KEBEBASAN AKHBAR DI INDONESIA
Catatan A.F.Yassin
Seorang wartawan di Jakarta menjelaskan bahawa kebebasan akhbar yang dinikmati oleh wartawan di Indonsia sekarang tidak begitu disenangi. Bukan oleh pemimpin politik tetapi oleh sesetangah wartawan sendiri. Penjelasan ini mungkin sedikit mengejutkan kerana selama ini wartawan di mana pun jua menekankan peri pentingnya kebebesan untuk melapor dan mengeluarkan pendapat. Apabila ditanya lebih lanjut tentang kebebasan akhbar, wartawan itu malah tidak tahu apa sebenarnya kebebasan yang dimahukan.
Pandangan wartawan itu mempunyai kesan mendalam juga. Ramai bertanya apakah kebebasan yang ada sekarang perlu dikekang semula. Atau perlu difikirkan satu bentuk penghadan supaya kebebasan itu diberikan dengan rasa penuh tanggung jawab. Masalahnya siapa yang perlu memikul tanggung jawab itu. Atau bagaimana bentuk tanggung jawab itu? Bagaimana pula melaksanakannya?
Terlalu banyak persoalan timbul akibat pandangan wartawan itu. Apakah dia mahu kembali kepada zaman order baru di mana kebebasan akhbar disekat. Salah satu cara menyekat kebebasan itu ialah dengan pengeluaran surat izin terbit. Surat itu membawa bersamanya peraturan-peraturan tertentu yang hanya membolehkan wartawan melaporkan sesuatu kejadian atau berita yang tidak bertentangan dengan moral, etika dan peraturan yang melibatkan ketenteraman awam.
Kata seorang bekas wartawan TVRI, "Sebenarnya sekarang pun dalam zaman kebebasan press ini masih ada pengarang akhbar dan majalah yang menahan diri daripada menyiarkan laporan seenaknya sahaja. Contohnya dalam isu Presiden Gus Dur dengan suri rumah Aryanti Setpu, tidak semua akhbar dan majalah yang melaporkannya." Menurutnya, akhbar terbesar di negara itu, Kompas tidak menyiarkan berita Gus Dur ini pada mulanya ia terbongkar. Begitu juga Media Indonesia. Akhbar Suara Pembangunan menyiarkan sebagai berita biasa di halaman dalam. Manakala majalah berita mingguan Tempo langsung tidak memanfaatkan isu itu ketika ia mula didedahkan.
Drs, Yazirwan Uyon, pernah menyandang Ketua Bahagian Pemberitaan TVRI di Jakarta.
Padahal, isu itu dimuat di halaman depan kebanyakan surat kahbar tabloid dan beberapa majalah berita mingguan yang lain seperti Gatra dan akhbar Rakyat Merdeka. Malah akhbar Rakyat Merdeka dalam beberapa hari terus menyiarkan isu itu sebagai berita utama di muka depan.
Kurang pasti apa yang menyebabkan tidak semua akhbar dan majalah menyiarkan berita isu Gus Dur dengan Aryanti ini serentak di muka depan. Ada yang berpendapat bahawa kebebasan tidak bererti "wartawan berfikiran sama". Ada faktor-faktor lain yang menjadi penentu pemuatan berita. Bekas Ketua Pengarang TVRI, Drs Yazirwan Uyon menilai masih wujud apa yang dinamakan KKN (Kolusi, Korupsi dan Nepotisme) di kalangan wartawan. Ertinya bukan tidak mungkin ada wartawan yang kerana sebab-sebab peribadi enggan melaporkan berita seumpama itu. "Bapak bisa mengerti ada wartawan yang punyai hubungan akrab dengan sang presiden atau oknum rapatnya. Bisa sahaja mereka mengamalkan KKN," katanya.
Timbalan Ketua Pengarang akhbar Rakyat Merdeka, Karim Paputungan menilai soal KKN atau tidak bukan isu. Baginya kebebasan akhbar perlu dimanfaatkan "demi untuk menyiarkan berita yang mempunyai kepentiangan umum." Misalnya, bekas presiden Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur pernah didakwa melakukan skendal seks. Skendalnya itu mempunyai nilai berita yang tinggi kerana ia menyangkut kepentingan umum. Katanya, "Gus Dur ketika menjadi presiden adalah kepunyaan rakyat Indonesia, sebagai kepala negara. Jadi apa sahaja isu yang menyangkut hal peribadinya sudah tentu menyangkut kepentingan umum. Lihat juga sahaja skendal seks Bill Clinton di Amerika."
Dan Suara Merdeka, akhbar harian yang beliau dan Jasofi Bakhtiar (ketua pengarang) pimpin, tidak tanggung-tanggung menyiarkan apa sahaja yang difikirkan boleh meningkatkan emosi rakyat. Contohnya, satu edisi harian baru-baru ini membawa berita muka depan bertajuk, "BBM Naik, Rakyat Ditipu Mentah-Mentah" ketika melaporkan cadangan pemerintah Indonesia manaikkan harga minyak. Beberapa hari kemudian ada pula berita muka depan bertajuk "Makan Aja Susah Kok Beli Pesawat". Tajuk ini mengepalai berita tentang ura-ura bekas presiden itu mahu membeli pesawat kepresidenan. Dan edisi 21 September 2000 pula menyiarkan tajuk utama muka depan "12 Jenderal jadi Korban Gus Sur" ketika melaporkan memecat pemimpin tertinggi tenteranya.
Akhbar Suara Merdeka ini dulunya dikenali dengan Merdeka sahaja. Pengasas dan pemimpinnya B.M Diah, bekas menteri di zaman order lama pimpinan Soekarno. Ia berpindah tangan kepada H. Margiono. Melihat pada slogannya "Apinya demokrasi Indonesia" sudah jelas bahawa Rakyat Merdeka benar-benar memanfaatkan kebebasan dan demokrasi. Dan demikian juga halnya bagi kebanyakan akhbar dan majalah mingguan lain. "Indonesia hari ini syorganya wartawan untuk menyatakan pendapat tanpa takut-takut lagi. Ya, soal etika soal kedua. Itu kan tergantung golongan mana wartawan itu berada," kata seorang wartawan hiburan.
Apabila ditanya tentang kemungkinan ada laporan yang berunsur fitnah dan menyentuh pribadi wartawan itu hanya ketawa. Katanya, "Kes bekas presiden Gus Dur dengan Aryanti menarik. Sampai sekarang ini kami masih menunggu apakah Gus Dur mahu bawa akhbar dan wartawan ke mahkamah kerana memfitnahnya dan menjatuhkan maruahnya di depan umum. Nyatanya sampai sekarang Gus Dur tidak bikin apa-apa. Sampai sekarang kita belum tahu reaksinya kecuali menafikannya sahaja."
Keberanian dan kebebasan akhbar melaporkan skandel bekas presiden Indonesia ini barangkali ada kaitannya dengan dasar hukum Indonesia. Menurut Yazirwan, tindakan undang-undang boleh sahaja diambil oleh Gus Dur sebagai presiden Indonesia waktu itu, tetapi oleh kerana apa yang dikatakan skendal seks Gus Dur itu berlaku sebelum beliau menjadi presiden, maka undang-undang menghina Ketua Negara tidak boleh digunakan. "Ya, jika Gus Dur mahu mengambil tindakan hukum atas dasar peribadi, silahkan sahaja. Cuma waktu itu Gus Dur mungkin berfikir akan implikasi pendedahan nanti mungkin akan menggawatkan kedudukan presiden di mata umum," katanya. Menurut Yazirwan bekas presiden itu ternyata bijak apabila tidak membawa kes ke mahkamah sampai beliau dipecat menjadi presiden.
Wartawan sasterawan Mokhtar Lubis secara konsisten memperjuangkan kebebasam media di Indoneia sejak sekian lama.(Foto 1980)
Demikianlah, kebebasan akhbar di Indonesia memberikan satu corak pemikiran di kalangan wartawan. Ada yang mengawal diri dengan sanksi peribadi, ada yang mengutamakan hubungan berbaik-baik antara yang melapor dengan yang dilapor. Dan tidak kurang pula yang mencari kesempatan dari sudut ekonomi dengan memanfaatkan erti kebebasan.
Jika demikian halnya timbul pertanyaan. Ke mana sebenarnya akhbar mahu dibawa oleh kebebasan yang ada sekarang? Dan dari satu sudut lain timbul pula pertanyaan, apakah bentuk kebebasan akhbar sekarang ini menguntungkan majoriti penduduk Indonesia? Yazirwan berkata "jawapan kepada dua pertanyaan itu bisa digabung menjadi satu, iaitu kesan negatifnya sudah bisa dirasakan oleh masyarakat Indonesia hari ini. Semuanya bergantung kepada tingkat kematangan berfikir rakyat. Apakah rakyat umumnya sudah matang berfikir? Demonstrasi jalanan yang diadakan beberapa ketika setelah jatuhnya Presiden Soeharto, Habibie dan akhirnya Gus Dur itu kami belum sampai ke tahap berfikir matang."
Jawapan Yazirwan itu barangkali ada benarnya. Laporan yang sensasi dan emosi boleh sahaja mengundang reaksi yang negatif. Di Jalan Cendana sahaja, tempat tinggal bekas presiden Jeneral Soeharto, sentiasa sahaja berlaku demonstrasi yang menyokong dan yang menentang Soeharto. Malah ada ketikanya kedua-dua kumpulan ini saling "baku hantam". Perkembangan di kalangan tentera dan polis Indonesia pula sedikit membimbangkan kerana masih wujud apa yang disifatkan sesetengah pemerhati politik sebagai kumpulan yang pro Soeharto. Tindakan Gus Dur membebas-tugaskan Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Bersenjata dan menggantikannya dengan orang kepercayaannya dianggap sebagai usaha kepresidenan untuk membebaskan kedua-dua institusi keamanan itu daripada "orang-orang Soeharto".
Yang menambah burukkan lagi suasana ialah gaya bekas presiden Gus Dur mentadbir negara, yang menyangkut cara beliau membuat keputusan dan berbicara. Telah timbul pelbagai julukan buat Gus Dur setelah beberapa pengarang mengamati gaya pentadbirannya. Misalnya telah terbit dua buah buku tentang Gus Dur dengan judul "Hak Gus Dur untuk Nyeleneng" oleh E. Kosasih dan "Gila Gus Dur, Wacana Pembaca Abdul Rahman Wahid" yang diselenggarakan oleh Ahmad Suody dan Ulil Abshar Abdalla.
Menariknya buku yang kedua itu ialah tulisan di kulit belakangnya yang berbunyi: "Presiden pertama gila perempuan, presiden kedua gila harta, presiden ketiga gila benar, presiden keempat membuat orang jadi gila." Malah di kalangan wartawan sendiri ada yang membuat pindaan terhadap kata-kata untuk presiden keempat, iaitu "presiden keempat yang memilihnya gila." Walaupun tidak disebutkan nama-nama presiden itu, tetapi jelas kepada siapa ditujukan julukan itu. Lebih menarik lagi salah sebuah artikel yang termuat dalam buku ini bertajuk "Gus Dur: Bangsa Mana Di Dunia Ini Mempunyai Presiden Seperi Kita?"
Penulisnya Dr. Franz Magniz Suseno menilai kecacatan fisik bekas presiden ke-4 Indonesia merupakan satu kekuatan bagi dirinya. Malah tulisnya presiden dengan sikapnya membuat orang terkejut adalah satu kekuatan. "Kejutan terus-menerus dari Gus Dur yang tak pernah mengizinkan kita seakan-akan puas diri merasa tahu apa yang difikirkannya, membuat orang terkejut, sering marah dan selalu berfikir…. Dia mendidik seluruh bangsa dengan cara yang paling enak, iaitu sebagai entertainer (penghibur)." Akhirnya Franz menulis, "Kalau ada yang jengkel dengan gaya Gus Dur, biarin!" Kata "Biarin" ini sering diungkapkan Gus Dur setiap kali ada orang marah-marah atau mengkritiknya.
Maka para pemerhati akhbar di Indonesia dan sesetangah kalangan wartawan sendiri barangkali senang dengan sikap dan gaya "penghibur" Gus Dur untuk memberikan ruang kebebasan seluas-luasnya kepada akhbar mereka. Tanpa sedikitpun ada keinginan untuk memberikan penilaian tentang baik-buruknya ruang kebebasan itu kepada rakyat Indonesia umumnya.
Malaysia must aim to be a model state to the world in “Unity in Diversity”
by promoting global inter-civilisational dialogue, understanding, tolerance
and harmony
-
Malaysia’s Prime Minister, Datuk Seri Anwar Ibrahim is in Peru for the APEC
Summit and we are joining BRICS. Malaysia must aim to be model state to the
wor...
5 days ago
No comments:
Post a Comment