Thursday 29 May 2008

AZAH AZIZ: BUDAYA MELAYU DAN ANCAMAN GLOBAL


Tokoh budaya Puan Azah Aziz (Kak Azah) ketika ditemui A.F.Yassin di kediamannya di Petaling Jaya, 24 November 2007.

"Sesungguhnyalah, budaya Melayu hari ini menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman pada zaman global yang begitu pesat bergelora akibat pengaruh kuat media massa, akibat serangan hebat budaya moden asing dalam segala bidang termasuk seni budaya, perilaku manusia, bahasa dan lain-lain. Memanglah budaya Melayu sedang menghadapi cabaran. Sikap orang Melayu yang ghairah meniru dan mudah terpengaruh mencelarukan lagi suasana. Betapa sebahagian besarnya tidak lebih daripada edaran fesyen. Ia datang dan bakal pergi. Insyaallah.

Yang pasti terus bertahan hanyalah budaya warisan bangsa. Kini telah wujud keadaan betapa bertambah ramai pihak yang merasa terpanggil untuk tampil memberi, mempertahan serta memeliharanya daripada segala pengaruh yang tidak diundang dan kurang disenangi itu. Pembaca budiman selaku penyambung warisan semestinya turut merasa bertanggungjawab dan tidak akan berpeluk tubuh membiarkan suatu budaya yang sedemikian indah, kaya dan unggul ini hilang lesap jati dirinya begitu sekali.

Tentulah ini tidak diredai. “Takkan Melayu hilang di dunia”. Oleh itu, semoga mulai sekarang satu langkah pemeliharaan budaya Melayu akan disusun dan dilancarkan dengan sepenuh kasih sayang agar budaya Melayu ini kelak boleh bercahaya dan terus hidup subur berkembang laksana bunga yang harum semerbak di sisi kita.

Akhir kata, jikalau kita memiliki sesuatu yang indah, halus, cemerlang, gilang-gemilang dan murni dalam hidup ini, di manakah akan kita simpan segala khazanah tersayang itu supaya khazanah itu boleh diselamatkan? Di manakah kita nak simpan? Saya ada jawabannya melalui serangkap pantun nasihat orang tua-tua zaman dahulu untuk kita hayati bersama. Pernahkah dengar pantun ini:

Burung merpati kepak bersilang,
Turun ke bendang makan padi;
Simpan di peti takutkan hilang,
Baik disimpan di dalam hati.

Saya ajar pantun ini pada cucu saya masa dia kecil-kecil lagi. sekarang cucu saya itu sampaikan pantun ini kepada kawan-kawannya." (Petikan temu bual dengan Puan Azah Aziz di kediamannya di Petaling Jaya, 24 November 2007.)

Saturday 24 May 2008

SUNGAI JOHOR DENGAN SEJARAH PESISIRANNYA.


Dato' Prof (Emeritus) Dr. Asmah Hj. Omar sedang meneliti skrip Jejak Bahasa di kediaman Raja Hamzah Yunus, di Pulau Penyengat. Wan Sakinah (kiri) memerhatikan.
DI PESISIRAN SUNGAI JOHOR

Benarlah kata Raja Hamzah Yunus, budayawan dari Pulau Penyengat, Riau yang ditemui baru-baru ini. Katanya, "Di mana saja sultan pergi, beliau akan berbuat negeri di sana." Maksud Raja Hamzah negeri baru dibuka jika sultan pindah. Hal ini diperkuatkan lagi oleh pensyarah sejarah, Prof. Madya Zainal Borhan dari Universiti Malaya.

Maka jika di Riau Lingga, beberapa orang sultan membuat pusat pemerintahan di Hulu Riau, Pulau Penyengat dan Daik Lingga, maka sebelum pemerintahan Riau Lingga, beberapa orang Sultan juga telah membuat negeri di beberapa tempat di sepanjang pesisir Sunagi Johor. Mereka berbuat demikian setelah berundur daripada serangan penjajah Portugis dan Belanda. Sepatah kata seorang ahli akademik dari UKM, sultan dan orang-orangnya menjalani hidup bagaikan "nomad", pindah randah setiap kali keselamatan negeri terancam, atau apabila berlaku perebutan kuasa.

Demikianlah, ketika membaca buku terbaru "Peninggalan Sejarah Di Pesisiran Sungai Johor" (96 halaman dan harga tidak dinyatakan) terbitan Yayasan Warisan Johor, saya memikir-mikirkan pendapat Raja Hamzah dan Zainal Borhan ini. Lojikanya begitulah. Buku bergambar, semi-mewah ini pun membuat lakaran demikian, lewat gambar-gambar berwarna-warni makam, tapak-tapak istana dan kubu pertahanan. Pengarangnya, Drs. Kamaruddin Ab. Razak, kurator Bahagian Pemuziuman Yayasan Warisan Johor, mengabadikan makam raja, tapak istana dan kubu pertahanan sepanjang sungai dari muara hingga ke Sayong Pinang.


Makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh di pesisiran Sungai Muar.

Kamaruddin menjelaskan "Sungai Johor merupakan pusat pemerintahan terpenting kesultanan Melayu selepas kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Pemerintahan kesultanan Johor di Sungai Johor bermula pada tahun 1529 hingga tahun 1718, iaitu kira-kira 129 tahun di bawah pemerintahan sebelas orang sultan yang bermula dari Sultan Alauddin Riayat Shah II hingga Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV."
Kata Kamaruddin lagi sepanjang pemerhatiannya, kawasan-kawasan peninggalan sebuah tamadun Melayu ini sekarang merupakan kawasan perkampungan lama yang jumlah penduduknya sangat sedikit. Malah ada yang telah ditinggalkan kosong dan telah menjadi kawasan belukar dan hutan kecil. Ada pula yang mengalami kemusnahan akibat pembangunan. Kata-kata kamaruddin ini sedikit berbeza dengan apa yang saya dapat lihat ketika di Daik. Di sana bukan sahaja makam-makam sultan dan yamtuan muda dijaga dengan baik, tetapi juga tapak istana dan tempat permandian raja. Misalnya, tempat permandian Ungku Ampuan Jahara di Lubuk Palawan, begitu rapi diuruskan sehingga membolehkan sesiapa sahaja yang mengunjungi tempat itu mandi-manda. "Ya, kalau mahu," kata Raja Hamzah.

Kamaruddin telah mengusahakan yang terbaik melalui bukunya ini. Walaupun terdapat beberapa buah buku dan rencana tentang pesisiran Sunagi Johor dengan peninggalan sejarahnya, terutama yang diusahakan Halim Nasir dan lain-lain, namun hasil pemerhatian Kamaruddin ini lebih terperinci. Maksudnya, Kamuruddin memberikan penjelasan tentang ukuran panjang pendek sesuatu artifek dan kawasan istana. Turut dipaparkan lakaran peta kedudukan istana, makam dan kubu, malah di beberapa tempat disoroti juga bagaimana sesuatu tempat itu mendapat namanya.

Misalnya, sejarah Kampung Panchor. Di kampung ini terletaknya Kota panchor yang dibina oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Menurut Kamaruddin nama Kampong Panchor ini diambil kerana terdapat satu pancuran air semulajadi di pinggir kampung. Pancutan airnya mengeluarkan bunyi yang kuat dan ia tidak pernah kering dan pada zaman dahulu ia merupakan sumber air kepada penduduk.

Kota Panchor dibina dari balok-balok kayu besar dan berlapis-lapis dan tingginya 12 kaki. Lantai bahagian dalam kota dipertinggikan kira-kira lima kaki. Kota Panchor ini terletak di atas Bukit Takul Kanan, berhampiran dengan Sungai Takul yang menghilir ke Sungai Johor. Ada 12 meriam tembaga diletakkan di kawasan kota. Dua daripadanya telah ditemui semasa pemerintahan Sultan Ibrahim. Satu daripadanya, dipercayai meriam jamtan, jatuh ke dalam sungai ketia cuba membawanya keluar tetapi sebuah lagi berjaya dibawa ke Johor Bahru. Meriam itu kini diletakkan di hadapan bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan.

Terdapat juga makam Tengku Dara Puteh di puncak Bukit Takul ini. Hari ini kawasan makam ini telah dijadikan tanah perkuburan awam untuk penduduk tempatan. Batu nesan makam ini adalah daripada batu karang berukir berbentuk batu Aceh.

Buku ini mengandungi 13 bab yang bercerita tentang Kota Johor Lama, Kubu Badak, Kampung Panchor Kota Tinggi, Bukit Seluyut, Gonggong dan Pasir Putih. Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Makam Bendahara Tun Habab, Kota Makam Tauhid, Batu Sawar, Makam Cik Siti. Makam Laksamana Bentan dan Kota Sayung Pinang. Yang masih dipelihara dan dijaga dengan baik ialah Kota Johor Lama, Makam Sultan Mahmud, Makam Bendahara Tun Habab, Kota Makam Tahid dan Makam Laksamana Bentan. Barangkali makam-makam ini terlatak di sekitar bandar Kota Tinggi dan termasuk dalam kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi. Yang lainnya masih dalam keadaan yang dhaif. Misalnya makam-makam di Sayong Pinang. Sesetengahnya berada dalam keadaan yang menyedihkan. Satu dua makam tinggal terbiar berdekatan dengan kawasan ternakan.

Gambar-gambar dalam buku ini menceritakan segala-galanya. Contohnya gambar-gambar kawasan Kubu Badan memberi kesan bahawa seolah-olah ia baru sahaja ditemui. Pohon-pohon besar tumbuh di sana sini. Hal yang sama juga dapat dilihat di Bukit tukul Kampong Panchor, kawasan pancuran airnya, dan tapak istana Sultan Alauddin Riayat Shah II.

Di Bukit Seluyut, ada makam Sultan Muzaffar Shah, tetapi keadaan kawasan itu amat menyedihkan. Ia dipenuhi belukar dan makam itu kelihatan seperti sebuah pondok dalam dusun durian. Di lereng bukit itu terdapat pula Makam Raja Fatimah. Yang paling rapi dijaga ialah Kompleks Makam Sultan Mahmud. Ada 16 makam yang ditempatkan dalam kompleks ini, enam daripadanya ialah makam Sultan Abdullah Syah Ibn Almarhum Sultan Muzaffar Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Abdul Jalil Syah V, Satilah Salam (Keturunan Sultan Mahmud), Sultan Mahmud Shah Ibn Almarhum Sultan Ibrahim Shah, dan makam kucing bertanduk. Sepuluh makam lagi tidak diketahui kepunyaan siapa.

Sementara di Kampung Kelantan ada pula makam Megat Seri Rama, pahlawan dari Pulau Bentang, yang menjadi Laksamana di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Sejarah menunjukkan laksamana Bentan inilah yang membunuh Sultan Mahmud kerana kezaliman sultan ini membunuh isterinya, Dang Anum yang sedang mengandung. Sultan Mahmud murka kerana Dang Anum mengambil seulas nangka dari dusun sultan kerana mengidamkan buah itu.

Beberapa artifek menarik ditemui di beberapa kawasan peninggalan ini. Antaranya tembikar, seledon, botol kaca, mangkuk, pinggan dan sudu seramik ditemui di Sayong Pinang. Kebanyakannya sudah pecah.

Kamaruddin, yang berkelulusan dari Universitas Udayana, Bali dalam bidang Arkeologi, menilai bahawa kebanyakan tempat sejarah di sepanjang Sungai Johor ini "masih belum diberi perhatian yang sewajarnya. Perubahan bentuk bumi, akibat hakisan, pemendapan sungai dan aktiviti manusia dikhuatiri akan memberi kesan kepada tempat tersebut, sekiranya tiada langkah-langkah yang diambil untuk memeliharanya."

Bagaimanapun, buku ini terlalu ringkas untuk rujukan yang berkesan. Kecuali gambar-gambar dan lakar-lakar peta, teks buku ini mengundang banyak pertanyaan lagi. Sebabnya ada bahagian-bahagian yang amat memerlukan penjelasan lebih lanjut. Contohnya, pembaca barangkali ingin tahu siapa Raja Fatimah dan apa peranannya dalam sejarah Johor. Asa-usul Laksamana Bentan juga kurang jelas. Buku ini menyebut Laksamana Bentan berasal dari Bentan, Sumatra. Pembaca mungkin terkeliru apakah ada Bentan di tanah besar Sumatra, selain dari Pulau Bentan di selatan Batam.

Amat baik kiranya, setiap makam itu diiringi dengan sejarah ringkas sultan atau siapa yang disemadikan di situ. Begitu juga halnya dengan tapak istana, kubu pertahanan, mariam dan artifek lain yang ditemui. Ini akan lebih mendekatkan pembaca kepada sejarah kesultanan Johor selepas kesultanan Melaka, tetapi masih lagi mempunyai pertalian darah.

Apapun, Kamuruddin telah memberi sumbangan besar kepada Yayasan Warisan Johor kerana kajian arkeologisnya ini. Dan bagi Yayasan, ini semestinya satu permulaan daripada sebuah projek jangkapanjang untuk menjadikan pesisiran Sungai Johor sebuah rantau sejarah yang berpotensi besar menjadi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negeri. Perkhidmatan bot atau feri hilir-mudik Sungai Johor untuk membawa pelancong mengunjungi tempat-tempat bersejarah ini dapat membantu Johor meningkatkan pendapatan daripada ringgit-pelancongnya. Paling-paling pelancong akan dapat menghayati kehidupan "pindah-randah" sultan-sultan zaman dahulu seperti yang diungkapkan Raja Hamzah dan Zainal Borhan.

Friday 23 May 2008

SHAHNON AHMAD: MINDA KITA MASIH DIJAJAH


Dato' Shahnon Ahmad, ketika ditemu bual di kediamannya di Pulau Pinang, 4 November 2007.

DATO' SHAHNON AHMAD: PEMIMPIN LEBIH GEMAR BERCAKAP INGGERIS DENGAN MEDIA

Saya rasa memang begitulah. Mereka tidak yakin dan tidak percaya bahawa bahasa boleh memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan negara. Kita lihat sahaja dalam percakapan harian mereka lebih suka bercakap bahasa lain. Dalam majlis-majlis rasmi pun mereka tidak bercakap dalam bahasa Melayu. Perdana Menteri umpamanya, beliau mempunyai kuasa untuk memberi arahan keada menteri-menteri supaya menggunakan bahasa Melayu ketika merasmikan sesuatu atau bercakap dalam sidang akhbar. Kita tengok siaran berita melalui TV, kebanyakan mereka lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dari bahasa Kebangsaan. Mana jatidiri atau jiwa merdeka kita. Sebenarnya kita masih dijajah dari segi minda dan pemikiran.

Kita terlalu menitikberatkan soal ekonomi dari kepentingan bahasa. Sedangkan bahasa itu adalah alat perpaduan. Kalau kita tidak menghidupkan bahasa kebangsaan kita siapa lagi. Kita seperti kehilangan keyakinan diri. Kita seperti suka menjadi orang lain daripada menjadi diri kita sendiri. Kalau pemimpin Melayu sendiri enggan menggunakan bahasanya sendiri, siapa lagi yang kita harapkan akan menggunakan bahasa kita. Bahasa Melayu adalah bahasa semua kaum. Bahasa penyatuan dan perpaduan. Semua perlu mengamalkannya. Kita gagal mendaulatkannya....

...Kita selalu menyanjung rukun negara dan perlembagaan tetapi dari segi bahasa mereka tidak mentakrifkannya dan mengaktifkannya.Kita tidak mengenalkan sejarah dan perjuangannya. Sebelum ini kita telah mngadakan beberbagai aktiviti mengenai bahasa seperti bulan bahasa, minggu bahasa dan macam-macam lagi tetapi sekarang ini hilang begitu sahaja. Sejak , pemerintahan Mahadhir bahasa Melayu tidak diberi perhatian. Mereka mengajak bangsa Melayu ni ke depan tetapi tidak bersama dengan bahasa Melayu. Mereka lebih menekankan bahasa Inggeris dan Matematik. Mereka lebih suka bercakap bahasa Inggeris. Mereka berbangga kerana boleh bertutur bahasa Inggeris. Mereka malu bercakap bahas Melayu.

Percakapan mereka pun kekok dan tidak lancar. Kita suka sangat bercakap bahasa Inggeris. Kita berasa megah dan bangga. Saya dulu pun guru bahasa Inggeris , mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris dan memperolehi Ijazah pun dalam bahasa Inggeris tetapi saya tidak taksub sangat kepada bahasa Inggeris. Orang kita ini ego, kalau berakap bahasa Inggeris itu megah dan bangga. Ingin jadi macam Mat Salleh. Sebenarnya pemikiran kita masih dijajah. Kalau bercakap bahasa Melayu pun diselang seli dengan bahasa Inggeris. Orang macam ini tak ada identiti, tak ada jatidiri.
(Petikan temu bual dengan SN Dato' Shahnon Ahmad di kediamannya di Pulau Pinang, 4 November 2007.)

AZIZ TAPA : ORANG KAMPUNG PUN KATA " DADDY"


Tan Sri Abd. Aziz Tapa ketika ditemu bual di kediamannya di Jasin, Melaka.

TAN SRI ABD. AZIZ TAPA: SIAPA LAGI MAHU BERCAKAP DALAM BAHASA MELAYU?

Saya tengok orang Melayu sendiri, terutama perempuannya yang pergi berpendidikan tinggi tidak cakap Melayu, tapi cakap orang putih. Camkanlah ini. Saya ingat Dewan Bahasa dan Pustaka kena buat kajian tentang perkara ini. Misalnya, di kampung, saya jumpa seorang wanita janda yang berahwin dengan orang keturunan India. Anak yang lahir mirip bapaya.

Saya kata, “ Wah, budak itu macam bapanyalah. Jawab wanita itu, “Ya dia ni macam daddy dia.” Dia tak kata “bapa” tapi daddy. Ertinya, unsur Inggeris sudah masuk ke kampung. Inikan pula town. Orang yang sudah ke sekolah Inggeris, terutama ibu-ibu dan isteri menteri bercakap dengan anak mereka dalam bahasa Inggeris. Mereka tak cakap bahasa Melayu.

Ini menunjukkan orang Melayu sendirilah yang akan menghancurkan bahasa Melayu. Yang memperjuangkan bahasa Melayu hanyalah orang-orang yang bekerja di Dewan Bahasa, orang yang berkrja di fakulti bahasa Melayu di universiti. Mengapa jadi begini? saya tengok kebanyakan orang Melayu lemah semangat kebangsaannya. Mereka tidak ada semangat cintakan bahasa Melayu. Cakap saja tapi tak sampai ke dalam.

Misalnya, oleh kerana henakkan kedudukan mereka mengaku orang Melayu. Mereka hendakkan biasiswa, mereka kata mereka orang Melayu. Tapi sebut tentang bahasa mereka tidak kata apa. orang kata daripada bahasa orang kenal bangsa. Daripada buah orang kenal pokok. Daripada bahasa orang kenal bangsa. Mereka mengaku orang Melayu kerana mahu sesuatu.

Inilah yang saya perhatikan setelah lima puluh tahun kita bercerita tentang bahasa Melayu. Saya memperjuangkan bahasa Melayu ini semenjak dari tahun lima puluhan lagi. Dari zaman kolej dulu, tahun tiga puluhan di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Kita berjuang memartabatkan bahasa Melayu. Saya sendiri terlibat dalam menubuhkan apa yang kita namakan Ikatan persuratan Melayu. Pada tahun lima puluhan saya sudah terlibat dalam kerabat kongres bahasa. Memang perjuangan kita waktu itu hebat. Kita bercakap Melayu tapi bila kita keluar lain pula jadinya. Itulah sebabnya saya fikir Tun Mahathir Mohamad memutuskan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Orang Melayu tidak mampu menguasai bahasa Sains dan Matematik dengan sedalam-dalamnya. Mungkin ada dalam kalangan pemimpin kita yang tak pandai berbahasa Melayu. Saya rasa ini bukan disebabkan oleh keadaan sekeliling ataupun keadaan politik tetapi dalam diri orang Melayu tidak ada semangat kebangsaan (Melayu).

Dahulu kita kata Persekutuan Tanah Melayu atau “Federation of Malaya”. Tapi kemudian kita namkan Malaysia apabila Singapore, Sabah dan Sarawak ikut serta. Maka jadilah kerajaan Malaysia. Kenapa kita tidak namakan kerajaan Melayu Raya. Kenapa tidak namakan begitu? Itulah sebabnya saya kata dua dekad lagi tak ada lagi apa yang disebut bangsa Melayu tapi orang Melayu tetap ada. (Petikan hasil temu bual dengan Tan Sri Abd. Aziz Tapa, tokoh politik dan budaya di kediamannya di Melaka, 11 Oktober 2007.)

Thursday 22 May 2008

DBP DARI KACA MATA SANRE DARI MAKASSAR


Sanre rindukan teman-teman penulis seperti Dato' Abu Bakar hamid (kanan), Keris Mas, Dato' Ahmad Sebi dan Dato' Usman Awang setiap kali beliau berkunjung ke Kuala Lumpur. DBP adalah "taman permainan" Sanre.

BINGKISAN JUBLI DARI SULAWESI SELATAN
Oleh Safrullah Sanre

Sejak “Pesta Sastera Perak” tahun 1981 suku abad kemudian, saya tidak dapat menahan sebak, sekali gus terpegun ketika Auditorium DBP yang baru menjadi hening menjelang keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agung ke ruang Majlis Perasmian Menara DBP. Sewaktu itu, Baginda diiringi Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah.

Dalam Dewan Auditorium di barisan tetamu VIP saya lihat Sasterawan Negara Arena Wati bersama Dato’ A. Samad Said, . Datuk Baha Zain, Dato’ Dr. A. Hassan Ahmad, Dato’ Haji Jumaat Mohd. Noor dan Dato’ A. Aziz Deraman. Hela nafas saya kian perlahan, mengenangkan suku abad yang telah saya lintasi dan persentuhan intelektual – kepada roh jiwa serumpun. Betapa besar rasa syukur saya kepada illahi.

Begitu hebat kesetiaan para tokoh ini bersama ratusan undangan yang lain untuk hadir di majlis yang penuh bersejarah ini. Saya terkenangkan sosok tokoh-tokoh DBP dan para sasterawan lain yang telah meninggalkan kita. Melihat kaca mata tebal Pak Arena mengingatkan saya wajah Allahyarham A. Samad Ahmad yang antara karyanya yang terkenal diterbitkan DBP, iaitu ‘Sulalatus-salatin’.

Juga wajah Allahyarham Dato’ Usman Awang yang sering saya temui di pejabat Baha Zain, ketika masih hidupnya, dan rupa-rupanya kerap kami berjumpa dan sekawasan pula dengan Pak Asraf Wahab dan Umar Junus. Dalam semarak Jubli Emas itu, saya doakan para arwah, tawa dan gurauan mereka. Terasa benar keadaan sudah berubah. Kali ini, pada majlis ini golongan penulis terlalu sedikit yang hadir. Barangkali juga DBP memberi keutamaan kepada pembesar-pembesar negara berbanding golongan penulis. Hal ini disebabkan oleh keterbatasan ruang di auditorium indah ini.

Menara DBP nan megah bukan lagi seperti ‘bangunan lama’ kerana zaman yang telah berubah. Sejumlah tokoh Sasterawan Negara (sembilan semuanya) tidak hadir akibat kesihatan yang tidak mengizinkan, malah ada yang telah meninggalkan kita. Tetapi penulis generasi terkini tidak turut meraikan Jubli Emas membikin saya gundah dan sangsi. Adakah mereka terlalu sibuk, dan beban kerja amat mendera? Hanya mereka sahaja yang boleh menjawabnya.

Barangkali DBP bukan lagi pusat (centrum) tunggal para aktivis. Tetapi ramai juga ‘mantan kakitangan DBP’, yang menjadi kenalan rapat saya seperti M. Noor Azam, Johan Jaaffar, Sutung Umar RS, Ajikik, Kemala, Suhaimi Hj. Mohamad, A.F.Yassin dll, masih seperti dahulu juga, umpama 30 tahun yang lalu.

Saya berdoa pada Allah s.w.t semoga suku abad ke hadapan saya masih boleh ikut serta meraikan kebahagiaan DBP sempena perayaan Jubli Berliannya pula. Saya sedar bahawa lintasan sejarah ini akan dipenuhi irama dan wajah dinamik. Rasa cinta dan nostalgia pada Mural Dewan Tun Syed Nasir dan bangunan lama DBP mungkin sahaja menjadi mangsa kemajuan. Hanya sahaja seandainya Mural dan bangunan lama akan terus kekal menjelma sebagai satu kerinduan yang abadi. 2007.Ends

KHOO: TIADA MASALAH MENGAJAR DALAM BAHASA MELAYU


Profesor Sejarah, Datuk Prof. (Emeritus) Dr. Khoo Kay Kim, ketika ditemu bual di Universiti Malaya, 15 November 2007.

KHOO KAY KIM: MENGAJAR SERENTAK DALAM DUA BAHASA, TAHUN 1965

Sebenarnya, saya mula mengajar dalam bahasa Melayu pada tahun 1965. Pada masa itu saya mengajar hanya kepada penuntut Sekolah Alam Shah yang menggunakan bahasa Melayu di peringkat universiti. Jadi,tak ada masalah. Tapi pada tahun 1970-1971 apabila universiti mula menerima penuntut daripada aliran Melayu saya menghadapi masalah kerana apabila saya mula memberi kuliah dalam bahasa Melayu, kebanyakan penuntut bukan Melayu tak faham. Maka buat sementara, universiti membuat keputusan supaya pensyarah macam saya memberi kuliah dalam bahasa Melayu. Pada masa yang sama saya membut terjemahan dalam bahasa Inggeris. Keadaan itu tak lama. Saya rasa tak sampai dua tahun.

Kemudian satu keputusan dibuat, iaitu kita tidk lagi membuat apa yang disebut sebagai ‘conqueror vandalism’. Kita terus mengajar dalam bahasa Melayu. Semua penuntut pun beransur-ansur menyesuaikan diri. Kita dapati penuntut bukan Melayu semakin mahir berbahasa Melayu. Maka kita tidak menghadap sebarang masalah, kecuali sesetengah pensyarah memang tak biasa menggunakan bahasa Melayu. Maka, pada peringkat awal itu, bermacam-macam kesilapan mereka buat semasa memberi kuliah. Maka di sini yang penting ialah kita perlu memperkenalkan sesuatu perubahan itu dengan beransur-ansur. Dalam masa dua tahun semua pelajar telah menggunakan bahasa Melayu.

Apakah yang menyebabkan mereka begitu cepat menguasai dan mengadaptasi kepada bahasa Melayu? Sebabnya, pertama, mereka (penuntut) tahu pada masa itu, ada pensyarah yang boleh menolong mereka kalau mereka menghadapi masalah. Kedua, walaupun kuliah diberi dalam bahasa Melayu, buku yang mereka gunakan untuk rujukan adalah dalam bahasa Inggeris. Dengan demkian keadaan menjadi seimbang. Malah bukankah ada kelebihan untuk penuntut yang menggunakan bahasa Melayu kerana mereka kena membaca dalam bahasa Inggeris. Jadi seimbanglah. (Petikan hasil temu bual dengan Datuk Khoo Kay Kim di Universiti Malaya, 15 November 2007.)

BAHASA MELAYU SUDAH MELUAS PEMAKAIANNYA: CHANDRA


Prof. Dr. Chandra Muzaffar ketika ditemu bual oleh A.F.Yassin di sebuah hotel di Kuala Lumpur, 26 November 2007.

DR. CHANDRA MUZAFFAR: BAHASA MELAYU KEPERIBADIAN BANGSA MALAYSIA

Bahasa rasmi kita penting daripada segi keperibadian bangsa Malaysia. Itulah sebabnya kita harus mempunyai tumpuan kepada tiga persoalan, terutama dalam konteks masyarakat berbilang kaum. Pertama, kalau dibandingkan dengan keadaan bahasa Melayu pada tahun 1957, bahasa Melayu hari ini digunakan oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia. Sebabnya, sebahagian besar masyarakat Malaysia memahami bahasa itu dan mereka dapat menggunakan bahasa ini dalam perbualan harian dan sebagainya. Itu adalah satu pencapaian besar.

Kedua, kita juga berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pentadbiran negara. Kita berjaya mempertingkat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran. Ketiga, kita juga berjaya menggunakan bahasa Melayu di universiti. Maksud saya di universiti-universiti awam kita. Pada keseluruhannya, bahasa Melayu digunakan dalam urusan di universiti. Kalau kita hendak membuat satu penilaian yang adil, kita juga harus menerima bahawa walaupun sepanjang 50 tahun ini, kita berjaya dalam usaha-usaha mendaulatkan bahasa Melayu, dalam beberapa sudut kita gagal.
Pertama, walaupun bahasa ini digunakan di universiti tetapi mungkin kurang tepat kalau kita katakan bahawa bahasa Melayu itu telah menjadi bahasa ilmu sepenuhnya. Ia hanya menjadi bahasa ilmu untuk mata pelajaran tertentu sahaja. Kita katakan begitu kerana ia bukan bahasa utama dalam pendidikan, seperti dalam bidang-bidang penting seperti bidang perubatan, sains atau undang-undang. Bahasa Melayu belum menjadi bahasa ilmu yang setanding dengan bahasa-bahasa lain, misalnya bahasa Inggeris yang kedudukannya sebagai bahasa ilmu berada di kemuncaknya. Begitu juga halnya dengan bahasa Perancis sebagai bahasa ilmu atau bahasa Jerman atau bahasa Parsi.(Petikan temu bual dengan Prof. Dr. Chandra Muzaffar di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, 26 November 2007.)

PERSPEKTIF BAHASA NIK SAFIAH KARIM


Dato' Prof. (Emeritus) Dr. Nik Safiah Karim ketika ditemu bual di kediamannya di Kg. Sungai Penchala, Kuala Lumpur, 22 November 2007.

Nik Safiah: Berani Melakukan Perubahan Demi Kebaikan

Saya rasa kita sekarang ini dipimpin oleh orang yang tidak begitu sedar tentang jati diri bangsa, tentang latar belakang kebudayaan yang terlalu bersifat global dan patuh kepada keputusan yang dibuat sebelum ini. saya rasa kalau kita betul-betullah pemimpin kita harus selalu melihat keadaan dan kita selalu berani mengaku kalau kita telah membuat kesalahan. Kalau kita tak sanggup membuat perubahan demi kebaikan maka kita tak boleh dipanggil pemimpin yang bijak.

Kalau kita tidak memikirkan hal bangsa, negara dan masa depan tetapi semata-mata memikirkan kedudukan aku dalam politik, kedudukan aku sebagai orang penting dalam parti, saya tak menghormatilah orang seperti itu. Kalau sudah kelihatan rakyat gelisah dan kita sendiri telah membuat kajian dan terbukti keputusan yang dibuat dahulu itu tidak bijak kita boleh meminda tanpa mengaku kita ini kurang bijak. Hanya orang yang bijak itulah orang yang berani membuat perubahan.

Kalau kita berani membuat perubahan kita buatlah perubahan demi kebaikan masa depan bangsa. Jangan melihat hanya satu perspektif saja, apatah lagi perspektif itu diberi oleh orang yang berkuasa, orang yang mempunyai pengaruh. Kita kena tanya hati kita sendiri apakah sesuatu kedudukan itu baik atau sebaliknya. (Petikan temu bual dengan Dato' Prof. Dr. Nik Safiah Karim di kediamannya di Kg. Sungai Penchala, Kuala Lumpur, 2007)

DI MAJLIS KERIS DAN ARENA MEREKA BERKUMPUL


Dato' M. Noor Azam

CATATAN A.F.YASSIN
Apabila penulis berkumpul di majlis Keris Mas dan Arenawati

Memang sukar bertemu dengan rakan-rakan penulis secara serentak. Apatah lagi jika mereka tinggal berjauhan. Dan minat mereka untuk bertemu dalam seminar, umpamanya telah semakin luntur. Kalau ingin bertemu penulis mapan dan kelas kakap, tunggu mereka diundang sebagai pembentang kertas kerja oleh penganjur seminar atau kongres persuratan. Jika tidak yang ingin bertemu mereka terpaksa tunggu sehingga Pena atau Gapena mengadakan mesyuarat agung tahunannya. Tetapi jangan pula terkejut rakan-rakan penulis yang ditemui itu hanya muka-muka itu sahaja.

Maka apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar sehari dan pelancaran empat buku Arenawati dengan kerjasama Penerbit UKM dan Utusan Publications & Distributors Sabtu minggu lalu rindu untuk menemui rakan-rakan penulis terobat juga. Tiga hari kemudian DBP sekali lagi menganjurkan seminar tiga hari tentang pemikiran Sasteran Negara pertama, Keris Mas. Semakin bertambah bilangan penulis yang jarang ditemui datang berkumpul.

Dari Negara Brunei Darussalam datang Dato’ Prof. Dr Hashim Awang, dari Singapura datang pula Mana Sikana yang datang tertengkot-tengkot kerana sakit kaki. Dia tersedat sebentar di ruang letak kereta DBP, tidak tahu arah tuju kerana besarnya ruang letak kereta itu dan lif yang menghubungkan ruang letak kereta dengan Dewan Seminar tidak berfungsi. Dari utara datang Azizi Hj. Abdullah, yang namanya sejak akhir-akhir ini agak sensitive bagi sesetengah kalangan media.

Azizi yang kini bertugas di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) akan ke Melaka dahulu untuk menghadiri satu seminar lain sebelum menghadiri Seminar Pemikiran Keris Mas. Dari Penjara Sungai Buloh, datang pula Ijmala MN. Penyair ini bertugas di Penjara Sungai Buloh. Dato’ Dr. Nordin Haji Abdul Rahman (Atondra) tidak ketinggalan hadir berpakaian kemas dengan songkok dipakai senget ala atondra. Kemala, Saleh Rahmad, S.M. Zakir dan beberapa yang lain bukan orang asing di DBP. Begitu juga dengan sasterawan negara paling bongsu, S. Othman Kelantan.


Jaafar Ab. Rahim


Pof. Dato' Dr. Hashim Awang

Dan Dato’ Mohd Nor Yusof (M. Noor Azam) berpakaian lasak (rugged) semua biru turut sama. Sejak akhir-akhir ini towering personality, salah seorang yang mewajahkan Dewan Bahasa sehingga menjadi towering institution satu ketika itu sering ke Dewan Bahasa. Katanya, “Nak jumpa kawan-kawan.” Tetapi lazimnya M. Noor Azam Cuma bersembang di warong mamak di tempat yang dikenali dengan bucu dewan.

Dari Makasar, Pulau Sulewasi, datang sekumpulan empat orang tokoh persuratannya, antaranya Safrullah Sanre yhang jarang kjetinggalan hadir dalam majlis-majlis seperti ini. Seperti katanya, “Malaysia adalah kampung keduaku. Dan rumah Gapena rumah keduaku.” Mereka datang kali ini kerana ingin merayakan hari ulangtahun kelahiran Arenawati yang ke-80. Kata salah seorang anggota rombongan, “Pak Arena sasterawan milik kami juga kerana beliau kelahiran Makasar.”

Ada yang berkata ramainya penulis mapan dan “yang punya nama” datang ke Dewan kerana meraikan dua tokoh besar persuratan, iaitu Arenawati dan Allahyarham Keris Mas. Mereka diraikan Dewan Bahasa. Tidak pasti apakah majlis keraian ini diadakan atas inisiatif Ketua Pengarah baru Dewan Bahasa, Dato’ Dr Firdaus Abdullah, yang juga penulis, atau mereka datang hendak bernostalgia dengan kawan-kawan penulis tentang hubungan dengan Keris Mas dan Arenawati.

Jika kehadiran mereka adalah untuk bernostalgia, mereka tidak kecewa. Sebabnya di seminar pemikiran Keris Mas sahaja ada kertas M. Noor Azam yang membincangkan pemikiran Keris Mas berdasarkan pengalamannya bekerja di bawah Keris Mas. Kata seorang penulis, “Saya fikir kertas dato’ Noor Azam amat mengesankan kerana menyjngkap pemikiran dan sosok peribadi Keris Mas dari sudut hubungan akrab antara dua rakan dan antara ketua dengan timbalannya.” M. Noor Azam bertugas sebagai timbalan Keris Mas di Dewan Bahasa satu ketika.

Noor Azam melihat Keris Mas sebagai mentornya dalam bidang penulisan. Noor Azam amat terhutang budi kepadanya kerana tanpanya Noor Azam mungkin kekal menjadi guru sekolah rendah. Tidak mungkin dia menjadi penulis seperti sekarang. Yang paling menarik daripada sosok personality Keris Mas ialah dia seorang ketua yang tidak pernah marah atau kasar kepada orang bawahannya. Keris sentiasa senyum kepada anak-anak huahnya seolah-olah senyumannya itu ibarat penyuntik semangat bekerja buat mereka.

Kemudian ada pula nota “pendahuluan” untuk prosiding seminar yang memuatkan 29 kertas kerja tentang pemikiran Keris Mas. Pengalaman bekerja Jaafar Rahim di bawah Keris Mas dicatatkan dalam nota “Pendahuluan”. Menurut Jaafar, satu perkara menarik tentang hubungan kerja Keris Mas sebagai Ketua dan “kami sebagai orang bawahan ialah kami bekerja dalam suasana ceria. Bekerja dalam satu pasukan dan saling menghormati.” Tulis Jaafar, “Cara bekerja seperti ini bukan sahaja tidak mendatangkan tekanan bahkan meningkatkan produktiviti Bahagian Pngembangan Sastera, khususnya di majalah Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan sastera.”

Kedua-dua catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim ini adalah prolog sebuah seminar tentang sikap dan pemikiran Keris Mas melalui karya-karyanya. Selama ini pun telah banyak peneliti sastera menganalisisi pemikiran Keris Mas melalui karyanya. Maka seperti kata seorang penulis yang hadir, “Tidak ada yang baru. Cuma kita disegarkan semula dengan analisis-analisis dalam 27 kertas kerja itu. Bagi saya paling terkesan ialah catatan M. Noor Azam dan Jaafar Rahim.”

Di luar sidang Hashim Awang dari Universiti Negara Brunei Darussalam bercerita tentang peristiwa-peristiwa lama yang terjadi dalam tahun-tahun 1980an. Di samping Keris Mas Hashim tidak melupakan allahyarham Othman Puteh dan Dharmawijaya, dua kawan akrabnya yang telah pergi dahulu. Hashim rindukan kata-kata dan gerak tingkah mereka. Begitu juga pensyarah UPM, Abd. Rahim Marsidi. Katanya, “Kita ini seperti 10 budak hitam. Entah siapa pula selepas ini.” Manakala Safrullah Sanre mahu majlis hari ulangtahun Arenawati di ulang sambut di Makasar dalam masa terdekat. Katanya, “Pak Arena perlu diberi penghormatan di kota kelahirannya. Penulis sana pun mahu merayakannya.” Ends.

Wednesday 21 May 2008

MENYELAM RASA ORANG MAKASAR DI KUALA LUMPUR


Penyusun buku Salsilah Melayu dan Bugis, Dr. Virgina Matterson (tiga kiri) sedang mendengar ceramah Dato' Dr. Firdaus Abdullah (berdiri) di majlis Hari Sastera di Johor Bahru, 1983.
Menemukan Kembali Salsilah Melayu dan Bugis
Oleh A.F.Yassin.

Aktivis budaya Makassar. Safrullah Sanre, sudah lama tidak muncul dalam sebarang kegiatan budaya di Malaysia. Kesibukan kegiatan budaya di Makasar memungkinkan Safrullah tidak dapat menyempatkan diri beranjang sana ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru. Namun cadangan bernasnya yang dikemukakan kepada saya Januari 2001 di Makasar, Sulewasi Selatan masih tetap segar dalam ingatan.

Cadangannya ialah kerjasama budaya antara Malaysia dengan Sulawesi Selatan yang terkenal dengan nama Tanah Bugis itu mesti ditingkatkan lagi. Safrullah merumuskan cadangannya itu setelah kami bercerita panjang tentang dunia sastera-budaya yang dia ceburi hampir sepenuh masa. Safrullah seperti membenarkan dirinya diseret lebih dalam ke daerah sastera budaya Malaysia dan lebih mendekatkan diri dengan Kuala Lumpur berbanding Jakarta atau Makasar sendiri. Tanggapan ini mungkin sahaja kurang tepat tetapi mereka yang telah mengenal dirinya akan berpersepsi begitu.


Safrullah Sanre, ketika berkunjung ke Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Safrullah melihat hubungan budaya antara Makasar dengan Kuala Lumpur dan Johor, khususnya Johor semakin intim jua. Katanya ada kaitan antara orang Makasar dengan orang Johor dan kaitan itu telah lama wujud, iaitu sejak pemerintahan Kerajaan Johor Riau lagi. Katanya "Malah kita usah lupa akan peranan beberapa orang anak raja keturunan Bugis dalam Kerajaan Melayu Riau Johor." Yang dimaksudkan Safrullah ialah Daeng Parani, Daeng Menambon, Daeng Marewah dan Daeng Celak. Kesemuanya putera Raja Bugis, Opu Tendribureng Rilaka. Safrullah mahu satu pertemuan diadakan antara budayawan Malaysia (khususnya Johor) dengan Makassar.. Pertemuan tentunya diasaskan kepada sejarah penglibatan orang Bugis dalam Kerajaan Melayu Johor-Riau.

Berdasarkan sejarah penglibatan orang Bugis di alam Melayu dipertingkat oleh penghijrahan orang Melayu Johor ke tanah Bugis di Pulau Sulawesi, terutama di Makasar (dulunya Ujung Pandang). Orang Melayu Johor ini membawa bersamanya apa yang disebut Safrullah sebagai warisan budaya, termasuk bahasa dan budaya. Katanya, "Warisan itu kini sudah menjadi intertekstual kerana kebanyakan teks sastera Melayu sudah disadur ke dalam bahasa daerah."

Malah, ada satu komuniti kecil Melayu yang berkampung di tengah-tengah kota Makasar. Dalam pertemuan singkat dengan beberapa warga komuniti keturunan Melayu ini, mereka bercerita tentang sejarah penghijrahan komuniti ini. Sekarang pun anggota komuniti Melayu ini masih merasa bangga dengan keturunan mereka. Ramai di kalangan mereka masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dialek Johor dengan baik. Di samping itu mereka tetap mempertahankan warisan budaya seperti nikah kahwin dan adat orang Melayu lainnya sejak kedatangan datuk nenek mereka 200 tahun dahulu.

Malah ada di kalangan mereka yang mengaku keturunan orang Melaka. Kata seorang ketua keluarga Melayu itu, "Kami tidak tahu Melaka itu di mana tetapi nenek moyang kami bercerita kami orang Melaka." Barangkali cerita dari Melaka ini dikaitkan dengan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis dan penerusan Kerajaan Melayu itu di Johor-Riau kemudiannya.

Inilah premis keazaman dan rasa keterikatan Safrullah dengan pemikiran sastera warisan Melayu Bugis. Bukan tidak mungkin Safrullah terpengaruh dengan kewujudan komuniti Melayu di Makasar dan buku sejarah, terutama Salsilah Melayu dan Bugis, Sejarah Johor dan Sejarah Melayu. Maka semangat ingin melihat bermulanya pertemuan Johor Makasar itu semakin membara. Lebih kerap dia mengunjungi Malaysia maka akan semakin meningkat pula suhu semangatnya.

Apakah yang sedang difikirkan Safrullah? Apakah dia mahu mengambil kesempatan dengan mengeksplorasi setiap peluang akibat wujudnya pertemuan itu untuk cuba “menggemilangkan semula hubungan Melayu-Bugis? Cadangannya supaya pertemuan pertama diadakan di Makasar menunjukkan keghirahannya. Katanya, “Tahun berikutnya di Johor Bahru. Pertemuan boleh diadakan setiap tahun secara bergilir."

Turut difikirkan Safrullah ialah sikap pemerintah Indonesia, terutama pemerintah daerah Sulawesi Selatan yang menurutnya "meletakkan bidang kebudayaan dalam senarai keutamaan yang rendah. Tidak seperti di Johor yang menjadikan pembangunan kebudayaan menjadi sebahagian daripada tanggungjawab holistik kerajaannya.".

Hubungan awal boleh juga dalam bentuk pemuatan rencana tentang budaya Malaysia di media Sulawesi Selatan dan tentang budaya Bugis di media Malaysia. Editor pelbagai media di Malaysia boleh memainkan peranan penting dengan memberi ruang secara berkala kepada tulisan budayawan dari Makasar sementara editor media di Sulewasi memberi ruang pula kepada tulisan budayawan Malaysia.

Sebagai permulaan juga, Safrullah mempunyai pilihan dengan mendekati Yayasan Warisan Johor yang dianggap lengan kanan budaya Kerajaan Negeri Johor. Khabarnya Timbalan Pengarah Yayasan itu, Zam Ismail, seorang sasterawan-budayawan, walaupun khabarnya dari kerutunan Jawa, barangkali akan bersimpati dengan pemikiran Safrullah. Fakta menunjukkan banyak rakyat Johor, baik daripada kalangan bangsawan mahupun di kalangan orang biasa, berketurunan Bugis.

Dalam simpanan Safrullah terdapat beberapa manuskrip lama yang boleh diketengahkan, dan yang mengaitkan hubungan Johor Bugis. Ini juga boleh dijadikan titik permulaan hubungan Safrullah dengan Zam di Yayasan. Yayasan boleh memberi sumbangan dengan mempertimbang kemungkinan menerbitkan manuskrip lama berkenaan. Setikda-tidaknya Yayasan akan dilihat cuba meneruskan tradisi penerbitan buku hikayat seperti Salsilah Melayu dan Bugis.. Yang penting, menurut Safrullah, perlu ditagih simpati Menteri besar Johor, Datuk Abd. Ghani Othman yang mempunyai agenda holistik untuk memajukan Johor.

Manfaat daripada hubungan budaya dua hala tetap ada. Ini kata Safrullah. Khazanah warisan dalam bentuk intertekstual maih banyak yang boleh diketengahkan. Status autonomi pemerintah daerah di Indonesia boleh dimanfaatkan untuk memajukan bidang ini kerana segala yang berkaitan dengan kebudayaan telah diletakkan di bawah wewenang dan kuasa pemerintah daerah. Kata seorang budayawan ketika ditemui selepas majlis dialog antara budayawan Makasar dengan rombongan Dewan Bahasa dan Pustaka di Pusat Bahasa Cabang Maksar Januari 2001 yang lalu, "Orang Melayu dan orang Makasar itu tidak ada bedanya dari sudut sejarah dan budaya. Kiranya kami lebih dekat dengan Malaysia, terutama yang menyangkut keturunan, perasaan dan pemikiran. Tak perlulah kami beritahukan berbanding dengan siapa." Ends.

KONGRES BAHASA KE-7 : DI MANA SILAPNYA?


Pengerusi mesyuarat Badan Bertindk Isu Bahasa Kebangsaan di RTM, Prof. Dr. Firdaus Abdullah (berdiri) ketika merasmikan sidang dengan dibantu Haji Jajuli Abd. Rahman (no. tiga dari kiri dan Dr. Sulaiman Masri (kanan sekali). Fadzil Yassin (kiri ) bertindak sebagai Setiausaha Badan Bertindak).

Badan Bertindak Isu Bahasa Kebangsaan di RTM dipamerkan kepada hadirin. Lebih 100 orang hadir dalm perbincangan yang diadakan di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 1983.

KONGRES BAHASA KE-7: DI MANA SILAPNYA?
Oleh A.F.Yassin

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7, mulanya mahu diadakan secara besar-besaran, sempena perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebabnya, dikatakan DBP terhutang budi kepada Kongres kerana melahirkannya 50 tahun yang lampaumelalui Kongres ketiga di Johor Bahru., Pada penuhuhannya DBP Ungku Aziz, ketika itu pensyarah di Universiti Malaya, Singapura, dilantik sebagai Pengarah DBP pertama dengan pejabatnya berpusat di Bukit Timbalan di Johor Bahru.

Dalam kegiatan kongres kali ini DBP meminta kerjasasama Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) sebagai penyelenggara bersama dengan DBP menyediakan dana dan Gapena menyediakan peserta dan kertas kerja.

Untuk menjadikan kongres ini lebih relevan, DBP dan Gapena mencadangkan supaya kongres ketujuh ini diadakan di Johor Bahru, mengambil sempena kelahiran DBP oleh Kongres ke-3, 50 tahun yang lalu. Kongres ketika itu antara lain merumuskan penubuhan DBP. Gapena yang begitu teruja untuk menyelenggarakan secara bersama Kongres Ke-7 ini telah menjelajah ke seluruh negara menggembling kerjasama badan-badan persuratan dan badan-badan bukan kerajaan. Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 Gapena dan kerabat kerjanya ligat meredah daerah dari Perlis hingga ke Sabah mencanangkan penyelenggaraan Kongres. Ismail yakin berkas kerjasma para pejuang dan peminat bahasa dan persuratan ini kongres akan dapat mencapai matlamatnya, iaitu mengembalikan status bahasa dan sastera di tempanya yang wajar.

DBP dalam pada itu telah mengeluarkan pernyataan dan komitmen bahawa untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Negeri Johor bagi mengadakan kongres di negeri yang melahirkan DBP. Melalui pernyataan itu kongres dijadualkan pad 15-17 September 2006.

Penytaan itu juga menyebut tentang status bahasa Melayu yang “sedikit demi sedikit mengalami perubahan yang kurang menggembirakan. Ini adalah antara realiti yang patut dihadapi oleh kongres dengan semangat yang terbuka dan sikap yang positif tanpa terperangkap oleh sikap yang terlalu dogmatik. Satu strategi baru yang pragmatik dan memandang ke hadapan mestilah difikirkan bersama. Kedaulatan dan martabat bahasa Melayu mestilah dipertahankan dengan sikap yang lebih terbuka, setia kepada matlamat, walaupun strategi boleh berubah, sesuai dengan kebijaksanaan ajaran orang tua-tua: “Tidak salah beralih tegak asal di tanah yang sebidang, tidak salah beralih duduk asal di tikar yang sehelai.”

Bagaimanapun akhirnya cadangan untuk mengadakan kongres di Johor pada tarikh yang ditetapkan tidak kesampaian kerana ia akhirnya diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir (dulunya Balai Budaya,) di DBP Kuala Lumpur. Tarikhnya ditunda dari bulan September ke bulan November. Kongres tidak lagi dirasmikan oleh seorang menteri kanan tetapi cukup sekadar dirasmikan seorang alhi Parlimen dari Gua Musang, iaitu Tangku Razaleigh Hamzah. Itu pun sebagai kapasiti Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Sekretariat Kongres Kepentingan Bangsa dan ditutup oleh Ketua I Gapena, Ismail Hussein. Kongres pula diadakan pada 6-8 November, dua bulan terlewat dari jadual asal.
Walaupun terlewat dan berubah tempat namun sambutan terhadap Kongres dikatakan membanggakan juga. Menurut catatan jumlah peserta mencecah 500 orang, hampir sama dengan jumlah yang menghadiri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3 di Johor Bahru dahulu. Semangat juga hampir sama. Kalau dahulu pejuang mahu memartabatkan bahasa Melayu. Pada kongres kali ini semangat itu ingin mengembalikan martabat bahasa itu yang seperti dikatakan banyak peserta “telah banyak tercalar.”
Bezanya pula mungkin ibarat langit dan bumi. Kalau Resolusi Kongres Bahasa ke-3 di Johor Baharu antara lain bersemangat menubuhkan Balai Pustaka yang kemudian bertukar nama kepada Dewan Bahasa dan Pustaka tetapi resolusi Kongres ke-7 ini tidak pasti nasibnya. Belum jelas di mana kedudukan resolusi lima (5) perkara yang menyentuh isu kebudayaan, bahasa, sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka serta bangsa Malaysia itu. Masih ada dalam “laci” DBP atau ada cadangan hendak menyerahkannya kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
Siasah dalam edisi 17-30 November 2006, melaporkan “Kongres ini semacam tidak mendapat dorongan daripada kepimpinan UMNO, parti kebangsaan yang mengaku menjadi pejuang bangsa. Bukan itu saja, agensi kerajaan juga seperti malu-malu atau takut untuk melibatkan diri di dalam kongres berkenaan. Keadaan ini berlaku kerana agensi bekenaan yang ditunjangi orang politik bimbang penyertaan mereka akan menjejaskan masa depan politik mereka. Hal ini secara tidak langsung disuarakan oleh Datuk Dr. Abd. Latif Bakar, selaku pengarah Kongres. Beliau melahirkan rasa kesalnya dengan karenah dan birokrasi sesetangah kementerian yang berdlak dalik dalam menjayakan kongres ini.”
Menurut laporan itu lagi Latiff namun berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana membenarkan DBP dijadikan arena kongres. Ini kata Latif seperti yang dilaporkan, kerana bagi mereka yang mengetahui latar belakang penyelenggaraan kongres akan geleng kepala. Latif benr-benar tidak tahu akan latar belakang mengadakan kongres atau pura-pura tidak tahu. Ini kerana rancangan untuk mengadakan Kongres Bahasa ini telah lama dibuat, iaitu sejak awal tahun lagi. Ia adalah sebahagian daripada kegiatan perayaan Jubli Emas DBP. Satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk mempastikan kejayaan kongres. Serang pegawai kanan bahasa DBP ditugaskan untuk menyelaraskan program kongres. Khabarnya pegawai kanan bahasa ini dengan kerjasama Ismail telah berkeliling “negeri” untuk mencanangkannya.. Pertemuan dengan Menteri Besar Johor turut diadakan dan menghasilkan rumusan bahawa kongres diadakan di Johor Bahru, sempena penubuhan DBP di bandaraya itu 50 tahun lalu.
Di mana silapnya rancangan tidak ikut jadual. Ada sesetengah pihak, terutamanya dalam kalangan orang DBP, mengaitkannya dengan tokoh-tokoh tertentu dalam politik. Kegagalan mengikut jadual dikaitkan dengan “percanggahan kepentingan politik” di samping karenah birokrasi di DBP. .Tidak jelas siapa tokoh-tokoh politik yang dimaksudkan, atau dalam bentuk apa karenah birokrasi yang wujud di DBP. Salah satu sumber dari DBP yang boleh dipercayai berkata dua tokoh politik sentral yang dikaitkan dengan penyelenggaraan kongres ini ialah Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri besar Johor, Dato’ Abd. Ghani Othman.
Hal ini dapat difahamkan apabila Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Hj Abdullah sebelum telah diminta oleh Menteri Besar Johor, khabarnya melalui Gapena untuk mengeluarkan satu pernyataan atau komtmen bahawa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 adakan diadakan di Pusat Konvensyen Persada Negeri Johor, bersebelahan Bangunan Kerajaan Bukit Timbalan yang menjadi lokasi pertama pejabat DBP. Menurut ceritanya, pusat konvensyen yang hampir siap itu akan dibuka secara rasmi dengan berlangsungnya kongres berkenaan d an dianggap satu satu penghormatan tertinggi kepada DBP, khususnya bahasa Melayu.
Menurut sumber itu, Johor bersedia memberikan komitmen penuh, terutama yang menyangkut pembiayaan dan kemudahan peserta sepanjang tiga hari kongres. Bagaimanapun, akhirnya komitmen Johor tidak kesampaian kerana DBP telah terpaksa “tunduk” kepada keputusan kementerian yang bertanggungjwab terhadap DBP untuk mengadakan kongres di Kuala Lumpur sahaja. Ada cakap-cakap yang menuduh seorang dua individu di kementerian yang kurang senang dengan komitmen Johor dan kongres patut dan perlu diadakan di Kuala Lumpur, tempat perayaan sentral kegiatan Jubli Emas DBP. Dengan demikian segala usaha promosi DBP dan Gapena dan penglibatan Johor menjadi sia-sia, malah “membazir”. Ini agak bertentangan dengan konsep berhemat yang mahu diamalkan Firdaus.
Karenah birokrasi yang begitu menebal di DBP tidak terkecuali menjejaskan persiapan kongres. Sebagai sebuah agensi separuh kerajaan dan mempunyai kuasa autonomi, DBP amat jarang atau hampir tidak langsung memanfaatkan fungsinya sebagai institusi yang mempunyai kuasa autonomi. Malah terdengar khabar bahwa salah seorang pegawai kanan kini mendadbik dada mendakwa beliau kini mempunyai tiga orang bos, iaitu Menteri Pelajaran sendiri, Pengerusi kepada Lembaga Pengelola DBP dan Ketua Pengarahnya. Maka dikatakan ada yang sedang memantau pergerakannya, bukan oleh Pengerusi atau Ketua Pengarah tetapi oleh seorang yang lain yang gusar dengan gerak langkah yang dilaksanakan pegawai ini.
sekarang ini, bukan menjadi rahsia lagi, apa sahaja keputusan yang mahu dilaksanakan di DBP hendaklah merujuk kepada peruntukan dan peraturan yang termaktub dalam Jabetan Perkhidmatan Awam (JPA). Kalau dahulu keputusan cukup sekadar medapat lampu hijau Lembaga Pengelola yang berfungsi melaksanakan tugas pemantauan pelaksanaan tugas eksekutifnya. Lebih memburukkan lagi keadaan, kini DBP tidak lagi bertanggungjawab langsung (direct) kepada Menteri Pelajaran, tetapi sekadar kepada Tmbalan Menterinya, iaitu Datuk Noh Omar. Fungsi Lembaga Pengelola di bawah pengeurusinya Datuk Johan Jaafar telah menjadi rubber stamp semata-mata. . Maka keliahatanya DBP kini bertaraf sebuah jabatan di bawah timbalan menteri bukan lagi seorang menteri penuh.
Kemudian, pegawai kanan bahasa yang bertanggungjawab mempastikan kejayaan kongres ini dikatakan kurang senang dengan peranan Gapena dalam kongres. Pegawai ini dikatakan berkata “Kalau DBP yang keluar duit mengapa mesti kita serahkan kepada Gapena menguruskan kongres. Sepatutnya kita DBP yang menyelenggarakan sepenuhnya. Seolah-olah ada orang dari Gapena yang hendak ambil kesempatan.” Sentimen begini sepatutnya tidak wujud, terutama dlam kalangan orang DBP, kerana agensi-agensi sukarela dalam bidang bahasa dan perseuratan, terutama Gapena yang mahu puluhan kerabatnya di seluruh Malaysia yang terdiri daripada pejuang dan peminat persuratan adalah rakan kongsi sejati DBP.
Ada seorang sahabat di DBP yang keliru dengan sentimen pegawai kanan bahasa ini. Katanya, “Jika DBP (baca: kerajaan) mahu mengharapkan satu bentuk sinergi dari tokoh-tokoh dan pejuang dan peminat bahasa sentimen memperlekehkan semangat begini perlu dielakkan. Nampaknya sesetengah orang DBP ini tidak peka dengan konsep sinergi dan gerakan massa dalam kegiatan bahasa dan sastera tanah air. Soal bahasa dan persuratan bukan boleh diukur dengan wang dan ringgit.”
Ketika kongres berlangsung, banyak kertas kerja tentang bahasa, satera malah tentang DBP sendiri dibentangkan. Antara pembentang yang masih bertenaga ialah Datuk Dr. Hassan Ahmad, mantan ketua pengarah DBP dan Prof. Dr. Awang Sariyan, mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP. Mereka berdua ini masih “bergigi dan bertaring” dalam bidang bahasa, walaupun dianggap sebagai harimau kertas sahaja. Selain mereka tidak ada tokoh besar dan ternama diketengahkan. Mungkin tokoh-tokoh seperti itu tidak wujud lagi atau telah “malas” berbuat demikan. Maklumlah, siapa peduli dengan isu bahasa dan sastera hari ini. Atau tokoh-tokoh yang namanya menjulang dalam bidang-bidang ini sudah menjadi endangered species. Dan tokoh seperti Datuk A. Samad Said yang perjuangannya dalam bidang ini begitu lama, terutama dalam bidang sastera kini hanya sekadar bertarap “pendeklamator” sahaja. Kehadirannya hanya membaca puisi.
Ada yang bertanya:Bagaimana persoalan bahasa dan sastera selepas kongres ke-7 ini? Dan bagaimana pula dengan resolusi yang dikeluarkan selepas Kongres? Tidak ada jawapan jelas. Para peserta yang hadir dan kemudian pulang mungkin sedang meraba-raba akan apa yang bakal terjadi dengan resolusi kongres. Bagi mereka resolusi kongres akan mengalami nasib yang sama dengan resolusi-resolusi kongres sebelumnya. Seorang peserta kongres membandingkan suasana kongres ke-6 yang diadakan di Tanjung Malim sebelum ini. Katanya, “Kali ini kongres diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasur. Jauh lebih baik berbandingkan yang diadakan di sebuah dewan kecil di Tanung Malim. Tapi saya rasa nilai kesungguhan dan komitmen di Tanjung Malin adalah lebih baik. Semangat Tanjung Malim lebih digeruni kerana kongres diadakan hampir tanpa restu sesiapa-siapa.”
Kesan persidangan? Kata seorang sahabat, Salleh Yusof, namanya, “Kurang.” Salleh. mantan pegawai UKM dan mantan kakiangan DBP, sezaman dengan Usman Awang dan Keris Mas. Salleh ini terkenal dengan semangat kentalnya terhadap bahasa dan masih tidak luntur-luntur sehingga hari ini. Salleh pernah terlibat dalam protes bahasa tahun 1967 yang melahirkan peristiwa “Keranda 152” yang menjunng secara literal keranda di DBP ketika itu. Pejuang bahasa masih belum lupa peranan yang dimainkan Salleh bersama beberapa yang lain seperti Yahya Ismail, Abdullah Abbas, Fadzil Agussalim dan Maarof Saad tentang bahasa Melayu dikatakan sedang terhakis sehingga membuat Tuan Syed Nasir menangis mengenangkan nasib bahasanya.
Salleh berkata, “Kalau bahasa Melayu hendak dimartabatkan, ikut saja cara Indonesia. Jangan banyak retorik. Buat. Lihat jiran kita itu. Presidennya berucap dalam bahasa Indonesia di Pertubuhan bangsa Bersau. Tapi orang kita tak sanggup buat begitu. Kita di Malaysia, semuanya berlumba-lumpa nak cakap bahasa Inggeris. Nahu lintang pukang tak mengapa asal bunyinya Inggeris. Orang pun hormat kita. Inilah mentaliti kita. Kan kau tak tahu?.” Ends.

ANTARA CENDEKIAWAN DAN PERPADUAN

Apabila cendekiawan bincang tentang perpaduan
Oleh: A. F. YASSIN
BELUM pun sampai dua hari setelah sekumpulan tokoh akademik Melayu mengumumkan hendak menganjurkan Persidangan Agenda Melayu dan Perpaduan Kebangsaan pada 21 April akan datang, timbul pula satu kumpulan cerdik pandai Melayu yang bertemu untuk tujuan sama.
Cuma bezanya pertemuan cerdik pandai Melayu ini mahu mengadakan forum Perpaduan Melayu yang kemudian menjadi Kongres Melayu sama seperti Kongres Cendekiawan Melayu yang pernah diadakan beberapa ketika dahulu.
Kumpulan tokoh akademik Melayu itu diketuai Tan Sri Ainuddin Wahid dengan ahli-ahli terasnya Datuk Dr. Zainal Abidin Wahid, Datuk Hassan Ibrahim dan Datuk Abu Bakar Hamid.
Sementara kumpulan yang mendesak diadakan Kongres Melayu terdiri daripada tiga Tan Sri, 10 Datuk dan sejumlah ahli akademik dan tokoh budaya yang juga prihatin terhadap keadaan orang Melayu hari ini.
Kumpulan yang terdiri daripada 30 orang ini bertemu pada hujung minggu lalu di Rumah Gapena dalam satu sumbang saran mencari jalan bagaimana sebaiknya kemelut orang Melayu dapat diselesaikan. Antara yang hadir Tan Sri Ghazali Shafie, Tan Sri Awang Had Salleh, Tan Sri Ismail Hussein, Datuk Mohd Noor Yusof (M. Noor Azam), Datuk Wan Hashim Wan Teh yang membentangkan kertas kerja, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), Datuk Ishak Harun, Datuk Hashim Yaakob dan Datuk Jins Shamsuddin. Kassim Ahmad yang dijangka mengemukakan kertas pendek untuk dijadikan dasar perbincangan bersama Wan Hashim berhalangan untuk hadir.
Kumpulan ini berbincang dengan dipengerusikan oleh Awang Had dan tertumpu kepada tiga pandangan yang disuarakan oleh Noor Azam, Wan Hashim dan Ghazali.
Ghazali meminta hadirin hati-hati apabila menyentuh Perlembagaan tentang Bahasa Melayu, Orang Melayu, Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Agama Islam. "Semua itu sudah termaktub dan tidak perlu dipersoalkan lagi," katanya.
Kemelut politik orang Melayu semakin sudah sampai ke tahap apa yang disebut Ishak sebagai isu survival bangsa. "Kita bukan lagi bercerita tentang masalah perpaduan Melayu di sini, tetapi kelangsungan hidup," katanya.
Kalau kumpulan tokoh akademik sepakat mengadakan Persidangan Agenda Melayu dengan pelan tindakan kecermelangan Melayu, kumpulan Tan Sri dan Datuk ini pula sepakat untuk mengadakan Kongres Melayu. Dan sebelum kongres diadakan satu pertemuan prakongres dirancang untuk menemui Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO dan Datuk Fadzil Noor, Presiden Pas. Pertemuan yang berasingan ini akan didakan secara tertutup dengan matlamat mencari sebanyak maklum balas yang mungkin bagi persediaan kongres.
Cadangan ini dikemukakan oleh Noor Azam sendiri dan dipersetujui oleh Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah.
Pertemuan malam itu dimulakan dengan Wan Hashim mengemukakan cadangan melalui kertas kerja sehelainya. Wan Hashim mencadangkan satu forum sehari mengenai Perpaduan Melayu diadakan, dengan tiga alasan.
Pertama, bangsa Melayu sekali lagi menghadapi pelbagai cabaran kecil dan besar terutamanya cabaran perpecahan di kalangan orang Melayu yang menyentuh isu-isu pokok seperti Hak Istimewa Orang Melayu, Kedudukan Agama Islam, Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan dalam Perlembagaan Malaysia.
Kedua, memorandum tuntutan masyarakat Cina melalui Suqiu yang menyentuh perkara-perkara di atas tidak harus dipandang ringan.
Menurut Wan Hashim pemimpin serta masyarakat Melayu keseluruhannya perlu mempunyai suara yang satu dalam menghadapi cabaran ini.
Dan ketiga, memandangkan kemungkinan pertemuan dua parti Melayu terbesar UMNO dan Pas tidak akan menjadi kenyataan, maka bagi Wan Hashim, "adalah dirasakan badan-badan bukan kerajaan yang prihatin terhadap kepentingan Melayu perlu bertemu untuk membahaskan dan akhirnya membuat rumusan mengenai empat perkara yang berkaitan langsung dengan kepentingan Melayu yang merupakan perkara asas kepada pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Alasan ini hampir serupa dengan alasan yang diberikan oleh kumpulan Ainuddin. Malah cadangan untuk mempertemukan persatuan yang bukan kerajaan dalam Persidangan Agenda Melayu adalah sama dengan kongres yang dicadangkan kumpulan Awang Had ini. Maka, secara tidak langsung sekarang ada dua kumpulan yang mahu bertindak dalam satu masa. Apakah tidak mungkin dua kumpulan ini menyelaraskan sahaja agenda mereka untuk mengelakkan timbulnya anggapan bahawa gejala perpecahan Melayu sudah menular pula di kalangan cerdik pandai dan tokoh-tokoh bukan politik Melayu. Pun, persatuan-persatuan bukan kerajaan yang hadir di kedua-dua persidangan itu terdiri dari kumpulan yang sama juga. Bagaimanapun, dalam hal ini kumpulan Ainuddin kelihatan setapak lebih maju kerana telah menentukan tarikh persidangan, iaitu pada 21 April selama dua hari.
Manakala kumpulan Awang Had baru mahu menentukan pertemuan dengan Dr. Mahathir dan Fadzil dan jumlah anggota perwakilan ke pertemuan itu.
Yang menariknya, bagaimana kongres akan diadakan nanti akan banyak bergantung kepada hasil pertemuan tertutup dengan Dr. Mahathir dan Fadzil. Mungkin sahaja atas alasan-alasan yang rasional yang diberikan kedua-dua pemimpin itu satu kongres tidak perlu lagi diadakan.
Maka tinggallah kelompok Ainuddin dengan resipi Agenda Melayunya. Kemudian apakah persatuan-persatuan bukan kerajaan yang telah menghadiri Persidangan Agenda Melayu akan sekali lagi menghadiri kongres yang dipelopori kelompok Awang Had. Inilah senarionya.
Kebersamaan dalam perjuangan dua kumpulan yang mahu membincangkan kedudukan Melayu hari ini dianggotai oleh orang bergelar dan telah menabur sumbangan besar kepada pelbagai bidang, seperti pendidikan, ekonomi dan lain-lain.
Kebanyakan pemimpin dua kelompok ini tidak lagi berada "hampir" dengan kuasa, atau sudah lama meninggalkan kuasa sebagai pelaksana dasar, walaupun tidak dinafikan pengaruh di kalangan masyarakat Melayu masih ada.
Dan sememangnya bagus mereka prihatin terhadap nasib orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam yang semakin tercabar baik dari luar orang Melayu sndiri, lebih-lebih lagi dari dalaman.
Bagaimanapun sejauh mana mereka dapat menggerakkan orang ramai agar sama-sama bersatu mewujudkan perpaduan demi kelangsungan hidup Melayu masih boleh dipersoalkan. Contohnya, satu kumpulan tidak tahu tentang kegiatan kumpulan yang lain, cuma melalui berita akhbar adalah bukti nyata tentang keberkesanan pergerakan mereka.
Seorang peserta pertemuan di rumah Gapena bertanya setelah selesai pertemuan, apa sudah jadi dengan pertemuan demi pertemuan yang telah diadakan dari semasa ke semasa oleh pelbagai kumpulan Melayu tentang keadaan orang Melayu sejak tahun 1960-an lagi?
Misalnya, pernah satu ketika yang belum lama, ada satu pertemuan tertutup di kalangan tokoh politik, ekonomi dan budaya Melayu pilihan yang dipengerusikan oleh Datuk Mustapa Mohammed. Pertemuan itu khas membincangkan kedudukan orang Melayu. Sekumpulan tokoh akademik yang dipimpin oleh Firdaus ditugaskan untuk menyiapkan satu laporan tentang kedudukan orang Melayu untuk dibentangkan.
Sayangnya dalam pertemuan itu laporan belum dapat disiapkan maka ia tidak dapat dibincangkan. Kemudian ada pula Kongres Cendekiawan Melayu yang pernah diadakan. Kurang pasti apa lanjutan daripada kongres itu.
Katanya, "Sepatutnya kita adakan kongres dahulu. Hasil daripada kongres kita serahkan kepada Dr. Mahathir dan Fadzil. Kalau sudah jumpa dua pemimpin itu, kita tidak payahlah berkongres lagi. Siap sahaja laporan dan serah memorandum," katanya.
Hassan lebih praktikal dalam membuat cadangan. Dia mahukan pertemuan "malam ini terus memutuskan apa tindakan yang patut kita ambil. Tidak perlulah kita bincangkan tentang perpecahan Melayu. Kita dah tahu semuanya. Kalau hendak bincang empat hari tidak habis."
Tafsiran pandangan Hassan ini daripada sudut yang lebih luas ialah tidak perlulah kita buat cadangan demi cadangan. Yang penting bertindak sekarang dan jangan terlalu akademis cara kita bertindak demi survival orang Melayu.
Dalam hal ini menarik juga dikaitkan dengan amaran Mustapa, Ketua Penerangan UMNO Malaysia bahawa ``Orang Melayu di negara ini akan mengalami nasib yang sama seperti orang Melayu di Singapura jika mereka memberi peluang kepada parti pembangkang memegang tampuk pemerintahan negara''.
Walaupun ini cuma cakap politik tetapi apakah semua cakap politik itu tidak ada yang mendekati kebenarannya? Apapun jua perkembangan selanjutnya menarik ditunggu untuk kumpulan Awang Had ini. Satu jawatankuasa telah dibentuk untuk menyelaraskan tindakan yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Awang Had dan Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein. Lain-lain anggotanya ialah Noor Azam, Firdaus, Wan Hashim dan Baha Zain.

APA KHABAR MELAYU SINGAPURA?


Tim jejak Bahasa yang membuat penggambaran di Singapura tidak berapa lama dahulu. Kelihatan Yusnor Ef (No. 4 dari kiri)selepas majlis temu bual bersamanya. Turut sama ditemu bual Kassim Masdor (No. 3 dari kanan).Haji Djamal Tukimin (No.4 dari kanan) adalah pemandu Tim Jejak Bahasa di pulau republik itu.

MELIHAT MELAYU DI SINGAPURA
Oleh A.F.Yassin

Menaiki komuter MRT di Singapura membawa kenangan menarik, terutama melihat suasana sekitaran dari Stesen Buono Vista di barat Singapura menuju Stesen Pasir Ris di sebelah timur. Perjalanan memakan masa kira-kira 45 minit. Koc penuh sesak dengan penumpang.

Ketika kereta api berhenti sejenak di Stesen Paya Lebar, penulis melihat semula Perkampungan Melayu, kira-kira 200 meter di sebelah kanan dan berhampiran dengan "pasar makan" Geylang Serai. Kompleks Perkampungan Melayu itu memang menarik kerana reka bentuk keMelayuannya. Ada pelbagai jualan di kompleks itu, termasuk sebuah restoran makanan laut, gerai makan Melayu dan gerai hasil kraftangan orang Melayu. Di kompleks itulah malam sebelumnya saya menikmati hidangan Melayu sambil menonton peraduan menyanyi karaoke sempena mengutip derma untuk pembinaan sebuah masjid. Nyanyian karaoke oleh para peserta yang kebanyakan terdiri daripada pasangan suami isteri mengingatkan saya kepada zaman kegemilangan Jalan Ampas tahun 1950an dan Pop Yeye tahun 1960an. Hampir semua lagu yang dibawakan adalah lagu-lagu dari filem-filem P. Ramlee dan lagu-lagu tahun 1960an. Difahamkan kompleks itu didirikan dan dimiliki oleh orang bukan Melayu.


Kecuali kompleks itu tidak ada lagi bangunan bercirikan Melayu yang dibina di sekitarnya. Dulu satu waktu, kawasan Geylang ini dipenuhi rumah-rumah bentuk Melayu sehinggalah ke Pasir Ris. Kini ia dipenuhi bangunan rumah pangsa puluhan tingkat yang memagari sepanjang jalan MRT. Penduduknya tidak lagi majoriti Melayu tetapi telah dibaurkan sehingga menjadi percampuran pelbagai sukubangsa - Cina, Melayu dan India.

Ketika keluar dari Stesen Pasir Ris, penulis terkenal Singapura Jamal Tukimin menujukkan jari telunjuknya ke arah timur. Katanya, "Dulu tempat itu adalah perkampungan Melayu. Di situ juga lokasi penggambaran siri filem Bujang Lapuk. Sekarang hanya rumah pangsa dan taman." Dan di sebuah restoran stesen itu kami melihat sekumpulan anak muda lelaki perempuan sedang asyik bersembang. Mereka berpakaian fesyen terkini, yang lelaki berseluar pendek dan yang perempuan berseluar panjang. Seorang daripada mereka duduk di kerusi roda.

Pada mulanya kami menyangka mereka daripada keturunan Cina kerena wajah mereka saling tgak tumpah keturunan itu. Tetapi setelah mendengar mereka bercakap, barulah saya sedari bahawa mereka anak muda Melayu. Nampaknya semakin hari semakin sukar untuk mengenali keturunan anak-anak muda Singapura melalui wajah dan perawakan. Jamal sendiri pun kata begitu. Malah dia sendiri kini mempunyai ahli keluarga yang wajahnya tidak lagi sepenuhnya Melayu atau Jawa. Menurutnya, dia punya menantu dari keturunan India dan kalau tidak ada haral melintang pada tahun depan dia bakal mempunyai menantu dari keturunan Cina pula.

Oleh kerana hari hampir maghrib, Jamal membawa kami ke mesjid terdekat. Kata Jamal mesjid Pasir Ris yang kami kunjungi itu baru sebulan setengah dibuka dan ia dibina hasil titik peluh penduduk, tanpa bantuan satu sen pun daripada kerajaan. Sebagai anak Melayu, kata Jamal, penduduk berasa bangga kerana "kita tidak mengemis." Kerajaan hanya membantu dari sudut pengurusan kewangan, iaitu dengan "membuat pemotongan gaji."

Statistik tahun 1990 menunjukkan penduduk Melayu Singapura berjumlah kira-kira 400,000 ribu orang, termasuk kira-kira 17,000 orang Islam bukan Melayu. Penduduk Melayu Singapura terdiri daripada keturunan Melayu (261,200 orang), keturunan Jawa (65,600 orang), keturunan Boyan (43,200 orang), keturunan Bugis (1,500 orang) dan keturunan suku Melayu lainnya (11,200 orang). Jumlah penduduk Singapura seluruhnya ialah 2.7 juta orang. Orang Melayu merupakan golongan majoriti dalam kumpulan minoriti, iaitu kira-kira 15% daripada keseluruhan jumlah penduduk. Menurut Jamal Melayu Singapura telah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan suasana dan mereka telah mampu bersaing dengan masyarakat-masyarakt lain, terutama masyarakat Cina dalam semua bidang, pendidikan khasnya. Mereka tidak lagi rasa tersisih atau rendah diri.

Yang menarik ialah wajah kosmopolitan orang Melayu ini baik lahiriah mahupun batiniah, lebih-lebih lagi batiniah. Hj Mohamad Arif Ahmad, dalam kertas kerjanya "Kebudayaan Melayu Kini Dalam Kehidupan Di Singapura" yang dibentangkan dalam Kongres Nilam pada tahun 1999 merumuskan bahawa "Cara hidup baru demikian itu, lama kelamaan telah mengubah kehidupan orang Melayu dini yang sentiasa berkita, menjadi orang Melayu kini yang hidup beraku dan berengkau, yakni yang lu sapa-gua sapa. Semangat kekitaan hampir pudar."

Kata Mohamad Arif, "Oleh kerana 86% jiran di rumah pangsa terdiri daripada mereka yang bukan beragama Islam, maka jarang-jaranglah orang Melayu berpeluang mengucapkan assalamualaikum kepada jirannya. Mereka lebih kerap kali mengucapkan good morning kepada jirannya. Kadang-kdang chau-an atau sekali-sekala manekem. Itu pun hanya sekali dua mereka bersapaan dalam sehari, ketika kebetulan mereka bertemu di dalam lif atau masa hendak pergi atau pulang kerja.

Dari sudut kebudayaan, orang Melayu menghayati kebudayaan kebangsaan sebagai rakyat Singapura dan dalam pada itu menghayati dan mengamalkan pula kebudayaan warisan sebagai orang Melayu. Mohamad Arif mengertikan kebudyaan kebangsaan sebagai kebudayaan yang tercipta sesuai dengan kehendak dan kepentingan negara - sama ada yang tercipta hasil dari rasa, karsa dan daya masyarakat Singapura ataupun yang terbentuk dari asimilasi/akulturasi budaya warisan bangsa-bangsa warganegara. Manakala dia mengertikan kebudayaan warisan sebagai kebudayaan yang terwaris daripada nenek moyang, yang telah dihayati zaman berzaman. Demikianlah amalan dan penghayatan orang Melayu terhadap kebudayaan. Hal ini mudah difahami kerana asas-asas persekitaran dan demografi yang telah dirancang sejak sekian tahun oleh pihak berkuasa.

"Sebagai golongan majoriti dalam miniroti, kami anggap ini jalan keluar paling baik untuk kehidupan langsung orang Melayu di pulau ini," kata seorang peserta Kongres Nilam (Nilai Melayu). "Yang penting sekarang ialah mencari jalan bagaimana jati diri orang Melayu terus kekal dan mencari satu formula yang boleh menonjolkan eniti keMelayuan itu sendiri."

Membaca kertas kerja Muhammad Arif, yang pertama kali dibentangkan di "Simposium Jalinan Melayu Antarabangsa", di Holiday Inn Shah Alam April 1996 yang lalu, mengingatkan saya kepada kehidupan orang Melayu di Cape Town, Afrika Selatan. Ingatan itu diperkuatkan lagi oleh tingkah laku sekumpulan anak-anak muda Melayu di Stesen Pasir Ris. Di Cape Town, identiti Melayu yang tingal hanya nama warisan. Kaum Melayu di Cape Town tidak dapat menegaelak daripada bersemenda dan berkahwin secara saling-silang ras dengan suku-suku bangsa lain, seperti Arab dan India. Dan akhirnya bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa ibunda (bahasa pertama). Bahasa Melayu sudah menjadi asing, malah tidak dituturkan langsung baik sesama ahli keluarga mahu pun sesama kawan dan anggota masyarakat.

Orang Melayu Singapura belum sampai ke tahap itu dan menurut seorang peserta agak mustahil untuk sampai ke tahap begitu, namun disebabkan keghaiarahan suku bangsa ini untuk saling bersaing dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu demi mengejar kemajuan akan memungkinkan berubahnya senario budaya Melayu Singapura menjadi seperti yang di Cape Town. Di Majlis Pusat, Institut Kebangsaan bagi Kepimpinan Masyarakat (NACLI), tidak ada sepatah pun bahasa Melayu digunakan di papan-papan tanda arah. Anak-anak muda yang duduk di sebalah kami itu juga lebih banyak bersembang dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Pakaian yang mambalut tubuh yang tidak lagi sawo matang ittu tidak lagi menampakkan ciri keMelayuan.

Sebelum meninggalkan Singapura Ahadnya, saya mampir di Istana Kampong Glam di Sultan Gate. Seluruh kawasan istana telah menjadi hakmilik negara (state property), mulai 18 September 1999. Satu papan tanda tentang perkara itu diletakkan di depan istana dan kawasan itu telah menjadi kawasan larangan. Namun masih terdapat 11 keluarga waris Sultan Hussein Shah tinggal di dalam pekarangan istana dan pemerintah menganggapnya sebagai setinggan. Pada 29 September, ahli-ahli waris ini telah disaman untuk hadir di mahkamah bagi menjawab mengapa mereka menduduki tanah hakmilik negara secara haram.

Difahamkan bahawa ahli-ahli waris seperti Tengku Yusoff b T. Abd Samad dan isteri Raja Khatijah Bt Raja Saad serta Raja abu Bakar b. Raja Abd Rahman telah mngiriman surat kepada Queen Elizabeth II di London meminta jasa baik baginda menyelesaikan masalah istana ini. Pada 15 September 1999 mereka menerima jawapan dari ratu Inggeris itu yang antara lain berkata bahawa agak mustahil bagi baginda masuk campur dalam hal-ehwal negara lain. Namun Baginda telah memanjangkan surat itu kepada Robin Cook, Setiausaha Luar dan Hal-Ehwal Komonwel untuk tindakan selanjutnya. Surat jawapan Ratu Inggeris itu dialamatkan kepada Tengku Mohamad B Tengku Jamil.

Keadaan hidup serba dhaif ahli-ahli waris Sultan Hussein di pekarangan istana adalah refleksi kisah sejarah bermulanya Sultan Hussein diangkat menjadi Sultan Johor ke-16 oleh penjajah Inggeris pada tahun 1819. Hari ini saki baki waris sultan itu mula bertaburan, sesetengahnya telah meninggalkan pulau republik itu buat selama-lamanya, menumpang ehsan di rumah kerabat di Johor, terutama di Batu Pahat. Istana Kampong Gelam pula ibarat sarang setinggan di tengah-tengah kota kosmopolitan yang corak pembangunan fizikalnya tidak ubah seperti kota London atau Cape Town.

PALEMBANG - MEDAN LEWAT HANG NADIM


Lapangan terbang Hang Nadim di Pulau Batam

PALEMBANG –MEDAN MELALUI HANG NADIM
Oleh A.F.Yassin

Penerbangan dari Palembang ke Medan memakan masa hampir empat jam. Padahal ia boleh dipendekkan kepada sejam setengah. Sebabnya, jalur penerbangan Palembang-Medan dengan Merpati Airlines perlu transit di Batam dan Pekan Baru. Pesawat berhenti 40 minit di Batam dan 45 minit lagi di Pekan Baru. Ambil penumpang dan turunkan penumpang. Dan cuma satu penerbangan yang ada setiap hari dan harus pula mengikuti laluan demikian.

Ada peserta rombongan Jejak Bahasa DBP-TV3 yang merungut. Bukan kerana lamanya berada di udara, tetapi kerana hidangan semasa dalam penerbangan. Penumpang hanya diberikan sepotong dua kuih dan roti dengan segelas air kopi atau teh. Ertinya tiga kali turun naik pesawat maka tiga kali pula penumpang dihidangkan kuih dan air. Maka sejak pukul 11.00 pagi ketika mula bertolak dari Palembang Khamis 23 November lalu, hiungga pukul 4.30 petang apabila sampai di hotel di Medan peserta rombongan belum menyentuh nasi. Jadi sebaik sahaja check-in di Hotel Dharma Deli, Medan kebanyakan peserta telah hilang mencari kedai makan.

Ketika lepas landas di Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam, ada yang asyik melihat ke luar pesawat. Di bawah sana Singapura dan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pontian bagaikan menggamit mereka untuk pulang. Telah hampir sebulan rombongan mengadakan ekspedisi penggambaran. Hati berdetak mahu pulang ke pangkuan keluarga. Namun apakah daya, masih ada Medan untuk diliputi. Ada yang tidak sabar-sabar lagi mahu menghadapi hidangan masakan isteri, emak atau kakak. Manakala masakan padang sudah menjadi satu phobia pula kepada kebanyakan anggota rombongan akibat terkena cirit-birit sebelumnya.

Lapangan terbang Hang Nadim, Batam dua kali menyambut rombongan. Pertama ketika waktu rombongan singgah sebentar dalam perjalanan dari Pekan Baru ke Palembang pada 21 November lalu. Kedua kalinya, ketika ke Medan dari Palembang. Sebelumnya pada 1 November rombongan terbang ke Jakarta melalui Lapangan Terbang Hang Nadim juga, setelah lima hari berada di Tanjung Pinang dan Lingga. Seperti layaknya lapangan terbang itu tiada hentinya menyambut mesra kedatangan kami, walaupun hanya singgah sebentar.

Hang Nadim tokoh besar sejarah. Tokoh ini terkenal dengan penentangannya terhadap penjajah Portugis ketika Sultan Melaka mula berundur ke Bentan dan Kampar. Tokoh yang kemudian meninggal di Bentan itu punya sejarah yang berkait erat dengan kesultanan Melaka yang menjadi pelarian setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis. Dan tokoh Hang Nadim, seorang laksamana, dikaitkan pula dengan petualangan Sang Nila Utama dan kebesaran Demang Lebar Daun, dan ketenaran Sang Sapurba di Bukit Siguntang di Palembang.

Selama dua hari meninjau tempat sejarah dan tinggalan tamadun Melayu, Palembang menjanjikan beberapa objek penggambaran yang menarik. Bukit Siguntang, beberapa kilometer dari pusat bandar Palembang telah dirawat-pulihkan sebagai situs budaya dan sejarah. Dari atas bukit kelihatan bandar Palembang yang menyebar dengan jambatan Amperanya melintangi Sungai Musi yang membelah dua bandar itu. Situs peninggalan kerajaan Sriwijaya turut mewarnai wajah Palembang dari sudut sejarah purbanya. Ceritanya dari Sriwijaya ini, lahir Parameswara yang kemudian menjadi sultan Melaka yang pertama.

Raja Hamzah dari Pulau Penyengat menganggap Palembang tempat lahirnya bahasa Melayu dalam huruf pelawa. Kedukan Bukit,Kota Kapur dan Karang Berahi adalah di antara beberapa peninggalan yang dikaitkan dengan bahasa Melayu ini. Hari ini Palembang menggunakan bahasa Melayu Palembang atau Baso Palembang. Penutur bahasa ini berjumlah kira-kira 6.5 juta orang. Bahasa Palembang ini terbahagi kepada dua, iaitu bahasa Palembang Alus dan bahasa palembang Sari-sari.

Wujudnya dua kelompok bahasa ini disebabkan Palembang pernah diperintah oleh kerajaan Majapahit, Demak dan Pajang. Kesemua kerjaan ini meruapakan kerajaan Jawa yang berpusat di Jawa Timur dan Jawa Tengah. Kosa Kata bahasa Melayu Palembang ini banyak dipengaruhi oleh bahasa Jawa, khususnya bahasa Palembang Alus. Maka tidak menghairankan apabila ramai orang Palembang berbahasa Melayu dengan loghat Jawa.

Oleh kerana kesuntukan masa, maka kunjungan ke Palembang hanya bersifat meninjau lokasi. Penggambaran akan diadakan selepas bulan puasa, bersamaan dengan penggambaran di pekan bersejarah Siak dan Kampar Tua (Pelalawan) di Provinsi Riau. Ada sejarah Raja kechil yang dikatakan anak Sultan Mahmud Mangkat di Julang yang menjadi raja di Siak manakala ada pula sejarah Sultan Mahmud Shah, sultan Melaka terakhir bersama permaisuri baginda Tun Fatimah di Pelalawan. Othman Ismail, ketua rombongan akan mengusahakan agar penggambaran di lokasi-lokasi ini dibuat secepat mungkin berdasarkan kepentingannya dari sudut jejak-jejak bahasa.

Di Medan pula, perantara rombongan Prof. Haji A. Samin Siregar, Ketua Pusat Pengajian Malaysia di Universiti Sumatera Utara telah menyenaraikan lokasi yang dianggap sesuai dengan penggambaran. Menurutnya yang perlu diberikan keutamaan ialah kehadiran empat jenis dialek bahasa Melayu yang dituturkan di Sumatera Utara. Dialek-dialek itu ialah bahasa Melayu dialek Langkat, bahasa Melayu dialek Deli, Bahasa Melayu dialek Asahan dan bahasa Melayu dialek Serdang. Walaupun perbezaan dalam dialek itu sedikit sangat namun ia tetap menjadi semacam kelainan yang menjurus kepada pembentukan identiti kelompok.

Samin menyarankan agar makam penyair sufi Amir Hamzah yang terkenal sengan sajak “Nyanyi Sunyi” di kunjungi dan dijadikan objek penggambaran. Makam itu terletak di Tanjung Pura di Kabupaten Langkat berhampiran dengan Masjid Azizi. Dan dua tokoh budayawan terkenal yang perlu diminta pandangannya berhubung jejak bahasa ini ialah Tengku Lukman Sinar (budayawan) dan Dr. Tengku Amin Ridwan (ahli bahasa) di samping Samin Siregar sendiri sebagai sasterawan.

Oleh kerana banyaknya unsur dan lokasi penggambaran maka timbul pula masalah kesuntukan masa. Rombongan hanya punya empat hari di Medan, sedangkan penggambaran sesuatu lokasi itu memakan masa setengah hari. Kru TV3 telah memutuskan bahawa penggambaran tidak akan diadakan pada bulan puasa. Jika puasa bermula pada 27 November maka penggambaran akan berhenti sehari sebelumnya. Sedangkan menurut Othman penggambaran perlu dijalankan di lokasi Langkat, Deli, Asahan dan Serdang di samping di tengah-tengah kota Medan sendiri. Kemudian ada pula penggambaran di Universiti Sumatera Utara. Sebuah doku-drama perkuliahan pasca sarjana akan dilakonkan.

Tanpa cukup waktu penerbit TV3 Zailan Abd Rahman sedikit keberatan untuk membuat penggambaran di kempat-empat lokasi berdasarkan dialek itu. Zailan lebih cenderung untuk ke lokasi Langkat sahaja tempat bersemadinya Amir Hamzah. Sikapnya ini sedikit bercanggah dengan apa yang diinginkan ketua projek, Othman, penyelidik lapangan dan Samin Siregar. Sikap penerbit ini mengingatkan saya kepada sikapnya yang tidak begitu berminat untuk mengadakan penggambaran di Pelalawan yang menurut sejarahwan Riau, Tengku Nasruddin Affandi (Pak Tenas) sebagai penting, jika mahu dilihat daripada sudut perkembangan bahasa istana.

Menurut Pak Tenas, Pelalawan atau Kampar tua tempat perlindungan Sultan terakhir Melaka. Baginda membawa bersamanya segala kebesaran istana lengkap dengan bahasanya sendiri. Bahasa Melayu di Pelalawan ini masih kuat dipengaruhi oleh bahasa Istana Melaka dan kemudian bahasa Istana Johor Riau. Kata Pak Tenas sehingga hari ini penduduk di sekitar Pelalawan masih kuat berpegang kepada adat dan tutur kata orang Johor.

Yang bagusnya, oleh kerana Pelalawan itu jauh terpencil dan belum begitu menerima unsur dan budaya luar maka, kehidupan bermasyarakatnya tidak banyak mengalami perubahan. Kata Pak Tenas, “Apa yang ada di sana tidak banyak berubah sejak dahulu kala lagi.” Apapun jua, Pak Tenas tidak pula memaksa agar rombongan mengadakan penggambaran di Pelalawan. Barangkali Pak Tenas memikirkan tentang jarak Pelalawan dengan Pekan Baru yang begitu jauh. Atau Pak Tenas lebih dari faham akan kesuntukan masa yang dihadapi rombongan.

Sepanjang perbincangan Pak Tenas menggunakan bahasa Melayu Johor. Tidak sepatah pun kata-katanya yang berloghat Indonesia. “Saya orang Melayu dan saya bercakap Melayu. Ini bahasa nenek moyang saya,” katanya. Dan sejak saya mulai kenal Pak Tenas lima tahun dahulu tidak pernah sekali dia bertutur dengan sebut bahasa indonesia. Sikapnya itu samalah halnya dengan Raja Hamzah Yunus di Pulau penyengat. Riau Kepulauan. Ramah mesra Pak Tenas sukar dilupakan lebih-lebih lagi apabila beliau sekeluarga menjamu rombongan dengan pulut durian bersantan.

“Bagaimana Othman?” tanya saya sebelum mesyuarat pra-penggambaran di Medan itu ditangguhkan.
“Kita lakukan seperlunya. Kalau tak boleh nak shooting di bulan puasa tal payahlah buat. Saya kecil-kecil dulu panjat pokok kelapa dan pikul buah kelapa dalam bulan puasa, tapi saya puasa juga,” jawabnya.

Saya kurang pasti mengapa Othman menjawab begitu. Barangkali beliau mahu memberi perangsang kepada anggota rombongan, terutama kru TV3. Sebabnya, menurut rancangan penggambaran akan diteruskan pada 27 November. Jika puasa jatuh pada hari itu, makan penggambaran akan dihentikan sehari sebelumnya. Sebenarnya anggota rombongan sudah keletihan dan “overdose” setelah berada di lapangan hampir sebulan tanpa rehat. Melihat Singapura dari selatan Semenanjung dari udara ketika dalam perjalanan dari Batam ke Pekan Baru dan Medan siangnya semakin membuatkan jiwa mereka semakin terpaut kepada sanak keluarga tersayang di tanah air.

Medan, 24 November 2000.

Friday 16 May 2008

ANTARA PENA DAN GAPENA: MASIH ADAKAH JALINAN RASA?


Pimpinan PENA dari kiri Dato' Baha Zain, Dato' Ahmad Sebi dan A. Ghani Abdullah (Setiausaha Agung).


Bekas Pengeusi PENA, Dato' Prof. Firdaus Abdullah (kiri) dan Setiausaha Kerja GAPENA, Sdr. Aziz Ali berbincang sesuatu di PERSADA Johor Bahru, 4 Mei 2008.

CATATAN AFYASSIN
Melihat kerjasama antara Pena dengan Gapena

Sutong Umar RS dalam kolumnya di sebuah akhbar tempatan Ahad lalu bertanya khabar kepada Gapena dan Istana Budaya. Tanya khabar Sutong itu ada makna, kata seorang ahli Pena seumur hidup yang ditemui secara kebetulan Selasa lalu di Kuala Lumpur. Sutong mahu tahu tentang perkembangan kegiatan di kedu-dua badan seni itu. Konon ceritanya Gapena mahu terbitkan hasil ratib puisi yang diadakan beberapa tahun dulu. Janji Gapena sebuah buku hasil deklamasi malam itu akan diterbitkan. Nyatanya sehingga hari ini sepi tanpa berita. Menurut Sutong, Zainal Abidin Borhan, salah seorang tenaga utama Gapena salahkan penulis sendiri kerana tidak hantar manuskrip.

Tentang kegiatan di Istana Budaya pula, bangunan indah itu hanya menunggu manusia seni untuk menyewanya. Pihak pengurusan Istana Budaya tidak lagi membuat pementasan. Barangkali memang sudah itu tujuan Istana Budaya dibangunkan, iaitu untuk disewakan seperti halnya Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC). Maka jadilah Istana Budaya salah sebuah dewan yang menunggu penyewaan dari luar.

Bagus juga Sutong bertanya. Dan sememang pun tugas Sutong, sebagai seorang penggiat seni (minatnya kini bergiat dalam seni arca) bertanya begitu. Paling-paling ia mengingatkan pihak-pihak yang telah membuat janji untuk memenuhi janji. Atau Sutong sekadar mahu memancing dan membuat provokasi. Namun, walau apa motif Sutong bertanya begitu, baik Gapena mahupun Istana Budaya, mungkin perlu akur betapa sukarnya mengisi “janji” yang kalau tidak akan tinggal hanya jamji.

Seperti kata ahli Pena seumur hidup itu, “Kalau mahu jadi penerbit, walau hanya sebuah buku puisi, Gapena hendaklah bekerja dan berfikir sebagai penerbit. Tahulah perangai penulis yang biasanya liat mengirim apa sahaja, waima karyanya untuk diterbitkan. Kecualilah yang dikirimkan itu membawa banyak duit. Kita akui sajalah. Sekarang bukan musim penulis sekadar mahu melihat hasil karyanya dibukukan secara gratis. Mesti ada ekornya.”

Menurutnya lagi, sepatutnya Gapena dapatkan manuskrip bukan sekadar menunggu manuskrip datang. Kalau “duk tunggu saja sampai kiamatlah nampaknya.” Nada suara dan gerak tangannya menunujukkan dia tidak senang dengan cara bekerja Gapena. Apabila disebut Pena pun semacam dua kali lima juga, tidak ada buku yang diterbitkan sedangkan ia mempunya Akademi Penulis satu ketika, dia membesarkan matanya sambil berkata, “Kita ada kegiatan setiap bulan. Acara baca puisi.” Maksudnya, kegiatan bulanan baca puisi pada Jumaat malam minggu pertana setiap bulan dan juga acara di beberapa buah negeri.

Kalau hanya acara baca puisi, itu tidak menunjukkan kegiatan yang membangun minda intelek. Dalam bilik air pun orang boleh baca puisi. Sendiri-sendiri lagi. Saya cuba pancing reaksinya. Jawabnya, “Itulah you. Dahlah tak pernah datang beri sokongan, ini you nak cuba naikkan darah penyair. Aku pun naik bengang dibuatnya.”

Apabila saya kata saya hanya bercanda, dia terus menekan, “Ada masanya kita boleh bergurau, tetapi dalam hal kegiatan seni puisi tidak ada apa yang patut diguraukan. Saya cadangkan you datanglah sesekali melihat bagaimana acara itu diadakan. Kalau hanya mengkritik tapi tak pernah datang ke majlis itu kurang adil, malah tidak adil langsung.”

Apapun jua, ahli Pena itu semakin musykil dengan kelewatan usahasama Gapena dan Pena menganjurkan Kongres Kebudayaan yang dicadangkan dalam mesyuarat Agung Pena akhir tahun 2004 yang lalu. Khabarnya Gapena sedang rancak membuat program Kongres untuk penulis-penulis muda. Tidak ada pula berita tentang perkembangan terbaru mengenai penganjuran Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Atau penganjurannya telah disub-kontrak kepada badan lain.

Cadangan menganjurkan kongres ini timbul apabila seorang penulis berpengaruh menulis dalam media mencadangkan supaya semua karya sastera dalam bahasa selain bahasa Melayu turut diiktiraf sebagai karya sastera Malaysia. Gapena nampaknya kurang senang dengan cadangan ini . Malah beberapa penulis melihat tulisan ini tidak lebih daripada hanya pandangan peribadi. Suara-suara keras membangkang canangan penulis itu bergema dalam satu pertemuan di Kuantan tidak lama selepas itu.

Di mana silapnya sehingga sekarang kongres berkenaan tidak dapat dianjurkan. Atau Gapena sedang merancang dalam senyap dan sedang berjalan lancar. Tanpa perlu diheboh-hebohkan. Barangkali pula ada kegiatan yang lebih mendesak yang perlu dianjurkan terlebih dahulu. Misalnya, baru-baru ini Gapena mengadakan majlis “Satu Penulis Satu Buku” sempena mengutip derma untuk mangsa tsunami di Aceh.

Ramai juga di kalangan penulis yang tertanya-tanya tentang perkembangan kongres. Salah satu yang paling sering ditanya ialah, bolehkah Pena bekerjasama dengan Gapena, terutama menganjurkan kongres besar seperti ini? Atau Pena hanya bertugas menyerahkan cadangannya itu kepada Gapena. Setelah itu tugasnya selesai.

Khabarnya, ketika pertemuan diadakan dengan kerabat kerja Gapena untuk membincangkan perkara kongres, Pena tidak sepenuhnya diwakili orang-orang kuatnya. Presiden Pena tidak hadir. Tidak pasti sama ada rakan sekerja Zainal Borhan dari Pena turut hadir atau tidak.

Kata ahli Pena itu lagi, “Saya ingat bila dah mula nak buat rancangan bersama ini kedua-dua pihak sudah boleh melupakan pengalaman pahit masa lalu. Nampaknya habuk pun tak ada. Minta-minta adalah pihak yang sedang bekerja keras menjayakan Kongres. Saya yakin kongres ini boleh meneruskan agenda orang Melayu.”

Bersemangat juga rupanya dia. Apabila ditanya mengapa tidak ikut terlibat dalam kegiatan Pena atau Gapena, jawabnya merendah diri, “Kita ini siapalah! Jadi ahli pun hanya sekadar jadi ahli. You bayangkan, saya ahli seumur hidup, bila sampai kepada mesyuarat agung jarang saya dipanggil. Tapi tak kisahlah. Kalau ada jemputan pun saya belum tentu dating.”

Demikianlah, pertanyaan Sutong melalui kolum “Rentak Kalam”nya itu seolah-oleh mengingatkan kaum penulis tentang kegiatan yang dianjurkan kedua-dua badan penulis berkenaan. Pertanyaan Sutong, bekas setiausaha agung Pena itu turut membawa implikasi bahawa setakat perkembangan hari ini hubungan Pena dan Gapena bagaikan masih terus berada dalam suasana “masam-masam manis” jua.

Dan di pihak Gapena pula kalau nak jadi penerbit, dicadangkan hayatilah tugas dan tanggungjawab sebagai penerbit, terutama dalam urusan mendapatkan manuskrip. Kata ahli Pena itu lagi, “Dulu ada seorang tokoh penulis dari utara berjaya juga dia menerbitkan buku bagi pihak Gapena, tetapi dengar cerita tokoh ini sudah tidak ngam lagi dengan kerabat kerja Gapena yang ada sekarang.” Attention: Sdr Rashid Ahmad, Pengarang Utusan Melayu Mingguan

Ends.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).