Tuesday 13 May 2008

OBITUARI: AZIZ JAHPIN, AZIZ ANTARA & DHARMAWIJAYA


Pak Aziz Antara, mantan pemilik Pustaka Antara


Dato' Kamaruzzaman Kadir atau lebih dikenali Pak Dharmawijaya


Aziz Jahpin: Masih ingatkan drama radionya yang menggemparkan sekitar tahun 1950an.

Tiga tokoh persuratan menemui Penciptanya
Oleh A.F.Yassin

Dua minggu pertama Rabiul Awal (April) merupakan minggu pemergian tiga tokoh dalam bidang persuratan dan penerbitan. Dua daripadanya penulis kreatif sementara yang ketiga penerbit karya penulis. Mereka ialah Aziz Jahpin, penulis skrip drama radio dan novelis, Datuk Kamaruzzaman Abd Kadir atau lebih dikenali dengan nama pena Dharamawijaya, penyair dan Datuk Abdul Aziz Ahmad, terkenal dengan Aziz Antara, penerbit dan penjual buku, khususnya buku-buku Indonesia.

Dharamawijaya meninggal dunia pada pagi hari Maulidur Rasul. Dua hari sebelumnya, Aziz Antara menemui Penciptanya. Aziz Jahpin pergi dahulu, iaitu tiga hari sebelum Aziz Antara. Ketiga-tiganya mempunyai persamaan dalam bidang yang saling melengkapi. Dharmawijaya dan Aziz Jahpin melahir karya sementara Aziz Antara menerbitkan asil karya penulis. Walaupun tidak semestinya Aziz Antara menerbitkan karya Dharmawijaya atau Aziz Jahpin.

Aziz Jahpin meninggal setelah sakit demam beberapa hari, Aziz Antara setelah mengalami sesak nafas sementara Dharmawijaya menghidap barah paru-paru. Aziz Jahpin berusia 77 tahun, Aziz Antara 83 sementara Dharmawijaya 68 tahun. Sepanjang hayatnya Aziz Jahpin tidak akan melupakan dua peristiwa penting dalam hidupnya. Pertama, novel “Pulanglah Perantau” diumumkan sebagai salah sebuah novel yang menang dalam Peraduan Menulis Novel 10 tahun Merdeka dan diterbitkan pada tahun 1971. Kedua, drama radio Renungan Tahun menggemparkan seluruh masyarakat pendengar sehingga ramai yang datang ke Melaka untuk melihat sendiri “kemusnahan” yang kononnya dialami oleh Maktab Perguruan Perempuan Melayu Durian Daun Melaka. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1958. Manisnya peristiwa pertama ialah itulah satu-satunya novel yang ditulis Aziz Jahpin dan menang pula. Peristiwa kedua amat mengesankan. Walaupun dianggap negatif namun impak drama radionya itu benar-benar membuatnya tidak tidur malam selama seminggu.

Aziz Jahpin mendapat angin kedua dalam berkarya apabila Penerbit Fajar Bakti mempelawanya mengumpulkan semua anekdot lucunya dalam satu buku yang akhirnya diterbitkan dengan judul Zamzam Zaman. Setelah Zamzam Zaman diterbitkan beliau berusaha mengumpulkan kisah-kisah lucu yang lain tetapi tidak pasti sama ada kisah-kisah itu telah diterbitkan. Namun bagi pendengar radio, barangkali beberapa buah drama Aziz Jahpin benar-benar menyentuh perasaan mereka, malah dianggap kontraversi. Antara drama itu ialah “Siri Tiga Dara” (1972), “Tonel Badut” (1983), “Di Mana Bumi Dipijak” (1984, “Sahabat Tiga” (1986) dan “Nanti Mati” (1990). Doku-dramanya “Mata Permata” yang disiarkan pada tahun 1964 menang Golden Harvest Award di Pesta Filem Asia di Taipei, sementara “Modal Sahaja Sukar Nerjaya” (1965) menang Golden Harvest Award di pesta yang sama, tetapi di Tokyo. Aziz lahir di Singapura dengan nama Aziz Bin Alias.

Aziz Antara berjasa besar kepada pengembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Sebagai penerbit menjadi tanggung jawab Aziz Antara mengenengahkan teks bahasa dan sastera kepada khalatak pembaca. Kerana jasanya, Aziz Antara menerima Anugerah Za’ba yang pertama. Jasa yang sukar dilupakan ialah minat dagangnya untuk membawa masuk buku-buku terbitan Indonesia, terutama pada tahun-tahun 50an dan 60an dahulu. Waktu itu buku-buku dalam bahasa Melayu amat kurang. Pencinta bahasa dan sastera amat bergantung kepada buku-buku Melayu versi bahasa Indonesia untuk rujukan dan menambah pengetahuan. Allahyarham Usman Awang dalam satu sembang-sembang kosongnya di Dewan Bahasa dan Pustaka, ketika hayatnya mengakui tanpa Pustaka Antara, milik Aziz Antara, “saya tidak menjadi Tongkat Waran atau Usman Awang seperti yang saudara lihat hari ini.”

Begitu akrabnya Aziz Antara dengan buku-buku Indonesia, sehingga beliau sering sahaja berulang-alik ke Jakarta, berbincang tentang perniagaan buku dengan penerbit-penerbit di ibukota Indonesia itu. Hotel Indonesia menjadi rumah keduanya. Setiap kali berkunjung ke Jakarta, hotel itulah rumahnya dan beliau diberikan keistimewaan oleh hotel berkenaan dengan menyediakan satu bilik ekstra. “Untuk memudahkan Pak Aziz mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelanggan-pelanggan Bapak di sini”, seperti diucapkan Aziz Antara kepada saya dalam satu pertemuan di Jakarta pada tahun 1987. Malah apabila beliau mempelawa untuk saya memanfaatkan bilik esktranya itu. “Bilik itu kosong, Sepatutnya you ke sini saja.”

Aziz Antara adalah pengasas Persatuan Penerbit Buku Malaysia. Hampir satu dekad beliau memimoin persatuan itu. Penerbit-penerbit yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan pada tahun-tahun 1980an banyak berpayung di bawah persatuan pimpinan Aziz Antara. Di samping penerbit, Pak Aziz rapat juga dengan tokh-tokoh penulis. Antara yang sering ditemuinya ialah Arenawati dan Ahmad Boestaman (Ruhi Hayat). Pertemuan sering diadakan di kedai bukunya Pustaka Antara di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Muda. Aziz Antara beruntung kerana bebepa buah buku importnya pernah dijadikan buku teks wajib di peringkat Sijil Persekolahan atau Sijil Tinggi Persekolahan. Salah sebuah buku itu ialah Keluarga Gerilya. Buku ini juga telah mendekatkan Aziz Antara dengan keluarga pengarangnya Pramoedya Ananta Toer.

Dharmawijaya bukan nama asing dalam bidang penulisan dan akademik. Ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah sakit umum Seremban, beliau masih mempunyai kontrak dengan Universiti Putera Malaysia di Serdang sebagai Sarjana Tamu. Beliau ditugaskan untuk membuat kajian tentang Keris dan sejarah perkembangannya di Negeri Johor.

Sasaran kajiannya sedikit terkeluar daripada bidang puisi yang hampir sinonim dengan namanya. Mengapa Keris dan tidak puisi-puisi atau pemuisi di Johor? Apabila ditanyakan kepada salah seorang rakan sekerjanya di universiti itu tentang perkara ini, rakannya itu tidak dapat menjawab. Barangkali Dharmawijaya mahu mencari kelain setelah hampir seluruh kerjayanya sebagai guru, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli akameik di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, beliau mahu mencari “angin baru” dan pengalaman baru dalam bidang yang sama sekali asing baginya. Telah masuk tahun ketiga Dharmawijaya menjadi pegawai kontrak.

Lahir di Kampung Talang, Senaling, Kuala Pilah, Dharmawijaya mengenal dunia melalui kawasan sekitar kampungnya yang berbukit dan berbendang; berpaya dan bersungai. Beliau membesar dalam balutan resam budaya lingkungan adat perpatih. Alam terkembang menjadi guru dan ia menjadi objek renungannya. Jiwanya sensitif kepada sekitaran sehingga akhirnya sensitiviti itu ditumpahkan ke dalam tulisan-tulisan yang puitis. Pernah beliau menulis, “Kata adat banyak kiasan; ditunjuk dia tetapi bukan; bergulung pendek panjang terentang; tidak faham kalau tidak direnungkan.” Pentafsiran tentang sekitaran memperkaya bait-bait puisinya. Segalanya dikumpulkan dalam beberapa buah antoloji, yang terawal Warna Maya.

Banyak yang menganggap Warna Maya adalah Dharmawijaya dalam puisi. Dua dekad sesudah itu, persisnya tahun 1993 lahir pula Derita Buana. Ini diikuti oleh Bintang Mengerdip (1984), Di penjuru Matamu (1975) dan Lagu Kehidupan (1983). Antologi Bahasa Alam yang disusunnya bersama Allahyarham Ma’arof Saad pernah menjadi buku teks kesusasteraan di peringkat SPM mulai tahun 1984. Hampir 200,000 naskhah dicetak.

Kini, ketiga-tiga tokoh ini telah tiada. Yang ditinggalkan adalah jasa dalam bidang persuratan dan penerbitan. Di kalangan orang sastera, kehilangan tiga tokoh ini amat dirasakan kerana keistimewaan tersendiri yang ada pada mereka amat sukar ditemui. Mereka adalah penggiat seni persuratan dan media. Aziz Jahpin lebih terserlah dalam media radio melalui drama dan sandiwaranya. Aziz Antara terserlah dalam bidang penerbitan dan merupakan anak Melayu pertama yang memiliki syarikat penerbitan. Sementara Kamaruzzaman Kadir menyerlah dalam bidang puisi setelah dibesarkan oleh budaya adat perpatih, dengan teromba dan perbilangannya yang puitis. (2005)

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).