BICARA
Oleh A.F.Yassin
ARIS TAHIR: ORANG MUAR BERGIAT DI JAYBEE.
Setiap kali ada kegiatan seni budaya di Johor Bahru yang saya hadiri, saya tidak dapat mengelakkan diri daripada tidak bertemu dengan seorang penulis lama dari Muar. Dia, Aris Tahir, seorang guru pesara tetapi terlibat aktif dalam persatuan penulis dengan pelbagai kegiatannya. Saya tak pasti entah ke berapa kali saya bertemu dan berbual dengannya. Malah terakhir sewaktu berlangsungnya Pertemuan Sasterawan Nusantara X dan Pertemuan Sasterawan Malaysia 1 (PSN X/PSM 1) di Johor Bahru April1999 lalu, saya melihat dia salah seorang yang begitu sibuk melayan para tamu, terutama dalam acara mendaftarkan peserta dari negara-negara senusantara. Aris merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pendaftaran peserta yang dipimpin Shapiai Mohd Ramly.
Pernah dalam satu pertemuan saya tanyakan tempat tinggalnya. Di Muar atau di Johor Bahru? Jawabnya, "Muar.Tetapi kalau ada sebarang kegiatan sastera atau seni budaya lain, saya pasti ke JB. Perjalanan dari Muat ke JB tak menjadi masalah. Sudah biasa." Suaranya garau-garau lembut dan sedap didengar. Tidak membosankan. Barangkali ini ada kaitannya dengan pengalamannya sebagai guru. Semasa menghadiri Festival Kebudayaan Melayu di Pekan Baru dua tahun yang lalu, dia jarang sekali menyendiri. Satu ketika, semasa mengunjungi pameran kebudayaan di dalam sebuah dewan besar dia begitu mesra dengan beberapa teman penulis dari Malaysia dan Riau. Dia sering kelihatan bersama Kalam Hamidi, Alang Ahmad Teh dari DPMP, Abdul Aziz Long dan Nazel Hashim Mohd.
Anehnya, ketika berbual aris sering sahaja merendah diri, mengeluarkan kata-kata seperti, "siapalah kita kalau dibandingkan dengan mereka" atau "munkgin sahaja orang sekaran tak ingat kita lagi. Maklum orang pencen." Barangkali ada alasan Aris berkata begitu. Jika tak silap dalam Seminar Warisan Johor 1-4 Ogos 1996 yang lalu ada sebuah kertaskerja yang menghuraikan perjuangan dan kesinambungan organisasi penulis Johor, sejak 108 tahun yang lalu. Ketika kertas kerja itu "membincangkan" penubuhan Perkumpulan Penulis dan Peminat-Peminat Bahasa Muar (PPPBM) nama Aris Tahir terkeluar daripada senarai pengasas perkumpulan itu. Pengasas-pengasas yang disebut ialah Mohd Salleh Kasmin (Maskam), Mahadi Abdul dan Abdul Manaf Semo. Sedangkan Aris merupakan salah seorang pengasas perkumpulan itu. Kelompok penulis Muar ini menubuhkan PPPBM kerana tidak setuju dengan hasrat Persatuan Penulis Johor (PPJ) untuk menyatukan semua penulis Johor ke dalam persatuan yang tunggal. Maka apabila pendaftaran PPJ diluluskan pada 10 Mei 1967, penulis-penulis dari Muar ini pun membentuk PPPBM. Tujuan pembentukannya ialah antara lain "mencari jalan memupuk dan membimbing bakat-bakat penulis dan peminat-peminat bahasa di daerah Muar.
Kemudian, dalam perbincangan tentang puisi moden Johor serta cerpen dan cerpenis Johor dalam seminar yang sama, nama Aris tidak disebut langsung, pada hal dia boleh dianggap di antara deretan nama besar penulis Johor kerana karyanya telah mula mendapat tempat apabila sajaknya pertama kali disiarkan dalam "Utusan Kanak-Kanak" pada tahun 1953 dengan judul "Budi Bahasa". Ketika itu usianya baru 16 tahun dan media "Utusan Kanak-Kanak" merupakan salah satu penampungan penulisan kreatif yang cukup popular waktu itu.
Saya tak berani kata bahawa faktor-faktor ini menyebabkan Aris "terkilan" sehingga dia begitu merendah diri, tetapi mengingat perjuangannya dalam dunia kesusasteraan bermula sejak empat dekad yang lalu dan masih terus aktif hari ini maka faktor "keterciciran" namanya sedikit menyayatkan. Ada yang berkata kerana Aris menjadi salah seorang pengasas PPPBM maka dia dianggap sebagai "menongkah arus" dalam memperjuangkan perpaduan penulis-penulis Johor dan oleh itu harus disisihkan.
Dalam pada itu Aris begitu prihatin pula tentang masalah kawan-kawan. Pernah satu ketika setelah sampai di jeti Melaka dengan feri dari Dumai dalam perjalanan pulang dari menghadiri Festival Kebudayaan Melayu di Pekan Baru, dia bertanya kepada saya apakah ada orang datang menjemput saya pulang dan adakah saya punya kenderaan ke Kuala Lumpur. Pada hal dia sendiri akan menghala ke selatan. Dan di jeti itu dia terus sibuk persis seperti dia sedang mengatur ahli-ahli rombongan pulang ke rumah masing-masing.
Dan semasa makan malam di kediaman rasmi Menteri Besar Johor pada malam ketiga PSN X/PSM 1, dia datang dan pergi ke beberapa buah meja membawa hidangan. Dia bagaikan melayan tetamu yang datang berkunjung ke rumahnya sendiri. Pernah seorang penulis luar Johor berkata, "Cikgu Aris ini kalau jadi PRO cukup bagus. Ada sentuhan kemanusiaan dalam dirinya. Saya jarang melihat atau mendengar dia meninggikan suara bila bercakap. Tak tahulah kalau dia bertukar garang apabila di rumah bersama keluarganya."
Saya kira ramai yang kurang mahfum tentang kegiatannya dalam bidang kesusasteraan, apatah lagi kebudayaan. Penulis generasi muda, kecuali yang di Johor, barangkali tidak pernah kenal dan tahu siapa Aris Tahir, bekas guru dan anak Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar adalah seorang penulis lama dari Johor yang kini berusia 62 tahun. Rahman Shaari, misalnya, pun mungkin kenal begitu-begitu sahaja penulis yang bernama Aris Tahir ini kerana dalam kertaskerja "Puisi Moden Johor" di Seminar Warisan Persuratan Johor pertama, Rahman membariskan beberapa nama penulis Johor yang telah memberikan sumbangan besar dalam persajakan tanah air.
Antara penulis-penulis yang disebutnya ialah Anis Sabirin, Alis Murni, Jaafar HS, Zam Ismail, Gunawan Mahmood, Shapiai Ramly, Inzura Kosnin dan beberapa lagi. Siapa penulis yang termasuk dalam "beberapa lagi" itu tidak dinyatakan. Barangkali juga nama Aris Tahir adalah di antara "beberapa lagi" nama yang tersangkut dalam kepala Rahman tetapi dia tidak sampai menyebut nama itu.
Begitu juga halnya dengan Anis (Amida @ Hamidah Abdul Hamid), melalui kertas kerjanya "Cerpen dan Cerpenis Johor, Riak Citra Darul Takzim" hanya menyenaraikan sebilangan nama penulis Johor " yang pernah dan/atau sedang turut mewarnai prasarana dunia pencerpenan Johor. Antara nama-nama yang disebut Anis ialah Tongkat Warant (Dato' Dr Usman Awang), Nora (Ali Hj Ahmad), Anis Sabirin, Rokiah Abu Bakar, Adibah Amin, A. Shukor Haron, Zaharah Nawawi, Salmah Mohsein, Khadijah Hashim, Zawiyah Mohd Noh, Anis (Amida @ Hamidah Abdul Hamid), Sarah Rahim, Habsah Hassan, Rogayah A. Hamid, Siti Aishah Murad, Halilah Hj. Khalid, Gunawan Mahmood, Hasidah Disan, Saadiah Hj Ibrahim, Siti Muhawa Rahmat, Azmi Taib dan Amiruddin Ali dalam bidang cerpen. Nama Aris Tahir tertinggal juga. Barangkali pula Anis tidak melihat satu pun cerpen Aris yang tersiar di mana-mana surat khabar atau majalah.
Namun jika ada yang sudi menyorot kembali sumbangan Aris untuk Johor dalam bidang kesusasteraan, maka tidak dapat tidak kita akan "terjumpa" dengan karya-karyanya, terutama dalam genre puisi. Malah empat buah buku antologi puisinya telah diterbitkan, iaitu "Suara Selatan Semenanjung" (1960), "Bicara Hari Ini" (1985), "Jejak-Jejak" (1995) dan "Catatan Sepanjang Sungai Muar" (1995), manakala sebuah antologi puisi berjudul "Salam Keakraban" diterbitkan oleh Kementerian Perpaduan Negara pada tahun yang sama. Kurang jelas mengapa puisi-puisi Aris jarang diperkatakan dan nama Aris sendiri (yang juga punya nama samaran seperti Said Tahir, Said Johor dan Sitarama) jarang diperkenalkan sebagai seorang penulis, tetapi adalah diyakini hal ini disebabkan kebanyakan karya puisi Aris lebih bersifat "localised", berlegar di suasana tempatan atau tumpuan utama pengkaryaannya adalah dalam bentuk rencana berita atau esei umum.
Barangkali pula Aris lebih dikenali sebagai pemberita sambilan atau stringer untuk akhbar harian. Aris pernah bertugas seperti demikian selama lima tahun dengan akhbar "Berita Harian" (1979 - 1984). Setelah itu menjadi pemberita sambilan dengan akhbar "Watan" dari 1985 hingga 1990. Bagaimanapun, sumbangan besarnya kepada negeri Johor ialah ialah usaha penyelidikan dan penulisan dalam bidang sejarah tempatan dan pendidikan. Aris terlibat dalam penyelidikan ini di bawah projek "Pewaris" tajaan Yayasan Warisan Johor. Dalam pada itu di Muar sendiri Aris menyelenggarakan penerbitan risalah "An Nuur" . Risalah ini diterbitkan oleh Lujnah Ta'mir, Muar. Pengalamannya dalam bidang penerbitan ini berpunca dari kegiatannya sebagai salah seorang anggota sidang pengarang majalah "Kebudayaan yang diterbitkan oleh Persatuan Guru-Guru (1956-1965).
Aris masih terus menulis puisi, namun kesibukan dengan kegiatan semasa dalam persatuan dan kerjasamanya dengan Yayasan Warisan Johor menyebabkan karyanya jarang ditemui di dada-dada akhbar atau majalah. Malah sekarang ini Aris adalah pengerusi Persatuan penulis Johor, Kegiatan Daerah Muar di samping menjadi salah seorang ahli Jawatankuasa PPJ sendiri. Kurang jelas sejak bila dia merujuk semula ke PPJ setelah dia dan kawan-kawan mengasaskan PPPBM di Muar beberapa dekad yang lalu. Dalam PPJ, Aris juga pernah dilantik sebagai pengerusi Biro Penerbitan dengan tanggungjawab menerbitkan "Dupa".
Dalam usianya sekarang dan dengan kegiatan rancak dalam persuratan dan kebudayaan di negeri Johor, saya percaya Aris lebih daripada mencari eskapisme dalam dunia ciptasastera, lebih-lebih lagi ketika dia masih merasa "dipinggirkan" dari arus perdana kesusasteraan. Dan bukan tidak mungkin sudah ada orang yang menganggapnya sebagai orang marjinal dalam bidang yang dia masih mempunyai kecenderungan untuk terus memperlihatkan kemampuan kreativitinya. Kecenderungannya ini dapat dilihat dan dirasakan ketika dia berbual santai bersama Azizi Hj. Abdullah, Mansor Abdullah, Rahim Abdullah dan Ahmad Sarju di meja makan semasa makan malam di Saujana, Kediaman Dato' Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor sempena PSN X/PSM 1.
A.F.Yassin
11 Jun 1999
Malaysia must aim to be a model state to the world in “Unity in Diversity”
by promoting global inter-civilisational dialogue, understanding, tolerance
and harmony
-
Malaysia’s Prime Minister, Datuk Seri Anwar Ibrahim is in Peru for the APEC
Summit and we are joining BRICS. Malaysia must aim to be model state to the
wor...
1 week ago
No comments:
Post a Comment