Sunday 7 August 2011

Kembalikn Fungsi DBP Ke Peranan Asal Dengan Sistem Payungnya!!

 Tidak perlu komen apa yang ditulis wartawan Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussain tentang "kerugian Dawama" seperti yang tersiar dalam Mingguan Malaysia, 6 Ogos 2011 hari ini. Legasi Allahyarham Datuk Haji Sujak Rahiman, Ketua Pengarah DBP mewujudkan syarikat percetakan DBP kini menjadi titik lemah peranan DBP. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Dawama sehingga kebanyakan pekerjanya berada dalam keadaan tidak menentu. 

Apa yang cuba dirungkaikan Ku Seman di bawah ini tidak harus dilihat remeh oleh pihak berwajib, terutama ia menyangkut masa depan pelajaran anak-anak bangsa. Masalah yang timbul mungkin hanya seperti kata mat saleh "a tip of the iceberg." Mungkin ada banyak lagi "skeleton" dalam almari DAWAMA, juga DBP. Mungkin mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hassan Ahmad yang mengendalikan Yayasan Karyawan, dapat membantu menyelesaikan kekusutan antara DBP-DAWAMA ini. Atau DAWAMA perlukn bantuan nasihat daripada beberapa personaliti yang pernah mentadbir DBP. Antaranya, Datuk Johan Jaafar, mantan Pengerusi DBP, Senator Dato. Dr. Firdaus Abdullah, mantan Ketua Pengarah DBP dan Dato' Baharuddin Zainal, mantan Timbalan Ketua Pengarah DBP.  Yang lebih penting mintalah nasihat Dato' Mohd. Noor Azam dan kalau perlu minta beliau menangani masalah ini.Berundinglah dan jangan biarkan DBP dan DAWAMA jadi bahan ketawa orang ramai. 

Saya mencadngkan supaya dibentuk satu jawatankusa merungkai masalah DAWAMA-DBP yang dipengerusikan Datuk Dr. Hassan Ahmad dengan anggotanya terdiri daripada Dato' M. Noor Azam, Dato' Baharuddin Zainal, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah  serta wakil daripada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan. Tak perlu ramai dengan Ketua Pengarah sekarang bertugas sebagai Setiausaha bersama dengan Pengarah Urusan DAWAMA.

Rungkai misteri kerugian Dawama

SEBELUM syarikat konsesi percetakan dan pengedaran buku, Dawama dikatakan mengalami “kerugian”, seorang kawan memberikan reaksi yang sangat sinis.

Katanya, dia sama sekali tidak percaya Dawama yang mendapat kontrak mencetak dan mengedarkan buku teks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kerugian. Ini kerana perniagaan Dawama tidak ada persaingan, syarikat ini diberi kontrak oleh kerajaan mulai 2002 hingga 2014 untuk mencetak buku teks. Katanya, peluang Dawama ibarat satu-satunya penjual pelampung yang ada di tepi kapal Titanic yang hampir karam.

Tetapi hakikatnya Dawama kini mendakwa mereka mengalami “kerugian”. Semua orang tidak percaya Dawama boleh rugi kerana tahun ini sahaja Dawama sepatutnya mencetak enam juta naskhah buku teks untuk diedarkan ke sekolah. Bayangkan untungnya berapa? Tidak ada syarikat lain yang mendapat kontrak tunggal “menjual pelampung di tepi kapal Titanic” seperti yang diberikan kepada Dawama. Menurut sumber, sejak 2002 hingga kini DBP telah membayar RM650 juta kepada Dawama.

Tetapi akibat “kerugian”, Dawama telah bertindak di luar paras kemanusiaan. Mereka memaksa hampir 400 pekerja bercuti tanpa gaji beberapa hari lalu. Peliknya cuti tanpa gaji itu tidak ada tempohnya, adakah sebulan, setahun atau sepuluh tahun? Pekerja Dawama sebahagian besarnya adalah kakitangan DBP yang berkerja di kilang percetakan di Hulu Kelang.

Kerajaan mesti menyelongkar perihal kewujudan Dawama pada 2002 dulu dan mengapa Dawama mengalami kerugian. Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kerana semua orang percaya Dawama tidak mengalami kerugian seperti yang didakwa. Maka isu Dawama sekarang bukanlah sekadar menyelamatkan pekerja yang diberi cuti tanpa gaji. Isu Dawama adalah bebanan kepada DBP yang terpaksa mengambilalih mencetak enam juta naskhah buku teks.

Sebenarnya mengswastakan kerja-kerja pracetak, percetakan dan pengedaran buku-buku DBP adalah sangat pelik. Difahamkan nisbah agihan keuntungan 80: 20 (Dawama : DBP). Kalau dilihat nisbah ini, penswastaan itu menganiaya DBP kerana royalti dan bahan editorial ditanggung oleh DBP. Sedangkan Dawama hanya mencetak dan mengedarkan sahaja. Promosi buku teks tidak perlu kerana pembeli sudah ada.

Sebelum kewujudan Dawama, DBP mengamalkan konsep payung kepada beberapa syarikat percetakan untuk diberi tugas mencetak buku teks. Konsep ini ternyata berjaya kerana tidak ada masalah timbul dan ini juga banyak membantu syarikat percetakan terutama bumiputera mendapat peluang. Tetapi selepas penswastaan, Dawama menjadi induk kepada beberapa syarikat lain.
Cemerlang

Kewujudan Dawama tidak memperlihatkan peningkatan jualan buku-buku umum dan sastera terbitan DBP. Sepuluh majalah DBP juga tidak meningkat jualannya. Pengedaran buku-buku teks sudah ada pembeli. Siapa yang edar pun buku teks sekolah akan laris dan menguntungkan.
Kakitangan DBP telah terbukti mampu melaksanakan kerja-kerja penerbitan dengan cemerlang. Sebelum wujudnya Dawama, pengedaran buku teks tidak mengalami masalah untuk sampai sebelum sekolah dibuka. Jadi, memberikan kontrak mencetak dan pengedar buku teks adalah anugerah kepada kepada Dawama. Malangnya anugerah itu kini menjadi beban kerajaan.

Maka apabila Dawama memberi masalah kepada DBP, pihak yang mengusulkan penswastaan mesti dipersoalkan. Siapa yang membawa usul pelik ini hingga Dawama bukan meringankan DBP tetapi membebankan.

Ini satu kerja yang tidak baik sebenarnya dan kesan daripada perbuatan itu kita dapat ihat hari ini apabila DBP terpaksa bertungkus lumus memastikan enam juta buku teks dicetak dan diedarkan sebelum mula persekolahan 2012.

Imej DBP mesti dibersihkan apabila ada pihak meletakkan kesengsaraan Dawama disebabkan DBP seolah-olah pembayaran tidak disalurkan kepada Dawama. Tetapi kata Ketua Komunikasi Korporat DBP, Ghafar Abdullah, pejabat urusan Dawama yang terletak di kilang percetakan milik DBP di Hulu Kelang pun masih tertunggak sewanya. Kenapa sedaif itu?

Mustahil

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong baru-baru ini berkata, adalah mustahil Dawama boleh mengalami kerugian kerana jualan buku teks sekolah menerusi kontrak dengan Kementerian Pelajaran adalah besar dan terjamin. Ini diperkuatkan lagi dengan dakwaan gaji pengurusan kanan terlalu tinggi, hingga hampir sama syarikat minyak. Jadi apa sebenarnya masalah Dawama hingga kelihatan hampir muflis? Adakah disebabkan kelemahan urus tadbir hingga menyebabkan kerugian? Atau memang untung tetapi tidak mahu berkongsi dengan pekerja bawahan?

Isu Dawama cukup memalukan. Ini memperlihatkan kegagalan sebuah syarikat Melayu yang diberi kontrak oleh kerajaan dan tidak bersaing dengan syarikat lain, tetapi akhirnya gagal. Sekarang semua orang mahu tahu dengan pembayaran RM650 juta sejak 2002 kepada Dawama, apa yang dibelanjakan hingga syarikat hampir muflis? Kontrak pracetak dan percetakan buku DBP perlu dikerjakan oleh syarikat yang bukan sahaja mempunyai kewangan yang kukuh tetapi berwibawa. Dawama diwujudkan untuk mendapat kontrak ini dan belum teruji sebagai syarikat penerbitan atau percetakan yang berpengalaman.

3 comments:

  1. Hebat bisnes orang Melayu. Pendapatan berjuta, kurang monopoli tapi bisnes macam buluh kasap. Menjadi bahan ketawa sahaja nampaknya.

    ReplyDelete
  2. Dengar khabar ada bekas pegawai DBP yang menjadi orang penting di DAWAMA. Dalam swasta, biasanya pihk pengurusan takkan ambil pesara kerajaan untuk menjadi pengarah eksekutif, kecuali dia benar-benar boleh membawa projek berjuta kepada keuntungan syarikat. Kalau setakat menenggek saja itu namanya menghabiskan boreh jer!

    ReplyDelete
  3. mohdzubir58@yahoo.com.my7 August 2011 at 07:35

    Kalau DAWAMA tak mampu menunaikan tanggungjawabnya mencetak buku sekolah tahun ini, apa kata DBP hidupkan semula sistem payungnya dan mula mengorak langkah mencari pencetak-pencetak Bumi dan bukan Bumi untuk menyiapkan buku-buku sekolah. Masih ada waktu empat bulan mencetaknya. Kalau perlu cari juga pencetak dari Singapura. Lupakan sementaraa waktu dasar keutamaan kepada pencetak bumi sahaja. Yang penting praktis!

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).