Saturday 21 February 2009

USMAN AWANG PENGGERAK HUBUNGAN BUDAYA MALAYSIA-CHINA


Allahyarham Datuk Usman Awang penggerak hubungan persahabatan Malaysia-China.

Menilai Persahabatan Malaysia-China
Catatan A.F.Yassin tahun 2004.seperti yang tersiar dalam Utusan Zaman

Minggu ini merupakan minggu ulangtahun hubungan diplomatik Malaysia-China. Tiga puluh tahun dahulu, tepatnya Mei 1974 Perdana Menteri waktu itu, Tun Abd. Razak berjabat salam dengan dengan Perdana Menteri China, Chow En-Lai di Beijing menandakan bermulanya ikatan diplomatik antara kedua-dua negara. Dengan termeterinya hubungan itu maka Malaysia merupakan negara ASEAN pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan negara gergasi dari Asia itu.

Bagaimanapun hubungan antara rakyat dengan rakyat, khususnya dalam bidang kebudyaan, bermula pada 4 April 1993, apabila satu perhimpunan agung pertama diadakan dengan tujuan menubuhkan apa yang dikenali sekarang sebagai Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PMC). Perhimpunan itu diadakan di Hotel Federal, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dat’ Megat Joned Megat Ayob.

Seminggu sebelumnya, iaitu pada 26 Januari 1992 satu pertemuan diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dihadiri 31 orang. Dalam pertemuan itu keputusan diambil untuk menubuhkan Persatuan Persahabatan Malaysia-China. Satu mesyuarat agung diadakan seminggu selepas itu bagi membentuk Jawatankuasa sementara yang dipengerusikan Dato’ Dr Usman Awang. Usman dibantu oleh Dato’ A. Aziz Deraman sebagai Timbalan Pengerusi dan tiga Naib Pengerusi yang terdiri daripada Dato’Abdul Aziz Ahmad dari Pustaka Antara, Tan Sri lee Lam Thye dan Dr. M.K. Rajakumar.

Mereka bersama 14 anggota Jawatankuasa lain ditugaskan untuk mendaftar persatuan sebelum sebarang kegiatan yang bersangkutan dengan hubungan kedua-dua negara dalam bidang kebudayaan dapat dirangka dan dilaksanaka. Persatuan ini rasmi menjadi sebuah organisasi yang diiktiraf pada 28 Mac 1992. Majlis pelancaran penubuhan diadakan 30 April 1993 oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam perhimpunan 1 Mac 1992, Pengerusi Usman Awang menggariskan tujuan penubuhan. Katanya, “Tujuannya adalah untuk menggalakkan semangat kesetiakawanan persefahaman dan persahabatan dan cinta damai antara rakyat kedua-dua negara. Untuk mencapai ke arah itu, persatuan akan mengadakan kerjasama kebudayaan, saling bertukar rombongan kesenian, para pelajar dan mahasiswa, penulis dan sebagainya.”

Dua belas tahun kemudian, iaitu hari ini, persatuan ini khabarnya masih bernafas tetapi tidak banyak kegiatan yang didengar. Barangkali juga pengasasnya Usman Awang tidak lagi bersama persatuan. Usman adalah faktor dinamik persatuan. Anggota Persatuan masih ingat bagaimana Usman menjadikan pejabatnya di DBP sebagai markas kerja hariannya untuk meneguhkan persatuan dengan Dr. Rajakumar yang pejabatnya di seberang jalan berdepan dengan bangunan DBP.

Sepanjang berdirinya persatuan itu tahun 1995 merupakan tahun paling giat persatuan. Lebih daripada 30 kegiatan diadakan termasuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa dan majlis jamuan meraikan rombongan kebudayaan dari China. Antara kegiatan yang memberi impak kekeluargaan ialah menyambut kedatangan rombongan dari Beijing yang diketuai Li Ying, Naib Presiden Eksekutif Persatuan Rakyat Beijing Untuk Hubungan Persahabatan dengan Negara Asing dan pertunjukan tarian dan muzik oleh Kumpulan “The Beijing Angle Art Ensemble”.

Paling terbesar ialah majlis meraikan rombongan 70 orang anggota dari Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Konsultatif Politik Rakyat China yang diketuai Pengerusinya Li Ruihuan. Tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri waktu itu, Dato’ Raja Ariffin Raja Sulaiman. Majlis meraikan ini diadakan di Hotel Crown Princess pada 14 Disember 1995.

Penglibatan kaum penulis dalam persatuan ini amat ketara. Hal ini disebabkan pengasasnya Usman adalah juga penulis dan sasterawan negara. Antara mereka yang banyak menyumbang menghidupan persatuan ialah bekas Ketua Bahagian Kegiatan Sastera, DBP, Ayob Yamin, bekas editor majalah berita mingguan, MASSA, Ratnawati Jamil, Prof. Rahman Shaari, Salmah Mohsein, Prof. Dr. Othman Yatim dan Sutong Umar RS. Sutong pernah dilantik sebagai Setiausaha Persatuan untuk beberapa ketika.

Kurang jelas sama ada para penulis ini masih giat menyumbang, namun yanag pasti hubungan masih terus intim, kalau pun bukan dijalin oleh Persatuan, tetapi diusahakan golongan pedagang dan korporat. Khamis, 27 Mei lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengetuai perwakilan sembilan menteri, empat Menteri Besar dan 100 pemimpin korporat mengadakan kunjungi rasmi ke China selama lima hari. Beberapa memorandum persefahaman akan ditandatangani, antaranya dalam bidang pendidikan, pertanian serta sains dan teknolgi. Di samping itu satu perjanjian akan diadakan dengan Institut Perhubungan Diplomatik Asing untuk bertukartukar pegawai antara kedua-dua negara.

Bertukar-tukar kunjungan antara pemimpin dua negara ini telah menjadi satu tradisi sejak tahun 1974. Abdullah bukan tokoh pertama dai Malaysia yang membawa satu rombongan besar ketika mengunjungi Beijing. Pada tahun 1993, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir mengetuai rombongan seramai 300 orang, majoritinya usahawan Malaysia. Dikatakan kunjungan Dr. Mahathir adalah puncak sejarah perhubungan ekonomi antara kedua-dua buah negara. Setahun kemudian, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membawa lebih 200 orang dari pelbagai sektor seperti perdagangan, korporat, politik, pendidikan dan kebudayaan serta cendekiawan lain.

Usman dalam satu ucapannya di majlis Perhimpunan Agung Persatuan pada 17 Jun 1995 menghuraikan sejarah hubungan antara kedua-dua negara ini sejak dahulu kala. Katanya, “Hubungan sejarah yang lama dan panjang antara kedua negara adalah asas yang kukuh terjalinnya hubungan yang akrab dan mesra ini. Tapak hubungan sejarah yanag dipancangkan oleh nenek moyang kita telah dilanjutkan dan diperkukuhkan terus oleh pemimpin-pemimpin kedua negara yang saling bertukar lawatan dan kunjungan sehingga puncaknya adalah kunjungan Jiang Zemin, Presdien Republik Rakyat China sendiri pada tahun 1994.”

Usaha Usman dan kawan-kawan mengadakan hubungan kebudayaan melalui persatuan yang diasaskannya tidak tinggal terbengkalai, lebih-lebih lagi pada hari ini kemesraan pemimpin kedua negara tetap terjalin utuh. Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman yang khabarnya berada di Beijing bersama Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein beserta serombongan kecil orang budaya untuk menghadiri Seminar dan Pameran Bahasa Melayu Sedunia di Beijing. Dengan Aziz masih lagi memegang jawatan Timbalan Pengerusi Persatuan Persahabatan Malaysia-China, maka impian Usman untuk mempastikan hubungan kesetiakawanan dua bangsa – Malaysia dan China – meningkat mekar akan terlaksana. Dato’Seri Abdullah dijadwal merasmikan seminar berkenaan. Ends. (2004)

Wednesday 11 February 2009

AGUS SALIM PENGGERAK SASTERA SETIA


Buku Agus Salim Yang diselenggarakan Mahaya Mohd Yassin

AGUS SALIM
Satu hari yang belum lama, saya terima senaskhah Agus Salim: Dia Penggerak Sastera Yang Setia daripada Mahaya Mohd. Yassin. Buku ini bercerita tentang Allahyarham Agus sepanjang penglibatannya sebagai penggiat sastera. Satu ketika dahulu saya juga menulis tentang Allahyarham. (Lihat Utusan Zaman, 23 November 1997).

Dalam tulisan itu, saya katakan “Agus ini anak Muar, atau setidak-tidaknya lahir di Muar…..Di Johor Bahru awal bulan November 1997, saya temuinya dan kami bersembang dengan loghat nogori. Sesekali ada juga dia menggunakan loghat Johor atau sebutan baku. Kebanyakan kali dia memang bertutur dengan loghat nogori. Saya panggil dia Agus. Kawan-kawannya pun banyak panggil dia Agus. Walhal namanya bukan Agus. Namanya Salim anak Pak Haji Taib.”
Dan buku yang saya terima ini turut menjelaskan bahawa Salim ini juga memiliki nama lain (alias), iaitu Padzali.

Saya menyemak senarai ratusan judul yang disusun Mahaya dalam “Karya” di halaman 67 buku ini. Daripada sejumlah besar karya yang telah dihasilkan Agus terdapat 12 judul yang diterbitkan Penerbit Fajar Bakti, tempat saya bertugas dahulu. Kebanyakan judul berupa buku cerita kanak- kanak dan remaja. Editor yang mengendalikan penerbitan buku-buku Agus ini, Abd. Majid Baharom telah meyakinkan saya, sebagai pengurus projek, bahawa Agus mempunyai pengalaman menulis buku kanak- kanak dan remaja yang amat luas dan berbakat. Dalam beberapa laporan awalnya Abd. Majid melihat potensi yang begitu besar jika Agus dan isterinya Mahaya Yassin bergabung mencipta karya sedemikian. Agus, kata Abd. Majid, memiliki daya tahan yang kuat, terutama dalam usaha mengejar waktu terbit (deadline). Agus menepati waktu sama halnya seperti penulis-penulis lain seperti Allahyarham Othman Puteh, Allahyarham Aziz Jahpin, A. Samad Said (Dato’), Mohd. Affandi Hassan atau Dr. Awang Sariyan.

Sepanjang memberikan kerjasama dengan Penerbit Fajar Bakti, Allahyarham melahirkan Tun Perak (1985), Anak Berbakat (1987), Putera Pilihan (1987), Hilang Dari Istana (1987), Tumbang Batang Menumpang (1987), dan Siapa Jadi Bendahara (1987). Dua buah antologi bersama dilahirkan dalam Budak Ajaib (1991) dan Di Sini Kasih tertumpah (1993). Pada tahun 1988, Allahyarham bersama Mahaya diminta Fajar Bakti menulis empat judul buku kerja Bahasa Melayu, iaitu Lembaran Kegiatan KBSR Bahasa Melayu 3A, 3B, 5A dan 5B. Amat disayangkan sebuah lagi judul yang sepatutnya diterbitkan untuk ditujukan kepada pelajar-pelajar yang berminat dalam kesusasteraan tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab hanya Penerbit Fajar bakti sahaja yang mengetahuinya.

Buku setebal 80 halaman berukuran A4 ini adalah segala-galanya tentang Agus, sejak Agus lahir pada tahun 1939 hingga Agus menemui Penciptanya pada tahun 2006. Dalam cebisan rasa tentang pengkaryaan Allahyarham ini, Mahaya membuat catatan: “Hasrat untuk merealisasikan cita-cita menulis autobiografi atau biografi tersemat sejak mula berkeluarga. Kami mengagumi kejayaan dan pencapaian tokoh yang mampu menyalakan lantera perjalanan. Khalayak pasti bersyukur, kerana mereka yang di perekitaran ini ialah universiti yang tiada tolok bandinganya.”

Lima bulan setengah sebelum kepergian Allahyarham ( 24 Ogos 2006), Dewan Bahasa dan Pustaka mengirimkan enam naskhah kumpulan puisi Agus Salim yang berjudul Maya. Tulis Mahaya, “Setelah mengamati Maya, saya berasa amat tersentuh apabila menghayati ungkapan “jauh di mata, di hati jangan.” Ungkapan itu muncul sekali (lagi) dalam sajak “Maha Pencipta” dan tiga kali dalam sajak “Maya X”. Saya sedar.”

Mahaya tidak lupa suatu ketika dalam tahun 1972 Allahyarham mengizinkannya mewakili GAPENA dalam program Pertukaran Belia Malaysia-Kanada selama tiga bulan. Allahyarham mengharapkan akan mampu menyiapkan karya yang sudah pun disiapkan judulnya, iaitu “Jauh Di Mata, Dekat Di Hati.”

Maka Mahaya berusaha “melunasi janji yang termeterai, beriring permohonan maaf yang belum usai. Saya tetap reda dan pasrah. Permohonannya itu rupa-rupanya menjadi realiti, kini! Meskipun jasadnya terpisah, namun roh puisi wanginya bersemadi di hati nurani. Allahuakbar!”

Saya melihat keserasian dalam perkongsian Agus-Mahaya. Bukan setakat dalam hubungan matrimoni sejak mereka berijab Kabul tetapi jauh merentasi alam psiklogis dua insan yang terbaur dalam bidang kesusasteraan. Bagaikan sudah ditakdirkan seorang puteri kelahiran Kuala Pilah ini akhirnya akan bertemu dalam satu lubuk rasa dengan seorang putera kelahiran Kampung Parit Penyengat, Muar. Dalam catatan saya dalam Utusan Zaman itu, saya katakan “Agus sedikit beruntung kerana dia mendapat galakan isterinya, Mahaya Mohd. Yassin, juga seorang penulis dan pendidik. Di kalangan kawan-kawan, isteri Agus ini pada suatu waktu, begitu intim dengan ciptaan puisinya sehingga dengan demikian Agus terpikat untuk menyelenggarakan dua antologi puisi berjudul Gema Serunai Hati I (1981) dan Gema Serunai Hati II (1984).

Demikianlah, saya memberikan reaksi awal saya ketika menerima dan membaca sepintas lalu buku Agus Salim: Dia Penggerak Sastera Yang Setia, selenggaraan Mahaya Mod. Yassin. Buku ini diterbitkan oleh Persatuan Penulis Negeri Sembilan pada tahun 2007 sempena Majlis Anugerah Ilmuan dan Sastera Negeri Sembilan 2007 dan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-50. Buku yang mengandungi 16 bab ini disusun berdasarkan kronologis, sarat dengan gambarfoto sebagai pelengkap cerita dan sejarah Allahyarham.

Di bahagian prelim buku ini terdapat potret Alllahyarham dengan tertera di bawahnya:

“Aku tidak hiraukan akan diriku
kerana diriku umpama lilin
biarkan aku hangus binasa
asal bangsaku mulia sentiasa.”

Sungai Buloh
11 Februari 2009
6.53 petang.

Thursday 5 February 2009

S.PANIT ITU SUHAINI PANITI - PENDIDIK DAN PENYAIR

MENCRI IDENTITI BERSAMA S.PANIT

Untuk mencari S. Panit saya menghubungi Ismas Saring. Kata Saring, "Engkau ke Sijangkang, Batu Tujuh Tiga Suku, tanya orang di sana, tahulah mereka. Rumahnya tepi jalan saja." Telah lama juga tak bertemu dengannya, sejak kali terakhir pada tahun 1987 di Kementerian Pendidikan.Dan saya amat memintai karya-karya puisinya sejak ia mula diterbitkan pada tahun 1964. Nama S. Panit gagah ketika itu, sederet dengan nama-nama besar yang seangkatan dengannya dan menghiasi dada kahbar dan majalah seperti Jaafar H.S, Kemala, Shamsuddin Jaafar, Maimun Rahman, Atondra, Ahmad Razali dan Yassin Salleh, sekadar menyebut beberapa nama.

Keinginan saya menemuinya berputik kerana amat jarang nama S. Panit menghiasai dada akhbar dan majalah sekarang ini, paling-paling lima tahun kebelakangan ini. Maka Jumaat lalu, saya ke Sijangkang dan bertanya kepada penduduk Batu Tujuh Tiga Suku. Mereka tak kenal S. Panit.
"Kalau Suhaini kenal? Suhaini Paniti?" Saya tanyakan seorang lelaki setengah umur.
"Tidak pernah dengar nama itu. Rasa saya tidak ada orang yang bernama itu di sini. Saya orang sini," jawabnya. Dia memanggil isterinya.
"Kalau Dr. Saihani ada. Dia tinggal di Batu Tujuh sana."
"Yalah, Dr. Saihani. Dia ini dulu bekerja di Kementerian Pendidikan?"
"Betul, Dr. Saihani kerja di situ dulu. Ini dia dah pencenkan?"
"Saya fikir begitulah."

Saihani menyambut kedatangan dengan renungan memanjang. wajahnya seperti orang yang ingin bertanya. Ia saya lihat bersih berseri.
"S. Panit bukan?"
"Ya!" jawabnya.
"Saya Fadzil, dulu bekerja di Fajar Bakti."
"Fadzil, Fadzil Fajar Bakti. Ini bukan A.F.Yassin?"
Saya mengangguk.
"La! Rupa awak lainlah. Tak macam dulu."
Saihani benar-benar terkejut. Dia terus menggenggam erat tangan saya dan menggoncangnya beberapa kali. Serta merta wajahnya berseri dengan senyumannya melebar. "Tak sangka dapat jumpa semula kawan lama. Minta maaf sangat-sangat kerana saya tak cam. Rupa awak banyak berubahlah," katanya.

Saihani di depan saya ini juga sudah banyak berubah. Dia bukan S. Panit yang saya kenali pada tahun 1987 dahulu. Kelihatan wajahnya lebih bersih dan berseri. Dan kemesraannya bagaikan saya ini adalah salah seorang ahli keluarganya. Katanya dia amat senang dikunjungi kawan-kawan. Apatah lagi, jika kedatangan seorang kawan yang dia tidak pernah duga. Kalau Ismas Saring, Ahmad Razali atau Ahmad Sarju, mereka sudah sering. Dari renungannya saya menjangka dia seperti mahu bertanya "mimpi apa saya menemuinya Jumaat itu?"

"Novel saya Jasa Guru yang Fajar Bakti terbitkan itu mungkin tak ada stok lagi ya," tanya S. Panit memecah kegugupan.
"Sudah lama sangat. Biasanya selepas dua atau tiga tahun, kita akan jual stok secara penghabisan dengan diskaun tinggi. Maklumlah penerbit jarang mahu simpan stok lebih dua tahun.Tapi buku you digunakan di sekolah beberapa ketika. Biasanya nama S. Panit lebih dikenali dalam bidang puisi kan?"
"Betul. Ada juga beberapa buah cerpen yang saya cipta. Tak banyak. Saya kira ada lebih kurang 10 buah. Kalau puisi saya tidak dapat kira jumlahnya. Mungkin dua ratus atau tiga."

Peminat puisi mungkin masih ingat sajak pertama S. Panit yang tersiar dalam Utusan Zaman, 30 Ogos 1964. Sajak berjudul "Pencarian" ini memperlihatkan keinginan S. Panit menelusuri erti kehidupan dengan segala keindahan dan keghairahannya yang selama ini hanya dapat dibayangkannya. Seperti nukilnya, Terasa nikmat hidup ini/ Jika mendakap dan merasa/ Keindhan manusia dan Nirwana/ Selama ini masih menggiur rasa/ masih merabaraba/ Bangun tumbang silih berganti/ Dalam menghambat keghairahan. S. Panit mengakhiri "Pencarian"nya dengan Sedang usia memburu mati/ Masih meregangregang sejati/ Atau hidup beragam sejoli/ Belum pasti.

Ketika itu S. Panit baru berusia 24 tahun dan mengajar di Sekolah Kebangsaan Batu Laut, Sepang. Selama bertugas sebagai guru S. panit memanfaatkan bakatnya dalam genre puisi ini dengan mencipta ratusan sajak dan disiarkan dalam pelbagai akhbar mingguan, seperti Utusan Zaman dan Berita Minggu serta majalah Dewan Sastera, Mastika dan Dewan Masyarakat. "Saya juga tak lupakan majalah Bara yang sering menyiarkan karya dan rencana saya," katanya.

S. Panit mencari dirinya ketika mencipta dan dalam pencarian itu dia berhijrah dari satu dimensi ke satu dimensi kehidupan sejajar dengan perjalanan usia yang semakin menuju kedewasaan dari sudut pemikiran dan pengalaman. Katanya, "Dari segi ini saya berasa saya belum tua kerana saya masih terus belajar dan mencari. Bagi saya jika sudah tua itu bererti kita sudah menyanggupi untuk berfungsi sebagai ketua, dan boleh memberi tunjuk ajar kepada orang yang lebih muda."

"Sebut orang yang lebih muda ini, bagaimana pandangan you tentang penulis generasi muda hari ini?"
"Inilah saya sedikit musykil. Saya tak pasti apakah kerana saya ini sudah lama tak menulis dan nama saya tidak tersiar, maka penulis muda hari ini tidak mengenal saya. Saya katakan begitu kerana pernah pada satu ketika saya menghadiri majlis yang diadakan di Klang oleh sebuah persatuan penulis di Selangor. Saya lihat ramai penulis muda ini buat tak kisah dengan penulis lama. Dan penganjur majlis pula tidak memperkanalkan penulis-penulis lama kepada mereka. Saya masih ingat masa dulu-dulu, dalam pertemuan begini, kita bergaul mesra, yang baru dan yang lama."
"Kenapa jadi begitu."
"Saya tak pasti. Dan mungkin juga saya prasangka terhadap mereka. Barangkali mereka segan. Tapi tak tahulah, susah kita nak teka."

"Karya-karya mereka bagaimana?"
"Saya melihat ada kecenderungan bagi mereka mencipta karya non-konvensional. Saya akui ini satu hal menarik, tapi kadang-kadang ada di kalangan penulis muda ini belum kenal benar dengan basics penulisan. Jadi sebaiknya yang belum menguasai basics ini, mencipta karya yang tidak melanggar konvensi terlebih dahulu. Bagaimanapun, usaha penulis muda ini perlu dipuji sebagai usaha dinamis. Jangan kita larang, tapi dalam pada itu kita kena rasional."

"Maksud you?"
"Kita lihat tema dan persoalan, baik sajak, cerpen mahupun novel. Saya akui sendiri saya tidak banyak menulis cerpen, cuma kira-kira 10 buah semnatar novel dua buah, itu pun novel kanak-kanak, tapi saya melihat, penulis terutama yang muda-muda perlu memperjuangkan persoalan yang lebih besar, yang nasional sifatnya dan yang lebih mendesak. Saya percaya para sasterawan boleh memanfaatkan isu bangsa, agama dan negara, misalnya ketika mencipta. Dan yang lebih unggul mereka perlu menjanakan minda dengan pertanyaan bagaimana nasib Melayu selepas tahun 2020. Ini sebagai contoh. Juga bagaimana, misalnya dengan status Takkan Melayu Hilang Di dunia yang disuarakan nenek moyang kita dahulu."

"Biasanya, sasterawan tidak tertarik dengan isu begini. Terlalu propaganda bunyinya?"
"Di sinilah letaknya ketrampilan seorang sasterawan. Bagaimana mencipta tanpa melihat karyanya sebagai propagandis tetapi tetap mempunyai persoalan bangsa, agama dan negara. Kita melihat unsur ini dalam Imam, karya Dato' Abdullah Hussein atau Biar Buang Anak karya Aziz Jahpin. Lebih menarik jika pengolahan dan jalan cerita sesuatu karya itu diambil dari sudut futuristik yang berusurkan jangkaan dan ramalan."
"Contohnya?"
"Katakanlah kita lihat masalah orang Melayu di Felda. Barangkali kita jangkakan ada masalah tenaga kerja kerana kebanyakan anak peneroka bekerja di bandar dan yang tinggal ibu bapa yang sudah semakin tua. Siapa nak mengeluarkan hasil sawit? Dalam hal ini para penulis boleh membuat penyelidikannya sendiri dan kemudian mencipta sesuatu. Apabila karya itu dibaca, ia dapat memberi gambaran kepada pembaca tentang penyelesaian kepada masalah itu."

"Bagaimana jika you sendiri menulisnya?"
"Genre saya lebih kepada puisi. Melalui puisi, agak sukar untuk kita sampaikan mesej tentang masalah ini. Saya mencadangkan kepada para novelis dan cerpenis kita supaya memanfaatkan isu besar ini, setidak-tidak idea mereka dapat dijadikan sebagai maklum balas oleh pihak berkuasa. Maksudnya, dalam soal peneroka Felda tadi, mungkin ada sasterawan yang simpati dan menulis bagaimana jalan keluar terbaik tentang masa depan peneroka, bila anak-anak mereka berkerja di bandar. Seca futuristik kita melihat kemungkina kita dapat memanfaatkan, misalnya, penghuni pusat-pusat serenti yang terlibat dalam soal dadah sebagai tenaga kerja di rancangan Felda. Mereka dalam proses pemulihan. Apa kata kalau sasterawan menggambarkan kebaikan tenaga kerja ini di Felda dengan mengolah kehidupannya secara kreatif. Cuma sasterawan memerlukan sedikit pengetahuan tentang pengurusan ladang dan fungsi pusat serenti. Selebihnya mereka bolah gunakan usur kreativiti mereka. Dalam puisi, pengolahan tentang masalah ini mungkin sukar," ujarnya.

S. Panit mengharapkan suatu hari nanti akan wujud sasterawan yang lebih serius berkarya tentang budaya dan kehidupan bangsa. Dia ingin melihat bagaimana suatu hari nanti kawan-kawan sasterawan menghayati karya yang dipelopori Arenawati tentang kisah pelaut. Menurutnya, sejarah menunjukkan bangsa Melayu adalah juga bangsa pelaut. Barangkali akan ada di kalangan sasterawan kita memnafaatkan tema pelaut ini untuk memungkinkan bangsa Melayu kembali menjadi pelaut, tetapi berdasarkan teknolgi maritim canggih hari ini. Katanya, " Kita melihat Datuk Azhar sedang membuktikannya ketika ini apabila menggunakan kapal layar mengelilingi dunia. Apa kata kalau sasterwan meneroka bidang ini dan mengolah bagaimana nanti Malaysia mempunyai sebuah universiti maritimnya. Sasterawan boleh memanfaatkan kecanggihan fasiliti pelabuhan di Pelabuhan Kelang sebagai asas pengolahan karyanya atau melihat Pulau Carey sebagai latar cerita," katanya.

S. panit semakin seronok bercerita. Kata-kata "kalau"nya masih panjang. Dia membayangkan penilis muda hari ini akan mempelopori tema besar bangsa Melayu ini untuk mencipta karya besar pada masa depan. "Mereka punya ilmu bantu yang dapat dimanfaatkan. Ramai yang tinggal di kota besar. Barangkali mereka punya wawasan sendiri bagaimana memanfaatkan bakat mereka untuk membangun masyarakat Melayu di bandar-bandar. Bagaimana, misalnya mereka mengolah untuk akhirnya mencipta bandar-bandar bercirikan Melayu. Dan adalam bidang ekonomi bagaimana mereka nanti mengolah supaya matlamat 30 % ekonomi berada di tangan Melayu dapat dilaksanakan," katanya.

Pengalaman S. Panit sebagai guru di Sekolah Menengah Methodist Teluk Datuk (1970-1976), di Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya (1965-1969), Sekolah Kebangsaan Batu laut (1956-1964) dan kemudian sebagai pegawai di Kementerian Pendidikan mematangkan mindanya untuk bercita-cita besar terhadap "survival" bangsanya, terutama orang Melayu. Kegiataannya sejak di universiti lagi seperti memberi petunjuk bahawa S. Panit, seorang penyair yang prolifik pada dekad-dekad 70an dan 80an, mempunyai pemikiran yang luas tentang "survival" bangsa, agama dan negaranya. Saya meneliti salah sebuah sajak ciptaannya tahun lalu tapi belum disiarkan. Antara lain S. Panit menulis, "Ketika itu bulan redup/ Indah dan merendah/ Dingin memayungi muqrarabin/ Membasahi kamar-kamar syahdu/ zuhud merafak kesempurnaan…Perjalanan di tanah biasa/ Terasa berbahtera di laut bergelora/ Mencari kaki langit/ Dengan bahasa berdikari/ Takbertepi." Dan akhirnya S. Panit mengungkapkan, "Bersama kejernihan air memercik/ Kembali pada pengalaman jauh dekat/ yang mengatur catatan lidah/ Kilat pengetahuan/ Terhimpun sebuah kalimah/ Kekurangan adalah kesempurnaan."

Demikianlah sejak sekian tahun S. Panit berhijrah dalam diri "meraba-raba" meraih pengalaman sehingga akhirnya dia mengerti bahawa segala yang bersifat kekurangan itu adalah sebenarnya sifat sempurna kita sebagai "makhluk Tuhan". S. Panit bagaikan sudah menemukan dirinya. Dia begitu kerdil di sisiNya dan bahawasanya dia cuma sebagai hambaNya yang serba kekurangan.

Apapun jua, dia melihat masa depan sebagai pesara dengan penuh rasa syukur. Dan dalam bidang persuratan, dia berusaha untuk terus berkarya. Salah satu rancangan terdekat ialah mengumpulkan semula semua karya puisinya untuk dibukukan. "Amat disayangkan kalau karya-karya itu dibiar bertaburan," katanya. "Saya juga tengah mencuba-cuba menulis novel umum. Kisah keluarga tetapi membawa persoalan perubatan dan penyakit."

S. Panit meraih ijazah kedoktoran dalam bidang perubatan alternatif dan hoemopati dari Sri Lanka pada tahun 1996. Jawatan terakhirnya sebelum bersara opsyenal ialah Timbalan Pegawai pendidikan Daerah Petaling dan Klang (1990-1995). Sebelum itu S. Panit bertugas sebagai Timbalan Ketua Unit Uruskhas (1987-1990) memangku Ketua Setiausaha Sulit (Kanan) Kementerian Pendidikan Malaysia (1983-1984) dan Pegawai Khas Perhubungan Awam di kementerian yang sama (1982-1987).

Sebelum berpisah, S. Panit berbisik kepada saya, "Saya harap satu hari nanti, saya akan dapat menimati karya besar hasil sasterawan kita yang mengolah persoalan pembinaan bangsa agama dan negara." A.F.Yassin,7 Jun 1999.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).