Sunday 7 August 2011

Kembalikn Fungsi DBP Ke Peranan Asal Dengan Sistem Payungnya!!

 Tidak perlu komen apa yang ditulis wartawan Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussain tentang "kerugian Dawama" seperti yang tersiar dalam Mingguan Malaysia, 6 Ogos 2011 hari ini. Legasi Allahyarham Datuk Haji Sujak Rahiman, Ketua Pengarah DBP mewujudkan syarikat percetakan DBP kini menjadi titik lemah peranan DBP. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Dawama sehingga kebanyakan pekerjanya berada dalam keadaan tidak menentu. 

Apa yang cuba dirungkaikan Ku Seman di bawah ini tidak harus dilihat remeh oleh pihak berwajib, terutama ia menyangkut masa depan pelajaran anak-anak bangsa. Masalah yang timbul mungkin hanya seperti kata mat saleh "a tip of the iceberg." Mungkin ada banyak lagi "skeleton" dalam almari DAWAMA, juga DBP. Mungkin mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hassan Ahmad yang mengendalikan Yayasan Karyawan, dapat membantu menyelesaikan kekusutan antara DBP-DAWAMA ini. Atau DAWAMA perlukn bantuan nasihat daripada beberapa personaliti yang pernah mentadbir DBP. Antaranya, Datuk Johan Jaafar, mantan Pengerusi DBP, Senator Dato. Dr. Firdaus Abdullah, mantan Ketua Pengarah DBP dan Dato' Baharuddin Zainal, mantan Timbalan Ketua Pengarah DBP.  Yang lebih penting mintalah nasihat Dato' Mohd. Noor Azam dan kalau perlu minta beliau menangani masalah ini.Berundinglah dan jangan biarkan DBP dan DAWAMA jadi bahan ketawa orang ramai. 

Saya mencadngkan supaya dibentuk satu jawatankusa merungkai masalah DAWAMA-DBP yang dipengerusikan Datuk Dr. Hassan Ahmad dengan anggotanya terdiri daripada Dato' M. Noor Azam, Dato' Baharuddin Zainal, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah  serta wakil daripada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan. Tak perlu ramai dengan Ketua Pengarah sekarang bertugas sebagai Setiausaha bersama dengan Pengarah Urusan DAWAMA.

Rungkai misteri kerugian Dawama

SEBELUM syarikat konsesi percetakan dan pengedaran buku, Dawama dikatakan mengalami “kerugian”, seorang kawan memberikan reaksi yang sangat sinis.

Katanya, dia sama sekali tidak percaya Dawama yang mendapat kontrak mencetak dan mengedarkan buku teks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kerugian. Ini kerana perniagaan Dawama tidak ada persaingan, syarikat ini diberi kontrak oleh kerajaan mulai 2002 hingga 2014 untuk mencetak buku teks. Katanya, peluang Dawama ibarat satu-satunya penjual pelampung yang ada di tepi kapal Titanic yang hampir karam.

Tetapi hakikatnya Dawama kini mendakwa mereka mengalami “kerugian”. Semua orang tidak percaya Dawama boleh rugi kerana tahun ini sahaja Dawama sepatutnya mencetak enam juta naskhah buku teks untuk diedarkan ke sekolah. Bayangkan untungnya berapa? Tidak ada syarikat lain yang mendapat kontrak tunggal “menjual pelampung di tepi kapal Titanic” seperti yang diberikan kepada Dawama. Menurut sumber, sejak 2002 hingga kini DBP telah membayar RM650 juta kepada Dawama.

Tetapi akibat “kerugian”, Dawama telah bertindak di luar paras kemanusiaan. Mereka memaksa hampir 400 pekerja bercuti tanpa gaji beberapa hari lalu. Peliknya cuti tanpa gaji itu tidak ada tempohnya, adakah sebulan, setahun atau sepuluh tahun? Pekerja Dawama sebahagian besarnya adalah kakitangan DBP yang berkerja di kilang percetakan di Hulu Kelang.

Kerajaan mesti menyelongkar perihal kewujudan Dawama pada 2002 dulu dan mengapa Dawama mengalami kerugian. Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kerana semua orang percaya Dawama tidak mengalami kerugian seperti yang didakwa. Maka isu Dawama sekarang bukanlah sekadar menyelamatkan pekerja yang diberi cuti tanpa gaji. Isu Dawama adalah bebanan kepada DBP yang terpaksa mengambilalih mencetak enam juta naskhah buku teks.

Sebenarnya mengswastakan kerja-kerja pracetak, percetakan dan pengedaran buku-buku DBP adalah sangat pelik. Difahamkan nisbah agihan keuntungan 80: 20 (Dawama : DBP). Kalau dilihat nisbah ini, penswastaan itu menganiaya DBP kerana royalti dan bahan editorial ditanggung oleh DBP. Sedangkan Dawama hanya mencetak dan mengedarkan sahaja. Promosi buku teks tidak perlu kerana pembeli sudah ada.

Sebelum kewujudan Dawama, DBP mengamalkan konsep payung kepada beberapa syarikat percetakan untuk diberi tugas mencetak buku teks. Konsep ini ternyata berjaya kerana tidak ada masalah timbul dan ini juga banyak membantu syarikat percetakan terutama bumiputera mendapat peluang. Tetapi selepas penswastaan, Dawama menjadi induk kepada beberapa syarikat lain.
Cemerlang

Kewujudan Dawama tidak memperlihatkan peningkatan jualan buku-buku umum dan sastera terbitan DBP. Sepuluh majalah DBP juga tidak meningkat jualannya. Pengedaran buku-buku teks sudah ada pembeli. Siapa yang edar pun buku teks sekolah akan laris dan menguntungkan.
Kakitangan DBP telah terbukti mampu melaksanakan kerja-kerja penerbitan dengan cemerlang. Sebelum wujudnya Dawama, pengedaran buku teks tidak mengalami masalah untuk sampai sebelum sekolah dibuka. Jadi, memberikan kontrak mencetak dan pengedar buku teks adalah anugerah kepada kepada Dawama. Malangnya anugerah itu kini menjadi beban kerajaan.

Maka apabila Dawama memberi masalah kepada DBP, pihak yang mengusulkan penswastaan mesti dipersoalkan. Siapa yang membawa usul pelik ini hingga Dawama bukan meringankan DBP tetapi membebankan.

Ini satu kerja yang tidak baik sebenarnya dan kesan daripada perbuatan itu kita dapat ihat hari ini apabila DBP terpaksa bertungkus lumus memastikan enam juta buku teks dicetak dan diedarkan sebelum mula persekolahan 2012.

Imej DBP mesti dibersihkan apabila ada pihak meletakkan kesengsaraan Dawama disebabkan DBP seolah-olah pembayaran tidak disalurkan kepada Dawama. Tetapi kata Ketua Komunikasi Korporat DBP, Ghafar Abdullah, pejabat urusan Dawama yang terletak di kilang percetakan milik DBP di Hulu Kelang pun masih tertunggak sewanya. Kenapa sedaif itu?

Mustahil

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini berkata, adalah mustahil Dawama boleh mengalami kerugian kerana jualan buku teks sekolah menerusi kontrak dengan Kementerian Pelajaran adalah besar dan terjamin. Ini diperkuatkan lagi dengan dakwaan gaji pengurusan kanan terlalu tinggi, hingga hampir sama syarikat minyak. Jadi apa sebenarnya masalah Dawama hingga kelihatan hampir muflis? Adakah disebabkan kelemahan urus tadbir hingga menyebabkan kerugian? Atau memang untung tetapi tidak mahu berkongsi dengan pekerja bawahan?

Isu Dawama cukup memalukan. Ini memperlihatkan kegagalan sebuah syarikat Melayu yang diberi kontrak oleh kerajaan dan tidak bersaing dengan syarikat lain, tetapi akhirnya gagal. Sekarang semua orang mahu tahu dengan pembayaran RM650 juta sejak 2002 kepada Dawama, apa yang dibelanjakan hingga syarikat hampir muflis? Kontrak pracetak dan percetakan buku DBP perlu dikerjakan oleh syarikat yang bukan sahaja mempunyai kewangan yang kukuh tetapi berwibawa. Dawama diwujudkan untuk mendapat kontrak ini dan belum teruji sebagai syarikat penerbitan atau percetakan yang berpengalaman.

Monday 25 July 2011

Kata Imlan Adabi, Blog dan FB bukan Kewartawanan Sebenar!!


Kalau seseorang itu terlatih dalam bidang kewartawanan, sudah tentu dia tidak akan menulis sembrono, tetapi akan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan. Dia akan terikat dengan etika dan paling penting dengan unsur 5W + 1H yang akan menjadi pegangan penulisannya. Tetapi tidak demikian halnya dengan penulisan blog atau fcebook. Yang terjadi ialah sebahagian besar penulis blog dan Facebook hanya menulis sesedap rasa sehingga akhirnya terperangkap dalam jerat peraturan dan undang-undang. 

Memang seronok menulis secara hentam kromo, ikut perasaan, tapi penulis sembrono begini perlu memikul tanggungjawab dan mengambil risiko jika terjerumus dn terperngkap. Ada baiknya para bloger, penulis Facebook dan yang lin-lain, tidak terkecuali twitter belajar asas-asas kewartawanan supaya mereka dapat mengelak daripada terjebak ke dalam perangkap "maut" peraturan dan undang-undang. Ketika menulis mereka perlu mengingatkan diri akan impak dan akibat. Sebabnya mereka menulis untuk disasarkan kepada kelompok manusia, yang juga mempunyai rasa dan perasaan. Rasa dan perasaan ini dikawal oleh peraturan dan undang-undang.

Di bawah ini saya salin semula rencana Imlan Adabi yang dipetik daripada Berita Harian, 25 Julai 2011 agar setiap penulis blog, Facebook atau Twit dapat memahami selok-belok penulisan yang tidak membwa akibat kepada audien publik:

"Media internet jadi senjata penulis tak beretika racuni minda masyarakat"

TIDAK ramai yang mengenali Amizudin Ahmat sebelum ini. Dia sekadar penulis blog yang tulisannya kurang mendapat perhatian umum. Tetapi gara-gara ‘laporan’ yang dimuatkan dalam blognya, dia akhirnya disebut dan ada yang mempercayai kebenarannya.

Bagaimanapun, pengendali laman sharpshooterblogger.blogspot.com yang diheret ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terpaksa akur kepada kebenaran fakta. Dalam bidang kewartawanan, ketepatan dan kesahihan fakta bakal menentukan kewibawaan sesebuah berita dan rencana. Hal ini yang membezakan kewartawanan sebenar dengan penulis blog, portal berita dan catatan di facebook.

Tradisi kewartawanan yang ada di media arus perdana dan stesen penyiaran berdasarkan fakta dan etika, berbeza tulisan di laman web dan blog yang boleh menulis apa saja, termasuk menuduh seseorang melakukan perbuatan rogol atau bunuh tanpa sebarang bukti.Amizudin diarah membayar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim RM400,000 berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol pembantu rumah Indonesia.

Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blognya pada 28 Disember lalu. Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah Mohd Yusof, berkata selepas mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.

Hakim mendapati fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan saja reputasi Rais akan terjejas pada peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga. Mahkamah memutuskan tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan. Zabariah berkata, fitnah itu membabitkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang.

Katanya, artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja, termasuk di luar negara.

Kes terbaru ini membuktikan isu blog dan internet tidak pernah reda. Penulis bebas menulis apa saja seolah-olah mereka mengetahui setiap kejadian dan boleh berperanan sebagai hakim untuk menentukan seseorang melakukan kesalahan.

Sebelum ini seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 Mei lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman terhadap Tajulzairi Tajuddin, apabila dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Seorang belia berusia 29 tahun pula ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukataruna, akhirnya ditahan di Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 0gos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai membenci polis.

Penulis dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 kerana didapati boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

Seorang lagi penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan mengikut Akta Hasutan pada September 2008 kerana membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Semua mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan dan perundangan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia. Jika internet yang sepatutnya digunakan untuk menyebarkan maklumat diseleweng, kita tidak tahu bagaimana pembaca boleh menghargai sebarang bentuk tulisan yang boleh memberi kesan kepada masyarakat itu sendiri.

Amat malang jika teknologi maklumat disalah guna kerana ledakan media penyiaran sepatutnya seiring perkembangan tamadun manusia itu sendiri. Penulis juga mendapati beberapa catatan di facebook tidak terkecuali mempunyai unsur yang boleh dikaitkan dengan Akta Hasutan. Isu perhimpunan haram 9 Julai disensasikan. Ada yang menggunakan facebook untuk mengecam pihak yang bertentangan fahaman politik. Tidak terkecuali juga media sosial menjadi alat menjatuhkan hukuman kepada pihak lawan.

Jika keadaan ini berterusan, laman web, blog dan facebook sekadar media murahan yang bertentangan konsep sebenar media baru. Kita tentunya rugi jika tradisi kewartawanan diperlekehkan oleh segelintir golongan yang jahil. Tentunya lebih rugi jika penulis tidak berilmu terus kekal dengan laporan yang tidak manusiawi!

Saturday 16 July 2011

Erti Sebuah Perjuangan menurut Pak Samad Said.


                                                      Datuk A Samad Said di Bersih 2.0
  
Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said adalah bos saya ketika saya bertugas sebagai Kaadet Wartawan di Berita Harian pada tahun 1971. Hampir 40 tahun yang lalu. Sehingga hari ini kalau bertemu Pak Samad (panggilan kami ketika bertugas adalah Encik Samad) tak lupa saya bertanya khabar. 

Entah bila saya bertemu kali terakhir saya ingat-ingat lupa.Barangkali di lobi sebuah hotel terkemuka selepas majlis Penyampaian Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, lama dulu. Maka apabila saya membaca Pak Samad terlibat aktif dalam Bersih 2.0 baru-baru ini, saya terkejut juga. Bukan kenapa, hanya beliau sahaja yang kelihatan. Tidak ada pula penulis sasterawan yang lain ikut serta. Barangkali ada, cuma tak jumpa. Lagi pula saya tidak keluar ke Kuala Lumpur pada 9 Julai itu. 

terfikir pula mengapa tidak ramai yang mengiringi Pak Samd dalam Bersih 2.0. Barangkali sikap Pak Samad dengan sasterawan-sasterawan lain tak serupa. Cara berfikir berlainan. Mungkin juga ada yang menyokong Bersih 2.0 tetapi lebih selamat tinggal di rumah sahaja. Apapun, sikap dan tindakan Pak Samad di Bersih 2.0 ditanggapi bercampur-campur oleh kalangan penulis. Cuma apa yang ingin ditimubulkan di sini ialah kesan daripda menyertai Bersih 2.0 secara terang-terangan begitu. Pak Samad kelihatan senang, malah memberi komentar bahawa beliau kagum dengan respons yang ditunjukkan peserta Bersih 2.0 yang terdiri daripada kalangan pelbagai bangsa. Walaupun para bolger banyak menyebut hampir 98% yang menyerti Bersih 2.0 terdiri daripada satu kelompok kaum  sahaja, iaitu orang Melayu. 

Impaknya biarlah sejarah menentukan. Motifnya biarlah masa yang menentukan. Tapi buat Pak Samad apa yang diikrarkannya dalam blog "Anak Seberang" di bawah ini boleh meyakinkan dunia persuratan tentang tekadnya, mulai saat itu. Dahulu Pak Samad pernah mogok dua kali hanya kerana masalah royalti dan kaitannya dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam petikan di bawah ini Anak Seberang menulis:

"Jangan perasan A Samad Said siapa nak jemput hang by anak seberang 15 julai 2011

                                                      Ambiga yang mengetuai Bersih 2.0.



Sasterawan negara yang lupa daratan telah mengeluarkan kenyataan kononnya dia akan 'memulaukan' dan tidak akan hadir di semua majlis / program anjuran kerajaan selepas ini ekoran isu bershit tempohari.

Elok la Pak Samad yang lupa diri, AS pun nak cadangkan mana-mana jabatan/kementerian dalam Kerajaan sekalipun lepas ni tak perlu nak jemput orang tua tak sedar diri ini.

Dia lupa jasa kerajaan yang mengangkat 'darjat'nya sebegitu tinggi dari seniman haprak jalana hingga dinobatkan menjadi sasterawannegara dan mengecapi pelbagai kemewahan hasil dari jadi sasterwan negara.

Kalau takat nak bersajak, berpuisi dan jadi anak seni, ramai lagi anak muda yang boleh digilap bakat mereka boleh jadi lebih baekk dari Pak Samad".(
Jangan perasan A Samad Said siapa nak jemput hang by anak seberang 15 julai 2011)


Friday 17 June 2011

Sekadar Mengingatkan Orang Melayu Tentang Orang Melayu


Sekadar mengingatkan orang Melayu tentang Orang Melayu, Siapa mereka di tanah Semenanjung ini. Jangan nanti ketika sudah terantuk baru nak menengadah. Lupakah mereka akan orang yang bernama Raja Mandaliar dan si Kitol sejurus sebelum kejatuhan Empayar Melayu Melaka tahun 1511? Ini sekadar luahan perasaan seorang penyair yang dimartabtkan sebagi Sasterawan Negara. Puisi ini dicipta hampir setengah abad yang lalu tetapi ternyata masih relevan dalam situasi Melayu hari ini. Sajak Sasterawan Negara Dato Dr. Usman Awang:

MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

Usman Awang

Tuesday 7 June 2011

ORANG SASTERA: MENGAPA SEPI TANPA BERITA?

A, Ghaffar Ibrahim: Masih berpuisi lagikah atau sedang mencari sepi?

Kelihatannya., dunia sastera kita sepi, sesepi-sepinya. Kalau pun ada kegiatan ia cuma kegiatan rutin seperti yang dilakukan PENA setiap awal bulan, iaitu Malam Baca Puisi PENA. Gapena mungkin masih belum selesai dengan pencarian dunia Melayunya  yang seperti kata Pak Ya (Yahaya Ismail) yang "tak habis-uabis". Minta maaflah orang-orang di Rumah GAPENA. 

Menurut Pak Ya dalam fb-nya orang sedang riuh memperkatakan nasib bangsa Melayu Gapena dok asyik mencari Melayu di arena diaspora. Tak tahulah apa hendak jadi dengan dunia sastera kita, terutama yang membabitkan isu PPSMI. Benarkah akan berlaku perubahan atau akan tinggal retorik politik belaka. Semuanya atas nama realiti politik. 

Bercakap tentang realiti politik ini, nyatanya PAS telah membuka langkah mengubah dirinya sebagai parti yang akan menggantikan UMNO dan menjadi jagoan  orang Melayu. PAS akan membina dengan utuh sebuah negara Malaysia yang berkebajikan dan tidak lagi membina sebuah negara Islam. Kata PAS, persisinya presidennya kata  istilah negara Islam Itu tak ada dalam al-Quran, nrgara berkebajikan ada. 

Jadi sekarang di mana kedudukan kesusasteraan? Dan soalan utamanya siapa peduli kalau bidang sastera itu dibiar terpinggir atau diketepikan langsung. Dengan ramai anggota Jawatankuasa pusatnya terdiri daripada anggota yang bersongkok, berbanding yang berkopiah, maka cita-cita ahli-ahli PAS untuk mentransformasikan  parti itu menjadi parti moderate telah termakbul. Tetapi soalan yang perlu ditanya sejauh manakah PAS akan jujur memperkasakan bidang sastera ini kalau isu itu tidak ada kaitannya  dengan politik. 


Sepi lagi dunia sastera, sesepi tanpa manusianya  yang  berminat dalam bidang yang tidak memberi pulangan yang menguntungkan dari sudut komersial. Nampaknya Pak Samad Said yang pernah mogok kerana dot.dot.dot dulu itu perlu mogok lagi untuk meriushkan dunia sastera kembali. Barangkali isu sastera yang berbau politik seperti yang berlaku di zaman Hishamuddin Tun Hussein menjadi Menteri Pelajaran dulu perlu diriuhkan kembali supaya KL ribut kembali dengan lautan manusia membantah isu PPSMI. 


PM kita asyik ke luar negara sahaja kerana kononya antara lain mencari pelabur ke Malaysia. TPM kita pula asyik ke sana ke mari dalam negeri menabur janji wang berjuta. Hal ini mengingatkan kita kepada zaman Tun Mahathir dan Ghaffar Baba ketika menjadi PM dan TPM. Ada masa-masanya Tun asyik ke luar negara mencari pelaburan dan Ghaffar pula aSyik di dalam negeri menabur janji wang bermilion  kepada rakyat. Skenario yang serupa berulang lagi. Tapi di mana kedudukan sastera kita? 


Nampaknya seperti kata bijak pandai Si Luncai terjun sudah mulai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan! Kesian orang sastera, awak kini ibarat luncai dengan labu-labunyqa. Atau biarkan orang sastera menyanyikan lagu Inggeris "Humpty-Dumpty." Sementara orang UMNO dengan Presiden dan Timbalan presidennya menyanyi terys mendendangkan lagu popular "My Way-nya".

Sunday 22 May 2011

JASA ZA'BA SEBAGAI BIDAN UMNO TAK PATUT DIPERSENDA..

 
 Za'ba





 ZAABA DIPERSENDA  Begitulah tajuk berita utama di muka hadapan Berita Minggu 15hb Mei 2011 negari nan tuo 15 mei 2011. 

Persoalannya : Apa dah jadi dengan Lembaga Muzium Negeri Sembilan???????
 Apabila saya membaca berita ini, ia tidak memeranjatkan kerana saya telahpun mengetahui perkara ini lebih awal. Saya pernah dimaklumkan oleh saudara saya (anak buah Za'aba) bahawa barang yang ada di Teratak Za'aba bukannya barang milik Za'aba. Saya juga diberitahu bahawa katil yang ada di teratak bukan katil Za'aba tetapi merupakan katil lama yang dibeli di Melaka. Malah badik (bukan kerambit) yang diserahkan kepada muzium juga telah hilang dan keluarga mereka telah berjumpa dengan Pengarah Muzium bagi mendapatkan penjelasan. Jawapan yang diberikan, beliau tidak tahu badik tersebut hilang di mana mungkin hilang ketika pemindahan barang-barang ke teratak dan tiada apa yang boleh dilakukan. Badik ini merupakan warisan keluarga yang diwarisi oleh Za'aba dari bapanya, Ahmad.

Banyak lagi perkara yang berlaku mengenai Za'aba. Diantaranya, ada individu yang mengdigitalkan semua dokumen-dokumen Za'aba yang terdapat di teratak dan menjual semula kepada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan perpustakaan seolah-olah ia hak milik persendirian tanpa sebarang kredit untuk muzium. Sungguh pelik bagaimana ini berlaku, sedangkan bahan tersebut merupakan hak milik muzium. Adakah Pengarah Muzium tidak tahu ataupun takut untuk mengambil tindakan?

Isu pemuliharaan warisan ini pernah ditimbulkan dalam tahun 2009 di mana  pada 5hb Jun 2009, akhbar Berita Harian telah menyiarkan surat pembaca mengenai 'Kerajaan Negeri Tidak Pulihara Warisan Negeri'. (Klik di sini). Nagari Nan Tua, 15 Mei 2011.

Komen:
Dalam buku Insan Pejuang, terbitan Yayasan Warisan Johor pada tahun 2000, terdapat tulisan tentang Za'ba. Antara lain penulisnya Dr. Khairul Azmi dan A.F.Yassin mencatatkan, "Za'ba mengundurkan diri (dari UMNO) kerana tugasnya sudah selesai. Beliau tidak minat berpolitik dan dengan demikian setelah satu wadah perjuangan oramh Melayu sudah diterokainya, maka sebaiknya beliau  mengundurkan diri sahaja. Tan Sri A. Samad Idris  berpendapat Za'ba akirnya tercicir dalam arus perjuangan UMNO  kerana keuzurannya. 

Menurut Tan Sri Samad tidak lama setelah kejayaan Kongres Melayu Za'ba diserang penyakit "karang'. Namun, dikatakan sebab utama Za'ba meninggalkan UMNO ialah seperti katanya, 'Saya hanya bidan kepada anak baru lahir, iai tu UMNO.'Beliau akhirnya meneruskan perjuangannya dalam bidang bahasa dan persuratan.


Ucapan Za'ba yang bersemangat ketika Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, antaranya melahirkan rasa amarahnya  terhadap penjajah Inggeris. Antara lain katanya, 'Saya tidak boleh dengarbila dikatakan Raja-raja Melayu akan hilang dan taraf bangsa Melayu dikurangkan. Sebagai anak watan negeri ini saya rasa kita ada hak mendapatkan kuasa lebih. Jika sudah terpaksa , berperang panjanglah kita...'


Nama UMNO dicadangkan oleh Za'ba ketika Kongres Melayu berlangsung. Dato' Onn mencadangkan gabungan pettubuhan Melayu yang dinamakan 'Pertubuhan Melayu Bersatu atau kependekannya UMO. Za'ba kemudian memberikan cadangan  tambahan pula. Beliau mencadangkan agar ditambah perkataan  'kebangsaan' kepada Pertubuhan Melayu Bersatu menjadikannya 'Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu' atau dalam bahasa Inggerisnya 'United Malay National Organization atau UMNO.' Demikianlah Za'ba dan peranannya dalam UMNO. Beliau lebih senang menjadi 'bidan' melahirkan UMNO dan kemudian membesarkan 'bayi' UMNO itu.


Saturday 7 May 2011

SASTERAWAN NEGARA KEMALA - SELAMAT MEMPERKASA SASTERAWAN!

 
Sasterawan Negara Terpilih, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Kamala, seorang penyair, cerpenis, esei dan juga seorang pelukis.
 
Member kamcing. Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kamala) kini naik status dalam bidang kesusasteraan. Beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang baru setelah Dr. Anawar Rithwan pada tahun lalu. Kamala kini sebagai Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia (UPM) berada di cloud nine dan sudah pasti beliau menerima tahniah dan ucap selamat daripada kawan-kawan di Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei. Malah mungkin di negara-negara yang karyanya pernah diterjemahkan ke bahasa-bahasa negara berkenaan.

Kamala adalah rakan sekerja kami di DBP tahun-tahun 1970an dahulu. Beliau mengendalikan majalah Dewan Sastera bersama penyair Shamsuddin Jaafar di baawah pimpinan Usman Awang. Masih saya ingat tempat duduk beliau yang berdepan dengan Shamsuddin, manakala di sebalahnya Usman yang setiap kali menjeling ke dalam ruang kami. Kami berenam sebilik. Kami bekerja di bilik editorial yang sentiasa sibuk dikunjungi para tamu dan peminat sastera. Yang sering mengunjungi antaranya Yassin Salleh, Dino SS, Zaihasra dan beberapa yang lain, tidak terkecuali Rahman Shaari. Biasanya mereka datang berkunjung dengan tujuan untuk menyerahkan segumpal kertas berisikan sajak dan puisi atau cerpen juga rencana. Harap-harap Kamala dan Shamsuddin akan pertimbangkan untuk siaran di majalah Dewan Sastera yang mereka kendalikan.

Usman nampaknya tidak banyak mengganggu kerja pemilihan puisi, cerpen  atau rencana yang sampai ke meja editorial Dewan Sastera. Usman menyerahkan kepada kebijaksanaan Kamala dan Shamsuddin. Hanya selepas majalah diterbitkan Kamala dan Shamsuddin akan menghadap Usman, buat post-mortem, berbincang dan memberi idea baru untuk memperbaiki kandungan majalah. Dalam pada itu Kamala dan Shamsuddin ditugaskan juga untuk menulis. Itu kata mereka assignment dari Bos Dol Keropok.

Kini Kamala dengan kedudukan barunya telah menyamai status Usman Awang sebagai Sasterawan Negara. Kamala kini duduk sama tinggi dengan Sasterawan-sasteraawan Negara yang lain, seperti Datuk A. Samad Said, Dato' Shahnon Ahmad, Datuk Abdullah Hussein, Dr. Mohammad Haji Salleh atau Datuk Dr. Anwar Rethwan. Cuma tak pasti apakah seorang lagi sasterawan prolifik iaitu Datuk Baharuddin Zainal yang terkenal dengan nama Baha Zain telah menerima anugerah Sasterawan Negara ini atau belum cukup syarat panel anugerah.

Kalau mahu dikira, Baha Zain bukan calang-calang tokoh dalam dunia kesusasteraan. Karyanya berapi dan beliau dianggap seorang pemikir yang dinamik dan tajam penglihatan. Kemudian ada pula Latiff Mohiddin yang khabarnya sudah menetap di Pulau Pinang. Ini satu lagi pemikir yang punya potensi besar dalam bidang senilukis. Kemudian ada pula Suhaimi Haji Muhamad yang dengar khabarnya telah mendekatkan diri ke dunia keagamaan. Belum lagi kita sebut nama besar seperti Azizi Haji Abdullah dan Mohd Affandi Hassan, mahupun Dr. Salleh Yaapar di USM. Kita kenal siapa Dr. Hashim Awang yang telah melahirkan banyak buku dengan pemikirannya yang terlalu teoritis. Juga tokoh yang tak asing lagi, Datuk Dr. Abu Hassan Sham dan Datuk Dr. Mohd. Yusof Hassan. Setidak-tidaknya siapa tak kenal dengan Dr. Ramli Isin, sarjana sastera dari Universitas Gajah Mada, Yogyakarta itu atau Dr. Abd. Rahman Kaeh yang mengkhusus dalam bidang kesusasteraan tradisi.

Sasterawan wanita seperti Fatimah Busu, Dr. Siti Zainon Ismail, Khadijah Hashim dan Zaharah Nawawee berbakat besar dan telah banyak berbakti kepada dunia sastera. Karya-karya mereka dibaca ratusan ribu peminatnya. Namun panel yang memilih calon sasterawan negara belum melihat mereka ini layak diperkasakan sebagai sasterawan negara. Mungkin lain tahun kot, kerana seperti yang pernah kita dengar Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran mahu pemilihan Sasterawan Negara diadakan setiap tahun. Tidak lagi ada kekesongan seperti yang pernah terjadi satu waktu, ketika mana Malaysia tidak mencalonkan sasterawan negara hampir lima tahun.

Apapun jua selamat buat member kamcing Kamala kerana anugerah yang berprestij ini. Selain watikah penghargaan, Kamala akan menerima sumbangan sejumlah wang tunai dan penerbitan karya 50 ribu naskah beserta kemudahan perubatan  Kelas Satu di hospital kerajaan, sekiranya dimasukkan ke wad. teringat pula akan Allahyarham Kamaruzzaman Kadir penyair dan sarjana yang namanya lebih dikenali dengan Dharamawijaya. Allahyarham tidak sempat meraikan kejayaan teman baiknya Kamala yang pada tahun-tahun yang sama di bilik editorial DBP ketika itu mengendalikan majalah Dewan Pelajar bersama bosnya Saleh Daud. Saleh yang juga telah Allahyarham duduk sebilik dengan Sasteraswan Negara sekarang, Datuk Abdullah Hussein yang mengendalikan majalah Dewan Bahasa.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).