Monday 25 August 2008

SALING MENGEJAR DAN SALING BERCICIRAN

Yang Dikejar Dan yang Dikendong

WALAUPUN sudah dianggap tidak relevan lagi, namun usaha memartabatkan bahasa akan tetap tercatat sebagai satu perjuangan orang Melayu. Sesetengah ahli bahasa menyifatkan perjuangan ini sama kentalnya berbanding perjuangan 120 pertubuhan Melayu yang menentang Rang Undang-Undang Bahasa pada tahun 1967 dahulu. Isunya Fasal 152 Perlembagaan yang memberi kelonggaran terhadap pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kali ini isunya ialah penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah.

Kali ini, tidak ada luapan emosi berbanding perhimpunan tahun 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Barangkali kali ini perjuangan hanya untuk merakamkan secara “kepala dingin” kebimbangan ahli bahasa dan orang Melayu yang prihatin terhadap nasib bahasanya yang kini dikatakan kembali berada di persimpangan. Kebimbangan itu perlu dicatatkan untuk tatapan generasi penerus. Dan kebimbangan itu dijelmakan dalam pernyataan “Suara Rakyat “ yang disiarkan sepenuhnya di bawah ini.

“Dengan penuh kesedaran akan pentingnya dasar-dasar kenegaraan, seperti Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara dan asas jati diri bangsa dan negara Malaysia dipertahankan, dan dengan penuh pengertian jua akan keperluan bangsa dan negara kita meningkatkan upaya agar tidak ketinggalan dalam pencapaian kemajuan, kami yang menurunkan tandatangan di sini, atas nama rakyat negara ini ingin menyatakan keprihatian kami tentang implikasi keputusan Kerajaan melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah, bermula dari darjah satu.


Tokoh Bahasa Dr. Awang Sariyan.


Tokoh Bahasa Prof. Dr. Abdullah Hassan


Tokoh Bahasa Dato' Dr. Hassan Ahmad


Tokoh Bahasa Dato' Dr. Nik Safiah Karim

“ Kami dengan ikhlas dan tanpa dikuasai emosi melulu serta tanpa sikap menafikan pentingnya usaha meningkatkan penguasaan bahasa asing di kalangan rakyat negara ini, memohon Kerajaan membatalkan keputusan menggunakan bahasA Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah atas alasan-alasan yang berikut:

1. Penggunaan bahasa Inggeris untuk mengajarkan kedua-dua mata pelajaran itu tidak akan menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan Inggeris pelajar; kerana masalah yang sebenarnya berkaitan dengan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri, antaranya masalah kaedah pengajaran, kepadaan atau kesesuaian sukatan pelajaran, ketrampilan guru, kesempurnaan prasarana seperti makmal bahasa dan motivasi pada pelajar sendiri. Hakikat bahawa bukan semua pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris, malah banyak yang cemerlang dan fasih, membuktikan bahawa isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar bukan masalah yang menyeluruh dan oleh itupenyelesaiannya pun mesti bersifat khusus, iaitu dengan meningkatkan mutu pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri.

2. Risiko pelaksanaan keputusan itu dijangka besar sekali, kerana guru Matematik dan Sains tidak semestinya guru yang mahir berbahasa Inggeris, dan dikhuatiri timbul keadaan “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”, iaitu penguasaan bahasa Inggeris pelajar tidak dapat ditingkatkan dan penguasaan ilmu Matematik dan Sains pelajar pula terjejas oleh sebab masalah bahasa.

3. Penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Metematik dan sains dikhuatiri mengakibatkan berlakunya keadaan “lulus jarum lulus kelindan”, iaitu kemungkinan kemudian kelak akan diputuskan pula penggunaan bahasa Inggeris dalam mata-mata pelajaran lain yang berasaskan atau ada kaitannya dengan Matematik dan Sains, seperti perakaunan, perdagangan, ekonomi asas, geografi dan sebagainya. Jika hal ini berlaku, maka akhirnya sebahagian besar atau hampir semua mata pelajaran akan diajarkan dalam bahasa Inggeris dan ketika itu bahasa Melayu yang ditetapkan sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara ini akan kehilangan fungsinya.

4. Apabila bahasa Melyu secara beransur-ansur mengalami kekurangan fungsi sebagai bahasa moden, terutama sebagai bahasa ilmu, kedudukan dan darjat bahasa Melayu dikhuatiri akan merosot menjadi bahasa basahan, bahasa pasar dan bahasa komunikasi tahap rendah, iaitu sekadar menjadi alat perhubungan mudah. Hal ini amat besar kesannya kepada idealisme dan cita-cita membina tamadun bangsa dan negara yang berasaskan jadi diri dan acuan kita sendiri sebagaimana yang digagaskan dalam wawasan 2020. Ironis juga halnya apabila di lebih kurang 30 negara sedunia bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa ilmu dan bahasa tamadun tinggi, di negara kita sendiri keupayaan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu diragui.

5. Pengembangan minda dan ilmu sesuatu masyarakat atau bangsa secara fitrahnya perlu berasaskan bahasa yang telah dikurniakan oleh Tuhan kepada masyarakat atau bangsa itu, sesuai dengan sunatullah atau peraturan yang ditentukan Tuhan sebagaimana yang diisyaratkan dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, Surah Ibrahim, ayat 4, dan Surah al-Rum, ayat 22. Penjelasan tentang peranan bahasa sesuatu bangsa dalam pembinaan minda dan ilmu bangsa itu telah dihuraikan juga oleh pemikir besar seperti Malek bin Nabi dan Hassan al-Bana. Banyak negara maju, malah yang bukan Islam, yang mengambil iktibar daripada fitrah itu, seperti Jerman, Switzerland, Jepun, Korea, Perancis dan sebagainya. Benar bahawa mereka tidak menolak bahasa lain, sebagaimana juga kami tidak menolak penguasaan bahasa lain, tetapi mereka tidak sampai ‘mengorbankan’ dasar pemuliharaan kebangsaan masing-masing. Dalam hal ini, perlu dihayati faham nasionalisme yang digagaskan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah sebagai unsure asas yang menjamin keutuhan sesuatu bangsa dengan bahasa kebangsaan merupakan salah satu unsure utamanya.

6. Pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains dengan sendirinya menyebabkan usaha memodenkan bahasa Melayu melalui pengayaan istilah dalam kedua-dua bidang itu yang sudah dilakukan puluhan tahun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan ratusan ahli ilmu tidak relevan lagi. Segala usaha yang melibatkan kewangan yang besar, waktu dan tenaga pakar ilmu yang menjadi aset negara secara tiba-tiba menjadi sia-sia belaka. Kekayaan khazanah ilmu yang sudah ada dalam bahasa Melayu yang dihasilkan dalam bentuk buku teks dan rujukan dengan kos yang bukan kecil jumlahnya pun akan menjadi harta lupus dengan sendirinya apabila buku Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu tidak diperlukan lagi. Sebagai akibatnya, bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang kerdil apabila gersang khazanah ilmunya.


Akhirnya, kami sekali lagi dengan ikhlas dan rendah hati memohon pertimbangan Kerajaan agar menarik balik keputusan menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah. Permintaan kami ini tidak ada sama sekali hubungannya dengan dakwaan palsu sesetengah kalangan bahawa golongan yang memperjuangkan bahasa Melayu menolak penguasaan bahasa-bahasa lain. Kami faham bahawa penguasaan bahasa lain penting dalam konteks membantu meningkatkan tamadun bangsa dan negara, tetapi strategi pelaksanaan untuk menguasai bahasa asing bukan dengan mengorbankan kedudukan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa tonggak pembinaan bangsa dan negara. Kebijaksanaan Kerajaan menyusun strategi agar kedudukan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu terpelihara dan pada waktu yang sama penguasaan bahasa asing yang penting dapat dicapai amat kami harapkan.

Wednesday 20 August 2008

SEBUAH DIALOG DI PINGGIR PANTAI


Tengku Alauddin T. Majid, orang penting Dialog Pantai di Kuantan.

DIALOG PANTAI III DI KUANTAN 1999
Catatan A.F.Yassin

29 Oktober 1999
Saya kira Dato' Tengku Alaudin Majid adalah orang paling keciwa menghadiri Dialog Pantai III yang berlangsung pada 21 - 23 Oktober lalu. Tidak ramai penulis pantai timur yang hadir, malah hampir setengah daripada 50 orang yang datang terdiri daripada penulis pantai barat dan utara Semenanjung. Itupun, barangkali mereka adalah ahli-ahli jawatankuasa persatuan penulis yang menjadi kerabat Gapena. Sebabnya, mereka turut merayakan Hari Ulangtahun Gapena ke-29 yang diadakan sempena Dialog Pantai III. Ada juga peserta mencari-cari kalau-kalau ada wakil Pena yang turut hadir.

Pada hari perasmian didatangkan sejumlah pelajar dari Kolej Islam Kuantan. Upacara perasmian terpaksa ditangguhkan lebih setengah jam kerana menunggu kalau-kalau masih ada peserta-peserta baru yang tiba. Menteri Besar Pahang, Dato' Adnan Yaakob, yang dijadualkan merasmikan Dialog hanya diwakili oleh exco kebudayaan, Dato' Shaharudin Moain.

Tengku Alaudin kurang pasti di mana silapnya. Apakah kurang publisiti? Apakah wujud keadaan berpuak-puak di kalangan penulis-penulis pantai timur? Atau disebabkan dialog pantai diadakan pada penghujung bulan maka banyak penulis di tiga negeri pantai timur - Kelantan, Terengganu dan Pahang - keberatan datang. Maklum di poket tinggal duit syiling. Atau ada sebab-sebab tertentu yang hanya penulis yang berkenaan sahaja yang tahu.

Pada awalnya saya yakin Dialog Pantai III ini akan lebih meriah daripada dua dialog yang telah sudah kerana pada waktu yang sama Gapena akan turut merayakan ulangtahun penubuhannya yang ke-29. Nyatanya ketika saya sampai di Taman Budaya Kuantan Ahad pertang, tempat mendaftar peserta di Hotel Vistana masih kosong. Belum ada yang mendaftar, kata petugas pendaftaran.

Dialog Pantai kali ini membawa tema "Agama dan Budaya Teras kerjasama Masyarakat." Empat kertas kerja dibentang sepanjang dua hari, dengan kertas kerja utama oleh Dato' Dr. Abdul Monir Yaakob, Penolong Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Tajuk kertas kerja Dr. Monir ini sama bunyinya dengan tema Dialog. Kertas kerja lain ialah "Tok Kenali Sebagai Cerpenis" oleh Abdul Aziz Mahmud (ABRAM T.R); "Penulis Pantai Timur - Harapan Kepada generasi Pelapis" oleh S. Othman Kelantan dan "Penulis Terengganu Dari Generasi ke Genarasi" oleh Shariff Putera. Tidak ada kertas kerja dari Pahang tentang perkembangan kumpulan penulisnya kecuali oleh Dr. Munir yang lebih menumpukan kepada perbincangan tentang konsep umum agama dan budaya sebagai teras kerjasama masyarakat.

Seorang peserta dari pantai barat membandingkan Dialog Pantai ini dengan Dialog Utara atau atau Dialog Selatan yang dia pernah ikuti. Ternyata Dialog Pantai belum dapat menandingi cara pengendalian dan sambutan daripada peserta. Dialog Utara lebih terkehadapan, barangkali ia merupakan satu pertemuan yang sifat dan skopnya internasional, merangkumi Indonesia (Sumatera), Malaysia dan Thailand. Begitu juga dengan Dialog Selatan yang merangkumi Johor, Singapura dan Riau. Sementara Dialog Pantai agak bersifat kedaerahan (localised) merangkumi tiga negeri pantai timur Semenanjung.

Namun menurut peserta itu, ia tidak boleh menjadi alasan mengapa Dialog Pantai tidak mendapat sambutan. Pernah katanya ketika dialog yang lalu, ada masanya sesi pembentangan kertas kerja hanya dihadiri tidak sampai sepuluh orang. Katanya, "Bagi saya, ada baiknya jika sesi umum pada petang hari terakhir dialog sebelum penutupan, kita bincangkan masalah sambutan penulis kepada Dialog Pantai ini. Apakah perlu ia diteruskan dua tahun sekali atau diromabk semula tempoh pertemuan menjadi tiga atau empat tahun." Peserta ini yakin kalaulah tidak kerana Gapena mengadakan sambutan ulangtahun penubuhan ke-29nya di Kuantan, jumlah peserta akan jauh lebih rendah.

Sahmad Malaya (kiri), penulis dan Dato' Mansor Abdullah. Sahmad dan Mansor adalah bekas orang kuat Dewan Persuratan Melayu Pahang DPMP)

Tidak kurang yang berasa simpati dengan kerabat penyelenggara, iaitu Dewan Persuratan Melayu Pahang, khusunya Jawatankuasa Pusatnya yang dipimpin oleh Hj Yaakob Isa dan Haji Saiyed Ahmad Abdullah (Sahmad Malaya). Usaha telah mereka lakukan dengan kerjasama erat daripada seluruh ahli jawatankuasanya yang berjumlah 16 orang. Ada yang berkata "Kita tidak boleh salahkan DPMP kerana kurangnya sambutan. Kita perlu melihat jauh sebelum ini. Barangkali pengalaman dua dialog pantai pada tahun 1995 di Kelantan dan 1997 di Terengganu memungkinkan ramai penulis, terutama dari ketiga-tiga negeri itu sendiri tawar hati untuk ikut serta. Sementara kebanyakan penulis di pantai barat, Sabah dan Sarawak tidak pula menganggap pertemuan seperti itu tidak relevan dengan mereka.

Meneliti kertas kerja yang dibentangkan, kecuali yang dibentang Dr Munir tidak ada satu pun yang benar-benar memperlihatkan sebarang kaitan dengan tema dialog kali ini. Misalnya, kertas kerja S. Othman kelantan dan Shariff Putera hampir seluruhnya menyentuh tentang penulis, penulisan dan harapan masa depan. S. Othman Kelantan menggariskan secara kronologis dan historis tentang kelahiran penulis pantai timur sejak tahun 1920an berserta dengan proses regenerasinya. Othman bercerita tentang teknik yang digunakan penulis dulu dan sekarang. Akhirnya dia menyarankan agar penulis pelapis, terutamanya "harus memiliki keupayaan diri yang tinggi untuk wujud sebagai penulis." Bagi Othman keupayaan itu ialah penulis harus berilmu, berketrampilan, mempunyai kreativiti dan mempunyai kepribadian Melayu menurut realiti zamannya. Menurutnya, era sains dan teknologi yang tinggi memaksa "generasi pelapis menjadi sebahagian daripada ledakan itu."

Tuan Shariff Putera aktif dalam Peratuan Penulis Terengganu (PELITA)
Shariff Putera pula memfokuskan pemerhatiannya kepada jatuh bangunnya penulis Terengganu beserta cabaran yang dilalui mereka. Shariff mempersoalkan kesungguhan sebahagian penulis Terengganu dalam berkarya. Shariff bertanya, " Ke manakah penyair yang begitu ghairah menulis sajak di dalam antologi persatuan yang begitu ramai, cerpenis yang begitu ghairah menghasilkan cerpen di dalam majalah sekolah, penulis novel yang menjanjikan masa depan yang baik itu pergi?" Kemudian ramai pula penulis di negeri itu yang mula mengundurkan diri dan tidak lagi menyertai kegiatan-kegiatan persatuan penulis Terengganu atau PELITA. Menurut Shariff daripada sejumlah penulis baru berbakat hanya Mahanie Sulong yang masih bergiat.

Namun Shariff masih mengakui bahwa ramai penulis yang lahir dalam tahun 1960an dan 1970an masih aktif berkarya, antaranya J.M.Aziz, Omara Rahman, S.M. Noor, Aziz Afkar, Ariffin Ngah, Ali Jusoh, Nawawee Muhammad, Baharuddin Adam, Wan Ahmad Ismail, Hilmi Rindu dan Shariff sendiri sekadar menyebut beberapa nama. Manakala penulis Terengganu yang masih aktif tetapi berada di luar negeri itu termasuklah Tengku Alias taib, Ghazali Ngah Azia, Shafie abu Bakar, Mohammad Awang dan Jymma.

Akhirnya Shariff menasihati penulis baru dan berbakat agar tidak meminggirkan diri daripada terlibat dalam persatuan. Katanya, "Membina kelompok baru bukanlah satu cara yang terbaik sebaliknya membaiki dan memperkukuh atau memantapkan persatuan yang sedia ada rasanya lebih bermakna."

Aziz Mahmud memperkenalkan To Kenali (nama sebenarnya Muhammad Yusuf yang lahir di Kampung Kenali, Kubang Kerian), ulama Kelantan sebagai seorang cerpenis. Menurutnya, dalam kesibukan sebagai Tuk Guru Pondok, anggota Dewan Ulama Kelantan, Ketua Pengarang majalah dan tugas-tugas sosial yang lain "beliau masih lagi sempat mengarang 21 cerpen." Semua cerpen ini kemudian diterbitkan dalam dua antologi, iaitu "12 Cerpen Tok Kenali" dan "Tok kadi dan Tok Guru".

Aziz Mahmud menelaah bahawa keseluruhan cerpen Tok Kenali ini berligar pada persoalan pendidikan dan pengajaran agama yang mengajak pembaca beriman kepada Allah, mencintai ilmu, jujur pada diri dan tidak sombong. Menurutnya Yok Kenali menggunakan kaedah percatuman antara teknik (al-fann) dengan hikmah ketika menulis cerpennya, sesuai dengan ungkapan pemikir Islam, Syed Hussein Nasr bahawa kesenian Islam adalah hasil daripada percantuman kedua-dua unusur itu.

Amat disayangkan kertas kerja Dr Munir sebahagian besarnya menyentuh teori dan konsep. Ia tidak banyak menganalisis peranan agama dan budaya dalam menjalin kerjasama masyarakat. Hampir sembilan daripada 12 halaman kertas kerjanya hanya menerangkan konsep agama dan budaya. Dan pada halaman 11 Dr. Munir memberikan enam saranan. Katanya, agama perlu dijadikan asas dalam pembentukan kebudayaan. Untuk menjadikan agama dan budaya teras kerjasama masyarakat, ia memerlukan pembentukan "common vision", idea, nilai, martabat dan kriteria.

Dr. Munir mencadangkan agar diteruskan tradisi menghormati agama-agama dan budaya yang diamalkan oleh kaum-kaum dalam masyarakat majmuk. Nilai-nilai universal dalam masyarakat Melayu perlu dilahir dan direalisasikan sebagai pemangkin kepada kerjasama antara kaum. Seterusnya, Dr Munir mahu ilmu dan pemikiran diletakkan sebagai saluran ke arah membentuk masyarakat madani yang akan melahirkan budaya yang tinggi nilainya. Pelajaran tamadun dunia dengan empasis kepada tamadun Islam hendaklah dijadikan kursus asas di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dengan tujuan membentuk "world view" kebangsaan. Dan akhirnya, satu seminar kebudayaan kebangsaan perlu diadakan untuk mengkaji semula penghayatan falsafah, pengisian, tujuan dan kesedaran pelaksanaan dasar kebudayaan kebangsaan yang ada sekarang agar lebih berkesan dan mempunyai kuasa perundangan.

Alangkah baiknya jika kertas kerja Dr Munir menyentuh juga peranan yang boleh dimainkan kaum penulis dalam melaksanakan proses kerjasama masyarakat melalui agama dan budaya ini. Malah contoh-contoh kes dari Barat banyak digunakan Dr. Munir dalam hujahnya, yang dikirakan kurang relevan kepada kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Ada yang menilai setiap kertas kerja ini berdiri sendiri-sendiri tanpa ada hubungan secara bersepadu (integrated). Kemudian, ketiadaan ramai penulis ternama dari pantai timur sedikit menjadi tanda tanya. Barangkali ramai yang mahu bertegur sapa dan berlanggar bahu dengan Nurhisham Mustaffa, Hashim Awang, Ali Jusoh, Mansor Abdullah, Tengku Alias Taib, Ghazali Ngah Azia, Ariffin Ngah, Ariffin Said, Ibrahim Omar, Wan Zanariah Abd. Rahman, Zahari Affandi, Sutong Umar Rs, Wahba, Shafie Abu Bakar, Daeng Ramliakil atau Omara Rahman. Sehingga dengan demikian bukan Tengku Alaudin sahaja yang keciwa tetapi juga saya percaya seluruh jawatankuasa pusat DPMP, tidak terkecuali Yaakob Isa, Sahmad Malaya, Sheikh Badar sheikh Embung, Mohd Hashim Ismail dan Khairul Bariah Arup, satu-satunya wanita dalam jawatankuasa itu, turut "hilang ghairah".

Monday 18 August 2008

MEDIA, WARTAWAN DAN KEBEBASAN DI INDONESIA

KEBEBASAN AKHBAR DI INDONESIA
Catatan A.F.Yassin

Seorang wartawan di Jakarta menjelaskan bahawa kebebasan akhbar yang dinikmati oleh wartawan di Indonsia sekarang tidak begitu disenangi. Bukan oleh pemimpin politik tetapi oleh sesetangah wartawan sendiri. Penjelasan ini mungkin sedikit mengejutkan kerana selama ini wartawan di mana pun jua menekankan peri pentingnya kebebesan untuk melapor dan mengeluarkan pendapat. Apabila ditanya lebih lanjut tentang kebebasan akhbar, wartawan itu malah tidak tahu apa sebenarnya kebebasan yang dimahukan.

Pandangan wartawan itu mempunyai kesan mendalam juga. Ramai bertanya apakah kebebasan yang ada sekarang perlu dikekang semula. Atau perlu difikirkan satu bentuk penghadan supaya kebebasan itu diberikan dengan rasa penuh tanggung jawab. Masalahnya siapa yang perlu memikul tanggung jawab itu. Atau bagaimana bentuk tanggung jawab itu? Bagaimana pula melaksanakannya?

Terlalu banyak persoalan timbul akibat pandangan wartawan itu. Apakah dia mahu kembali kepada zaman order baru di mana kebebasan akhbar disekat. Salah satu cara menyekat kebebasan itu ialah dengan pengeluaran surat izin terbit. Surat itu membawa bersamanya peraturan-peraturan tertentu yang hanya membolehkan wartawan melaporkan sesuatu kejadian atau berita yang tidak bertentangan dengan moral, etika dan peraturan yang melibatkan ketenteraman awam.

Kata seorang bekas wartawan TVRI, "Sebenarnya sekarang pun dalam zaman kebebasan press ini masih ada pengarang akhbar dan majalah yang menahan diri daripada menyiarkan laporan seenaknya sahaja. Contohnya dalam isu Presiden Gus Dur dengan suri rumah Aryanti Setpu, tidak semua akhbar dan majalah yang melaporkannya." Menurutnya, akhbar terbesar di negara itu, Kompas tidak menyiarkan berita Gus Dur ini pada mulanya ia terbongkar. Begitu juga Media Indonesia. Akhbar Suara Pembangunan menyiarkan sebagai berita biasa di halaman dalam. Manakala majalah berita mingguan Tempo langsung tidak memanfaatkan isu itu ketika ia mula didedahkan.


Drs, Yazirwan Uyon, pernah menyandang Ketua Bahagian Pemberitaan TVRI di Jakarta.

Padahal, isu itu dimuat di halaman depan kebanyakan surat kahbar tabloid dan beberapa majalah berita mingguan yang lain seperti Gatra dan akhbar Rakyat Merdeka. Malah akhbar Rakyat Merdeka dalam beberapa hari terus menyiarkan isu itu sebagai berita utama di muka depan.

Kurang pasti apa yang menyebabkan tidak semua akhbar dan majalah menyiarkan berita isu Gus Dur dengan Aryanti ini serentak di muka depan. Ada yang berpendapat bahawa kebebasan tidak bererti "wartawan berfikiran sama". Ada faktor-faktor lain yang menjadi penentu pemuatan berita. Bekas Ketua Pengarang TVRI, Drs Yazirwan Uyon menilai masih wujud apa yang dinamakan KKN (Kolusi, Korupsi dan Nepotisme) di kalangan wartawan. Ertinya bukan tidak mungkin ada wartawan yang kerana sebab-sebab peribadi enggan melaporkan berita seumpama itu. "Bapak bisa mengerti ada wartawan yang punyai hubungan akrab dengan sang presiden atau oknum rapatnya. Bisa sahaja mereka mengamalkan KKN," katanya.

Timbalan Ketua Pengarang akhbar Rakyat Merdeka, Karim Paputungan menilai soal KKN atau tidak bukan isu. Baginya kebebasan akhbar perlu dimanfaatkan "demi untuk menyiarkan berita yang mempunyai kepentiangan umum." Misalnya, bekas presiden Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur pernah didakwa melakukan skendal seks. Skendalnya itu mempunyai nilai berita yang tinggi kerana ia menyangkut kepentingan umum. Katanya, "Gus Dur ketika menjadi presiden adalah kepunyaan rakyat Indonesia, sebagai kepala negara. Jadi apa sahaja isu yang menyangkut hal peribadinya sudah tentu menyangkut kepentingan umum. Lihat juga sahaja skendal seks Bill Clinton di Amerika."

Dan Suara Merdeka, akhbar harian yang beliau dan Jasofi Bakhtiar (ketua pengarang) pimpin, tidak tanggung-tanggung menyiarkan apa sahaja yang difikirkan boleh meningkatkan emosi rakyat. Contohnya, satu edisi harian baru-baru ini membawa berita muka depan bertajuk, "BBM Naik, Rakyat Ditipu Mentah-Mentah" ketika melaporkan cadangan pemerintah Indonesia manaikkan harga minyak. Beberapa hari kemudian ada pula berita muka depan bertajuk "Makan Aja Susah Kok Beli Pesawat". Tajuk ini mengepalai berita tentang ura-ura bekas presiden itu mahu membeli pesawat kepresidenan. Dan edisi 21 September 2000 pula menyiarkan tajuk utama muka depan "12 Jenderal jadi Korban Gus Sur" ketika melaporkan memecat pemimpin tertinggi tenteranya.

Akhbar Suara Merdeka ini dulunya dikenali dengan Merdeka sahaja. Pengasas dan pemimpinnya B.M Diah, bekas menteri di zaman order lama pimpinan Soekarno. Ia berpindah tangan kepada H. Margiono. Melihat pada slogannya "Apinya demokrasi Indonesia" sudah jelas bahawa Rakyat Merdeka benar-benar memanfaatkan kebebasan dan demokrasi. Dan demikian juga halnya bagi kebanyakan akhbar dan majalah mingguan lain. "Indonesia hari ini syorganya wartawan untuk menyatakan pendapat tanpa takut-takut lagi. Ya, soal etika soal kedua. Itu kan tergantung golongan mana wartawan itu berada," kata seorang wartawan hiburan.

Apabila ditanya tentang kemungkinan ada laporan yang berunsur fitnah dan menyentuh pribadi wartawan itu hanya ketawa. Katanya, "Kes bekas presiden Gus Dur dengan Aryanti menarik. Sampai sekarang ini kami masih menunggu apakah Gus Dur mahu bawa akhbar dan wartawan ke mahkamah kerana memfitnahnya dan menjatuhkan maruahnya di depan umum. Nyatanya sampai sekarang Gus Dur tidak bikin apa-apa. Sampai sekarang kita belum tahu reaksinya kecuali menafikannya sahaja."

Keberanian dan kebebasan akhbar melaporkan skandel bekas presiden Indonesia ini barangkali ada kaitannya dengan dasar hukum Indonesia. Menurut Yazirwan, tindakan undang-undang boleh sahaja diambil oleh Gus Dur sebagai presiden Indonesia waktu itu, tetapi oleh kerana apa yang dikatakan skendal seks Gus Dur itu berlaku sebelum beliau menjadi presiden, maka undang-undang menghina Ketua Negara tidak boleh digunakan. "Ya, jika Gus Dur mahu mengambil tindakan hukum atas dasar peribadi, silahkan sahaja. Cuma waktu itu Gus Dur mungkin berfikir akan implikasi pendedahan nanti mungkin akan menggawatkan kedudukan presiden di mata umum," katanya. Menurut Yazirwan bekas presiden itu ternyata bijak apabila tidak membawa kes ke mahkamah sampai beliau dipecat menjadi presiden.


Wartawan sasterawan Mokhtar Lubis secara konsisten memperjuangkan kebebasam media di Indoneia sejak sekian lama.(Foto 1980)

Demikianlah, kebebasan akhbar di Indonesia memberikan satu corak pemikiran di kalangan wartawan. Ada yang mengawal diri dengan sanksi peribadi, ada yang mengutamakan hubungan berbaik-baik antara yang melapor dengan yang dilapor. Dan tidak kurang pula yang mencari kesempatan dari sudut ekonomi dengan memanfaatkan erti kebebasan.

Jika demikian halnya timbul pertanyaan. Ke mana sebenarnya akhbar mahu dibawa oleh kebebasan yang ada sekarang? Dan dari satu sudut lain timbul pula pertanyaan, apakah bentuk kebebasan akhbar sekarang ini menguntungkan majoriti penduduk Indonesia? Yazirwan berkata "jawapan kepada dua pertanyaan itu bisa digabung menjadi satu, iaitu kesan negatifnya sudah bisa dirasakan oleh masyarakat Indonesia hari ini. Semuanya bergantung kepada tingkat kematangan berfikir rakyat. Apakah rakyat umumnya sudah matang berfikir? Demonstrasi jalanan yang diadakan beberapa ketika setelah jatuhnya Presiden Soeharto, Habibie dan akhirnya Gus Dur itu kami belum sampai ke tahap berfikir matang."

Jawapan Yazirwan itu barangkali ada benarnya. Laporan yang sensasi dan emosi boleh sahaja mengundang reaksi yang negatif. Di Jalan Cendana sahaja, tempat tinggal bekas presiden Jeneral Soeharto, sentiasa sahaja berlaku demonstrasi yang menyokong dan yang menentang Soeharto. Malah ada ketikanya kedua-dua kumpulan ini saling "baku hantam". Perkembangan di kalangan tentera dan polis Indonesia pula sedikit membimbangkan kerana masih wujud apa yang disifatkan sesetengah pemerhati politik sebagai kumpulan yang pro Soeharto. Tindakan Gus Dur membebas-tugaskan Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Bersenjata dan menggantikannya dengan orang kepercayaannya dianggap sebagai usaha kepresidenan untuk membebaskan kedua-dua institusi keamanan itu daripada "orang-orang Soeharto".

Yang menambah burukkan lagi suasana ialah gaya bekas presiden Gus Dur mentadbir negara, yang menyangkut cara beliau membuat keputusan dan berbicara. Telah timbul pelbagai julukan buat Gus Dur setelah beberapa pengarang mengamati gaya pentadbirannya. Misalnya telah terbit dua buah buku tentang Gus Dur dengan judul "Hak Gus Dur untuk Nyeleneng" oleh E. Kosasih dan "Gila Gus Dur, Wacana Pembaca Abdul Rahman Wahid" yang diselenggarakan oleh Ahmad Suody dan Ulil Abshar Abdalla.

Menariknya buku yang kedua itu ialah tulisan di kulit belakangnya yang berbunyi: "Presiden pertama gila perempuan, presiden kedua gila harta, presiden ketiga gila benar, presiden keempat membuat orang jadi gila." Malah di kalangan wartawan sendiri ada yang membuat pindaan terhadap kata-kata untuk presiden keempat, iaitu "presiden keempat yang memilihnya gila." Walaupun tidak disebutkan nama-nama presiden itu, tetapi jelas kepada siapa ditujukan julukan itu. Lebih menarik lagi salah sebuah artikel yang termuat dalam buku ini bertajuk "Gus Dur: Bangsa Mana Di Dunia Ini Mempunyai Presiden Seperi Kita?"

Penulisnya Dr. Franz Magniz Suseno menilai kecacatan fisik bekas presiden ke-4 Indonesia merupakan satu kekuatan bagi dirinya. Malah tulisnya presiden dengan sikapnya membuat orang terkejut adalah satu kekuatan. "Kejutan terus-menerus dari Gus Dur yang tak pernah mengizinkan kita seakan-akan puas diri merasa tahu apa yang difikirkannya, membuat orang terkejut, sering marah dan selalu berfikir…. Dia mendidik seluruh bangsa dengan cara yang paling enak, iaitu sebagai entertainer (penghibur)." Akhirnya Franz menulis, "Kalau ada yang jengkel dengan gaya Gus Dur, biarin!" Kata "Biarin" ini sering diungkapkan Gus Dur setiap kali ada orang marah-marah atau mengkritiknya.

Maka para pemerhati akhbar di Indonesia dan sesetangah kalangan wartawan sendiri barangkali senang dengan sikap dan gaya "penghibur" Gus Dur untuk memberikan ruang kebebasan seluas-luasnya kepada akhbar mereka. Tanpa sedikitpun ada keinginan untuk memberikan penilaian tentang baik-buruknya ruang kebebasan itu kepada rakyat Indonesia umumnya.

Sunday 10 August 2008

A. RAHMAD: DUNIA INI MILIK KITA KAN?

A.Rahmad: Dunia Milik Kita
Catatan A.F.Yassin
Anak Pendang, Kedah, A. Rahmad seorang penulis lahir pada tahun 1951. Dalam pada itu A. Rahmad seorang Pegawai Tadbir Negeri setelah meletak jawatan daripada kumpulan PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik. Kurang pasti apakah kerana A. Rahmad mahu berbakti kepada negri kelahirannya atau Ibukota tidak lagi menarim baginya. A. Rahmad pernah satu ketika bertigas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Lumpur dan Penolong Setiausaha Perbendaharaan dengan pejabatnya di Jalan Duta.

Di kalangan kawan-kawan penulis barangkali timbul anggapan bahawa A. Rahmad atau Datuk Abdul Rahman Ahmad mahu menghindari hingar-bingar suasana kota sebesar Kuala Lumpur. Bandar-bandar yang berselerak di Kedah adalah lebih tenang dan membuatnya mampu menghening cipta. Kini A.Rahmad bertugas sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani.Lazimnya jawatan Yang Dipertua itu datang bersama jawatan Pegawai Daerah. Bagaimanapun dalam biodata yang mengiringi novel terbarunya “Lutfiah” tidak pula dinyatakan jawatan rangkapnya.

Sesibuknya A. Rahmad dengan rutin pentadbiran tidak pula mengendurkan semangatnya untuk berkarya. Dan ini dibuktikannya melalui novelnya “Lutfiah” yang pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abdul Aziz Deraman Juma’at malam, 7 Mac lalu di Rumah Gapena. A. Rahmad mencanangkan (novel pertamanya berjudul “Canang”) bahawa dia masih “alive and kicking” dalam dunia persuratan. Pengurniaan gelaran Datuk oleh Sultan Kedah tahun lalu meletakkan namanya sebaris dengan golongan datuk-datuk sasterawan.

Malam Lutfiah di Rumah GAPENA berlangsung meriah. Lebih 100 orang penulis dan peminat sastera, separuh daripadanya dari Kedah (ASASI) meraikan kejayaan Lutifiah@A.Rahmad, melahirkan karya yang dianggap Aziz Deraman global sifatnya. Dan anggapan Aziz Deraman ini diperkukuh Rahman Shaari (tahniah atas lantikan profesor penuh baru-baru ini) yang memperkenalkannya malam itu. Rahman melihat A. Rahmad “pengarang Malaysia yang paling rajin memungut maklumat dari luar negara.”

Kecenderungan A. Rahmad memungut maklumat yang bukan lokal ini sebagai bahan karyanya adalah identitinya. Begitu kata Rahman. Namun, A. Rahmad tidak pula bercerita kosong tanpa memasukkan “pesan-pesan” seperti yang semestinya apabila mencipta. A. Rahmad obses dengan sumber yang dianggapnya melintasi dunia tanpa sempadan a.k. a asing. Katanya, “Memanglah cukup nikmat menulis karya yang melintasi dunia tanpa sempadan. Fikiran bebas terbang sejauh-jauhnya. Ilmu pengetahuan disebar seluas-luasnya. Catatan geografi, sejarah budaya, falsafah dan peradaban asing menjadi sumbangan yang besar di dalam khazanah ilmu. Penulisan ... dalam arena sarwajagat dunia yang luas memberikan kebebasan yang seluas-luasnya kepada pengarang untuk bergerak dan menggerakkan hala tuju kepengarangannya.”

Lufiah bukan karya pertama A. Rahmad yang mempunyai unsur sarwajagat ini. Dua antologi cerpennya “Sarwajagat” terbitan Dewan Bahasa (1995) dan “Samudera” terbitan Teks tujuh tahun sebelumnya, merupakan pengenalan kepada keghairahan A. Rahmad dengan sumber asingnya itu. Cuma yang pernah pula diakui A. Rahmad karya-karyanya masih miskin dengan “nilai-nilai ketanahairan.”Dan sememangpun amat sukar untuk mengadun nilai-nilai lokal dengan asing dalam satu “kesebatian” yang bernama ciptasastera. Seperti kata A. Rahmad, “Saya amat perit untuk mendapatkan satu titik pertemuan yang harmonis di antara ciri-ciri global dan ciri-ciri lokal yang didukung oleh kedua-dua watak” seperti yang terdapat dalam Lutfiah.

Bagaimanapun, Lutfiah tidak pula memberikan gambaran kemiskinan nilai itu. Menurut Rahman, pengarang Lutifaih “menekankan hal hubungan antara orang Melayu Malaysia dengan orang Melayu Cape Town”. Katanya, “Novel ini kira-kiranya mahu menyuarakan bahawa Cape Town itu dekat sahaja bagi sesiapa yang mahu merasakan kedekatan. Demikianlah antara lain inti pandangan A. Rahmad yang menyokong globalisasi.”

Salah satu watak penting “Lutfiah” ialah Pak Dollah. Ketika menyelami watak ini Rahman teringat akan watak realiti Pak Dollah dalam politik Malaysia. Kata Rahman, “Adalah kebetulan, ketika novel ini dibicarakan, Pak Dollah dalam realiti politik Malaysi , baru sahaja membubarkan Parlimen. Adalah kebetulan, tetapi mungkin juga terfikir di akal bawah sedar A. Rahmad bahawa Pak Dollah dalam Lutfiah ialah Pak Dollah yang sudah beberapa bulan mentadbir Malaysia.”

Rahman menilai Lutfiah sebagai kisah sebuah keluarga, berkisar di sekitar nilai moral dan perjuangan dalam erti pembangunan yang bercirikan Islam dan moral. Watak Lutfiah ada sentral yang menjadi tunggak kepada pengembangan plotnya. A. Rahmad mengadunkan watak penting di pinggir sebuah tasik di daerah Sik, Kedah dengan seorang watak penting di Makasar, Cape Town. Baik Muin, ayah Lutfiah, mahupun Pak Dollah, bapa angkatnya, kedua-duanya melihat Lutfiah sebagai seperti yang dikatakan Rahman “senjata” apabila saling bersemuka. Tidak salah kalau Lutfiah diibaratkan seorang moderator antara protagonis (Pak Dollah) dengan antagonis (Muin). Lutfiah “memperalatkan”Lutfi, anak Hj Sarif dari Cape Town yang Lutfiah temui ketika belajar di London. Maka wajarlah mauduk Rahman di malam pengenalan novel ini “Lutfiah Pembalun Kesombongan.”

Ada kesungguhan dalam daya kreatif A. Rahmad kali ini. Demikian menurut Rahman. Dan sememang pun elemen kesungguhan inilah yang membuatkan Profesor Thana Na Nagara dari universiti luar negeri mengembalikan manuskrip “Lutfiah” dengan senyum lebar setelah dua hari berada dalam tangannya. Tulis A. Rahmad dalam Bab 21, “Aku tidak tahu, apakah senyum lebarnya itu mempunyai apa-apa erti di sebaliknya atau senyum lebar itu hanyalah lahir seada-adanya sebagai kebiasaan seorang yang disebut sebagai pemurah senyum.” A. Rahmad kelihatannya masih skeptikal dengan kelibat senyum sang profesor. Barangkali dia teringatkan komen seorang penerima anugerah SEA Write Award dari Malaysia bahawa karya-karyanya “agak stereotaip, merupakan catatan perjalanan seorang pengembara semata-mata.”

Rahman menyimpulkan Lutfiah merupakan “Karya yang baik, sedap dibaca dan berguna.” Menurutnya novel ini berjaya melukiskan manusia Melayu yang berupaya untuk berada di mana-mana, dan mencapai kejayaan seperti yang dicapai oleh semua bangsa. Katanya lagi, “Usaha A. Rahmad untuk mencipta novel globalisasi yang diimpikannya memang berjaya, namun kejayaan sebenar novel ini lebih ketara salam hal mendedahkan kesombongan manusia, dan rebahnya kesombongan itu yang dibalun oleh anak sendiri.” Lutfiah telah membawa kesedaran bahwa budi dan fikiran mengatasi kekayaan dan kebendaan.

Baik Aziz Deraman mahupun Ismail Hussein, kedua-duanya amat bersetuju sudah sepatutnyalah A. Rahmad mendedikasikan Lutfiah “Buat bangsaku yang mahu mengerti bahawa kita milik dunia dan dunia milik kita.” Promosi Lutfiah memang hebat di malam pelancaran kerana bukan sahaja hadirin didendangkan dengan lagu-lagu tradisi oleh kumpulan yang dibawa khas dari Kedah tetapi juga setiap seorang yang hadir menerima hadiah ikhlas senaskhah “Lutfiah” daripada pengarangnya. Ends.

Tuesday 5 August 2008

KELAS PERALIHAN DAN BAHASA MELAYU

Dirotan kerana berbahasa Melayu
PADA 31 Julai lalu Sekolah Menengah King Edward VII Taiping menyambut ulang tahun ke-125. Penulis adalah antara ribuan bekas pelajar sekolah tersebut yang terkenal dengan nama singkatan KE.

Januari 1960 penulis menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke Sekolah KE untuk memulakan pengajian di dalam kelas peralihan (remove class). Sebahagian besar daripada lebih kurang 30 pelajar kelas peralihan adalah anak-anak Melayu berasal dari sekolah Melayu dari jajahan Larut, Matang dan Selama.

Kumpulan kedua terbesar ialah anak-anak kaum India bekas pelajar Sekolah Tamil dan berasal dari beberapa buah estet dari jajahan yang sama. Sementara dua orang pelajar Cina berasal dari bandar Taiping kalau tidak silap penulis bekas pelajar sekolah Chung Hwa.

Kini setelah 48 tahun kenangan semasa di KE khususnya kelas peralihan masih jelas dalam ingatan. Paling geli hati ialah ketika mengenangkan jerit pekik para pelajar ketika dirotan oleh guru kelas yang terkenal dengan garangnya. Nama guru keturunan Ceylonese (Sri Lanka) ini tidak perlulah ditulis di sini.

Tetapi tidak ada antara kami yang ambil hati mengenai perkara itu. Bahkan ketika bertemu dengan kawan-kawan lama dan apabila peristiwa tersebut ditimbulkan ia menjadi bahan ketawa.

Namun jasa guru ini tidak ada tolak bandingnya. Tanpa sikapnya yang garang sudah pasti ramai yang tidak boleh maju dalam pelajaran khususnya pemahaman bahasa inggeris. Maklumlah pelajar-pelajar dari sekolah Melayu dan Tamil mempunyai keupayaan bahasa inggeris yang amat rendah.

Hari pertama tiba di KE dengan ayah. Guru ini bertanya penulis tujuan datang ke sekolah. Dalam keadaan takut penulis menjawab "nak mengaji cikgu" dalam bahasa Melayu. Ayah mengambil kesempatan memberitahu guru supaya melakukan apa sahaja asalkan anaknya jadi pandai.

Ayah nampaknya tidak dapat membezakan antara guru sekolah biasa dengan guru sekolah agama. Ketika menghantar anak-anak untuk belajar Quran ibu bapa ketika itu melafazkan kata-kata keramat iaitu guru Quran boleh berbuat apa sahaja terhadap anak-anak mereka asalkan jangan patah atau mati.

Pesanan yang sama diberi oleh ayah kepada guru kelas yang secara kebetulan terkenal dengan garangnya. Oleh kerana di peringkat pemulaan ramai antara kami yang tidak boleh berbahasa inggeris beliau terpaksa bercakap dalam bahasa Melayu dan Tamil. Hinggakan ramai pelajar Melayu yang boleh berbahasa Tamil.

Ketika itu guru-guru masih boleh menggunakan rotan. Malahan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan yang amat berat sering dirotan (public canning) di perhimpunan pagi atau di dalam bilik guru besar.

Sebahagian besar dari para pelajar ketika itu (sebelum bermulanya sekolah menengah Melayu) adalah terdiri dari kaum Cina. Ini tidak dihairankan kerana Cina merupakan kaum majoriti di bandar Taiping.

Sementara sebahagian besar daripada pelajar Melayu berasal dari kampung-kampung. Mereka memulakan pelajaran sama ada sebagai pelajar Kelas Khas Melayu (Special Malay Class- SMC) atau pelajar-pelajar kelas peralihan.

Untuk memasuki SMC para pelajar hendaklah lulus peperiksaan biasanya diambil oleh pelajar-pelajar darjah empat sekolah Melayu. Sementara pelajar-pelajar kelas peralihan pula dikehendaki lulus peperiksaan darjah enam yang dipanggil Peperiksaan Memasuki Sekolah Menengah (Secondary School Entrance Examination).

Di kalangan guru-guru pula boleh dikatakan hampir 80 peratus adalah dari kaum Cina. Selebihnya ialah Melayu dan India. Sementara guru besar ketika itu ialah W.V. Hobson berketurunan Inggeris.

Rata-rata pelajar Melayu dan India adalah dari keluarga miskin. Hinggakan stoking merupakan satu komoditi yang amat berharga.

Penulis sendiri terpaksa mengayuh basikal sejauh tiga batu sebelum menaiki bas sejauh 19 batu. Tambang bulanan bas sebanyak RM19 melebih 20 peratus gaji bulanan ayah. Lantaran itu emak terpaksa menoreh getah untuk menambah pendapatan. Malahan penulis sendiri menoreh getah dihujung minggu dan ketika cuti penggal.

Pernah ayah memohon bantuan tambang bas (tak ingat dari pihak mana) tetapi ditolak dengan alasan ayah mempunyai pendapatan tetap RM70 sebulan. Gaji sebanyak itu dikira lumayan ketika itu. Ini bermakna ramai orang Melayu yang berpendapatan bulanan lebih rendah daripada jumlah tersebut.

Namun penulis amat bangga dengan visi ayah yang mahukan anaknya belajar di sekolah Inggeris walaupun terpaksa bekerja keras untuk mengumpul wang. Seringkali ayah membawa penulis ke pejabat Tanah Taiping ketika beliau menerima gaji. Sebenarnya beliau mahu penulis mendapat inspirasi supaya belajar dengan tekun. Kalau tidak dapat jadi Pegawai Daerah (DO) jadi kerani pun jadilah.

Sebenarnya KE mempunyai jutaan rahsia dalam usianya selama 125 tahun. Meskipun ia pernah menghasilkan ribuan tokoh terkemuka negara, tetapi tidak kurang juga yang terkandas di tengah jalan. Khususnya anak-anak Melayu di awal 60an.

Ketika itu belum ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau sistem kuota.

Rasanya keadaan sekarang amat berbeza dengan awal 60an dalam berbagai segi. Dari komposisi guru hingga para pelajar dan taraf hidup ibu bapa.

Para pelajar pula rasanya tidak perlu membawa bekal dari rumah ketika menghadiri kelas tengah hari seperti mana yang penulis pernah rasai dulu.

Yang jelas para pelajar tidak lagi dirotan semata-mata kerana bercakap mengguna bahasa Melayu dalam kawasan sekolah.(Dipetik daripada Utusan Malaysia Online)

Komen;
Sesiapa yang mengalami alam persekolahan tahun-tahun 1960an, terutamanya di peringkat Special Malay Class (SMC) tentu tidak akan lupa betapa tegasnya pihak sekolah melaksanakan peraturan. Pelajar-pelajar dalam kelas khas Melayu yang berpindah daripada sekolah Melayu ke sekolah Inggeris (Government English School). Salah satu peraturan ialah melarang pelajar bertutur dalam bahasa Melayu selagi berada dalam kawasan sekolah. Mungkin ada yang belum lupa bagaimana denda lima sen dikenakan setiap kali tertangkap basah bertutur dalam bahasa Melayu. Anggota pengawas (waktu itu dipanggil prefect) berkeliaran sebelum masuk kelas dan ketika rehat. Jika lima kali tertangkap basah maka pelajar itu dikenakan membayar denda sebanyat 25 sen. Kalau pelajar membawa 50 sen wang poket ke sekolah dia cuma tinggal 25 sen untuk dibelanjakan hari itu.

Tapi orang sekarang tak kisah mahu acakap bahasa Inggeris atau bahasa Melayu silakan. Walaupun yang hadir semuanya orang Melayu kita tetap bercakap dalam bahasa Inggeris.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).