Sunday 21 December 2008

KEMALA SEDIH ZAINAL RASHID TUMBUK MEJA


Dato' Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) kini Sarjana Tamu di UPM.

CATATAN A.F.YASSIN
Zainal Rashid Tumbuk Meja, Kemala Sedih

Entah kerana geram, atau entah kerana marah penulis berbakat Zainal Rashid Ahmad menumbuk meja dalam satu forum penulis muda di Rumah Pena sempena mesyuarat agung Pena, Oktober 2003 yang lalu. Khabarnya Zainal memperagakan emosinya kerana kononnya penulis muda dihalang daripada menjadi anggota persatuan penulis. Mengapa mereka dihalang tidak pula dijelaskan. Namun ada andaian bahawa para pemimpin persatuan, rata-rata penulis mapan, kontemporer dan bukan kontemporer, bimbang akan kehadiran penulis muda. Mereka mungkin tercabar jika penulis muda beramai-ramai mendaftar sebagai ahli.

Jika kebimbangan ini benar maka ia tentunya menimbulkan suasana yang kurang sihat dari segi hubungan antara penulis lama (baca: mapan) dan baru (baca: muda). Seolah-olah telah terbentuk satu jurang (fizikal dan mental) antara kedua-dua golongan. Bukan tidak mungkin ada di kalangan penulis baru ini yang merasakan mereka dipinggirkan dalam arus perdana persatuan. Malah sudah ada yang tanpa ragu-ragu berkata “orang lama takut dengan orang baru kerana idea dan pemikiran mereka (orang baru) lebih ke depan dan bersifat lebih intelektual. Orang lama masih kolot idea dan konservatif.”

Masalah orang baru dipinggirkan orang lama ini bukan cerita baru. Masih ingatkah krisis Pena satu ketika dahulu yang melibatkan Yahya Ismail, Maarof Saad dan kemudian Dato’Ahamd Sebi. Yahya didakwa terbabit dengan sebuah parti politik dan sebagai ketua sebuah persatuan penulis, Yahya dicabar untuk tidak mengaitkan dirinya atau melibatkan persatuan dengan parti politik. Dalam pertandingan kemudiannya Yahya dikalahkan oleh Maarof Saad yang ketika itu mendapat sokongan padu dari kalangan penulis baru. Maarof kemudian dikalahkan pula oleh Dato’ Ahmad Sebi Bakar yang juga didukung oleh penulis-penulis baru.

Kemudian, masih ingatkah semangat berpuak-puak di kalangan perwakilan Gapena dalam pemilihan jawatankuasa pada tahun 1990an dahulu? Ketika itu timbul cerita, entah benar atau tidak, tentang wujudnya dua kumpulan, yang bersaing sengit merebut jawatan. Dilaporkan kumpulan yang mencabar kumpulan inkumban telah pun mewujudkan satu “kabinet bayangan” dalam usaha memenangi pemilihan. Malah ada perwakilan yang telah dipujuk untuk memilih calon mereka. Kempen memujuk perwakilan ini persis kempen UMNO menjelang pemilihan ahli majlis tertingginya.

Sikap dan kegiatan kumpulan ini kurang disenangi ramai kerabat Gapena. Walaupun kegiatan itu sudah menjadi sejarah tetapi kesan sampingannya dapat dirasakan hingga ke hari ini. Kecenderungan di kalangan inkumban untuk mengekalkan status quo walau dengan secara apa sekalipun, mungkin boleh dikaitkan akhirnya dengan insiden menumbuk meja Zainal Rashid.

Lagi pula, seperti yang dijelaskan seorang anggota seumur hidup Pena satu ketika dahulu, “Menjadi anggota persatuan ini tidak ada kena mengena dengan wawasan dan pemikiran yang baru atau yang intelektual. Saya lebih melihatnya sebagai satu usaha untuk mengubah pucuk pemimpin untuk kemudian menguasai persatuan. Tidak timbul soal boleh menjadi ahli atau tidak dalam persatuan. Sebabnya setelah seorang baru dipilih memimpin persatuan dia juga akan berbuat seperti apa yang dilakukan pemimpin sebelumnya, iaitu cuba mengekalkan kuasa dengan menghalang pendaftaran baru.”

Ada yang mencadangkan agar golongan yang melepas geram ini menubuhkan persatuan baru dan kemudian memohon untuk menganggotai Gapena. Malah inilah yang terjadi di Melaka yang kini mempunyai empat persatuan yang bergabung dengan badan induk penulis itu. Di Selangor dan Kuala Lumpur pula ada beberapa buah persatuan yang turut menjadi anggota kerabat Gapena. Ada Kalam, ada Kemudi dan ada Persatuan Penulis Selangor. Mana tahu tidak lama lagi Angkatan Penyair Malaysia (APM) yang ditubuhkan di Tanjung Karang tidak lama dahulu akan memohon menjadi anggota.

Presidennya, Dato’ Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pernah meluahkan rasa kecewanya dengan keadaan persatuan penulis sekarang ini. Pernah Kemala bersuara melalui e-mel bagaimana sulitnya “hendak membina sesuatu yang baru, idealisme kini berdepan dengan tuntutan materi. Kalau bertemu pun setahun sekali. Dalam mesyuarat agung Pena, misalnya, asyik mendengar ucapan ketua satu yang tak pernah berubah. Saranan kita tidak dipedulikan langsung; dan adik-adik kita sudah pandai pula menghentak meja.”

Kemala turut sedih dengan keadaan bahasa dan sastera yang mulai merosot dari sudut politik, budaya dan politik pemerintah. Katanya lagi, “Gapena-DBP-RTM-institusi perguruan tinggi semakin renggang dan takut pada bayang-bayang kebenaran.” Walaupun kelihatannya Kemala seperti memperjuangkan kehadiran penulis muda, namun Kemala tetap mempunyai kecenderungan untuk terus kekal mempertahankan kehadiran penulis lama atau mapan. Seperti katanya, “Kau lihat RTM mana pernah undang penyair mapan yang kontemporer dalam deklamasi Angkasapuri, mereka anggap kami ini teroris agaknya?”

Soalan Kemala ini memang tidak sukar dijawab, jika kita kaitkan dengan insiden Zainal Rashid menghentak meja. Jika benarlah seperti dakwaan Kemala itu, maka ia berpunca daripada sikap berpuak-puak di kalangan penulis sendiri. Satu golongan penulis ( golongan muda?) yang tertancap pengaruhnya di institusi penyiaran kerajaan itu akan berusaha mengekalkan pengaruhnya di RTM. Walaupun Kemala tidak menyebut siapa penyair mapan yang kentemporer itu namun tidak susah untuk mengagak jika ada yang bersungguh-sungguh mengikuti acara deklamasi sajak Angkasapuri.

Akhirnya kita kembali ke punca insiden Zainal Rashid menumbuk meja. Dalam satu majlis bukan sastera yang diadakan baru-baru ini, seorang penulis mapan bertanya kepada saya, “Kalau penulis yang menghentak meja itu ditakdirkan menjadi pemimpin sebuah persatuan nanti, apakah dia tidak akan terperanjat apabila nanti ada penulis lebih muda daripadanya menumbuk meja pula atas sebab yang sama?” Untuk sementara waktu cukuplah kita dipaparkan dengan tumbukan meja Zainal dan rasa gundah Kemala. Ends. (Dipetik daripada akhbar mingguan, Utusan Melayu Mingguan, 11-17 Oktober 2003)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).