Tuesday 21 February 2012

PENGIKTIRAFAN TAK SETIMPAL ANTARA SASTERAWAN DAN ATLET?

Artikel di bawah ini " Sasterawan terpinggir" oleh Chairil Ehsan dipetik daripada Utusan Malaysia, 19 feb 2012
SAYA cukup tertarik dengan isu yang dilontarkan oleh penulis pojok Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia 5 Februari lalu mengenai penghargaan kita terhadap golongan atlet dan sasterawan.

 Siti Jarum mempersoalkan kenapa atlet mendapat hadiah dan perhatian yang berkali ganda lebih besar berbanding sasterawan. Ini berlaku kononnya kejayaan atlet di luar negara telah mengharumkan nama negara di pentas dunia.
Saya sependapat dengan Siti Jarum. Kejayaan atlet dan bidang itu sendiri tidak ada kena mengena dengan imej atau wajah negara. Malah belum pernah ditemui hujah mengatakan sukan menyumbang kepada imej sesebuah negara kecuali di negara ini. Persoalannya kenapa kita yakni kerajaan begitu pantas membuat kesimpulan bahawa atlet mengharumkan nama negara?

 Kita semua bukan menentang pembangunan sukan yang dibuat oleh kerajaan. Tetapi pada masa yang sama kita juga perlu membangun prasarana dan penghayatan khalayak terhadap kesusasteraan. Kalau dikaji, golongan yang memperkenalkan negaranya ke pentas dunia adalah cendekiawan dan seniman. Dalam kelompok seniman, ada sasterawan, penulis serta pelakon dan pengarah filem yang berkaliber.

 Indeks apakah yang digunakan untuk melimpahi hadiah demi hadiah dan anugerah demi anugerah kepada atlet? Adakah kerana berjaya mengawal gawang dari dibolosi tendangan lawan itu sebagai indeks "pencapaian" luar biasa lalu mewajarkan dianugerahkan sebuah banglo? Khairul Fahmi menjadi saksi atlet atau ahli sukan negara ini mendapat anugerah besar, melangkau sasterawan yang berkarya lebih setengah abad secara berterusan.

Pemain badminton Lee Chong Wei juga membuktikan kepada kita seolah-olah kejayaan di gelanggang dunia mewajarkan dia diberi anugerah demi anugerah. Kalau ini bukan indeksnya, apa dia? Kita tentunya sama sekali tidak fikir nama negara dan pemikiran serta budaya rakyat terpancar dengan kemenangan Chong Wei. Tiger Wood lebih hebat tetapi apakah yang kita belajar daripada Tiger Wood untuk hubungkan dengan negaranya? Kalau masyarakat luar mahu mengenal pemikiran dan wajah budaya orang Malaysia, mereka mestilah membaca karya sastera yang tulis oleh sasterawan kita. Mereka kena membaca karya Sasterawan Negara Anwar Ridhuan, Sasterawan Negara Keris Mas dan sasterawan lain yang mengungkapkan budaya dan alam fikir masyarakat.
Indeks perhatian kerajaan kepada golongan sasterawan atau seniman tidak boleh dibuat hanya kerana mengambil kita populariti. Kalau penanda aras ini digunapakai, sampai bila pun sasterawan kita tidak akan diberi perhatian. Sebabnya kesusasteraan bidang yang tidak popular di mana populariti itu ditentukan oleh golongan muda yang menjauhi sastera. Bidang yang popular bagi sebahagian besar khalayak adalah sukan dan seni murahan. Adakah populariti ini menjadi penanda aras sama ada kita mahu meraikan sasterawan atau atlet?

 Saya antara peminat tegar bola sepak dan beberapa sukan lain termasuk golf. Malah bukan sekadar peminat tegar, dalam sukan golf misalnya saya turut terlibat secara aktif dan pernah juga beberapa kali menang pertandingan. Jadi, saya bukanlah orang yang anti sukan yang mengangkat sumbangan sasterawan secara membuta tuli.

 Saya meminati muzik dan filem. Saya menjadi kaki wayang yang agak teruk. Pada masa yang sama saya mengagumi sastera tempatan dan Inggeris. Daripada pemerhatian saya, dalam sukan dan seni popular yang lain kepada populariti. Tidak ada kecenderungan untuk bermati-matian kerana "negara" seperti yang kita sangkakan. Lihatlah bagaimana layanan kita kepada juara Piala Thomas hampir 20 tahun lalu. Kemudian bandingkan dengan layanan kita kepada sasterawan yang karya mereka merentasi benua. Kedua-duanya ibarat langit dengan bumi. Kalau juara Piala Thomas mendapat wang berjuta, tanah dan banyak lagi "sumbangan ikhlas" daripada pelbagai pihak, apa yang Sasterawan Negara Usman Awang atau Anwar Ridhuan dapat apabila karya mereka diterjemah dalam pelbagai bahasa dan dipasarkan di luar negara?

Kita tidak boleh menjadikan populariti yang diberikan oleh khalayak terutama golongan muda sebagai faktor yang mesti dipatuhi. Kononnya kalau bidang sukan itu popular maka atlet mesti diberi penghargaan yang tinggi melangit. Ini kerana sebahagian besar golongan muda kita adalah mediocre yang terperangkap dengan sindrom mediocrity. Sindrom ini telah merebak dengan meluas dalam masyarakat dan menjadi barah apabila wujudnya golongan yang hidup semata-mata untuk hidup, berfikir secara simplisiti dan menjadi pengikut bukan pencetus.

 Golongan ini sudah tentulah tidak akan mendekati bidang kesusasteraan kerana sastera itu penuh dengan kompleksiti dan menuntut keterlibatan pemikiran. Golongan mediocre akan menjauhi kompleksiti. Mereka inilah yang menjadi mangsa kerakusan penggerak konsumerisme dalam dunia sukan. Sebab itu saya sangat setuju dengan Siti Jarum bahawa sukan tidak ada kena mengena dengan jati diri bangsa dan jauh sekali mengharumkan nama negara. Di luar negara ahli sukan bukan dijulang kerana "mengharumkan" negara. Sebenarnya mereka dijulang oleh penggerak konsumerisme untuk tujuan dagang.
Lihatlah pendapatan bintang-bintang sukan bertaraf dunia. Mereka bukan kaya raya dengan duit sumbangan kerajaan tetapi oleh pengiklan. Bintang golf Tiger Wood sebelum skandal seksnya mengaut keuntungan dari pengiklan. Tidak ada pula kita dengar kerajaan memberi sumbangan itu dan ini kepada Tiger Woods.

 Golongan sasterawan di Eropah misalnya berada pada kedudukan tinggi kerana ditentukan oleh khalayak yang berselera tinggi. Pembangunan khalayak juga sangat penting kerana di negara ini khalayak kita adalah pengagum program realiti yang berkelas rendah. Khalayak ini perlu diberi anjakan supaya mereka menjadi pengagum karya sastera dan bukanlah sekadar pengagum Akademi Fantasia, Maharaja Lawak dan banyak lagi.
 Kita meminati Tiger Wood tetapi kita juga mesti realistik bahawa yang memberi santapan minda kepada kita adalah sasterawan seperti Hemingway, Joseph Conrad, Jean-Paul Sartre, dramawan Albert Camus, Henrik Ibsen dan banyak lagi. Ini membuktikan pandangan yang menyanggah limpahan keterlaluan kepada ahli sukan ada rasionalnya. Lihatlah nilai hadiah pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) misalnya jauh lebih rendah daripada hadiah pertandingan memancing. Apakah bukan merendahkan taraf sastera namanya?

 Komen:

Bezanya atlet dengan sasterawan di Negara ini terletak bukan kepada indeks penghargaan, populariti dan ganjaran lumayan serta pengiktirafan kerajaan kepada kedua-dua golongan ini, tetapi siapa mereka di dalam dan di luar Negara. Bagi golongan atlet, siapa tak kenal Lee Chong Wei di peringkat antarabangsa, Penjaga gol Khirul Fahmi dalam bola sepak di kalangan Negara ASEAN, malah dalam bidang apa sekalipun. Misalnya dalam badminton siapa tak kenal Misbun, Razif dan Jailani serta adiknya Rashid di arena antarabangsa.

Kita tak usah ceritalah tentang Tiger Woods dalam lapangan golf atau satu ketika dahulu Mario Kempes, pemain Argentina yang namanya ngetop di Piala Dunia pada tahun 1978. Ketika itu Argentina memenangi Piala Dunia. Tidak usah kita bercerita tentang Pele atau Maradona. Soalnya apa yang membezakan atlet-atlet ini dengan sasterawan, terutama berbanding sasterawan Malaysia yang telah dianugerahkan sebagai Sasterawan Negara. Soalnya apa yang membezakan dalam kalangan sasterawan Malaysia dan dunia, populariti sasterawan luar Negara seperti Hemingway dan beberapa nama yang disebut penulis ini berbanding Dato’ Anwar Ridhuan, Dato’ Usman Awang mahupun keris Mas atau Dato’ A Samad said mahupun Dato’ Shahnon Ahmad , penyanyi antarabangsa mendiang Whitney Houston atau Elvis Presley  berbandng Siti Norhaliza atau P. Ramlee mahpun Sudirman Hj Arshad.

Jawapannya memang sudah ada  dalam pemikiran dan benak kita. Yang membezakan bukan populariti, bukan karya  tetapi pengiktirafan antarabangsa dan indeks penghargaan antarabangsa yang datang bersama ganjaran berjuta yang mereka peroleh berbanding indeks penghargaan dan pengiktirafan yang diterima golongan sasterawan kita walaupun sudah 50 tahun berkarya. Soalnya mudah sahaja, siapa Dato’ Anwar Ridhuan dalam indeks penghargaan di kalangan sasterawan dunia? Atau siapa Dato’ A Samad Said di kalangan sasterawan dunia? Tak perlulah kita bercerita tentang Tiger woods atau David Bekham. Kalau kita buat perbandingan antara mereka dengan sasterawan Negara kita, samalah seperti Kita bercakap dengan membandingkan antara semut kecil yang melata di bumi dengan burung garuda yang mendiami Laut Qalzum! Lebih baik kita mengukur baju di badan kita sendiri. Itulah rasional yang ditulis Siti Jarum yang pada ramai orang tidak ada salah silapnya.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).