Wednesday 22 December 2010

BUNG DOLLAH, KAWAN-KAWAN DAN KARYA INTERLOKNYA.

Kasihan novel Interlok karya Dato' Abdullah Hussein (Bung Dollah). Entah kenpa tiba-tiba novel ini dikatakan bermesejkan perkauman. Padahal, novel ini telah begitu lama diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apabila nak jadi buku teks ada pula masalahnya. dengar cerita nak kena tarik balik. Walaupun ada yang nafikan penarikan balik itu, tetapi novel itu telah masuk karya yang tak diingini dalam sistem pendidikan negara.

Siapa yang kenal dengan Bung Dollah pasti akan kecewa dengan sikap pihak yang membuat keputusan itu. Sudahkah disemak kandungan ceritanya sejak awal-awal lagi? Bila dah terpilih kabarnya akan ditarik balik. Apakah ada agenda tertentu oleh pihak yan tak sukakan novel ini jadi buku teks di sekolah-sekolah?


Dato' Abdullah Husein (Bung Dollah) serius orangnya ketika bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Tak terlintas pula karyanya Interlok berunsur perkauman.

Satu ketika dahulu, dalam awal tahun 1970-an, semasa bertugas sama-sama di DBP, kawan-kawan sekerja yang bertugas di bilik majalah dan bersebelahan dengan bilik kerja Bung Dollah kenal sangat siapa beliau. Masih kami ingat, kawan-kawan sekerja seperti Wijaya Mala, Awam Il-Sarkan, Karim Abdullah, Dharmawijaya, Shamsuddin Jaafar dan Kemala berbual-bual, bercerita tentang sastera. Sesekali datang Cikgu Buyong Adil dari Bahagian Buku Pelajaran.

Cikgu Buyong selalu sahaja mengusik kami sambil bergurau. Katanya, " Apalah kamu semua ini, mereka cerita angan-angan? Cerita dalam sastera itu bukankah cerita daripada angan-angan. Tak berpijak di bumi nyata?"

Gurauan Cikgu Buyong kita tak ambil kisah sangat. Kami tahu Cikgu Buyong orang sejarah. Beliau menulis tentang sejarah setiap negeri di Malaysia. Itu tugasnya. Barangkali untuk mencari hiburan beliau turun ke Bahagian kami untuk menenangkan fikiran. Kami pun rasa terhibur.

Bung Dollah sering menjadi sasaran Cikgu Buyong. Saleh Daud yang duduk berdepan dengan Bung Dollah yang tak banyak cakap hanya senyum mendengar Cikgu Buyong menyindir Bung Dollah. . Dan di bilik satu lagi, Usman Awang sibuk dengan tugasnya, dengan fail-fail sastera di atas mejanya. Kadang-kadang terdengar suara Awam il-Sarkam (kami panggilnya Pak Awam) mengarahkan muncungnya kepada Usman, "Kita lihat Dol Keropok sebelah. Sibuk memanjang."

Dan dalam keadaan yang begitu tiba-tiba pintu bilik terbuka dan menjengah Wijaya Mala sambil bersuara dengan ketawa, "Assalamualaikum Haji Tahir!" Kepada siapa ditujukan salam itu, kami kurang pasti. Kepada Pak Awam kah? Atau Bung Dollah kah? Aau kami semua? Begitulah suasana.

Tak pernah pula kami dengar Bung Dollah bercerita tentang kaum dan perkauman. telah banyak juga novel dilahirkan Bung Dollah. Ada yang kami baca. Ada yang tidak. Mungkin juga apa yang kami baca itu tidak kami nilai daripada sudut politiknya atau unsur perkaumannya. Maka kami mungkin tak sedar.

Apapun jua, suasana di bilik majalah itu memang ceria. Walaupun Bung Dollah tak banyak cakap tetapi apabila bersama-sama kami, beliau tumpang bersembang dalam suasana santai. Malah Saleh Daud yang juga pendiam orangnya tumpang semangkuk. Bung Dollah dan Cikgu Buyong, duo yang kami anggap serius dalam tugas, sempat berjenaka tentang cerita yang mereka berdua alami kononya semasa di Singapura yang dikaitkan dengan bintang-bintang filem Jalan Ampas.

Bung Dollah tentu masih ingat cerita dan gurauannya bersama Cikgu Buyong. Dan bayangkan ada di kalangan kawan-kawan yang betul-betul percaya cerita dua tokoh ini. Tak pasti siapa yang berangan-angan membuat cerita: Cikgu Buyong atau Bung Dollah? Cikgu Buyong kata orang sastera suka berangan-angan bikin cerita dan katanya Bung Dollah memang tukang cerita! Namun tidak pula kita dengar Bung Dollah ada menyelitkan unsur perkauman dalam ceritanya!

Wednesday 15 December 2010

GODAM SALBIAH, KOMEN ABDUL DALAM HSPM KE-19


Abdul Ahmad (foto tahun 1976. Di belakangnya Sulaiman Masri, editor Dewan Masyarakat ketika itu.

Cerita Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ke-9 yang baru berlangsung seperti rumah dah siap tapi masih ada bunyi orang bertukang baiki rumah. hampir 19 tahun HSPM diadakan, tapi nampaknya rumah seperti tak siap-siap juga.

Kali ini editor Sastera Berita Harian, Salbiah Ani melalui ruangan 'godam'nya melaporkan komen seorang daripada anggota penelnya, Abdul Ahmad, antara tiga yang mengadili karya genre satstera kanak-kanak. Abdul ini mantan editor DBP juga dan dianggap 'pakar dalam genre remaja dan kanak-kanak. Beliau menyunting banyak buku sastera untuk golongan kanak-kanak dan remaja.

Abdul dipilih mengadili karya sastera genre kanak-kanak bukan genre remaja. Itulah agaknya mesej yang ingin disampaikan Salbiah. Sebabnya Abdul memisahkan karya hasil kanak-kanak dengan remaja. Tak pasti apakah karya yang diadili itu ditulis oleh kanak-kanak atau temanya kanak-kanak tetapi ditulis oleh pengarang yang usianya menjangkau umur kanak-kanak.

Apapun, segala komen Abdul berasas jika diambil kira premis yang ditimbulkan. Karya hendaklah untuk golongan kanak-kanak berusia antara 13 hingga 20 tahun. Setelah usia itu, karya dianggap termasuk kategori remaja. Maka atas dasar premis ini Abdul dan dua panel lain tidak memberikan sebarang anugerah kepada karya yang dipertandingkan kerana konon ceritanya semua karya adalah di luar genre kanak-kanak. Bagus komen Abdul ini. Dan selain berpengalaman dalam karya remaja (masih ingat Abdul sebagai Editor majalah Dewan Siswa, DBP) Abdul memang ligat berbicara tentang karya kanak-kanak.

Satu ketika ada dalam kalangan editor DBP yang menganggap nama Abdul sinonim dengan remaja. Maksudnya bukan usia Abdul tetapi karya sasteranya. Tak boleh pisah antara nama Abdul dengan karya remajanya. Apabila membaca komen dalam 'godam' dan pandangan Abdul, maka teringat cakap-cakap beberapa orang yang mengenali Abdul ketika di DBP. Mengapa Abdul tidak diberikan tugas menghakimi karya sastera remaja. Untuk karya kanak-kanak sebaiknya dicari anggota panel lain seperti Ali Majod atau yang seumpama Allahyarham Saleh Daud aau Allahyarham Rubaidin Siwar atau 'yang sewaktu dengan mereka..

Sau ketika, apabila majalah Dewan Pelajar diasuh oleh Allahyarham Saleh Daud (Pakcik ESdi), hampir seluruh karya kanak-kanak di DBP bergantung harap kepadanya. Saleh dianggap bos Dewan Pelajar. Setelah itu ada Allahyarham Dharmawijaya, Rubaidin Siwar. Kemudian ada pula Izzah Aziz. Ketika itulah datang Abdul yang mula mencipta nama dalam karya remaja dengan mengasuh majalah Dewan Siswa. Kalau tak silap Abdul berkongsi pengalaman dengan dua lagi editor DBP ketika itu, Mohamad Bahadun dan Misran.

Begitulah Abdul Ahmad yang mencipta nama di awal kerjayanya di DBP. Kepada Abdul karya remaja diagih-agihkan. Saleh dengan karya kanak-kanak.Untuk karya Dewasa nama-nama yang terlibat termasuklah Wijaya Mala, Haji Jajuli Abd. Rahman, Zalila Shariff. Bos-bos sastera atau apa yang disebut Dol Keropok DBP antaranya Allahyarham Keris Mas, Dato' M. Noor Azam dan Allahyarham Dato' Usman Awang.

Jadi 'godam' Salbiah kali ini mengundang maslah 'who's who' dalam genre sastera kanak-kanak di DBP Dan ini juga salah satu sebab mengapa tiga panel untuk karya kanak-kanak tidak diberi penghargaan kali ini. Abdul bersama dua anggota lain telah melakukan yang betul apabila menolak karya-karya yang datang untuk dihakimkan. Mungkin pihak DBP yang menyelenggarakan HSPM ini berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).