkunjung ke rumah. Sahabat ini baru sahaja bersara opsyen setelah bertugas lebih tiga dekad di institusi yang berperanan memartabatkan bahasa dan sastera Melayu di negara ini. Sahabat ini sering ke rumah berbincang hampir semua tajuk semasa. Sahabat asal Muar, Johor ini adalah lulusan ekonomi tetapi minatnya dalam bidang persuratan dan media akhirnya memberikannya peluang berkhidmat di DBP. Apabila ditanya mengapa bersara awal, jawabnya mudah, " Cukuplah. Lagi pun tak ada apa yang hendak dibuat di sana. Kawan-kawan pun dah banyak bersara atau dan pergi dulu. terakhir kawan kita Ali Majod."

Saya tanya lagi, "Bukanksh u orang yang dekat dengan bahagian majalah DBP?" Jawabnya mudah juga, "Susah nak jawab. Lebih baik jangan jawab." Sambil itu sahabat saya itu ketawa memanjang. Saya tak pasti apa yang menyebabkannya ketawa. Satu waktu dulu saya pun di Bahagian Majalah juga. Saya melihat ada cabaran untuk berusaha membuat yang terbaik. Lagi pula ketika di bahagian itu ada nama besar yang menjadi mentor seperti Keris Mas, Usman wang, M. Noor Azam, Kemala, Saleh Daud, Abdullah Hussein, Dharmawijaya, Awam Il-Sarkam, Shamsuddin Jaafar dan A. Karim Abdullah. Keuali beberapa nama, yang lain telah pergi dahulu.

Apapun, ada sesuatu yang tersirat di sebalik ketawa sahabat yang mengunjungi saya pagi itu. Saya berusaha mencari tafsiran daripada ketawanya itu. Tidak mudah dan memang saya tidak akan dapat jawapannya. Tujuan sahabat mengunjungi saya pagi itu adalah untuk "sembang-sembaang" setelah menziarahi seorang jiranya yang baru meninggal dunia. Barangkali ingin mencari ketengan, sahabat saya ini langsung ke rumah saya. Dan antara yang disembangkan hai itu  termasuklah berkongsi pandangan tentang pelaksanaan dasar DBP oleh beberapa ketua pengarah sebelum perlantikan Dr. Awang Sariyan. Yang kami sembangkan usaha Tun Syd Nasir, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Datuk Aziz Deraman, Datuk Haji Sujak Rahiman, Datuk Hassan Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Abd. Rahim Bakar serta Datuk Johan Jaafar.

Saya tak bercadang nak hebahkan apa yang kami bincangkan. Memadailah saya petik seluruh hasil temu bual Mingguan Malaysia di bawah ini sebagai sembang perbandingan dengan apa yang kami berdua bualkan.Setidak-tidaknya cukuplah untuk kami berdua menilainya.

Di bawah ini dipetik seluruhnya temu bual Mingguan Malaysia, 11 Mac 2012 tentang pelaksanaan dasar bahasa Melayu:

 Isu bahasa Melayu tidak diletakkan pada kedudukan yang selayaknya sebagai bahasa kebangsaan bukan perkara baru. Ini kerana sudah ada dasar tertentu yang bertujuan mendaulatkan bahasa Melayu. Tetapi masalahnya sesetengah pihak dengan tanpa rasa bersalah melanggar kedudukan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Ketua Pengarah DBP, DR. AWANG SARIYAN menganggap masalah bahasa Melayu ialah kurang ketegasan melaksanakan dasar yang sedia ada.

 Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM, beliau menyarankan supaya dasar bahasa Melayu dilaksanakan dengan tegas.
MINGGUAN: Apakah masalah utama yang mengekang usaha memartabatkan bahasa kebangsaan walaupun lebih 50 tahun merdeka?

 DR. AWANG: Bagi saya salah satu faktor ialah kepimpinan. Masyarakat selalu terdorong kepada ketegasan dasar. Dasar sudah ada iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan. Tetapi kadangkala perlaksanaannya tergelincir sikit. PPSMI misalnya yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan lebih jauh lagi bertentangan dengan undang-undang negara kerana Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dalam undang-undang negara.
Tetapi Alhamdulillah, kepimpinan kita sekarang telah melakukan anjakan. Mudah-mudahan dengan perubahan kepimpinan isyarat di atas akan lebih jelas. Peringkat swasta kita berpadu tenaga seperti dengan Kesatuan Hotel di Malaysia ketika membuat papan tanda arah dalam dwibahasa. Ia merupakan satu kesanggupan yang luar biasa. Namun, bila muncul PPSMI, sebahagian syarikat swasta menyatakan mengapa hendak sibuk-sibuk menggunakan bahasa kebangsaan sedangkan sistem pendidikan pun sudah mahu kembali kepada bahasa Inggeris. Oleh itu, perlaksanaan dasar atau program perlu sejajar dengan dasar negara. Dasar negara adalah bagus, tetapi pengendali atau pelaksana kadang-kala salah membuat keputusan.

 Dulu sering diperkatakan masalah guru bahasa Inggeris bukan dari mereka yang menuntut untuk mengajar bahasa Inggeris. Sekarang, guru bahasa Melayu juga mengikut kajian muktahir berdepan dengan masalah yang sama kerana didapati agak besar jumlah guru bahasa Melayu yang bukan dilatih untuk mengajar subjek itu.
Adakah ini masalah negara pelbagai kaum? Jika kita lihat di China, negara itu hanya ada satu kaum.

 DR. AWANG: Saya percaya jika perlaksanaan dasar yang tegas, faktor kaum tidak begitu dominan. Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pulang dari Beijing, saya dapati sekurang-kurangnya empat kenyataan media yang menyatakan beliau sangat mengagumi apa yang berlaku di China. Beliau menyatakan perkara sebegitu perlu diterapkan seperti di acara-acara negara iaitu menggunakan bahasa kebangsaan. Dari segi pendidikan, kalau di sekolah kebangsaan, sudah tentu bahasa pengantaraannya bahasa Melayu. Lebih 20 tahun saya mendidik bakal guru dan saya dapati interaksi di kalangan pelajar dengan bahasa kebangsaan tiada masalah. Dari situ kita nampak penyemaian nilai-nilai perpaduan, persefahaman dan persamaan. Bagi saya, dasar pendidikan kebangsaan ini cukup berjaya. Saya berpendapat Kementerian Pelajaran Malaysia sepatutnya membuat kajian bagaimana kejayaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama sebenarnya telah berjaya memupuk perpaduan dan persefahaman di peringkat generasi muda.
Sejauh manakah kesungguhan agensi kerajaan mempraktikkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi?

 DR. AWANG: Saya boleh katakan masih ada jurang berdasarkan perlaksanaan kementerian atau jabatan tertentu ketika itu. Kajian saya pada tahun 2007 mendapati ada sesetengah dokumen kerajaan, kementerian atau jabatan tertentu yang peratusan penggunaan bahasa Melayu masih agak rendah iaitu 70 hingga 75 peratus. Sepatutnya sudah tidak timbul perkara sebegitu. Paling tidak 90 peratus. Malah ada pekeliling ketika itu boleh dikatakan hanya tajuk utamanya sahaja di dalam bahasa Melayu. Lain-lain tajuk kecil, kandungan semuanya dalam bahasa Inggeris padahal pekeliling itu ditujukan kepada ketua jabatan di peringkat dalam negara. Takkanlah ketua peringkat dalam negara ini tidak faham bahasa Melayu.
Ini bukan sahaja soal sikap, tetapi tidak menghormati keluhuran Perlembagaan, perkara ketiga dalam Rukun Negara. Di peringkat kerajaan Persekutuan, tiada sebuah kementerian yang boleh mendakwa mereka boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam konteks penggunaan dalam negara.

 Bagaimana dengan cadangan Dr. mengadakan audit bahasa?
DR. AWANG: Hujah saya kalau kita hendak menguji dan menilai kecekapan kewangan, kita ada audit kewangan. Sama seperti bahasa. Saranan saya, kalau nak menilai keberkesanan perlaksanaan dasar itu perlu ada penilaian audit. Audit ada dua aspek, iaitu yang pertama nilai tahap penggunaan bahasa Melayu. Contoh jabatan A, adakah surat, minit mesyuarat, semuanya dalam bahasa kebangsaan. Paling tidak 90 peratus. Kemudian semua itu akan dilaporkan kepada Ketua Setiausaha Negara. Dari aspek mutu pula iaitu ejaan, tanda baca, tatabahasa, pilihan perkataan serta istilah. Itu semua kita nilai dan laporkan. Melalui cara pengauditan begitu, saya yakin dalam tempoh dua tahun, kita dapat lihat lonjakan.

 Bagaimana pula penekanan menggunakan bahasa Melayu kalangan warga DBP sendiri?
 DR. AWANG: Kami audit diri kami dahulu. Saya memberi arahan dalam tempoh enam bulan ini, setiap orang dalam DBP dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat Pembantu Am Pentadbiran, perlu selesai kursus yang disediakan. Warga DBP perlu menjadi duta bahasa dan sastera mengikut aras mereka. Jadi, dalam tempoh enam bulan, kita mahu memantapkan warga DBP dari segi penguasaan bahasa dan pengukuhan dari segi kemahiran serta sistem kerja juga penyuntingan.

 bagaimana dengan kedudukan persuratan ilmu dalam bahasa Melayu yang dikatakan masih rendah?
DR. AWANG: Kita agak kaya dengan persuratan kreatif tapi persuratan ilmu masih agak jauh. Ini disebabkan dasar kita dulu apabila universiti menyatakan arahan 70 peratus kuliah perlu dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Jadi, buku-buku rujukan tidak banyak dalam bahasa Melayu. Sarjana dan professor juga tidak mahu menulis dalam bahasa Melayu. Pelajar hanya membaca buku rujukan dalam bahasa Inggeris. Itu kesilapan perlaksanaan dasar. Tetapi selepas Menteri Pengajian Tinggi membuat pengisytiharan kuliah utama mesti dalam bahasa Melayu dan profesor serta pensyarah mesti menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu, susulan daripada kepimpinan universiti pula agak lambat. Bahkan pihak universiti masih terus dengan dasar lama menekankan bahasa Inggeris.

 Sejauh manakah kemampuan penterjemahan seperti Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) memenuhi keperluan persuratan ilmu dalam bahasa Melayu?
DR. AWANG: Ini memerlukan iltizam dan penglibatan pemerintah sendiri. Tetapi alhamdulillah, ITBM sendiri tidak tertakluk kepada birokrasi. Saya nampak ada perubahan yang lebih jelas. Tetapi jika kita dapat masukkan terjemahan dalam Belanjawan seperti yang dilakukan negara Taiwan, tentu lebih bagus. Sebabnya semua ini memerlukan belanja juga. Zaman Abasiyah, orang Barat membuat terjemahan dari bahasa Arab kepada bahasa masing-masing. Kita pun patut menceduk ilmu dari bahasa lain kepada bahasa Melayu dengan cukup intensif.

 Apa komen Dr. tentang kecenderungan menggunakan istilah-istilah Inggeris dalam projek-projek kerajaan sekarang ini?
DR. AWANG: Kita ada Undang-Undang Kecil Pengiklanan serta penamaan di tempat awam yang keutamaan diberikan kepada bahasa Melayu. Sepatutnya itu dimanfaatkan. Daripada kita mengambil nama Barat seperti boulevard, parcel dan precint atau Le Tour de Langkawi, fikirkanlah istilah dalam bahasa Melayu yang cantik menggantikannya. Kita telah menukar roadshow kepada jerayawara ataupun talkshow kepada bicarawara. Kita boleh mencipta berdasarkan kekuatan bahasa dan sastera Melayu. Tetapi yang penting kita mesti ada hati untuk melakukannya.

 Saya menganggap BBK gagal mencapai matlamat. Apa pandangan Dr.?
DR. AWANG: Sebenarnya saya ada mencadangkan kepada urus setia supaya jangan tumpukan kepada Oktober iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan. Oktober itu bulannya. Kita kena ada kegiatan pra BBK. Misalnya bulan Jun telah dirancakkan BBK. Kita usahakan kembali ialah kembara bahasa. Ia mempunyai matlamat yang jelas melihatkan pelbagai profesion menuju ke satu hala sebagai inspirasi menuju kepada satu matlamat. Bagi saya itu cukup berjaya. Tetapi yang dilihat oleh orang yang tidak faham sebagai membuang duit di jalan raya. Tetapi sebenarnya kembara itu menyuntikkan kesedaran kepada pelbagai lapisan masyarakat terhadap bahasa Melayu.

 Boleh Dr. memberitahu pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk memperkasakan bahasa Melayu?
DR. AWANG: Jangka pendek di peringkat dalaman untuk memperkukuh tenaga kerja dari segi ilmu dan bahasa serta penghayatan seni sasteranya. Saya percaya kalau DBP berwibawa dengan sendirinya masyarakat nampak contohnya. Saya selalu membuat perbandingan begini, tentera, bomba atau polis orang kenal kerana ada pakaian seragam. Tetapi untuk kenal orang DBP ialah melalui penggunaan bahasa dan cara berfikir. Dalam pengurusan saya berpegang kepada pesanan Datuk Hassan Ahmad (bekas Ketua Pengarah DBP) sewaktu saya berkerja bawah beliau dulu. Katanya menjadi pengurus DBP bukan pengurus biasa tetapi mengurus budaya.

 Pelan jangka panjang ialah memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun. Semua bidang telah direntasi oleh bahasa Melayu. Hubungan antarabangsa, diplomatik, ketatanegaraan dan undang-undang. Kita akan memperkasakan ini.

Wednesday 7 March 2012

ZAHARI HASIB: PERGI YANG TAK KEMBALI!


Allahyarham Zahari Hasib, penyair terpinggir?



Berikut adalah artikel Ku Seman Ku Hussain yang dikutip sepenuhnya dari Utusan Malaysia, 4 Mac 2012 tentang Allahyarham penyair Zahari Hasib yang pergi buat selama-lamanya.Tidak banyak yang kita ketahui tentang penyair ini dalam kalangan kawan-kawan penulis. Saya peribadi tidak begitu mengenalinya kecuali melalui karyanya yang kebanyakannya berupa puisi. Melihat wajahnya melalui dada media sahaja dan pernah dengar bahawa Allahyarham bertugas sebagai "pengawal keselamatan". Tidak dapat pula disahkan kerana tidak pernah bertemu dengan Allahyarham.


Begitulah golongan penulis ini dengan dunianya. Walaupun ada yang tidak pernah bertatap muka tetapi sesetengahnya mengetahui kawan-kawan wujud melalui pancaran karyanya dalam dada-dada akhbar dan majalah. Inilah penghubung antara mereka, mengetahui isi hati mereka dan mengintai-hubung melalui cara berfikir mereka. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahrarham. Al-Fatihah! -A.F.Yassin 8 Mac 2012.
Belasungkawa Zahari Hasib Penyair yang terpinggirBelasungkawa Zahari Hasib Penyair yang terpinggir


Saya mengesani pemikirannya selepas banyak kali melihat dia deklamasi puisi di Kuala Lumpur tahun 1984. Saya terpikat dengan puisi-puisinya yang ringkas dan meminjamkan gaya deskriptif. Puisi-puisinya boleh dinikmati oleh banyak orang sekalipun tidak boleh difahami oleh semua orang. Puisi-puisi yang bercorak impresionistik telah memperkenalkan dia sebaris dengan penyair lain.
Puisinya tentang buang manggis tampuk di kulit dan ulasnya di dalam sangat mengesankan. Katanya, manggis tidak pernah berbohong, lima cabang tampuknya, ada lima ulas di dalamnya. Dia seorang yang sangat memerhati kemudian dipindahkan menjadi puisi dengan suntikan pemikiran dan kritikan.
Tetapi seingat saya, sepanjang usia kepenyairannya, dia tidak pernah ditonjolkan sebagai salah seorang penyair yang pernah kita miliki. Dia penyair agak terpinggir. Walaupun bukan tergolong sebagai penyair muda 1980-an tetapi itulah zaman kemuncaknya. Dekad 1980-an adalah suara lantang penyair muda mengkritik sistem sosial dan mencari diri, tetapi Zahari terus dengan gayanya bagai seorang ayah menegur anak-anak. Tambahan pula sikapnya yang tidak pernah bermegah kerana kerap juga diulangi, "Saya tak sekolah tinggi."

Saya fikir salah sebuah bukunya, Menyorot Kisah dan Ilham (1987) penting untuk kita menyingkap proses kreatif dia menghasilkan puisi-puisi sinikal dan satira sosial yang tajam. Dia menghasilkan tiga antologi puisi, Kuntuman Harapan (1992), Debu Di Kaca (1995) dan Bunga-Bunga Terbuang (1989).
Malam Ahad lalu (26 Februari) tatkala menerima SMS daripada Pengurus Besar TV AlHijrah, Zainal Rashid Ahmad mengkhabarkan berita duka kepulangannya ke negeri abadi, saya segera teringat susuk dan pekertinya yang sering membuat saya terharu. Kepulangan penyair Zahari Hasib pada usia 65 tahun di Teluk Intan, Perak membuatkan saya kehilangan orang yang berpekerti tinggi. Saya masih menyimpan 15 puisi yang ditulis dengan mesin taip yang belum disiarkan. Membaca kembali semua puisi ini mengingatkan Zahari yang pernah saya kenali 28 tahun lalu.

Suatu yang sangat sentimental dan mengharukan perasaan saya kerana semua puisi itu dihantar sendiri dengan tangan. Zahari yang lahir pada 15 Jun 1947 itu menetap di Teluk Intan, menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menghantar puisi kemudian balik semula ke Teluk Intan. Bersama sampul puisi, Zahari menghulurkan beberapa pek plastik berisi gula-gula yang diklip pada sekeping kertas sebesar kelingking bertulis, "Ikhlas Daripada Zahari Hasib."

Zahari seorang yang humanis, deria rasa dan kotak fikirnya seiringan menangkap pergulatan sosial dan dia ada saranan. Zahari menerusi puisi-puisinya sangat akrab dengan sosialisasi di sekeliling. Dia melihat dari sudut pandangan yang dalam dan penuh tanggungjawab. Zahari seorang pemerhati dan perenung yang setia, tentang sekecil-kecil benda hingga kepada sebesar-besarnya. Puisinya, Hakikat pertama kali disiarkan dalam majalah Pemimpin tahun 1969 dan mula menulis puisi sejak awal tahun 1960-an lagi.

Perkenalan pertama dengan Zahari ketika saya ketika menghadiri pelancaran pameran lukisan di Rumah Anak Alam berhampiran Padang Merbuk, Kuala Lumpur tahun 1984. Saya pernah nampak wajahnya dan kenal siapa dia. Saya memperkenalkan diri dan kami berbual agak panjang seusai majlis hingga lewat malam.

Setahun kemudian, kerana tidak ada pihak yang memberi peluang khusus kepada Zahari mendeklamasikan puisi-puisinya depan khalayak, saya bersama Wan Zulkifli Wan Yaacob sekarang Ketua Biro Utusan Terengganu, Zulkifli Ismail (pelakon drama), Halim Yazid pelajar Universiti Malaya sekarang Pegawai Kebudayaan Universiti Malaya menganjurkan Malam Puisi Zahari Hasib di Pusat Seni, Jalan Bandar.

Acara puisi itu dianjurkan secara "miskin" tetapi kepada Zahari itu adalah catatan penting dalam sejarah kepenyairannya. Zahari sangat terharu kerana diberi peluang menjadi hos acara deklamasi puisi. Penyair lain kerap mendapat pendedahan dan sering tertonjol di majlis-majlis sastera, tetapi tidak kepada Zahari. Ada sesetengah pihak menganggap puisi Zahari tidak ada nilai. Kata mereka, bahasanya terus terang, tidak mendalam dan nipis pemikiran.
Tetapi kami ketika itu walaupun bukan mahir hal puisi dan sastera memikirkan Zahari ada kelebihan dan keunikan. Zahari ada pemikiran dan menggunakannya untuk mengkritik dan kerap kali juga satiranya menyentak perasaan.

Kali terakhir lebih kurang enam bulan lalu, ketika datang ke pejabat, Zahari tidak mengambil masa saya selain bertanya khabar dan menghantar karyanya. Dari jauh tujuannya untuk menghantar karya dan tidak berbual kosong. Saya fikir Zahari antara orang yang memulakan hari baru dengan membaca akhbar. Buktinya Zahari akan menelefon saya seawal pukul 7 pagi hari Ahad kalau ada puisinya disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Tuturnya ringkas sahaja, "Terima kasih daripada Zahari Hasib."
Peribadi Zahari banyak mengajar saya yang kurang ilmu supaya menerima teguran walaupun ada kala melukakan. Zahari sangat sedar duduknya dalam dunia puisi, kerana itu tidak pernah diluah keterpinggirannya dalam peta puisi Malaysia.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).