Apabila cendekiawan bincang tentang perpaduan
Oleh: A. F. YASSIN
BELUM pun sampai dua hari setelah sekumpulan tokoh akademik Melayu mengumumkan hendak menganjurkan Persidangan Agenda Melayu dan Perpaduan Kebangsaan pada 21 April akan datang, timbul pula satu kumpulan cerdik pandai Melayu yang bertemu untuk tujuan sama.
Cuma bezanya pertemuan cerdik pandai Melayu ini mahu mengadakan forum Perpaduan Melayu yang kemudian menjadi Kongres Melayu sama seperti Kongres Cendekiawan Melayu yang pernah diadakan beberapa ketika dahulu.
Kumpulan tokoh akademik Melayu itu diketuai Tan Sri Ainuddin Wahid dengan ahli-ahli terasnya Datuk Dr. Zainal Abidin Wahid, Datuk Hassan Ibrahim dan Datuk Abu Bakar Hamid.
Sementara kumpulan yang mendesak diadakan Kongres Melayu terdiri daripada tiga Tan Sri, 10 Datuk dan sejumlah ahli akademik dan tokoh budaya yang juga prihatin terhadap keadaan orang Melayu hari ini.
Kumpulan yang terdiri daripada 30 orang ini bertemu pada hujung minggu lalu di Rumah Gapena dalam satu sumbang saran mencari jalan bagaimana sebaiknya kemelut orang Melayu dapat diselesaikan. Antara yang hadir Tan Sri Ghazali Shafie, Tan Sri Awang Had Salleh, Tan Sri Ismail Hussein, Datuk Mohd Noor Yusof (M. Noor Azam), Datuk Wan Hashim Wan Teh yang membentangkan kertas kerja, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), Datuk Ishak Harun, Datuk Hashim Yaakob dan Datuk Jins Shamsuddin. Kassim Ahmad yang dijangka mengemukakan kertas pendek untuk dijadikan dasar perbincangan bersama Wan Hashim berhalangan untuk hadir.
Kumpulan ini berbincang dengan dipengerusikan oleh Awang Had dan tertumpu kepada tiga pandangan yang disuarakan oleh Noor Azam, Wan Hashim dan Ghazali.
Ghazali meminta hadirin hati-hati apabila menyentuh Perlembagaan tentang Bahasa Melayu, Orang Melayu, Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Agama Islam. "Semua itu sudah termaktub dan tidak perlu dipersoalkan lagi," katanya.
Kemelut politik orang Melayu semakin sudah sampai ke tahap apa yang disebut Ishak sebagai isu survival bangsa. "Kita bukan lagi bercerita tentang masalah perpaduan Melayu di sini, tetapi kelangsungan hidup," katanya.
Kalau kumpulan tokoh akademik sepakat mengadakan Persidangan Agenda Melayu dengan pelan tindakan kecermelangan Melayu, kumpulan Tan Sri dan Datuk ini pula sepakat untuk mengadakan Kongres Melayu. Dan sebelum kongres diadakan satu pertemuan prakongres dirancang untuk menemui Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO dan Datuk Fadzil Noor, Presiden Pas. Pertemuan yang berasingan ini akan didakan secara tertutup dengan matlamat mencari sebanyak maklum balas yang mungkin bagi persediaan kongres.
Cadangan ini dikemukakan oleh Noor Azam sendiri dan dipersetujui oleh Prof. Datuk Dr. Firdaus Abdullah.
Pertemuan malam itu dimulakan dengan Wan Hashim mengemukakan cadangan melalui kertas kerja sehelainya. Wan Hashim mencadangkan satu forum sehari mengenai Perpaduan Melayu diadakan, dengan tiga alasan.
Pertama, bangsa Melayu sekali lagi menghadapi pelbagai cabaran kecil dan besar terutamanya cabaran perpecahan di kalangan orang Melayu yang menyentuh isu-isu pokok seperti Hak Istimewa Orang Melayu, Kedudukan Agama Islam, Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan dalam Perlembagaan Malaysia.
Kedua, memorandum tuntutan masyarakat Cina melalui Suqiu yang menyentuh perkara-perkara di atas tidak harus dipandang ringan.
Menurut Wan Hashim pemimpin serta masyarakat Melayu keseluruhannya perlu mempunyai suara yang satu dalam menghadapi cabaran ini.
Dan ketiga, memandangkan kemungkinan pertemuan dua parti Melayu terbesar UMNO dan Pas tidak akan menjadi kenyataan, maka bagi Wan Hashim, "adalah dirasakan badan-badan bukan kerajaan yang prihatin terhadap kepentingan Melayu perlu bertemu untuk membahaskan dan akhirnya membuat rumusan mengenai empat perkara yang berkaitan langsung dengan kepentingan Melayu yang merupakan perkara asas kepada pembinaan bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Alasan ini hampir serupa dengan alasan yang diberikan oleh kumpulan Ainuddin. Malah cadangan untuk mempertemukan persatuan yang bukan kerajaan dalam Persidangan Agenda Melayu adalah sama dengan kongres yang dicadangkan kumpulan Awang Had ini. Maka, secara tidak langsung sekarang ada dua kumpulan yang mahu bertindak dalam satu masa. Apakah tidak mungkin dua kumpulan ini menyelaraskan sahaja agenda mereka untuk mengelakkan timbulnya anggapan bahawa gejala perpecahan Melayu sudah menular pula di kalangan cerdik pandai dan tokoh-tokoh bukan politik Melayu. Pun, persatuan-persatuan bukan kerajaan yang hadir di kedua-dua persidangan itu terdiri dari kumpulan yang sama juga. Bagaimanapun, dalam hal ini kumpulan Ainuddin kelihatan setapak lebih maju kerana telah menentukan tarikh persidangan, iaitu pada 21 April selama dua hari.
Manakala kumpulan Awang Had baru mahu menentukan pertemuan dengan Dr. Mahathir dan Fadzil dan jumlah anggota perwakilan ke pertemuan itu.
Yang menariknya, bagaimana kongres akan diadakan nanti akan banyak bergantung kepada hasil pertemuan tertutup dengan Dr. Mahathir dan Fadzil. Mungkin sahaja atas alasan-alasan yang rasional yang diberikan kedua-dua pemimpin itu satu kongres tidak perlu lagi diadakan.
Maka tinggallah kelompok Ainuddin dengan resipi Agenda Melayunya. Kemudian apakah persatuan-persatuan bukan kerajaan yang telah menghadiri Persidangan Agenda Melayu akan sekali lagi menghadiri kongres yang dipelopori kelompok Awang Had. Inilah senarionya.
Kebersamaan dalam perjuangan dua kumpulan yang mahu membincangkan kedudukan Melayu hari ini dianggotai oleh orang bergelar dan telah menabur sumbangan besar kepada pelbagai bidang, seperti pendidikan, ekonomi dan lain-lain.
Kebanyakan pemimpin dua kelompok ini tidak lagi berada "hampir" dengan kuasa, atau sudah lama meninggalkan kuasa sebagai pelaksana dasar, walaupun tidak dinafikan pengaruh di kalangan masyarakat Melayu masih ada.
Dan sememangnya bagus mereka prihatin terhadap nasib orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam yang semakin tercabar baik dari luar orang Melayu sndiri, lebih-lebih lagi dari dalaman.
Bagaimanapun sejauh mana mereka dapat menggerakkan orang ramai agar sama-sama bersatu mewujudkan perpaduan demi kelangsungan hidup Melayu masih boleh dipersoalkan. Contohnya, satu kumpulan tidak tahu tentang kegiatan kumpulan yang lain, cuma melalui berita akhbar adalah bukti nyata tentang keberkesanan pergerakan mereka.
Seorang peserta pertemuan di rumah Gapena bertanya setelah selesai pertemuan, apa sudah jadi dengan pertemuan demi pertemuan yang telah diadakan dari semasa ke semasa oleh pelbagai kumpulan Melayu tentang keadaan orang Melayu sejak tahun 1960-an lagi?
Misalnya, pernah satu ketika yang belum lama, ada satu pertemuan tertutup di kalangan tokoh politik, ekonomi dan budaya Melayu pilihan yang dipengerusikan oleh Datuk Mustapa Mohammed. Pertemuan itu khas membincangkan kedudukan orang Melayu. Sekumpulan tokoh akademik yang dipimpin oleh Firdaus ditugaskan untuk menyiapkan satu laporan tentang kedudukan orang Melayu untuk dibentangkan.
Sayangnya dalam pertemuan itu laporan belum dapat disiapkan maka ia tidak dapat dibincangkan. Kemudian ada pula Kongres Cendekiawan Melayu yang pernah diadakan. Kurang pasti apa lanjutan daripada kongres itu.
Katanya, "Sepatutnya kita adakan kongres dahulu. Hasil daripada kongres kita serahkan kepada Dr. Mahathir dan Fadzil. Kalau sudah jumpa dua pemimpin itu, kita tidak payahlah berkongres lagi. Siap sahaja laporan dan serah memorandum," katanya.
Hassan lebih praktikal dalam membuat cadangan. Dia mahukan pertemuan "malam ini terus memutuskan apa tindakan yang patut kita ambil. Tidak perlulah kita bincangkan tentang perpecahan Melayu. Kita dah tahu semuanya. Kalau hendak bincang empat hari tidak habis."
Tafsiran pandangan Hassan ini daripada sudut yang lebih luas ialah tidak perlulah kita buat cadangan demi cadangan. Yang penting bertindak sekarang dan jangan terlalu akademis cara kita bertindak demi survival orang Melayu.
Dalam hal ini menarik juga dikaitkan dengan amaran Mustapa, Ketua Penerangan UMNO Malaysia bahawa ``Orang Melayu di negara ini akan mengalami nasib yang sama seperti orang Melayu di Singapura jika mereka memberi peluang kepada parti pembangkang memegang tampuk pemerintahan negara''.
Walaupun ini cuma cakap politik tetapi apakah semua cakap politik itu tidak ada yang mendekati kebenarannya? Apapun jua perkembangan selanjutnya menarik ditunggu untuk kumpulan Awang Had ini. Satu jawatankuasa telah dibentuk untuk menyelaraskan tindakan yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Awang Had dan Tan Sri Prof. Emeritus Ismail Hussein. Lain-lain anggotanya ialah Noor Azam, Firdaus, Wan Hashim dan Baha Zain.
The next three years will be critical not only for the Anwar premiership,
but also for Pakatan Harapan and DAP
-
I thank the Prime Minister, Datuk Seri Anwar Ibrahim for relaunching Kee
Thuan Chye’s two-volume biography of me and volume 2 of the Chinese
translation. I...
2 days ago
No comments:
Post a Comment