Tuesday 29 July 2008

SASTERA: APABILA DIIKTIRAF SETIMPAL KERTAS DAN BATU!


Foto fail dari kiri: Sutong Umar RS (merokok), Ayob Yamin, Rubaidin Siwar (berkaca mata setengah terlindung), Haji Hamdan Yahya, Rashid Azad Khan, Dato' Usman Awang dan Ajikik ketika menghadiri majlis makan malam di Restoran Bertam, berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka, Mac 1983. Di Bahagian belakang kelihatan Dato' M. Noor Azam (berdiri), Puan Sri Saloma dan Dian P. Ramlee.

ARKIB : 21/07/2008
Usman Awang: Cukupkah hanya melalui seminar?

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

SASTERAWAN Negara, Datuk Dr. Usman Awang merupakan tokoh yang telah banyak berjasa kepada masyarakat marhaen menerusi karya-karya sastera yang dihasilkannya sejak tahun 1950-an.

Bagaimanapun, penghargaan atas sumbangan yang dicurahkan oleh Allahyarham menerusi daya keintelektualannya sama ada melalui puisi, drama dan novel selama ini masih belum berada pada tahap yang sepatutnya.

Justeru, ada pihak yang kesal apabila tidak banyak pihak cuba melakukan sesuatu yang lebih bermakna dalam usaha bagi mengenang jasa sasterawan tersohor yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Che Ibrahim Salleh misalnya, mencadangkan banyak cara bagaimana untuk menghargai sasterawan yang meninggal dunia hampir sedekad lalu itu.

“Di manakah hari ini kita menempatkan semua jerih payah dan kemilau seri fikirnya? Akan adakah sebuah bandar bernama Bandar Usman Awang setelah kita ada bandar George Town dan Universiti Limkokwing.

“Sukarkah juga merangka satu hari peringatan Hari Mengenang Usman Awang, mengadakan sayembara, pidato tentang beliau, mengeluarkan stem peringatan atau anugerah penulisan sastera atas namanya?” katanya pada perasmian Seminar Kesusasteraan: Sasterawan Negara Usman Awang di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah sambil disaksikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan Pensyarah Tamu UPM, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala).

Dalam hal ini, idea-idea yang dicadangkan oleh beliau itu cukup relevan untuk diketengahkan, cuma terpulanglah kepada kita cara mana yang sesuai digunakan bagi mencapai hasrat murni tersebut.

Menurut Che Ibrahim, beliau bimbang negara luar seperti China yang amat menggagumi Usman Awang akan menggunakan nama Allahyarham sebagai suatu penghargaan di sana jika kita tidak terlebih dahulu menggunakannya.

“Allahyarham amat dikenali di China, bimbang nanti akan ada sebuah perkampungan sastera di sana yang akan menggunakan nama beliau. Atau sebuah dewan yang gah di Korea juga mengambil sempena nama Allahyarham kerana beliau amat disegani di sana.

“Marilah kita mengenang sumbangan beliau sebagaimana kita cukup lancar dan petahnya menyebut nama-nama tokoh sastera dari luar negara seperti Iqbal ataupun Tagore,” ujarnya.

Pendapat dan cadangan itu turut disokong oleh A. Samad Said yang menyifatkan kaedah penghargaan seperti itu sedikit sebanyak dapat mengingatkan masyarakat terhadap hasil-hasil karyanya yang sepatutnya dikaji serta dihayati pada sepanjang zaman.

Katanya, Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri harus mencontohi kerajaan negeri Melaka yang lebih awal memberikan apresiasi kepada golongan sasterawan sepertinya dalam bidang penulisan di negara ini.

“Melaka contohnya, telah menerbit serta mengedarkan buku hasil karya-karya sastera saya sejak tiga tahun lalu. Sebagai permulaan sembilan buku saya termasuklah novel kanak-kanak, drama dan cerpen telah diterbitkan dengan kerjasama Muzium dan Arkib Negeri Melaka,” katanya.

Tambah A. Samad Said pendekatan dan inisiatif seperti itu amat penting bagi memastikan agar karya-karya agung para Sasterawan Negara tidak terperam atau pupus begitu sahaja.


Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) ikut terlibat dalam seminar dan kini menjadi Sarjana Tamu di UPM.

Sementara itu, Dr. Ahmad Kamal pula menyifatkan penghargaan atau tanda yang lebih bermakna harus diwujudkan bagi mengenang jasa serta sumbangan Allahyarham yang bukan sedikit.

“Nilai-nilai kemanusiaan yang diselitkan dalam karya-karya Usman Awang amat besar, apatah lagi beliau berasal dari latar belakang yang susah. Beliau menderita sejak kecil, selain pernah menjadi buruh paksa ketika zaman Jepun.

“Sebab itu, adalah sangat wajar suatu bentuk peringatan diwujudkan oleh pihak kerajaan bagi mengenang jasa Allahyarham sesuai dengan sumbangan beliau kepada masyarakat menerusi bidang kesusasteraan,” ujarnya.

Pada seminar itu, kertas kerja yang dibentangkan antaranya meliputi soal apresiasi terhadap sumbangan dan serba sedikit kupasan tentang karya-karya agung yang pernah dihasilkan oleh Allahyarham.


A. Rahim Abdullah bicara tentang karya Usman Awang.

Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah misalnya, membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Harga Hidup dan ‘Rimbaku Airmata’ Bergelut dengan Sahsiah Diri dan Kematian, Prof. Rahman Shaari (Fikiran Ideologikal dalam Tulang-Tulang Berserakan) dan A. Rahim Abdullah (Membaca Tanda-Tanda Tulang-Tulang Berserakan: Mencari Romantikus dan Nasionalisme Seorang Usman Awang). (Utusan Malaysia Online)

Komen:
Tak payahlsh kenalkan siapa pengarang besar ini. Semua dunia sudah tahu. Apa sahaja predikat yang ada dalam dunia sastera Malaysia, khususnya Melayu, telah pun diberikan kepadanya. Sasterawan negara? Pejuang sastera? tokoh sastera? dan sebagainya? Pelbagai penghormatan turut diterima tokoh ini dengan akhirnya gelaran Dato' dab doktor falsafah kehormat.

Berdasarkan pencapaian akademik jarang yang mempersoalkan gelaran doktor falsafah kehormat yang diterimanya. Selayaknyalah tokoh ini menerimanya, walaupun hanya berkelulusan Darjah V Sekolah Atap yang terletak di seberang sungai. Sesiapa yang tokoh ini secara peribadi tidak mungkin tidak akan terharu dengan pencapaian, penghargaan dan penghormatan yang diterimanya. Kadang-kadang mereka yang benar-benar rapat dengan tokoh ini, terutama yang seangkatan atau satu ghenerasi lebih muda daripadanya tidak mungkin dapat menyembunyikan rasa sedih menyapu air mata ketika jenazahnya diusung pergi buat selama-lamanya.

Diyakini, kawan-kawan rapat dalam bidang persuratan seperti Dato' M. Noor Azam, Dato' Baha Zain, Piyadasa, Latif Mohidin, Kemala, Samsuddin Jaafar, Saleh Daud, Sutong Umar Rs, Dinsman, Maarof Saad (yang pernah tinggal bersama keluarga ini buat sementara waktu). Juga rakan-rakan rapat yang lain seperti Dr. Syed Hussein Ali, Krishen Jit, Kassim Ahmad dan Faridah Marican. Juga dari rakan-rakan dari negara jiran Singapura dan Indonesia seperti MAS, Masuri SN, Yusnor Ef, Goenawan Mohamad, Taufik Ismail, Rendra dan Wisran Hadi. Hari ini ada yang telah pergi mengikuti jejaknya.


SN Dato' A. Samad Said
Namun ada satu perkara kecil yang terus menarik perhatiannya. Perkara ini semacam suatu hal yang tidak kesampaian walaupun tokoh ini cuba memperjuangkannya. Ia ada kaitannya dengan soal pengiktirafan kepada kaum yang menamakan diri mereka "penulis dan pengarang". Tokoh ini menganggap perkara ini besar dan serius kerana ia membabitkan kehidupan harian kaum ini. Acapkali tokoh ini melahirkan rasa kurang senangnya terhadap pengiktirafan dalam bentuk ganjaran yang diterima. Amat malang, katanya, apabila ada pertubuhan, baik kerajaan atau bukan kerajaan yang masih tidak tahu menilai jerih-perih atau susah-payahnya kaum ini berfikir, mencipta dan menyediakan bahan-bahan untuk dikongsi dengan khalayak melalui persidangan, seminar, wacana atau apa sahaja. Malah karya kaum ini yang tersiar dalam media juga tidak menerima pengiktirafan setimpal.

Pernah dalam satu sembang-sembang bersamanya tokoh ini berkata, " Takkan nilai kerja kita sama dengan sehelai kertas dan seketul batu saja. Apa, kita ini makan kertas atau batu? Ini bukan dalam zaman 60an atau 70an lagi. Nilai kita cuma itu atau RM 30 untuk sajak atau RM 100 untuk cerpen. Sejak dulu sampai sekarang sama saja. Ada yang kata ada yang bayar kurang sekarang."

Terfikir juga apakah pengiktirafan yang sama diperoleh tokoh kategori sasterawan negara atau yang super tersohor seperti Kemala, Dato' Johan Jaafar atau Dato' Mazlan Nordin? Tentulah lebih lagi kot?

Monday 28 July 2008

CERITA PAK UNGKU TENTANG BAHASA MELAYU


Pak Ungku (kiri), Dato' Sujak Rahiman dan Dato' Dr. Hassan Ahmad: Ketiga-tiga tokoh ini adalah mantan Pengarah dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang betanggungjawab melaksanakan dasar bahasa Melayu.

Bahasa Melayu mampu mantapkan perpaduan kaum
SERDANG 28 Julai - Kerajaan perlu melakukan beberapa perubahan terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.

Cendekiawan negara, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata, keunikan bahasa Melayu boleh menjadi alat komunikasi bagi memantapkan lagi perpaduan kaum yang telah lama wujud.

Menurut beliau, pada masa ini usaha menggunakan bahasa Melayu untuk mewujudkan perpaduan kaum masih belum berjaya sepenuhnya.

"Kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta masih belum menggunakan sepenuhnya dan menguasai bahasa Melayu dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama pada Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi Bersama Kementerian Pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Ungku Aziz menegaskan, sistem pembelajaran amat penting untuk mewujudkan perpaduan negara agar lebih mantap dan ampuh.

Menurutnya, Laporan Abdul Razak 1956 juga menekankan kepada matlamat pendidikan adalah untuk menyatukan dan menekankan kepada perpaduan.

Sehubungan itu, kata Ungku Aziz, perubahan yang dirancang perlu merangkumi semua peringkat persekolahan termasuk di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau menambah, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menyediakan satu agihan sistem pelajaran paling mudah supaya pelajar dapat mempelajari bahasa Melayu dengan senang dari peringkat rendah hingga ke IPT.

"Kalau kita ada sistem pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu yang mudah tidak mustahil kita dapat lahirkan pelajar berwawasan bagi mewujudkan perpaduan kaum," katanya.

Sementara itu Alimudin berkata, beliau tertarik dengan cadangan yang diberikan oleh Ungku Aziz yang mahukan beberapa perubahan perlu dilakukan terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran agar bahasa Melayu menjadi agen mewujudkan perpaduan kaum.

"Cadangan ini amat menarik dan pihak kami akan membuat pertimbangan wajar," katanya.

Beliau tidak menafikan bahawa bahasa Melayu dapat menjadi agen untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum di negara ini.

Menurutnya, rakyat seharusnya dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik kerana ia boleh menyatukan masyarakat melalui komunikasi.

"Selain menguasai bahasa Melayu, kita tidak boleh mengabaikan bahasa Inggeris yang sering digunakan dalam sebarang urusan di peringkat antarabangsa khususnya dalam bidang ekonomi," katanya lagi.

Alimudin berkata, seminar yang diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perancangan kedua-dua kementerian memberi penekanan kepada aspek kemahiran asas.

Selain ilmu pengetahuan, beliau berkata, pelajar perlu dilengkapi dengan kemahiran berkomunikasi, kemahiran teknologi maklumat, kemahiran membuat keputusan, berfikir secara kreatif dan inovatif.

Komen:
Kini Profesor Diraja Ungku Aziz bercakap tentang pentingnya bahasa Melayu. Tetapi masalahnya, ia bukan tentang mengakui atau tidak mengakui pentingnya bahasa Melayu. Ia menyentuh soal Perlembagaan dan bahasa Melayu memang pun telah ada dalam Perlembagaan. Cuma bagaimana persepsi umum terhadap bahasa itu telah dimanipulasi oleh golongan yang kurang senang dengan kedudukan bahasa itu. Malah adalah lebih penting lagi jika saran Pak Ungku itu dapat mengubah perepsi orang politik supaya akhirnya mereka benar-benar mahu melaksanakan keazaman politik atau "political will" yang sejak sekian lama diperlekeh.


Kak Azah ketika di temu ramah di kediamannya baru-baru ini tentang perkembangan bahasa Melayu sejak 50 tahun lalu.

Apabila mendengar Ungku Aziz bercakap tentang bahasa Melayu ini lega sedikit hati ramai pencinta bahasa Melayu. Moga-moga saran yang dibuat Pak Ungku itu akan mula mengubah perepsi umum terhadap bahasa itu. Apabila mendengar saran Pak Ungku di TV dan membacanya dalam akhbar hari ini, teringat pula pertemuan dengan Kak Azah Aziz di kediamannya baru-baru ini. Yang kami bualkan ialah tentang kedudukan bahasa Melayu etelah 50 tahun merdeka.

DIALOG KUANTAN: DILEMA PENULIS PANTAI TIMUR


Dato' Dr. Mansor Hj Abdullah yang pernah menerajui kepimpinan DPMP Pahang satu ketika.

DIALOG PANTAI III DI KUANTAN 1999
Catatan A.F.Yassin

29 Oktober 1999
Saya kira Dato' Tengku Alaudin Majid adalah orang paling keciwa menghadiri Dialog Pantai III yang berlangsung pada 21 - 23 Oktober lalu. Tidak ramai penulis pantai timur yang hadir, malah hampir setengah daripada 50 orang yang datang terdiri daripada penulis pantai barat dan utara Semenanjung. Itupun, barangkali mereka adalah ahli-ahli jawatankuasa persatuan penulis yang menjadi kerabat Gapena. Sebabnya, mereka turut merayakan Hari Ulangtahun Gapena ke-29 yang diadakan sempena Dialog Pantai III. Ada juga peserta mencari-cari kalau-kalau ada wakil Pena yang turut hadir.

Pada hari perasmian didatangkan sejumlah pelajar dari Kolej Islam Kuantan. Upacara perasmian terpaksa ditangguhkan lebih setengah jam kerana menunggu kalau-kalau masih ada peserta-peserta baru yang tiba. Menteri Besar Pahang, Dato' Adnan Yaakob, yang dijadualkan merasmikan Dialog hanya diwakili oleh exco kebudayaan, Dato' Shaharudin Moain.

Tengku Alaudin kurang pasti di mana silapnya. Apakah kurang publisiti? Apakah wujud keadaan berpuak-puak di kalangan penulis-penulis pantai timur? Atau disebabkan dialog pantai diadakan pada penghujung bulan maka banyak penulis di tiga negeri pantai timur - Kelantan, Terengganu dan Pahang - keberatan datang. Maklum di poket tinggal duit syiling. Atau ada sebab-sebab tertentu yang hanya penulis yang berkenaan sahaja yang tahu.

Pada awalnya saya yakin Dialog Pantai III ini akan lebih meriah daripada dua dialog yang telah sudah kerana pada waktu yang sama Gapena akan turut merayakan ulangtahun penubuhannya yang ke-29. Nyatanya ketika saya sampai di Taman Budaya Kuantan Ahad pertang, tempat mendaftar peserta di Hotel Vistana masih kosong. Belum ada yang mendaftar, kata petugas pendaftaran.

Dialog Pantai kali ini membawa tema "Agama dan Budaya Teras kerjasama Masyarakat." Empat kertas kerja dibentang sepanjang dua hari, dengan kertas kerja utama oleh Dato' Dr. Abdul Monir Yaakob, Penolong Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Tajuk kertas kerja Dr. Monir ini sama bunyinya dengan tema Dialog. Kertas kerja lain ialah "Tok Kenali Sebagai Cerpenis" oleh Abdul Aziz Mahmud (ABRAM T.R); "Penulis Pantai Timur - Harapan Kepada generasi Pelapis" oleh S. Othman Kelantan dan "Penulis Terengganu Dari Generasi ke Genarasi" oleh Shariff Putera. Tidak ada kertas kerja dari Pahang tentang perkembangan kumpulan penulisnya kecuali oleh Dr. Munir yang lebih menumpukan kepada perbincangan tentang konsep umum agama dan budaya sebagai teras kerjasama masyarakat.

Seorang peserta dari pantai barat membandingkan Dialog Pantai ini dengan Dialog Utara atau atau Dialog Selatan yang dia pernah ikuti. Ternyata Dialog Pantai belum dapat menandingi cara pengendalian dan sambutan daripada peserta. Dialog Utara lebih terkehadapan, barangkali ia merupakan satu pertemuan yang sifat dan skopnya internasional, merangkumi Indonesia (Sumatera), Malaysia dan Thailand. Begitu juga dengan Dialog Selatan yang merangkumi Johor, Singapura dan Riau. Sementara Dialog Pantai agak bersifat kedaerahan (localised) merangkumi tiga negeri pantai timur Semenanjung.

Namun menurut peserta itu, ia tidak boleh menjadi alasan mengapa Dialog Pantai tidak mendapat sambutan. Pernah katanya ketika dialog yang lalu, ada masanya sesi pembentangan kertas kerja hanya dihadiri tidak sampai sepuluh orang. Katanya, "Bagi saya, ada baiknya jika sesi umum pada petang hari terakhir dialog sebelum penutupan, kita bincangkan masalah sambutan penulis kepada Dialog Pantai ini. Apakah perlu ia diteruskan dua tahun sekali atau diromabk semula tempoh pertemuan menjadi tiga atau empat tahun." Peserta ini yakin kalaulah tidak kerana Gapena mengadakan sambutan ulangtahun penubuhan ke-29nya di Kuantan, jumlah peserta akan jauh lebih rendah.

Tidak kurang yang berasa simpati dengan kerabat penyelenggara, iaitu Dewan Persuratan Melayu Pahang, khusunya Jawatankuasa Pusatnya yang dipimpin oleh Hj Yaakob Isa dan Haji Saiyed Ahmad Abdullah (Sahmad Malaya). Usaha telah mereka lakukan dengan kerjasama erat daripada seluruh ahli jawatankuasanya yang berjumlah 16 orang. Ada yang berkata "Kita tidak boleh salahkan DPMP kerana kurangnya sambutan. Kita perlu melihat jauh sebelum ini. Barangkali pengalaman dua dialog pantai pada tahun 1995 di Kelantan dan 1997 di Terengganu memungkinkan ramai penulis, terutama dari ketiga-tiga negeri itu sendiri tawar hati untuk ikut serta. Sementara kebanyakan penulis di pantai barat, Sabah dan Sarawak tidak pula menganggap pertemuan seperti itu tidak relevan dengan mereka.

Meneliti kertas kerja yang dibentangkan, kecuali yang dibentang Dr Munir tidak ada satu pun yang benar-benar memperlihatkan sebarang kaitan dengan tema dialog kali ini. Misalnya, kertas kerja S. Othman kelantan dan Shariff Putera hampir seluruhnya menyentuh tentang penulis, penulisan dan harapan masa depan. S. Othman Kelantan menggariskan secara kronologis dan historis tentang kelahiran penulis pantai timur sejak tahun 1920an berserta dengan proses regenerasinya. Othman bercerita tentang teknik yang digunakan penulis dulu dan sekarang. Akhirnya dia menyarankan agar penulis pelapis, terutamanya "harus memiliki keupayaan diri yang tinggi untuk wujud sebagai penulis." Bagi Othman keupayaan itu ialah penulis harus berilmu, berketrampilan, mempunyai kreativiti dan mempunyai kepribadian Melayu menurut realiti zamannya. Menurutnya, era sains dan teknologi yang tinggi memaksa "generasi pelapis menjadi sebahagian daripada ledakan itu."

Shariff Putera pula memfokuskan pemerhatiannya kepada jatuh bangunnya penulis Terengganu beserta cabaran yang dilalui mereka. Shariff mempersoalkan kesungguhan sebahagian penulis Terengganu dalam berkarya. Shariff bertanya, " Ke manakah penyair yang begitu ghairah menulis sajak di dalam antologi persatuan yang begitu ramai, cerpenis yang begitu ghairah menghasilkan cerpen di dalam majalah sekolah, penulis novel yang menjanjikan masa depan yang baik itu pergi?" Kemudian ramai pula penulis di negeri itu yang mula mengundurkan diri dan tidak lagi menyertai kegiatan-kegiatan persatuan penulis Terengganu atau PELITA. Menurut Shariff daripada sejumlah penulis baru berbakat hanya Mahanie Sulong yang masih bergiat.

Namun Shariff masih mengakui bahwa ramai penulis yang lahir dalam tahun 1960an dan 1970an masih aktif berkarya, antaranya J.M.Aziz, Omara Rahman, S.M. Noor, Aziz Afkar, Ariffin Ngah, Ali Jusoh, Nawawee Muhammad, Baharuddin Adam, Wan Ahmad Ismail, Hilmi Rindu dan Shariff sendiri sekadar menyebut beberapa nama. Manakala penulis Terengganu yang masih aktif tetapi berada di luar negeri itu termasuklah Tengku Alias taib, Ghazali Ngah Azia, Shafie abu Bakar, Mohammad Awang dan Jymma.

Akhirnya Shariff menasihati penulis baru dan berbakat agar tidak meminggirkan diri daripada terlibat dalam persatuan. Katanya, "Membina kelompok baru bukanlah satu cara yang terbaik sebaliknya membaiki dan memperkukuh atau memantapkan persatuan yang sedia ada rasanya lebih bermakna."

Aziz Mahmud memperkenalkan To Kenali (nama sebenarnya Muhammad Yusuf yang lahir di Kampung Kenali, Kubang Kerian), ulama Kelantan sebagai seorang cerpenis. Menurutnya, dalam kesibukan sebagai Tuk Guru Pondok, anggota Dewan Ulama Kelantan, Ketua Pengarang majalah dan tugas-tugas sosial yang lain "beliau masih lagi sempat mengarang 21 cerpen." Semua cerpen ini kemudian diterbitkan dalam dua antologi, iaitu "12 Cerpen Tok Kenali" dan "Tok kadi dan Tok Guru".

Aziz Mahmud menelaah bahawa keseluruhan cerpen Tok Kenali ini berligar pada persoalan pendidikan dan pengajaran agama yang mengajak pembaca beriman kepada Allah, mencintai ilmu, jujur pada diri dan tidak sombong. Menurutnya Yok Kenali menggunakan kaedah percatuman antara teknik (al-fann) dengan hikmah ketika menulis cerpennya, sesuai dengan ungkapan pemikir Islam, Syed Hussein Nasr bahawa kesenian Islam adalah hasil daripada percantuman kedua-dua unusur itu.

Amat disayangkan kertas kerja Dr Munir sebahagian besarnya menyentuh teori dan konsep. Ia tidak banyak menganalisis peranan agama dan budaya dalam menjalin kerjasama masyarakat. Hampir sembilan daripada 12 halaman kertas kerjanya hanya menerangkan konsep agama dan budaya. Dan pada halaman 11 Dr. Munir memberikan enam saranan. Katanya, agama perlu dijadikan asas dalam pembentukan kebudayaan. Untuk menjadikan agama dan budaya teras kerjasama masyarakat, ia memerlukan pembentukan "common vision", idea, nilai, martabat dan kriteria.

Dr. Munir mencadangkan agar diteruskan tradisi menghormati agama-agama dan budaya yang diamalkan oleh kaum-kaum dalam masyarakat majmuk. Nilai-nilai universal dalam masyarakat Melayu perlu dilahir dan direalisasikan sebagai pemangkin kepada kerjasama antara kaum. Seterusnya, Dr Munir mahu ilmu dan pemikiran diletakkan sebagai saluran ke arah membentuk masyarakat madani yang akan melahirkan budaya yang tinggi nilainya. Pelajaran tamadun dunia dengan empasis kepada tamadun Islam hendaklah dijadikan kursus asas di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dengan tujuan membentuk "world view" kebangsaan. Dan akhirnya, satu seminar kebudayaan kebangsaan perlu diadakan untuk mengkaji semula penghayatan falsafah, pengisian, tujuan dan kesedaran pelaksanaan dasar kebudayaan kebangsaan yang ada sekarang agar lebih berkesan dan mempunyai kuasa perundangan.

Alangkah baiknya jika kertas kerja Dr Munir menyentuh juga peranan yang boleh dimainkan kaum penulis dalam melaksanakan proses kerjasama masyarakat melalui agama dan budaya ini. Malah contoh-contoh kes dari Barat banyak digunakan Dr. Munir dalam hujahnya, yang dikirakan kurang relevan kepada kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Ada yang menilai setiap kertas kerja ini berdiri sendiri-sendiri tanpa ada hubungan secara bersepadu (integrated). Kemudian, ketiadaan ramai penulis ternama dari pantai timur sedikit menjadi tanda tanya. Barangkali ramai yang mahu bertegur sapa dan berlanggar bahu dengan Nurhisham Mustaffa, Hashim Awang, Ali Jusoh, Mansor Abdullah, Tengku Alias Taib, Ghazali Ngah Azia, Ariffin Ngah, Ariffin Said, Ibrahim Omar, Wan Zanariah Abd. Rahman, Zahari Affandi, Sutong Umar Rs, Wahba, Shafie Abu Bakar, Daeng Ramliakil atau Omara Rahman. Sehingga dengan demikian bukan Tengku Alaudin sahaja yang keciwa tetapi juga saya percaya seluruh jawatankuasa pusat DPMP, tidak terkecuali Yaakob Isa, Sahmad Malaya, Sheikh Badar sheikh Embung, Mohd Hashim Ismail dan Khairul Bariah Arup, satu-satunya wanita dalam jawatankuasa itu, turut "hilang ghairah".

Sunday 27 July 2008

MARSLI N.O DENGAN DAERAH "KELABU"NYA


Daripada buku buku skrap Utusan Zaman

MENELUSURI DAERAH KELABU MARSLI N.O.

Marsli N.O. mengirimkan dua keluaran terakhir P-S 19 dan 20, sebuah wadah interaksi generasi baru kepada saya. Kedua-dua keluaran ini saya terima pada 27 Mac lalu. Menurut halaman awalan (prelim) wadah ini, P-S diterbitkan oleh Bengkel Teater Kuantan dan merupakan kumpulan karya kreatif/non kreatif generasi baru sastera. Keluaran No. 19 untuk tempoh Julai-September 1998, sementara keluaran No. 20 Oktober-Disember 1998. Catatan di halaman 31 P-S 20 agak menarik. Catatan itu berbunyi: Tahun 1998 akan berakhir. Hidup kita juga akan berakhir. Dan P-S keluaran ini juga mungkin yang terakhir. Tetapi sebelum tiba saat itu, kita berusaha memberikannya erti. Agar nanti bila kita pergi, hidup ini telah kita isi. Tentu saja bukan dengan hasad, iri, keghairahan mencantas atau menyediakan senarai kambing hitam.

Keluaran No. 20 P-S dimulakan dengan nukilan Marsli. N.O tentang hayat wadah ini sendiri. Kata Marsli N.O, "Keluaran kali ini merupakan keluaran terakhir bagi tahun 1998 dan jika ditelusuri dari tahun pertama terbitnya pada Januari 1994, bererti dengan keluaran ini genaplah sudah kita pada tahun kelima penerbitannya."

Saya tak pasti untuk tahun 1999 ini edisi seterusnya sudah diterbitkan atau belum. Jika dibaca catatan akhir P-S 20 nescaya tersirat rasa duka dan ketidakpastian Marsli tentang nasib wadah ini. Tanpa kekuatan kewangan dan hanya sekadar mengharap simpati luar dari teman-teman maka tidak mungkin P-S akan bertahan lama. Sejarah menunjukkan bahawa bagaimana tabah dan kuatnya semangat untuk meneruskan usaha, tanpa cukup wang, maka segala-galanya akan berakhir.

Dalam hal ini Marsli sedang berdepan dengan cabaran getir. Keluhan rasa dan simpatinya terhadap P-S adalah akibat kurangnya dukungan moral dan material yang diperlukan. Maka andainya P-S setakat bertahan hingga ke edisi 20, pastinya golongan yang dianggap Marsli sasterawan generasi baru tidak akan dapat lagi memanfaatkan wadah ini untuk menampung sebahagian karya mereka, paling-paling melakar ciptarasa untuk dihayati sesama mereka. Dan saya yakin melihat kandungan kedua-dua edisi P-S ini, orang yang bertanggungjawab menerbit dan mengedarkannya adalah Marsli sendiri. Keyakinan ini berputik dari pengakuan Marsli sendiri bahawa wadah tribulanan ini adalah dikeluarkan "dengan sumber kewangan peribadi dan sumbangan beberapa teman serta tokoh mapan seperti Dr. Othman Puteh, baik berupa benda mahupun karya."

Marsli mampu mengendalikan penerbitan P-S dalam bentuknya yang serba sederhana itu kerana dia telah hampir 20 tahun terlibat dalam apa yang dikatakannya sebagai penulisan "bersungguh-sungguh", iaitu sejak hasil ciptaannya berupa puisi mula mendapat tempat di Dewan Sastera pada Mei 1979 ketika berusia 22 tahun. Kemampuannya ini diperkuat oleh azam dan sikapm melawannya kerana ingin memberikan erti "terhadap hidup dan sastera saya sendiri." Dan P-S adalah wadahnya "untuk melawan" itu.

Ada yang berkata sikap melawan Marsli ini diasaskan kepada pencarian identiti dirinya dalam dunia sastera. Sebab mereka mengandaikan begitu ialah mereka kurang pasti apakah Marsli boleh dikategorikan sebagai anggota golongan penulis generasi baru Mereka bertanya apakah Marsli boleh digolongkan ke dalam penulis generasi baru sebab usianya tidak memungkinkan. Hari ini ramai yang mengkategorikan golongan penulis generasi baru yang usianya rata-rata dalam lingkungan 30an atau generasi yang lahir dalam tahun 1970an. Marsli, menurut mereka sudah mula menempah nama dalam dunia kesusasteraan "proper" pada tahun 1979 lagi.

Namun ada pula yang membuat garis pemisah yang lain. Bagi mereka pula usia bukan ukuran penentu sama ada penulis itu lama atau baru. Yang menjadi faktor penentu ialah pengkaryaan dan kecenderungan mengikuti aliran atau trend dalam penstrukturan ciptasastra. Biasanya ia dilihat dari sudut konvensional dan non konvensional atau apa yang disebut Marsli sendiri sebagai "sifat karya itu yang cenderung melanggar segala konvensi." Andainya dijadikan garis pemisah maka wujud sedikit keraguan terhadap status kedudukan Marsli sendiri. Sebabnya dua novel remaja dan kanak-kanak yang diterbitkan tidak menampakkan unsur yang melanggar konvensi itu. Barangkali unsur melanggar konvensi itu ada dalam karya-karya Marsli dalam genre puisi dan cerpen. Dan kalau pun ada unsur itu, maka apakah kita perlu kategorikan A. Ghaffar Ibrahim (puisi) dan Mana Sikana (cerpen) ke dalam golongan penulis generasi baru kerana mereka juga sering mencipta puisi dan cerpen yang mempunyai unsur melanggar konvensi.

Demikianlah, Marsli diyakini berada dalam kedudukan yang serba tak kena dalam penggolongan penulis ini. Dia berada di daerah kelabu, di tengah-tengah antara yang mapan dan yang baru. Bagaimanapun andainya pendapat Zainal Borhan mahu diterima maka status Marsli dalam pengelompokan generasi ini sedikit jelas. Zainal baru-baru ini melihat wujudnya kekosongan di antara kelompok penulis Othman Puteh, Mana Sikana, Mansor Abdullah, Abdullah Tahir dan Sahalan Mohd Saman dengan kelompok penulis Hizairi Othman, Mawar Shafie, Utahaya Sankar SB, Azmah Nordin dan Faizal Tehrani. Dalam hal ini Marsli berada di tengah-tengah kedua kelompok ini. Persisnya Marsli berada dalam jurang kekosongan ini tetapi lebih dekat dengan kelompok Hizairi dan kawan-kawan. Dan Marsli bolehlah dianggap sebagai "orang tua" dalam kelompok penulis baru ini.

Apapun jua, Marsli yang sering mengasosiasikan dirinya dengan generasi baru dengan menyebut "sahabat sasterawan segenerasi kita" berusaha mencari solidariti sesama mereka. Dalam P-S No. 19 Marsli bertanya, "Sahabat sasterawan segenerasi, di manakah solidaritasmu? Dan jika kalian ingin memberikan jawapannya, usahlah tujukan jawapan itu kepada saya. Tetapi tujukanlah kepada sekalian sahabat sasterawan generasi kita yang memang benar-benar memerlukannya." Kemudian Marsli bertanya pula mahu ke mana "para sasterawan generasi baru ini di tanah kesusasteraan negeri tercinta ini."

Pertanyaan Marsli ini seperti mengundang suatu tindakan yang revolusioner dalam kesusasteraan. Setidak-tidaknya Marsli mahu "sasterawan generasi muda" membentuk satu pakatan yang diikat dengan semangat solidariti di kalangan mereka dan yang bakal dinobatkan sebagai satu angkatan seperti yang pernah lahir pada tahun 1950an dahulu dan dikenali dengan "ASAS 50". Namun pertanyaan Marsli ini akan membuatkan Marsli tersepit di tengah-tengah. Sebabnya sudah wujud apa yang disebut sebagai kelompok penulis generasi baru yang memperjuangkan "Seni Untuk Ilmu", sebagai ganti kepada " Seni Untuk Masyarakat" yang diperjuangkan ASAS 50 atau "Seni Untuk Seni" sebelumnya. Apakah Marsli berada dalam kelompok ini dan andainya tidak apakah tidak mungkin dia akan tersepit dan terpinggir? Masih ingatkah kita tentang istilah "Penulis Lima" yang diperkenalkan Mawar Shafie di Pertemuan sasterawan Malaysia I di Johor Bahru April lalu?

Diyakini Marsli tidak akan mudah berkecil hati atau terkilan dengan istilah Mawar atau perjuangan untuk mewujudkan angkatan penulis generasi baru ini. Marsli punya pendirian sendiri. Malah tanpa solidariti di kalangan sahabat-sahabat sasterawan segenerasi, Marsli "sebenarnya sudah sejak lama bersedia untuk jatuh dan mati bersendirian. Bukan kerana merajuk atau tersinggung, apa lagi marah kerana perbuatan segelintir sahabat sasterawan segenerasi terhadap diri saya tetapi kerana saya sedar siapa diri saya."

Siapa Marsli N.O? Bagi saya Marsli telah mula keluar dari kepompong "keremajaan"nya, mula dewasa dengan sepak-terajang dunia kesusasteraan. Marsli adalah penulis yang rebah-bangun dan masak dalam sepak-terajang dunia itu. Dia "survive" setelah rebah dan bangun dan survivalnya itu dikaitkan dengan sindiran seorang gurunya ketika dia masih bersekolah dahulu. Gurunya menyindir bahawa Marsli "masih budak yang masih berhingus dan belum pandai mengeja, jadi tak usah bermimpilah hendak menjadi pengarang." Marsli mengakui bahawa tempelakan gurunya itu membuatnya "bertekad mahu membuktikan sindirannya itu adalah silap dan saya memang boleh menjadi seorang pengarang."

Marsli mula menempa nama dalam dunia yang disenanginya ini apabila sajak "Harapan"nya tersiar dalam Dewan sastera, Mei 1979. Setelah itu Marsli tidak lagi menoleh ke belakang. Sehingga kini telah banyak karyanya dalam bentuk buku diterbitkan, antaranya kumpulan puisi "Negeri Ini, Anak" (1994) dan "Hanya Kata" (1995); novel remaja "Di Daerah Asing" (1993) dan novel kanak-kanak "Mencari Misteri" (1997); serta kumpulan cerpen "Biduan" (1994) dan "Demi" (1998). Di samping itu Marsli gigih pula menerbitkan sendiri beberapa kumpulan puisinya seperti "Siapa Di Balik Sana" (1986), "Bla Bla Bla" (1990) dan "Ninabobok" (1993). Sementara itu beberapa buah daripada karyanya telah pula memenangi hadiah dan anugerah. Misalnya, sajak "Di Hadapan Buku-Buku" dipilih pemenang sagu hati Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1985), "Negri Ini, Anak" antara pemenang Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena (1989), cerpen "Belon" dan "Pembela" masing-masing terpilih sebagai pemenang hadiah Cerpen Maybank-DBP tahun 1993 dan 1994. Sajak "Begitu Kata Malam" pula adalah salah satu pemenang Hadiah Sastera Perdana 1996/97.

Mulai 1981 Marsli mula melibatkan diri dalam kegiatan terater dan kini dia memiliki sijil jurulatih teater. Antara guru teaternya yang tidak dapat dilupakan ialah arwah Abdul Aziz HM di samping Matari Rahman dan Zainal Latiff dan Samad Salleh dari USM. Ketika keterlibatannya dalam teaterlah Marsli mencipta "dengan membayangkan sebuah pentas dan mengandaikan cerpen saya sekaligus juga adalah sebuah naskhah yang boleh diangkat ke pentas, sama ada sebagai sebuah naskhah pentas yang sebenarnya atau juga sebagai naskhah yang saya bacakan secara langsung di depan khalayak."

Walaupun telah ada suara yang masih mencurigakan "keilmuan" Marsli kerana wujudnya puak"sasterawan generasi kita" yang berilmu seperti meminggirkannya namun sikap Marsli terhadap perjuangan yang baru bermula dalam mengetengahkan suara "generasi"nya seperti yang dinyatakannya dalam P-S bilangan 20 memberikan gambaran semangat kental Marsli. Antara lain katanya, "Kita sebagai generasi ini sebenarnya tidak wajar lagi menjadi pengekor yang membuta tuli baik dalam sikap mahupun konsep kesusasteraannya. Sesuatu mesti kita lakukan. Dan ini hanya akan dapat kita lakukan jika kita berani bersikap merdeka….Jika sekadar mahu menjadi pengekor, alangkah malangnya diri generasi kita. Tatkala orang sudah lama menjejaki bulan, tetapi kita masih lagi menjadi pungguk. Atau sebagai sasterawan kita sememangnya sekadar mahu menjadi pengekor yang melulu. Jika benar demikian, tunggulah saat penentuan itu. Jangan salahkan sesiapa kalau kau hanyalah debu yang akan disirnakan oleh angin!"

Dan menelusuri liku-liku kegiatan sastera Marsli saya tidak nampak yang Marsli (nama sebenarnya Ramli Selamat) akan menjadi debu yang akan sirna di tiup angin. Malah daerah kelabu yang selama ini menyelubungi dirinya dalam dunia sastera dilihat seperti "mega berarak" di langit nan biru!
A.F.Yassin
3 Jun 1999.

Komen:
Lama juga tidak kedengaran suara Marsli, apatah lagi melihat tampangnya. Barangkali maih menetap di Pahang atau telah berhijrah ke Kuala Lumpur.Apapun, beliau dikirakan masih terus menulis, terus kreatif dan masih belum melupakan kawan-kawan, terutama dalam kalngan penulis muda.

Thursday 24 July 2008

ZAM ISMAIL TOKOH GURU WARISAN DI YAYASAN

Menilai Sumbangan Tokoh Guru Zam
Oleh A.F.Yassin

“Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dan dialah bapa juga sahabat
Alor kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat...

Dua rangkap puisi di atas nukilan Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang adalah sifat sempurna seorang insan yang bernama guru. Usman menyelam hati guru dan mendedahkan sifat sempurnanya kepada semua, terutama kepada mereka yang pernah menjadi murid kepadanya. Betapa benarnya Usman ketika mengkahiri puisi “Guru Oh Guru” ini dengan rangkapan:

Jadilah apapun, pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Penggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.”

Tafsiaran semangat yang menjiwai puisi Usman ini mengingatkan sumbangan seorang bekas guru yang juga seorang sasterawan, iaitu Haji Ismail Zamzam atau lebih dikenali dengan Zam Ismail. Sifat-sifat yang terlukis dalam puisi itu adalah sesempurna seorang guru bernama Zam. Walaupun sudah tidak lagi menulis di “papan hitam” sekolah namun Zam masih dekat dengan profesion perguruan. Katanya, “Saya guru dan pendidik dan sebagai seorang pendidik, sumbangan saya kepada masyarakat merentas waktu selagi hayat dikandung badan.”

Amat beruntunglah Zam yang pernah bertugas bekerja sebagai guru. Penyair Usman mengungkapkan sifat dan fungsi guru dengan keindahan budi dan hati melalui bait-bait yang puitis. Tidak seperti kebanyakan profesion lain, guru dihormati dan dihargai, malah diktiraf sepanjang masa, terutama oleh bekas muridnya. Profesion guru mempunyai harinya sendiri, iaitu Hari Guru yang disambut setiap tahun pada 16 Mei, dua minggu sesudah rakyat menyambut Hari Pekerja. Maka untungnya guru, bukan sahaja mereka merayakan Hari Guru tetapi juga Hari Pekerja. Zam menerima anugerah tertinggi pendidikan itu bersama lima tokoh guru atau bekas guru yang lain, iaitu Tan Sri Dr. Murad Mohd Noor (74) yang menerima Anugerah Khas Menteri Pelajaran Untuk Kepemimpinan Pendidikan. Tokoh-tokoh guru yang lain ialah Alice Wee Siew Eng (63), Krihnasamy a/l Thambusamy (62), Wan Safinah Saleh (61) dan Ali Suhaily (60).

Zam mewakili kaum guru dan bekas guru yang kegiatan kokurikulumnya adalah dalam bidang persuratan. Anugerah ini akan menempatkan Zam yang berlatarkan kesusasteraan sebagai sumber ilham pula kepada para sasterawan yang menjadikan pendidik sebagai kerjayanya. Dan anugerah Tokoh Guru 2004 yang diterimanya itu adalah puncak daripada siri anugerah tokoh guru yang telah diterimanya sempena Hari Guru.

Dua tahun dahulu, Zam diiktiraf sebagai Tokoh Guru Johor. Setahun sebelumnya, Zam dipilih sebagai Tokoh Guru Batu Pahat. Sementara pada tahun 1996 Zam menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Pendidikan. Rahsia kejayaannya? “Tidak ada rahsia,” katanya. “Hanya diperlukan sikap positif ketika mendidik pelajar supaya mereka bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah berakhlak tinggi, berwawasan dan berperi kemanusiaan yang secara langsung membentuk masyarakat bertanggungjawab.”

Kerjaya terakhir Zam dalam bidang pendidikan ialah sebagai Ketua Sektor Bahagian Teknologi pendidikan, di Kementerian Pendidikan Malaysia (1993-1996). Sebelumnya Zam merupakan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, ketika itu dikenali juga sebagai Atace pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Pejabatnya terletak di Jalan Budikemuliaan di Jakarta Pusat. Zam bertugs selama tiga tahun (1990-1993). Pengalamannya sebagai guru, pengetua sekolah (terakhir sebagai pengetua Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak (SEDAR), Seremban melengkapkan sahsiah dirinya sebagai pendidik yang tidak pernah kenal erti letih dan bosan.

Lulusan Sarjana Pendidikan Universiti Iowa Utara, USA ini bergiat aktif dalam bidang persuratan secara berterusan. Ini merupakan salah satu kriteria anugerah kecermelangan dan Zam mewakili bidang persuratan. Proses pengembangan ilmu yang diamalnya secara berterusan dalam bidang ini tidak terbatas kepada penulisan buku-buku yang ada kaitannya dengan alam persekolahan. Zam turut berperanan menerbitkan hasil-hasil persuratan dan penyelidikan sejarah melalui jawatan terkininya sebagai Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor.

Kini beliau telah menerajui penerbitan hampir 30 judul buku melalui yayasan ini. Antara judul-judul terakhir yang diterbitkan ialah “Shaharom Hussain Gapura Sastera Johor” susunan Talib Samat yang pelancarannya disempurnakan sempena Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru baru-baru ini, “Sejarah Adat Istiadat Kesultanan Johor, 1529-1855” dan “Usman Awang Penghubung Sastera Moden Dengan Akar Tradisi.”

Zam menyahut seruan Kerajaan Johor agar “pulang kampung” untuk memberi sumbangan kepada anak negeri Johor. Menteri Besar, Datuk Abd. Ghani Othman ketika mulai memegang tampuk kuasa kerajaan di Johor satu dekad yang lalu telah menyeru cerdik pandai anak Johor kembali berkhidmat di negeri sendiri. “Alhamdulilah, saya memilih jalan yang betul dan kembali ke pangkuan negeri yang pernah mendidik saya sebagai guru,” kata Zam ketika ditemui dalam Seminar Pemikiran Shaharom Hussain di Johor Bahru, 5 Mei lalu.

Bidang persuratan adalah wadah Zam dalam dunia pendidikannya. Malah Zam memberi ruang untuk kesusasteraan bertapak di arena pendidikan. Dalam kegiatan ko-kurikulum, misalnya, di mana sahaja Zam ditempatkan dia memberi nafas kepada kesussteraan. Zam bertugas sebagai Guru Kanan bagi Matapelajaran Bahasa Melayu dan Sastera Sekolah Tinggi Kluang pada tahun 1972 hingga tahun 1979. Pengalaman berkarya ditambah pula dengan pengaruh karyanya memungkinkan pelajar lebih mesra berinteraksi dalam bilik darjah. Satu kelebihan kepada pelajar untuk memahami dan menghayati ajaran Zam.

Pada tahun 1995 pula Zam dilantik sebagai anggota Panel Penasihat Penulisan Buku Teks Bahasa Melayu Kementerian pendidikan. Dua tahun kemudian Zam ditugaskan menulis buku-buku teks sastera dan panduan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Barangkali pengalamannya sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Penggubal Kertas Soalan Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM pada tahun 1981 sebelumnya menjadi pendorong kepada pihak terbabit untuk melantik Zam menulis buku teks sastera.

Kegiatan Zam di luar bidang perguruan adalah sepenuhnya dalam bidang kesusasteraan. Malah Zam amat terhutang budi dengan dunia kesusasteraan kerana melalui kegiatannya yang berterusan dalam dunia itulah dia diberi penghormatan untuk terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Guru Nasional 2004. Zam mula bergiat sejak tahun 1966 lagi apabila dia mengasaskan penubuhan Persatuan Penulis Johor (PPJ). Zam menjadikan PPJ platfomnya pula untuk bergiat di peringkat nasional mulai tahun 1972. Menurut catatan, Zam merupakan salah seorang tokoh kesusasteraan negeri Johor yang paling lama memegang jawatan Ketua Satu PPJ, iaitu selama 14 tahun. Zam dipilih Ketua Satu pada tahun 1967 hingga 1969. Kemudian dia dipilih semula pada tahun 1973 hingga tahun 1984. Dua tahun kemudian Zam dilantik sebagai Penasihat tetap PPJ sehingga sekarang.

Dalam pemilihan jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional bulan lalu, Zam terpilih sebagai seorang daripada lima anggota biasanya, mengalahkan dua calon kawakan dari Selangor seperti Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Dato’ Samad Maharuddin dari Kemudi. Di peringkat antarabangasa Zam terlibat aktif dalam kegiatan sastera budaya dalam lingkungan Sijori (Singapura-Johor-Riau). Zam dipilih sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Majlis Kerjasama Persuratan (MAKEP) Rantau Selatan, Singapura, Johor dan Riau (2002).

Yang mengharumkan namanya ialah kegiatan memfokuskan karya puisinya dalam majlis-majlis rasmi anjuran institusi kerajaan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan. Misalnya, sempena perayaan Hari Ulang Tahun ke-100 Batu Pahat beberapa tahun yang lalu, Zam diminta mencipta puisi khas yang dibacakan dalam perayaan. Sebuah puisinya dibacakan dalam majlis sempena perayaan Hari Kebangsaan peringkat nasional di Dataran Merdeka pada tahun 2000. Puisi berjudul “Bersatu Ke Alaf Baru” bergema ketika berlangsungnya lintas udara jet pejuang TUDM di hadapan dhif-dhif kehormat dan orang ramai yang diketuai Duli Yang Dipertuan Agong.

Puisi yang dicipta pada 15 Julai 1999 itu membabitkan tujuh rangkap. Dalam hening pagi di hari bertuah, bergema kata-kata keramat dari bait-bait syahdu antaranya dua rangkap yang paling mengharukan:

“...Siapalah kita
kalau bukan warga sebuah negara merdeka
Siapalah kita
di arena antarabangsa
bersedia mendengar suara
kalau bukan warga sebuah negara
berdaulat dan merdeka.

... tiada kematian paling nikmat
selain mengasihi tanah leluhur
dan tanah kelahiran ini
di sini di bumi keramat ini
cinta kita terus seubur bersemadi.”

Di Pulau Pinang sebelumnya, Zam diberi penghormatan untuk membaca puisinya dalam majlis pelancaran Tahun Membaca. Pada tahun 1989, Zam terpilih untuk mewakili negara dalam Festival Baca Puisi Dunia di Yugoslavia.

Tidak ada yang lebih mengharukan Zam sebagai Tokoh Guru Nasional selain melihat seorang bekas anak muridnya mencium tangannya ketika Zam menerima cenderahti daripadanya. Anak muridnya itu, Datin Halimah Saddique kini merupakan seorang exco kanan Kerajaan Negeri Johor. Zam baru sahaja selesai membentangkan kertas kerja tentang Gapura Sastera Di Atas Bukit dalam seminar sehari pemikiran Sahaharom Hussain.

Demikianlah, kesusasteraan, khususnya puisi, menjulang nama Zam bukan setakat sebagai sasterawan tetapi juga sebagai pendidik. Pe ngiktirafan tertinggi dalam bidang pendidikan tidak akan berjaya dirangkulnya tanpa kesusasteraan menjadi latar kegiatannya. Zam memperkasa kesusasteraan dalam profesion gurunya, sebagaimana halnya dia meningkatkan kerjaya perguruannya melalui penglibatannya dalam bidang kesusasteraan. Dan tidak ada cara yang paling efektif untuk mengenang jasanya selain pengiktirafan tertinggi sebagai Tokoh Guru Nasional 2004 yang anugerahnya disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad badawi di Stadium Melawati, Shah Alam, pada 15 Mei 2004 lalu. Ends.

Wednesday 23 July 2008

BAHASA MELAYU: PERJUANGAN YANG SIA-SIA


Yahaya Ismail: Perjuangannya memartabatkan bahasa Melayu sepanjang lima dekad lalu seperti tak memberi apa-apa makna.


Prof. Dr. Awang Sariyan aktivis muda yang terus berjuang memartabatkan bahasa Melayu. Masih bersinarkah masa depan bahasa Melayu?

Catatan A.F.Yassin
Bahasa Melayu, Perjuangan Yang Sia-sia?

Pengarah Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sariyan mengirimkan melalui e-mel apa yang disebut “Suara Rakyat Tentang Isu Bahasa Inggeris untuk Mata pelajaran Sains dan matematik.” Turut diemelkan ialah “Resolusi Awal Forum Isu Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu.” Pernyataan resolusi awal ini bertarikh 24 Mei 2002, manakala pernyataan suara rakyat tidak bertarikh.

Forum Isu Bahasa ini diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir anjuran bersama sembilan persatuan badan kerabat Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu. Sembilan persatuan itu ialah Persatuan Lingusitik Malaysia (PLM), Persatuan penterjemah Malaysia (PPM), Akademi Sains Malaysia (ASASI), Gabungan Penulis Malaysia (GAPENA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kesatuan Guru Melayu Malaysia (KGMMB). Gabungan pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia 9PKPIM) dan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM). Yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti pendidik, ahli bahasa, sasterawan, wartawan, budayawan dan peguam.

Ada usaha untuk menandingi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang pernah diadakan di Seremban dan Singapura-Johor pada tahun 1950an dahulu. Dan mengapa Dewan Budaya Tun Syed Nasir dipilih sebagai tempat pertemuan menarik. Sebabnya di dewan inilah pada 3 Mac 1967 kira-kira 120 pertubuhan bahasa sastera, budaya, pelajar, politik, maktab dan universiti mengadakan perjumpaan menentang Rang Undang-undang Bahasa yang sedang dibahaskan di Parlimen.

Yahaya Ismail, pengerusi Badan Bertindak Bahasa kebangsaan ketika itu dengan lantang menyebut penyelewengan yang dibuat oleh Kerajaan Perikatan terhadap Fasal 152 Perlembagaan Negara mengenai bahasa kebangsaan. Perdana Menteri ketika itu ialah Tunku Abdul Rahman Putra. Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Tuan Syed Nasir Ismail. Di Parlimen Datuk Asri Muda, Timbalan yang Dipertua agung PAS, bercakap selama empat jam menentang Rang Undang-Undang berkaitan. Antara lain, katanya, “Menteri Muda Pembangunan Negara dan Luar Bandar dalam salah satu ucapannya berkata apabila sampai masanya Bahasa kebangsaan didaulatkan, maka akan berakhirlah penggunaan bahasa-bahasa lain di Malaysia ini.” Datuk Asri kemudian memetik ucapan Menteri Pelajaran di salah satu persidangan UMNO, “Kita tidak akan bertolak ansur mengenai bahasa ini, biarpun ada suara-suara cuba menentangnya. Bahasa Kebangsaan akan tetap menjadi bahasa rasmi yang tunggal di negeri ini mulai tahun hadapan (1967).”

Memang benar bahasa Melayu adalah bahasa rasmi satu-satunya sekarang. Tetapi selama lebih empat dekad kemudian, bahasa itu masih belum dapat menjamin kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Nilai komersialnya sering dipersoalkan sehingga hari ini kerajaan “terpaksa kembali kepada penggunaan bahasa Inggeris.” Dengan bersandarkan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa internasional dan bahasa ilmu, juga bahasa komunikasi dunia, maka sekali lagi rakyat disogokkan dengan masalah yang tidak pernah difikirkan ketika pembentangan rang undang-undang bahasa tahun 1967 dahulu.

Di mana silapnya sehingga bahasa Melayu tidak mendapat tempat. Di mana silapnya sehingga bahasa Melayu masih juga dipersoalkan peranannya terutama dalam semua bidang terutama di sektor swasta dan antarabangsa. Malah di jabatan-jabatan kerajaan pun bahasa Melayu semakin menjadi melukut di tepi gantang. Sekarang lebih parah. Oleh sebab kegagalan pelajar, khususnya bumiputra menguasai bahasa Inggeris maka kerajaan mengambil langkah menggunakan bahasa Inggeris semula di sekolah-sekolah di semua peringkat, rendah dan menengah dalam dua mata pelajaran sains dan matematik.

Umum mengetahui selama ini yang lemah dalam mata pelajaran sains dan matematik kebanyakan anak Melayu. Sedangkan sejak sekian lama kedua-dua mata pelajaran itu di ajar dalam bahasa ibunda mereka. Bagaimana agaknya nanti apabila kedua-duanya diajar dalam bahasa Inggeris? Bagaimanakah prestasi anak-anak Melayu nanti setelah mereka mempunyai dua handikep, dalam menguasai bahasa (inggeris) dan menguasai mata pelajaran itu sendiri. Yang menjadi mangsa anak Melayu.

Kata seorang guru, “Nampaknya kita seperti anjing menyalak bukit yang salah. Lain bengkak lain menanah.” Maka atas dasar inilah mungkin badan kerabat Kongres Bahasa dan persuratan Melayu mengambil inisiatif menganjurkan forum sehari tentang isu bahasa. Di akhir pertemuan Forum membuat ketetapan yang akan dimajukan kepada pihak-pihak yang berkaitan, tentunya Kementerian Pendidikan. Ada dua ketetapan yang berasingan. Satu tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu dan satu lagi kedudukan dan peranan bahasa Inggeris. Terdapat lapan perkara yang dirumuskan tentang peranan bahasa Melayu. Antara yang terpenting ialah peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sisitem pendidikan negara serta pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun yang menjadi tumpuan ialah pernyataan suara rakyat tentang isu bahasa. Pernyataan dua halaman itu antara lain menjelaskan kebimbangan tentang implikasi keputusan Kerajaan melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran matematik dan sains di sekolah. “Kami dengan ilhlas dan tanpa dikuasai emosi serta tanpa sikap menafikan pentingnya usaha meningkatkan penguasaan bahasa asing di kalangan rakyat di negara ini, memohon kerajaan membatalkan keputusan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk meta pelajaran matematik dan sains di sekolah.”


Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein: Bagaimanakah pendiriannya terhadap isu bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik?

Ada enam alasan yang diberikan. Antara yang terpenting ialah, penggunaan bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar. Masalah sebenarnya ialah kaedah pengajaran, kesesuaian sukatan pelajaran, kemahiran guru, kesempurnaan prasarana dan motivasi pelajar dalam bahasa Inggeris. Cara terbaik menangani masalah kelemahan bahasa inggeris ialah dengan meningkatkan mutu pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri.

Kemudian sekolah akan berdepan dengan risiko pelaksanaan yang begitu besar. Sebabnya guru Matematik dan Sains tidak semestinya guru yang mahir berbahasa Inggeris. Maka dikhuatiri akan timbul keadaan “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Penguasaan bahasa Inggeris tidak dapat ditingkatkan manakala penguasaan matematik dan sains terjejas oleh sebab masalah bahasa.

Yang paling dibimbangkan ialah penggunaan bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran ini akan mengakibatkan berlakunya keadaan “lulus jarum lulus kelindan”. Barangkali akan wujud kemungkinan mata pelajaran lain yang ada kaitan dengan matematik dan sains seperti perakaunan, perdagangan, ekonomi asas, geografi akan diajar dalam bahasa Inggeris akhirnya. Sudahnya hampir semua mata pelajaran di sekolah akan menggunakan bahasa Inggeris. Sehingga dengan demikian bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sisitem pendidikan negara akan kehilangan peranannya.

Apabila terjadi hal seperti ini maka bahasa Melayu sedikit demi sedikit akan menjadi bahasa basahan, bahasa pasar dan bahasa komuniasi tahap rendah, cuma sebagai alat perhubungan mudah. Agak kelakar juga memikirkan hampir 30 buah negara di dunia mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa tamaddun tinggi, kita di Malaysia pula meragui keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.


Bangunan baru Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur: Akan menjadi gajah putihkah bangunan 33 tingkat ini dipukul "badai" bahasa?

Akhirnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran ini dengan sendirinya menyebabkan usaha memodenkan bahasa Melayu melalui pengayaan istilah dalam kedua-dua bidang tersebut yang telah dilakukan Dewan Bahasa dan Pustaka puluhan tahun lamanya tidak lagi relevan dan hampir sia-sia. Buku-buku ilmu dalam bahasa Melayu yang jumlahnya ratusan tajuk akan menjadi harta lupus. Sebabnya buku-buku Melayu, terutama matematik dan sains tidak diperlukan lagi. Akhirnya bahasa Melayu menjadi bahasa kerdil apabila khazanah ilmunya menjadi gersang.

Tidak pula dijelaskan apakah suara rakyat ini berupa satu ketetapan daripada majlis forum atau perhimpunan seperti halnya Forum Kongres Bahasa dan persuratan Melayu 24 Mei lalu. Tidak juga dijelaskan apakah Dewan Bahasa turut terlibat dalam mengeluarkan pernyataan ini. Namun ia dianggap sebagai suara hati orang Melayu. Apakah suara hati rakyat ini diberikan pertimbangan oleh Kementerian Pendidikan? Soalan ini diajukan kerana kabinet telah pun memutuskan untuk melaksanakannya dan lazimnya setiap keputusan kabinet adalah muktamad. Namun ada satu yang menarik apabila Menteri Pendidikan mengeluarkan pernyataan selepas mesyuarat kabinet Rabu lalu. Menurutnya, pihak kementerian “bersedia mempertimbangkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan Cina yang membantah perkara tersebut.”

Kalau selama ini kementerian dilihat tidak peka terhadap kebimbangan orang Melayu terhadap masa depan bahasa Melayu, nampaknya kementerian lebih bertimbang rasa terhadap penentangan empat pertubuhan Cina yang memperjuangkan masa depan bahasanya. Kata seorang ahli bahasa, “kita memerlukan seorang lagi panglima bahasa seperti Syed Nasir atau Asri. Atau gabung saja dengan pertubuhan Cina.”–ends

A. KARIM ABDULLAH H.B.JASSIN MALAYSIA


Buku Allahyarham Haji A. Karim Abdullah yang memuatkan esei-esei tentang diri dan apa orang lain kata.

CATATAN A.F.YASSIN
BUNG KARIM "PUSTAKAWAN" SASTERA

Khamis lalu, terima surat dari Haji A. Karim Abrullah, mesra dengan panggilan Bung Karim. Bersama surat itu disertakan dua buah buku kecil, "Pameran Buku Riwayat Hidup Dan Sirah Rasulullah S.A.W." dan "Bung Karim Penyelenggara dan Pendokumentor Sastera". Menraiknya, kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Bung Karim Entreprise. Kandungan kedua-dua buku ini mirip autobiografis. Maksudnya banyak menyentuh tentang Bung Karim sendiri yang ditulis secara kronologis dan bibliografis.

Kedua-dua buku ini diusahakan berdasarkan koleksi peribadi Bung Karim sendiri. Namun setelah mengimbas lalu kedua-dua buku berkenaan, didapati maklumat yang diberikan menjangkau lebih jauh daripada sekadar dokumentasi tentang "peribadi" Bung Karim. Maklumat yang ada secara tak langsung melibatkan sejarah perjuangan beberapa tokoh tertentu, khasnya dari Pahang. Maklumat juga melibatkan sejarah Gapena dan Dewan Persuratan Melayu Pahang. Maklumat juga melibatkan hubungan intim Bung karim dengan Pak Sako, Keris Mas, Zakaria Hitam dan A. Samad Ismail.

Contohnya, terdapat pelbagai buku tentang Pak Sako dan Keris Mas yang telah diterbitkan yang melibatkan Bung karim sebagai penyelenggara. Pada tahun 1987, terbit buku "Cerpen-Cerpen pak Sako yang diselenggarakan Bung Karim bersama Hashim Awang. Ada pula "Pak Sako Bistari" yang diterbitkan setahun kemudian. Sembilan tahun kemudian Bung Karim menyusun pula buku "Pak Sako dari Sudut Pandangan Pak Samad". Setahun sebelumnya lahir buku "Memori Pak Sako". Mulai milineium baru ini Bung Karim akan menyelenggarakan penerbitan beberapa buah lagi buku tentang Pak Sako, antaranya "Pak Sako Sasterawan Rakyat", "karya Klasik Putera Gunung Tahan Dari Pandangan Pemimpin dan Tokoh-Tokoh dari Pahang Darul makmur" dan "Moostapir Monolog - Cerpen-cerpen lain Pak Sako".

Untuk Keris Mas, Bung Karim menyelenggarakan "Mutiara Fikir SN Keris Mas" pada tahun 1997 dan pada tahun ini Bung Karim akan menerbitkan "SN Keris Mas: Dari Tanggapan Tokoh & Sarjana". Buku ini diselenggarakan bersama A. Rahim Abdullah. Sebuah lagi buku selenggaraannya yang bakal terbit ialah "Keris Mas - Sasterawan Nasionalis." Malah untuk tokoh Awam-il-Sarkam, Bung Karim (sebagai kawan karib barangkali) telah mengusahakan bersama Mawar Shafie buku antologi cerpennya berjudul "pengintipan" yang juga bakal terbit tahun ini.

Selain Pak Sako dan Keris Mas ada lagi beberapa tokoh Pahang yang kisah perjuangannya dan sumbangan mereka diselenggara, diterbit dan didokumentasikan. Bung Karim menyelenggarakan buku tentang pemikiran Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang diberi judul Pemikiran Tun Razak Tentang Bahasa-Sastera-Budaya." Ada pula buku tentang "Zakaria Hitam, Pak Zek Budayawan yang Berjaya", "Koleksi Pantun Pak Zek". Buku "Ibrahim Yaakub-Pencetus semangat Kebangsaan Melayu" telah diselenggarakan Bung Karim dan dijangka terbit pada tahun ini.

Bagi yang mengenali Bung Karim lebih dekat, dokumentasi di rumah Bung Karim cukup lengkap. Jarang amat diperoleh maklumat dan dokumentasi selengkap dan seterpeinci yang dimiliki Bung Karim. Seorang teman yang rapat dengannya pernah berkata "Bung Karim bukan sahaja menyimpan maklumat tetapi menerbitkannya sekali, baik oleh institusi penerbitan mahupun olehnya sendiri." Seorang penulis pernah menganggap Bung Karim sebagai "pendokumentor yang gigih" manakala majalah 'Karya" terbitan 25 Oktober 1997 menganggap Bung Karim "mengikuti Jejak H.B. Jassin" dari Indonesia yang bahan dokumentasinya memenuhi setiap inci ruang rumahnya.


Anggota-anggota Kelab Veteran DBP dalam satu pertemuan di rumah Allahyarham Tuan Haji A. Karim Abdullah.

Demikianlah, Bung Karim yang punya minat menyimpan dan menerbit semua bahan persuratan yang ada kaitannya dengan bahasa, sastera dan budaya. Tidak keterlalun jika Bung Karim boleh dianggap sinonim dengan H.B. Jassin. Ini diakui oleh Dino SS sendiri dalam Berita Minggu pada tahun 1993. Kalau di Indonesia semua orang maklum tentang kehadiran H.B.Jassin di persada persuratan negara itu. Dan mungkin di Malaysia semua maklum akan kehadiran nama Bung Karim di persada persuratannya pula. Ketika di rumah Bung Karim sebulan yang lalu, saya melihat buku dan bahan-bahan persuratan berada di mana-mana. Di Ruang tamu, di meja makannya dan saya boleh teka bahawa ada buku di katil tempat tidurnya. Beberapa buah buku agama terssusun di satu sudut. Menurutnya, jumlah koleksi buku agama sahaja lebih 150 judul.

Nama Bung Karim mula saya kenal ketika dia menjadi juruacara Majalah TV, terbitan Televisyen Malaysia pada akhir tahun 60an. Dia pernah dilihat di kaca TV sebagai "pembaca warta berita" dan sesekali berlakon dalam drama TV. Saya diperkenalkan orangnya oleh Usman Awang pada 7 September tahun 1972. Ketika itu saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Keakraban mula dirasakan apabila saya menyertainya dan Awam-il-Sarkam (Pak Awam a.k.a Wahab Muhamad) sebagai anggota sidang pengarang majalah "Dewan Masyarakat". Ketua editor "Dewan Masyarakat" ketika itu Keris Mas dan editornya Usman Awang.

Bekerja dengan Bung Karim banyak manfaatnya. Paling-paling Bung Karim boleh bantu meringankan beban tugas terutama untuk tujuan "menyemak fakta". Bung Karim amat gemar mencari dan mengumpul bahan. Di atas mejanya dipenuhi dengan pelbagai bahan editorial. Yang sedang digunakan dan yang tidak digunakan. Ada sesetangah bahan itu sudah "kotai" dan dimakan zaman, namun ia tetap dibenahi Bung Karim sebagai bahan dokumentasi berguna pada masa akan datang. Bukan tidak mungkin sesetangah daripada bahan itu masih ada di rumahnya ketika ini.

Bung Karim adalah orangnya yang diminta Usman Awang menemani saya dalam pertemuan "sukar" dengan pemimpin-pemimpin persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia di kampus UKM di Pantai, Kuala Lumpur pada tahun 1974. Pertemuan kami dengan persatuan mahasiswa itu adalah ekoran daripada sebuah makalah yang mempersoalkan tahap penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar-pelajar UKM. Makalah itu mendapat reaksi dan bantahan keras dari mahasiswa dan penulisnya diminta berdepan dengan pemimpin persatuan. Antara pemimpin mahasiswa yang kami temui ialah Shafie Abu Bakar (sekarang adun PAS di Selangor), Asiah Sarji dan Halim Arshat. Berkat bantuan Bung Karim, masalah itu dapat diselesaikan dengan baik. Kami bersetuju untuk menyiarkan reaksi persatuan kepada makalah itu dalam "Dewan Masyarakat" edisi beriktunya.

Saya menganggap Bung Karim merupakan "orang tengah" yang berwibawa dalam menyelesaikan masalah prasangka pemimpin mahasiswa UKM itu terhadap saya, sebagai penulis makalah. Ada ketikanya apabila saya tanyakan sesuatu kepada rakan setugas Pak Awam, lantas Pak Awam meminta saya jumpa Bung Karim. "Kau tanya aku buat apa. Tanyalah karim. Dia lebih tahu dari aku," katanya. Dua hari lalu, Saleh Daud Bendahari Gapena sedikit "geram" dengan "Dewan Sastera" keluaran terbaru dan menyebut nama Bung Karim. Katanya ada penulis yang masih tidak tahu mengeja namanya dengan betul. Sepatutnya editirnya lebih bertanggung jawab. "Dia orang boleh tanyakan Karim Abdullah untuk pastikan ejaan nama yang betul, kalau tak dapat saya."

Bung Karim lebih banyak tahu "dari aku", malah lebih tepat Bung karim lebih banyak tahu dari kebanyakan orang. Terutama hal-hal yang menyangkut masalah bahasa, sastera dan kebudayaan. Bung Karim tidak segan mendampingi ramai tokoh masyarakat. Dan adan yang menganggap rasa tidak segan Bung Karim inilah yang menjadikannya begitu gigih dan berminat dalam kegiatan pendokumentasian ini. Bung Karim bagaikan sedang bercinta dengan tokoh dan perwatakan tokoh itu. Bung Karim melahirkan rasa sentimen dan emosi yang tinggi apabila berdepan dengan tokoh sehingga dengan demikian Bung Karim akan menyimpan apa sahaja yang diperolehinya atau yang diberikan kepadanya.

Begitulah. Dengan tokoh wartawan A. Samad Ismail, Bung Karim menyimpan segala sesuatu yang ditulis wartawan veteran itu. A. Samad Ismail tidak punya salinan tetapi Bung Karim punya. Pada tahun 1997 Bung karim berjaya menyelenggarakan buku "Antara Pemikiran A.Samad Ismail" dan tidak lama lagi bakal terbit pula dua buku baru selenggaraan Bung Karim tentang Samad yang berjudul "A. Samad Ismail - Pejuang Multiwarna" dan "Dialog Dengan A. Samad Ismail". Satu dekad sebelum ini Bung Karim meneyelenggarakan buku "A. Samad Ismail: Ketokohan dan Kewartawanan".

Kelebihan Bung Karim sebagai penyimpan bahan dokumentasi ialah keinginannya untuk tidak dianggap sebagai hanya "tukang simpan bahan". Bung Karim ingin bahan-bahan itu disusun dan diterbitkan. Pernah katanya, "Saya akan cuba mendapatkan penajaan untuk menerbitkan. Kalau tidak duit, saya sendiri akan terbitkan setakat yang termampu." Ada 18 buah judul yang telah diselenggarakan dan dalam proses mahu menerbitkannya. Saya membayangkan jika kessemua 18 judul ini mahu diterbitkan tahun ini, Bung karim memerlukan sekurang-kurangnya RM180,000.00 dengan andaian kos menerbitkan sebuah judul berjumlah RM10,000.00. Dan dengan harga bahan cetakan yang meningkat hari ini Bung Kartim memerlukan lebih suku juta ringgit.

Harapan Bung Karim terlalu besar. Pemikirannya tentang pendokumentasian terlalu ideal. Bung karim hanya insan biasa yang tidak akan termampu untuk menyelia dan mengawet bahan dokumentasinya secanggih perpustakaan negara. Namun komitmennya terhadap penyimpanan khazanah persuratan yang berharga ini adalah lebih 100%. Barangkali 150%. Manakala kemampuannya dari segi material (kewangan) hanya setakat 30%. Soalnya bagaimanakah Bung karim boleh menyelesaikan masalah baki persen yang jauh lebih besar berbanding kemampuannya?

Ada ura-ura Bung Karim ingin menyerahkan sebahagian besar bahan dokumentasinya kepada institusi pendidikan tinggi atau perpustakaan. Andainya ini berlaku apakah nanti status Bung karim sebagai penyelenggara dan pendokumentor sastera? Apakah rumahnya di No. 73, Jalan Datuk Aziz 14/29, Petaling Jaya itu akan "sepi" daripada bahan-bahan yang sejak hampir empat dekat yang lalu dikumpulkan dengan begitu komited? Saya tidak dapat mengagak apakah berada dalam fikiran Bung Karim ketika dia hanya didampingi isteri, Aishah Abdullah, dua anaknya Aznul Shahrim dan Azlina dan lima cucunya tanpa buku dan bahan dokumentasi di sekelingnya. Bagi seorang insan penelaah makalah dari kampung Bangau, Temerluh ini yang mencapai usia 63 tahun pada 6 September depan, tentunya Bung Karim akan berdepan dengan suasana "keseorangan" tanpa buku di keliling pinggangnya.

A.F.Yassin
4 Ogos 2000
Dipetik daripada akhbar mingguan Utusan Zaman)

Tuesday 22 July 2008

TENGKU ALAUDDIN BICARA DALAM SEPI?


Tengku Dato' Alauddin Tengku Majid.

SEPI SEORANG AKTIVIS SENI
A.F.Yassin

Dalam perjalanan pulang ke Kuantan, setelah menonton Konsert Menjunjung Kasih di Pekan, sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah, saya dan Datuk Tengku Alaudin Tengku Majid berbual santai. Bas yang membawa rombongan Gapena dan peserta Dialog Pantai III bergerak laju di malam gelap, bagaikan mengejar waktu kerana jam telah menunjukkan waktu hampir tengah malam. Ramai peserta telah nyenyak tidur dibuai hayunan gerak bas ke kiri ke kanan. Dalam suasana beginilah Tengku Alaudin amat senang bicara.

Beberapa tahun kebelakangan ini saya melihat dia begitu aktif dalam Gapena. Tidak pernah sekali pun saya melihat dia tidak ada dalam apa sahaja kegiatan Gapena, baik di Rumah Gapena sendiri, mahu pun di tempat-tempat lain seperti di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Melaka, Seremban dan di kali ini di Kuantan. Kadang-kadang saya naik bingung bagaimana seorang pegawai pentadbir kanan kerajaan boleh menyesuaikan dirinya dengan kegiatan-kegiatan lasak Gapena. Bukankah lebih baik dia menghabiskan waktu bermain golf atau di kelab-kelab ekseklusif pegawai-pegawai kerajaan untuk "menjaga status"?

Tengku Alaudin adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Tahun depan dia akan mencapai usia wajib bersara, iaitu 55 tahun. Mahu ke mana Tengku Alaudin setelah itu? Apakah dia akan diminta melanjutkan kerjayanya atau langsung mendapatkan status mantannya, lalu menjadi anggota baru dalam kelab tak rasmi "Senior Citizen" yang membolehkannya mendapat kemudahan perjalanan dalam negeri dengan tiket separuh harga. Yang pasti Tengku Alaudin telah berjinak-jinak dengan kegiatan Gapena sejak sekian lama. Ketika di Kuantan semasa Dialog Pantai III berlangsung, saya melihatnya begitu aktif untuk menjayakan Dialog. Walaupun dia sedikit keciwa dengan sambutan yang sedikit dingin dari penulis, namun gerak tingkahnya sepanjang dua hari itu seperti dia mahu mengubati kekeciwaannya itu.

Dia ke sana ke mari dengan lincahnya. Pada hari kedua, ketika Perbincangan Meja Bulat lima ahli panel tentang Halatuju Gapena tahun 2000, Tengku Alaudin bekerja keras mengangkat dan mengatur kerusi. Sebabnya tempat perbincangan telah dipindahkan dari auditorium Taman Budaya kepada Bilik Latihan di seberang letak kereta berhampiran dengan kafetaria. Dia bersama Yaakob Isa, Sahmad Malaya, Rahimidin dan beberapa ahli jawatankuasa DPMP bertungkus lumus menyiapkan bilik itu.

Dia bercerita panjang dalam bas. Menurutnya dia merasa sepi selama berkhidmat dalam kerajaan. Tidak ramai yang meminati bidang yang dia minati. Disebabkan minatnya yang begitu meruntun dalam bidang seni budaya maka dia tidak punya kawan yang seiiring jalan, apatah lagi untuk diajak berunding membincangkan seni dan budaya. Barangkali akibat kesepiannya itulah maka Tengku Alaudin sering menyempatkan diri hadir di Rumah Gapena setiap kali ada kegiatan. Malah rasa sepinya ini dilahirkan ketika menutup Dialog Pantai III petang Sabtunya.

Tengku Alaudin, seorang pelukis, memberikan kebebasan kepada anak-anaknya untuk memenuhi masa lapangnya. Ternyata mereka tertarik untuk melibatkan diri dalam bidang teater. Mereka bergiat dalam bidang itu, malah mana teater yang dipersembahkan di sekitar ibukota yang mereka tidak kunjungi. Minat anak-anak Tengku Alaudin itu semacam menjadi penghibur kepadanya. "Kadang-kadang saya tidak terfikir mereka begitu matang bercakap tentang teater, pada hal mereka hanya anak muda," kata Tengku Alaudin.

Ramai yang menilai ada sesuatu dalam diri Tengku Alaudin yang menyebabkan penulis dan penggita budaya terasa mesra apabila bersamanya. Apakah kesungguhnanya dalam memupuk seni budaya bangasa melalui jawatannya di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan atau tutur bicaranya tentang seni budaya yang mempunyai "wave-length" yang setara dengan penulis dan penggiat seni yang bernaung di bawah badan-badan penulis baik di peringkat negeri mahu pun di peringkat nasional. Seorang budayawan senior pernah menyamakan Tengku Alaudin dari segi kegiatannya dengan Tan Sri Ismail Hussein sendiri. "Lihat sahaja bidang mereka dalam seni budaya. Ismail bidangnya bahasa manakala Tengku Alaudin seni lukis. Dan lihat sahaja seorang yang mempunyai pangkat tinggi dalam kerajaan sanggup mengatur kerusi dan meja hanya semata-mata untuk menjayakan sesuatu acara," kata budayawan itu.


Tan Sri Ismail Husein (barisan depan kanan) bersama Tengku Dato' Alauddin di Persidangan Permuafakatan Melayu di Johor Bahru, 4 April 2008 yang lalu.

Ada pula yang melihat wujudnya "Ismail Hussein" dalam diri Tengku Alaudin. Maksudnya, penampilan dan kepimpinan kedua-dua tokoh ini, terutama dalam berpersatuan dan kerja-kerja sukarela. Ismail Hussein telah ditahan uji kepimpinannya dalam Gapena, malah Gapena itu sendiri sudah sinonim dengan namanya. Walaupun kepimpinannya pernah dicabar dan digugat pada satu ketika tetapi karisme dan keikhlasan Ismail menjadikan kedudukannya dalam Gapena tidak tergoyahkan. Sesetengah pemerhati berpendapat Ismail Hussein tidak dapat dipisahkan kecuali hukum Qada' dan Qadar. Dan pada yang sama Tengku Alaudin dipandang sebagai tokoh yang dapat meneruskan kepemimpinan Ismail Hussein dalam badan induk itu. Setidak-tidaknya ada seorang dua dalam jawatankuasa Pusat Gapena mahu Tengku Alaudin dipersiapkan sebagai pemimpin pelapis selepas Ismail Hussein.

Saya cuba mendapatkan reaksinya tentang kemungkinannya dipersiapkan untuk tugas berat yang dipikul Ismail sekarang, Tengku Alaudin tidak begitu responsif, tetapi saya seperti merasakan bahawa dia adalah salah seorang yang paling sesuai untuk memikul beban tugas dalam Gapena. Saya katakan kepadanya bahawa gandingannya bersama Zainal Borhan dan Hamzah Hamdani akan membawa Gapena ke suatu hala yang terarah seperti yang telah ditunjukkan Ismail Hussein dulu dan sekarang. Pengalaman mentadbir dan mengurus dalam kerajaan adalah aset yang penting seperti halnya Ismail Hussein ketika bertugas dri Universiti Malaya dahulu.

Ketokohan Tengku Alaudin dalam kerajaan tidak siapa boleh pertikaikan. Yang diperlukan ialah mengimbangi ketokohannya itu dalam dunia persuratan dan seni budaya di dalam dan luar negeri. Jejak-jejak langkah Ismail Hussein mendekatkan Melayu diaspora sehingga bangsa yang terpencar-pencar di seluruh dunia itu menganggap Kuala Lumpur sebagai ibukota budaya mereka, perlu "dihidu" Tengku Alaudin sebagai langkah awal menebarkan jala pengaruhnya di luar negara. Sebaiknya mulai sekarang Tengku Alaudin diberi kesempatan untuk bersama-sama Ismail Hussein "meredah belantara budaya Melayu di luar Malaysia" agar dia sedikit demi sedikit mendapatkan momentum yang diperlukan.

Kurang pasti apakah idea cuba mengenengahkan pemimpin pelapis dalam Gapena pada waktu ini meruapakan satu langkah positif, terutama ketika Gapena sedang merancang kegiatan untuk menyambut Ulang Tahun ke-30 penubuhannya tahun 2000 nanti? Cuma satu hal jelas bahawa Gapena sebagai badan induk kepada 23 badan gabungannya telah sepatutnya mula mencari dan mempersiapkan pemimpin pelapisnya menuju alaf baru. Adalah tidak wajar keadaan kepemimpinan dibiarkan berada dalam kekosongan sedangkan Gapena harus terus menonjol sebagai satu-satunya pertubuhan NGO yang mewakili kaum budayawan dan seniman di peringkat nasional. Dua tiga biji bintang yang mula bergemerlapan di alam cekrawala seni budaya kita hari ini sudah sepatutnya diberikan perhatian. Salah satu daripadanya ialah Tengku Alaudin Tengku Majid, yang banyak berjasa meningkatkan dan menghidupkan seni budaya kebangsaan di peringkat kementerian. Tidak siapa yang berani menolak kemungkinan Akademi Seni Kebangsaan yang semakin popular di kalangan seniman muda untuk menimba ilmu merupakan salah satu kegiatan kementerian yang Tengku Alaudin sendiri menjadi "tangan pentingnya".

Bas yang membawa kami pulang ke Kuantan dari Pekan berhenti di Hotel Vistana kurang lebih pukul 12.45 tengah malam. Saya mengucapkan selamat malam kepadanya sebelum meneruskan perjalanan menuju d' Village, hotel penginapan saya kira-kira 13 kilometer ke utara. Dalam perjalanan menuju hotel, saya membayangkan keadaan Tengku Alaudin yang tidak akan sepi lagi setalah dia berusia 55 tahun di permulaan alaf baru tahun 2000. Pada usia bersaranya dia akan mula sibuk mengatur rutin hidupnya bersama para seniman dan budayawan tanah air, jauh dari kesibukan dan kerenah pentadbiran dan pengurusan kerajaan.

5 November 1999

Komen:

Sebagai anggota Kelab Warga Emas, Tengku menumpukan masa dalam kegiatan GAPENA. Beliau merupakan salah seorang tokoh penting pertubuhan itu dan menjadi tokoh kanan dalam usaha GAPENA memartabatkan bahasa, sastera dan budaya di negara ini. Barangkali pula bakat melukis yang ada padanya akan meningkatkan pula kepekaannya tentang alam sekitar melalui rakaman dan lakaran abadi lembut gemalai tangannya.

Monday 21 July 2008

BANDUNG KOTA BUNGA YANG TAK LAYU-LAYU!


Makam Pahlawan dari arah Gedung Satay, Kota Bandung, seperempat abad kemudian

Terfikir juga, apakah selamat untuk ke Indonesia ketika ini. Sebabnya banyak sangat kejadian yang membuatkan kita tidak senang mengunjungi negara tetangga itu. Maklum ada saja peristiwa letupan bom dan para mahasiswa berdemonstrasi, terutama di Jakarta. Terakhir letupan bom di daerah Jalan Sudirman yang merosakkan bahagian tempat letak kereta Bangunan Bursa Saham Jakarta. Kemudian ada pula unjuk rasa para mahasiswa yang pro dan anti Soeharto.

Namun oleh kerana undangan ini datangnya dari Universiti Padjadjaran di Bandung sempena perayaan 40 tahun Fakulti Komunikasinya maka saya tidak dapat menolaknya. Saya pun ke Jakarta dan Bandung Jumaat 21 September lalu. Nyatanya Jakarta dan Bandung relatif aman. Daerah rawan di mana berlangsung pelbagai kejadian demonstrasi dihindarkan. Malah tempat penginapan semalam di Jakarta, iaitu di Taman Rempoa Indah, yang terletak di kawasan selatan kota Jakarta, kehidupan seperti biasa-biasa sahaja. Seolah-olah warga daerah itu tidak tahu apa-apa tentang keruusuhan itu.

Bekas ketua Bahagian Berita TVRI, Drs Yazirwan Uyon dalam satu pertemuan meyakinkan saya bahawa Jakarta aman dikunjungi wisatawan dari negera luar. “Kan tahun ini tahun melawat ASEAN. Pemerintah kami mestinya bertekad untuk menjadikan Jakarta kota aman buat pengunjung,” katanya. Di Bandung, suasana lebih menenangkan. Beberapa mahasiswa yang ditemui tidak satu pun yang bercakap tentang rusuhan dan demonstrasi. “Cukuplah. Kami sudah mulai mual dengan gara-gara itu.Kami mahu kembali kuliah. Terserah pemerintah yang baru membela nasibkami sekarang. Sejak rejim Order Baru jatuh, kami masih menunggu tingkat hidup kami dinaikkan,” kata seorang mahasiswa Universitas Padjadjaran, jurusan komunikasi.

Kota Bandung yang menjadi kampung sementara saya 24 tahun dahulu tidak banyak berubah. Ketenangan daerah Dago di bahagian utara tetap seperti dahulu. Bangunan kiri kanan jalan bak dulu juga, tidak banyak berubah. Cuma yang berubah keadaan suhunya. Suka abad lalu masih kelihatan kabus pagi menyelimuti Kota Bandung, jumlah kenderaan belum begitu banyak. Cuaca dingin masih menyegarkan, walaupun matahari tegak di atas kepala. Jalan-jalan di bandar dan di kawasan kampus Institiut Teknologi Bandung (ITB) dan Universitas Padjadjaran ( UNPAD) daerah masjid Salman dan Dipati Ukur amat menyamankan.

Itu 24 tahun dulu. Sekarang seperti kata pensyarah Wawan Wirawan, “Panasnya tinggi sekali, Pak. Apalagi asap mobilnya tidak keruan. Pukul 6.00 pagi sahaja kami sudah keringatan. Sudah makin semrawut saja Pak.” Bandung merayakan hari ulangtahunnya yang ke-190 pada 25 September lalu. Memang ada usaha untuk menjadi Kota Bandung kota perkhidmatan, namun kata ramai penduduknya, “ia cuma slogan yang belum dapat dilaksanakan. Slogan yang digembar-gemburkan ditulis dalam bahasa campuran Sunda dan Indoensia dan berbunyi: Meningkatkan peranan Kota bandung sebagai kota jasa menuju terwujudnya kota yang genah merenah tumaninah. Kata Sunda genah bererti nyaman, merenah bererti tenteram dan tumaninah bererti tertib. Bagaimanapun sampai saat ini belum kelihatan wujudnya suasana tertib terutama keadaan lalulintasnya. Dan keadaan suhunya tidak senyaman dulu. “Tenteram ya tenteram,” kata Wawan.

Kota Bandung mulai didiami pada 1810. Kini jumlah penduduknya 2.5 juta orang. Lebih besar berbanding Kuala Lumpur. Ia ibukota Negeri (Propinsi) Jawa Barat yang berpenduduk 40 juta orang. Bangsanya Sunda bukan Jawa seperti di Jawa Tengah dan Jawa Timur. Bahasanya Sunda, jauh berbeza dengan bahasa Jawa. Kota Bandung ini terkenal dengan Persidangan Asia-Afrika yang diadakan di Gedung Merdeka yang terletak di tengah-tengah kota berdekatan dengan daerah alun-alun (seperti dataran merdeka di Kuala Lumpur). Bandung merupakan kota besar yang terdekat dengan Jakarta.

Pak Soeganda (kanan), Pak Atang Samsuddin dan Pak Riyono Pratikto (duduk di baris belakang) dari Fakultan Ilmu Komunikasi (FIKOM) ketika menghadiri Dies Natalis Ke-40 UNPAD (Universitas Padjadjaran) Bandung

Saban hujung minggu ribuan warga Jakarta akan membanjiri Bandung untuk beristirehat kerana Bandung memang terkenal dengan kota peranginan. Maka tidak hairan jika jalan menuju Bandung penuh sesak dengan kenderaan. Perjalanan sejauh 180 km dari Jakarta ke kota peranginan ini mengambil masa enam jam di hujung minggu, berbanding tiga jam setengah pada hari biasa. Daerah Lembang, Sari Ater (Ciater) menjadi tempat menarik untuk warga kota melepaskan lelah setelah seminggu bekerja di Jakarta.

Walikota Bandung Kolonel A. Tarmana sendiri ingin menjadikan Kota Bandung sebuah kota perkhidmatan dan juga kota satelit kepada ibukota Indonesia, Jakarta. Tarmana melihat kedudukan Bandung yang amat strategis, terutma untuk menjadi kota satelit Jakarta. Namun pengamat kota Bandung menilai keinginan Tarmana itu tidak diikuti oleh rumusan yang jelas menganai peranan kota perkhidmatan yang dimaksudkan. Sedangkan keinginan walikota itu mencakup pelbagai bidang, iaitu ekonomi, pendidikan, sosial dan pelancongan. “Konsep kota perkhidmatan seperti yang diinginkan Walikota itu sangat muluk,” seorang mahasiswa UNPAD, “kerana saya lihat pemerintah daerah belum bersedia dari sudut infrastrukturnya.” Menurutnya lagi beban kota Bandung terlalu berat untuk menyelesaikan masalah infrastrukturnya. Katanya, “Lihat sahaja keadaan macet di jalanan. Kemudian ternyata arus mobilitas manusia dari berbagai penjuru semakin tidak menentu, terutama dari Jakarta.”

Jalan-jalan dalam bandar juga tidak dapat dikawal. Warga kota sukar untuk berjalan kerana banyaknya jumlah warung di tepi jalan. Tidak ada ruang buat mereka untuk berjalan-jalan. Kata Wawan, “Hak kami sebagai pejalan kaki untuk menikmati kenyamanan berjalan dirampas oleh pedagang kaki lima. Belum lagi kian menyempitnya ruang jalan untuk parkir kenderaan. Bagaimana bisa Bandung menjadi kota jasa (perkhidmatan) kalau orang-orang harus menghabiskan waktu begitu lama di jalan lantaran terperangkap macet.”

Ternyata jalan-jalan yang ada di bandar keempat besarnya di Indonesia, selepas Jakarta, Surabaya dan Medan itu tidak dapat mengimbangi jumlah kenderaan yang lalu lintas. Pusat Penelitian dan pengembangan Wilayah Kota Institiut Teknologi Bandung membuat kajian pada tahun 1999 tentang lalulintas ini. Menurut kajian itu, panjang jalan di Bandung pada tahun itu ialah 904, 238 km. Jumlah ini hanya 2.7% daripada keluasan Kota Bandung yang berjumlah 16,730 hektar. Sebagai kota perkhidmatan, sepatutnya panjang jalan antara 25 hingga 30% seperti halnya di Tokyo atau Paris. Pertambahan jalan tidak seimbang dengan padatnya penduduk dan semakin bertambahnya jumlah kenderaan.

Tidak ramai yang optimis dengan keinginan walikota Bandung. Ahli Dewan Undangan Negeri (DPRD) Jawa Barat, Haji Maman Setiawan berkata jika pemerintah daerah tidak berani membuat perancangan yang matang dan menyeluruh maka tidak mungkin apa yang diinginkan walikota itu akan dapat diwujudkan dalam waktu terdekat ini. Katanya, “Walikota Tarmana harus bersungguh-sungguh merencanakan Bandung untuk peduli akan nasib kotanya yang kian semrawut. Itu kalau tak ingin visi kota jasa hanya sebatas slogan muluk.”

Demikianlah, Kota Bandung seperti sudah sampai ke tahap tertingginya untuk membangun. Keadaan sempang perenang lalu lintasnya bagaikan mencerminkan kemampuan para pentadbir kota itu yang amat terbatas. Misalnya untuk menuju ke Jatinangor di mana terletaknya universiti padjadjaran yang jauhnya kira-kira 20 km dari pusat kota, kita akan mengambil masa satu jam setengah dengan kenderaan.

Bagaimanapun warga kecil yang ingin ke sana ke mari di Bandung ibarat berada di syurga dunia. Mereka boleh saja bila-bila masa mendapatkan pelbagai jenis kemudahan pengangkutan yang dipanggil orang Bandung sebagai angkutan kota yang serba mampu. Ada ribuan angkutan umum yang memberi khidmat bila-bila sahaja dan di mana sahaja. Cuma awas bagi yang memandu kenderaan, kerana bila-bila masa sahaja dan di mana sahaja kenderaan angkutan umum ini akan berhenti dengan tiba-tiba di depan kita tanpa sebarang isyarat. Bagi pemandu angkutan umum seperti bas dan van ini yang lebih penting merebut penumpang daripada keselamatan penumpang yang telah sedia ada di dalam kenderaan dan keselamatan pemandu kenderaan di belakangnya.

Keadaan kehidupan malamnya tidak banyak berubah seperti dulu. Walaupun keadaan jalan mulai sepi selepas pukul sepuluh malam, tetapi bunyi hingar-bingar paluan dan petikan alat muzik memenuhi ruang hiburan di tempat-tempat tertentu, terutama di hotel-hotel. Masih ada banci berkeliaran di sepanjang jalan kereta api yang membelah kota. Nun jauh di atas bukit Dago, ke utara kota ada taman “Dago Teahouse” yang memikat pengunjung untuk menikmati panorama Kota Bandung di waktu malam. Kata Drs Soleh Sumirat, Dekan Fakulti Ilmu Komunikasi Universiti Padjdjaran, “Bagaimanapun banyak yang tidak mempedulikan keindahan panorama itu kerana asyik ngobrol atau asyik, yang seperti mahunya anak-anak muda, saling memandang mata masing-masing kan lebih nikmat.Bapak bisa ngerti maksud saya.”

Apapun jua, Bandung sekali lagi digegarkan oleh gempa bumi Ahad pagi, 24 September. Gegeran itu berlangsung selama 30 saat. Saya mengalami gegaran itu ketika masih berada di tempat tidur. Ketika peristiwa itu berlaku saya terasa seolah-olah dalam tilam saya ada sesuatu yang menjalar dari kiri ke kanan. Saya bingkas bangun dan lantai sahaja berderak seperti saya sedang berada dalam perahu. Melalui radio diperoleh maklumat bahawa pusat gempa itu berada kira-kira 15 kilometer di selatan Bandung dengan ukuran kekuatan 5.4 skala Richter.
Saya teringat kebimbangan sebelum ke Indonesia tentang rusuhan dan ledakan bom. Rupa-rupanya selama di Bandung bukan itu yang terjadi tetapi gempa yang berlaku dengan tiba-tiba.

Bandung
25 September 2000

SEJENAK BERSAMA M. ASHIQIN DARI PAHANG


Dato' Mansor Abdullah (dua dari kiri), penyair Shamuddin Jaapar dan penulis lirik Habsah Hassan dalam foto klasik tahun 1973 dalam satu majlis makan malam di Kediaman Tun Husein Onn. AFYassin, yang menulis catatan ini di kiri sekali.

Mansor Abdullah: “Saya Kahwin pun dengan kawan kita Juga.”

Salah satau kad Hari Raya yang saya terima dan anggap istimewa datangnya dari Mansor Abdullah, seorang penulis yang pernah menggunakan nama samaran M. Ashiqin. Mansor, yang telah bergelar Dato’ dan berjawatan profesor kini bertugas sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor. Kad ini bukan sahaja istimewa buat saya tetapi mengejutkan. Kad ini sungguh mengejutkan kerana sejak dua tahun lalu kadnya hanya tertera nama Mansor seorang dengan hujungnya “sekeluarga”. Tetapi kali ini ada dua nama. Di samping nama Mansor ada pula nama Che Amelia Kassim dengan gelaran “Datin” di pangkalnya.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan, sebaik sahaja menerima kad, Mansor mula bercerita panjang. Rupa-rupanya Mansor bukan sahaja suka buat kejutan dengan karya-krayanya yang mengundang polemik, terutama cerpen, dia juga buat kejutan dalam soal kehidupan hari-harinya. Dan belum pun sempat saya bertanya siapa Che Amelia di sisi namanya dalam kad itu, dia menjawab terlebih dahu, “Kawan kita juga. Aku kahwin kawan kita juga. Siapa lagi ada nama Amelia dalam kawan-kawan kita.”

Macam tak percaya. Sebabnya pernah Mansor kata telah 12 tahun dia tak jumpa Amelia “Kawan kita” itu. Tiba-tiba meletup pula cerita dia berkahwin dengan Amelia. Lalu Mansor bercerita pertemuan yang tidak disangka-sangka hingga katanya “bagaikan api, terus sahaja kami mencari persamaan dan akhirnya setelah mendapat restu orang tuanya, kami kahwin. Sebenarnya secara kebetulan kami terserempak awal tahun ini ketika dalam satu penerbangan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Kami berkahwin pada 14 Ogos lalu.”

“Maaflah, Tak sempat nak beritahu kawan-kawan. Adalah saya beritahu beberapa orang yang sempat, seperti Kemala, Atondra dan Ahmad Razali. Ketika mesyuarat Pena baru-baru ini, saya beritahulah juga tapi ada yang tak percaya,” katanya. Menurut Mansor, orang yang paling tidak percaya ialah Ajikik. Sampaikan Ajikik minta sijil nikah untuk minta Mansor buktikan. Sutong Umar Rs yang berdekatan marahkan Ajikik secara bergurau, “Apa hak engkau meminta surat nikah. Bukannya kau dari pejabat agama.”


Dato' Mansor Abdullah hari ini.
Apapun jua, Mansor kini menjadi suami orang semula setelah ketiadaan isteri selama dua tahun.Mansor dan Amelia setelah selamat diijabkabulkan di Johor Bahru. Orang yang bertanggung jawab menjadikan Mansor dan Amelia suami isteri ialah Mufti Johor, Dato’ Mohd Noh Gadot.

Mansor bercerita sejak isterinya Engku Hamidah Engku Abdullah meninggal dunia, dia cuba hidup menduda dan ingin menjaga ketiga-tiga anaknya bersendirian. “Tapi saya tak tahan cerita keliling, fitnah dan segala macam, sehingga anak saya sendiri menasihatkan saya supaya tidak terus membujang,” kata Mansor. “Kau fahamlah sebagai orang bujang semula (eligible bachelor) dan dengan kedudukan aku sekarang di universiti, kau tentu lebih tahukan. Aku tak tahan dengan gangguan seperti ini. Aku pernah tulis cerpen dalam al-Islam tentang keadaan aku ini dengan tajuk Membuat Pilihan.

“Maksudnya kerana tak tahan dengan keadaan ini aku cuba juga cari-cari dan mencari. Akhirnya kawan kita itu juga yang datang. Aku terus terang sahaja dengannya sama ada dia setuju kahwin denganku. Kau tahulah dia, macam aku juga. Aku tak ada isteri dan dia pun tidak asa suami. Aku ada anak dan dia pun ada anak. Lama juga aku tunggu jawapannya. Tiga bulan begitulah. Dia mulanya tak percaya aku sekarang sendirian. Ingatnya aku main-main. Soal kahwin-mahwin ini mana ada main-main.”

Masih belum hilang dalam ingatan kumpulan “kawan kita” ketika Mansor masih bertugas di UTM, Jalan Semarak. Antara ahli-ahli kumpulan “kawan kita” itu termasuklah Datuk Jalil Rahman, bekas ketua pengarang majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Haji Maarof Saad, bekas penolong pengarang Dewan Sastera, Datuk Prof. Dr Hashim Awang, kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam, Jaafar HS dan Amelia Kassim. Kumpulan kawan kita ini sering sahaja bertemu santai di warong dan gerai minum bercerita tentang dunia penulisan.

Amelia ketika itu berkerja dengan sebuah syarikat penerbitan buku. Maka cerita tentang buku selalu sahaja menguasai suasana. Oleh kerana begitu akrabnya kumpulan ini hinggakan masalah keluarga dan peribadi masing-masing dibincangkan bersama dalam usaha mencari jalan keluar. Juga oleh kerana keakraban ini jugalah Mansor cuba merujuk kepada kawan-kawan untuk mencari jalan keluar kepada kemelut gangguan yang dialaminya setelah hidup sendirian. “Aku minta maaflah, Fadzil, kerana tidak sempat nak beritahu kau yang aku memutuskan untuk kahwin dengan Amelia. Sebabnya benda ini mendadak sahaja tibanya. Macam api. Ia datang laju sangat,” katanya. “Kawan-kawan lain ada yang sempat aku beritahu.” Seorang daripadanya Jalil yang mengaku telah sempat dihubunginya.

Demikianlah, Mansor, seorang penulis yang mula menjejakkan kaki dalam dunia pengkaryaan pada awal tahun 1960an seperti mahu kembali turun dari menara gadingnya untuk sama-sama dengan kawan-kawan lamanya. Menurut Jalil, Mansor mungkin sahaja akan menetap di Kuala Lumpur setelah tamat tempohnya di UTM. Saya boleh bayangkan hiruk-pikuknya suasana apabila nanti Mansor berada semula dalam “dakapan” kawan-kawan akrabnya, apatahlah lagi kini dia dan Amelia sudah menjadi pasangan Datuk dan Datin.

Kahadirannya dalam mesyuarat agung Pena baru-baru ini menandakan “kepulangannya” ke dunia yang mula-mulai dia huni pada tahun 1962 dahulu. Mana nanti Ajikik dan Sutong Umar akan membuangkan paku buah keras masing-masing kerana ada yang tidak percaya Mansor dan Amelia boleh bersatu. Bekas bos Amelia, Yahaya Ismail juga mungkin akan bersama untuk setidak-tidaknya bertanya khabar kepada Amelia, seperti “Apa ada cerita baru?”

Yang jelas, Mansor akan kembali ke dunia penulisan. Tanda-tandanya telah semakin nyata. Mansor mula menulis lagi, setelah lama menyepi dalam dunia kesusasteraan. Sejak pertengahan tahun 1980an, jarang sangat karyanya disiarkan, terutama cerpen dan puisi. Ketika itu dia terdorong untuk menulis buku yang ada kepentingan dengan kerjayanya dalam bidang kaunseling. Mansor, lahir pada 21 Februari 1945, seorang sarjana dalam bidang kaunseling pendidikan dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat.

Mansor juga seorang konsultan Pendidikan Psikologi. Maka tidak anehlah kalau dalam bidang ini sahaja, 20 buah buku kaunseling dan komunikasi telah diterbitkan. Antara yang paling awal ialah “Proses Kaunseling”, “Psikologi Remaja”, “Kaunseling Kerjaya”dan “Kaunseling kelompok”. Semuanya diterbitkan pada tahun-tahun 1980an.

Mansor lebih senang berkarya dalam genre cerpen dan novel kanak-kanak. Sejumlah 11 novel kanak-kanaknya telah diterbitkan di samping tiga antologi cerpen. Belum lagi antologi bersama cerpen dan puisi yang dia tidak ketahui jumlahnya. Seperti halnya penulis-penulis yang muncul pada tahun 1960an, Mansor mencuba dalam semua genre penulisan, termasuk drama radio dan TV. Namun dua terakhir ini ditinggalkannya untuk konsentrasi dalam bidang cerpen.

Anak Kampung Durian, Telok Intan (Anson) Perak ini menulis dalam “resume”nya sebagai berkerakyatan Negeri Pahang Darul Makmur (Ahli Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang). Kurang pasti status Mansor yang lahir di Perak dan menjadi rakyat Pahang. Dan bagi sesetengah peminat sastera mungkin Mansor dianggap anak Pahang, lebih dekat dunia orang Pahang. Pengalaman kerjaya dan kegiatannya menunjukkan demikian. Misalnya, pada 1963-64 dia mengajar di beberapa buah sekolah menengah di Kuantan.

Kemudian dia bertugas sebagai kerani di bandar yang sama. Setelah itu dia terus-menerus berkhidmat sebagai guru di bandar itu dan di pekan sehingga tahun 1980. Kerjayanya di luar negeri Darul Makmur itu hanyalah di UTM, Jalan Semarak dan kini diteruskan di Skudai Johor Bahru.

Kejutan yang saya rasakan apabila menerima kad raya Mansor lima hari menjelang Syawal lalu mungkin tidak dirasakan kawan-kawan akrab lain seperti Jalil atau Maarof. Diyakini, kejutan ini mungkin akan dirasai seorang kawan karib kami, Jaafar HS atau Hashim Awang. Hashim berada jauh di negeri orang dan pasti "tertinggal zaman”. Inilah akibatnya kalau sudah berjauhan. (Dipetik daripada akhbar mingguan Utusan Zaman, terbitan Kumpulan Utusan Melayu, Kuala Lumpur)

Komen:
Walaupun tulisan ini telah lama disiarkan, namun kehangatan dan keakraban ketika bersamanya tidak mungkin mudah untuk dilupakan. Dia bekas profesor, timbalan naib canselor lagi, dia memiliki ijazah PhD dan prolifik sekali sebagai penulis. Namun kemesraan masih tetap terpancar dalam kata-kata dan tingkahnya. Mungkin dia berkata, "Kau, kau, aku, aku. Apapun, kita tetap kawan. Bila dan di mana sahaja." Seperti itulah dia akan kata kalau kita berada sesama kita.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).